December 19th, 2014

Tarbiah Jiwa

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat Tarbiah Jiwa 19 Disember 2014M / 26 Safar 1436H JAWI

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Diri seorang insan itu adalah kejadian yang terbaik yang dicipta Allah SWT dengan gabungan jasad dan roh.

Fungsi jasad adalah melaksanakan segala arahan yang
diberikan kepadanya.

Roh pula merangkumi nyawa, akal, nafsu dan hati yang berupaya
menjadikan jasad mampu melaksanakan perintah dan tuntutan.

Akal berfungsi sebagai
penasihat dengan pandangan dan cadangan.

Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada an-Nu‟man bin Basyir RA : Bermaksud : “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.”          


Prof. Dr. Sharaf al-Qudhah dalam kitabnya al-Hadyu an-Nabawi fi ar-Raqaiq Petunjuk Nabawi Bagi Hati mengkategorikan hati kepada beberapa peringkat, iaitu :-

Pertama : Hati Yang Sejahtera ialah hati yang sentiasa memilih kebaikan dan tidak menyuruh kecuali apa yang diredhai Allah SWT.
Kedua : Hati Yang Sakit merujuk kepada hati yang sentiasa memilih kejahatan dan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

Ketiga : Hati Yang Keras ialah hati yang kritikal dan tidak boleh diubati dan sudah dimatikan oleh Allah SWT.

Allah SWT juga meyifatkan bahawa hati yang keras dan tertutup daripada menerima peringatan Allah SWT adalah kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah dan berada dalam kesesatan. Firman Nya dalam surah al-Zumar ayat 22 yang bermaksud :


“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.”



Menurut Sheikh Ibni Athoillah Assakandari dalam bicara hikmahnya bahawa, “Sebahagian tanda matinya hati ialah jika tidak merasa sedih kerana tertinggalnya amal kebaikan (kewajipan) dan juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu pelanggaran dosa”.

Kita sebagai seorang mukmin sewajarnya berusaha membersihkan hati dengan istighfar dan berdoa kepada Allah sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Basahkanlah lidah kita dengan zikrullah supaya hati-hati kita sentiasa mengingati Allah.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari ini ialah :
Pertama : Hati yang hidup ialah hati yang sentiasa bersih dan suci daripada titik noda dan dosa.


Kedua : Didiklah hati dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri dan zuhud agar ianya tidak mudah dipengaruhi godaan nafsu.


Ketiga : Perbanyakkan zikrullah supaya hati kita sentiasa mengingati Allah dan dijauhi daripada penyakit keras hati.


Hayatilah firman Allah menerusi Surah al-Anfal ayat 2:Bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”


Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Usaha Mencegah Rasuah Tanggungjawab Bersama

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat, 19 Disember 2014 /  27 Safar 1436H

 “Usaha Mencegah Rasuah Tanggungjawab Bersama.” JAKIM


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sempena dengan sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun, gejala rasuah mudah menular ke dalam masyarakat.

Amalan rasuah boleh membinasakan sesebuah negara mahupun sesebuah tamadun bangsa itu sendiri.

Rasuah boleh menghakis sistem keadilan dan nilai-nilai murni, berlakunya penindasan serta menggugat pemerintahan secara demokratik.

Rasuah juga akan melahirkan keperibadian yang buruk lagi hina hinggakan ada yang rela menggadai maruah agama dan umat Islam demi mengejar kepentingan peribadi seperti wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya.
     
Rasuah dalam Islam adalah haram. Ini berdasarkan kepada dalil qat`ie iaitu al-Qur’an, as-Sunnah dan ijmak ulamak. Dalam al-Qur’an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).


Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah tiada iman, bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.
     
Kesalahan rasuah adalah terletak pada perbuatannya, samada seseorang itu pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut. Ingatlah Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.”(Riwayat at-Thobarani).


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kesejahteraan negara banyak bergantung kepada sejauh mana kualiti setiap rakyatnya. Jika masyarakat mengamalkan budaya hidup yang sihat dan berakhlak mulia maka negara akan diberkati Allah SWT dan bertambah maju. Tetapi jika masyarakat mengamalkan gaya hidup yang keji seperti mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara akan runtuh dan bertambah mundur kerana perbuatan rasuah boleh mengundang kepada kemurkaan Allah SWT.
     

Di antara kesan buruk daripada jenayah rasuah ialah tertolaknya ibadah solat dan doa kerana menggunakan sumber yang haram.

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:

Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Di negara kita, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM terikat dengan Prinsip Pengasingan Kuasa yang mana kuasa SPRM hanya melakukan penyiasatan sahaja, manakala kuasa pendakwaan kepada Peguam Negara dan Penghakiman dibuat oleh pihak Mahkamah.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, intipati penting sebagai kesimpulan khutbah kita pada hari ini.

Pertama: Kembali kepada ajaran agama Islam dengan mengamalkan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya;
Kedua: Memantapkan keimanan dan ketaqwaan agar amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan telus;
Ketiga: Membiarkan jenayah rasuah berleluasa hanya akan mengundang bala; dan
Keempat: Tangungjawab membanteras rasuah adalah tanggungjawab kita bersama.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:

Maksudnya:Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.

Wallahualam.

Ibadah lebih mudah

ISU sukar untuk beribadah ketika berada di luar kawasan kediaman sering kali dibangkitkan oleh segelintir umat Islam untuk dijadikan alasan untuk tidak patuh kepada perintah syariat, lebih-lebih lagi ketika berada ke luar negara.

Pelbagai keringanan dalam ibadah ditawarkan ketika bercuti


Islam menawarkan pelbagai kemudahan dalam ibadah.
- Gambar hiasan

Bukan berstatus negara Islam, pastinya berada di negara yang majoriti penduduk beragama selain Islam sukar untuk mendapatkan kemudahan ibadah umat Islam seperti tempat solat dan mendapatkan makanan yang halal.

Bagaimanapun, pendakwah bebas, Mohd. Safwan Syafiq Mohd. Idris berkata, perkara itu tidak boleh dijadikan sandaran bagi umat Islam daripada melepaskan tanggungjawab dalam menyempurnakan tuntutan agama dengan meletakkannya sebagai darurat.

Sebaliknya pendakwah selebriti itu berkata, ia bukan perkara baharu, Islam telah meletakkan pelbagai kemudahan (rukhsah) yang bersesuaian dengan perubahan masa dan tempat bagi memudahkan umat Islam beribadah tidak kira di mana sahaja berada.

Bukan sahaja diberikan keringanan, malah tambahnya, ganjaran juga diperoleh berganda bagi orang yang bermusafir melakukan ibadah dengan kelonggaran tersebut, kerana di samping melakukan ibadah, dalam masa sama turut mengikuti sunah Rasulullah SAW.

“Perkara yang perlu dititikberatkan ketika memilih percutian atau urusan kerja luar adalah solat, makanan dan tempat penginapan. Namun, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Oleh itu, pada masa kini tiada istilah darurat atau alasan boleh diberikan untuk tidak mematuhi perintah tersebut.

“Bagi mereka yang bermusafir, diberikan kelonggaran untuk bersolat dengan melakukan jamak dan qasar. Sehingga diajarkan dengan terperinci kaedah solat dalam pelbagai keadaan seperti di dalam kenderaan dan tiada air untuk berwuduk.

“Mungkin ada juga yang ragu-ragu untuk melakukan keringanan ini kerana jarang dilakukan atau langsung tidak pernah melakukannya sebelum ini, oleh itu mereka perlu tahu bahawa orang melakukan rukhsah tersebut turut mendapat dua ganjaran berbanding ibadah cara biasa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, orang ramai perlu mempelajari rukun dan syarat sah sebelum melakukan kelonggaran ketika bermusafir tersebut agar dapat dilakukan dengan betul.

Sementara itu, daripada aspek pemakanan pula tambahnya, umat Islam wajib memastikan makanan yang diambil ketika berada di luar adalah daripada sumber halal walaupun berada di kawasan bukan berpenduduk Muslim.

“Selidik dan perhatikan terlebih dahulu betul-betul di kawasan sekitar atau destinasi yang ditujui jika ada makanan halal yang boleh diambil. Sekiranya tiada, maka pilihlah makanan yang selamat atau tidak jelas mempunyai unsur haram seperti sayuran atau roti.

“Begitu juga pemilihan hotel atau tempat penginapan. Sebaik-baiknya elakkan daripada memilih kediaman yang jelas menawarkan khidmat maksiat kepada pengunjung, ini kerana dikhuatiri boleh memberi kesan secara langsung atau tidak kepada kita,” jelasnya.

Harus menjadi haram

FIRMAN Allah SWT bermaksud: Katakanlah, Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu. (al-Naml: 69)

Safwan berkata, hukum bercuti yang asalnya sunat dan harus, boleh menjadi haram dan berubah mengikut niat dan tujuan percutian itu diadakan.

Ia tambahnya, apabila aktiviti serta destinasi percutian yang diadakan mempunyai unsur yang berkaitan dengan perkara maksiat dan diharamkan oleh Allah SWT.

“Niat atau tujuan percutian adalah perkara penting yang perlu diambil kira ketika ingin bercuti. Hukum percutian adalah sunat apabila percutian itu dapat meningkatkan iman, seperti apabila membawa kita untuk memikirkan kekuasaan Allah SWT, memberi keinsafan dan pengajaran.

“Begitu juga percutian yang diadakan sebagai medium untuk mengeratkan lagi kasih antara sayang suami isteri, menggembirakan anak-anak atau merapatkan hubungan silaturahim sesama keluarga adalah harus.

“Manakala, jika niat atau destinasi yang dipilih bagi tujuan melakukan maksiat atau keseronokan semata-mata di tempat yang penuh dengan aktiviti haram seperti judi, arak dan berzina hukumnya menjadi haram dan tidak patut dijadikan destinasi pelancongan Muslim,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, kini telah ditawarkan pelbagai pakej pelancongan patuh syariah untuk pilihan umat Islam, sama ada di dalam mahupun luar negara.

Merancang percutian yang berkat

Ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan cuti persekolahan akhir tahun untuk membawa anak-anak dan keluarga berjalan-jalan atau melancong di dalam mahupun ke luar negara. Selain merehatkan minda ia juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan anak beranak.

Maklumlah, semasa hari persekolahan, ramai ibu bapa yang tidak sempat meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak disebabkan keterbatasan waktu. Lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur.

Sememangnya, melancong atau berjalan-jalan itu digalakkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi untuk melihat kebesaran Yang Maha Esa. Firman Allah SWT: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan ingatlah kepada Allah SWT jualah (tempat kembali kamu) dibangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya).” (al-Mulk: 15)

Walau di mana kita merancang bercuti dengan keluarga, sebagai ibu bapa hendaklah mengatur aktiviti tersebut supaya ia menepati syariat dan mendapat berkat. Antara yang perlu diberi perhatian adalah soal keselamatan. Ini bukan sahaja bab mengawal anak-anak daripada hilang di tengah-tengah tempat tumpuan orang ramai.
Lebih penting lagi adalah soal keselamatan perjalanan pergi dan balik dari bercuti. Elakkan keluarga kita menjadi statistik kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku walaupun tidak meragut nyawa tetapi pastinya akan merugikan masa dan wang.

Pada masa sama, marilah kita mempraktikkan ‘hadiah’ Allah kepada mereka yang bermusafir iaitu solat jamak dan qasar. Ia adalah rukhsah (kemudahan atau keringanan) kepada mereka yang musafir dengan syarat-syarat tertentu.

Syarat-syarat yang mengharuskan solat jamak (himpun) dan qasar (pendek) itu adalah:

n Bukan bertujuan maksiat.

n Destinasi tujuan lebih dua marhalah.

n Mengetahui destinasi tujuan.

Menurut mazhab Syafie, apabila seseorang itu bermusafir lebih daripada dua marhalah (kira-kira 90 kilometer), maka dia harus melakukan solat qasar dan jamak. Namun, ulama khilaf dalam menentukan jarak dua marhalah ini. Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati eloklah dikira melebihi 90 km.

Wajar

Permulaan musafir pula dikira selepas kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.
Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan solat fardu dalam apa keadaan sekalipun di samping membuktikan bahawa agama Islam itu mengambil kira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan.

Berkaitan mengqasar solat ini Allah SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (an-Nisa’: 101)

Di samping bergembira menikmati percutian dengan keluarga, sewajarnya ibu bapa menunaikan solat berjemaah terutama rukhsah semasa bermusafir. Selain membuktikan keindahan Islam yang memudahkan umatnya melaksanakan ibadat ia juga akan menjadi contoh kepada anak-anak tentang kepentingan solat berjemaah.

Mohd Razi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Pendidikan Agama 19 Disember 2014 1:05 AM

Contohi cara Khalifah Umar Abdul Aziz urus baitulmal

Menurut pakar ekonomi, Monze Kahf, terdapat cendekiawan berpendapat miskin adalah individu yang memiliki harta dan pendapatan. Walau bagaimanapun, harta dan pendapatan itu tidak cukup untuk memenuhi keperluan hidup mereka.

Berbeza dengan fakir, mereka tidak memiliki sebarang keperluan untuk memenuhi kehidupannya. Dalam konteks Malaysia, miskin ini dikategorikan sebagai miskin relatif, sementara fakir pula adalah miskin mutlak. Menurut Monzer Kahf lagi, terdapat cendekiawan yang berpandangan sebaliknya.


Umar bin Abdul Aziz telah membuat seluruh rakyatnya menjadi kaya.

Keadaan golongan miskin dan fakir ini diperincikan oleh Ibn Manzur melalui tiga pandangan. Pandangan Yunus, Ibn Al-Sakit, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, golongan fakir kedudukannya lebih baik berbanding miskin. Sementara Al-Asma'i, Ahmad bin Ubayd, Abu Bakar, Al-Farra', Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Al- Syafie menyatakan sebaliknya. Pandangan ketiga agak berbeza kerana berpandangan kedua-dua golongan itu sama sahaja kedudukannya. Pandangan Ibn Al-'Arabi ini kurang popular.

Berdasarkan manuskrip dan kitab mengenai Khalifah Umar bin Abdul Aziz, perkataan 'fakir' banyak diguna pakai ketika menceritakan mengenai kemiskinan yang terhapus pada zaman itu. Seorang lelaki berketurunan Zaid bin Khattab berkata, "Umar bin Abdul Aziz memerintah selama dua tahun setengah, iaitu 30 bulan. Dia tidak meninggal dunia kecuali selepas membuatkan kita kaya dengan membawa harta yang melimpah- limpah, lalu dia berkata: Bahagikan ini kepada orang yang kamu anggap fakir. Umar terus melakukan itu sampai dia pulang dengan membawa harta yang tersisa.

Saat itu, tidak ditemukan lagi orang yang berhak menerima zakat dan keprihatinan negara, sehingga harta itu dibawa kembali ke baitulmal. Umar bin Abdul Aziz telah membuat seluruh rakyatnya menjadi kaya.

Khalifah Umar jadikan semua rakyat kaya

Diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang juga salah seorang gabenor pada ketika itu, katanya, "Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Selepas memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang fakir. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat itu saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya." Selain daripada riwayat itu, terdapat juga surat daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada pegawainya, Urwah bin Muhammad yang membuktikan beliau sentiasa mengambil berat golongan fakir berbanding golongan miskin.

Isi kandungan surat itu: "...kemudian bahagikan zakat itu kepada golongan fakir mereka dan lantiklah di jalan menuju haji petugas yang diredai rakyat dan kamu juga reda atas agama dan amanahnya, sehingga akan mampu menguatkan yang lemah dan memperkayakan yang fakir..." Sepanjang tempoh dua tahun enam bulan pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, golongan miskin relatif masih wujud. Mereka adalah individu berhutang, pemuda yang tidak mampu membayar mahar perkahwinan dan musafir yang kehabisan bekal.

Semua mereka turut dibantu oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dengan melangsaikan hutang mereka, memberikan wang untuk dijadikan mahar perkahwinan dan memberikan wang sebagai bekalan kepada musafir yang kehabisan bekal. Golongan miskin relatif pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz hidup secara qana'ah (berasa cukup dengan apa yang ada). Seorang hamba perempuan Dhi Asbah di Mesir bernama Fartunah Al-Sawda' menulis surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengenai keadaannya yang sering diganggu dan ayamnya hilang disebabkan pagar rumahnya rendah.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz melayan aduan itu kerana Fartunah adalah hamba yang semestinya hidup miskin, tetapi tidak meminta harta sebaliknya meminta supaya pagar rumahnya ditinggikan supaya beliau dan ayamnya selamat. Ziyad, hamba kepada Ibn Iyasy dibenarkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz untuk masuk ke Baitulmal dan mengambil harta dalam Baitulmal itu. Penjaga Baitulmal curiga dengan arahan itu, tetapi disebabkan ia arahan khalifah, penjaga Baitulmal terpaksa akur.

Ziyad masuk ke Baitulmal dan hanya mengambil sekitar 80 atau 90 dirham sahaja. Melihat keadaan itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata kepada penjaga baitulmal: "Aku tahu kepada siapa aku tumpahkan harta baitulmal (membuka dan mengambilnya sesuka hati)."

Sifat qana'ah rakyat, pemimpin

Keamanan dan kemakmuran yang dirasai pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah disebabkan sifat qana'ah yang dimiliki oleh rakyat dan pemimpinnya. Sifat qana'ah telah ditanam oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz ke dalam diri rakyatnya. Selain sifat qana'ah, beliau turut melakukan pengislahan sehingga rakyatnya berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT berbanding hal keduniaan. Rakyatnya memiliki kecenderungan seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Ini termasuk kecenderungan dalam menunaikan ibadah seperti sembahyang, puasa, membaca al- Quran dan ibadah lain membuatkan rakyatnya berlumba-lumba untuk melakukan hal yang sama. Sikap rakyat yang berubah daripada mencintai hal berbentuk keduniaan kepada mencintai ibadah juga adalah perkara asas yang menjadi penyumbang kepada kejayaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengurus kemiskinan pada zaman pemerintahannya.

Perkara sama seharusnya dilakukan di Malaysia. Sejarah menunjukkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya membasmi golongan miskin mutlak. Oleh itu, dasar, program dan aktiviti bertujuan memperkasa rakyat perlu disertakan dengan program yang berbentuk pengislahan supaya pemimpin dan rakyatnya seperti zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.