November 23rd, 2014

Ubah persepsi kemuliaan boleh dibeli

Kita masih berada dalam penghujung bulan Muharam. Muharam bermaksud bulan yang ada penghormatan, bulan yang ada pengharaman di dalamnya.

Minggu ini tetamu segmen Usrati ialah Ustaz Syed Kadir Al-Joofre yang mengupas tajuk ini dengan panjang lebar. Program Usrati bersiaran setiap Khamis jam 5.15 petang.

Ada empat bulan mengikut kalendar Islam
yang dikategorikan sebagai bulan haram
iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.




Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Mari kita renungi apa yang dinukilkan oleh Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud, "bulan-bulan yang dihormati: sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam empat bulan itu, dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa".

Muharam jika diikutkan memang tiada apa yang istimewa seperti Zulhijah di mana ia adalah bulan umat Islam menunaikan haji. Kenapa ia dinamakan bulan haram? Ada empat bulan mengikut kalendar Islam yang dikategorikan sebagai bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Haram pembunuhan

Al-Qadhi Abu Ya'la menyebut bahawa dinamakan "bulan haram" kerana dua makna, pertama kerana pada bulan tersebut diharamkan pembunuhan. Orang Jahiliyah pun meyakini akan perkara ini dan mereka akan mengelak berbunuhan pada bulan ini.

Kedua, kerana pada bulan haram ini ia membawa maksud bulan suci kerana pada bulan ini bulan untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT sehingga para salafus soleh diriwayatkan sangat suka untuk melakukan ibadah puasa pada bulan haram. Sufyan Ats-Thauri seorang Tabi'e pernah menyebut, "pada bulan-bulan haram, aku sangat gemar berpuasa".

Saidina Abdullah ibnu 'Abbas RA pula pernah mengatakan, "Allah mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram, dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar, dan amalan soleh yang dilakukan akan mendapatkan pahala yang lebih banyak".

Di sini kita boleh fahami bahawa walaupun bulan tersebut mungkin tiada apa-apa yang istimewa (seperti Ramadan (puasa) dan Zulhijah (haji) Allah memuliakan Muharam, maka manusia juga memuliakannya.

Apabila Allah memuliakan sesuatu bulan, maka bulan itu menjadi mulia; apabila Allah memuliakan seseorang, maka orang itu menjadi mulia.

Mulianya ibu bapa, guru dan ulama adalah kerana Allah SWT memuliakannya, maka kita perlu memuliakannya walaupun mungkin ada antara mereka yang kurang beradab, sombong dan sebagainya. Jadi Allah telah menetapkan siapa yang harus kita muliakan.

Susah untuk hormat orang

Namun, hari ini sukar untuk kita memuliakan orang lain. Kita hanya mudah untuk memuliakan orang apabila orang itu berbuat baik terhadap kita. Kalau seseorang itu tidak berbuat baik, maka memang kita akan merasakan susah untuk merasa hormat dan memuliakannya.

Amat malang hari ini apabila kemuliaan dan penghormatan seakan sudah boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika kita kaya dan berpangkat, maka orang akan mudah dan selalu merasa hormat dan melayan kita dengan mulia sekali.

Kita akan dilayan bagai seorang 'raja' jika kaya dan berpangkat. Dunia hari ini seakan tiada penghormatan yang boleh kita dapat secara percuma, tanpa ada kemuliaan dunia. Persepsi ini sepatutnya diubah kerana kemuliaan hakiki sebenarnya terletak di sisi Allah SWT, bukan bersifat duniawi atau manusiawi.

Kemuliaan dari segi logik

Kemuliaan yang dilihat hari ini lebih meletakkan pada penilaian manusiawi dan berdasarkan logika semata. Dalam Islam tidak semua hal menggunakan logika akal, ada ketikanya perkara tertentu sukar diterima akal lantaran itu Saidina Ali pernah mengungkapkan "Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf itu lebih utama daripada menyapu di atas khuf, tetapi Baginda SAW menyapu di atas khuf".

Begitu juga misalnya kemuliaan al-Quran bukan kerana al-Quran itu kerana dari segi akalnya al-Quran itu hanyalah lembaran kertas saja. Tetapi kemuliaan kerana ada ayat Allah didalamnya.

Maka Al-Quran itu, perlu dimuliakan walaupun ia hanya umpama sebuah `buku' bukannya orang. Tetapi kerana Allah menyuruh untuk memuliakan al-Quran, maka kita perlu memuliakannya.

Sebagai kesimpulannya, kita perlu memahami bahawa sesuatu kemuliaan hakiki itu bukan terletak pada penilaian manusia tetapi penilaian di sisi Allah SWT.

Apabila Allah SWT memuliakan bulan, orang atau sesuatu maka menjadi kewajipan kepada kita semua untuk turut memuliakannya. Ada ketikanya kita mungkin tidak memahami kenapa Allah memuliakan sesuatu atau seseorang, namun menjadi kewajipan kepada kita untuk turut memuliakannya.

Membaca tingkat darjat ilmu

Seronok tengok modal insan kita bergelar graduan. Tidak kira bertaraf Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah (PhD) mahu pun Ijazah Kehormat PhD. Sekarang ini musim konvo di sana sini. Mereka yang bergelar graduan sudah membuktikan kesungguhan mereka untuk belajar di menara gading, apatah lagi di usia yang senja. Ilmu tidak mengenal usia, kata pujangga cendekiawan.

Kalau yang bergelar Ijazah Kehormat PhD pula, kelompok ini pula memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan industri negara.

Nama besar seperti Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menerima Ijazah Kehormat PhD Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat, manakala Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin pula menerima Ijazah Kehormat PhD Dakwah dan Pengurusan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-12, baru-baru ini.



Penulis ialah Penganalisis Sosio Media-Politik dan Penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Di samping itu, bekas Menteri Kerja Raya yang dulunya Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan komposer, pelakon filem, penyanyi dan artis prolifik, Datuk M Nasir, masing-masing terima Ijazah Kehormat PhD dalam bidang Pengurusan Pembangunan dan Pengurusan Industri Kreatif pada Konvokesyen Ke-27 Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, dua minggu lalu.

Pengiktirafan ilmu

Malahan penganugerahan ilmu peringkat tertinggi juga memberi pengiktirafan kepada seorang ketua negara seperti Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam bidang Undang-Undang sempena Konvokesyen ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam konvokesyen yang sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dianugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dan tokoh kepemimpinan pendidikan, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad dengan Ijazah Kehormat PhD Pendidikan.

Semua pengiktirafan dan anugerah yang diterima itu kerana ilmu dan makrifat yang disebarluaskan. Terhasilnya ilmu itu kerana pembacaan yang meluas. Semuanya bermula dengan pantas, dengan mengambil iktibar atas peristiwa wahyu pertama diturunkan di Gua Hira'. Kerana kuasa Iqra dalam surah al-Alaq bagi ayat 1 hingga 5, umat Islam terkesan dengan menguasai dunia, menikmati akhirat.

Penulis tertarik dengan kuasa Iqra itu yang mana baru-baru ini, penulis tidak terkecuali untuk hadir dalam satu sidang konvokesyen di sebuah universiti terletak di utara tanah air.

Bacaan wahyu pertama

Sebelum bermula barisan panjang mengikut fakulti masing-masing untuk menerima skrol di depan Pro-Canselor, Tun Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim, pada ketika itu hadirin, termasuk graduan turut didengari dengan bacaan surah Al-Alaq sebagai pembuka majlis yang penuh beradab dan beristiadat seperti berikut - "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, Yang mengajar manusia dengan pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui...".

Ini adalah wahyu pertama yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Di dalam wahyu pertama itu, terkandung soal membaca, pena dan tulisan. Tidak akan wujud kepesatan perkembangan universiti dan kelahiran graduan atas dasar apa yang terkandung dalam wahyu yang pertama itu.

Bacaan yang diperintah Malaikat Jibril supaya Rasulullah membacanya bukan sebarang bacaan, tetapi bacalah dengan menyebut nama Allah SWT. Wahyu sulung yang menyuruh agar Nabi membacanya menunjukkan pembinaan manusia yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah berasaskan ilmu pengetahuan melalui jalan pembacaan.

Hasilnya, berjuta jilid kitab-kitab Islam dalam pelbagai bidang ilmu yang merujuk maklumatnya kepada al-Quran adalah satu mukjizat yang sangat menakjubkan. Sekali gus apa yang kita pelajari asasnya adalah tulisan dan bacaan.

Kesan pembacaan yang dihasilkan pula menerusi pena dan tulisan, lebih berpengaruh dari suara yang didengar kerana bacaan mewujudkankan satu interaksi atau komunikasi antara pembaca dan bahan yang dibaca, lain halnya dengan suara yang hanya didengar, tidak semestinya wujud secara fizikal bahan yang didengar. Oleh itu, bacalah bukan sekadar hanya didengar atau disimpan semata-mata tanpa dibaca.

Cendekiawan jadi rujukan

Dalam tafsiran al-Quran berkait surah al-Alaq ini, pembacaan yang disuruh dengan menyebut nama Allah dengan sendiri menentukan matlamat dan hala tuju pembacaan. Apabila ilmu dikuasai melalui pembacaan, maka sesiapa yang tidak membaca seolah-olah pintu ilmunya tertutup. Sebab itu, dalam kalangan ilmuwan ramai menyarankan masyarakat menjadikan kelompok cendekiawan sebagai tempat merujuk.

Melalui pena seperti mana yang disebut, ilmu dan makrifat boleh disebarluaskan, dengannya pintu ilmu dan pengetahuan boleh dibuka. Inilah pena yang meninggalkan hasilnya dan mencelikkan mata generasi demi generasi. Inilah pena yang mengajar manusia apa yang tidak diketahui lalu dipelajari, dikaji dan diteliti oleh generasi umat yang datang silih berganti.

Lihat pula antara tokoh dan sarjana Islam yang boleh diteladani hasil kuasa Iqra ini, Imam Bukhari seorang pakar hadis dengan mengumpul lebih 600,000 hadis. Beliau menekuni, meneliti, menapis hadis yang benar-benar sahih selama 16 tahun sehingga terhasilnya kitab Sahih Bukhari mengandungi 7,124 hadis. Semuanya kerana bacaan, mata pena dan tulisan demi umat Islam sejagat.

Tidak terkecuali Imam As-Suyuti, seorang tokoh ulama Mesir yang hidup sekitar 849 H hingga 911 H. Beliau digelarkan Amirul Mukminin kerana ketinggian darjat keilmuannya dan pernah berkata: "Sesungguhnya aku seorang yang diberikan sifat cintakan ilmu dan kajian, sama ada kecil atau besar". Semuanya itu atas sifat beliau yang kuat membaca dan bertalaqi (menadah kitab).

Penulis sanjung tinggi setiap universiti tempatan menerusi Senat Universiti yang mempunyai ketelitian tinggi dalam menganugerahkan setiap sarjana, yang sebenarnya tidak menolak betapa besarnya peranan pena dan tulisan kerana sumbangan itu akhirnya memperlihatkan kepada perkembangan ilmu, lebih-lebih lagi di Malaysia ini bakal menjadi pusat hab keilmuan global apabila mencapai status negara maju.