December 20th, 2014

Bersabar dalam ketaatan

RAMAI yang tidak mampu bersabar dalam pelbagai situasi. Tidak sabar ketika marah, itu sudah kebiasaan. Tidak sabar dalam mendidik, itu juga bukan perkara yang luar biasa.

Antara satu bentuk kesabaran itu ialah sabar dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT. Bagaimana cara melihat kesabaran dalam bentuk ketaatan?

Golongan ulama membahagikan kesabaran itu kepada tiga keadaan iaitu kesabaran dalam melakukan ketaatan, kesabaran dalam meninggalkan maksiat dan kesabaran dalam menghadapi musibah dan takdir ALLAH yang tidak disukainya.

Sebahagian ulama menegaskan jenis sabar yang paling tinggi adalah sabar dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dialah Tuhan yang menguasai langit dan bumi dan segala yang ada di antara kedua-duanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadah kepada-Nya. Adakah engkau mengetahui ada sesuatu yang sama dengan-Nya?” (Surah Maryam: 65)


Sentiasalah berdoa kepada ALLAH agar mendapat petunjuk dan hidayah-Nya. - Gambar hiasan


Sabar dalam ketaatan itu mencakupi sabar sebelum melakukan ketaatan dengan meluruskan niat untuk ikhlas hanya kerana ALLAH. Sabar ketika melakukan ketaatan itu dengan melakukannya dengan sebaik-baiknya sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW dan juga sabar setelah melakukan ketaatan dengan tidak bersikap bangga diri dalam melakukan ibadah yang belum tentu diterima ALLAH.

Imam Syafie berkata: “Di Madinah saya melihat empat perkara aneh. Satu daripadanya adalah saya melihat seorang tua yang berumur 90 tahun sepanjang hari berjalan tanpa alas kaki mengunjungi kumpulan penyanyi wanita untuk diajarkannya menyanyi.

Namun, ketika datang waktu solat, dia solat dalam keadaan duduk.” Hal ini menunjukkan betapa beratnya melakukan ketaatan itu bagi mereka yang tidak diberikan taufik oleh ALLAH.

Di antara jalan yang ditunjukkan ALLAH agar kita mampu bersabar dalam ketaatan adalah dengan selalu bersama dengan orang-orang yang taat.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dengan mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua-dua mata mu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melampaui batas.” (Surah Al-Kahf: 28)

Dalam ayat ini, ALLAH menjelaskan, ada dua perkara yang sering dilakukan orang yang taat. Pertama, di awal pagi, dia selalu berharap dan berdoa kepada ALLAH agar hari ini mendapatkan taufik sesuai dengan keinginan dan kehendak ALLAH agar kehidupan sehariannya dapat diisi dengan beribadah hanya kerana ALLAH.

Kedua, di akhir siang dan awal malam, dia sentiasa beristighfar, bermuhasabah tentang segala apa yang telah dijalaninya sepanjang hari dan mengakhirinya dengan bertaubat kepada ALLAH.

Agar dapat bersabar dalam melakukan ketaatan, ALLAH memerintahkan kita untuk selalu bersama dengan orang yang taat, bersahabat dan mencari teman yang selalu melakukan ketaatan kepada ALLAH.


Sabar itu dapat menahan kemarahan. - Gambar hiasan


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang mengikuti agama kawannya. Kerana itu, lihatlah olehmu siapakah yang menjadi kawan mu.” (Riwayat Abu Daud &Tirmizi)

Dalam ayat di atas, ALLAH juga mengingatkan kita agar jangan sampai memalingkan wajah kita daripada orang taat itu hanya kerana menginginkan kesenangan dunia yang bersifat sementara ini.

Janganlah kita sampai menjauhi orang yang melakukan ketaatan itu hanya kerana melihat mereka miskin, tidak punya apa-apa.
Kesenangan di dunia ini di sisi ALLAH tidaklah lebih berharga daripada sebelah sayap nyamuk.

Untuk menjaga bagaimana untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada ALLAH, ALLAH juga mengingatkan kita untuk tidak mengikuti orang yang telah dilalaikan hatinya oleh ALLAH sehingga mereka lupa berzikir kepada ALLAH dan lupa kepada kehidupan akhiratnya.

Mereka ini adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan pada akhirnya segala urusan berakhir dengan sia-sia. Walaupun mereka punya harta, punya kekuasaan, tetapi semua itu tidak akan memberi kebahagiaan baginya di dunia, tidak menyenangkan hatinya dan tidak akan memberi kebahagiaan di akhirat.

Semoga kita termasuk di kalangan mereka yang diberi taufik oleh ALLAH SWT sehingga mampu bersabar bersama hamba-hamba-Nya yang selalu melakukan ketaatan kepada-Nya. Insya-ALLAH.

Ustaz & ustazah … gelaran terbuka

SEMASA perhimpunan agung sebuah parti yang dikatakan membela dan memperjuangkan bangsa Melayu baru-baru ini, ada satu isu yang menjadi topik hangat diperbahaskan, di samping isu-isu yang lain.

Seorang perwakilan yang juga seorang ustazah mempersoalkan fenomena "ustaz dan ustazah segera” atau disebut juga “ustaz dan ustazah ekspres”.

Mendengar ucapan beliau dan meneliti  laporan media, isu tersebut merujuk kepada fenomena selebriti-selebriti tanah air yang telah berubah ke arah cara hidup yang lebih Islamik. Kemudian mereka dijemput untuk memberi ceramah mengenai pengalaman.

Ucapan beliau ini mengundang reaksi yang pelbagai sama ada daripada pihak parti lawan mahupun dalam kalangan selebriti sendiri. Ada yang mempersoalkan kenapa isu ini yang dibangkitkan dalam perhimpunan tersebut?




Sedangkan masih banyak lagi isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Kenapa artis-artis yang berhijrah ini dikritik? Sepatutnya kritiklah artis-artis yang belum berhijrah.

Kenapa artis-artis yang mahu berubah ditegur? Sepatutnya tegurlah kesalahan-kesalahan pemimpin yang berada di atas pentas. Amalan rasuah, penyelewengan pengurusan wang negara dan sebagainya. Inilah contoh sebahagian respons yang muncul.


Tidak perlu disahkan

Satu hakikat yang kita terpaksa terima sekarang ini ialah gelaran “ustaz” atau “ustazah” adalah gelaran terbuka. Tidak perlu kepada mana-mana badan rasmi untuk mengiktiraf dan mengesahkan gelaran ini. Hal ini berbeza dengan beberapa gelaran dalam profesion lain yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Contohnya gelaran untuk doktor, peguam, jurutera, akauntan, arkitek, kaunselor dan lain-lain lagi. Tidak ada orang yang bebas untuk mendakwa dia seorang doktor, peguam atau akauntan melainkan perlu kepada pembuktian dan pengiktirafan daripada badan-badan rasmi.

Namun, sistem ini tidak berlaku kepada gelaran ustaz. Ia tawaran terbuka. Sesiapa sahaja bebas untuk dipanggil “ustaz” atau “ustazah” (walaupun orang yang digelar itu tidak mendakwa sedemikian) tanpa perlu kepada pengesahan dan pengiktirafan rasmi.

Asasnya, kita sedia maklum, dalam konteks Malaysia, gelaran ustaz dan ustazah ini akan dipanggil kepada mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama Islam secara formal.

Namun, jika ada individu yang dipanggil ustaz sedangkan dia bukan lulusan pengajian Islam secara formal, tidak ada peruntukan undang-undang yang melarangnya.


Hati-hati bercakap AGAMA

Isu ini ada asas untuk dibimbangkan. Terutamanya apabila bercakap mengenai Islam. Jika semua orang bebas untuk memberi pandangan dan mengulas hal berkaitan Islam tanpa latar belakang ilmu yang kukuh, kemungkinan ada maklumat yang tidak tepat diberikan.

Wajah Islam mungkin akan dicemari dengan hadis-hadis palsu, petua khurafat, amalan bidaah, kisah-kisah pelik syekh-syekh tarekat dan sebagainya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila ingin menyandarkan sesuatu kepada Islam. Islam berdiri di atas prinsipnya yang jelas dan teguh.

Sebarang pandangan yang ingin dikaitkan dengan Islam mesti bersumberkan kepada fakta yang sahih dan kredibel. Untuk memahami al-Quran dan hadis juga perlu kepada pembelajaran dengan disiplin ilmunya yang betul.

Justeru, pemilihan guru dan bahan bacaan yang mementingkan nilai ilmiah ini diperlukan. Bukan semua bahan bacaan berkaitan Islam yang ada di pasaran ditulis dengan fakta sahih. Ada yang dicampur aduk dengan hadis-hadis palsu, amalan-amalan khurafat dan bidaah, kisah-kisah pelik dan sebagainya.


Sokong artis berhijrah

Akhir-akhir ini semakin ramai selebriti tanah air sama ada pelakon, penyanyi, pengarah filem, pengacara TV, juruhebah radio dan sebagainya yang berubah ke arah mengamalkan cara hidup yang bertepatan dengan tuntutan syariat. Istilah yang sering digunakan “artis berhijrah”.

Alhamdulillah! Sememangnya hidayah itu milik ALLAH SWT. Dia berhak untuk mencurahkan hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendaki. Begitu juga Dia berhak untuk mencabut hidayah daripada sesiapa dikehendaki.

Fenomena artis berhijrah ini adalah suatu perkembangan positif khususnya dalam arena dakwah di Malaysia. Mereka perlu diberikan sokongan dan dorongan tanpa ada sebarang prejudis. Apa niat sebenar mereka berhijrah? Itu urusan mereka dengan ALLAH. Kita hanya menilai apa yang terzahir dengan sangkaan yang baik.

Penghijrahan mereka mampu memberikan impak yang kuat kepada masyarakat khususnya kepada peminat. Seorang ustaz yang berkuliah di masjid mungkin akan didengar oleh puluhan atau ratusan orang sahaja. Namun, perkongsian seorang artis akan sampai kepada ribuan peminatnya.

Bahkan dalam dunia facebook sekarang ini, ia mampu dibaca oleh ratusan ribu peminatnya. Oleh sebab itu, pentingnya bagi memastikan terlebih dahulu kesahihan fakta sebelum dikongsi.

Daya penarik atau boleh disebut aura selebriti yang dimiliki oleh artis berhijrah ini begitu menyerlah sekali. Bukan semua sesi ceramah ustaz atau ustazah akan dihadiri oleh ramai orang. Namun, jika ustaz digandingkan dengan mana-mana artis dalam satu program, maka ramailah yang akan hadir.


Peranan Masyarakat

Apabila ada artis yang berhijrah, masyarakat berminat untuk menjemput mereka bagi menyampaikan ceramah. Strategi ini diguna pakai oleh banyak masjid, surau, NGO, kementerian, sekolah bahkan parti politik sendiri.

Jadi, bagi mengelakkan artis-artis ini bercakap sesuatu yang di luar bidang mereka, pihak penganjur perlu bijak memilih topik ceramah atau soalan yang ingin diajukan.

Artis-artis ini perlu dimanfaatkan melalui perkongsian pengalaman sebagai anak seni, kisah penghijrahan, nasihat-nasihat umum dan sebagainya. Tidak perlu menyentuh hal-hal yang berkaitan hukum hakam Islam secara mendalam.


Dalami Islam, karya seni

Kepada artis pula, bakat dan kemahiran seni yang dimiliki harus dimanfaatkan.  Bakat ini tidak perlu dimatikan dengan sebab sibuk memenuhi undangan ceramah. Sebaliknya, bakat-bakat seni tersebut perlu digunakan bagi menaikkan lagi impak dakwah Islam di Malaysia ini.

Hasilkan karya-karya seni yang mengajak masyarakat ke arah cara hidup Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama, penghijrahan yang dilakukan ini tidak boleh bergantung kepada semangat semata-mata. Ia perlu berpaksikan kepada ilmu.

Maka, dalam kesibukan dunia seni, berikan juga fokus kepada aktiviti bagi menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan agama Islam. Pelajari, fahami dan amalkan Islam dari sumber yang diyakini berteraskan al-Quran dan sunnah seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.


Dakwah tugas semua

Tanggungjawab dakwah adalah kewajipan semua. Bukan hanya dipikul oleh ustaz dan ustazah sahaja. Dakwah boleh dilakukan dengan pelbagai strategi. Ajaklah masyarakat ke arah kebaikan.

Seru masyarakat agar sedar hakikat kehidupan dan tujuan diciptakan. Inilah dakwah. Jadi pendakwah yang menyambung perjuangan para rasul dengan cara tersendiri, mengikut kemampuan. Usah malu untuk berkata: “Maaf, saya tidak tahu” dalam perkara yang tidak kita kuasai.

Kita bersyukur dan gembira di atas perubahan positif golongan selebriti. Mereka perlukan sokongan dan dorongan, bukan kutukan dan kata cacian.

Bersama kita semarakkan arena dakwah di Malaysia. Ada kekurangan, saling menambah. Ada kesilapan, saling menegur. Ada kelemahan, saling menguatkan.

Minat belajar perihal Islam

KITA boleh melihat zahir seseorang, boleh menilai perlakuan mereka, tetapi setiap amalan dan pengabdian mereka kepada ALLAH SWT langsung tiada siapa yang tahu.


Shafikah (dua, kiri) menghadiri perkahwinan saudaranya yang Kristian.


Mungkin hari ini kita melihat seorang pelaku maksiat, tetapi akhir hayatnya, dia lebih dekat dengan ALLAH berbanding kita. Itulah rahsia Dia yang dinyatakan sebagai qadak dan qadar. Dia yang lebih tahu segala-galanya.

Kristian kepada Islam

Nor Shafikah Abdullah, 38, mengakui kebenaran itu. Situasi itu melanda dirinya yang dilahirkan dalam agama Kristian, dia tidak menyangka pegangan hidupnya akan berubah.

Dia langsung tidak menduga minatnya untuk mempelajari agama Islam membawa dia menjadi seorang Muslim sebaik sahaja usai pengajiannya di Sabah.

"Saya dibesarkan dalam agama Kristian. Boleh dikatakan saya juga mengikuti agama itu dengan baik. Berkunjung ke gereja menjadi amalan saya kerana dalam agama Kristian juga meminta penganutnya untuk taat kepada agama.

"Jadi setiap kali perlu ke sana saya akan mengikut keluarga ke gereja. Tidak timbul sebarang masalah dan keluarga langsung tidak menduga saya bakal bergelar Muslim suatu hari nanti kerana tiada sebarang petunjuk diberikan oleh saya sendiri," cerita Shafikah pada awal bicara.

Menurut Shafikah, sebenarnya Islam bukanlah agama yang asing baginya. Ini kerana ketika berada di tingkatan lima lagi sedikit demi sedikit dia mengikuti agama ini daripada rakan-rakannya di sekolah.


Besama seorang rakan yang sentiasa memberi dorongan.


Wanita ini turut mengikuti apa yang dipelajari rakannya sewaktu kelas pendidikan Islam di sekolah secara tidak langsung.

Kenali Islam

"Selepas tamat tingkatan lima dan sepanjang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya menjalani kehidupan saya di Sabah seperti biasa. Tetapi dalam waktu yang sama, saya curi-curi membaca buku-buku mengenai perbandingan agama, terutamanya mengenai agama Islam.

"Ketika itu saya sendiri tidak tahu kenapa saya benar-benar berminat untuk mengetahui keistimewaan agama ini. Sangkaan saya, ia hanyalah minat saya untuk membaca sahaja." katanya.

Ceritanya lagi, selepas mendapat kejayaan dalam peperiksaan SPM, Shafikah menyambung pengajian dalam bidang perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah. Di sinilah dia mula terdedah dengan cara hidup seorang Muslim.

Bergaul dengan rakan-rakan dalam kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam, membuatkan Shafikah tertanya-tanya bagaimana mereka boleh jadi seorang yang benar-benar taat pada agama.

Seiring dengan pertanyaan yang membuku dihati, Shafikah semakin banyak meneliti keistimewaan agama mereka itu.

Hal ini membuka pintu hatinya untuk lebih mendalami lagi perihal Islam. Hinggalah selepas tamat pengajian di UiTM Sabah, dia terus menyambung pengajian di UiTM Shah Alam, Selangor dalam bidang kewangan.

Di sinilah segala-galanya bermula. Shafikah mula tinggal serumah dengan rakan-rakan daripada beragama Islam. Justeru, memudahkan dia untuk mengenali penganut agama ini dengan lebih mendalam lagi dan sekaligus mengetahui bagaimana gaya hidup masyarakat ini.


Saat terindah Shafikah

Tahun 2005 menjadi suatu masa terindah buat Shafikah. Dengan ditemani sahabatnya, dia melafazkan kalimah syahadah di hadapan imam di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Shafikah berkata, ia adalah tekad untuk mengadakan satu perubahan dalam kehidupannya. Bukan atas paksaan sesiapa, tetapi itu semua adalah paksaan daripada hatinya sendiri yang mahukan ketenangan hakiki. Sudah lama dia mencari sesuatu yang utuh dihatinya dan kini dia berasakan itulah jalan terbaik untuk dirinya.

"Apa yang saya rasakan sejurus selesai melafazkan ucapan itu, saya berasakan jiwa berada pada paksi yang betul. Saya benar-benar gembira dan sokongan daripada kawan-kawan membuatkan saya lebih kuat ketika itu.

Walaupun saya tahu ini bukanlah satu keputusan yang disukai keluarga, saya bersedia harungi semuanya kerana saya sudahpun melakukan sesuatu yang baik dalam kehidupan ini.

"Saya yakin siapapun saya dan apapun agama yang dianuti, andai hidup saya lebih baik pasti ibu saya akan terima saya seperti dulu. Saya bertekad untuk meyakinkan ibu dan keluarga walaupun saya sudah tidak menjadi penganut agama Kristian, tetapi saya tetap anak, adik mahupun kakak mereka. Itu tidak akan berubah dan tidak pernah berubah," ujar Shafikah.


Persepsi buruk

Apa yang ditakuti akhirnya berlaku, benar! keluarga tidak mudah untuk menerima pengislamannya. Dan dia perlu bersedia andai harus meninggalkan keluarganya kerana agama baharunya.

Shafikah mengakui kebenaran kata-kata kawannya. Keluarganya tanpa segan dan langsung tidak kisah membuangnya daripada hidup mereka. Apa yang dilakukan kini mengundang kemarahan yang teramat.

"Lakukanlah apa sahaja, saya tetap tidak pernah berputus asa. Kemarahan ibu, saya biarkan dan saya undur diri untuk seketika. Apabila kemarahan dia sudah reda dan saat hatinya mula rindu, saya pulang berjumpa dengannya.

"Syukur ke hadrat Ilahi. Melihatkan cara saya melayan dia dan keluarga tidak berubah, ibu yakin yang dia tidak pernah kehilangan saya. Kini saya tiada masalah untuk pulang ke Sabah.

Mereka menerima saya dengan baik. Saya anggap itu adalah keberkatan daripada keikhlasan dan kesabaran saya selama ini," katanya yang kini sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata.

Walaupun melakukan perkara yang baik tetapi kata-kata fitnah dan nista daripada mereka yang tidak menyenangi dengan perubahan yang dilakukan ini kadang kala mengundang calar di hati.

Bagi Nor Shafikah sendiri, dia juga terpaksa melalui cabaran itu tatkala mula-mula bergelar saudara baru. Keikhlasannya dipandang serong dengan melemparkan pelbagai tuduhan ke atas dirinya.

Shafikah dikatakan memeluk Islam hanya semata-mata mahu berkahwin dengan teman lelakinya yang beragama Islam. Ramai mengatakan Shafikah tidak ikhlas memeluk Islam. Alasan mereka, apa yang dilakukan Shafikah bukanlah daripada hatinya yang sebenarnya tetapi hanya kerana cinta.

Semua tuduhan itu  menjadikan Shafikah seorang yang kuat. ALLAH Maha Mengetahui Segala-galanya. Dan Alhamdulillah, hingga kini rasa ketakwaan ke hadrat Ilahi kembang mekar dan segar di hati Shafikah yang hampir enam tahun bergelar saudara baru ini.

Adab dalam majlis ilmu

Di dalam majlis ilmu, sering kali timbul persoalan yang dikemukakan hadirin. Berada di dalam majlis ilmu itu beroleh pahala daripada Allah SWT. Bagaimana jika soalan yang diutarakan itu bertujuan;

a. Menduga

b. Sememangnya dia tidak mengetahui hal itu

c. Untuk menghindarkan komuniti setempat melakukan sesuatu yang tidak baik disebabkan dia tidak mampu untuk menegurnya sendiri.

JAWAPAN Bertanya dalam majlis ilmu adalah baik. Ini kerana ceramah, kuliah dan syarahan sahaja tanpa pertanyaan daripada pendengar mungkin menyebabkan salah faham terhadap isi kuliah. Oleh itu, ruang pertanyaan hendaklah dibuka dalam majlis ilmu seperti kuliah Subuh dan juga kuliah Maghrib.

Pertanyaan yang tidak kena mungkin menjadi medan perbalahan
Pertanyaan kerana ingin kepastian hukum adalah satu bentuk pertanyaan yang baik. - Gambar hiasan

Namun terdapat juga tujuan pertanyaan yang berbeza daripada pendengar yang ingin bertanya.

Mungkin ada yang sekadar ingin menduga atau mencuba ilmu seorang guru agama.

Ada masanya ia baik namun ada masanya ia mungkin termasuk dalam kategori kurang beradab.

Dibimbangi pertanyaan yang sekadar ingin menduga itu membawa kepada perbezaan pendapat yang keras dan menimbulkan perbalahan dan permusuhan.

Oleh itu, biarlah seseorang guru agama diuji oleh guru agama yang lain dalam majlis khas.

Contohnya seorang ustaz yang sudah tamat pengajian di pondok, universiti dan sebagainya. Secara asas, mereka mempunyai ilmu.

Namun untuk mengajar, para ustaz akan diuji dalam satu ujian khas iaitu sistem pentauliahan.


Dalam sistem ini, kefahaman mereka diuji oleh kumpulan ulama meliputi pelbagai disiplin ilmu.

Dengan pentauliahan ini, maka guru agama yang mengajar di masjid dan surau tidak perlu lagi diuji oleh pendengar.

Namun jika pertanyaan kerana ingin kepastian hukum, ingin tahu hukum sebenar, ingin agar masyarakat tahu hukum sebenar melalui jawapan guru agama dan sebagainya maka ia adalah satu bentuk pertanyaan yang baik.