December 12th, 2014

Ahli falsafah serba boleh

NAMA asal Al-Farabi ialah Abu Nasr Muhammad bin Muhammad Tarkhan Al-Uzdag. Beliau dilahirkan di Wasij, iaitu di wilayah Transosiana, Turkestan. Beliau dikatakan lahir pada tahun 257 Hijrah bersamaan 870 Masihi, pada zaman pemerintahan kerajaan Samaniyah.

Al-Farabi juga terkenal sebagai ahli kosmologi, logik dan muzik

Lukisan daripada Kitab al-musiqa al-kabir.
Lukisan alat muzik bergelar shahrud.

Al-Farabi dikatakan berketurunan Turki, bapanya berketurunan Parsi, manakala ibunya pula berketurunan Turki. Pada zaman pemerintahan kerajaan Samaniyah, bapa Al-Farabi bekerja sebagai seorang pegawai tentera kerajaan, manakala pekerjaan ibunya tidak diketahui dengan jelas.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada guru-guru persendirian, sama ada beliau pergi belajar di rumah guru berkenaan ataupun beliau belajar secara formal di masjid-masjid yang terdapat di Wasij, seterusnya beliau dikatakan dibesarkan semasa pemerintahan Nasir Ibnu Ahmad.

Al-Farabi tidak seperti beberapa tokoh atau sarjana Muslim lain, ini kerana beliau tidak menulis mengenai riwayat hidupnya sendiri. Keduanya, beliau dikatakan memiliki daya akal yang tinggi sejak kecil. Dalam usia muda beliau telah belajar dan mampu belajar pelbagai bidang ilmu.

Al-Farabi juga dikatakan dapat menguasai beberapa bahasa asing, antaranya bahasa Syria, Arab dan Greek.

Beliau juga menguasai bidang ilmu keagamaan, antaranya ilmu nahu, tafsir, hadis, dan fikah. Selain itu, beliau juga mahir dalam cabang falsafah, ilmu alam, ilmu ketenteraan dan ilmu muzik.

Meskipun Al-Farabi mahir dalam pelbagai bidang, namun beliau lebih tertarik serta memberi perhatian pada bidang falsafah dan logik.

Malahan dikenali sebagai ‘guru kedua’; selepas Aristotle sebagai ‘guru pertama’. Ini kerana beliau sentiasa mengkaji buku-buku yang dihasilkan oleh Aristotle, juga mengkaji mengenai diri Aristotle.



Salah satu contoh manuskrip Al-Farabi.

Al-Farabi dikatakan belajar daripada ramai guru, tetapi yang utama ataupun yang lebih diberikan perhatian dan masyhur ialah Ibnu Hailan dan Matta ibnu Yunus. Kedua-dua guru beliau ini mahir di dalam bidang logik dan falsafah.

Pengembaraan

Pada 287 Hijrah bersamaan 900 Masihi merupakan pengembaraan pertama Al-Farabi ke negara luar iaitu Baghdad bersama gurunya yang tidak asing iaitu Ibnu Hailan. Kedatangan itu bertujuan mempelajari logik dan mendalaminya.

Seterusnya, pada 298 Hijrah bersamaan 908 Masihi, meninggalkan Baghdad dan kemudian ke Konstantinople, beliau ke sana untuk mempelajari falsafah dengan mendalam yang mana gurunya, iaitu Ibnu Hailan bertindak sebagai penyelia beliau dalam pembelajaran tersebut.

Sementara itu, pada 297 Hijrah bersaman 910 Masihi, beliau telah kembali ke Baghdad semula untuk belajar, mengajar, mengkaji buku-buku yang ditulis oleh Aristotle dan berkarya.

Pada 330 Hijrah bersama 942 Masihi, Al-Farabi berpindah ke Damsyik, iaitu sebuah daerah di negara Syria akibat kekacauan dan ketidakstabilan politik yang berlaku di Baghdad.

Pada 332 Hijrah bersamaan 944 Masihi Al-Farabi dikatakan telah pergi ke Mesir, tetapi tidak diketahui tujuan dan kegiatan beliau di sana, tapi menurut Abi Usaibiyah, seorang ahli sejarah, mengatakan Al-Farabi telah mengarang sebuah karya mengenai politik ketika berada di Mesir, iaitu sekitar 337 Hijrah.

Seterusnya, pada 338 Hijrah bersamaan 949 Masihi Al-Farabi telah kembali semula ke Damsyik untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai seorang cendekiawan di sebuah istana di Aleppo semasa pemerintahan Syria baru, iaitu seorang putera Handaniyah bergelar Saf Al-Daulah, yang tertarik dengan kebijaksanaan dan kepandaian beliau, serta meneruskan kehidupannya sebagai seorang ahli sufi.

Di dalam bulan Rejab 339 Hijrah bersamaan 950 Masihi, Al-Farabi meninggal dunia di Damsyik, semasa berumur 80 tahun.

Beliau telah dikebumikan di kota itu, iaitu di sebuah perkuburan di bahagian luar pintu selatan atau pintu sisi kota tersebut.

Saf al-Daulah sendiri yang mengetuai para pembesar negeri bagi menyembahyangkan jenazah Al-Farabi, seorang cendekiawan yang terulung dan termasyhur di kalangan para sarjana dan tetamu di istana Saf Al-Daulah.

Info

Gelaran: Alpharabius

Nama sebenar: Abu Nasr Muhammad bin Muhammad Tarkhan Al-Uzdag

Lahir: 870 Masihi di Wasij, wilayah Transosiana, Turkestan

Meninggal dunia: 950 Masihi di Damsyik, Syria.

Etnik: Parsi dan Turki

Zaman: Zaman Kegemilangan Islam

Minat utama: Metafizik, Falsafah Politik, Logik, Muzik, Sains, Etika, Mistik, Epistimologi.

Karya popular:

Kitab al-Musiqa al-Kabir (The Great book on Music)

Ara ahl al-madina al-fa ila (The Virtuous City)

Kitab i a al-ulum (On The Introduction Of Knowledge)

Kitab i a al-iqa’at (Classification Of Rhythms)

Hukum ucap selamat perayaan bukan Islam

HIDUP dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia). Satu persoalan yang sering dibahaskan adalah hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sudah sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah memutuskan bahawa:

1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka. Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa: 86). Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Ini termasuk memakai pakaian Santa Claus atau memakai topi Santa.

Merungkai isu ini, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menegaskan, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu.

Oleh itu, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn ‘Abbas RA menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad). - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Disember 2015

Ganjaran 
ketaatan beribadah

JIWA manusia adalah gabungan daripada pelbagai sifat yang berbeza. Perasaan gembira bersulam duka, benci terkadang sayang, takut lawaknya berani, rajin setelah malas dan berbagai-bagai perasaan lain yang bersemadi di jiwa. Namun, perasaan ini tidak kelihatan di mata hanya dirasakan di jiwa.

Ia akan memberi kebahagiaan, ketenangan kepada jiwa seseorang


Semua ibadah yang wajib dan sunat akan menjadi faktor kebahagiaan seseorang Muslim. – Gambar hiasan

Seseorang Muslim yang mempunyai jiwa yang kukuh akan dapat membentuk jati diri setiap individu menuju ke arah kebaikan dalam kehidupan. Bagi memperkukuhkan jiwa, umat Islam sangat digalakkan melaksanakan ibadah dengan tenang dan penuh khusyuk. Ini disebabkan jiwa amat sebati dengan ketenangan dan kekhusyukkan.

Hakikat kehidupan manusia sangat memerlukan ketenangan yang akhirnya memberikan kedamaian kepada jiwa. Keperibadian manusia yang normal, baik berkaitan kesihatan diri juga akhirnya memberi kesan kepada ketenangan dan kedamaian kepada jiwa. Pengertian jiwa secara umumnya meliputi nyawa dan roh. Di sinilah tempat letaknya dasar batin, perasaan, fikiran, cita-cita yang memperkuat kehidupan manusia.

Dalam Islam, semua ibadah yang wajib dan sunat akan menjadi faktor kebahagiaan serta jalan hidup yang terbaik bagi penganutnya agar dapat menikmati kehidupan yang tenteram, damai dan bahagia. Ibadah-ibadah ini seperti solat, puasa, menunaikan zakat, melaksanakan haji, mempunyai hubungan yang rapat dan erat secara langsung dengan jiwa.

Seseorang yang berjaya adalah orang yang mampu membersihkan jiwa dengan segala ketaatan, akan tetapi mereka yang rugi atau gagal adalah yang mengotorkan jiwa dengan kemaksiatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwa itu. (As-Syams:9-10).

Jelaslah ketaatan beribadah kepada Allah SWT akan dapat membersihkan dan menenteramkan jiwa. Bagi mereka yang melakukan maksiat seseorang itu akan mengotorkan jiwanya yang menyebabkan jiwa tidak tenteram. Bagi tujuan penyucian jiwa, janganlah sesekali kita terjebak dalam maksiat kepada Allah SWT. Ini disebabkan hati dan jiwa manusia yang digoda oleh syaitan mudah terdorong ke arah maksiat.

Keutamaan taat kepada Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya sangat penting dalam kehidupan seharian. Ketaatan beribadah akan memberikan kebahagiaan kepada jiwa seseorang. Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Kebahagiaan yang paling bahagia ialah panjang umur dalam ketaatan kepada Allah.” (riwayat Ad Dailami dan Al Qodhho’i).

Dengan melaksanakan ibadah secara berterusan akan dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Keutamaan takwa banyak bergantung pada tahap ibadah yang dilakukan oleh seseorang. Tingkat takwa adalah tingkat yang tinggi dalam melaksanakan ibadah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah di mana sekalipun kamu berada dan ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, nescaya menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang luhur.” (riwayat At Tirmizi).

Ibadah adalah penyucian jiwa yang luhur dan murni. Oleh itu, peliharalah diri kita dengan sentiasa berlindung kepada Allah daripada syaitan yang bersembunyi (dalam diri). Ini disebabkan, Allah SWT mendidik dan mengajar kita untuk berbuat demikian menerusi firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan (yang menguasai dan memelihara) manusia. Raja segala manusia. Sembahan manusia (daripada kejahatan dan bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi (dalam diri manusia). (an-Nas:1-4)

Manusia yang beriman sentiasa dalam peliharaan Allah SWT. Setiap perbuatan yang baik dan jahat pasti dicatat dan dibalas dengan balasan yang setimpal. Terdapat beberapa pengajaran yang boleh dijadikan contoh dan teladan dalam kehidupan.

Dalam melaksanakan ibadah walaupun kecil ia akan diberi balasan ganjaran pahala yang setimpal. (rujuk Luqman: 16)

Sesungguhnya, untuk mencari ketenangan hati dan jiwa selalulah mendekatkan hati dan diri kepada Allah SWT dan sentiasa melakukan ibadah serta melakukan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang dalam kehidupan kita.

Julaibib disayangi Rasulullah SAW

TERSEBUTLAH kisah seorang pemuda di Madinah bernama Julaibib. Beliau kurang disukai ramai kerana perilakunya yang tidak selari dengan norma masyarakat. Julaibib terkenal suka bercampur dan berbual-bual dengan kalangan perempuan.

Pemuda yang memperoleh penghormatan luar biasa



Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan tujuh mayat musuh. – Gambar hiasan

Justeru, Abu Barzah al-Aslami pernah melarang isterinya daripada berjumpa dengan Julaibib.

Beliau berkata: “Jangan biarkan Julaibib masuk ke rumah kita. Jika tidak, maka aku akan melakukan ini dan itu.”

Maksudnya beliau akan menghukum isterinya dengan tegas.

Terkadang kita terlalu sibuk mengeluhkan masalah sehingga terlupa mencarikan jalan penyelesaian.

Justeru, apabila pandangan orang lain tertumpu kepada aspek negatif, Rasulullah SAW melihat kepada aspek positif.

Baginda tidak memulaukan Julaibib, malah meminangkan seorang gadis untuk menjadi isterinya. Tindakan ini terbukti sangat berkesan dan merubah hidup Julaibib sebagai mana kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban berikut ini.

Kahwinkan anakmu

Suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada seorang laki-laki Ansar: “Kahwinkan anak gadismu untukku.”

Laki-laki Ansar ini menyangka baginda menginginkan anak gadisnya menjadi isteri baginda. Justeru, beliau sangat bergembira dan segera menerima pinangan tersebut.

Namun baginda menjelaskan: “Aku bukan meminangnya untuk diriku. Akan tetapi untuk Julaibib.”

Mendengar penjelasan ini, laki-laki Ansar tersebut tertegun. Semua penduduk Madinah tahu siapa Julaibib. Pemuda ini bukanlah tipikal menantu yang terbaik.

Justeru, laki-laki Ansar ini menarik diri dan berkata: “Izinkan saya untuk berbincang dengan ibunya terlebih dahulu.”

Baginda menjawab: “Baiklah.”

Laki-laki tersebut segera pulang ke rumah. Apabila menceritakan perihal pinangan Rasulullah SAW untuk Julaibib, Isterinya menolak tegas: “Adakah Rasulullah tidak menemukan pemuda lain selain Julaibib?! Aku tidak akan menikahkan anakku kepadanya. Kita telah menolak pinangan ramai pemuda kerana tidak sesuai dengan anak kita.”

Pandangan ini turut dipersetujui oleh suaminya. Beliau segera bangkit untuk berjumpa semula dengan Rasulullah SAW.

Tiba-tiba, anak gadis mereka bersuara. Walaupun masih mentah usianya, ternyata fikirannya lebih matang.

Anak gadis ini berkata: “Adakah ibu ayah akan membangkang kehendak Nabi? Jika Nabi telah memilih Julaibib, kabulkanlah perintah baginda. Baginda tidak mungkin menginginkan keburukan untuk kita.”

Ucapan ini seolah-olah menyedarkan kedua-dua sahabat ini. Keputusan Rasulullah SAW tentulah yang terbaik. Justeru, tidak patut bagi seorang Muslim membantah perintah baginda itu.

Ayah gadis itu lalu mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: “Jika tuan reda kepada Julaibib, maka kami pun reda kepadanya.”

Baginda menjawab: “Aku reda kepadanya.”

Laki-laki Ansar itu lalu menikahkan anak gadisnya dengan pemuda pilihan Rasulullah SAW. Baginda turut mendoakan gadis itu dengan sabdanya: “Ya Allah siramkanlah kebaikan kepadanya dengan deras dan jangan jadikan hidupnya susah.”

Berperang

Beberapa lama setelah itu,Rasulullah SAW dan para sahabat keluar untuk menghadapi musuh Islam yang akan menyerang Madinah. Semua pemuda ikut serta dalam ekspedisi itu, tidak terkecuali Julaibib.

Di akhir peperangan, para sahabat memeriksa keadaan para tentera dan menguruskan jenazah yang terkorban.

Rasulullah bertanya: “Masih adakah yang tertinggal daripada pasukan kita?”

Para sahabat menjawab: “Tidak ada, wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Akan tetapi aku masih lagi mencari Julaibib. Carilah dia daripada kalangan tentera yang terkorban.”

Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan tujuh mayat musuh.

Apabila melihatnya, Rasulullah SAW bersabda: “Ia telah membunuh tujuh orang musuh, lalu ia terbunuh. Ia sebahagian daripadaku dan aku sebahagian daripadanya.” Baginda mengucapkannya tiga kali.

Rasulullah SAW meletakkan mayat Julaibib di atas lengan baginda sementara digalikan kubur untuknya. Setelah siap, baginda sendiri yang meletakkan mayat Julaibib ke liang kubur.

Sungguh beruntung Julaibib.

Belajar bersangka baik

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru sahaja diumumkan. Ada pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan anak-anak yang mengambil peperiksaan tersebut. Ternyata getir mengulangi beberapa kertas soalan peperiksaan sebelum ini akibat ketirisan yang berlaku, cukup memberi impak pada keputusan yang dikeluarkan.

Bagi yang berjaya meraih keputusan cemerlang, senyumnya sampai ke telinga. Begitu juga dengan ibu bapa, mengucap syukur apabila segala kepayahan yang dilalui oleh anak sebelum ini berbalas dengan kejayaan yang diharap-harapkan.

Batas kecemerlangan bukan hanya 
tertakluk kepada keputusan peperiksaan


Setiap manusia di dunia ini dikurniakan kelebihan dan kelemahan masing-masing sebagai panduan kehidupan.- Gambar hiasan

Namun ia tidak berlaku pada Haziq. Keputusan cemerlang yang diharapkan, tidak kesampaian. Ternyata pengumuman yang dibuat sebentar tadi oleh guru sekolahnya, telah membuatkannya tidak keruan.

Resah, gelisah dan cemas! Itu perasaannya ketika itu. Mana tidaknya, sehingga selesai cikgu mengumumkan pelajar-pelajar yang mendapat 5A dan 4A 1 B, nama Haziq tidak muncul-muncul.

Air muka Haziq mula berubah.

Sehari sebelum keputusan dikeluarkan, Haziq memberitahu ibunya, dia yakin akan dapat capai keputusan yang baik. Sekurang-kurangnya 4A 1B. Namun hari ini emosi Haziq cukup terganggu. Air mata mula bergenang. Sebaik menerima keputusan daripada guru kelasnya, Haziq terus menangis.

Semalam, Haziq dan ibunya telah membeli beberapa hadiah untuk diberikan kepada guru-guru yang mengajarnya sebagai tanda terima kasih. Dan hari ini, hadiah itu masih terletak di dalam kereta. Apabila ibu Haziq menyuruhnya menyerahkan hadiah-hadiah yang dibeli kepada guru-gurunya, Haziq enggan melakukannya.

Malu! Haziq bertarung dengan harapannya yang musnah serta emosinya yang cukup terganggu. Dia malu berhadapan dengan kawan-kawannya, apatah lagi guru-guru sekolahnya.

Dia malu kerana selama ini dia begitu yakin keputusan cemerlang sudah pasti berada dalam genggamannya, tetapi ia tidak berlaku. Ia tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan!

Cukup mengecewakan,setelah berhempas pulas mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah agama, namun keputusan sekolah kebangsaan Haziq sedikit pun tidak membantunya untuk meneruskan pengajian di sekolah-sekolah yang terpilih.

Ternyata Haziq dipaksa untuk akur, dua keputusan cemerlang di sekolah agamanya sebelum ini, sedikit pun tidak membantunya untuk masuk ke sekolah aliran agama terpilih kerana sekolah menengah agama terpilih juga menuntut keputusan cemerlang UPSR.

TIP minggu ini diharapkan dapat dijadikan sandaran bagi ibu bapa dan anak-anak yang sedih dengan keputusan peperiksaan yang diperoleh agar dapat melaluinya dengan tenang dan berlapang dada.


  1. Ibu bapa yang menghadapi keputusan peperiksaan anak-anak yang kurang memberangsangkan perlulah bersabar dan berfikiran terbuka kerana tekanan memikirkan perkara tersebut akan menjadikan urusan lain turut tergendala.

  2. Belajar menerima apa jua keadaan sebagai pembelajaran kehidupan. Bagi yang berjaya dengan cemerlang mereka perlu mengekalkan kecemerlangan yang diperoleh dengan penuh rasa syukur, manakala yang kurang berjaya sentiasalah menanamkan azam untuk meningkatkan usaha pada masa hadapan.

  3. Orang yang gagal dalam satu perkara mungkin akan berjaya dengan cemerlang di bidang yang lain pula. Batas kecemerlangan bukan hanya tertakluk kepada keputusan peperiksaan semata-mata. Sebaliknya banyak ruang dan peluang terbuka untuk semua orang berjaya dalam kehidupan masing-masing. Lihat pada diri kerana di situ ada kelebihan yang mungkin selama ini kita abaikan.

  4. Ada orang yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran tetapi berjaya dalam pekerjaan. Ada orang yang berbakat dalam satu bidang yang boleh dijadikan sumber kejayaan dan pendapatan kehidupan. Apa yang penting setiap orang belajar mempercayai diri sendiri dan melihat sesuatu itu perlu diusahakan kerana kejayaan tidak datang bergolek.

  5. Ibu bapa yang bijak akan terus membantu merangsang anak agar berfikiran terbuka dan tidak terikat semata-mata dengan peperiksaan. Anak-anak diasuh agar belajar meneroka diri untuk melihat kekuatan, kelebihan dan menggunakan setiap peluang untuk berjaya.

  6. Bawalah anak-anak berbincang dengan orang yang boleh membantu membuka mindanya agar anak-anak tidak beku dan terbelenggu dalam membuat keputusan. Ingat! Dunia kejayaan tidak pernah bernoktah asalkan mahu berubah.

SETIAP tahun anak-anak akan menghadapi saat peperiksaan besar yang amat menekan. Ibu bapa juga tidak kurang tertekan apabila sentiasa disogok dengan prestasi akademik berdasarkan jumlah skor A yang diperoleh dalam peperiksaan yang diambil.

Sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan di pejabat akan bertanyakan keputusan peperiksaan anak-anak dan saling membandingkan antara satu sama lain. Ia secara tidak langsung menambah tekanan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang tidak mendapat keputusan sebagaimana yang diharapkan.

Sekalipun pelbagai usaha dilakukan, namun sebagai manusia kita harus kembali kepada perancangan Tuhan. Manusia hanya mampu merancang dan mengatur cita-cita. Inilah fenomena kehidupan masa kini. Dan hari ini, kejayaan seseorang diukur berdasarkan prestasi akademik arus perdana.

Tidak ada ibu bapa yang mengharapkan kegagalan anak-anak mereka. Bahkan, ibu bapa hari ini berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat tempat yang terbaik dalam meneruskan pengajian. Namun, ada kala nasib tidak menyebelahi. Senang kata, tiada ‘rezeki’ untuk anak-anak memperoleh keputusan sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa masing-masing, meskipun mereka telah berusaha.

Faktor emosi ada kala mempengaruhi keputusan anak-anak, sekali gus membuatkan mereka terbelenggu dengan nasib. Justeru, di sinilah peranan ibu bapa dan pihak pendidikan agar sentiasa membuat pertimbangan yang bersesuaian dengan bakat, kemampuan dan pencapaian.

Seperti kisah minggu ini anak-anak yang berjaya akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan mereka di sekolah yang lebih berprestij. Manakala anak-anak yang kurang bernasib baik walaupun menanam cita-cita yang menggunung, terpaksa akur dengan dunia peperiksaan hari ini.

Sekali lagi anak-anak terpaksa menghadapi kenyataan betapa mereka perlu belajar berfikir di luar kotak agar tidak menjadikan peperiksaan sebagai penilaian diri untuk berjaya. Anak-anak dan ibu bapa juga perlu belajar menerima keadaan yang terjadi sebagai ruang muhasabah diri agar usaha dan ikhtiar perlu diteruskan untuk membina tapak kejayaan di dalam segenap ruang dan peluang yang datang.

Sesuatu yang tidak perlu dinafikan, setiap manusia di dunia ini dikurniakan kelebihan dan kelemahan masing-masing sebagai panduan kehidupan. Jika difikirkan secara logik, tahap kemampuan seseorang mempunyai hikmah yang pasti ada kebaikan di sebaliknya.

Sebagai contoh anak-anak yang berjaya dan berkemampuan dalam akademik akan meneruskan legasi kejayaan kerjaya dunia seperti doktor, jurutera, peguam, akauntan yang pastinya memerlukan kemampuan pelajaran dan pencapaian akademik yang cemerlang.

Sebaliknya, anak-anak yang sederhana pencapaiannya dalam pembelajaran akan menjadi pelaksana kepada agenda pembangunan yang dirancang. Sekiranya semua orang berada di satu tahap kejayaan yang cemerlang, pasti tiada orang yang akan mengurus untuk melakukan perancangan yang dibuat.

Inilah hikmah dan indahnya kehidupan yang diciptakan Tuhan. Cuma manusia perlu belajar bersangka baik dan tidak mendiskriminasikan golongan yang kurang berkemampuan. Bahkan, betapa adilnya Allah apabila kelebihan dan kelemahan yang ada saling memerlukan antara satu sama lain.

Yang pasti, kecemerlangan akademi bukan kayu ukur untuk menilai kejayaan serta masa depan yang terjamin. Sebaliknya, kemahiran dan kreativiti yang ada pada seseorang akan menjadikan seseorang itu lebih berjaya dalam kehidupan.

Bahkan kemahiran, bakat dan kreativiti yang dimiliki akan menjadikan mereka lebih kaya daripada mereka yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang. Yang penting, mereka harus lebih gigih berusaha bagi memastikan mereka juga boleh berjaya tetapi dengan cara yang berbeza.

Malangnya kebanyakan masyarakat sering terlepas pandang akan ‘keistimewaan’ yang dimiliki oleh anak-anak yang kurang bernasib baik dalam akademik. Dan apabila bakat, kreativiti dan kemahiran yang ada dalam diri anak-anak ini tidak digilap, maka ia akan terus berkubur.

Justeru, sebagai ibu bapa, keprihatinan mereka terhadap ‘keistimewaan’ yang ada pada diri anak-anak ini, akan menjadi pemangkin kejayaan anak-anak mereka. Jangan sesekali memandang rendah dan meletakkan pencapaian akademik sebagai kayu ukur kejayaan semata-mata. Sebaliknya bukalah mata, bahawa di luar sana masih ada ruang yang boleh diisi. Dan rebutlah peluang tersebut dengan membuat keputusan yang tepat.

Hakikatnya, setiap yang terjadi sesuai dengan takdir yang ditentukan Allah. Manusia sering terlupa, tidak semestinya setiap yang cantik itu baik dan setiap yang kita benci itu buruk. Ini kerana ada kala apa yang kita benci itu adalah yang terbaik untuk kita.

Oleh itu, kembalilah kepada Tuhan kerana Dia lebih mengetahui. Mohonlah kepadanya agar ada sinar lain yang menunggu bagi menampung kekurangan yang ada pada hari ini. Apapun belajarlah bersangka baik sesama manusia dan lebih-lebih lagi kepada Tuhan.

Ringankan beban ibu bapa

MANUSIA yang terbaik dalam kalangan kamu adalah manusia yang paling bermanfaat terhadap orang lain. Ini dijelaskan daripada Jaabar bin Abdullah r.a, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baiknya manusia ialah yang paling banyak memberi sumbangan berguna kepada manusia yang lain.” (riwayat At-Thabarani: Hasan: Al-Albanani)

Program Kembali ke Sekolah 2015 IAM-Etiqa 11 Disember 2014 3:03 PM


BEGITULAH janji-janji para penerima bantuan.

Realiti kehidupan ibu bapa yang mempunyai anak-anak pasti akan merasai sedikit beban khususnya menjelang sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi. Pakaian dan kelengkapan sekolah yang serba baharu sudah tentu menjadi pendorong kepada anak-anak untuk melangkah ke alam persekolahan.

Bagaimanapun tidak semua ibu bapa mampu menyediakan kelengkapan serba baharu dan lengkap untuk anak-anak mereka. Ada ibu bapa yang terpaksa berusaha lebih untuk memastikan anak-anak dapat memiliki uniform atau pakaian sekolah baharu.

Lantaran itu, golongan ini terpaksa mengharapkan bantuan daripada pihak yang prihatin bagi membolehkan sesi persekolahan baharu dapat dilalui dengan sedikit keselesaan.

Prihatin dengan nasib golongan kurang mampu itu, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) terus menghulurkan bantuan bagi membantu mereka yang memerlukan. Program kemanusiaan yang bertemakan ‘Kembali Ke Sekolah’ merupakan antara program tahunan untuk komuniti bertujuan membantu pelajar daripada kalangan kurang berkemampuan bagi mendapatkan pembiayaan persediaan untuk memulakan musim persekolahan yang baharu. Ia sekali gus meringankan bebanan ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Program ini memfokuskan anak-anak yatim, anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak-anak golongan fakir miskin di kawasan luar bandar.

Kini, memasuki tahun ketiga penganjurannya, IAM bersama rakan kemanusiaannya, Etiqa Takaful Berhad telah berganding bahu dalam membantu para pelajar miskin yang terpilih untuk memastikan mereka menerima kelengkapan persekolahan baharu sebelum bermulanya sesi persekolahan 2015.

Program ini telah memberi manfaat kepada lebih 1,350 orang pelajar di peringkat sekolah rendah dalam persediaan untuk memasuki sesi persekolahan 2015. Melalui program ini sebanyak tujuh siri penjelajahan telah dilaksanakan bermula pada hujung November hingga penghujung Disember.

Ia melibatkan kunjungan ke Perak, Johor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak dan Pahang bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat daripada pihak Etiqa Takaful Berhad kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Hayati intipati khutbah nikah

APABILA tiba musim cuti sekolah ramailah yang mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan kerana percaya ramai yang mempunyai kelapangan berkunjung untuk memeriahkan hari bersejarah bagi pasangan mempelai itu.

Justeru, sibuklah naib-naib kadi lantaran permintaan yang tinggi sepanjang cuti sekolah ini. Memang hasrat ini amatlah baik kerana Islam juga menggalakkan kita meraikan pasangan pengantin baharu. Malah adalah menjadi syiar Islam mengumumkan sesuatu perkahwinan itu.

Majlis perkahwinan yang hebat tiada makna jika tidak kekal lama


Saat menjadi suami isteri iaitu tatkala lafaz ijab dan kabul itu sempurna. - Gambar hiasan

Tidak kurang juga pasangan muda-mudi yang mundar-mandir berdebar-debar menghadapi saat yang amat penting, terutamanya ketika sebelum majlis akad nikah. Debaran di hadapan naib kadi ini kadang-kadang bukanlah suatu yang boleh dipermainkan. Kelazimannya, soalan lazim daripada naib kadi jadi sukar dek kerana gemuruh. Bahkan, soalan popular seperti rukun nikah seringkali hilang daripada ingatan.

Dalam sesuatu majlis perkahwinan perlulah kita membezakan yang mana suatu adat dan yang mana suatu ibadat. Daripada sudut Islam, upacara akad nikah itu sebenarnya lebih penting berbanding kenduri itu sendiri kerana saat menjadi suami isteri iaitu tatkala lafaz ijab dan kabul itu sempurna.

Maka bermulanya layar bahtera perkahwinan suami isteri tersebut dan keluarga ini perlu diacu mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak. Berapa ramai pasangan pengantin baharu dan ahli keluarga yang menghantar pengantin itu memberi tumpuan kepada khutbah nikah yang disampaikan oleh juru nikah? Sebenarnya intipati khutbah nikah itu amat bermakna untuk dijadikan teladan dan sempadan dalam setiap perkahwinan.

Walaupun kenduri majlis perkahwinan itu dituntut dalam Islam namun apalah gunanya jika wang dihabiskan untuk majlis tersebut di tempat-tempat mewah tetapi apabila hendak memulakan kehidupan seharian, si Raja Sehari itu terpaksa meminjam dan meminta-minta daripada orang lain.

Ia sebenarnya membawa implikasi besar kerana tanggungjawab menyara keluarga adalah terpikul di pundak si suami sepenuhnya. Tiada guna bermegah-megah dengan majlis yang mewah tetapi perkahwinan pula tidak dapat bertahan kerana masalah kewangan dan sikap tidak bertanggungjawab suami.

Di samping itu, penulis mengambil kesempatan di ruangan ini untuk menasihati pasangan pengantin baharu agar memperdalami ilmu agama, tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kerukunan rumah tangga hendaklah sentiasa disemai dan dibajai agar ia mekar dan mencapai matlamat rumah tangga yang sebenar iaitu mawaddah wa rahmah (kasih dan sayang).

Memanglah tidak dinafikan sesebuah rumah tangga itu mesti akan diuji, anggaplah ujian itu sebagai pemangkin menambah kasih sayang antara suami isteri itu. Oleh itu, ketepikan ego dan dendam bagi memastikan layar bahtera rumah tangga itu dapat dilayari dengan baik.

Dengan cara ini, segala masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. Saling bermaafan amatlah penting bagi memastikan kasih sayang sentiasa dipupuk.

Adalah amat penting juga diingatkan kepada pengantin-pengantin baharu bahawa perceraian bukanlah suatu permainan. Sepertimana pernikahan, perceraian membawa implikasi yang amat besar kepada pasangan dan keluarga. Malah perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci oleh Allah SWT.

Lafaz talak itu jangan sekali-kali dibuat mainan kerana walaupun tanpa niat ia mungkin akan membawa kesan menggugurkan talak terhadap pasangan, apatah lagi sekiranya ia dilafazkan berkali-kali yang mungkin membawa kepada perceraian yang tidak boleh dirujuk lagi. Apabila perkara ini berlaku penyesalan sudah tidak bermakna lagi.

Perkara yang sering dilupakan oleh pasangan pengantin baharu ialah belajar ilmu agama walaupun sepatutnya tatkala bergelar suami atau isteri persoalan ini tidak perlu diungkit lagi. Namun, bagi peringatan kita yang sering lupa, suami wajib mengajar sekurang-kurangnya ilmu fardu ain kepada isterinya.

Jika suami itu tidak mampu mengajar isterinya maka hendaklah si suami mencari pengajar-pengajar agama bagi mengajar isteri. Malah amat baik sekiranya si suami turut meluangkan masa bersama isteri mendalami ilmu agama itu kerana sekiranya terdapat sebarang masalah di dalam keluarga suami isteri ini boleh kembali kepada agama bagi mencari formula penyelesaiannya. Lantaran itu, risiko perceraian akan dapat dikurangkan.

BAGI orang Islam di Malaysia, terdapat undang-undang khusus berhubung dengan perkahwinan dan perceraian. Undang-undang ini digubal bagi memelihara hak-hak sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam.

Undang-undang ini dinamakan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Akta/Enakmen ini telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia. Amatlah penting bagi suami isteri mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri menurut undang-undang yang berkuat kuasa.

Undang-undang ini mengawal peraturan dan tatacara sebelum perkahwinan, semasa dalam tempoh perkahwinan dan juga selepas perkahwinan dibubarkan.

Ketahuilah hak masing-masing agar apabila sesuatu buruk berlaku, mudah bagi kita merujuk jalan penyelesaiannya ataupun sekurang-kurangnya sudah bersedia menghadapinya. Sudah tentu kursus-kursus perkahwinan yang diadakan beberapa hari terlalu singkat untuk mendedahkan perkara sebenarnya kepada pasangan pengantin.

Kursus-kursus ini sebenarnya hanya memberi lontaran idea dan gambaran kasar alam perkahwinan kelak secara teori. Ia tidak mencukupi bagi mengeratkan simpulan ikatan pernikahan antara kedua pasangan.

Apa juga keadaannya, terpulanglah kepada kedua pasangan bagaimana mencorakkan rumah tangga mereka itu. Tanyalah diri masing-masing, rancang perbelanjaan dan pendidikan bagi diri dan keluarga.

Sentiasalah berbincang antara satu sama lain sesuatu perkara, sama ada dianggap sebagai remeh-temeh atau tidak. Hormatilah pasangan masing-masing terutamanya apabila menggalas tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan kemudiannya sebagai ibu atau bapa.

Semakin hari tanggungjawab yang dipikul itu akan semakin berat dan sekiranya kita tidak mendekatkan diri kepada Allah SWT, sudah pasti Allah tidak akan membantu kita meringankan bebanan tersebut.

Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada semua pasangan yang melangsungkan perkahwinan di musim cuti sekolah ini. Semoga pernikahan kalian berkekalan selagi hayat dikandung badan.

Janganlah akhiri pernikahan yang suci ini di mahkamah syariah, apatah lagi di tempat-tempat lain yang tidak sepatutnya. Pernikahan yang dilakukan dengan disulami oleh adat dan ibadat janganlah dinodai dengan perceraian.

Sekiranya sudah tidak dapat dielakkan lagi suatu perceraian, lakukanlah ia dengan penuh hormat dan rasa tanggungjawab.

Hukum ucap selamat perayaan bukan Islam

HIDUP dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia). Satu persoalan yang sering dibahaskan adalah hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sudah sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19)


Nah ucap hello kat dia ni ...

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah memutuskan bahawa:

1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka. Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa: 86). Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Ini termasuk memakai pakaian Santa Claus atau memakai topi Santa.

Merungkai isu ini, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menegaskan, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu.

Oleh itu, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn ‘Abbas RA menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Pelaburan saham amanah

Saya mengeluarkan zakat sebanyak RM3,000 secara berperingkat selama setahun. Zakat tersebut dibahagikan kepada keluarga terdekat yang termasuk dalam asnaf dan fisabilillah (cucu-cucu yang belajar dan memerlukan bantuan kewangan). Adakah pemberian zakat secara sedemikian dibolehkan?

JAWAPAN: Pemberian zakat mestilah kepada asnaf yang disebut dalam al-Quran. Terdapat segelintir orang yang memberi zakat kepada anak yatim kerana kasihan belas kepada anak yatim. Namun begitu, hendaklah disedari bahawa anak yatim tidaklah termasuk dalam asnaf zakat. Namun jika anak yatim itu miskin maka ia berhak diberikan zakat kerana kemiskinan, bukan kerana statusnya sebagai anak yatim.

Pemberian zakat secara sendirian tanpa melalui pejabat zakat pada dasarnya adalah harus. Ini kerana kewajipan zakat adalah agihan kepada asnaf zakat. Namun, ia tidak sewajarnya mengabaikan peranan pejabat zakat.



Dalam hukum simpanan pelaburan dalam ASB, terdapat perbezaan fatwa antara harus dan haram. – Gambar hiasan

Agihan pejabat zakat lebih menyeluruh dan bersistem. Bantuannya lebih besar. Ada bantuan zakat secara bulanan kepada asnaf yang layak. Ada juga bantuan zakat kepada OKU dan sebagainya. Maka agihan zakat secara sendirian sahaja sehingga mengabaikan pejabat zakat akan melumpuhkan pejabat zakat. Ini akan menyebabkan ramai asnaf zakat yang bertebaran dalam sesebuah negeri tidak dapat menerima bantuan zakat.

Oleh itu, hendaklah agihan zakat diberikan kepada pejabat zakat. Namun ada sedikit lebihan untuk diagihkan sendiri. Contohnya 75 peratus zakat diberikan kepada pejabat zakat manakala 25 peratus lagi diagihkan sendiri.

Mungkin juga 80 peratus zakat diberi kepada pejabat zakat manakala bakinya diagihkan sendiri. Ini sekadar contoh yang mana setiap pejabat zakat mungkin mempunyai sistem yang tersendiri. Maka sewajarnya kita bertanya kepada pejabat zakat di tempat kita untuk kepastian.

Bersama AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (al-Jarumi) 
Pensyarah, Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kemusykilan boleh diajukan ke nidiium@yahoo.com dan agama@utusan.com.my

Belakangan ini terlalu banyak tawaran yang dibuat oleh pihak bank tentang pelabuhan saham amanah yang menggunakan simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Benarkah kaedah pelaburan menggunakan wang KWSP adalah haram? Tolong berikan pencerahan akan garis panduan berkaitan urusan pelaburan saham amanah kerana saya juga mempunyai saham amanah tetapi dilaburkan kepada urus niaga yang menepati syariah.

Jawapan

Keharusan penggunaan duit hasil dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bergantung kepada hukum simpanan pelaburan dalam ASB. Dalam hukum simpanan pelaburan dalam ASB, terdapat perbezaan fatwa antara harus dan haram.

Terdapat fatwa negeri yang menyatakan bahawa haram membuat simpanan pelaburan di ASB. Ini kerana masih terdapat pelaburan ASB di tempat yang tidak patuh syariah. Namun terdapat fatwa negeri yang menyatakan bahawa hukumnya harus membuat simpanan pelaburan di ASB.

Begitu juga, jika saya tidak silap, keputusan muzakarah fatwa kebangsaan berpendapat bahawa ASB adalah harus.

Oleh itu, Muslim yang memegang fatwa haram, maka haram baginya untuk terlibat dengan ASB. Dividen ASB juga adalah haram. Namun bagi Muslim yang memegang fatwa harus, maka harus baginya terlibat dengan ASB. Dividen ASB juga adalah harus. Apabila dividennya harus, maka duit dividen itu harus digunakan untuk membayar hutang dan sebagainya.

Dalam hal perbezaan fatwa ini, adalah harus bagi masyarakat awam untuk memilih mana-mana pendapat. Kita tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak yang bertentangan pendapat dengan kita. Keharaman atau keharusan dalam perkara ini adalah hasil ijtihad majlis fatwa.

Tujuh harta wajib ditunaikan

Segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Ini termasuk harta benda yang dipinjamkan kepada hamba-Nya. Hakikatnya, manusia diberi kurniaharta benda dan kekayaan sebagai rahmat dan amanah yang harus dipergunakan sebagaimana diperintahkan. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hadid ayat 7:

"Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah), mereka tetap memperoleh pahala yang besar."

Menurut Islam, harta adalah amanah Allah. Sebagai seorang Muslim, setiap amanah mesti diuruskan dan dibelanjakan dengan baik. Perspektif harta kepada seorang Muslim yang bijak adalah dengan memastikan seseorang itu mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat melalui hartanya.

Kepentingan cari rezeki halal

Dalam perkongsian minggu lalu, Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menarik perhatian pendengar berkenaan "Mengenal Yang Haram Dalam Rumahtangga" dalam perspektif harta. Beliau mengingatkan pendengar mengenai kepentingan mencari rezeki halal agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu mengenai apa yang dibenarkan dan dilarang Islam dalam urusan mencari rezeki. Hasil daripada rezeki yang haram boleh mengakibatkan kerugian dan kesengsaraan pemilik dan ahli keluarganya itu di dunia dan akhirat.

Kesinambungan kepada tajuk mencari yang halal, minggu ini Pesona D'Zahra meneruskan bicara dalam tajuk harta dengan pengisian kali ini bertajuk "Harta yang Wajib Ditunaikan".  Ustaz Muhamad memberi peringatan untuk kita sama-sama bermuhasabah mengenai soal membelanjakan harta yang dikurniakan kepada kita.

Menjelaskan perkara itu, Ustaz Muhamad menyenaraikan tujuh harta wajib ditunaikan. Harta yang diwajibkan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan perlu ditunaikan haknya atau jika tidak, ia akan menyebabkan seseorang itu menyimpan harta yang haram. Sesungguhnya harta yang haram itu menyebabkan dosa dan membawa pemiliknya ke azab api neraka.

Mendahului senarai berkenaan adalah zakat. Zakat adalah harta yang di dalamnya terdapat hak orang yang memerlukan. Zakat wajib ditunaikan terhadap mereka yang memiliki hak ke atasnya. Allah memerintahkan agar hamba-Nya membelanjakan sebahagian rezeki ke arah sedekah, infak, dan zakat, yang kesemuanya itu menggunakan harta.

Justeru Allah mewajibkan manusia mencari nafkah yang berupa harta yang halal.  Bahkan Dialah yang memberi rezeki dalam setiap usaha yang dilakukan. Rezeki yang dikurniakan Allah juga adalah ujian dalam menentukan sifat syukur seseorang. Syukur itu dimanifestasikan dengan menunaikan perintah Allah antaranya dengan jalan zakat.

Jangan berasa takut untuk mengeluarkan harta di jalan kebajikan kerana setiap jumlah dikeluarkan kerana mencari reda Allah, semuanya akan diganti baik di dunia dan dibalas berganda-ganda ganjarannya di akhirat.

Bahkan jika direnung, belum pernah terdapat seseorang yang menjadi miskin dan bankrap disebabkan zakat.  Malah kebenarannya, harta yang ditunaikan zakat akan beroleh keberkatan dan memberi manfaat kepada pemiliknya dan orang lain yang turut sama menikmati perkongsian hak itu.

Yang kedua adalah nazar. Nazar oleh seseorang yang membabitkan niat mengeluarkan harta atas sesuatu harapan. Sekiranya termakbul doa tertentu adalah wajib untuk ditunaikan menurut apa yang dijanjikan. Jika tidak, harta atau bahagian nazar yang disimpan akan menjadi haram.

Elak terima bahagian bukan hak

Seterusnya adalah wasiat. Dalam keadaan berlakunya perjanjian harta yang dimeterai antara dua pihak sebagai wasiat, baik secara tertulis mahupun secara lisan adalah menjadi wajib untuk ditunaikan menurut syarak. Ahli keluarga perlu berhati-hati dalam menunaikan hak wasiat dan elakkan menerima bahagian yang bukan hak dan milik kita.

Ingatlah, Allah akan memberi ganti ke atas mereka yang menjaga wasiat serta berhati-hati dalam perkara rezeki.

Perkara keempat dalam senarai tajuk harta yang perlu ditunaikan adalah harta faraid. Sebaiknya, kiraan faraid mengikut hukum hendaklah dilaksanakan dahulu sebelum pembahagian mengikut perkiraan atau persetujuan sesama ahli keluarga dan semua yang terbabit  mestilah direlakan semua pihak.

Bersikap jujur adalah sangat penting dalam menunaikan hak faraid kerana sekiranya kita mengambil hak orang lain ia akan menjadi dosa besar.

Berikutnya adalah nafkah suami ke atas isteri. Suami yang beriman perlu melaksanakan hak nafkah ke atas mereka yang berada di bawah tanggungannya. Ustaz Muhammad menasihatkan suami agar jangan berkira atau kedekut dalam berbelanja ke atas isteri dan keluarga kerana ia wajib ditunaikan mengikut kemampuan dan keperluan ahli keluarga.

Walaupun sekiranya isteri turut bekerja, tugas isteri hanyalah sekadar membantu. Suami tetap bertanggungjawab menanggung keperluan asas perbelanjaan rumahtangga. Gagal melaksanakannya akan menjadikan harta yang disimpan itu menjadi haram.

Hutang adalah yang seterusnya dalam senarai harta yang wajib ditunaikan. Dalam Islam ada disebutkan berkaitan hutang, iaitu firman Allah yang bermaksud: "Jika yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya." (Surah al-Baqarah, ayat 283).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu. Namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Juga sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)." (Hadis riwayat Muslim).

Hidup tidak tenteram dibeban hutang

Islam jelas menyatakan berhutang meninggalkan kesan negatif kepada manusia kerana hidup tidak tenteram apatah lagi beban hutang akan dibawa hingga ke akhirat jika tidak dilunaskan. Islam mengharuskan umatnya berhutang, tetapi setiap hutang perlu dibayar semula. Namun berhati-hatilah dalam mengelakkan berhutang untuk perkara yang tidak penting dan pastikan kita berusaha membayar setiap hutang diterima.

Yang terakhir adalah Kaffarah. Ia adalah denda. Contoh kaffarah adalah dam ketika di Makkah dan ia ditunaikan kepada fakir miskin saja. Bagi mereka yang melanggar nazar atau menarik balik nazar, mereka hendaklah membayar kaffarah (denda) nazar. Ia sama dengan kaffarah sumpah iaitu sama ada memberi makan sepuluh orang miskin atau memberi mereka pakaian atau memerdekakan seorang hamba.

Sekiranya tidak mampu melakukan salah satu daripadanya, hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari sebagai ganti. Ini dijelaskan dalam ayat al-Quran: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat.

Dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

Apa yang disebutkan adalah tujuh harta yang wajib ditunaikan dalam kehidupan seorang Muslim. Berusaha untuk mematuhi perintah Allah dalam hal berkaitan menunaikan hak terhadap diri kita untuk berlaku jujur, dan terhadap orang lain untuk berlaku adil dan ikhlas. Mazlina Ismail Berita Harian Rencana 9 Disember 2014

Ulama sembunyikan kebenaran dianggap pengkhianat

Firman Allah SWT yang bermaksud:"Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk." (Surah al-Baqarah, ayat 159)

Al-Suyuti meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya sebilangan umat Islam termasuk Muaz bin Jabal, Saad bin Muaz dan Zaid bin Kharijah bertanya pendeta Yahudi mengenai tanda kelahiran nabi yang bakal dilahirkan pada akhir zaman seperti dalam kitab Taurat.

Bagaimanapun, mereka enggan memberitahu sebaliknya menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan umum. Ayat ini diturunkan kerana ahli kitab telah menyembunyikan sebahagian daripada isi kandungan kitab suci mereka dengan beberapa cara. Antaranya, mereka tidak menerangkan nas kitab suci kepada manusia ketika diperlukan seperti berita kedatangan Nabi SAW dan sifat Baginda.

Mereka mengubah setiap perkataan ketika menterjemahkannya, atau menta'wilkan dengan sesuatu pengertian yang tidak benar kerana dorongan hawa nafsu mereka. Justeru, dalam ayat ini, Allah SWT mencela perbuatan jahat dan melaknat mereka untuk selama-lamanya. Ahli Kitab menyembunyikan perkara menyentuh mengenai Islam dan Nabi Muhammad SAW seperti yang terdapat dengan terang lagi jelas dalam kitab Taurat serta Injil.

Oleh itu, malaikat dan manusia akan melaknati dan menjauhi rahmat ke atas mereka. Kandungan ayat itu mencakupi setiap orang yang menyembunyikanilmu diwajibkan Allah SWT untuk diterangkan kepada semua manusia.

Sorok ilmu terima balasan api neraka

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa ditanya mengenai suatu ilmu yang diketahuinya, tetapi dia menyembunyikan, maka hari kiamat dia dikekang dengan kekangan daripada api neraka." (Riwayat Abu Daud) Diriwayatkan, Abu Hurairah berkata, "Jika tidak kerana suatu ayat dalam al-Quran, sudah tentu aku tidak mahu meriwayatkan kepada kamu semua. Kemudian, beliau membaca ayat berkenaan." Faktor Allah SWT melaknat Bani Israel menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sentiasa tidak berlarang- larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 79) Golongan ahli kitab memang mengetahui daripada keterangan kitab suci mereka kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW dan perintah disampaikan Baginda, namun menyembunyikan keterangan itu.

Meskipun asalnya asbab nuzul ayat itu mengenai pendeta Yahudi dan Nasrani yang menyembunyikan ajaran Allah SWT, mesej ayat hendaklah difahami secara umum meliputi semua pengkhianat dan yang menyembunyikan kebenaran hingga ke Hari Kiamat.

Sengaja menjauhi ayat termaktub dalam kitab

Mereka sengaja menjauhi ayat yang termaktub dalam kitab Allah SWT dan tidak menzahirkannya kepada umum, malah mendiamkan diri serta menyembunyikannya untuk menafikan hakikat yang diterangkan oleh ayat itu supaya terlindung daripada kesedaran orang ramai demi tujuan keduniaan.

Mereka seolah-olah menjadi sasaran laknat ke atas mereka dari segenap penjuru. Maksud laknat dalam konteks ayat ini ialah pengusiran daripada rahmat Allah dengan penuh kemurkaan dan ancaman. Itulah manusia yang dikutuk Allah SWT iaitu mereka diusir daripada rahmat-Nya. Balasan itu memang wajar dan adil kerana menyembunyikan kebenaran daripada manusia adalah satu pengkhianatan terhadap Allah dan rasul-Nya.

Pengkhianat sembunyikan kebenaran untuk duniawi Pengkhianat biasanya menyembunyikan kebenaran dengan motif melindungi kepentingan duniawi mereka. Keadaan itu dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan ulama pengecut dan bacul yang wujud dalam masyarakat Islam yang ditindas kebebasannya pada setiap zaman.

Oleh sebab itu kita melihat keseluruhan Bani Israel telah dilaknat kerana tidak melaksanakan kewajipan mencegah kemungkaran. Kemudian, wajib segolongan dalam satu umat yang menjalankan tugas makruf dan nahi munkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Justeru, menyampaikan ilmu dan menjelaskan kebenaran tugas setiap orang. Adapun menyembunyikan kebenaran an mendokong kebatilan tidak akan menghasilkan apa-apa melainkan mengundang laknat serta kemurkaan daripada Allah SWT.
Ahmad Shukri Yussof Berita Harian Rencana Agama Jumaat, 12 Disember 2014

“Menangani Sikap Ekstrim Dalam Melaksanakan Jihad”

Petikan Khutbah Jumaat 12 Disember 2014: Jabatan Agama Islam Selangor

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT.,

Muslimin yang berbahagia,

Dunia semakin menghampiri kiamat. Semakin banyak tanda-tanda kecil kiamat yang biasa berlaku di sekitar kita.

Antara tanda-tanda kiamat yang
diberitahu oleh Rasulullah SAW adalah banyaknya berlaku peperangan dan pembunuhan.

Sidang Jumaat sekalian,

Fenomena banyaknya kematian berlaku apabila berlakunya peperangan.

Peperangan yang berlaku pada abad ke 20 yang lalu telah
menyaksikan jutaan manusia dibunuh.

Hari ini, pada abad ke 21, peperangan
terus berlaku di beberapa negara seperti Syria, Iraq dan Palestin. Ia turut mengorbankan banyak nyawa.
Pembunuhan yang berleluasa sehingga pembunuh tidak tahu mengapa dia perlu membunuh dan mangsa bunuh tidak tahu apakah motif dia dibunuh.

Manusia membunuh semahunya.
Ia mencetuskan suasana fitnah sehingga antara kumpulan bertentangan tidak mengenali siapa musuh dan siapa kawan.
Peperangan tersebut bukan sahaja melibatkan pihak pemerintah yang zalim dan mangsa kezaliman.
Al-Qur'an mengajar kita bahawa jihad peperangan memerlukan ilmu. Justeru semangat untuk berjuang sahaja tidak cukup untuk meneruskan cita-cita murni itu. Ini dapat diamati dari beberapa nas al-Qur'an:
i. Allah SWT tidak terus mewajibkan jihad perang ketika umat ditindas oleh musuh. Ada ketika kita disuruh bersabar dan ada ketika kita diperintahkan berperang.
ii. Jihad mestilah dipimpin oleh ketua yang alim atau dirujuk kepada para ulama.

Ini kerana tentera yang berjihad perlu mengetahui,
bilakah peperangan itu wajar diteruskan, bilakah pula perdamaian perlu diterima.

Bagaimana menguruskan tawanan dan harta
rampasan serta bagaimana pula menegakkan hukum selepas kemenangan.

Semuanya ini telah disediakan panduan dalam nas-nas
al-Qur'an dan hadis Rasulullah SAW.

Kerana itulah, Allah SWT
menentukan Talut dipilih menjadi panglima perang berdasarkan kekuatan ilmu dan fizikalnya.

iii. Umat Islam yang berjihad perlu dilengkapkan dengan ilmu.
Sidang Jumaat sekalian,
Kejahilan terhadap fekah jihad akan mendorong tentera yang berjuang melakukan perkara yang lebih memburukkan keadaan.

Ini kerana suasana
peperangan memungkinkan pelbagai taktik digunakan oleh musuh utama untuk melemahkan Islam.

Sejarah pertembungan Islam dengan kuasa Barat
yang panjang menjadikan mereka sentiasa mencari jalan untuk menghalang
kebangkitan Islam yang sebenar.

Antara langkah utama mereka menyekat kebangkitan ini adalah dengan menghalang umat Islam mendapat pendidikan dan ilmu Islam yang sempurna.

Terdapat bukti-bukti menunjukkan campur
tangan Barat dalam sistem pendidikan Islam termasuk di universiti terkemuka umat Islam.
Langkah berikutnya adalah menggunakan kelemahan dua golongan di kalangan umat Islam iaitu golongan longgar dan golongan ekstrim.

Golongan
yang longgar ini bermudah-mudah dengan ajaran Islam.

Kelemahan itu
menyebabkan mereka mula diresapi ideologi asing dan cenderung kepada Islam liberal, Islam demokrat, pluralisme agama dan lain-lain.
Manakala bagi golongan ekstrim pula, sikap mereka terlalu sayangkan Islam tetapi tidak memahami Islam.

Kejahilan mereka dipergunakan untuk
memberi imej buruk terhadap Islam di mata masyarakat dunia.

Mereka
berjihad tanpa memahami fekah lalu bersikap gelojoh dalam memartabatkan Islam.

Mereka melaksanakan undang-undang Islam tanpa mengikut syarat-syarat
dan prosedur yang sepatutnya.

Semangat yang berapi-api tanpa ilmu akan mendorong pendekatan keras dan ekstrim seperti yang pernah timbul dari kelompok Khawarij dalam sejarah Islam.

Sikap yang mirip Khawarij itu adalah seperti
berikut:

i. Mereka dengan mudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak menyokong gerakan mereka.
ii. Mereka memerangi semua golongan yang tidak menerima mereka tanpa mengira latar belakang dan alasan orang yang menolak
mereka.
iii. Mereka menggunakan hujah dari nas al-Qur'an secara zahir tanpa merujuk kepada huraian dari hadis dan tafsiran para ulama.


Mengakhiri khutbah pada hari ini maka marilah kita sama-sama mengambil langkah-langkah seperti berikut;

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa Islam mengajar umatnya sikap sederhana, merendah diri sesame Islam dan bertegas dengan
musuh-musuh Islam yang kafir.
2. Umat Islam hendaklah mempertingkatkan ilmu yang berkaitan dengan jihad dan amalan hidup Islam khususnya berkaitan dengan jihad.

Dua
sikap inilah yang nyata telah hilang dari kumpulan-kumpulan yang ekstrim sehingga mencetuskan permusuhan sesama Islam.

Justeru,
umat Islam hendaklah berwaspada terhadap sikap dan pendekatan seperti ini dengan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tafsir alQuran, hadis dan fekah jihad.
3. Umat Islam hendaklah memantapkan iman dan memperkasakan Islam dengan ilmu pengetahuan.

4. Langkah pertama umat Islam hendaklah membantu dengan menghulurkan bantuan berupa kewangan dan doa kepada mangsa peperangan.
5. Kita hendaklah jangan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah jihad yang ekstrim.

Wallahualam.

Kenapa kita harus berdoa?

ALLAH SWT berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku, akan Aku masukkan mereka ke neraka jahanam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir: 60)

Dalam ayat ini, ALLAH menegaskan berdoa dan memohon kepada ALLAH itu adalah ibadah. Oleh kerana itu, ALLAH menyatakan orang-orang yang tidak mahu berdoa kepada-Nya adalah mereka yang sombong dan angkuh untuk tidak mahu menyembah-Nya. ALLAH juga menegaskan dalam ayat tersebut, bagi mereka yang tidak mahu menyembahnya, ALLAH akan masukkan mereka ke dalam neraka dalam keadaan yang hina walaupun ALLAH sudah menjanjikan akan mengabulkan doanya.

Gambar Hiasan


Doa sebagai ibadah itu ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya. Daripada Al-Nu’man bin Basyir RA berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Doa itu adalah ibadah, kemudian Baginda SAW membaca ayat 60 Surah Ghafir yang bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku, akan Aku masukkan mereka ke neraka jahanam dalam keadaan hina." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, al-Nasa’i & Hakim)

Dalam riwayat lain disebutkan, daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meminta kepada ALLAH, Dia akan marah kepadanya." (Riwayat Tirmidzi)

Bukan sekadar meminta

Falsafah doa dalam Islam itu tidak hanya sekadar meminta dan memohon apa yang diinginkan seorang hamba terhadap Tuhannya, tetapi doa adalah satu bentuk penghinaan dan kerendahan hati di hadapan ALLAH. ALLAH Yang Maha Agung dan Maha Kuasa atas segala sesuatu termasuk mengabulkan apa yang diminta oleh hamba-Nya sehingga tidak ada sedikit pun rasa sombong dalam jiwa hamba tersebut.

Sebagaimana yang terjadi kepada Qarun yang berasa semua harta kekayaan yang dimiliki adalah usaha dan kepandaian dirinya sendiri sehingga timbul kesombongan dalam dirinya. ALLAH menjelaskan contoh Qarun itu dalam al-Quran yang bermaksud: "Dia (Qarun) berkata, “Sesungguhnya aku dapat (harta itu), semata-mata kerana hasil ilmu yang ada padaku.” Tidakkah dia tahu bahawa ALLAH telah membinasakan umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya perihal dosa mereka." (Surah al-Qasas: 78)

Doa dalam Islam juga adalah menifestasi daripada kebergantungan seorang hamba terhadap Tuhannya, tidak kepada yang lainnya. Hanya ALLAH yang Maha Kuasa di atas segala sesuatu sehingga tidak seharusnya seorang hamba lebih berharap kepada makhluk yang tidak mampu memberikan manfaat tanpa izin ALLAH. ALLAH berfirman lagi: "Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan ALLAH dan ALLAH Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji." (Surah Fatir: 15)

Sering kali kita berasakan sudah banyak kita berdoa kepada ALLAH, namun tidak pernah dikabulkan. Hal ini telah ditegaskan Dia akan mengabulkan doa hamba-Nya yang berdoa kepada-Nya.

Maka harus kita fahami terlebih dahulu adalah tidak selamanya doa yang kita panjatkan itu dikabulkan sesuai dengan apa yang kita minta kerana Nabi Muhammad SAW menjelaskan doa kita itu dijawab dalam tiga bentuk iaitu:-

Diberikan apa yang kita minta.

Dihindarkan daripada keburukan yang setara dengan kebaikan yang kita minta.

Disimpan sebagai pahala kita di akhirat nanti.

Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan suatu doa yang tidak mengandungi dosa dan pemutusan silaturahim, kecuali akan diberikan kepadanya satu daripada tiga hal: boleh jadi ALLAH akan kabulkan doanya (di dunia), atau ALLAH hindarkan daripadanya keburukan yang setara dengan hal yang diminta, atau ALLAH simpan baginya sebagai perbendaharaan pahala semisalnya di akhirat." Sahabat berkata: "Wahai Rasulullah SAW, jika demikian kami akan memperbanyakkan doa." Rasulullah SAW bersabda: "ALLAH lebih banyak lagi (mengabulkan)." (Riwayat Tirmizi, Ahmad, Thabrani, Hakim & Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Kemudian, kita berasa doa kita tidak dikabulkan ALLAH SWT padahal kita selalu dan sudah banyak berdoa kepada-Nya. Itu adalah satu daripada sifat tergesa-gesa yang menjadi penyebab akhirnya doa kita memang tidak dikabulkan ALLAH sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda:  "Akan dikabulkan doa orang yang berdoa di antara kalian, selagi dia tidak tergesa-gesa. Iaitu dia berkata, aku telah berdoa tetapi tidak dikabulkan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Kita harus menjaga diri kita daripada hal-hal yang menyebabkan doa kita tidak dikabulkan ALLAH:

1. Memakan harta yang haram

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH itu baik, tidak menerima kecuali yang baik." Dan sesungguhnya ALLAH memerintahkan orang beriman sebagaimana Dia memerintahkan rasul-Nya dengan firman-Nya: "Wahai rasul sekalian! Makanlah makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah kebaikan. Sesungguhnya, Aku Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mukminun: 51)


ALLAH berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada ALLAH jika kamu hanya menyembah kepada-Nya." (Surah al-Baqarah: 172)

2. Tidak yakin akan dikabulkan dan tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa

Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: "Berdoalah kepada ALLAH, disertai keyakinan kalian akan terkabulnya doa kalian, dan ketahuilah oleh kalian, bahawa ALLAH tidak menerima doa daripada hati yang lupa lagi lalai." (Riwayat Tirmizi, Hakim & Baihaqi)

3. Berdoa meminta sesuatu yang sebenarnya berdosa atau pemutus silaturahim

Abu Hurairah RA. meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Senantiasa akan dikabulkan doa seorang hamba selama dia tidak berdoa dalam perkara dosa, perkara yang memutus silaturahim serta selama tidak tergesa-gesa dalam doanya." Salah seorang sahabat bertanya: "Apa yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa dalam doanya, ya Rasulullah?" Baginda SAW mengatakan: "Dia mengatakan aku telah berdoa, aku telah berdoa namun aku tidak melihat ALLAH mengabulkannya untukku, kemudian dia berpaling dan meninggalkan doanya." (Riwayat Muslim)


Semoga kita termasuk dalam golongan hamba ALLAH yang sentiasa berdoa kepada ALLAH sebagai bentuk ibadah, penghinaan diri di hadapan ALLAH dan kebergantungan kita hanya kepada-Nya. Insya-ALLAH!

Tidak sedar syirik dalam doa

ANTARA keistimewaan Islam ialah ALLAH Azza wa Jalla menyediakan ruang secara langsung untuk sesiapa sahaja berhubung, memohon, merayu, merintih, meminta dan berdoa mengikut keperluan masing-masing. Sama ada pemimpin atau rakyat biasa, miskin atau kaya, tua atau muda, orang awam atau orang agama, tidak kira latar bangsa dan kedudukannya, di mana sahaja dia berada, kutub selatan atau utara; semua diberikan ruang dan peluang yang sama.

Berdoa terus kepada ALLAH

Mintalah kerana ALLAH itu Maha Mendengar. Pohonlah kerana ALLAH itu Maha Memakbulkan. Istighfarlah kerana ALLAH itu Maha Pengampun. Malam atau siang, pagi atau petang, di masjid atau di padang, sambil berdiri atau baring melintang, ALLAH tetap mendengar apa yang kita minta. ALLAH itu sangat dekat dengan hamba-Nya, bahkan lebih dekat daripada apa yang kita sangkakan.


Gambar Hiasan


ALLAH bersedia untuk mendengar, bersedia untuk memberi, bersedia untuk memakbulkan. Bila dan bagaimana? Terserahlah kepada keadilan dan ketentuan-Nya. ALLAH berpesan kepada Baginda SAW: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul". (Surah al-Baqarah: 186)

Dalam ayat lain, ALLAH menyatakan: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya". (Surah Qaf: 16)

Justeru, berhubung dan berdoalah secara langsung kepada ALLAH. Selagi mana kita bergelar hamba, selama itulah kita mempunyai hak untuk berdoa. ALLAH tidak pernah mendiskriminasikan hamba-Nya mengikut bangsa, warna kulit, pangkat, jawatan dan harta. Hanya nilai takwa yang membezakan antara manusia.

Perantaraan dalam doa

Namun begitu, Islam tetap membenarkan kita untuk mewujudkan perantaraan dalam berdoa. Hal ini disebut sebagai tawasul. Tawassul berasal daripada bahasa Arab wasilah, tawassala-yatawassalu-tawassulan. Tawassul dalam berdoa bermaksud kita menjadikan sesuatu sebagai perantara dalam doa.

Apakah perkara yang boleh kita tawasul? Ada tawassul yang dibenarkan dan ada tawassul yang diharamkan, bahkan boleh jatuh kepada kesyirikan.

Tawassul  dibenarkan

Pertama: Tawassul dengan nama ALLAH. Hal ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud: "Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu". (Surah al-A’raf: 180)

Tawassul dengan nama ALLAH itu contohnya kita berdoa: "Ya Ghaffar, ighfirli" (Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, ampunilah daku). "Ya Rahman Ya Rahim, irhamni" (Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Maha Pengasih, kasihanilah daku".

Tawassul dengan nama-nama ALLAH bermaksud kita memilih dan menyebut nama-nama ALLAH yang sesuai dengan hajat dan permintaan kita. Dengan ketinggian dan kemuliaan nama-nama tersebut kita mohon semoga ALLAH perkenankan hajat kita.

Kedua: Tawassul dengan amalan soleh sendiri. Kita dibolehkan untuk menyebut amal soleh yang pernah kita lakukan kemudian diikuti dengan berdoa hajat kita. Diharapkan dengan keikhlasan dan keberkatan amal soleh tersebut dapat dimakbulkan hajat kita.

Hal ini berdasarkan kisah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari berkenaan tiga lelaki yang terperangkap dalam gua. Ada batu besar yang menutupi pintu gua tersebut. Lalu, seorang berdoa dengan mengatakan dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab ALLAH, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya.

Maka dengan amalan soleh itu mereka berdoa kepada ALLAH agar dibukakan pintu gua tersebut.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 2272)

Ketiga: Tawassul dengan orang soleh yang masih hidup. Kita boleh berjumpa dengan orang soleh yang akidah dan amal ibadatnya bertepatan dengan al-Quran dan sunnah bagi meminta tolong didoakan kepada kita. Diharapkan dengan kesolehan beliau akan menjadikan doa kepada kita tersebut dimakbulkan.

Tawassul dengan orang soleh ini dibenarkan dengan syarat orang tersebut masih lagi hidup. Jika seorang yang soleh meninggal dunia, kita tidak dibenarkan untuk bertawasul dengan beliau lagi.Sahabat sering meminta agar Rasulullah SAW berdoa kepada mereka.

Namun, setelah kewafatan Baginda SAW, sahabat tidak pun pergi ke kubur Rasulullah SAW dan minta untuk didoakan. Contohnya Umar Al-Khatthab  pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dan Umar berkata: "Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi SAW. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia dalam kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami". (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 3710)

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah di landa kemarau panjang. Umar meminta Abbas berdoa dan beliau pun berdoa. Tidak lama setelah itu, ALLAH pun menurunkan hujan kepada mereka.

Doa yang dilarang

Tawassul yang dilarang adalah seperti meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada ALLAH, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada ALLAH.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati. Diharamkan untuk kita menjadikan orang yang telah mati sebagai perantaraan dalam doa kita, walaupun semasa hidup dia seorang yang soleh. Bahkan kepada Rasulullah SAW sendiri.

Jika dibolehkan sudah pasti Umar al-Khattab tidak berjumpa dengan Abbas untuk minta didoakan. Umar akan terus ke kubur Baginda Rasulullah SAW untuk minta didoakan. Rasulullah SAW lebih lagi mulia dan soleh.

Justeru, kata-kata dan tindakan Umar ini menunjukkan tidak disyariatkan untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati sama ada dengan menyebut "Madad Ya Rasulallah", "Madad Ya Ali", ‘Madad Ya Husain" dan sebagainya seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah.

Namun, pelik dan hairan ada segolongan manusia yang bertopengkan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, berjubah dan berserban, bermati-matian ingin mempertahankan boleh untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati.

Sebab itu golongan ini ada yang mengunjungi kubur tok guru dan syekh-syekh mereka untuk minta didoakan. Ada yang mengalunkannya dalam nyanyian dan qasidah.

Semoga ALLAH selamatkan kita daripada hasutan dan ajaran menyeleweng ini sama ada yang berasal dari negara ini atau yang dibawa dari  luar negara. Berdoalah terus kepada ALLAH kerana ruang itu tidak pernah disekat. Sesiapa sahaja dan di mana pun kita berada.

Berdoalah dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kejelasan tauhid kepada-Nya. Jangan sampai ada unsur syirik yang tidak kita sedari. Yakinlah ALLAH tidak pernah mungkiri janji. Setiap permintaan akan diberi. Sabar dan terus menanti walaupun sampai akhirat nanti.

Bukan kurang jubah tapi kurang amanah

NEGARA-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan.

Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.

Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi membolehkan rakyat lebih mempercayai mereka.

Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamerkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’.

Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.

Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama indeks rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi.

Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh dengungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.

Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata.

Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain.

Itu adalah tanggungjawab setiap Muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya.

Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampuk kuasa.

Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh.

Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut: “Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.

Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah.  Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!

Maka sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam.

Ini kerana di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah.

Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupun essence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.

Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil.

Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya) " Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut: "Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah.

Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas Muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)" (Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini. Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara  Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.

Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?!

Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.

Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenai ku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’.

Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.

 Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan.

Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata.

Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat. Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin Sinar Harian Rencana Pendapat 9 Disember 2014. * Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Menjawab kritikan Cina Muslim

TULISAN ini bertujuan menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh Xifu Naser dalam ruangan “Pandanganku” pada 5 Disember 2014.

Saya menyokong tulisan Xifu berkenaan Tunku Abdul Rahman Putra yang merupakan pelopor dakwah dan kebajikan saudara yang baru memeluk Islam.

Tunku adalah pengasas Perkim (1960) dan Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP, 1961).

Objektif penubuhan IDIP adalah untuk memberikan kefahaman asas agama Islam kepada mualaf, atau insan cross over, istilah yang diperkenalkan oleh Xifu Naser.

Institut ini melatih dan menghasilkan mubaligh dalam kalangan mereka yang baru mendapat hidayah. Semua pelajar akan diusahakan tajaan kewangan bagi menampung kos yuran dan sara hidup selama mereka di IDIP. Mereka yang cemerlang berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Persepsi bahawa insan cross over  hanya kelihatan berbicara dalam rancangan “Mengapa saya peluk Islam” seperti dinyatakan oleh Xifu Naser adalah tidak tepat.

Benar, tiada Cina Muslim mengetuai mana-mana parti politik Cina atau Islam, atau institusi Islam yang berautoriti dan sebagainya.

Mungkin agak mustahil untuk melahirkan seorang lagi tokoh politik seperti Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin, seorang daripada pengasas MCA dan juga anggota Kabinet semasa pentadbiran Tunku.

Namun, ada juga insan  cross over yang berjaya dalam bidang politik; contohnya, Drs Khalil Idham Lim (Lim Chuan Hing), bekas Adun Titi Serong, Perak, dan YB Datuk Anuar Tan (Tan Teng Loon), Adun Kota Lama, Kelantan sejak 1999 dan sekarang merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan.

Pelaburan dan tenaga untuk menghasilkan sesuatu seperti masjid bukanlah sia-sia. Idea penubuhan masjid berseni bina Cina ini telah diutarakan sejak Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) ditubuhkan pada 1994.

Antara tujuannya untuk membuang persepsi Cina belum Islam bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu. Masjid berseni bina Cina ini dapat dijadikan medium dakwah dan menunjukkan Islam adalah universal dan milik semua bangsa, bukan milik Melayu atau Arab sahaja.

Alhamdulillah, dengan usaha yang tidak kenal jemu oleh gerakan Cina Muslim ini, maka masjid berseni bina Cina yang pertama telah dibina di Rantau Panjang, Kelantan pada 2005 dan dirasmikan pada 2009.

Masjid ini dinamakan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra tetapi lebih dikenali sebagai Masjid Beijing. Seterusnya, masjid berseni bina Cina yang kedua, Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya, Ipoh, Perak telah dirasmikan pada 2013 dan yang terbaharu ialah Masjid Cina Negeri Melaka pada tahun ini.

Persoalan yang ditimbulkan, “di manakah imam Cina yang akan mengimami solat di masjid Cina?” Soalan yang cukup bagus. Kita mempunyai cukup Cina Muslim yang layak untuk menjadi imam.

Bekas Timbalan Presiden MACMA, Ir Dr Mohd Fuad Yeoh (Yeoh Keat Hian) mempunyai doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam dan fasih berbahasa Arab.

Selain beliau, Ustaz Hussein Yee juga fasih berbahasa Arab dan hebat dalam berdakwah; beliau sekarang mengetuai Yayasan Al-Khadeem. Ramai lagi Cina Muslim dari MACMA dan pertubuhan bukan kerajaan lain yang giat berdakwah tetapi tidak dikenali ramai. Mereka ini boleh sahaja menjadi imam di masjid-masjid Cina.

Ramai Cina Muslim yang fasih Mandarin bekerja dengan jabatan-jabatan agama negeri, tetapi untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bahasa ibunda mereka ini merupakan satu cabaran kerana tidak semua perkataan Arab mudah untuk diterjemahkan. Lagipun, bukan semua orang Cina boleh berbahasa Mandarin kerana tidak semuanya belajar di sekolah Cina.

Bagi penulis, tidak salah jika kita mempunyai imam Cina Muslim yang fasih berbahasa Melayu atau Inggeris, dan mengimami masjid Cina serta menyampaikan khutbah dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Bukankah Malaysia sudah merdeka sejak 1957? Bukankah semua bangsa Malaysia memahami bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris? Kebolehan berbahasa Mandarin merupakan satu kelebihan tetapi ia bukan kemestian.

Kesimpulannya, walaupun gerakan Cina Muslim tidak terlibat secara langsung dalam “pembinaan orang sehingga menjadi ulama”, tetapi ruang untuk insan cross over mendalami ajaran Islam cukup banyak, contohnya di IDIP atau lain-lain institusi latihan yang disediakan oleh kerajaan dan majlis agama Islam negeri.

Cina Muslim Malaysia tidak perlu gusar jika dianggap mualaf seumur hidup.

Abaikan sahaja pandangan sebegini. Usah jadikan beberapa kes mualaf yang tidak berjaya sebagai penghalang untuk maju ke hadapan. Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya.

* Johari Yap ialah Pengerusi MACMA Kelantan & AJK Perkim Kelantan. Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online. Sinar Harian Rencana Pendapat 12 Disember 2014.