November 22nd, 2014

Dua syirik boleh sebabkan kufur

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 48)

Barangkali kita telah terselamat daripada melakukan perkara membawa kepada syirik secara terangan seperti menyembah berhala, tokong atau apa sahaja yang menyamakannya dengan Allah SWT. Tetapi adakah dengan tidak menyekutukan Allah SWT secara terang itu kita tidak melakukan syirik kepada-Nya?

Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm



Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan, syirik menduakan Allah SWT dengan sesuatu yang lain sama ada secara terang atau secara tersembunyi dalam Tarbiah.

Perbuatan syirik bermaksud sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau sebaliknya menyamai bagi Allah SWT.

Sekutu Allah perbuatan syirik

Menyekutukan Allah SWT jelas dianggap sebagai suatu perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama, apatah lagi perbuatan sesetengah orang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Lebih parah apabila golongan itu wujud dalam masyarakat kerana boleh merosakkan akidah umat Islam.

Menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan, syirik bermakna menduakan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Syirik secara terang disebut sebagai syirik jali manakala syirik secara tersembunyi adalah syirik khafi.

Bagaimanapun, kedua-dua jenis syirik ini mengundang bahaya yang besar kepada kita kerana takut apa juga amal ibadah dilakukan kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh, menjadi kawah kosong yang kering kontang tanpa apa-apa hasil.

Penegasan salahnya perbuatan syirik dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka." (Surah al-Ma'idah, ayat 72)

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan dan tindak tanduk supaya kita tidak dibelenggu perbuatan adat dan kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar sehingga boleh membawa kepada dosa besar yang akhirnya menjerumuskan kita ke neraka.

Galak cari ilmu

Sebab itulah kita dianjurkan untuk mencari ilmu agama yang kukuh dan belajar dengan mereka yang arif supaya ilmu agama boleh menjadi benteng atau pendinding daripada ancaman perbuatan merosakkan akidah terhadap Allah SWT.

Menurut Sharizan, syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu menerusi iktikad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah SWT.

Kedua, menerusi perbuatan serta amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib, mempercayai sesuatu objek mempunyai keramat tertentu juga membawa kepada unsur syirik.

Bahkan ahli agama berpendapat perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan yang boleh menjurus kepada syirik.

Ketiga, menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi pula, kita harus lebih berhati-hati kerana dibimbangi tanpa disedari kita tergolong dalam melakukan perbuatan syirik seperti perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadahnya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Amal ibadah kita kepada Allah SWT hendaklah dilakukan secara ikhlas dengan bersungguh-sungguh meyakini keesaan-Nya. Amalan kita bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Perbuatan bertujuan menunjuk-nunjuk sama ada secara sengaja atau tidak, amat dimurkai Allah SWT, malah Rasulullah SAW menegur perbuatan itu kerana boleh membawa kepada perbuatan yang merosakkan hati manusia.

Allah SWT menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi." (Surah az-Zumar, ayat 65)

Bina kesedaran, tambah pengetahuan

Mari kita bersama membina kesedaran melalui ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan supaya tidak terjerumus dengan perbuatan bukan sekadar sia-sia tetapi membawa kepada dosa. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan supaya tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan.

Adalah merugikan ibadah kita lakukan secara bersungguh-sungguh atau sedekah jariah yang sekian banyak, jika amalan itu bersulam perbuatan riak yang menjurus kepada syirik kerana telah banyak disebut dalam hadis dan al-Quran bahawa amalan syirik hanya membawa kepada kebinasaan serta kerugian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

Darjatnya sama seperti ibu bapa sendiri

TIDAK dinafikan sekarang ini terdapat ramai pasangan yang mengalami masalah berkaitan penghormatan pasangan terhadap ibu bapa masing-masing.

Kebanyakan masalah yang dialami adalah berkaitan suami yang kurang atau tidak menghormati mertua dan juga kurang mengambil berat perihal mertua. Ini menyebabkan isteri berasa serba salah terhadap ibu bapanya. Sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada penghormatannya terhadap suaminya.

"Daripada sudut pandangan Islam, fokus ketaatan sudah pasti kepada suami selepas ALLAH dan Rasul-Nya. Isteri wajib taat kepada suami sebanyak 100 peratus tanpa sangsi selagi mana ia berlandaskan syariah dan tidak menyelewengkan akidah.

Isteri tidak boleh mengutamakan ibu bapa sendiri melebihi suami.



Sebagai anak, wajib baginya mentaati dan meletakkan darjat mertua sama seperti ibu bapanya sendiri. - Gambar hiasan

Suami perlu prihatin akan setiap keperluan mertuanya.

Lakukanlah aktiviti bersama mertua semasa lapang.















"Namun sebagai ketua keluarga yang bijak dan beriman, suami harus menunjukkan contoh akhlak yang cemerlang di hadapan isteri dan anak-anak dengan melaksanakan tanggungjawab yang sebenar menurut Islam.

Suami wajib menghormati dan mengambil berat ibu bapa mertua sama seperti dia mengambil berat ibu bapanya sendiri," kata anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi.

Menurutnya, dengan cara begini, isteri dapat memberi fokus mentaati sepenuhnya kepada suami dengan ikhlas. Dengan sifat toleransi daripada pihak suami sebeginilah dapat membawa kehidupan berkeluarga dengan lebih tenang dan harmoni.

Isteri apabila mereka berkahwin, tumpuannya hanyalah kepada suami dan anak-anaknya. Siapa lagi yang dapat membahagiakan dirinya jika bukan suaminya.

Hayatilah firman ALLAH yang bermaksud: "Marilah Kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: "Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa…" (Surah al-An’aam: 151)

Dia berfirman lagi: "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israa’: 24)


Harmoni, taat ibu bapa  & mertua

Rumah tangga mana yang tidak dilanda badai, namun apabila ALLAH menyuruh kita bersabar, bersabarlah kerana hikmahnya terlalu besar. Sebaik berlangsung sesebuah perkahwinan itu, secara automatiknya kita mendapat ibu bapa mertua.

Seandainya wanita itu meletakkan suami sebagai individu perlu ditaati selepas ALLAH dan Rasul-Nya, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka mesti menghormati ibu mertua diikuti bapa mertua selepas Dia dan Rasul-Nya.

Sejahtera dan amannya sesebuah rumah tangga bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Pengarah Institut Penyelidikan Zakat Malaysia, UiTM, Prof Madya Dr Ahmad Zaki Abd Latif berkata, suami seharusnya menjaga keharmonian rumah tangga dengan turut mengambil berat dan menghormati mertua. Selain daripada kewajipan yang perlu dilaksanakan, dengan cara ini dapat menggembirakan hati isterinya.

"Sebagai suami mereka harus memahami walaupun mereka menjadi ketua keluarga tetapi mereka juga harus menjaga perasaan si isteri yang sentiasa ada bersamanya menguruskan segala hal ehwal rumah tangga termasuk memberi perangsang semangat untuknya terus memimpin keluarga dengan cemerlang.

"Suami tidak seharusnya membezakan cara ketaatannya kepada ibu bapa sendiri dengan cara ketaatan kepada mertuanya," katanya.

Tambah Siti Fatahiyah lagi, begitu juga dengan isteri, usah berasa sedih seandainya suami tidak mengambil berat kepada ibu bapa isteri. Seharusnya tingkatkan lagi penghormatan kepada suami kerana itu tanggungjawab si isteri," katanya.

"Suami berasa gembira apabila dia dihormati. Tetapi apabila suami tidak dihormati atau berasa isterinya menghormati orang lain lebih daripada menghormati dirinya, perasaannya mudah terganggu dan diketepikan. Ini akan menyebabkan masalah makin besar.

"Sehubungan itu, isteri usah berpanjangan berada dalam kesedihan. Banyakkan berdoa kepada-Nya dan mengerjakan solat sunat dan solat pada malam hari. Insya-Allah, ALLAH sentiasa mendengar dan pastinya memakbulkan doa hamba-Nya," katanya

Menantu vs Mertua

BENARKAH menantu perempuan tidak ngam atau kurang serasi dengan ibu mertua? Jika begitu bagaimana pula si menantu lelaki yang sangat rapat dengan bapa mertuanya.

Di luar sana, segelintir anak menantu perempuan bercerita mengenai situasi ini. Dan mungkin juga ibu mertuanya bersikap sama.

Bukankah hadis di atas menerangkan mertua itu haknya sama seperti ibu bapa kita. Betapa kelas tinggi layanan kita kepada ibu bapa begitu jugalah sopan santunnya melayan mertua.

Ada yang mengatakan "dia bukan ibu dan bapa kandung saya." Benar! Tetapi hak mereka sama dan kita mesti berlaku adil, walaupun mereka hanya ibu bapa angkat, ibu bapa susuan, dan ibu bapa mertua.


Reda dengan teguran

Perkataan ibu bapa adalah satu nama yang agung dan besar maknanya bagi insan bergelar anak. Apabila perkataan ibu bapa diungkapkan, terlihat seribu satu kepayahan dan keperitan terselindung dalam hati mereka, namun terhias di wajah adalah senyuman tanda kegembiraan dan kepuasan.

Mereka menyembunyikan segala kedukaan dan kesukaran dalam memberikan kehidupan bermakna kepada setiap anak.

ALLAH SWT berfirman: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman: 14)



Gambar Hiasan


Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahamood merungkai makna ibu bapa dengan menjelaskan Islam meletakkan martabat yang tinggi dalam penghormatan kepada ibu bapa termasuk mertua.

"Sebagai pasangan suami isteri yang mengaku beriman wajib mentaati mertua sama seperti mereka mentaati ibu bapa sendiri.

Semua ini perlu dilakukan sedari lelaki atau perempuan berkenaan memilih pasangan, harus diambil berat juga berkaitan hal keluarga pasangan agar kehidupan yang dibina setelah berumah tangga menjadi lebih harmoni apabila kedua belah keluarga disatukan setelah ikatan perkahwinan dijalinkan.

"Restu ibu bapa kedua belah pihak perlu diambil kira apabila urusan perbincangan perkahwinan dijalankan.

Penghormatan kepada ibu bapa kedua-dua pasangan perlu dipupuk di peringkat lebih awal agar kehidupan seterusnya tidak menimbulkan masalah," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, apabila kita menganggap mentua seperti ibu bapa sendiri sejak awal lagi, sudah pasti kita menerima segala teguran dan kasih sayang dengan penuh reda tanpa sebarang reaksi negatif atau prejudis kepada mertua.


Sayang suami @ ibu bapa?

Beliau yang juga perunding motivasi ini turut mengupas persoalan semasa dan rintihan yang sering didengari apabila anak perempuan mendirikan rumah tangga, fokus penghormatannya adalah kepada suaminya bukan kepada ibu bapanya.

"Bagi menambahkan keharmonian rumah tangga yang dibina, seharusnya persoalan tersebut perlu ditukarkan dengan mengolah apabila seorang anak perempuan mendirikan rumah tangga, fokusnya turut berubah.

Penghormatannya kepada ibu bapanya berpindah kepada tanggungjawab suaminya. Suami wajib menghormati ibu bapa sendiri termasuk ibu bapa mertua.

"Kekasih ALLAH, Rasulullah SAW pernah bersabda, selepas ALLAH dan Baginda SAW, makhluk lain yang perlu dimuliakan ialah ibu dan seterusnya barulah bapa. Apabila berkahwin, Islam menyuruh kita melayan ibu dan ayah mertua sama seperti melayan ibu bapa sendiri," katanya.

Langsung tiada kompromi dalam hal ini. Ini bermakna jika kita gagal melakukannya, kita berdosa. Jadi fahami dan didik diri, apabila marahkan ibu mertua, sudah pasti berdosalah akibatnya.

Dosanya adalah sama seperti marah atau menderhaka kepada ibu sendiri. Tanamlah kata-kata ini dalam minda yang waras.

ALLAH laknat LGBT

LGBT atau merujuk kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Isu ini makin menjadi-jadi di negara kita. Malah ada beberapa pihak yang cuba menyokong dan mempertahankan golongan serta aktiviti songsang ini.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dibendung dengan segera. Tahukah kita, ALLAH SWT mengancam kaum dan golongan yang mempunyai sifat songsang ini.





Balasan kaum songsang Dalam al-Quran ALLAH berfirman yang bermaksud: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dalam kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada badan isteri-isteri kamu.

(Kamu orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan). Mereka menjawab. Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Luth (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar, Nabi Luth berkata. Sesungguhnya aku daripada orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu". (Surah As-Syuara: 165-168)

ALLAH berfirman: "Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu.

Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Dan tidak ada jawab daripada kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) menyucikan diri”. (Surah al-A’raaf: 80-82)


Kaum Lut dibinasakan ALLAH

Tidak takutkah kita pada ancaman ALLAH. Seperti mana ALLAH mengancam kaum Luth dan diceritakan dalam al-Quran. Gejala songsang ini telah lama berlaku. Namun kini ia semakin menular dalam generasi, bangsa dan negara kita. Mahukah apa yang terjadi pada kaum Lut berlaku pada kita.

ALLAH berfirman lagi: "Ketika seksaan daripada Kami (ALLAH) itu datang, maka Kami jadikan dari negeri kaum Lut itu yang atas dibalikkan ke bawah dan kami turunkan hujan seksa ke atas mereka, yang berupa batu, tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, sebagai yang diberi tanda oleh tuhanmu, dan negeri itu tiadalah jauh dari orang yang zalim." (Surah Hud: 82-83)

Perbuatan songsang ini adalah perkara yang dilaknat ALLAH. "Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki." (Riwayat Bukhari)


LGBT bukan isu remeh

Ini bermakna isu hubungan songsang ini bukan hal yang kecil. Lesbian, gay, bieseksual dan transgender ini membawa kepada hukum serupa. Ia mendatangkan murka ALLAH. Begitu juga mereka yang menyokong hubungan songsang ini.

Hal ini sepatutnya tidak perlu diberi sokongan dan perlu dibanteras. Ia ibarat seperti kita menggalakkan aktiviti maksiat dan keji yang dimurkai ALLAH.

Apatah lagi apabila kita menyokong, mempertahankan dan membawa hubungan songsang atau LGBT ini ke dalam negara. Ibaratnya kita menyokong dan mendukung kemungkaran yang dimurkai dan dilaknat ALLAH.

Diharap masyarakat tidak mudah dan terlalu jahil untuk menerima pemikiran dan keterbukaan terhadap hubungan songsang atau LGBT ini. Ia adalah corak masa depan anak cucu kita dan masyarakat.

Mahukah kita, jika anak-anak dan cucu kita kelak hilang jati diri dan melakukan kemaksiatan dan meraih murka ALLAH. Mahukah kita anak cucu kita kelak dilaknat ALLAH seperti kaum Lut.

Maka fikir-fikirkanlah. Jangan kerana terlalu takjub pada cara pemikiran Barat. Anak cucu kelak menjadi mangsa dengan keputusan yang kita buat sekarang.

Kita perlu tangani, tolak dan halang pelaksanaan dan pemikiran LGBT di tanah air demi menjamin masa depan anak cucu kita kelak.


Ancaman musibah buat kita

Pemikiran dan perlaksanaan aktiviti LGBT atau songsang ini tidak perlu dibawa masuk ke dalam negara kita. Kerana jika buka satu ruang untuk mereka membuatkan kita perlu membuka 10 lagi ruang selepas itu.

Akan ada lagi desakan demi desakan menuntut hak tidak bermoral mereka itu. Sesungguhnya manusia itu mempunyai banyak sifat tamak dan kejam.

Mahukan kita menerima nasib yang sama seperti dterima kaum Luth terdahulu, ditimpa musibah ke atas diri kita dan negara. Maka kita perlu menutup dan menghalang segala ruang yang boleh mendatangkan musibah kepada kita dan anak cucu.

Sewaktu Subuh mula menyingsing, bergegar bumi kaum Luth dengan teramat dahsyatnya. Getaran itu adalah gempa bumi yang kuat dan hebat.

Bumi mereka diterbalikkan disertai angin yang kencang dan hujan batu sijjil (batu daripada api) serta-merta menghancurkan Kota Sadum dan semua penghuninya. Lalu matilah mereka, bertaburan mayat yang dilaknat ALLAH.


Tutup ruang kemungkaran

Sesungguhnya Islam, agama yang menutup segala ruang yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemungkaran. Ini adalah prinsip Islam. Begitu juga dalam hal hubungan songsang ini. Tiada ruang bagi mereka untuk mengamalkan dan menyokong hal ini di Malaysia.

Jika dilihat dalam al-Quran, firman ALLAH: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah Al-Israa’: 32)

Maksudnya, dalam Islam ALLAH memberitakan agar perkara yang boleh membawa kepada zina perlu dijauhi, dengan firman ALLAH: "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah al-Isra’:32)

Bahkan Islam menetapkan batas aurat sesama jantina juga. Kerana Islam adalah agama yang cuba menutup pintu yang boleh membawa kepada kemungkaran tersebut.
Dalam satu hadis, daripada Abu said al-Khudri RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perempuan dalam satu selimut tanpa pakaian." (Riwayat Bukhari)


Dicipta berpasangan

Sesungguhnya ALLAH menciptakan kita manusia berpasang-pasangan. Maka janganlah kita ingkar dan cuba mengingkari ciptaan ALLAH.

ALLAH berfirman: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Ruum: 21)
Pihak bertanggungjawab

Kita sepatutnya memanggil dan mengumpulkan mereka yang terbabit dalam hubungan songsang ini, untuk diberi tarbiah, kursus dan kesedaran kepada mereka. Kerana hal ini bukan isu yang ringan atau main-main. Ia perkara yang berat, yang dimurkai, diharamkan dan dilaknat ALLAH.

Mahukah kita bersubahat dengan hal seperti ini?

Dan seharusnya pihak yang bertanggungjawab seperti jabatan agama, pakar motivasi dan kaunseling, ustaz-ustazah, agamawan, masyarakat secara individu dan kumpulan atau seumpamanya di negara ini perlu melaksanakan program khas buat mereka-mereka yang terbabit dan terjebak. Bukan hanya menuding jari mahupun menyokong mereka.

Moga ALLAH memelihara negara, diri dan keturunan kita daripada terjebak dengan permasalahan LGBT ini.

Nikmatnya jiwa bertauhid

PERISTIWA hijrah Nabi Muhammad SAW adalah perkara penting dalam sorotan sirah Baginda SAW. Kepentingan peristiwa hijrah yang harus diingati ini antara faktor yang membuatkan Saidina Umar Al-Khattab berijtihad untuk menjadikan permulaan kalender hijriyah yakni bulan Muharam bersempena dengan tahun berlakunya peristiwa hijrah.




Menurut Al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam kitabnya Al-Rahiq Al-Makhtum menyatakan, hijrah Rasulullah SAW sebenarnya berlaku pada bulan Safar.

1. Perihal muhajirin meninggalkan Makkah demi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan pengabdian kepada ALLAH SWT. Golongan sahabat semasa di Makkah dididik Rasulullah SAW dengan ketauhidan dan mereka berasa kelazatan jiwa bertauhid melalui amalan zikir.

Inilah yang menjadi rahsia kecekalan sahabat dalam menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang berada di Makkah. Bekalan utama mereka dalam mengecapi jiwa bertauhid adalah kerana kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda SAW.

Antara kisah yang paling tersohor dalam memaparkan kecekalan sahabat ialah kisah Bilal Bin Rabah yang diseksa dengan batu besar di dadanya di tengah padang pasir yang panas membahang.

Secara zahirnya kelihatan beliau terseksa, namun sebenarnya sedang menikmati jiwa bertauhid. Lidahnya langsung tidak lekang daripada berzikrullah sehinggalah beliau ditebus oleh Saidina Abu Bakar.

Setelah selesai pendidikan tauhid dengan berbekalkan kasih sayang maka turunlah perintah berhijrah. Di ambang hijrah, Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai kepentingan niat.

Daripada Umar Al-Khattab RA katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya.

Sesiapa yang berhijrah kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada ALLAH dan Rasul-Nya.

Sesiapa yang berhijrah bagi mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis ini adalah pemutus antara ikhlas dan sebaliknya, dan hanya amalan yang ikhlas sahaja diterima ALLAH. Inti pati ikhlas itu pula adalah dengan tidak memisahkan ALLAH dan Rasulullah SAW sebagai tujuan terunggul tanpa sebarang campur aduk selain daripada ALLAH dan Rasulullah SAW.

Lantaran itu, sahabat membuktikan kenikmatan memiliki jiwa bertauhid kepada ALLAH dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah SAW dengan patuh tanpa banyak bicara.

Mereka meninggalkan seluruh harta benda malah kampung halaman demi mengekalkan momentum kelazatan tauhid dan kasih sayang yang mereka kecapi daripada bimbingan Baginda SAW.

2. Perihal golongan Ansar dalam menerima rombongan Muhajirin bersama Rasulullah SAW. Sengketa antara kaum Aus dan Khazraj berlarutan sejak sekian lama. Persengketaan yang diwarisi zaman berzaman ini dapat dihapuskan dengan cahaya cinta dan kasih sayang yang disampaikan Rasulullah SAW pada setiap kali musim haji yang pada ketika itu masih lagi dengan cara Jahiliah.

Tidak cukup dengan kedatangan mereka ke Makkah pada musim haji, Rasulullah SAW juga mengutus Mus’ab Bin Umair ke Madinah sebagai utusan Baginda SAW untuk mengajarkan kepada mereka inti pati tauhid.

Adapun cinta dan kasih sayang kepada Baginda SAW menjadi pintunya yakni pintu keimanan dan ketauhidan. Hasilnya, leburlah segala persengketaan antara Aus dan Khazraj lantaran kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah SAW.

Pastinya keindahan jiwa bertauhid atas kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW adalah tidak ternilai berbanding dengan permusuhan yang diwarisi itu, maka mereka bergabung menjadi kaum Ansar.

Kecintaan Ansar dan kerinduan mereka terhadap Rasulullah SAW semakin membuak-buak, lebih-lebih lagi tatkala menanti rombongan Muhajirin bersama Rasulullah SAW. Kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW membuatkan mereka turut mencintai semua yang bersama dengan Baginda SAW dalam kalangan Muhajirin.

Ini dibuktikan dengan sambutan kaum Ansar terhadap Muhajirin yang menyediakan segala kelengkapan kehidupan mereka di Madinah. Bagi lebih mencerakinkan hubungan atas tauhid dan kasih sayang ini, Rasulullah SAW mempersaudarakan Muhajirin dengan Ansar; contohnya Abdul Rahman Bin Auf disaudarakan dengan Sa’ad Bin Rabi’.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ketelusan cinta dan kasih sayang Sa’ad Bin Rabi’ terhadap Abdul Rahman Bin Auf membuatkan beliau menawarkan isterinya kepada saudaranya itu, namun Saidina Abdul Rahman Bin Auf menolak dengan baik seraya mendoakan beliau.

Beginilah antara plot kisah yang berlaku dalam peristiwa hijrah. Ia penuh dengan tema ketauhidan dan kasih sayang. Inilah hakikat kegembiraan yang sebenar, yang sering diabaikan oleh umat Islam kini.

Dalam peristiwa hijrah, bermula daripada siri penyeksaan yang berlaku terhadap kaum Muslimin di Makkah, sehinggalah perjalanan sejauh kurang lebih 500 km untuk tiba di Madinah, secara zahirnya kelihatan penuh dengan keperitan fizikal; namun siapa tahu spiritual mereka begitu kuat dengan sekeping jiwa bertauhid kepada ALLAH atas landasan kecintaan dan kasih sayang mereka semua kepada utusan ALLAH ini.

Inilah kekuatan spritual yang menjadi inti pati kekuatan dan rahsia kejayaan dalam sejarah awal umat Islam. Sememangnya, peristiwa hijrah Rasul SAW adalah pengorbanan pada zahir fizikal, namun ia juga adalah permulaan kemenangan.

Bermula dengan kemenangan spiritual pada jiwa sahabat disusuli siri kemenangan yang berturut-turut bermula dengan kemenangan dalam Perang Badar termasuklah peristiwa pembukaan Kota Makkah. Semuanya adalah dengan bekalan spiritual iaitu jiwa bertauhid yang diperoleh dengan jalan cinta dan kasih sayang yang pastinya berakhir dengan sebuah hakikat kegembiraan di dunia dan akhirat.

Justeru, bersesuaian dengan keberadaan kita yang masih di ambang tahun baru hijrah 1436 ini, persoalan dan inti pati tauhid dan kasih sayang cuba dirungkai dalam setiap dimensi kehidupan kita melalui Seminar Tauhid & Kasih Sayang 2014 yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini.

Perancangan awalnya, lokasi seminar ini adalah di Dewan Sarjana, Uniten. Namun, atas penyertaan yang menggalakkan dan demi keselesaan semua peserta, pihak Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta bekerjasama dengan penganjur untuk menggunakan Dewan Serba guna Masjid.

Dianjurkan Sekretariat Majlis Tauhid & Kasih Sayang (MTKS) yang bernaung di bawah Pertubuhan Damai & Cinta Insani (Pendamai) ini dimeriahkan lagi dengan Malam Cinta Rasul – Dikir Tauhid & Kasih Sayang pada sebelah malamnya.

Haram pakai lilitan di lengan baju

KANGAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis meminta supaya anggota beruniform seperti polis dan ahli sukan beragama Islam tidak memakai lilitan hitam ataupun warna lain di lengan baju kerana perbuatan itu adalah haram.

Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perbuatan berkenaan sering dilakukan ketika kematian sedangkan ia merupakan adat kebudayaan bagi orang kafir.

“Pihak kami telah menyemak perkara ini dan mendapati Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1987 telah membuat keputusan bahawa perbuatan itu haram, oleh itu Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju sebulat suara menerima keputusan itu.



Datuk Dr Juanda Jaya
Setiap bentuk pakaian bagi tujuan sosial atau sebagainya yang dipakai oleh orang Islam hendaklah tidak melibatkan unsur-unsur yang khusus dengan adat atau keagamaan bagi agama lain,” katanya merujuk kepada keputusan berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri Perlis di sini, semalam.


Justeru beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah drastik mengenai perkara ini apabila ia  dilihat sering berlaku dalam kalangan anggota uniform dan ahli sukan semasa berkabung yang juga tidak disyariatkan agama Islam kecuali kepada ahli keluarga dan isteri dalam tempoh tertentu,

“Jadi kita tidak boleh mewarisi perbuatan penjajah sebelum ini sedangkan ia bertentangan dengan agama.

"Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari, Kitab al_Jihad Secara Taklil (Daripada Ibn Umar katanya: Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”),” jelas Dr Juanda.

Qasidah mohon bantuan Rasulullah syirik

Jawatankuasa Fatwa Perlis turut melarang penduduk Islam di negeri ini, samada dalam bentuk qasidah, nasyid atau doa yang menyebut perkataan 'al-madad ya Rasulullah' yang membawa maksud 'mohon bantuan wahai Rasulullah' kerana ia adalah perbuatan syirik.

Dr Juanda berkata berdasarkan kajian penyelidik jabatan mufti berkenaan mendapati tidak ada ruang langsung untuk memahami ungkapan 'al madad ya Rasulullah' itu membawa kepada maksud lain kecuali meminta pertolongan daripada Nabi Muhammad.

Katanya ia adalah sejenis al- istighathah (doa) yang tidak dibenarkan dalam agama Islam.

Malah nas-nas dalam al-Quran dan hadis jelas melarang meminta tolong kepada orang yang mati termasuk Rasulullah yang telah wafat 1,400 tahun yang lalu.

“Untuk perkara ini jabatan mempunyai penjelasan dalam bentuk risalah hampir 50 muka surat.

"Antaranya menggariskan sebarang bentuk qasidah termasuk yang melaungkan ungkapan-ungkapan membawa syirik tidak boleh dilaksanakan di Perlis.

“Ini kerana kami mengesan ada pihak-pihak tertentu yang cuba membawa masuk qasidah dan doa sedemikian yang harus dielakkan,” katanya.

Dr Juanda juga meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  melakukan penyelidikan tentang ungkapan sedemikian di dalam qasidah agar umat Islam terutama orang awam tidak tertipu oleh ungkapan yang boleh menyebabkan mereka secara tidak sedar jatuh melakukan perbuatan syirik dalam doa.

Pihaknya telah lebih setahun membincangkan mengenai ungkapan yang banyak disebut dalam qasidah atau syair dan jelas ia tidak menunjukkan maksud lain selain meminta pertolongan Rasulullah.

Ketika ditanya mengenai majlis qasidah yang dibawa oleh golongan tertentu yang semakin mendapat perhatian ramai, Juanda berkata sekiranya dalam qasidah tersebut mempunyai ungkapan sedemikian ia tetap syirik.

“Kita bukan menghukum majlis seperti itu, saya sendiri tidak pernah berada dalam majlis qasidah berkenaan.

"Bagaimanapun,  kita bimbang jika ia ada diselit dengan ungkapan tersebut secara tidak langsung  akan membawa kepada unsur Syiah seperti meminta pertolongan kepada cucu Rasulullah Hasan, dan Husein serta anakanda baginda Fatimah,” katanya.