December 21st, 2014

'Reset minda' pekerja yang hebat

Bagaimanakah pemikiran ‘Reset Minda,’ yang memfokuskan kepada kekuatan minda bawah sedar/minda segar membantu dalam pekerjaan? Bayangkan de­ngan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’, kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memberi perkhidmatan lebih daripada biasa, sebab kita bekerja dengan niat kerana Allah dan tempat kerja itu adalah ladang pahala kita.

Sebagai pekerja, tiga perkara yang kita mesti elakkan jangan ada dalam hati kita. Pertama, jangan bersaing, sebab akan menimbulkan rasa iri hati, dendam dan cemburu. Kalau kita bersaing untuk mendapat sesuatu jawatan misalnya, kita akan kecewa apabila kita tidak dapat.

Kedua, jangan berasa kita penting. Kalau kita berasa diri kita penting, akan menimbulkan rasa bongkak dan keegoan yang tinggi. Kita akan marah apabila orang tidak memberikan penghormatan kepada kita, atau melayan kita dengan sepatutnya selaras dengan apa yang telah kita sumbangkan sebagai pekerja.

Ketiga, jangan mengharapkan penghargaan. Kita akan kecewa apabila sumbangan kita orang tidak nampak, orang melupakan dan tidak menyebutnya. Jangan mengharapkan penghargaan orang tetapi bekerjalah untuk mendapat keredaan Allah. Bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, dengan niat kerana Allah, untuk membuatkan majikan kita gembira dan syarikat kita berjaya.

Kita sendiri akan berasa bahagia kerana kita menyumbang untuk membahagiakan dan memberikan kejayaan kepada orang lain. Jangan ragu-ragu untuk ‘memberi’ seberapa banyak idea/tenaga/pemikiran ketika bekerja, walaupun adakalanya kita berasa sesak dengan gaji yang tidak seberapa. Anggap semua itu sebagai pencen kubur kita. Allah ada, Allah akan ganti balik semua yang kita telah beri.

Seorang pekerja yang hebat, dia akan sentiasa bertanya apa yang boleh dia beri atau sumbangkan, dan bagaimana hendak pertingkatkan produktivitinya? Perkara yang selalu difikir hanyalah, yang melibatkan manfaat yang patut dia berikan kepada majikannya, bukan apa manfaat yang dia patut dapat daripada majikan untuk dirinya. Iaitu, contohnya “Apa hak saya?” “Berapa bulan bonus?” dan seumpamanya. Maknanya dia tidak akan sibuk bertanya, “apa yang saya boleh dapat dan apa yang anda akan beri?”

Bekerjalah lebih daripada sepatutnya. Insya-Allah Kalau kita tidak dinaikkan pangkat, Allah beri rezeki dalam bentuk yang lain pula; anak jarang-jarang sakit, diri sendiri susah demam, kereta yang ada tidak bermasalah - susah hendak rosak, makan rasa sedap sentiasa rasa enak, balik rumah rasa tenang dan rasa tenteram, dapat rakan yang baik - masa senang bersama masa susah tidak larikan diri. Nikmat mana yang Allah sembunyi, semua Allah beri. Jom ‘Reset Minda’ untuk gembira dan bahagia membahagiakan ketika bekerja.

‘Reset Minda’ adalah satu konsep pemikiran yang melibatkan proses mengubah cara kita berfikir atau memandang sesuatu perkara atau kejadian dengan sudut pandangan yang berbeza dan baharu. Iaitu perubahan secara total, daripada sesuatu yang negatif kepada positif; jika ia masalah – terima dan dilihat sebagai cabaran, jika suatu musibah dipandang atau diterima sebagai ujian Allah, dengan berlandaskan kepercayaan kepada Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam.

Kita tidak mencari salah orang, sebalik kita banyak melihat di mana kelemahan diri dan bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi kerja. Apa-apa yang berlaku kita percaya sebagai takdir dan qadak dan qadar Allah. Contohnya kita menghadiri temu duga untuk kenaikan pangkat. Sebagai pekerja; prestasi kerja kita sangat baik, kita seorang yang berpengalaman, kelulusan pun menepati syarat temu duga, kita pun boleh menjawab soalan penemu duga dengan baik, tetapi apabila keputusan temu duga keluar, kita gagal.

Panduan

Yang dapat jawatan kenaikan pangkat itu, pekerja yang lebih muda daripada kita, kurang pengalaman, dan dari segi kelulusan kita sama atau lebih baik daripada mereka yang berjaya dalam temu duga tersebut. Patutkah kita kecewa, patah semangat untuk terus menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang? Wajarkah kita terus menyalahkan dan mencari faktor luaran, mengapa mereka yang berjaya, dan kita tidak berjaya?

Sebagai pekerja kita mesti ada tiga sifat yang menjadi garis panduan untuk kita bekerja dengan hebat. Pertama, hubudiyah (kehambaan). Kita menjadi pekerja sebagai salah satu peranan kita sebagai insan untuk mendapatkan keperluan hidup, tetapi peranan utama kita ialah menjadi hamba kepada Allah.

Jangan sesekali dalam menjadi pekerja, kita menjadi hamba kepada manusia. Kita hanya boleh menjadi hamba kepada Allah. Jika dalam melaksanakan kerja, kita meninggalkan urusan kita dengan Allah, misalnya kerana sibuk mesyuarat hingga terlepas solat, bermakna kita telah menghambakan diri kepada manusia.

Kalau kita bekerja di sebuah institusi yang tidak membenarkan kita menutup aurat, kita patut lepaskan jawatan di institusi itu. Sebab kita tidak boleh mematuhi peraturan dan undang-undang manusia yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.

Kedua, mesti ada sifat masuliyah, bertanggungjawab. Apabila kita bekerja kerana Allah, kita akan sentiasa sedar bahawa kita telah aku janji dengan majikan kita akan melaksanakan segala tugas dengan penuh tanggungjawab kerana tempat kerja itulah ladang pahala kita, bukan tempat kita merungut, mengeluh, menyesal, menyalahkan dan mengumpat.

Ketiga, ifqan buat kerja sebaik-baik mungkin. Amanah dalam melaksanakan tugas dengan mengamalkan tiga perkara. Pertama, integriti dalam tempat kerja. Apa yang kita cakap itu yang kita buat. Kedua, kita melayan orang lebih baik daripada kita ingin dilayan. Ketiga, buat lebih daripada yang patut kita buat. Jangan buat kerja sikit tetapi hendak pulangan lebih dan berkira masa kerja. Kalau kita pekerja terlalu berkira, nanti Allah juga akan berkira dengan kita, dan kita juga akan jumpa dengan orang yang berkira dalam perjalanan hidup kita.

Kita hanya akan dapat berdasarkan nilai yang kita beri, iaitu pertama, kita dibayar berdasarkan keperluan yang dibayar. Kedua, bagaimana bagus atau tidak kita melakukan kerja itu. Ketiga, berikan nilai tinggi hingga tidak ada orang boleh ganti tempat kita.

Setiap manusia akan dibayar berdasarkan nilai yang diberi kepada kerjanya. Kalau kita melakukan sesuatu kerja, hasilnya rendah tetapi kita mendapat pulangan yang besar bermakna Tuhan akan ambil balik dengan pelbagai cara; kereta rosak, duit hilang dan pelbagai musibah. Kalau kita bagi manfaat dengan keikhlasan bekerja di tempat kerja, Allah jaga keselamatan anak-anak, keluarga rumah yang kita tinggalkan ketika kita bekerja. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

DR. MUHAYA MUHAMAD Utusan Malaysia Rencana Agama - JOM AUDIT 21 Disember 2014 1:56 AM

IS : 'Kitar semula' guna nama Islam

Pergolakan di rantau Teluk khususnya di Iraq dan Syria telah memberikan satu impak yang besar kepada pemerhati politik antarabangsa.Kemunculan Islamic State (IS) telah menjenguk kembali aktivisme kumpulan-kumpulan radikal Islam. Dari konteks sejarah, selepas kekalahan Soviet Union pada Perang Afghanistan (1979-1989), kumpulan yang digelar 'mujahiddin' telah mendapat satu keyakinan yang tinggi bahawa mereka mampu mengalahkan kuasa besar dunia apabila mempunyai pasukan yang bergabung atas konsep jihad dari seluruh dunia. Maka, pembawaan konsep ini sedikit sebanyak telah membentuk pemikiran sesetengah umat Islam untuk bersedia menyertai kumpulan-kumpulan yang dijaja dengan niat dan prinsip untuk memartabatkan agama Islam.

Menjadi satu keperluan untuk memahami kedudukan kumpulan seperti IS ini dengan melihat susur galur perjuangan dan kepimpinan. Peranan yang dimainkan Amerika Syarikat (AS) pada peringkat awal dengan mencipta alasan untuk menakluki Iraq yang disyaki mempunyai senjata pemusnah telah menjemput pejuang 'mujahidin' untuk kembali bersatu menentang kuasa besar dunia yang dianggap musuh utama bagi Islam. Maka, rentetan dari sinilah kita mendapat gambaran bagaimana tokoh-tokoh seperti Abu Mus’ab al-Zarqawi, Abu Ayyub al-Masri, Abu Bakar al-Baghdadi dan Dr. Ayman al-Zawahiri silih berganti menjadi pemimpin dan rujukan pengikut-pengikut mereka. Walaupun pada peringkat awal IS dan al-Qaeda dilihat seiringan namun konflik antara kedua-duanya telah mewujudkan ketegangan sehingga terputus hubungan.

Dari sini kita dapat lihat bagaimana kemunculan IS ini merupakan satu reaksi kepada konflik semasa yang telah dan sedang berlaku atau post-conflict phenomenon. Ini kerana perkembangan ISIS perlu dilihat dan dikaitkan sejarah peperangan bermula dengan Perang Afghanistan (1979-1989), Perang Bosnia (1992-1995), Penaklukan Iraq (2003) dan Perang Saudara di Syria (2011). Pengalaman berkonfrontasi secara keras dan ganas dengan kuasa-kuasa besar dunia khususnya dari Barat dan AS telah membangkitkan fahaman dan pemikiran bahawa satu-satunya cara untuk menegakkan Islam adalah dengan menyertai kumpulan seperti IS.

Perjuangan IS perlu dilihat dari dimensi yang pelbagai agar penilaian terhadap kumpulan ini menjadi lebih berobjektif.Pertamanya, dari segi ideologi, penolakan terhadap demokrasi tanpa memberikan alternatif yang jelas telah menimbulkan keresahan yang besar kepada masyarakat dunia secara umum dan Islam secara khusus. Ini menjadikan kumpulan ini cepat dan mudah menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak yang mengamalkan konsep demokrasi. Walaupun demokrasi bukanlah satu konsep yang mutlak dalam sistem pemerintahan, namun ia diterima majoriti negara di dunia pada hari ini bagi mencapai kestabilan politik. Berlawanan dengan IS yang bukan hanya menolak sistem ini secara total bahkan memusuhi mereka yang mendokong demokrasi.

Pemikiran

Maka timbullah pemikiran sempit yang memaksa masyarakat mengikut fahaman dan acuan pemikiran mereka manakala yang menolak fahaman mereka dianggap kafir, taghut, murtad dan munafiq.

Seterusnya, apa yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana tindakan IS ini telah mencemarkan imej Islam yang sememangnya menolak keganasan. Membunuh tawanan perang secara zalim dan dengan kejam serta layanan terhadap kelompok yang tidak sealiran secara ganas telah mendapat kritikan antarabangsa.Ia telah memusnahkan pendekatan pembetulan terhadap imej Islam yang dibawa oleh golongan moderat bagi mengikis persepsi negatif yang telah dimomokkan oleh AS dan sekutunya selama ini.

Kebimbangan terhadap jaringan IS ini mempunyai kewajaran bagi negara kita, Malaysia. Laporan berkaitan dengan penglibatan warga Malaysia tidak boleh dipandang remeh. Beberapa faktor yang menyokong andaian bahawa negara ini menjadi transit dan juga antara pusat merekrut pejuang IS mempunyai asas yang boleh dipertimbangkan. Sifat gerakan pengganas yang melangkaui sempadan sesebuah negara atau transnasional ini memudahkan mereka untuk memberi ancaman kepada kumpulan sasaran. Sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, Malaysia tidak dapat lari daripada mempunyai potensi ancaman tersebut. Hubungan secara langsung melalui pendidikan dengan ramai yang melanjutkan pelajaran ke negara-negara Asia Barat dan juga kedatangan pelajar dari sana telah membentuk kepelbagaian fahaman terhadap perjuangan menentang hegemoni kuasa-kuasa besar dunia.

Maka tidak hairan ada yang turut sama merasakan kewajipan untuk bersama dengan IS. Selain itu, sogokan terhadap kewajipan berjihad ini juga telah menerobos melalui interaksi dalam talian atau Internet yang mana ketaksuban terhadap kumpulan tertentu telah mendorong memberi sokongan kepada elemen pengganas. Selain itu, kestabilan politik yang dinikmati oleh rakyat negara ini merupakan satu peluang kepada gerakan seperti IS untuk berlindung dan mencari ruang bagi mereka meneruskan agenda kumpulan tersebut.

Oleh itu, melihat pada sejarah dan ideologi IS ini, pihak berkuasa mempunyai cabaran yang besar bagi mencegah penularan fahaman keganasan ini di Malaysia. Pendekatan yang berbeza mengikut kumpulan sasaran diperlukan agar ia mampu memberi kesedaran dan pemahaman yang maksimum kepada masyarakat.

Ahli akademik harus menggembleng tenaga agar dapat memberikan kefahaman tentang unsur kemanusiaan yang terkandung dalam konsep jihad yang dianjurkan Islam. Anggota masyarakat pula hendaklah meletakkan ilmu sebagai asas dalam menilai setiap pandangan yang berbeza bagi mengelakkan ketaksuban terhadap mana-mana kumpulan, lebih-lebih lagi yang melibatkan konsep jihad.

Kita mengharapkan agar elemen keganasan yang digunakan oleh IS ini memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang keperluan untuk bersatu bagi menunjukkan imej Islam yang sebenar.

Sifat gerakan pengganas yang melangkaui sempadan sesebuah negara atau transnasional ini memudahkan mereka untuk memberi ancaman kepada kumpulan sasaran.

Ahmad El-Muhammady ialah Pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Che Hamdan ialah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Terengganu.

Awas kempen “moderation”, Melayu dan Islam digelar ekstremis

Kempen “moderation” atau kesederhanaan. Ia memang baik dan sedap didengar. Seolah-olah ini selari dengan konsep kesederhanaan yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kesederhanaan memang dituntut dalam kehidupan manusia, apa lagi di sebuah negara pelbagai kaum, budaya, agama dan laras fahaman politik. Tetapi tidak semua yang menonjolkan diri sebagai pejuang kesederhanaan benar-benar sederhana.

Malah lebih ekstrem daripada yang mereka labelkan ekstremis. Kempen kesederhanaan yang digerakkan oleh sebuah akhbar bahasa Inggeris ini agak mencurigakan. Tafsiran kesederhanaan akhbar ini juga menimbulkan persoalan seolah-olah bukan Melayu menjadi mangsa sikap ekstrem orang Melayu. Padahal hakikatnya orang Melayu kelihatan ekstrem itu hanya membendung agenda penghakisan kedudukan orang Melayu, institusi Raja dan agama Islam seperti terdapat dalam Perlembagaan.

Kesederhanaan ini bukan perkara baharu kepada kita. Cuma tidak dijenamakan secara besar-besaran sebagai satu gerakan sosial. Perkara ini berjalan secara semula jadi sesuai dengan fitrah manusia yang menjunjung kehidupan yang aman damai dalam kepelbagaian.

Kempen kesederhanaan ini didokong oleh liberalis dan sekularis Melayu. Kedu­dukan mereka sebagai Melayu dipergunakan untuk menunjukkan gagasan ini datang daripada orang Melayu. Sesetengah daripada mereka menyumbangkan pemikiran itu dengan menulis dalam akhbar berkenaan dan menjadi barisan hadapan untuk mendapat sokongan golongan Melayu elit.

Membukakan ruang seluas-luasnya kepada golongan liberalis dan sekularis Melayu menyerang atau mempengaruhi kaum sendiri mengikut agenda kesederhanaan yang mencurigakan ini adalah tindakan bijak tetapi nakal. Yang tidak bijak ialah Melayu yang diperalatkan bagai kayu yang men­jadi hulu kapak digunakan untuk menumbangkan pohon bangsanya sendiri. Bukan Melayu yang menggerakkan kempen ini tidak perlu mengotorkan tangan kerana Melayu boleh digunakan untuk melemahkan Melayu sendiri.

Walaupun hampir berjaya menutup wajah cauvanis mereka yang sebenar kerana elit Melayu dijadikan topeng sebagai pengenalan diri tetapi kita masih boleh membaca yang tersirat. Hakikatnya sesetengah Melayu yang diangkat menggerakkan kempen ini adalah golongan yang ditolak kerana pemikiran yang liberal dan sekular. Pada masa sama inilah juga antara pejuang hak asasi yang menuntut diberi hak yang sama rata tanpa melihat asas-asas dalam Perlembagaan sekali gus menghakis hak-hak orang Melayu.

Melayu elit

Melayu elit harus berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan kempen kesederhanaan yang menjurus kepada sebelah pihak sahaja. Kita tidak menolak kesederhanaan. Tetapi yang digerakkan bukan kesederhanaan sebaliknya mempergunakan sentimen anti-Melayu sekarang ini. Gerakan anti-Islam dan anti-Melayu adalah terancang dengan sokongan media yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat elit.

Kempen ini secara tersiratnya telah memberikan kesan yang tidak baik kepada konsep kesederhanaan yang dicetuskan oleh Najib. Tetapi secara tersuratnya kelihatan selari dengan gagasan yang dibina oleh Perdana Menteri. Memberikan keutamaan kepada bahan tulisan yang kelihatan Melayu bersikap ekstrem adalah antara modus operandi. Perkara ini terlindung kalau tidak diteliti agenda-agenda yang tersirat berteraskan rekod yang sebelum ini.

Dalam isu kalimah Allah misalnya, mereka memberikan tumpuan yang berat sebelah antara parti cauvanis Cina, DAP Pulau Pinang dengan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa. Apabila Perkasa melancarkan ugutan membakar Bible bahasa Melayu yang memuatkan kalimah Allah yang diputuskan tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, akhbar berkenaan menggambarkan Perkasa dan Presidennya, Ibrahim Ali sebagai “ekstremis.”

Tetapi nada mereka berbeza apabila DAP Pulau Pinang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah walaupun mereka tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Ini kerana negeri yang tidak mempunyai Sultan, kuasa sebagai ketua agama Islam terletak kepada Yang di-Pertuan Agong. Tindakan DAP Pulau Pinang itu bukan sahaja menghina perundangan Islam malah turut menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi negeri berkenaan.

Isu ini tidak diperbesarkan walaupun tindakan DAP Pulau Pinang boleh dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong dan memiliki ciri-ciri ekstremis. DAP Pulau Pinang lebih ekstrem berbanding Ibrahim Ali kerana melancarkan provokasi mencampuri sistem perundangan Islam dalam isu kalimah Allah. DAP Pulau Pinang juga melarang perarakan Maulidur Rasul sudah dua tahun berturut-turut. Larangan ini dilihat satu lagi provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama. Semua tindak-tanduk ekstrem ini tidak dijadikan tumpuan seperti mereka menyerang Ibrahim Ali dan Perkasa. Inikah kempen kesederhanaan?

Baru-baru ini muncul sekumpulan yang digelar 25 orang Melayu ternama termasuk pesara pegawai tertinggi kerajaan yang mendesak kerajaan mengadakan dialog untuk merasionalkan kedudukan Islam di negara ini. Kumpulan ini mendapat sokongan akhbar berkenaan kerana dilihat selari dengan agenda tersirat kempen kesederhanaan. Tetapi diharapkan kumpulan tersebut tidak mudah membiarkan diri dipergunakan untuk memecahbelahkan orang Melayu.

Kepada mereka yang mengikuti kecenderungan politik akhbar ini menjelang PRU-13 yang lalu, kesimpulan yang boleh dibuat daripada keseluruhan laporan adalah peningkatan kuasa politik bukan Melayu yang sangat membanggakan dan bersedia untuk mengambil alih kuasa. Keyakinan ini disuntik kepada masyarakat termasuk Melayu elit bahawa “Ini kalilah” akan menjadi kenyataan.

Awas, jangan terperangkap dengan tindakan ekstrem yang berselindung di sebalik kempen kesederhanaan ini. Tetapi agak malang kerana ada pihak dalam kerajaan sendiri yang bukan sahaja terpengaruh malah mengiktiraf gerakan ini. Pihak dalam kerajaan jangan terpengaruh dan menganggap kelantangan mempertahankan yang tersurat dalam Perlembagaan sebagai ekstremis.

Ku Seman Ku Hussain (kusemankh@gmail.com) Utusan Malaysia Rencana 21 Disember 2014 2:14 AM

Jangan biar Malaysia jadi 'failed state'

Kunta Kinte sentiasa alu-alukan orang Islam, khususnya orang Melayu, bincang hal-hal berkait dengan agama secara terbuka, ilmiah dan bebas daripada ideologi politik. Kita kena bincang dengan terbuka sebab di negara kita ini agama sentuh semua orang memandangkan kita ada banyak bangsa dan kaum yang amalkan banyak agama dan kepercayaan.

Kita juga wajib bincang secara ilmiah sebab agama perkara penting. Kita tak boleh cakap dan buat sesuka hati saja. Jadi kita kena ada ilmu yang cukup mengenai Islam dan apa yang sentuh atau berkait dengan Islam, khususnya Perlembagaan.

Baru-baru ini, sekumpulan 25 orang kenamaan Melayu yang majoritinya bekas kakitangan awam telah buat satu kenyataan gesa kerajaan utamakan kesederhanaan dan halang sikap melampau agama.

Oleh sebab mereka Islam, jadi yang mereka sentuh adalah kesederhanaan dan keterlaluan di kalangan orang Islam. Mereka khuatir tindak-tanduk sesetengah kelompok orang Islam, khususnya yang kuatkuasakan undang-undang berkaitan Islam, mula nampak melampau.

Kunta Kinte tak mahu bagi apa-apa label kepada pendirian mereka. Memadailah kalau Kunta Kinte kata, ada saranan mereka yang baik dan ada juga yang boleh jadi bercanggah atau tak berapa selari dengan Islam.

Tapi Kunta Kinte setuju dengan amaran mereka, iaitu kalau kita tak berjaga-jaga negara kita boleh jadi macam Pakistan dan Afghanistan. Bukan kita nak hina dua negara itu, tapi apa yang sedang jadi di sana jelas bukan ajaran Islam. Sampai sekolah dan masjid pun mereka serang. Ini kerja orang gila dan orang yang kena rasuk syaitan.

Pandangan Kunta Kinte macam ini; kalau kita tak ambil berat hal-hal yang buat orang Islam jadi tak tolak ansur, keras dan mungkin juga ganas, keadaan macam di Afghanistan, Pakistan dan Somalia boleh berlaku di negara kita.

Tak mahu berlembut lagi

Kita tengok macam mana tuntutan sesetengah penggiat Kristian hendak guna kalimah 'Allah' di Semenanjung telah buat orang Islam yang dulu tolak ansur sekarang kurang tolak ansur. Malahan dah ada yang tak mahu berlembut lagi dengan bukan Islam.

Saranan 25 orang kenamaan itu dijawab oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta Pusat Kajian dan Advokasi Hak Asasi (Centhra) dalam satu kenyataan bersama kepada media massa.

Ketiga-tiga pertubuhan itu berpandangan bahawa 25 orang kenamaan terbabit seolah-olah berkata penguatkuasaan undang-undang Islam di bawah Perlembagaan adalah bercanggah dengan idea kesederhanaan yang dianuti oleh Kerajaan Malaysia. Bagi mereka, mempertahankan kedudukan Islam di bawah Perlembagaan sama dengan tindakan melampau dan fundamentalis.

Kalau inilah yang tersirat dalam hati 25 orang kenamaan Melayu itu, Kunta Kinte rasa ia tidak tepat dan tidak patut. Silap-silap boleh dikira mempersendakan Islam dan mempromosikan idea liberalisme dan sekularisme Barat. Kemudian awal minggu ini, 33 orang cerdik pandai Muslim yang datang dari pelbagai profesion dan disiplin turut jawab hujah 25 Melayu kenamaan itu.

Ambil jalan tengah

Daripada apa yang Kunta Kinte baca dalam media atas talian, mereka ini nampaknya ambil jalan tengah. Mereka mahu kerajaan tubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi bagi mengkaji semula Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan memindanya bagi memenuhi keperluan orang Islam dan perkukuh hak kaum-kaum minoriti.

Dalam satu sidang akhbar, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid kata, Perlembagaan tidaklah terpahat atas batu. Maksudnya ia boleh diubah dan dipinda. Kata beliau, jawatankuasa yang dicadangkan itu hendaklah dianggotai pakar-pakar Islam dan bukan Islam dalam bidang perlembagaan, undang-undang Islam dan bidang-bidang berkaitan.

Kunta Kinte tak ada masalah dengan cadangan itu. Cuma ia kenalah bebas daripada pengaruh politik. Lepas jawatankuasa itu bentang laporan barulah parti-parti boleh bagi pendapat masing-masing. Jadi eloklah kita selidik dan fahami semua pendapat dan pendirian yang tercetus sejak 25 orang kenamaan Melayu itu keluarkan kenyataan mereka.

Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Harap-harap negara kita tak akan jadi macam Pakistan, Afghanistan dan banyak lagi negara Islam yang dah jadi negara gagal (failed state). Wallahuaklam.

Bersaing jadi umat terbaik dunia

Islam memandang bahawa pembangunan harus dimulai dengan perubahan individu yang disusuli dengan perubahan institusi. Tugas membangun dalam Islam adalah tugas yang mulia, bahkan melebihi tugas keagamaan yang bersifat ritual.

Umat Islam diperkenalkan oleh al-Quran sebagai 'ummatan wasathan' (umat pertengahan) yang tidak larut dalam spiritualisme, tetapi tidak juga hanyut dalam alam materialisme. Seseorang Muslim perlu memenuhi keperluannya dan mewarnai kehidupannya bukan mengikut cara ala malaikat, tidak juga ala binatang.

Agama dibawa Nabi dan isinya digambarkan dalam kitab suci adalah serangkaian tuntutan Tuhan untuk pembinaan dan pembangunan manusia serta dunianya.

Allah swt berfirman: "Kitab suci adalah petunjuk Tuhan untuk memberikan jalan keluar bagi masalah yang dihadapi manusia." (Surah Al-Baqarah ayat 213).

Anggapan bertentangan

Sering kali ada anggapan yang bertentangan antara agama dengan ilmu pengetahuan atau perkembangan sains dan teknologi. Agama dikatakan menjadi penghalang terhadap perkembangan ilmu dan teknologi.

Pada waktu yang sama, muncul pula anggapan bahawa ilmu dan teknologi menjadi ancaman terhadap agama. Anggapan seperti itu juga pernah berkembang di Barat sehingga tercetus peperangan ilmu dan agama yang tidak berkesudahan. Saintis tersohor abad ke-20, Einstein pernah berkata, ilmu tanpa agama adalah buta dan agama tanpa ilmu adalah pincang.

Kita harus memaknakan ajaran Islam dengan makna yang proaktif dan progresif, tidak hanya pasif dan pasrah (meskipun kita tetap percaya pada takdir dan qada Allah.) Takdir hendaknya difahami ketika usaha kita ternyata tidak berhasil. Kemudian baru kita dibolehkan bertawakal, kalau sudah berikhtiar seperti yang terkandung dalam hadis: "Ikatlah unta itu jangan dilepas begitu saja, baru kamu boleh bertawakal."

Banyak sekali terjadi bahawa kehidupan umat Islam dilandasi ajaran Islam yang pemaknaannya sudah tidak tepat lagi. Bukan sedikit pemaknaan ajaran Islam itu sangat pasif dan menjadikan pasif pula dalam kehidupan, bahkan juga amat banyak menjadi penghalang terhadap kemajuan. Seolah-olah ia hanya berorientasi kepada kehidupan akhirat saja dan tidak ada kaitan dengan keduniaan.

Kita percaya ajaran Islam adalah terbaik dan sempurna. Yang menjadi masalah adalah pemahaman serta penyalahtafsiran umat sendiri dalam mempraktikkan ajaran itu di muka bumi ini. Bermakna ada pemisahan antara ajaran dan praktik amalan umat Islam. Allah swt juga berfirman: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah". (Surah Ali- Imran ayat 110 ).

Ayat ini seharusnya membangkitkan kesedaran umat Islam untuk maju dan berdaya saing agar menjadi umat terbaik di dunia. Kemajuan di dunia tidak dapat dicapai tanpa usaha dan perjuangan yang kental serta berkualiti.

Wujud teladan terpuji

Ertinya, umat Islam akan menjadi umat terbaik di atas muka bumi jika mampu mewujudkan teladan terpuji dan penghindaran kemungkaran dengan landasan iman kepada Allah. Oleh kerana itu, ketiga-tiga hal (iman, amar makruf dan nahi mungkar) itu menjadi syarat untuk melahirkan umat yang terbaik.

Sedangkan istilah makruf sebenarnya mencakupi masalah keduniaan seperti sistem pendidikan, ekonomi, sosiobudaya, hukum, politik dan teknologi. Itu semua bukan hanya di atas kertas tulisan mengenai ajaran Islam, bukan pula dihafal dalam musabaqah membaca al-Quran, namun harus diwujudkan oleh umatnya di muka bumi ini.

Memang wajah dunia harus berubah. Pengetahuan dan daya kreatif yang dianugerahkan Allah kepada manusia membawa makhluk ini dapat menciptakan hal baharu yang belum dikenali sebelumnya, baik di darat, laut mahupun udara. Pengetahuan dan daya kreatif itu tidak dimiliki malaikat dan itu antara lain menjadikan mereka tidak wajar menyandang fungsi kekhalifahan yang di sandang manusia.

Oleh kerana itu, seandainya malaikat yang ditugaskan menjadi khalifah maka sudah tentu alam ini akan menjadi statik dan tidak berubah atau terpelihara.