November 27th, 2014

Azab perkahwinan

RABU lalu saya menjadi ahli panel forum di Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Malaysia di Melaka. Forum tersebut bertajuk, Perkahwinan: Antara Nikmat dan Azab. Bagi saya ia suatu tajuk yang sangat menarik kerana apabila menyebut mengenai perkahwinan, orang jarang bercakap mengenai keburukannya. Yang selalu dibicarakan adalah aspek keindahan dan kemanisan alam rumah tangga.

Tidak ada seorang pun berkahwin untuk bercerai atau untuk menderita

Hakikatnya, forum itu membangkit persoalan yang sangat menarik tetapi jarang dibincangkan. Perkahwinan adalah sunnah Nabi SAW yang menyatukan individu lelaki dan individu perempuan melalui akad nikah.

Setiap orang yang berkahwin sudah tentu mengimpikan kebahagiaan yang berkekalan hingga akhir hayat. Tidak ada seorang pun berkahwin untuk bercerai atau untuk menderita. Nikmat perkahwinan adalah hidup berkasih sayang.

Ramai yang merasakan nikmat perkahwinan hanya terletak kepada hubungan seksual. Nikmat perkahwinan ialah keupayaan dua insan melayari kehidupan rumah tangga dengan kepelbagaian perbezaan, memahami hak dan kehendak di antara satu sama lain dan melalui suka duka bersama.

Nikmat sebuah rumah tangga ialah melalui proses mengandung dan merasa sakit melahirkannya, melihat ia mula melangkah, langkah pertamanya dan mendengar anak pertama menyebut “mak” atau “papa” atau apa saja yang dia boleh sebut.

Nikmat perkahwinan adalah menyelami hati budi pasangan masing-masing, mendengar keluh-kesahnya apabila ditimpa masalah dan berkongsi kegembiraan. Nikmat perkahwinan adalah apabila menghantar anak ke sekolah di hari pertamanya dan kemudian melihatnya berjaya dari satu tahap ke satu tahap hingga ke universiti. Jika tidak sampai ke universiti, hari gembira ibu bapa ialah melihat anaknya diakadnikahkan.

Setiap orang yang berkahwin tidak terfikir bahawa perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu boleh menjadi neraka dunia. Namun ada perkahwinan yang menjadi azab kepada suami atau isteri. Persoalannya, bagaimanakah sebuah rumah tangga yang dibina dengan rasa cinta boleh menjadi seperti neraka?

Suami pendera

Sebuah perkahwinan boleh menjadi azab kepada isteri jika suaminya seorang pendera. Penderaan isteri bukan fenomena baharu tetapi jarang hendak dibincangkan kerana suatu masa dahulu, ia dianggap sebagai asam garam kehidupan berumah tangga.

Sebelum Akta Keganasan Rumahtangga diluluskan pada 1994, isteri yang didera, hidupnya menderita dan merasa amat malu menceritakan kisah hidupnya kepada orang lain. Baginya penderitaan itu adalah takdir yang tidak dapat ditolak.

Ada yang hidup sebagai suami isteri berpuluh tahun hingga bercerai mati. Ada isteri yang menderita akibat dipukul, diterajang, ditumbuk dan pelbagai penderaan fizikal lain, sehingga ada yang meninggal dunia. Malah ada juga yang menjadi gila kerana tekanan emosi. Ada yang diugut dan hidup dalam ketakutan. Ugutan yang paling kerap diterima ialah diugut untuk dicederakan atau mencederakan anak-anak atau akan disimbah asid atau dibakar dan sebagainya.

Ada kes isteri yang didera akan mendera anak-anak kerana terlalu amat tertekan. Inilah azab perkahwinan. Hanya yang telah melaluinya akan tahu betapa menderitanya hidup mereka dan ia menjadikan mangsa sentiasa berada dalam ketakutan.

Tiada siapa akan menyangka orang yang paling dicintainya sanggup melakukan kezaliman. Ia seperti suatu mimpi ngeri yang ingin dilupakan. Ramai isteri yang terus menderita dan dia tidak berhenti berdoa kepada-Nya supaya ditamatkan penderitaannya. Penderitaan itu akan tamat dengan kematiannya.

Ada isteri terlalu takut untuk membuat aduan atau laporan polis kerana bimbang menjadi isteri derhaka, malu dan tidak mahu suami dikenakan tindakan undang-undang. Tidak kurang juga ramai yang jahil hukum sehingga sanggup menanggung penderitaan dan membawa ke ajalnya.

Ada juga wanita yang menderita dalam sebuah rumah tangga kerana ditinggalkan oleh suami tanpa khabar berita. Suami yang meninggalkan isterinya begitu sahaja adalah lelaki yang tidak bertanggungjawab dan sangat lemah imannya.

Ada isteri ditinggalkan semasa sedang sarat mengandung, ada yang setelah mempunyai tiga atau lima anak. Ada juga ditinggalkan dalam keadaan yang belum disentuh dan ada yang ditinggalkan suami tanpa sebab atau alasan. Kebanyakan isteri seperti ini, tidak sempat berfikir untuk mempersoalkan kenapa ia ditinggalkan kerana terlalu malu dan merasa rendah diri.

Dirahsiakan

Pada kebiasaannya, kehilangan suami dirahsiakan daripada pengetahuan jiran tetangga dan keluarga. Ada yang terpaksa mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup diri dan anak-anak.

Ramai juga yang kembali semula ke rumah keluarga untuk menjimatkan kos kehidupan. Ada juga yang merasa amat malu sehingga jatuh sakit. Bagi wanita mangsa ditinggalkan langsung itu, penderitaan mental dan fizikal sangat mencabar. Mereka diumpat oleh keluarga dan jiran tetangga.

Neraka dunia ini adalah azab perkahwinan. Ada pelbagai contoh azabnya selepas berkahwin. Ini semua diketengahkan kerana kita jarang bercakap mengenai kebahagiaan sebenar dan nikmat perkahwinan. Dalam penganugerahan Keluarga Mithali semua ini diambil kira. Keluarga Mithali adalah keluarga contoh untuk menunjukkan nikmat perkahwinan. Mereka melalui suka duka kehidupan bertahun-tahun tetapi tetap bahagia.

Kebahagiaan ini adalah sesuatu yang subjektif. Bahagia orang yang miskin ialah mendapat kemewahan dan bahagia orang mewah ialah mendapat kasih sayang yang tiada penghujung. Keluarga Mithali berjaya membawa sesebuah keluarga dari satu kehidupan yang susah kepada kehidupan yang lebih baik.

Sebenarnya dalam sebuah keluarga yang telah hidup bersama selama 40 ke 50 tahun, nikmat dan azab perkahwinan telah mereka lalui kerana hidup ini adalah ujian daripada Allah SWT kepada umat-Nya. Bagi yang sabar, perkahwinan akan kekal ke anak cucu, Bagi yang tidak, ia akan terkandas di tengah jalan.

AZAB perkahwinan dalam bentuk penderaan telah banyak dibincangkan. Selain itu, perkahwinan boleh menjadi azab apabila perkahwinan itu diakadnikahkan di luar negara tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Yang menderita dalam kes perkahwinan di luar negara ini ialah isteri. Ini kerana, isteri memerlukan surat nikah Malaysia untuk memastikan dia telah bernikah secara sah mengikut hukum syarak.

Perkahwinan di luar negara yang tidak mengikut prosedur boleh mengundang malang, yang mana pernikahan tersebut boleh diisytiharkan sebagai tidak sah kerana ia dilangsungkan oleh sindiket. Lebih menakutkan apabila wanita itu telah hamil dan pernikahan masih belum didaftarkan.

Jika semasa berkahwin, wanita itu tidak memberitahu ibu bapa atau saudara maranya, maka ketiadaan surat nikah serta hamil adalah cabaran paling berat bagi seorang wanita.

Kerisauan ditangkap kerana berzina (kerana tiada bukti perkahwinan) serta disisih oleh keluarga tidak berhenti-henti menghantuinya. Bayangkan dalam keadaan mengandung dan kerisauan, tentulah anak dalam kandungannya juga terjejas emosinya kerana ibunya hidup dalam kerunsingan. Bagi pasangan seperti ini nikmat perkahwinan hanya seketika namun azabnya lebih lama dan berbahaya kepada kesihatan.

Diseksa nenek sendiri

SUSAH hendak mempercayai dalam peradaban manusia yang semakin maju seperti sekarang, masih berlaku kisah membabitkan kebencian yang amat mendalam sehingga sanggup menyeksa darah daging sendiri.

Ingatkan kisah seperti ini hanya berlaku dalam filem 50-an dahulu, mengenai penyeksaan ibu tiri terhadap anak tiri, mentua terhadap menantu, kekejaman yang tidak tercapai dek akal memikirkannya./p>



Hidup terseksa tinggal bersama keluarga nenek. – Gambar hiasan

Perbualan santai bersama seorang peragawati yang ditemubual bagi satu ruangan di MEGA baru-baru ini, berubah kepada perbualan yang diiringi dengan juraian air mata.

Begitu terkesan di jiwanya mengingatkan peristiwa silam yang menghiris jiwa. Jika tidak, masakan dia mampu mengalirkan air mata sehingga bagaikan tidak dapat disekat lagi.

Cerita Ariza (bukan nama sebenar), dia merupakan anak keempat daripada lima beradik. Berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air, bapanya merupakan pesara kerajaan sementara ibunya adalah suri rumah.

Mengikut cerita ibunya, mereka berkahwin kerana nenek sebelah ibu begitu berkenan dengan bapa untuk dijadikan menantu. Akhirnya kedua-duanya telah diijabkabulkan.

Ibunya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada masa itu iaitu sekitar tahun 80-an, dengan kelulusan tersebut mudah mencari pekerjaan. Bagaimanapun, desakan nenek yang mahu ibu berkahwin tidak mampu untuk dibantah.

Kata Ariza, setelah berkahwin, baru ibunya tahu bahawa bapanya adalah seorang kaki perempuan dan asyik bertukar teman wanita seperti lelaki bujang. Lebih teruk pantang ditanya ibunya akan teruk dipukul.

“Kami adik beradik sudah biasa melihat ibu dipukul. Ibu merupakan seorang yang penyabar. Mungkin dia terpaksa bersabar kerana memikirkan dia sendiri tidak bekerja dan anak-anak sudah ramai.

“Walaupun sudah mempunyai lima orang ana, perangai bapa tidak pernah berubah. Malah ada perempuan yang sanggup datang ke rumah mencari bapa dan ada juga yang menelefon ibu memberitahu mengenai hubungannya dengan bapa saya.

“Ibu saya makan hati. Dia sedih namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana jika buka mulut sahaja dia akan dipukul tidak kira walau di depan anak. Sudahlah begitu, ibu langsung tidak dibenarkan balik ke kampung untuk berjumpa nenek walaupun nenek sedang sakit.

“Satu hari kerana tidak tahan lagi teringatkan nenek yang sakit tenat, ibu pulang ke kampung bersama kami semua. Mengetahui perkara ini, bapa terus menyusul ibu dan memarahi ibu di depan saudara-mara dan jiran tetangga di rumah nenek. Di situ juga bapa menceraikan ibu.

“Seminggu selepas itu, nenek meninggal dunia. Ibu bertambah sedih kerana kehilangan orang yang paling disayangi dan tempat mengadu,” kata Ariza sambil menyapu air mata yang deras mengalir pada pipi.

Sambungnya, bagaimanapun dua bulan selepas itu, bapanya datang menjemput ibunya dan ingin rujuk. Ibunya menerima setelah dipujuk oleh saudara-mara.

Ingatkan selepas itu perangai bapa akan berubah, sebaliknya dia tetap dengan perangai lama. Bapanya langsung tidak memikirkan dosa akan perbuatannya atau berasa kasihan terhadap isteri dan anak-anak.

Ujar Ariza lagi, bapa jarang pulang ke rumah dan ibulah yang membesarkan anak-anak sendirian dengan perbelanjaan yang sedikit untuk membeli makanan atau belanja sekolah anak-anak.

“Tiba-tiba ibu jatuh sakit. Sakit yang teruk sekali. Hatinya membengkak dan orang peranakan seperti dihiris buluh tajam. Ibu pergi ke hospital dan doktor mengatakan ibunya dihinggapi penyakit kelamin.

“Kasihan ibu. Kerana perbuatan bapa yang kaki perempuan menyebabkan ibu yang menanggung azab.

“Ibu mendapatkan rawatan dan terpaksa tinggal beberapa bulan di hospital. Oleh kerana tiada siapa yang boleh menjaga kami, maka kami adik beradik telah dihantar tinggal dengan nenek sebelah bapa.

“Di sinilah bermula kisah kami adik-beradik diseksa oleh nenek dan makcik serta pakcik kami (adik beradik bapa).

“Kakak sulung saya ketika berumur sembilan tahun dan abang lapan tahun. Saya pula baharu berumur enam tahun dan adik bongsu dua tahun. Setiap hari kakak dipaksa masak nasi, sementara saya, abang dan adik turut dipaksa membuat kerja rumah yang lain seperti menyapu sampah di laman, membasuh dan melipat baju.

“Belanja sekolah hanya diberi 20 sen sahaja. Jika telah diberi belanja sekolah kami tidak dibenarkan makan nasi di rumah. Abang menyuruh kami tidak mengambil belanja sekolah supaya kami dapat makan nasi di rumah kerana duit tersebut tidak cukup pun untuk membeli sebungkus nasi lemak.

“Mengenai kakak, dia pernah diseksa nenek kerana nasi yang dimasak hangus. Dia yang baru berusia sembilan tahun sudah dikerah masak nasi hampir setiap hari sedangkan makcik saya yang berumur 17 tahun langsung tidak jejak dapur. Malah makcik boleh pergi berjumpa kawan-kawannya dan pergi berjalan-jalan.

“Dijadikan cerita, selepas menjerang nasi, kakak terleka kerana melihat kanak-kanak lain sedang bermain di halaman rumah. Nasi yang dimasak hangus dan di depan mata saya nenek naik angin dan menyentap rambut kakak lalu mengheretnya ke dapur. Nenek memaki hamun kakak dan menyumbat mulut kakak dengan kain buruk. Nenek juga memukul dan menampar kakak. Menjerit-jerit kakak menangis kesakitan.

“Adik bongsu juga pernah diseksa teruk. Masa itu adik mengejutkan kakak daripada tidur kerana hendak terkencing. Nenek memang sudah pesan supaya jangan membuka lampu kerana nanti dia tidak boleh tidur, tetapi semasa sedang berjalan dalam gelap adik terjatuh dan menangis. Nenek terus bangun dan mengamuk. Dia mengambil lesung yang digunakan untuk menumbuk kopi dan menyumbatkannya ke dalam mulut adik,” cerita Ariza.

Katanya lagi, akibat semua peristiwa pahit dan menyedihkan itu, ibunya kini mengalami masalah kemurungan yang teruk.

Sebenarnya masalah kemurungan itu telah dialami sejak mereka masih sekolah lagi tetapi dapat dikawal. Nenek yang membenci ibu sanggup menelefon hospital sakit mental menyuruh ibu dimasukkan ke hospital.

Ujarnya, kini setelah adik beradik dewasa dan berjaya dalam akademik, mereka membawa ibu ke pejabat kadi dan memohon fasakh.

Jika selama ini permohonan untuk bercerai tidak dibenarkan, namun setelah mendengar cerita daripada mereka adik-beradik, permohonan tersebut diluluskan malah ustazah di situ turut menangis.

“Bapa kami kini tinggal bersama nenek. Dia tidak berkahwin lain walaupun dahulu kaki perempuan. Bapa langsung tidak menjenguk kami. Nenek yang kini berusia 97 tahun dan masih sihat, tidak pernah menunjukkan rasa menyesal menyeksa cucu-cucunya,” katanya geram.

Ariza kini merupakan seorang akauntan berjaya dan berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang kaya. Kakaknya pula bekerja sebagai doktor, abangnya pegawai tentera dan adik bongsunya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan.

Ibunya yang kini kemurungan dijaga dengan baik oleh mereka adik beradik. Puas dibawa berubat dengan ustaz mahupun doktor psikologi, namun masalah kemurungannya sukar hendak disembuhkan .

Semoga Allah memberikan rahmat kepada ibu Ariza dan sembuh suatu hari nanti agar bersama-sama menikmati hari-hari tuanya bersama anak-anak yang sangat disayanginya.

Konsep ibadah tunjang agama

Keindahan pada diri, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya terletak pada keindahan Islam. Saranan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah, Rabu lalu, pentingnya menegakkan keindahan Islam dan menghindar salah tanggap mengenai kemurnian agama Allah SWT ini.



Ustaz Pahrol Mohd Juoi menyarankan pentingnya menegakkan keindahan Islam
dan menghindar salah tanggap mengenai kemurnian agama Allah SWT dalam Islam Itu Indah.

Realiti semasa, Islam banyak disalah tafsir dan disalah faham bukan sekadar daripada orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri. Sebab itu Islamophobia bukan hanya berlaku pada orang bukan Islam, malah turut membabitkan umat Islam yang tidak memahami Islam.

Akibatnya, ketidakfahaman itu memberi kesan kepada perlakuan seterusnya memberi impak kepada keadaan hidup umat Islam hari ini. Apabila berlaku salah faham, maka akan terjadi salah amal kerana kedua-duanya saling berkait antara ilmu dan amal.

Ilmu itu adalah imam, manakala amal itu adalah makmumnya. Jika pemimpin tersalah, maka besar kebarangkalian pengikut di belakang juga turut tersasar. Sebab itu jika berlaku salah faham, ini akan melahirkan salah amal dan salah perjuangan.

Sesungguhnya misi Islam sebagai rahmat dan penyelamat bukan sahaja kepada umat Islam, tapi yang belum beragama Islam.

Jelas di nyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tiadalah kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Justeru, apabila Islam itu lemah, tidak kelihatan gagah dan hebatnya, maka yang rugi bukan sekadar umat Islam tetapi dunia seluruhnya akan kerugian, gelap serta malap.

Manusia cenderung mempercayai mata berbanding telinga

Hari ini, kegagahan dan keindahan Islam sudah tidak terserlah lagi dalam bentuk amalinya dan yang tinggal hanya teori, ilmu serta ilmiah semata, sedangkan manusia cenderung mempercayai mata berbanding telinga. Jika kita hanya mendengar mengenai keindahan Islam tetapi tidak dapat dizahirkan untuk tatapan dalam bentuk amalan, sikap serta tindakan, maka orang tidak akan mempercayai wujud indah dalam Islam.

Terlalu banyak perkara yang disalah tanggap dan disalahertikan mengenai Islam. Contohnya, konsep kesederhanaan, jihad, toleransi, keadilan dan sebagainya. Setelah diperhalusi, pokok utama kepada permasalahan ini adalah berkaitan konsep ibadah yang sepatutnya diperlihatkan sebagai tunjang agama.

Ibadah adalah teras dan asas yang menjadi tanggungjawab kita sepanjang hayat untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tugas sepenuh masa, bukannya kerja sambilan, malah menuntut kita untuk kerja lebih masa demi membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan.

Apabila kita bertindak selaras dengan tujuan hidup, barulah kita mampu memperoleh kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan hidup.

Ibadah terbahagi kepada tiga iaitu ibadah asas, sunat dan umum. Ibadah asas berkaitan terus dengan keyakinan dan kepercayaan iaitu rukun iman serta amalan yang dilakukan iaitu rukun Islam.

Manakala ibadah sunat adalah amalan untuk melengkapkan kekurangan dalam ibadah asas dan mengakrabkan diri serta mendapatkan kasih sayang Allah SWT. Ia juga sebagai jalan untuk mendapatkan bantuan daripada Allah SWT.

Persepsi ibadah sunat hanya untuk yang sudah lanjut usia diharap dapat dimansuhkan sama sekali dalam daftar minda kita. Sesungguhnya ibadah waktu tua kita hanyalah momentum atau pacuan yang berterusan sahaja daripada ibadah kita lakukan ketika usia muda.

Jika kita tidak melakukan ibadah sunat di usia muda, dikhuatiri ketika tua segala kudrat dan usaha sudah tiada. Maknanya, jika usia muda berat beribadah, apabila tua tentu tiada kudrat.

Ibadah umum membabitkan profesion dan keseluruhan aktiviti kehidupan. Metaforanya, umpama pohon ibadah yang akar tunjangnya adalah ibadah asas (Rukun Iman), manakala batangnya Rukun Islam, ranting serta dahan adalah fardhu kifayah (ibadah umum) yang luas ruang lingkupnya.

Daun-daunnya adalah ibadah sunat di mana letaknya proses fotosintesis untuk menjana makanan bagi pohon itu yang melambangkan ibadah sunat bukanlah amalan picisan kerana tanpa daun pokok itu akan mati atas sebab ketiadaan sumber makanannya.

Pohon yang lengkap dengan akar tunjang, batang, dahan besar dan kecil, ranting juga daun, pastinya mengundang harapan ia akan berbuah. Buah yang terbit daripada pohon ibadah terbahagi kepada dua iaitu akhlak dan budi pekerti.

Ada dalam kalangan umat Islam hanya menumpukan soal daun sahaja, dan ada pula hanya tertumpu pada dahan semata, fardu kifayah dipinggirkan. Oleh sebab itu, jika diteliti pohon ibadah yang sedang dibina umat Islam hari ini belum lagi menjadi pohon yang begitu subur, kukuh akarnya, merimbun daunnya dan jauh lagi untuk menghasilkan buahnya.

Belum bisa memayungi orang lain

Umat Islam masih belum bisa memayungi atau memberi teduhan dan rahmat kepada orang lain. Paling kurang pun untuk unggas-unggas sudi hinggap di dahan dan rantingnya. Buahnya dapat dinikmati oleh musafir yang lalu memberi manfaat kepada sesiapa sahaja.

Pohon ibadah yang buah akhlaknya memikat untuk disantap bagi merasa nikmat pemberian tuhan berupa iman. Dahannya yang kukuh mampu memberi tumpang dari segi ekonomi, kemajuan dan peradabannya. Ironinya, pohon Islam hari ini belum lagi sampai ke tahap pohon idaman itu.

Analogi Imam Hassan al-Banna, "Baling batu pada pohon yang begitu rendang dan lebat buahnya, dia tidak akan membalas dengan kayu atau suatu yang buruk tetapi balasannya adalah buah yang digugurkan."

Itulah yang diharapkan daripada umat Islam apabila sudah kukuh dan teguh ibadahnya, musuh serta kezaliman yang datang tidak menjejaskannya malah boleh memberi kebaikan walaupun mendapat kejahatan daripada orang lain.

Pada hari ini, jika pohon umat Islam dibaling, maka akan berguguran ranting malahan dahan yang sudah reput dan rapuh. Pohon itu tidak nampak indah dan cantiknya di mata umat Islam apatah lagi di mata dunia yang sememangnya tidak mengerti.

Sesungguhnya dengan akhlak kita membina budi pada tamadun kerohanian yang tinggi. Jika kita menegakkan pohon ibadah, kita tidak akan lagi dengar tohmahan kita mundur dan tidak berjaya kerana asyik dalam beribadah. Realitinya, kita tidak maju kerana kita tidak beribadah.

Jihad bukan semata-mata berperang, berbunuhan

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Isu jihad hari ini dilihat berkait rapat dengan pergolakan yang berlaku di Syria dan Iraq sehinggakan ada yang beranggapan jihad itu sinonim dengan peperangan dan pertumpahan darah.

Propaganda meluas yang tersebar di media sosial dilaporkan berjaya mempengaruhi ramai anak muda termasuk dari negara Barat untuk menyertai apa yang dipanggil sebagai Kumpulan Negara Islam (IS).

Bernama baru-baru ini menemubual Md. Asham Ahmad, Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) untuk merungkai isu Jihad ini.

Berikut adalah hasil temubual itu yang dibahagikan kepada dua bahagian.

BERNAMA : Jika diperhatikan perkembangan semasa, jihad sering dianggap sinonim dengan peperangan dan berbunuh-bunuhan.

Md Asham: Jihad adalah antara istilah yang banyak dikelirukan terutama sekali melalui media barat. Mereka ini sering menyamakan jihad dengan 'holy war' sedangkan dalam Islam, tidak ada konsep 'holy war'. Yang mempelopori konsep ini adalah mereka yang beragama Kristian apabila mereka melancarkan perang salib terhadap umat Islam.

Jadi mereka yang memberikan makna itu dan oleh kerana media mereka yang kuasai jadi makna itulah yang mereka gembar-gemburkan sampai umat Islam pun terpengaruh dan menerima makna itu sedangkan peperangan jihad dalam bentuk peperangan adalah hanya satu daripada makna jihad, bahkan dalam hadis ia disebut sebagai jihad yang kecil sahaja.

Jihad itu sendiri adalah satu konsep yang lebih besar tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, jihad peperangan itu dianggap besar dan ia pula langsung tidak mengambil kira batasan yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan jihad mereka menggunakan prinsip 'matlamat menghalalkan cara'. Mereka kata niat mereka betul, niat untuk menghapuskan kezaliman, niat untuk mendatangkan kebaikan kepada umat Islam dan niat untuk menghapuskan musuh-musuh Islam.

BERNAMA : Bagaimana pula jihad dan 'pengebom berani mati'?

Md Asham: Bukan 'pengebom berani mati', mereka adalah 'pengebom bunuh diri'. Perbuatan ini semakin berleluasa dengan matlamat menimbulkan ketakutan dan mendatangkan kemusnahan.

Mereka bukan setakat melakukan serangan ke atas pihak yang terlibat dalam peperangan. Di mana-mana sahaja mereka meletupkan diri, di pasar, di sekolah, di masjid dan di hospital, tidak ada batasan.

Sedangkan dalam jihad, Islam ada menganjurkan batasan-batasannya. Contoh, Saidina Abu Bakar sebelum menghantar tenteranya pergi berperang, beliau akan memanggil komander-komander perang untuk memberi pesanan.

Apa pesanan dia? Jangan bunuh wanita, orang tua, kanak-kanak malah jangan bunuh binatang. Mereka juga diingatkan jangan tebang atau musnahkan pokok. Jangan musnahkan gereja ataupun rumah ibadat orang Yahudi atau mana-mana rumah ibadat.

Mereka juga dilarang membunuh orang yang bersembunyi atau cari perlindungan dalam gereja. Tetapi sekarang, masjid pun mereka musnahkan.

Islam sangat-sangat melarang perbuatan membunuh diri, bahkan Nabi Muhammad S.A.W tidak menyembahyangkan jenazah orang yang bunuh diri.

Bagaimana kita boleh gunakan bunuh diri sebagai jalan untuk berjihad? Orang seperti ini sudah rosak pemikirannya. Dia sebenarnya bukan setakat membunuh diri kerana apabila dia meletupkan bom, dia juga membunuh orang lain dan mencacatkan orang lain serta memusnahkan harta benda.

Semua ini merupakan hasil daripada kecelaruan pemikiran yang didorong kebencian yang melampau-lampau serta sikap fanatik yang melampau-lampau dan kekecewaan yang melampau-lampau.

Banyak tempat di dunia hari ini khususnya dunia Islam berada dalam keadaan yang mendukacitakan yang mana ada campur tangan asing sejak sekian lama, campur tangan tentera, campur tangan politik, ekonomi dan pelbagai lagi sehingga menimbulkan kebencian, kemarahan dan rasa tidak adil.

Tapi itu bukan justifikasi kepada perbuatan ini dan kita tidak boleh terima prinsip 'matlamat menghalalkan cara'.

BERNAMA : Mungkin ada yang beranggapan jihad sedemikian jalan pintas ke syurga?

Md Asham: Jika dia fikir dia akan mati syahid dan dapat syurga, itu tanggapan yang meleset sama sekali. Jihad itu sendiri ada matlamatnya yang mulia. Akan tetapi jika ia tidak dilakukan dengan cara yang betul, ia tidak akan menjadikan jihad itu suatu kebajikan, bahkan dia menjadi satu maksiat pula. Tengok hadis Nabi. Dalam sebuah hadis ada disebut perihal seorang lelaki yang dilarang dari pergi berperang fi sabilillah kerana dia ada seorang ibu di bawah jagaannya. Sabda Rasulullah SAW, jihadnya adalah menjaga ibunya.

Nabi tak kata jihad itu hanya dengan berperang.

Tidak senya yang mati berperang itu mati 'fi sabilillah', itu hanya slogan sahaja. Ada orang menyangka oleh kerana dia berada bersama kumpulan yang mendakwa mereka berjihad fisabilillah, maka segala-galanya harus bagi dia, segala-galanya boleh, segala-galanya sah termasuklah membunuh diri dan membunuh orang sewenang-wenangnya. Semua itu dianggap sah kerana agama itu sudah dikecilkan, menjadi peperangan.

Perjuangan Kumpulan Negara Islam (IS) sebagai contoh, secara terang-terangan bukanlah membawa perjuangan Islam. Sebaliknya mereka ini sebenarnya adalah musuh Islam dan banyak pihak sudah memfatwakan mereka sebagai sesat. Mana-mana golongan pelampau, lagi sesat yang menimbulkan banyak kerosakan dan kemusnahan di muka bumi, maka menjadi kewajipan bagi kerajaan Islam untuk menentang dan menghapuskan mereka.

BERNAMA : Kalau jihad yang melibatkan peperangan itu jihad kecil, apa pula jihad yang lebih besar menurut Islam?

Md Asham: Rasululllah S.A.W meletakkan jihad melawan hawa nafsu itu sebagai jihad yang terbesar. Hawa nafsu, kata Nabi adalah musuh kamu yang paling jahat dan paling bahaya dan musuh yang kamu mesti sentiasa awasi.

Bila nafsu menguasai diri dan bukan diri yang menguasai nafsu, maka pada masa itu manusia hanya pada rupa sahaja; sedangkan hakikatnya dia adalah haiwan atau binatang yang bertopengkan manusia.

Dalam peperangan yang bersifat peperangan fizikal ini, tidak ada undang-undang, penguatkuasa juga tiada. Yang ada ialah siapa yang berkuasa pada masa itu adalah yang kuat.

Maka jika orang yang berperang itu tidak menguasai hawa nafsu, sebaliknya dikuasai hawa nafsu, maka kita akan lihat pelbagai bentuk kezaliman, yang tidak pernah terfikir bagi kita manusia yang waras sanggup melakukannya.

Kita boleh melihat contoh yang begitu banyak di Iraq dan sekarang di Syria. Di Syria, ratusan ribu sudah mati. Bagaimana pula dengan yang cedera, yang cacat, yang kehilangan anak, yang kehilangan bapa, isteri, kehilangan suami? Lihatlah pula kemusnahan yang berlaku terhadap bandar dan desa serta institusi kehidupan termasuk kemusnahan pusat pengajian Islam dan ekonomi.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh peperangan yang kononnya adalah alah untuk menghapuskan kezaliman Bashar al Assad, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kezaliman itu diganti dengan kezaliman yang lebih besar. Wujudnya kezaliman tidak bermakna sewenang-wenangnya sesiapa sahaja boleh mengisytiharkan jihad dalam erti kata berperang.

Kita lihat peperangan di Syria menghasilkan kezaliman yang jauh berganda-ganda lebih besar. Mereka seharusnya melihat dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Iraq dan di Libya yang sehingga sekarang masih belum aman.

Islam menghargai keamanan kerana dalam keadaan aman itu banyak perkara yang boleh dilakukan dan banyak kebaikan boleh dicapai.

Dengan sebab itu diharamkan dalam semua mazhab mengangkat senjata demi menjatuhkan sebuah kerajaan walau zalim sekalipun selagi mana kerajaan itu tidak, seperti disebut dalam hadis, terang-terangan kafir, meninggalkan agama, memaksa rakyatnya menyembah berhala dan menggunakan kekerasan menghalang agama diamalkan.

Kerajaan yang zalim dan kuku besi hendaklah ditegur dan dinasihatkan dengan sabar, bukan dengan mengangkat senjata atau bertumpah darah. Bahkan membunuh sesama muslim adalah kekufuran.

Merujuk kembali kepada hadis tentang jihad yang besar tadi sayugia kita ingat bahawa peperangan bersenjata hanyalah jihad yang kecil sedangkan jihad yang lebih besar adalah merujuk kepada kehidupan seharian kita, menguruskan diri, pekerjaan, keluarga, masyarakat, negara dan kehidupan kita keseluruhannya, itulah jihad yang lebih besar.

Sebab itu penting untuk kita fahami dengan baik persoalan ini agar yang kecil tidak kita besarkan sedangkan yang besar kita tidak nampak. - BERNAMA

Utusan Malaysia Rencana Agama 27 November 2014

Apabila kepercayaan dikhianati

SEMUANYA sudah terbongkar. Apa yang disorokkan selama ini bukan lagi menjadi rahsia. Berita pahit untuk ditelan, namun Ana reda jika itu ketentuan-Nya. Untuk apa lagi bersuamikan seorang kaki penipu yang selama ini berlindung di sebalik nama agama.

Ana tidak takut lagi dengan ugutan talak Aiman



Ana sama sekali tidak menyangka. Perwatakan alim suaminya yang berubah secara drastik, rupa-rupanya sekadar lakonan. Patutlah selama ini, ada sahaja alasannya bila ditanya kenapa dia pulang lewat ke rumah. Katanya ada perbincangan dengan kumpulan sekuliah.

Aiman, dahulu tidak begitu. Sekalipun tidak bekerja, namun Ana masih boleh menerima keadaan tersebut. Sudah ditakdirkan, Aiman terpaksa berhenti kerja gara-gara syarikatnya tidak mampu lagi meneruskan operasi. Setahun Aiman menganggur. Puas dia meminta kerja ke sana ke sini, namun hampa.

Ana lalu mencadangkan agar Aiman menyambung pengajiannya. Manalah tahu dengan sijil ijazah yang akan diperoleh itu ‘rezeki’nya lebih mudah. Aiman setuju. Segala kos perbelanjaan pengajiannya ditanggung Ana.

Sesi kuliah bermula, Aiman mula sibuk dengan tugasan-tugasan yang diberikan pensyarahnya. Justeru, tugas mengemas rumah dan menjaga anak diserahkan kembali kepada Ana.

Aiman pula sering memberi alasan dia sibuk dengan pengajiannya. Ana cuba memahaminya. Namun, Ana sedikit curiga kerana Aiman sering pulang lewat. Bila ditanya, Aiman mula baran.

Sejak itu perangai Aiman pelik. Dia suka menyendiri. Telefonnya pula sentiasa ada di tangan. Pernah sesekali Ana terdengar perbualan telefon Aiman. Suaranya cukup lembut dan banyak nasihat agama dituturkan.

Paling memeranjatkan Ana, Aiman sudah mula menggunakan kuasa ‘suaminya’ untuk mengugut Ana. Pantang silap sikit, Aiman mula mengancam Ana dengan talak.

Hakikatnya, bukan Ana tidak tahu perangai Aiman di belakangnya. Ana sendiri pernah terlihat Aiman bersama seorang wanita bertudung labuh, sedang makan berdua-duaan. Lagaknya macam sudah kenal lama. Mesranya, bukan main lagi. Bukan sekali, tapi adegan seumpama itu telah lebih dua tiga kali Ana nampak. Bila ditanya, Aiman menafikannya. Apabila dirisik-risik barulah Ana tahu, wanita itu adalah pelajar sekuliah Aiman.

Ana rasa dirinya ditipu hidup-hidup. Mungkin sudah tiba masanya untuk Ana memberanikan diri menerima ugutan talak daripada Aiman. Ana tidak mahu sepanjang hidupnya ditipu suami yang tidak tahu mengenang budi.

Tip kaunselor

ISU suami berselindung di sebalik perubahan tingkah laku zahirnya bukanlah satu cerita baharu. Sebagai isteri, berhati-hatilah dengan perubahan suami, khususnya apabila ia berlaku secara drastik, agar tidak menjadi mangsa penipuan. Tip kaunselor kali ini memandu pembaca untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi situasi sama.

1 Sebagai suami isteri,sikap percaya dan jujur merupakan elemen penting untuk mengekalkan perhubungan perkahwinan kerana tanpa sikap ini rumah tangga akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan dan boleh menimbulkan perselisihan yang berpanjangan dan membingungkan.

2 Apabila suami menunjukkan perubahan yang mengelirukan, seperti berubah tingkah laku, suka memberi alasan apabila diminta melakukan sesuatu atau mulai menyimpan barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg duit, beg kerja dan sebagainya, ia adalah petanda sesuatu sedang berlaku di luar pengetahuan isteri.

3 Tidak dinafikan, bukanlah semua suami yang berubah seperti yang disebutkan mempunyai agenda peribadinya untuk menutup perbuatan penipuannya terhadap isteri. Tetapi ada juga yang berubah, kerana keinginannya secara ikhlas untuk berubah. Cuma yang membezakannya, apakah perubahan itu konsisten atau untuk tempoh tertentu. Dan isteri seharusnya bijak untuk menilai.

4 Sekiranya isteri dapat mencium penipuan suami, isteri perlulah berterus terang dengan suami dengan mendapatkan penjelasan daripadanya. Dan sekiranya ada bukti, itu lebih utama supaya suami tidak menuduh, isteri hanya memasang jerangkap samar.

5 Jika suami berdolak-dalih tentang perkara tersebut, mohon untuk berhadapan dengan individu atau pihak yang terlibat. Sekiranya suami bercakap benar, isteri perlu belajar menerimanya tanpa ada rasa syak. Ini kerana apabila perasaan dan fikiran tersebut tidak diselesaikan ia akan meninggalkan keraguan yang berpanjangan.

6 Sebaliknya jika pengakuan suami menepati apa yang disangka selama ini, isteri perlu bersedia untuk melakukan tindakan yang sewajarnya seperti melibatkan suami dalam perbincangan secara serius dengan pihak yang diberi autoriti, membantu pasangan yang buntu.

Pandangan Kaunselor

KEHIDUPAN di zaman serba canggih ini menagih pasangan suami isteri untuk bijak mengatur segala keperluan rumah tangga. Baik daripada segi masa, komunikasi dan kewangan, ia memerlukan pasangan untuk saling memahami antara satu sama lain. Tambahan pula apabila masing-masing bekerja.

Suami dan isteri perlu belajar menyesuaikan diri dengan gaya kehidupan berumah tangga. Sekali gus bersedia daripada segi mental dan fizikal. Ini kerana rumah tangga adalah ruang untuk memenuhi keperluan peribadi dan ahli keluarga yang menjadi tanggungjawab setiap pasangan. Apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak. Tanggungjawab itu akan menjadi lebih besar.

Apa pun, isu suami isteri bekerja atau salah seorang tidak bekerja perlu ditangani dengan baik kerana jika kedua-dua bekerja mereka perlu memahami kesibukan dan tumpuan kepada dua perkara yang utama iaitu kerjaya dan keluarga.

Begitu juga jika seorang sahaja bekerja. Jika suami sahaja bekerja dan kurang kemampuan untuk menanggung keluarga, isteri yang tidak bekerja perlu mencari peluang untuk menambah pendapatan keluarga. Namun jika suami berkemampuan, maka isteri boleh memberikan tumpuan kepada melayan keluarga dengan sebaiknya.

Berbeza jika suami tidak bekerja, pasti isteri akan menanggung segala keperluan hatta duit rokok dan kredit telefon suami. Inilah tekanan yang isteri terpaksa hadapi demi kelangsungan perkahwinan mereka.

Isu utama yang berlaku dalam keadaan seumpama ini bukanlah bekerja atau tidak, tetapi bagaimana pasangan menguruskan kehidupan keluarga dengan nilai-nilai yang positif. Sebagai contoh suami yang tidak bekerja, dia perlu melakukan tugasan rumah sebagaimana seperti isteri yang tidak bekerja. Sebenarnya inilah peranan suami sekalipun mereka bekerja. Namun hari ini, ia seolah-olah sudah menjadi peranan isteri secara mutlak.

Ada juga pasangan yang tidak bekerja tetapi mengambil kesempatan kepercayaan yang diberikan dan mengkhianatinya dengan pelbagai gejala, seperti hubungan terlarang dengan orang ketiga, menggunakan pasangan untuk membuat pinjaman peribadi bank dan pelbagai perlakuan yang akhirnya membawa masalah. Perkara ini terjadi apabila suami terlupa tentang tanggungjawab dan peranannya dalam rumah tangga.

Seorang isteri boleh menerima keadaan suami yang tidak bekerja dengan syarat suami tidak mengabaikan keluarga dan bijaksana menghargai isteri dengan menggunakan ruang masa untuk membantu mengurangkan beban isteri dan keluarga. Suami dan isteri yang baik sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk saling memahami keperluan masing-masing. Begitu pun, fitrah kejadian makhluk di muka bumi ini, suami harus berusaha mencari nafkah untuk menanggung keluarga dan bukannya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu isteri. Hanya dalam keadaan tertentu, ada kala isteri terpaksa mengambil alih tanggungjawab tersebut tetapi hanya untuk sementara dan bukan selama-lamanya.

Kelangsungan ketrampilan wanita

PENGUASAAN golongan wanita dalam jawatan di sektor awam bukan lagi merupakan suatu ilusi. Ia sudah menjadi realiti, di mana jawatan utama di sektor awam dan sektor swasta digalas oleh golongan wanita. Bebanan yang dihadapi di pundak kaum wanita masa kini amatlah hebat. Manakala peranan yang dimainkan oleh golongan ini pula selalu disalahertikan.

Iktiraf, hargai sumbangan


Sumbangan yang telah diberikan oleh kaum wanita perlu diiktiraf dan dihargai oleh semua pihak. - Gambar hiasan

Mengimbau di zaman Nabi SAW, wanita di zaman Rasulullah SAW sangat cekal, menjadi pendorong kepada baginda dan para sahabat berjuang menegakkan syiar Islam. Perjuangan Rasulullah akan menjadi lebih sukar tanpa nama-nama besar wanita, seperti Siti Aminah, Khadijah, Aishah, Halimatussa’diah, Ummu Salamah, Ummu Aiman dan banyak lagi. Peranan yang dimainkan oleh mereka sangatlah besar dan memberi kesan yang mendalam kepada Nabi SAW.

Wanita masa kini perlu merujuk wanita zaman Rasulullah SAW untuk dijadikan ikon bagi membentuk peribadi Muslimah yang cemerlang kerana peranan wanita pada masa kini sangat mencabar dan cukup luas merangkumi pembangunan, pendidikan, politik, undang-undang, ekonomi dan lain-lain, selain perlu memelihara akhlak dan akidah agar tidak menyimpang daripada penetapan syarak.

Di Malaysia, wanita yang terlibat di dalam bidang politik sering menghadapi pelbagai persoalan seperti sejauh manakah Islam membenarkan kaum Muslimah bergerak cergas dalam arena politik?

Al-Ghazali mengatakan politik adalah kehidupan manusia. Ahli politik memerlukan diri mereka terlibat dengan masyarakat. Justeru, politik amat berkait rapat di antara individu dengan masyarakat. Oleh yang demikian, apabila wanita melibatkan diri dalam politik penyertaan mereka dalam bidang di luar rumah tangga turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Terdapat pandangan wanita diharamkan menceburi politik kerana pada zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, tidak ada seorang pun daripada kalangan wanita yang diajak untuk membincangkan masalah-masalah yang berhubung dengan urusan negara atau hukum syarak bersama dengan kaum lelaki.

Sementara itu, aliran yang kedua pula berpendapat wanita boleh berpolitik untuk pembangunan dan kemajuan negara dan umat keseluruhannya kerana Khalifah Umar ibnu Al Khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara daripada kaum Muslimah. Ini menunjukkan peranan wanita dalam pembangunan sesebuah negara adalah tidak boleh disisihkan dan diketepikan.

Dalam bidang pendidikan pula, golongan cendekiawan dan ahli falsafah barat beranggapan wanita insan lemah, kurang dan hina. Ramai daripada mereka berpendapat bahawa wanita dijadikan hanya untuk berkhidmat kepada kaum lelaki.

Pemikir Barat

Rosseau umpamanya mengatakan bahawa “wanita itu tidaklah dijadikan untuk ilmu pengetahuan, untuk hikmat, untuk berfikir, untuk mempunyai keahlian, untuk menjadi sarjana dan tidak pula untuk berpolitik atau untuk tugas negara, tetapi ia dijadikan hanya untuk menyusukan anak-anaknya dengan air susunya dan…”

Hanya menjelang abad ke-20, ahli pemikir barat telah mengubah cara pemikiran mereka dan mula memberi kebebasan kepada kaum wanitanya seperti kebebasan yang dinikmati oleh kaum lelaki. Wanita telah diberi kebebasan bersuara, mencari ilmu, bekerja mencari rezeki, memimpin dan sebagainya.

Bermula pada abad inilah, profesion wanita sebagai pendidik mula terserlah.

Islam telah menyebarkan dasarnya dengan jelas mengenai wanita di dalam segala aspek kehidupan terutamanya di dalam bidang pendidikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan.” Dasar ini telah ditegaskan sejak kemunculan Islam pada abad keenam Masihi dan ia masih terpakai dan terus menjadi tunjang kepada dasar pengajaran Islam hingga ke hari ini.

Islam bukan sahaja meletakkan wanita di tempat yang paling wajar sebagai manusia dan sebagai teman hidup bagi seorang lelaki, tetapi Islam menghargai sifat kehalusan dan ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak untuk memegang tugas sebagai seorang pendidik dibandingkan dengan kaum lelaki.

Sejarah telah mencatatkan bahawa wanita pada zaman Rasulullah SAW merupakan golongan yang cukup komited dalam pelbagai bidang dan juga komited dalam menuntut ilmu. Sejak zaman Nabi SAW lagi kecekalan wanita telah diuji dengan pelbagai cabaran.

Cabaran yang paling utama ialah menuntut ilmu, kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk berjaya di dalam kehidupan ini. Baginda SAW menukilkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud: Sebaik-baik wanita ialah wanita kaum Ansar, mereka tidak ada perasaan malu untuk mendalami ilmu yang berkaitan dengan urusan agama mereka.

Hadis di atas menunjukkan bahawa agama Islam tidak pernah membezakan status lelaki dan wanita dalam aspek-aspek keilmuan, malah mereka diberikan ruang dan peluang yang sama dengan mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa wanita adalah perlu untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Memporak-peranda hukum-Nya

MELIHAT kemampuan serta rupa paras individu lain yang lebih sempurna, pastinya sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemburu terhadap kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT itu kepada individu tersebut. Apatah lagi dalam bentuk fizikal semula jadi.

Justeru, disebabkan kurang keyakinan diri, secara tidak langsung perasaan iri hati tersebut membuatkan sesetengah individu yang menginginkan kesempurnaan cenderung untuk menjadi seperti yang diidamkan, sekali gus menafikan ciptaan yang telah dijadikan kepada dirinya.

Tindakan mengubah ketetapan Allah SWT sama seperti menafikan perancangan-Nya



Lelaki dan wanita mempunyai peranan masing-masing terutama dalam institusi kekeluargaan. - Gambar hiasan

Dibantu dengan kemudahan teknologi serta penguatkuasaan yang dilihat kurang dititikberatkan, tidak hairanlah berlaku pelbagai kes mengubah ciptaan tuhan dengan pelbagai cara dan penampilan termasuklah sehingga sanggup mengubah gender (jantina).

Mengakui fenomena yang berlaku, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran menyifatkan, perbuatan yang dilihat semakin berleluasa itu seperti memporak-perandakan hukum Allah SWT terhadap ketetapan kejadian manusia.

Ia tambahnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT menerusi ayat di atas berhubung kejadian manusia sebagai salah satu daripada kepelbagaian ciptaan Allah SWT dan mempunyai tanggungjawab masing-masing yang tidak boleh dipertikaikan.

“Penciptaan lelaki dan wanita adalah merupakan dua jantina yang menjadi pasangan asas dalam penciptaan manusia. Kedua-duanya dicipta dengan ciri dan sifat yang sesuai dengan kejadian dan peranan mereka dalam kehidupan di dunia ini.

“Oleh sebab kegagalan memahami peranan lelaki dan wanita dalam kerangka kekeluargaan, akan menyebabkan perbahasan berkaitan gender pada awalnya kepada wacana persamaan hak yang ekstrem dan tidak selari dengan maqasid syariah.

“Kesannya, fitrah penciptaan manusia yang berlainan jantina bertujuan untuk saling mengenali dan melengkapi antara satu sama lain akan menjadi kacau bilau sekali gus memporak-peradakan ketetapan yang Allah SWT, di samping mendatangkan pelbagai kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja, “Ayat-ayat al-Quran berkaitan gender: Rujukan Khas al-Tafsir al-Kabir” dalam persidangan meja bulat, Gender dalam kerangka Maqasid, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan dalam persidangan itu iaitu, “Perjuangan wanita: keadilan atau kesamaan,” “Pandangan Islam tentang peranan wanita dalam kepimpinan negara,” “Perwalian dalam perkahwinan,” “Jaminan perlembagaan terhadap hak-hak wanita” dan “Akses wanita kepada keadilan di mahkamah.”

Sehubungan itu Farid berkata, mengetahui asal-usul serta tujuan hidup penciptaan manusia yang sebenar penting bagi mengelakkan daripada berlakunya perdebatan hak persamaan gender yang akhirnya sehingga mengakibatkan tindakan mengubah jantina.

“Surah an-Nisa ayat 34 menjelaskan peranan lelaki sebagai pemimpin kepada kaum wanita dan bertanggungjawab memelihara kehidupan wanita yang berada di bawah penjagaannya. Berbeza dengan peranan wanita yang bertanggungjawab memelihara hak suami, kehormatan diri dan memelihara rumah tangga.

“Malangnya, aspek perbezaan ini kadang-kala diangkat dan diperdebatkan sehingga berlaku perpecahan dan akhirnya melupakan matlamat akhir penciptaan manusia iaitu tunduk dan menyerah diri kepada Allah SWT dan mencapai ketakwaan terhadap-Nya.

“Menurut ahli tafsir terkemuka, Fakhr al-Din al-Razi menerusi kitab tafsirnya, al-Tafsir al-Kabir mengatakan hakikatnya semua manusia adalah sama, namun perbezaannya adalah antara iman dan kufur. Oleh itu ketakwaan menjadi neraca terpenting bagi membezakan seseorang,” ujarnya.

Keadilan bukan kesamaan

Sementara itu, Felo kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, IKIM, Md. Asham Ahmad berkata, bukan menuntut kepada kesamarataan, sebaliknya menurut ajaran Islam menitikberatkan hak keadilan dalam memperjuangkan hak wanita.

Ia sekali gus menyangkal prinsip kesamaan yang difahami dalam pemikiran sekular dan juga dituntut oleh pertubuhan feminis, Musawah yang menyifatkan gerakan mereka sebagai menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga Islam.

“Keadilan seperti yang difahami dalam pemikiran sekular adalah merujuk kepada hubungan antara dua belah pihak, seperti hubungan seorang manusia dengan manusia lain atau hubungan rakyat dengan negara. Ia bermakna keadilan dalam konteks tersebut boleh berubah-ubah.

“Sementara itu, keadilan yang diajarkan menurut Islam iaitu bermula dengan diri sendiri. Ia sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran merujuk kepada mereka yang melakukan kekufuran, dosa dan kesalahan sebagai zalim terhadap diri sendiri.

“Ia berbeza dengan keadilan yang berpunca daripada masyarakat dan negara, faham keadilan Islam itu paksinya tetap, iaitu tidak berubah-ubah kerana ia merupakan perjanjian dengan Allah SWT,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, keadilan yang diperjuangkan oleh kumpulan sekular adalah menjurus kepada kesamaan yang menuntut kepada persamaan martabat dan darjat.

“Antara Kerangka Kertas Kerja Tindakan Musawah menggariskan, ‘kebanyakan undang-undang dan amalan dalam negara-negara Islam tidak adil dan ketidakadilan ini melemahkan kehidupan harian ahli keluarga terutama wanita’ dan ‘Piawai hak asasi manusia antarabangsa memerlukan maruah, kesaksamaan yang sebenar tanpa diskriminasi bagi semua umat manusia.’

“Istilah keadilan yang ditegaskan oleh kumpulan pertubuhan hak asasi bertaraf global itu dilihat berpaksikan kesaksamaan. Justeru, bagi mereka keadilan terhadap wanita hendaklah diterjemahkan dalam bentuk kesamarataan hak antara lelaki dan wanita di sisi undang-undang Islam, khususnya undang-undang keluarga.

“Perjuangan itu juga menunjukkan agama Islam seperti agama lain dan ideologi ciptaan manusia adalah hasil daripada kebudayaan manusia,” jelasnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Perjuangan wanita: Keadilan atau kesamaan.’

Beliau berkata, walaupun Musawah pada zahirnya berusaha mengubah undang-undang keluarga Islam, hujah yang dikemukakan pada hakikatnya menjurus kepada mengubah Islam keseluruhannya.

Malah, faham keadilan mengikut kumpulan itu juga tidak bersumberkan kepada al-Quran, sedangkan Allah SWT menegaskan pada kalimahnya terkandung pengajaran secara paling sempurna kebenaran dan keadilan tanpa sebarang perubahan.