December 16th, 2014

Penstrukturan semula mahkamah syariah

KALI pertama saya mendengar tentang rancangan menstruktur semula mahkamah syariah di negara kita ini adalah kira-kira 10 tahun lalu. Pada ketika itu saya dimaklumkan ada dua bentuk cadangan yang berbeza, diutarakan oleh dua pihak yang berlainan.

Untuk memudahkan perbincangan di sini, saya namakan dua cadangan itu sebagai ‘versi A’ dan ‘versi B’.

Bila akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa semua Majlis Agama Islam Negeri telah setuju dengan cadangan mewujudkan Majlis Rayuan Syariah, itu adalah cadangan versi B.

Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah terbaru ini diharapkan berupaya memastikan bidang kuasa mahkamah syariah terus relevan dan memenuhi kehendak serta keperluan semasa.

Di bawah penstrukturan semula mahkamah syariah yang dicadangkan itu, setiap negeri akan ada 4 tingkat mahkamah (iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri) manakala di peringkat Pusat akan diwujudkan satu Majlis Rayuan Syariah yang baharu.

Kita difahamkan Majlis Rayuan Syariah di peringkat Pusat ini akan punyai status selari dengan Mahkamah Persekutuan sivil.

Seperti kita semua maklum, selama ini setiap negeri hanya ada tiga tingkat mahkamah syariah, iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Dengan cadangan terbaru ini, negeri akan ada 4 tingkat, iaitu dengan wujudnya Mahkamah Tengah Syariah.

Walaupun cadangan penstrukturan itu telah disetujui semua negeri, Jamil Khir menegaskan masih wujud beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan sebelum Majlis Rayuan Syariah itu dapat ditubuhkan. Antara isunya adalah had bidang kuasa, penambahan jawatan dan prasarana, agar tidak timbul sebarang ketirisan.

“Semua isu ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum cadangan penstrukturan mahkamah syariah ini boleh dibentangkan di Parlimen dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja,’’ kata Jamil Khir.

Kecenderungan sesetengah pihak membandingkan mahkamah syariah dengan mahkamah sivil telah wujud sejak dulu lagi.

Mahkamah sivil di negara ini ada 5 tingkat, iaitu Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, manakala mahkamah syariah hanya ada 3 tingkat iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Jadi, pihak-pihak ini bertanya apa salahnya mahkamah syariah ditambah satu lagi (menjadikan 4 tingkat) di peringkat negeri, manakala di peringkat Pusat, ditambah satu lagi (menjadikan 5 tingkat)? Dengan itu, mahkamah syariah akan setara dengan mahkamah sivil, kerana masing-masing ada 5 tingkat, hujah pihak-pihak ini. Soalnya, wajarkah kita bandingkan epal dan oren?

Mahkamah sivil hanya satu sahaja di negara kita, dari paling bawah ke peringkat paling tinggi (kecuali Mahkamah Tinggi, yang ada dua – iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak).

Berbeza halnya dengan mahkamah syariah, yang berjumlah 14 buah (iaitu 11 negeri di semenanjung, 2 di Sabah dan Sarawak, dan satu bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Selain perbezaan status mahkamah ini (mahkamah sivil meliputi seluruh negara, manakala mahkamah syariah terhad kepada wilayah negeri sahaja), ada lagi perbezaan yang penting – iaitu mahkamah syariah tertakluk kepada had bidang kuasa yang sempit (terutama dalam kes-kes jenayah) dan hanya ada bidang kuasa atas orang Islam.

Pada November lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa cadangan menubuhkan 5 tingkat mahkamah syariah ini ditentang oleh beberapa pihak.

Pengerusi sebuah NGO, Baljit Singh dipetik sebagai berkata, Kerajaan Pusat tidak sewajarnya mewujudkan satu sistem mahkamah yang selari di peringkat Persekutuan (a parallel court system at the federal level) kerana ia akan menimbulkan kecelaruan dalam sistem kehakiman negara (lihat Criticism over syariah court plan, The Star, 15 November, 2014).

Pengerusi Biro Harmoni Keagamaan MCA, Datuk Ti Lian Ker juga dipetik oleh akhbar yang sama menentang cadangan ini. Beliau menyatakan kerisauannya mahkamah tertinggi syariah di peringkat Pusat ini akan mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam di negara ini.

Seorang tenaga pengajar di Universiti Malaya, Profesor Gurdial Singh Nijar, dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan boleh menubuhkan berapa banyak mahkamah syariah yang ia mahu, tetapi mahkamah itu tidak boleh mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pula berkata, mahkamah syariah tidak boleh diberi taraf yang sepadan atau setara dengan mahkamah sivil, kerana mahkamah syariah ditubuhkan di bawah undang-undang negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Firdaus Husni dipetik sebagai berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu sebelum mahkamah syariah diberi status yang sama dengan mahkamah sivil.

Sementara umat Islam di negara ini pastinya mengalu-alukan apa sahaja cadangan menstruktur semula dan memartabatkan mahkamah syariah negeri, pada hemat saya isu yang paling kritikal yang mesti di-selesaikan terlebih dahulu adalah taraf dan status mahkamah syariah vis-à-vis mahkamah sivil di negara kita.

Ditinjau dari sudut undang-undang, persoalannya apa sudah jadi kepada Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan?

Jika boleh saya rumuskan, perjalanan cadangan versi B (seperti yang kita lihat di atas) pastinya sukar dan rumit, dan akan mengambil masa yang panjang.

Berbeza halnya dengan cadangan versi A, setakat yang saya masih ingat. Di bawah cadangan itu (yang kini nampaknya telah digugurkan oleh pihak kementerian) mahkamah syariah negeri akan distruktur semula dari 3 tingkat yang ada sekarang menjadi 4 tingkat – iaitu dengan penambahan Mahkamah Rayuan Khas.

Justifikasi cadangan versi A ini adalah seperti berikut. Sekiranya suatu kes itu bermula di Mahkamah Tinggi Syariah, pihak yang terkilan akan hanya ada satu kali hak merayu, iaitu ke Mahkamah Rayuan Syariah Negeri.

Soalnya, bagaimana jika Mahkamah Rayuan Syariah tersilap? Di bawah struktur mahkamah yang sedia ada, kes itu tidak boleh dirayu lagi. Jadi, kesilapan tidak dapat diperbetulkan.

Lain ceritanya jika suatu kes itu bermula di Mahkamah Rendah. Jika ada pihak yang terkilan, ia ada peluang merayu ke Mahkamah Tinggi Syariah (secara automatik) dan selepas itu ke Mahkamah Rayuan Syariah (dengan izin).

Jika cadangan versi A ini dapat direalisasikan, walaupun suatu kes itu dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah, pihak yang terkilan akan punyai dua kali hak merayu, sama dengan situasi yang wujud di mahkamah sivil.

Bezanya cadangan versi B dengan cadangan versi A ini adalah jelas sekali. Cadangan versi A ini tidak menghadapi apa-apa komplikasi dari sudut undang-undang, misalnya memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang perlu dipinda adalah Enakmen Negeri (bagi 13 negeri) dan Akta Parlimen berkenaan bagi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Saya masih tertanya-tanya kenapa kementerian berkenaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong dan memilih cadangan versi B yang penuh berliku?

Salleh Buang Utusan Malaysia Rencana Agama 16 Disember 2014 1:07 AM

Perintah Iqra’ dan Teknologi Pembacaan

Laporan BERNAMA yang memetik kajian terkini Perpustakaan Negara Malaysia mendapati setiap warga Malaysia secara puratanya membaca 14 buah buku setahun. Angka ini amat menggembirakan, kerana sekitar 14 tahun yang lepas, hanya dua setengah muka surat yang dibaca dalam setahun.

Ayuh kita himbau peperangan strategis yang terjadi seratus tahun selepas kewafatan Nabi. Dalam tahun 751, berlaku konflik perbatasan antara Bani Abbasiyyah dengan Dinasti Tang China, di tebing sungai Talas yang kini terletak di sempadan Kyrgyzstan dengan Kazakhstan.

Selesai pertempuran yang dimenangi oleh Kerajaan Islam, tahanan perang China telah diminta mengajar rahsia cara membuat kertas kepada orang-orang Islam di Samarkand. Dari sini, seni pembuatan kertas yang dipelopori oleh kebudayaan China telah dimajukan oleh orang Islam menjadi satu industri global.

Jika sebelumnya proses membuat kertas terbatas sebagai satu seni rahsia kelompok elit biarawan Buddha China (State secret), tamadun Islam telah menaiktarafnya menjadi industri awam dengan kilang-kilang yang didirikan daripada di Baghdad dan Damshiq hinggalah membawa ke Tiberias, Syria, Mesir, dan tidak lupa Andalusia.

iqra’ itu sendiri pun bukan sekadar bermaksud bacalah!, tetapi juga bermaksud telitilah sesuatu perkara secara yang saksama (istaqri’), dan telaahlah sesuatu ilmu secara yang bersungguh-sungguh (tali‘).


Teknologi kertas yang dimajukan telah menyebabkan bahan penting untuk budaya membaca tersebut menjadi ‘semakin murah’ dan ‘semakin bermutu’. ‘Semakin murah’ dan cost-effective, kerana jumlah buruh dan tenaga-kerja yang digunakan semakin berkurangan. ‘Semakin bermutu’, kerana bahan yang digunakan lebih berkualiti tinggi, iaitu daun kenab (hemp) yang memiliki gentian yang panjang lagi kuat.

Kilang yang di Damshiq mengeksport kertas ke Eropah, sebelum loji kertas di Andalusia membekalkannya ke Jativa, Valencia dan Eropah Barat.

Prasarana budaya membaca menjadi bertambah baik, dan seterusnya merangsang jualan buku, pengajaran dan pembelajaran. Suatu perubahan yang sangat hebat, suatu revolusi penyebaran ilmu dan sains tercipta.

Jelas bahawa untuk tamadun Islam mampu menguasai dunia tidak memadai sekadar bernostalgia yang wahyu pertama kepada Rasulullah adalah mengenai perintah membaca.

Sebaliknya, umat Islam silam nampaknya sangat faham bahawa wahyu pertama bukan sekadar mengandungkan perintah iqra’, tetapi turut menitahkan perintah menyebarkan ilmu dan kepentingan strategis qalam atau stylus.

Bahkan iqra’ itu sendiri pun bukan sekadar bermaksud bacalah!, tetapi juga bermaksud telitilah sesuatu perkara secara yang saksama (istaqri’), dan telaahlah sesuatu ilmu secara yang bersungguh-sungguh (tali‘).

Bukan secara kebetulan bahawa gua tempat Nabi menerima wahyu pertama bernama Ghar Hira’ yang bermaksud ruang ‘pencarian’, ‘pemeriksaan’ dan ‘penyelidikan’.

Seterusnya, iqra’ turut bermaksud ‘sampaikanlah!’ atau ‘isytiharkanlah!’. Satu lagi perkara yang sangat menarik adalah, betapa ajaran Islam yang disampaikan itu harus selaras dengan tata logika. Justeru iqra’ sangat berkait rapat dengan istiqra’, iaitu metod deduktif yang menarik satu kesimpulan baru daripada beberapa pernyataan lain, hasil penyelidikan dan pemeriksaan yang mendalam tadi.

Tidak hairanlah kalau golongan pembaca atau qurra’ sama statusnya dengan golongan yang bertanassuk atau beribadah kepada Allah, sementara perintah membaca adalah setaraf dengan perintah tafaqquh atau mempelajari ilmu agama, kerana sesungguhnya tiada pemisahan ilmu dalam Islam.

Berikut dari itu, petunjuk-petunjuk al-Qur’an telah ditafsir dan diperjelas dalam pelbagai karya agung dan abadi silam yang berjilid-jilid besarnya, sama ada dalam bidang kerohanian, akhlak, perundangan, pendidikan, perubatan, perbandingan agama, falsafah, ekonomi, politik, mahupun kesusasteraan.

Persis pengamatan Voltaire dalam Philosophical Dictionary, “the whole of the known universe is governed by books alone.” Lihatlah tamadun mana yang mengawal planet bumi sekarang? Amerika dan Jepun menguasai budaya penyelidikan dan inovatif, dan seterusnya mempelopori teknologi terkini pembacaan seperti Amazon Kindle, Sony Reader, buku-elektronik, perisian buku-audio, e-kertas, dan kertas-digital.

Bermuhasabah Menjelang Akhir Tahun

Tanpa kita sedari, hari demi hari berlalu, minggu, bulan dan juga tahun. Masa begitu pantas berjalan meninggalkan kita, tahun 1435 Hijrah ditinggalkan, kemudian dibuka dengan tahun baru 1436H. Begitu juga 2014 Masihi yang bakal dijemput 2015 beberapa hari lagi.

Hujung tahun biasanya diiringi dengan keghairahan menyambut pesta tahun baru di bandar-bandar besar. Persiapan besar-besaran diadakan untuk menghitung detik menyambut tahun baru. Masing-masing menaruh harapan agar tahun yang akan datang menjanjikan yang lebih baik.

Pada penghujung tahun ini adalah masa untuk umat Islam melakukan muhasahah tentang pencapaian dan kekurangan diri. Seeloknya kita bermuhasabah atau merenung diri menilai segala amalan sepanjang tahun, adakah ia merupakan amalan baik atau buruk?


Di antara kebaikan muhasabah ia dapat membantu seseorang itu peka menyedari kelebihan dan kekurangannya. Seterusnya berusaha membaiki diri dan melakukan penambahbaikan. Dengan bermuhasabah umat Islam dapat merancang kehidupannya dengan lebih teratur. Ia sepatutnya menjadi amalan setiap orang samada pemimpin, majikan, suami, isteri, anak dan sebagainya.


Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dikerjakannya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan “ (Surah Al-Hasyr: Ayat 18).



Mengikut Kamus Dewan, muhasabah ialah perbuatan menilai dan meninjau perasaan diri sendiri.

Manakala Kamus Pengetahuan Islam mendefinisikan muhasabah kepada beberapa pengertian iaitu: Membuat perhitungan terhadap diri sendiri ketika berada di dunia sebelum datangnya hari perhitungan di akhirat kelak.


Membuat rencana perkara kebajikan yang hendak diamalkan pada masa depan sebagai bekalan di akhirat kelak. Dan mengadakan perhitungan amalan manusia di akhirat untuk menentukan siapakah yang patut menduduki syurga atau neraka.


Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara bukan hakiki. Ia selalu diibaratkan sebagai seorang musafir untuk sampai ke destinasinya. Kematian tidak mengenal usia dan kedudukan, ia boleh berlaku bila-bila masa.


Justeru kita harus bermuhasabah seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum hari kematian tiba. Dalam kesibukan kita bekerja keluar pagi balik malam dan sentiasa mengeluh kepenatan, keperluan untuk berhenti sejenak untuk bermuhasabah adalah lebih lagi.


Ia seolah-olah umpama brek pada kenderaan agar tidak terus terlajak dan mengalami perlanggaran. Bayangkan betapa pentingnya sistem brek pada kenderaan begitulah juga muhasabah diri amat penting dalam kehidupan seseorang.


Persiapan penting bagi setiap orang Islam kerana peluang hidup di dunia dikurniakan Allah hanyalah sekali dan tiada lagi peluang kedua. Di dalam al-Quran terdapat banyak kisah penyesalan orang yang kafir musyrik.


Namun penyesalan mereka tiada gunanya kerana mereka sudah diberi peringatan demi peringatan oleh nabi dan rasul, namun mereka mengingkarinya. Umar al-Khattab pernah berkata melalui kata-katanya yang masyhur “hisablah ( hitunglah) dirimu sebelum engkau dihisab oleh Allah di hari akhirat kelak”.


Berbanding haiwan, manusia diberi kelebihan dengan akal yang mampu berfikir dan menilai segala tindak tanduknya. Gunakanlah akal ini  sebaik-baiknya untuk mengorak langkah ke arah mencapai kehidupan yang lebih bermakna.


Bukan menggunakan akal kurniaan Tuhan untuk memikirkan perkara yang bukan-bukan. Contohnya sambutan tahun baru bercampur lelaki dan perempuan yang natijahnya setiap tahun adalah bayi-bayi luar nikah dilahirkan sembilan bulan kemudian.


Akibat tiada muhasabah seseorang tidak akan menyedari kesalahan dan kelemahan diri dan berterusan melakukannya. Dia akan menjadi seorang yang ego dan sombong yang tidak pernah mengakui kesilapan diri sendiri. Pada masa yang sama begitu peka terhadap kelemahan dan kesilapan orang lain sehingga sanggup mengaibkannya hatta di khalayak ramai.


Khalifah al-Rasyidin Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali akan bangun berkhutbah selepas selesai perlantikan sebagai pemimpin masyarakat Islam. Antara inti pati ucapan mereka ialah mengharapkan agar orang Islam membetulkan apa-apa kesilapan yang mereka lakukan semasa memimpin dan memberi sokongan selama mereka berada di atas landasan al-Quran dan menolak mereka apabila mereka mengetepikan pimpinan wahyu dan sunnah rasul.


Inilah konsep muhasabah yang dipegang oleh pemimpin Islam terkemuka pada awal pemerintahan Islam selepas kewafatan Rasulullah (SAW). Adalah jelas bermuhasabah adalah antara ciri-ciri orang yang bijaksana.


Amalan bermuhasabah dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan seseorang. Melalui amalan muhasabah seseorang dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatannya bagi memperbaharui azam yang baru. Penilaian terhadap kejayaan dan kegagalan dalam pelaksanaan sesuatu perkara dapat memberi kesan yang sangat besar untuk menjadikan azam tahun baru lebih realistik dan mampu dicapai.

Polemik kalimah bahaya jika dipolitikkan

Walaupun Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran dari segi perundangan untuk menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan mingguannya, The Herald versi bahasa Melayu, isu sensitif ini nampaknya masih terus dipolitikkan.

Terbaru apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Jumaat lalu dilaporkan berkata, bukan Islam di negeri itu boleh menggunakan kalimah Allah. Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang mempunyai lampiran fatwa mengenai perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam.


Lim berkata demikian sebagai mengulas gesaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, sehari sebelum itu, yang meminta Pulau Pinang memulakan langkah dan tidak berterusan mengelirukan rakyat, khususnya komuniti Kristian, mengatakan larangan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' ialah kesalahan Barisan Nasional.

Kenyataan berbaur perkauman

Ti dilaporkan berkata, Lim dan DAP sering menyalahkan Putrajaya, mendakwa bahawa kegagalan Kerajaan Pusat dan perdana menteri untuk bertindak, menjadi punca kebuntuan dan pertelingkahan undang-undang berhubung kegunaan kalimah Allah.

Seperti biasa, apabila isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam ini ditimbulkan, apa lagi daripada seorang pemimpin politik yang sering mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, pasti ada reaksi balas daripada pelbagai pihak lain bagi mempertahankan kesucian kalimah itu dari sudut pandangan Islam.

Kita bersetuju dengan pandangan Lim bahawa bukan satu amalan dan budaya rakyat Kristian Pulau Pinang menggunakan kalimah 'Allah' dalam ibadat mereka kerana biasanya ia dikendalikan dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil yang mempunyai terjemahan masing-masing untuk perkataan yang membawa makna 'Tuhan'.

Jika itu keadaannya, yang turut berlaku di semua negeri di Semenanjung apabila sebahagian besar penganut Kristian ialah rakyat berketurunan Cina dan India, larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam tidak seharusnya menjadi isu walaupun timbul percanggahan daripada sudut tafsiran undang-undang.

Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh The Herald, kecuali di Sabah dan Sarawak, selain bersandarkan semangat Perlembagaan, pastinya mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukan saja dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dalam kehidupan beragama, malah memudahkan usaha pihak tertentu untuk memurtadkan orang Melayu/Islam.

Boleh ancam keharmonian rakyat

Inilah yang menjadi kebimbangan utama orang Melayu/Islam di negara ini. Jika masalah ini, yang boleh dianggap selesai dengan keputusan Mahkamah Persekutuan Jun lalu, terus dipolitikkan, kesannya nanti boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Kecenderungan pemimpin politik, sama ada daripada pembangkang atau dalam kalangan komponen BN sendiri, menjadikan isu sensitif seperti ini untuk menonjolkan parti mereka atau menyerang parti lawan, menggambarkan kebankrapan idea untuk menarik perhatian rakyat.

Lebih malang lagi, mereka, yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati kontrak sosial, Perlembagaan dan undang-undang, dilihat tidak menghormati keputusan mahkamah yang sudah pun memutuskan isu berkenaan. Mereka juga mungkin tidak langsung menghayati Rukun Negara.

Kita masih bernasib baik kerana orang Melayu/Islam yang menjadi majoriti di negara ini masih boleh bersabar dengan tindak-tanduk golongan berkenaan. Bagaimanapun, sebaik dan selemah manapun seseorang itu, boleh hilang kesabaran apabila agama dan hak mereka dicabar secara berterusan.

Sejarah dan peristiwa semasa di seluruh dunia menunjukkan betapa manusia sanggup mati dalam mempertahankan agama mereka. Kemunculan rangkaian pengganas yang menggunakan Islam untuk 'berjihad', walaupun tindakannya bercanggah dengan ajaran agama, adalah kesan daripada tekanan dan penghinaan berterusan terhadap agama dan umat Islam di seluruh dunia.