November 28th, 2014

Khutbah Jumaat 28 November 2014 ~ Andai Ku Tahu

Petikan Khutbah Jumaat  28 November 2014M / 5 Safar 1436H  JAWI
~ ANDAI KU TAHU

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Ungkapan dan persoalan “Andai Ku Tahu” sebenarnya merupakan kunci untuk kita bermuhasabah diri. Tanyalah diri sendiri adakah kita sudah tahu bilakah ajal kita akan menjelang? Adakah kita sudah tahu bagaimana pula cara ajal itu datang? Husnul Khatimah atau Su’uI Khatimah?

Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika hidup dunia ini ialah:-

Pertama – Fahami hakikat sebenar hidup di dunia ini.
Kedua – Menjauhi maksiat dan dosa.
Ketiga – Mengamalkan akhlak mulia.

Saudara-saudaraku yang dikasihi Allah,

Semua perkara yang dinyatakan tadi memerlukan perincian. Yang dimaksudkan dengan perincian di sini ialah amalan-amalan yang boleh dilakukan bagi menghadapi alam barzakh dan akhirat.

Pertama – Banyakkan berzikir kepada Allah
Kedua – Banyakkan bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT
Ketiga – Banyakkan bersedekah
Keempat – Banyakkan menuntut ilmu pengetahuan

Tetamu-tetamu Allah yang diberkati,
Mengakhiri khutbah hari ini maka intipati penting yang perlu di ingat :

Pertama: Bersedialah menghadapi kematian.
Kedua: Hendaklah banyak melakukan amal soleh, menjauhi maksiat dan berdoa kepada Allah SWT bagi menjamin kebahagiaan di alam barzakh dan akhirat.
Ketiga: Penyesalan setelah kematian sudah terlambat dan tidak berguna lagi.

Wallahualam

Islam ikut hujah, bukan jubah

ISLAM adalah agama yang dibina berdasarkan dalil, fakta dan hujah. Apa sahaja yang hendak dikaitkan dengan Islam, mesti dibentangkan bersama apakah dalil dan hujahnya.

Islam dibina atas keyakinan, bukan sangkaan. Dalil dan hujah yang menjadi rujukan utama Islam mestilah bersumberkan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Prinsip asas ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Prinsip inilah yang menjadikan Islam terpelihara daripada sebarang unsur kesyirikan, khurafat, bidaah, penyelewengan, pendustaan dan sebagainya. Jika ada sebarang kepercayaan, amalan atau saranan yang dikaitkan dengan Islam, tetapi penyampainya gagal membawa dalil dan hujah yang menjadi sandarannya, maka ia tidak layak dikaitkan dengan Islam.




Islam mendidik umatnya daripada sekecil perkara sehingga yang besarnya.
Islam telah sempurna

Islam adalah agama yang telah lengkap dan sempurna. Inilah jaminan yang diberikan sendiri oleh ALLAH SWT dalam firman-Nya: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu". (Surah al-Maidah: 3)

Rasulullah SAW yang diutuskan oleh ALLAH tidak diwafatkan melainkan setelah sempurna tugas Baginda SAW menyampaikan ajaran Islam. Maka, selepas kewafatan Baginda SAW, tidak ada lagi ruang tokok tambah kepada ajaran Islam ini. Apa yang tidak menjadi ajaran Islam semasa zaman Baginda SAW, maka ia juga tidak menjadi ajaran Islam pada zaman ini.

Rasulullah SAW wafat dengan meninggalkan kita prinsip penting: "Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan dua perkara tersebut: Kitab ALLAH (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya". (Riwayat Muslim)

Apa sahaja yang ada kaitan dengan agama, pasti ada sumber dalil dan hujah yang akan menjelaskannya. Jika timbul isu-isu baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW, maka di sana adanya ruang untuk ijmak ulama dan qiyas. Ijmak dan qiyas ini juga dilakukan oleh ulama berdasarkan prinsip-prinsip asas yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah.

Kesempurnaan ajaran Islam ini adalah satu nikmat yang besar kepada kita. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga yang besar. Lihat sahaja kata-kata Salman al-Farisi kepada orang Yahudi apabila mereka berkata: "Demi sesungguhnya Nabi kamu telah mengajarkan kamu semua perkara sehingga cara membuang air!".

Salman berkata: "Benar! Nabi SAW telah melarang kami daripada menghadap kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang daripada beristinjak dengan tangan kanan dan melarang daripada beristinjak dengan kurang daripada tiga biji batu atau daripada beristinjak dengan najis kering atau tulang". (Riwayat Muslim)


Amal ikut ilmu, bukan ikut melulu

Kebenaran dalam Islam diukur berdasarkan kekuatan dan kesahihan dalil dan hujah yang dibentangkan. Bukan siapa yang membentangkannya. Semua manusia terdedah kepada kesilapan melainkan Rasulullah SAW yang maksum, dipelihara oleh ALLAH. Walau yang membentangkannya bergelar ustaz, mufti, imam mahupun habib. Kesahihan ajaran Islam bukan diukur dengan gelaran, tidak juga dengan pakaian, jubah dan serban.

Memakai jubah yang cantik, mengikat serban dengan kemas, menyangkut kain di bahu, membawa untaian tasbih di jari, orang ramai salam mencium tangan,  bertugas di jabatan agama, menubuhkan pertubuhan yang diberi nama islamik atau berkaitan ahli sunnah wal jamaah,  selalu bersiaran di televisyen dan radio, petah berceramah dan menyampaikan cerita, pandai menyanyi nasyid dan qasidah, ini semua bukan kayu ukur untuk menentukan kebenaran ajaran yang dibawa.

Selagi mana tidak dibawakan dalil dan hujah dengan cara pendalilan yang betul, maka kita berhak untuk bertanya apakah asas kepada kepercayaan atau amalan ini. Apakah dalilnya? Apakah hujahnya? Apakah amalan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat? Siapakah ulama muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah yang mentafsirkan ayat atau menghuraikan hadis ini dan sebagainya.

Kita bertanya kerana kita mahu berpegang dan beramal dengan ajaran Islam yang sahih. Bukan sekadar bertaklid buta tanpa dihiraukan hujah dan fakta. Kita hendak beramal berdasarkan ilmu bukan hanya ikut melulu.

ALLAH berpesan: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya". (Surah al-Isra’: 36)

Hormat dan beradab dengan ulama adalah akhlak Islam yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun, sikap hormat adab ini tidak menjadi penghalang atau menutup ruang kepada kritikan ilmiah atau bertanya kembali sesuatu pandangan yang dilontarkan.

Sikap inilah juga yang telah ditunjukkan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah.


Didik masyarakat dengan dalil dan hujah

Golongan pendakwah, mufti, ustaz, pegawai jabatan agama seharusnya mendidik masyarakat dengan disiplin pegangan dan amalan Islam mesti berdasarkan dalil dan hujah yang sahih.

Justeru,  pendakwah juga semestinya terlebih dahulu bersiap sedia dengan ilmu, memahami dalil dan cara pendalilan yang betul sebelum disampaikan kepada orang ramai. Didik masyarakat supaya mengutamakan hujah dan fakta, bukan hanya berseronok ketawa dengan lawak jenaka dan cerita.

Sekiranya disiplin ini tidak dititik beratkan, kesucian dan ketulenan ajaran Islam boleh tercemar.

Contohnya ada dakwaan berkaitan agama yang disebarkan seperti tarikh berlakunya kiamat, mendakwa Rasulullah SAW hadir dalam majlis qasidah, tangan yang melambai-lambai dalam program qasidah tidak akan dibakar api neraka, memohon doa di kubur dengan orang yang telah mati, boleh bertemu dengan Rasulullah SAW secara sedar (yaqazah), berzikir sambil menari dan melompat-lompat, berzikir dalam gelap, menghina sahabat, memurtadkan ramai tokoh ulama dan banyak lagi yang tidak bersandarkan kepada dalil dan hujah yang sahih.

Islam mesti dipelihara ketulenannya daripada sebarang unsur syirik, khurafat dan bidaah. Islam yang kita mahu amalkan ialah Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah berdasarkan tafsiran dan kefahaman golongan salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin.

Dakwah Islam mesti mengajak masyarakat supaya memahami isi kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Hal ini perlu menjadi keutamaan. Jika tidak, kesucian dan ketulenan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah akan terpalit dengan kekotoran yang dibawa oleh ajaran Syiah, Ahbash, sufi dan tarekat yang melampau, liberal dan lain-lain lagi.

Kekuatan ajaran Islam berteraskan kekuatan dalil dan hujah bukan sekadar kecantikan serban dan jubah atau keasyikan alunan qasidah. Mantapkan ilmu, perkuatkan hujah, giatkan dakwah, ajak masyarakat kepada sunnah.

Tangisan ketakwaan

PERNAHKAH kita menangis dan mengalirkan air mata ketakwaan kepada ALLAH SWT. Adakah kita terlalu mencintai ALLAH sehingga mengalir air mata. Dan pernahkan kita menangis kerana takut akan balasan daripada-Nya.

Firman ALLAH bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman!  Bertakwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Ali’Imran: 102)


Jiwa manusia akan menjadi kosong dan keras kerana dosa-dosanya. Akibatnya mereka tidak dapat menangis dan mengalirkan air mata. Hati mereka tidak dapat berasakan manisnya iman, kecuali mereka yang berjiwa hanif dan dirahmati ALLAH. Salah satu bentuk manisnya iman adalah menangis kerana takut kepada ALLAH.

Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit ketawa dan lebih banyak menangis." (Riwayat Bukhari & Muslim]

Cinta kepada ALLAH

Bagi menunjukkan perasaan cinta kepada ALLAH kita perlu perbanyakan zikir dan istighfar kepada ALLAH, selain ia mampu melembutkan hati dan menenangkan jiwa.

Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tiga sifat yang apabila dimiliki oleh seseorang, nescaya dia berasakan manisnya iman. Orang yang menjadikan ALLAH dan Rasul-Nya adalah yang paling dicintainya, kemudian orang yang mencintai saudaranya dan orang yang mencintai sesuatu hanya kerana ALLAH. Serta orang yang yang tidak kembali kepada kekufuran setelah ALLAH menyelamatkannya, kerana tidak suka akan dilemparkan ke dalam api neraka." (Riwayat Bukhari & Muslim)


Ilmu agama

Dengan adanya ilmu agama dalam diri, maka dia mampu menguatkan  ketakwaan diri kepada ALLAH. Sesungguhnya ucapan yang paling benar adalah kitab ALLAH (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah Rasulullah SAW (sunah).



ALLAH berfirman lagi: "Dan juga supaya orang-orang yang memperoleh ilmu mengetahui ayat-ayat keterangan (dalam al-Quran) itu benar daripada Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya ALLAH sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus." (Surah Al-Hajj: 54)


Menghayati al-Quran

Menghayati isi al-Quran ada salah satu cara yang paling efektif untuk membuat seseorang menangis penuh dengan ketakwaan. Dan untuk meraihnya, kita perlu menghayati tafsiran ayat suci melalui bimbingan ulama dan ahli tafsir.

Selain itu, khusyuklah dalam solat. Mendengar, memahami, dan menghayati bacaan al-Quran yang dibaca dengan khusyuk, ia mampu menenangkan hati.


Ingat mati

Rasulullah SAW bersabda: "Perbanyakanlah kalian mengingat pemutus seluruh kenikmatan, iaitu kematian. Sesungguhnya tidaklah seseorang mengingatnya ketika ditimpa kesusahan hidup, melainkan akan membuatnya rasa lapang. Dan tidaklah mengingatnya di saat lapang, melainkan hal itu akan membuatnya berasa susah." (Riwayat Nasa’i, at-Tarmidzi, Ibnu Majah & yang lainnya)

Sedar atau tidak, ramai antara kita sekarang lupa mengenai ketakwaan kepada ALLAH, kerana segala kenikmatan dunia yang kita miliki kini menghalang untuk menitis air mata ketakwaan dan kegusaran di hati.

Dalam riwayat Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Dahulu aku melarang kalian melakukan ziarah kubur, maka (sekarang) berziarahlah kalian, kerana ziarah kubur itu dapat melembutkan hati, membuat mata menangis dan mengingatkan kepada akhirat.” (Riwayat Al-Hakim & lainnya)


Hari pembalasan, hitung

Jangan sesekali kita beranggapan hari pembalasan dan perhitungan ini jauh. Kerana hal ini telah diingatkan Rasulullah SAW kepada kita.

Mengapa ketika masih ada kesempatan ini, kita sukar untuk mengeluarkan air mata ketakwaan kepada ALLAH. Sedang tahukan kita, di akhirat sana, saudara kita yang dicampakkan ke dalam neraka sedang menangis menghadapi azab dari dosa ketika hidup.

ALLAH akan menyatukan urusannya, menjadikan hatinya berasa cukup dan dunia akan datang dalam keadaan tunduk.” (Riwayat Ibnu Majah & Ibnu Hibban)


Hati yang keras

Bersahaja dan bersikap zuhudlah dalam urusan dunia. Sesungguhnya sifat terlalu cinta kepada dunia adalah salah satu penyebab kerasnya hati. Sedangkan dengan bersikap zuhud terhadap kehidupan dunia adalah penyebab kelembutan hati, tangisan dan air mata ketakwaan kepada ALLAH.

Perbanyakanlah ibadah dan sedekah. Kurangkan ketawa dan perbanyakanlah mengingati ALLAH serta sentiasa risau jika amalan tidak diterima dan takut pada dosa.

Sesungguhnya, orang yang tidak berasa takut seharusnya risau jika dirinya tidak dapat masuk ke syurga. Kerana penghuni syurga berkata: "....sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami berasa takut (akan diazab)." (Surah At-Thuur : 26)


Janji buat orang bertakwa

Mereka orang-orang bertakwa, di akhirat kelak akan bersenang-senang  dalam syurga dengan mengingat rasa takut dan tangis mereka dahulu.

Sebagaimana firman ALLAH: "Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya. Mereka berkata: "Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami - selalu berasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada ALLAH), "Maka ALLAH mengurniakan kami (rahmat dan taufik-Nya), serta memelihara kami dari azab neraka. "Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembah-Nya (dan memohon pertolongan-Nya). Kerana sesungguhnya Dialah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsan-Nya, lagi Yang Maha Mengasihani”. (Surah Ath-Thuur: 25-28)

Ketika mereka bermewah-mewah

"DAN jika Kami hendak membinasakan sesebuah negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati ALLAH), tetapi apabila mereka melakukan derhaka dalam (negeri) itu, maka berlakulah perkataan (hukuman Kami) terhadap mereka, kemudian Kami hancur-leburkan (negeri itu)." (Surah Al-Isra’: 16)


Islam adalah agama yang mengajarkan kehidupan bersederhana
dalam kalangan umatnya.


Ulama mentafsirkan ayat di atas dengan pelbagai tafsiran. Pertama, yang dimaksudkan dengan perintah ALLAH SWT kepada orang yang hidup mewah dalam ayat ini adalah ketentuan atau takdir ALLAH kepada mereka. ALLAH memudahkan mereka untuk menjalani apa yang ditakdirkan. ALLAH memudahkan mereka melakukan kemungkaran yang diinginkan sehingga berhak mendapat azab daripada ALLAH.

Kedua, dimaksudkan dengan perintah ALLAH dalam ayat ini adalah ALLAH memerintahkan orang yang hidup mewah di negeri itu untuk melakukan ketaatan, tetapi mereka tetap melakukan kefasiqan dan kemungkaran sehingga negeri itu mendapat murka dan azab daripada-Nya.

Azab kehancuran

Ada beberapa lagi tafsiran yang lain daripada ulama. Mungkin timbul pertanyaan dalam diri kita, kenapa ALLAH menyatakan azab dan kehancuran itu akan meliputi semua negeri padahal yang melakukan kefasiqan dan kemungkaran itu hanyalah orang-orang yang hidup mewah di negeri itu?

Ulama menjelaskan keadaan ini mungkin dijawab dengan dua jawapan. Pertama, ini kerana masyarakat bawahan atau kelompok masyarakat lain menjadi pengikut kepada golongan elit tersebut. Firman ALLAH bermaksud: "Dan mereka berkata: "Ya Tuhan Kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin dan pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)." (Surah Al-Ahzab: 67)

Firman-Nya lagi: "Dan mereka semua (di padang mahsyar) berkumpul untuk menghadap ALLAH, lalu orang yang lemah berkata kepada orang yang sombong: "Sesungguhnya kami dahulu pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan kami daripada azab ALLAH (walaupun) sedikit sahaja?" Mereka menjawab: "Sekiranya ALLAH memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau bersabar. Kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri." (Surah Ibrahim: 21)

Kedua, jika sebahagian dalam sesebuah masyarakat melakukan kemungkaran, sedangkan yang lainnya melarang dan mencegahnya maka azab ALLAH akan menimpa mereka seluruhnya, sesuai dengan firman ALLAH: "Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Ketahuilah ALLAH sangat kuat seksaan-Nya." (Surah Al-Anfal: 25)


Bermewah dengan kurniaan-Nya

Bermewah dalam bahasa Arab disebut dengan al-taraf bererti melampaui batas dalam menggunakan nikmat kurniaan ALLAH. Atau dalam kata lain, nikmat ALLAH yang digunakan secara berlebihan dan melampaui batas dan diikuti dengan keangkuhan dan perbuatan zalim. Mereka yang hidupnya begini selalu ingin lebih daripada yang lain dalam segala hal dan selalu berusaha untuk berada di atas dalam hal bersifat duniawi.

Ketika al-taraf ini disebut dalam al-Quran, ia selalu menunjukkan ini adalah sikap yang tercela dan selalunya kelompok inilah yang sering menyebabkan kehancuran sesuatu kaum atau bangsa.

ALLAH berfirman lagi: "Dan setiap kali Kami mengutus seorang pemberi peringatan kepada suatu negeri, orang-orang yang hidup mewah (di negeri itu) berkata: "Kami benar-benar mengingkari apa yang kamu sampaikan sebagai utusan." (Surah Saba’: 34)

Rasulullah SAW selalu mengingatkan umatnya agar jangan sampai kepada gaya hidup seperti ini.


Risaunya Baginda SAW

Daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Anshari RA, Rasulullah SAW mengutus Abu Ubaidah bin Jarrah ke Bahrin untuk mengambil harta rampasan perang. Rasulullah SAW membuat perjanjian damai dengan penduduk Bahrin, Baginda SAW mengangkat Al-Ala’ bin Al-Hadhrami sebagai pemimpin mereka. Lalu Abu Ubaidah datang dengan membawa harta dari Bahrin. Kaum Ansar mendengar berita kedatangan Abu Ubaidah dengan harta berkenaan.

Mereka menunaikan solat Subuh bersama Rasulullah SAW. Usai solat, Baginda SAW mahu melangkah pergi namun mereka menghalang Baginda SAW. Maka, Rasulullah SAW tersenyum saat melihat mereka.

ALLAH juga mengingatkan hamba-Nya perkara yang sama dengan berfirman: "Dan sekiranya ALLAH melapangkan rezeki kepada hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi, tetapi Dia menurunkan ukuran yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya, Dia Maha Teliti terhadap (keadaan) hamba-Nya, lagi Maha Melihat." (Surah Al-Syura: 27)

Melihat keadaan masyarakat dan bagaimana gaya hidup kita, bolehlah mengambil iktibar daripada inti pati ayat dari Surah Al-Isra’ ini. Sebaiknya kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang menerima azab ALLAH  atas muka bumi. Doa kita bukan hanya dihindarkan azab dunia tetapi juga azab di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Didik derma organ

MENDERMA organ? Mendengar ungkapan tersebut, datang perasaan seram-sejuk, takut, fobia dan tak kurang bertanya "kalau kita menderma organ, bagaimana dengan kesihatan diri"? Ada juga dalam kalangan kita dimomokkan dengan fahaman yang bukanbukan, apatah lagi menderma kepada yang bukan senasab dan seagama, sehinggakan amalan mulia ini jauh untuk kita lakukan.

Keperluan yang diperlukan

Renungi hadis daripada Aisyah, katanya beliau mendengar Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya perbuatan mematahkan tulang si mati samalah seperti mematahkan tulangnya semasa dia hidup." (Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, sahih)

Pendakwah, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi berpandangan, secara umumnya, hadis ini melarang melakukan penghinaan ke atas orang yang sudah meninggal dunia.

Islam amat menitikberatkan soal memberi penghormatan kepada orang yang sudah meninggal dunia sama ada orang Islam mahu pun bukan Islam. Perbuatan memecahkan atau mematahkan tulang si mati boleh dikatakan menyeksa mayat seperti yang
dinyatakan dalam hadis ini adalah merujuk kepada perbuatan yang tidak bermanfaat.

"Bagaimanapun, pemindahan dan pendermaan organ bukan dilakukan kerana niat tidak baik atau dengan tujuan yang tidak bermanfaat dan menyeksa mayat.

Sebaliknya pemindahan dan pendermaan organ dilakukan sebagai pilihan terakhir bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ tersebut.

"Memelihara nyawa ialah salah satu daripada maqasid al-syar‘iyyah atau objektif syariah. Larangan yang dinyatakan menerusi hadis ini terbatal apabila wujud keperluan yang lebih utama yang mengatasi larangan tersebut iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Niat di sebalik pendermaan organ adalah murni dan baik. Pemindahan organ dilakukan hanya apabila tidak ada sebarang alternatif lain bagi menyelamatkan nyawa pesakit," katanya kepada Rehal baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: "…maka sesiapa terpaksa (kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula dia melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Baqarah: 173)

Menurutnya, manusia adalah sebaik-baik dan semulia-mulia ciptaan ALLAH. ALLAH memuliakan manusia dengan ciptaan yang sebaik-baiknya termasuklah tubuh badan manusia.

Sebagai umat Islam, kita harus percaya tubuh badan ini ialah anugerah dan amanah ALLAH.

Ini bermakna tubuh badan perlu dijaga dan diberikan haknya baik semasa hidup mahupun selepas meninggal dunia. Hak semasa hidup adalah seperti menjaga kesihatan fizikal, memelihara tubuh badan daripada kecederaan yang disengajakan dan sebagainya.

Hak selepas meninggal dunia ialah dimandikan, dikafan, disolat dan dikebumikan.


Tidak langgar amanah

Beliau yang juga Mursyid program Imam Muda dan juga panel agama di TV Al Hijrah, TV3, TV9 dan Ikim FM berkata, perbuatan menderma organ baik semasa hidup mahupun selepas meninggal dunia sama sekali tidak bermaksud seseorang itu melanggar hak dan amanah tubuh badannya. Penderma bukan dengan sengaja mencacatkan atau merosakkan anggotanya.

"Sebaliknya perbuatan menderma organ dilakukan dengan niat yang baik bagi menyelamatkan nyawa orang lain. Dalam erti kata lain, perbuatan menderma organ memberi peluang kepada orang lain untuk meneruskan kehidupannya di samping menunaikan hak dan amanahnya terhadap tubuh badan iaitu penderma tidaklah merosakkan fungsi organ-organ asalnya.

"Berkaitan perkara ini, Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan perbuatan mengambil anggota daripada jenazah tidak menafikan kehormatan jenazah itu. Begitu juga perkara yang menimbulkan keraguan dalam kalangan umat Islam iaitu bolehkah orang Islam menerima organ bukan Islam?

"Saya tekankan di sini, langsung tiada larangan dalam Islam bagi memindahkan organ orang bukan Islam kepada orang Islam. Ini kerana organ manusia tidak bersifat Islam atau kufur, sebaliknya organ ialah alat yang digunakan oleh manusia bagi melaksanakan tuntutan akidah dan manhajnya untuk hidup," katanya panjang.

Menurutnya lagi, apabila organ dipindahkan daripada orang bukan Islam kepada orang Islam, maka organ tersebut menjadi sebahagian tubuh badan orang Islam yang digunakan bagi tujuan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang diperintahkan ALLAH. Dr Yusuf al-Qaradawi mengatakan anggota tubuh badan orang bukan Islam adalah Islam. Ini kerana menurut beliau, perkara yang dimaksudkan Islam dan kufur seseorang itu bukanlah anggota zahir (organ yang dipindahkan) tetapi roh manusia itu.

Maka tiada halangan syarak untuk orang Islam mengambil manfaat daripada organ orang bukan Islam yang didermakan.

Jiwa tenang jika pandai kawal emosi

SEMUA orang berdepan tekanan (stress) tetapi yang membezakannya ialah berapa kerap kita mengalami situasi itu dan tahap tekanan yang dihadapi. Ada yang berdepan tekanan dengan tenang, tidak kurang yang tidak mampu menghadapi tekanan.

Jiwa tenang adalah anugerah daripada Allah SWT berkat sabar dilalui hamba-Nya. Namun, tidak semua mempunyai kesabaran yang tinggi. Segmen Usrati yang bersiaran jam 5.15 petang setiap Khamis mengupas tajuk tekanan.

Ustazah Norhafizah Musa memulakan perbincangan dengan memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhan kamu dalam keadaan kamu reda dan kamu diredai. Maka masuklah dalam golongan hamba-Ku dan masuklah syurga-Ku." (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Surah ini wajar dijadikan asas untuk memiliki jiwa tenang dan bagi yang memiliki jiwa yang tenang akan dipanggil dengan penuh penghormatan oleh Allah SWT untuk memasuki syurga-Nya. Adakah kita antara mereka yang memiliki jiwa yang tenang?

Tekanan terbahagi dua

Tekanan terbahagi kepada dua iaitu tekanan dalaman dan luaran. Kebanyakan kita mengalami tekanan dalaman kerana memikirkan sesuatu perkara itu dengan berlebihan. Pada hal masalah kita tidaklah sebesar mana. Ini namanya risau tidak bertempat.

Bukan sahaja perempuan, lelaki juga banyak yang mengalami tekanan. Apabila dilanda tekanan, ia bukan saja membuatkan kita rasa berdebar-debar, jantung berdenyut laju, malah otot dan badan akan turut sakit. Banyak ciri-ciri yang boleh kita lihat apabila seseorang itu tertekan antaranya cepat berpeluh, bercakap dengan terketar-ketar, tangan dan kaki menjadi sejuk serta pelbagai lagi.

Tekanan luaran lebih kepada faktor persekitaran. Apabila kita beralih persekitaran atau suasana, tekanan dialami akan hilang. Panduannya mudah, jangan terlalu ambil pusing dengan cakap-cakap orang, kerana manusia memang suka mencari dan mencipta salah orang lain.

Jangan kita bazirkan masa memikirkan hal tidak penting. Tanpa sedar, ada kala kita sendiri yang mencipta tekanan kepada diri. Bagaimanapun, jika kita tidak pernah mengalami tekanan, itu tidak normal kerana tekanan adalah lumrah kepada manusia.

Kita akan mengalami sakit, menempuhi pelbagai masalah kerana itulah kehidupan. Memang Allah susunkan begitu supaya ada keseimbangan. Nabi SAW membimbing kita untuk memiliki jiwa yang tenang dan berakhlak walaupun berdepan pelbagai ujian hidup.

Seseorang yang memiliki jiwa tenang boleh dilihat dalam caranya meniti kehidupan sehari-hari. Walaupun kita ada kekurangan, jangan cepat mengalah kerana itulah proses untuk mencapai jiwa tenang. Jatuh bangun perkara biasa, jatuh tersungkur sudah tentu. Memang payah untuk melaluinya kerana jiwa kita tidak tenang.

Ambil semangat daripada kisah orang

Ada kala kita perlu mengetahui kisah mereka yang pernah berdepan ujian yang perit supaya dapat mengambil semangat daripada mereka untuk membina keyakinan serta memperkuat pertahanan diri seterusnya kekal positif.

Putus asa adalah perkara biasa bagi manusia tetapi kita boleh mengatasinya dengan meneladani jiwa yang ada pada Rasulullah SAW yang memiliki jiwa tenang.

Tip mudah yang boleh dilakukan apabila berdepan ujian ialah bertenang dengan menarik nafas. Keadaan diri yang tenang membolehkan otak berfungsi dengan baik dan kita mampu berfikir secara rasional untuk mendepani situasi itu.

Akhlak terbaik dalam dunia dan menjadi akhlak ahli syurga iaitu memaafkan orang yang menzalimi, menyambung silaturahim dan memberi kepada orang yang kedekut dengan kita.

Antara ciri yang menggambarkan jiwa tenang ialah memiliki hati yang boleh merasa seolah-olah nampak Allah SWT dengan segala keindahan-Nya, membuatkan kita sabar dengan segala ujian. Orang yang memperoleh hati sebegini tidak cepat melatah dalam hidupnya.

Kita harus sabar untuk mengharapkan reda Allah SWT. Orang yang jiwanya tenang, hatinya sentiasa tenang. Andai jatuh berulang kali, masih boleh bangun untuk meneruskan kehidupan. Justeru, belajarlah mengawal emosi.

Siti Rohani Surani ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan Ikimfm Berita Harian Kolumnis 28 November 2014