January 2nd, 2015

Khutbah Jumaat ~ Buktikan Cinta Kepada Rasulullah SAW

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 02 Januari 2015: “Maulidur Rasul” Jabatan Agama Islam Selangor

"Buktikan Cinta Kepada Rasulullah SAW"

Sebagai seorang Muslim, perlulah kita sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kita berjaya membuktikan cinta kita kepada Baginda SAW. Tidak cukup dengan hanya mengadakan sambutan, perayaan, perarakan dan berslogan cintai Rasulullah SAW semata-mata akan tetapi hendaklah kita buktikan kepada Rasulullah SAW dengan mengamalkan segala suruhan Baginda dan menjauhi segala larangannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 7: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka tinggalkan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)”.

Kalimah cinta bukan hanya mampu diungkap dibibir tanpa dibuktikan dengan amalan dan perbuatan.

Antara bukti-bukti kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW ialah:


1. Kita hendaklah mendahulukan segala hukum dan ketetapan Allah dan Rasul-Nya ke atas setiap urusan kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 36: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.

2. Kita hendaklah mempertahankan Nabi SAW sebagai Rasul yang terakhir.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 40 : “Bukanlah Nabi Muhammad SAW itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasulullah dan kesudahan bagi segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

3. Tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW maka kita hendaklah membenarkan sesuatu yang dituturkan oleh Nabi SAW. Sesungguhnya apa yang dituturkan oleh Rasulullah SAW adalah merupakan suatu tuntutan yang mesti diikut.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Najm ayat 3-4: “Tidaklah dia (Muhammad) itu bercakap mengikut hawa nafsunya. Segala apa yang dikatakannya tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan”.

4. Tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW maka kita hendaklah bersungguh-sungguh memelihara hadis-hadis Nabi dengan mempelajarinya dan juga menolak sebarang pendustaan terhadap Baginda SAW.

Dalam hal ini satu hadis daripada Anas bin Malik menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka dia telah menempah tempatnya di dalam api neraka”. (Hadith muttafaqun ‘alaih).


5. Tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW maka kita hendaklah menjaga adab dengan memperbanyakkan selawat dan salam kepada Baginda SAW.


Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56: “Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi , maka wahai orang-orang yang beriman berselawat dan salamlah kamu kepadanya”.


6. Tanda cinta kita terhadap Rasulullah SAW maka contohilah cara hidup (sunnah) Nabi SAW. Hadis daripada ‘Irbadh Bin Sariyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Sesiapa yang hidup selepasku nescaya akan melihat perselisihan yang cukup banyak. Maka tetaplah kamu dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin yang telah diberikan petunjuk, dan genggamlah ia serta gigitlah ia dengan gigi-gigi geraham kamu. Maka jauhilah kamu daripada perkara yang diada-adakan kerana ianya merupakan perkara bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu membawa kepada kesesatan”. (Hadith riwayat Abu Daud).


Oleh itu, marilah kita sentiasa mempelajari, beramal dan mempertahankan sunnah Rasulullah SAW agar kehidupan kita terjamin dan mendapat keredhaan Allah SWT dan selanjutnya diperakukan menjadi umat Muhammad SAW.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (ali Imran - 31).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Qudwah Dalam Membina Cita-Cita

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 2 Januari 2015M / 11 Rabiulawal 1436H JAWI

"Qudwah Dalam Membina Cita-Cita"

12 Rabiulawal 1436H adalh tarikh penting yang sentiasa diingati oleh setiap umat Islam yang benar-benar cintakan insan teragung, Rasulullah SAW.

Isilah sambutan tahun baru ini dengan memperbanyakkan berselawat ke atas baginda SAW di samping bertekad untuk melaksanakan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda SAW.

Marilah kita bermuhasabah kembali. Adakah cita-cita dan azam tahun sebelumnya telah terlaksana? Atau cita-cita dibina sekadar menurut budaya dan adat semata-mata.

Cita-cita dan keazaman juga tidak akan berjaya tanpa niat dan keikhlasan kerana Allah.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Umar bin al-Khattab RA :

Bermaksud : “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

Umat Islam perlu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai landasan dalam membina cita-cita. Perkara yang dijadikan sebagai cita-cita perlulah halal dan pelaksanaanya juga halal. Ingatlah..tiada matlamat dalam dunia ini boleh menghalalkan cara.

Tidak mungkin kita mendapat kebaikan jika cara yang kita gunakan berlandaskan kemungkaran.

Firman Allah melalui Surah al-Anfaal ayat 29: Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Kata-kata hikmah; “Apabila anda gagal untuk merancang sebenarnya anda merancang untuk gagal.”

Prof. Dr Yusuf al Qaradawi menyatakan , “Semangat zaman kita ini ialah semangat perancangan. Kita tidak boleh membina segala tindakan berdasarkan emosi dan lantunan perasaan yang dibawa.”

Firman Allah menerusi Surah al-Ankabut ayat 69: Bermaksud : “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya pertolongan Allah berserta dengan orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Ddoa adalah senjata umat Islam. Setelah kita membina cita-cita, menyelaras matlamat, menyusun strategi dan berusaha bersungguh-sungguh, maka doa dan tawakal adalah kuncinya.

Kesimpulan yang dapat diambil melalui khutbah pada hari ini,

Pertama : Rasulullah merupakan qudwah yang terbaik dalam membina cita-cita dan impian dalam kehidupan.

Kedua : Cita-cita mestilah menpunyai matlamat yang jelas dan diniatkan ikhlas kerana Allah. Cita-cita yang melibatkan perkara yang syubhah tanpa didasari dengan syariat Allah akan sia-sia.

Ketiga : Usaha dan komitmen seseorang adalah lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Berdoalah agar Allah memberikan kemudahan kepada kita.


Firman Allah SWT dalam surah al- Qasas ayat 60 : Bermaksud : “Dan apa jua yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya.”

Wallahualam.

Bahana pengabaian peringatan Allah

UMAT Islam masa kini meng­hadapi dilema akibat sikap dan tingkah laku mereka. Ku­rang penelitian dalam aspek strategi dan pemahaman mengenai perjuangan politik dalam Islam menyebabkan para pemimpin po­litik gagal meyakinkan masyarakat bahwa merekalah harapan dan penaung kepada agama dan umat Islam.

Objektif perjuangan parti politik yang lebih mirip kepada pe­rebutan kuasa daripada mempertahankan agama dan umat adalah salah satu ciri yang menyebabkan ketrampilan dan kewibawaan para pemimpin politik umat Islam kini kurang disegani dan dihormati oleh masyarakat dalam negara. Apabila suasana begini wujud dalam arena politik umat Islam maka masyarakat berpandangan; “ Ke­semua parti politik yang diterajui oleh umat Islam dalam negara adalah lemah.” Pandangan ini mempersoalkan kewibawaan para pe­mimpin dan parti politik.

Perpecahan umat Islam akibat perjuangan politik yang berteraskan perebutan kuasa telah sampai ke tahap bahaya untuk agama Islam dan umat. Semuanya berlaku akibat terlalu yakin bahawa parti politik mereka adalah terlalu berpengaruh dan kuat sehingga lupa bahawa mereka berada di ambang kehancuran. Sikap merasai diri terlalu hebat, berpengaruh dan pujangga Islam merupakan satu penyakit yang melanda para pemimpin dan ahli-ahli politik umat Islam masa kini.

Jika parti politik terlalu kuat dan berpengaruh sehingga dapat bergabung dengan golongan yang dianggap musuh Islam maka kenapa perundangan Islam menjadi isu yang hebat ditentang oleh rakan seperjuangan politik tersebut? Ciri-ciri musuh Islam dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran begitu mudah untuk difahami. Kenapa perkara ini diabaikan dalam mengendalikan urusan politik dan kepimpinan? Sejauhmanakah kefahaman mengenai politik dalam Islam direalisasikan jika perundangan Allah hendak dilaksanakan dalam negara?

Allah menjelaskan mengenai penentangan golongan yang memusuhi Islam secara terperinci dalam al-Quran. Jika al-Quran menjadi panduan dan tatacara hidup dalam setiap aspek kehidupan maka para pemimpin politik umat Islam tidak akan mengorbankan prinsip dan objektif perjuangan untuk melaksanakan perundangan Allah di muka bumi. Realiti yang ditonjolkan masa kini lebih mirip kepada perjuangan kebendaan dan keduniaan di mana kuasa menjadi matlamat utama perjuangan sehingga mengetepikan peringatan Allah dalam perjuangan politik.

Persoalan dalam minda ma­syarakat Islam masa kini ialah ke manakah hala tuju kepimpinan umat Islam dalam keadaan parti politik yang dipimpin oleh umat Islam semakin hari kian lemah sehingga ke tahap terpaksa berkompromi berkaitan akidah Islam. Jika ayat-ayat suci al-Quran sering diperdengarkan kepada masyarakat maka setiap strategi politik dan pelaksanaannya mestilah bertepatan dengannya kerana setiap perkataan Allah di dalam al-Quran adalah bertepatan dengan konteks dan suasana zaman sehingga Hari Akhirat.

Kelemahan memahami konteks ajaran Allah berkaitan dengan sosiopolitik dan ekonomi adalah punca utama umat Islam sering kecundang dalam perjuangan politik.

Muhasabah diri dan kritikan daripada masyarakat perlu dijadikan asas kepada pengukuhan parti politik. Sikap terlalu ghairah dengan kemenangan dan kuasa sepatutnya dikikis dalam minda para pemimpin politik agar mereka menyedari bahawa kemenangan dan kekalahan adalah atas ketentuan Ilahi. Jika strategi perjuangan politik tidak bertepatan dengan konteks ajaran Allah maka kemenangan yang diperolehi adalah berbentuk sementara bahkan kemenangan tersebut mendatangkan keburukan melebihi kebaikan kepada agama dan umat.

Pemimpin parti politik umat Islam sepatutnya mempunyai minda yang bernas sehingga mampu meramalkan sesuatu strategi yang boleh menjangkau masa yang jauh bagi kepentingan agama dan umat, bukan sekadar menyusun strategi jangka pendek. Sikap tidak teliti dan mengetepikan ajaran al-Quran dan hadis berkaitan dengan politik merupakan tabiat para pemimpin umat Islam masa kini. Hasilnya, setiap perundangan Islam yang ingin dilaksanakan sama ada berkaitan dengan undang-undang peribadi umat Islam menjadi isu penentangan masyarakat bukan Islam.

Perpecahan dan kerakusan untuk berkuasa merupakan fenomena parti politik yang diterajui oleh umat Islam masa kini. Perpecahan yang wujud di kalangan parti politik umat Islam menyebabkan umat Islam menjadi minoriti dalam negara walaupun negara ini merupakan satu negara Islam yang mempunyai majoriti umat Islam.

Dalam minda para pemimpin politik umat Islam tidak wujud konsep kompromi dan tolak ansur dalam aspek kuasa dan kepimpinan kerana ketamakan dan prinsip perjuangan politik tidak berteraskan konsep kepimpinan Islam secara jelas dan jitu.

Kebanggaan dengan pencapaian politik tanpa meneliti dan memahami konsep kepimpinan dan kelemahan diri boleh menghancurkan kuasa politik umat Islam.

Apabila kelemahan dan korupsi semakin berleluasa di kalangan para pemimpin dan pentadbir maka kuasa politik semakin hari kian lemah. Ketika ini usaha untuk memperbaikinya tidak mungkin dicapai kerana umat Islam sudah hilang panduan hidup berteraskan ajaran al-Quran dan hadis.

Oleh itu Allah memperingatkan umat Islam bahawa ‘setiap umat akan hadapi kehancuran’. Kehancuran adalah akibat daripada kelemahan dalam kepimpinan dan pentadbiran setiap umat.

Untuk membina tamadun sesuatu umat memakan masa terlalu lama tetapi untuk menghancurkannya hanya memerlukan masa yang singkat lantaran kerakusan manusia yang gila kuasa.

Ketika ini para pemimpin politik umat Islam sepatutnya muhasabah diri masing-masing. Sikap kompromi serta tolak ansur sesama umat Islam sepatutnya dibina bagi mengembalikan kekuatan umat.

Peringatan Allah mengenai kehancuran sesuatu umat di dalam al-Quran sepatutnya dijadikan panduan umat Islam kerana peristiwa yang berlaku dalam sejarah manusia akan berulang jika tidak dijadikan teladan dalam mengemudikan kepimpinan dan pentadbiran negara.

Kekuatan umat Islam bergantung kepada kesatuan akidah yang berteraskan ketauhidan Allah. Persaudaraan dalam Islam sepatutnya disuburkan bukan dirobek dan diruntuhkan lantaran keegoan, kesombongan dan kerakusan kuasa.

Kepincangan dalam jalinan saudara seagama mengakibatkan umat Islam berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Hasilnya hasrat untuk melaksanakan hukum Allah di dalam negara menjadi isu bantahan golongan yang bermusuhan dengan Allah.

Soalnya di manakah perjuangan Islam sebenar, ke manakah arah haluannya, objektif dan prinsip perjuangan Islam seperti digariskan oleh tokoh politik Islam semasa parti masing-masing ditubuhkan?

Usah persendakan hukum Allah dengan menjadikannya satu isu permusuhan yang membangkitkan sentimen perkauman dan agama yang boleh menghancurkan negara yang aman damai.

Sedarlah selagi umat Islam berpecah maka semakin tajam taring musuh Islam. Bersatulah demi agama, bangsa dan negara.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN
  ialah profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan malaysia Rencana Agama 02 Januari 2015 12:31 AM

Sabar, solat dan taubat hadapi bencana

API apabila kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Begitu juga dengan air. Apabila banjir melanda enam negeri di Semenanjung Malaysia, terutama di Kelantan baru-baru ini, kemusnahannya amat dahsyat. Banyak rumah yang ranap dibawa arus selain kerosakan harta benda yang nilainya mencecah jutaan ringgit.

Kepada mangsa yang terlibat, kesukaran dan natijah banjir tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga Allah mengurniakan kesabaran kepada mereka dan menggantikan segala kemusnahan itu dengan yang lebih baik.

Kisah banjir telah dirakam dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu dia (Nuh) berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) daripada keping-keping papan dan paku (ad-dusur). (al-Qamar: 10-13)

Bezanya, banjir atau azab Allah ke atas kaum Nabi Nuh yang mengingkari ajarannya itu menyaksikan kemusnahan semua umat tersebut. Yang selamat hanya orang beriman. Namun, atas rahmat dan kasih sayang Allah, azab atau bala yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW tidak membawa kepada kehancuran umatnya.

Alhamdulillah, selepas keadaan pulih di beberapa kawasan, bantuan datang mencurah-curah. Baik daripada kalangan umat Islam mahupun yang bukan Islam. Ini adalah satu daripada hikmah banjir yang melanda apabila masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik semuanya berganding bahu menghulur bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Bagi orang beriman, walaupun banjir itu disebut bencana alam namun di sebalik yang tersurat, ia adalah peringatan daripada Allah agar kita kembali kepada-Nya. Dengan kata lain, bala yang diturunkan itu antara lain sebagai kaffarah untuk menghapus dosa-dosa yang kita lakukan.

Untuk itu, marilah sama-sama kita memohon keampunan daripada Allah SWT di atas segala kesalahan dan dosa sama ada yang kita lakukan secara sedar atau tidak. Orang beriman itu sifatnya akan semakin mendekatkan diri kepada Allah apabila berhadapan dengan ujian.

Inilah yang diperintah oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi mereka yang khusyuk.” (al-Baqarah: 45)

Malangnya, ada di antara mangsa banjir yang lalai dan mengambil mudah bab solat fardu ini. Lebih dikesalkan mereka ini ditempatkan di masjid sebagai penempatan sementara pun tidak solat berjemaah apabila azan dikumandangkan.

Ada juga yang mengambil kesempatan daripada tragedi ini memecah masuk pasar raya seperti yang dilaporkan di Kota Bharu, Kelantan. Yang pelik, barang yang dilarikan bukan makanan tetapi peralatan elektrik termasuk alat memancing. Perkara-perkara begini tidak sepatutnya berlaku. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga berdosa.

Demikian juga dengan pelbagai maklumat palsu dan ada juga bersifat fitnah yang disebarkan menerusi laman sosial sama ada Facebook atau WhatsApp tentang banjir dan provokasi. Berita sebegini tentunya membuatkan keluarga mangsa banjir gelisah dan gundah gulana terutama bagi mereka yang terputus hubungan.

AL-BAYAN MOHD. RADZI MOHD. ZIN Utusan Malaysia Rencana Agama 02 Januari 2015 12:31 AM

Bencana uji iman, rapatkan ukhuwah

Negara kita menutup tirai tahun 2014 dengan pelbagai kisah sedih dan ujian yang hebat melanda penduduk serta negara. Ini termasuklah banjir besar yang melanda beberapa negeri yang menyebabkan kesengsaraan serta kerugian tidak mampu digambarkan.

Dilaporkan ribuan rumah rosak, dihanyutkan dalam banjir besar ini. Ada rumah yang hanya tinggal tangga sahaja, malah ada yang terus lenyap meninggalkan tapak sebagai sejarah. Ini tidak termasuk jumlah kenderaan yang rosak dan hilang dalam kejadian itu.

Manusia tidak mampu lawan takdir


Membantu mangsa banjir amalan mulia merapatkan silaturahim. - Gambar hiasan

Kejadian banjir besar ini adalah satu tanda kebesaran Pencipta yang berkuasa mutlak terhadap segala yang ada di alam ini. Ia membuka mata hati kita merenung penciptaan alam dan tunduk mengaku bahawa manusia tidak mampu melawan apa-apa bencana alam yang ditakdirkan berlaku.

Namun, kita tidak pula diminta hanya duduk berserah tetapi perlu berusaha mencari jalan terbaik menangani bencana alam yang menimpa.

Kejadian itu juga membuka mata kita semua untuk melihat hikmah dari sudut berbeza. Apabila melihat ramai insan menjadi mangsa, kehilangan tempat tinggal dan harta, tinggal sehelai sepinggang, ia memberi ruang untuk kita membantu dan memberi bantuan yang termampu.

Memberi kepada orang yang memerlukan adalah satu tuntutan agama. Apabila mendapat tahu ada insan berada dalam situasi sangat memerlukan bantuan, ketika itu menjadi kewajipan kita untuk membantu.

Membantu mangsa banjir boleh menjadi sebahagian cara merapatkan hubungan keluarga. Babitkan anak untuk mengumpulkan dana, pakaian, makanan dan membungkusnya untuk mangsa banjir boleh menimbulkan sikap prihatin di hati mereka.

Usaha kumpul dana bantu mangsa banjir

Media melaporkan pelbagai pihak, termasuk individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid dan surau telah menjalankan kutipan derma, mencari dana membeli pelbagai keperluan. Ribuan ringgit yang dikutip menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jiwa murni mengasihani sesama insan.

Ia adalah sikap terpuji dan patut diteruskan sepanjang masa. Pada masa sama, kita perlu memberi kata-kata semangat kepada mangsa banjir yang ditemui. Pujuk mereka dengan kata-kata positif supaya lebih tabah menghadapi ujian, sabar atas kehilangan yang berlaku. Ia juga satu sedekah.

Sesungguhnya ujian yang datang, walau bagaimana berat, adalah ketentuan Allah SWT untuk melihat bagaimana reaksi hamba-Nya, adakah mereka lebih dekat kepada-Nya atau lebih jauh. Keimanan, keyakinan, tawakal dan kesabaran yang kuat sangat diperlukan dalam menghadapi ujian getir ini.

Orang yang jauh daripada Allah SWT akan menyalahkan-Nya atas ujian ini, memarahi takdir yang menimpa dan mengandaikan pelbagai sangkaan buruk kepada Penciptanya. Sedangkan orang yang menjadi lebih dekat dengan Allah SWT melihat musibah sebagai bukti kekuasaan Allah SWT.

Bersangka baik berdepan bencana

Ia juga mungkin menjadi kifarat terhadap segala dosa serta kesalahan yang akan menyebabkan dia mendapat ganjaran besar di akhirat kelak. Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, kita hendaklah sentiasa berbaik sangka kepada Allah SWT.

Harus yakin bahawa semua ujian untuk menguji keimanan seperti dimaksudkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Apakah kalian mengira bahawa kalian akan masuk ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepada kalian (ujian) sebagaimana yang berlaku kepada orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang bersamanya: Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat." (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Melihat kepada apa yang berlaku, semoga kita mengambil iktibar dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT baik dalam bermuhasabah diri serta menghulurkan bantuan kepada saudara yang memerlukan pertolongan kita. Penulis ialah pensyarah di ACIS, UiTM Shah Alam

Ajak kepada Islam, ajak kepada apa?

NABI Muhammad (SAW) pernah bersabda bahawa seseorang itu dilahirkan dalam fitrahnya dan melalui ibu bapanya dia memperoleh identiti dirinya sama ada sebagai seorang Yahudi, Nasrani, atau Majusi. Dalam pengertian yang sama, ia juga merujuk kepada yang beragama Buddha, Hindu, Sikh, dan sebagainya.


Sekadar gambar hiasan. - Foto Internet


Tidak kira seseorang itu dilahirkan menganut apa jua agama, yang pasti, dia dilahirkan dalam satu ruang lingkup dan peraturan hidup yang membesarkan serta mendidiknya untuk menjadi seorang insan yang baik, cerdik, mulia, dan berguna.

Sehubungan itu, memilih Islam sebagai jalan hidup bukan bermaksud seseorang itu telah memutuskan hubungan dengan dirinya yang sebelumnya tetapi ia bermakna dia memilih untuk meletakkan jiwanya di atas landasan yang membolehkannya untuk menjelmakan erti kemanusiaan di dalam dirinya dengan lebih luhur dan berkesan.

Sebagai contoh, menyanjung ibu bapa dan moyang adalah suatu adat masyarakat Cina yang cukup mendalam ertinya kepada faham kemanusiaan orang Cina sehingga mereka disembah selepas meninggal dunia. Dalam rumah akan terdapat ruang untuk menyembah arwah mereka yang telah pergi dan saban tahun, masyarakat Cina akan menyambut kedatangan Qing Ming, sebuah hari dan upacara untuk memperingati ibu bapa dan moyang mereka.

Untuk sesetengah pihak, perkara sedemikian cepat dihukum sebagai syirik dan terkeluar dari akidah Islam. Namun, pengertian yang tersirat dan terkandung dalam amalan itu tidak diselami untuk memahami kenapa perkara sedemikian terjadi.

Mentaati ibu bapa, moyang dan mereka yang lebih tua daripada kita adalah fitrah kita sebagai manusia. Cuma sejauh mana kita meluahkan ketaatan ini dan apa cara yang kita gunakan untuk melafazkannya, ini yang menjadi perbezaan dari satu adat kepada adat yang lain, dari satu agama kepada agama yang lain.

Memilih jalan Islam dalam hal ini ialah memilih untuk mentaati orang tua kita dengan menekankan peri pentingnya kita melayan mereka dengan penuh hormat, kasih sayang, dan prihatin semasa mereka masih hidup di muka bumi ini. Selagi hayat dikandung badan inilah masanya untuk berbakti kepada mereka.

Selepas mereka sudah tiada, yang tinggal hanyalah kenangan lama. Sekalipun kita mengidam untuk membuat bakti kepada mereka seandainya kita belum berbuat demikian, hasrat berkenaan sudah tidak berguna.

Justeru, apabila seorang Cina atau Tionghoa memilih jalan Islam, dia memilih untuk mempersembahkan dirinya sebagai seorang yang senantiasa menjaga kemaslahatan ibu bapanya selagi hayat mereka masih ada.

Dia tidak memilih untuk menyembah orang tuanya selepas pemergian mereka kerana dia ingin menabur bakti kepada mereka semasa mereka bersama dengannya, dapat berasa kehadirannya, mencium dan memeluknya, serta melihat dengan mata kasar mereka yang dia akan menjadi insan yang baik dan berguna yang menyalakan kebanggaan ke dalam jiwa mereka.

Dan seperti kata Roger Garaudy, "To be faithful to our ancestors is not to preserve the ashes of their fire but to transit its flame." Bermaksud "Mentaati moyang kita bukan sekadar menyimpan abu mereka tetapi menyalakan api keriangan ke dalam kehidupan mereka."

Memilih jalan Islam dan menjadi Muslim bukan bermulanya suatu episod hidup yang baharu, tetapi ia adalah rentetan perjalanan hidup dari yang sebelumnya. Seorang yang memilih Islam bukanlah seorang yang sekadar bergelar convert, revert atau cross over. Dia adalah seorang yang awakened, yang kasyaf, terjaga, dan sedar bahawa dia adalah seorang Muslim selama ini.

Justeru, mengajak kepada Islam bukanlah mengajak kepada sesuatu yang baru, asing, dan terpisah daripada naluri dan fitrah kita. Sebaliknya, ia adalah mengajak kepada apa yang telah sedia ada di dalam diri tetapi dengan meletakkannya di atas landasan yang akan mendatangkan natijah yang lebih murni kepada erti diri kita sebagai seorang manusia.
Dr Yamin Cheng mantan pensyarah, Jabatan Pengajian Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sejarah hubungan Muslim & Kristian

HUBUNGAN Muslim dan Kristian bermula sejak detik terawal dakwah Nabi Muhammad SAW. Bahkan selepas menerima wahyu pertama Baginda SAW dibawa oleh Khadijah untuk mendapatkan konsultasi daripada seorang ahli kitab, Waraqah bin Naufal.

Kemudiannya kita menemui sejumlah rahib dan paderi Nasrani memeluk ajaran Islam. Terkenal sekali dalam sejarah Islam, kisah kembara seorang pemuda Nasrani mencari hidayah.

Kemudiannya lelaki ini dikenali sebagai salah seorang sahabat Nabi SAW yang kanan dan utama, bahkan dipuji dalam hadis Baginda SAW. Itulah Salman Al-Farisi.

Adi bin Hatim at-To’i juga salah seorang sahabat Nabi SAW yang dikenali dalam riwayat tafsir al-Quran, asalnya juga Adi ialah seorang ketua suku at-To’i di Najd dan beragama Nasrani.

Hubungan Kristian dan Muslim terjalin sejak lama. Ahli sejarah mencatatkan, kehidupan rakyat Kristian di bawah kerajaan Islam jauh lebih baik berbanding di bawah kekuasaan Yahudi. Hak-hak Kristian dan bukan Muslim yang lain dijaga.

Khianati janji

Firman ALLAH maksudnya: "Dan kalaulah ALLAH tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama ALLAH banyak-banyak padanya dan sesungguhnya ALLAH akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya ALLAH Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." (Surah Al-Hajj: 40)

Titik makar dan onar dalam sejarah peradaban manusia ialah bangsa yang pernah ALLAH muliakan pada suatu ketika dahulu yakni Bani Israel yang kemudian dikenal sebagai Yahudi.

Namun ternyata kemudiannya mereka mengkhianati janji mereka kepada ALLAH dan rasul-Nya, Mereka mendustai nabi-nabi yang telah ALLAH utus dalam kalangan mereka. Yahudi membunuh Nabi Zakaria dan Yahya. Zakaria yang mengasuh Maryam ibunda Isa AS. Dan nyaris Isa juga dibunuh oleh Yahudi.

Umat Islam dan umat Kristian jangan terpedaya dengan tipu daya Yahudi memprovokasi mengeruhkan hubungan baik Muslim Kristian yang terwujud sejak sekian lama. Benar ada perang antara kita.

Jangan terkeok dan terkecoh kerana sesama Arab sendiri pernah wujud siri peperangan yang panjang. Demikian dalam ajaran Islam sendiri ada mazhab Khawarij dan Syiah yang menghalalkan darah sesama umat.

Bukankah juga sesama umat Kristian pernah berlaku pertumpahan darah yang dahsyat. Ia tidak lain angkara kelompok yang jahil dan mengikut hawa nafsu. Dan di tengah-tengah itu terpercik api permusuhan, ditiup oleh Yahudi lalu bersemarak peperangan.

Sedangkan menurut ajaran agama hanif yang dibawa oleh Khalil ALLAH Ibrahim AS. Seterusnya Daud bersama Zabur, Musa bersama Taurat, Isa bersama Injil dan Muhammad SAW bersama al-Quran; perang itu tidak lain bertujuan mempertahankan keamanan dan menebarkan kedamaian.

Bisikan iblis

Hakikat ini harus dimengerti dan difahami agar dua agama terbesar umat manusia ini tidak dilaga dan diperseterukan oleh musuh ALLAH. Dan siapakah musuh ALLAH yang lebih besar selepas iblis laknatullah, kalau bukan Yahudi.

Iblis yang membisikkan kepada Bani Israel untuk membuat lembu daripada emas lalu menganggapnya sebagai Tuhan. Iblis yang membisikkan kepada Yahudi untuk memuliakan Nabi ALLAH Uzair berlebihan lalu mengangkatnya sebagai anak Tuhan.

Dan iblis juga yang membisikkan kebohongan bahawa Isa bin Maryam itu adalah anak Tuhan. Walhal tidak pun walau sepatah yang dapat kita temui kenyataan dan pengakuan Isa dalam Bible bahawa baginda adalah Tuhan. Yang benar lagi tercatat dalam kalam ALLAH yang terpelihara yakni al-Quran yang mulia.

Firman ALLAH maksudnya: "Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak ALLAH" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak ALLAH". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga ALLAH binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?" (Surah At-Taubah: 30)

Maka seruan orang beriman kepada semua anak manusia agar kembali kepada fitrah, kembali kepada agama yang hanif, agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS. Itulah agama semua para nabi dan rasul yakni berserah diri hanya kepada ALLAH Yang Esa. ALLAH yang menciptakan langit tujuh lapis dan menciptakan bumi tujuh lapis juga.

Firman ALLAH maksudnya: "Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau ALLAH?

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan ALLAH kepadanya?" Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan." (Surah Al-Baqarah: 140)

Seandainya ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Kristian kembali menekan Zabur, Taurat dan Injil yang masih ada di tangan mereka, dengan tulus dan ikhlas semata-mata mengharapkan petunjuk kebenaran, nescaya mereka akan menemui secerah cahaya kebenaran.

Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam firman-Nya yang bermaksud: "Nabi Muhammad SAW ialah Rasul ALLAH: dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).

Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya.

Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).

Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengagumkan orang-orang yang menanamnya.

(ALLAH menjadikan sahabat-sahabat Nabi SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) ALLAH telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Surah Al-Fath: 29)

Daripada perjanjian lama (Taurat) dan perjanjian baharu (Injil) itu ada banyak sekali petunjuk mengarahkan kepada perjanjian terakhir (Final Testament). Itulah kitab dijanjikan ALLAH terpelihara ketulenan dan keasliannya daripada perubahan dan penyelewengan oleh tangan jahat manusia. Itulah al-Quran al-Karim yang diwahyukan kepada Al-Amin.
Mohd Riduan Khairi Ketua Jabatan iLMU Sinar Harian Rencana 2 Jan 2015

Musibah … sedih, sabar dan tabah

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Benar sekali. Tidak sama orang yang melihat dibandingkan dengan orang yang merasai.

Ketika artikel ini ditulis, penduduk di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis sedang diuji dengan banjir.

Melihat laporan akhbar dan televisyen, perasaan ini bercampur baur. Simpati. Kasihan. Sedih. Sudah pasti perasaan ini jauh berbeza dengan mereka yang sedang mengalaminya.

Aktiviti kehidupan harian mereka tergendala. Rumah ditenggelami air. Barangan dan peralatan rumah musnah. Kenderaan rosak. Makan dan minum tidak seperti biasa. Tidur dan rehat tidak begitu selesa.

Ada yang ditimpa sakit. Bahkan ada juga yang telah terkorban, pergi meninggalkan keluarga, sanak saudara, rakan dan dunia ini buat selama-lamanya.

Inilah salah satu musibah, ujian atau dugaan dalam kehidupan. Mengapa keadaan ini berlaku? Kenapa aku yang perlu menghadapinya? Apalagi yang patut aku lakukan? Orang lain cakap senang, mereka tidak rasainya. Sampai bila aku perlu menanggungnya?

Firman ALLAH SWT: "Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)". (Surah al-Mulk: 1-2)

Setiap insan pasti ada ujiannya tersendiri. Apatah lagi manusia yang mengaku ALLAH sebagai Tuhan dan Muhammad SAW sebagai utusan.

Cukupkah sekadar pengakuan? ALLAH menjelaskan dalam firman-Nya: "Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui ALLAH mengenai orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya perihal orang-orang yang berdusta". (Surah al-Ankabut: 2-3)

Bukan kita sahaja yang ditimpa ujian. Orang lain juga telah menghadapinya. Dari situlah dapat dibuktikan nilai iman. Apakah sekadar meniti di bibir atau memang sebati dalam diri dengan penuh penghayatan. Bahkan, nabi dan rasul ialah mereka yang paling dahsyat diuji berbanding dengan apa yang kita alami hari ini.

Ujian apa yang akan kita terima?

Salah satu bentuk ujian yang kita perlu hadapi ialah seperti yang diterangkan dalam ayat berikut: "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: "Innaalillaahiwainnaailaihiraaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepada-Nya kita dikembalikan)."

Saat kita diuji memang ia suatu detik yang pahit. Perasaan mana yang tidak tersentak apabila melihat harta benda sendiri musnah, anak-anak menangis kelaparan, orang-orang tua letih keuzuran, haiwan ternakan terkorban, kebun tanaman musnah, orang-orang tersayang mati terkorban dan sebagainya.

Ketenangan bagi penyabar

Semua insan hadapi ujiannya. Namun, tidak semua yang hadapi ujian mempunyai perasaan sama. Ada yang menjadi semakin kuat hubungannya dengan Maha Pencipta lantaran sifat sabar dan reda yang dipilihnya.

Tidak kurang juga yang menjadi semakin lemah dek kerana tidak tahan menanggung ujian, terus berputus asa dengan rahmat Tuhan.

Justeru, sabarlah penawarnya. Sabar… satu perkataan mudah disebut. Namun, belum tentu mudah diamalkan. Bergembiralah insan yang memilih untuk bersabar di saat hadapi ujian lantas dia mengucapkan "Innaalillaahiwainnaailaihiraaji’uun.

Sabar inilah yang membezakan seorang individu dengan individu yang lain. Seorang mukmin yang percaya dan sedar, musibah dan ujian ini datangnya daripada ALLAH, Tuhan yang disembah dan diabdikan diri, pasti akan bertemu dengan hikmah di sebalik segala tragedi yang terjadi.

ALLAH sama sekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Berharaplah pahala atas apa yang menimpa.

Carilah hikmah di sebalik musibah. Hikmah yang besar adalah dihapuskan dosa dan diganjari pahala sehingga akhirnya beroleh syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh pahala yang besar bersama ujian yang besar.

Apabila ALLAH mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang reda maka ALLAH reda padanya, dan siapa yang murka maka ALLAH murka padanya." (Riwayat al-Tirmidzi, Sahih)

Dalam hadis diriwayatkan Muslim daripada Ummu Salamah berkata bahawa Rasulullah SAW mengajarnya suatu doa ketika ditimpa musibah:

"Innalillahwainnailaihiraji’un, Allahumma’jurni fi musibatiwaakhlif li khairanminha." Maksudnya: "Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami dikembalikan, Ya ALLAH, berilah aku pahala dalam musibah yang menimpaku ini dan berilah ganti kepadaku yang lebih baik daripadanya.

Rasulullah SAW bersabda : "Setiap hamba yang tertimpa musibah, lalu dia mengucapkan doa ini, pasti ALLAH akan memberikan pahala dalam musibah yang menimpanya dan menggantikan dengan yang lebih baik".

Kita sentiasa berharap agar digantikan dengan yang lebih baik nanti. Kalau tidak di dunia. Moga-moga di akhirat sana.

Sabar tidak menafikan ikhtiar

Sabar adalah senjata utama dalam hadapi musibah. Namun, sabar tidak menafikan usaha dan ikhtiar manusia. Sabar bukan bermaksud kita pasrah dan berserah tanpa melakukan apa-apa.

Bagi mereka yang tidak menanggung musibah, keprihatinan dan bantuan anda diperlukan. Anda yang ada kelebihan wang ringgit, hulurkan sumbangan kewangan. Anda yang ada ruang masa dan kemampuan tenaga, berikan khidmat bantuan kecemasan.

Anda yang ada kuasa, aturkan segala tindakan bagi membantu rakyat jelata. Jangan beralasan aku tidak mampu buat apa-apa, sekadar melihat sahaja kerana anda masih mampu untuk menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Kuasa.

Kepada pemimpin negara, ini bukan masanya untuk melihat siapa ahli dan penyokong parti sendiri dan siapa yang tidak.

Musibah menimpa tidak mengira parti. Lihatlah rakyat ini dari sudut seorang insan. Semua insan yang dalam kesusahan berhak untuk dibantu dan dibela.

Amanah jawatan yang dipegang, bukan untuk mengaut harta kemewahan. Bukan untuk bermegah dan sombong dengan kekayaan. Gunakan jawatan dan kuasa yang ada bagi berusaha dan merancang tindakan yang sebaiknya dilakukan bagi mengatasi bencana ini.

Wang rakyat bukan dihabiskan kepada anak isteri dan juga kroni. Namun, kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan.

Jika pemimpin tidak amanah, jika pemimpin makan rasuah, jika pemimpin tidak prihatin dengan nasib orang susah, jika pemimpin hidup megah dan bermewah sedangkan rakyat bersusah payah, ini juga adalah musibah!

Banjir oh banjir: Antara musibah dan hikmah Allah

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apakah ungkapan simpati dan rasa empati yang kita tunjukkan itu mampu menghadirkan rasa yang sama dengan mereka yang menjadi mangsa kepada musibah banjir yang melanda? Sudah tentu tidak sama dengan apa yang dirasai oleh mereka yang menjadi mangsa kepada bencana tersebut.

Namun, atas dasar semangat persaudaraan dan semangat kemanusiaan maka pertolongan, sokongan serta dorongan harus diberikan sekurang-kurangnya membantu meringankan beban dihadapi.


Teladan daripada musibah

Pasca banjir ... terlalu sukar untuk dibayangkan perasaan mangsa banjir yang rumahnya
hanyut dilanda banjir.
Cuba kita renungi, antara hikmah ALLAH SWT  menjadikan kenapa hanya segelintir kawasan dilanda banjir dan bukannya seluruh negara. Tersirat besarnya hikmah dalam situasi ini. Apabila keadaan itu berlaku, orang-orang yang berada di kawasan yang tidak dilanda banjir boleh turut membantu mereka yang dilanda musibah. Mungkin dengan cara itulah semangat kerjasama, semangat kemanusiaan, sikap rendah diri, sikap murah hati dan sebagainya diperkukuhkan.

Hal ini jelas tampak, bukan? Tanpa mengira agama, kita saling membantu.

Bencana alam sama ada banjir, gempa bumi dan lain-lain pada hakikatnya datang daripada ALLAH. Apabila kita berhadapan dengan musibah seperti ini, maka hendaklah kita mencari hikmah dan pengajaran yang tersembunyi di sebaliknya kerana mustahil ALLAH menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Mungkin sahaja, ALLAH menjadikan bencana alam itu sebagai satu peringatan dan teguran supaya kita tidak lalai daripada mengingati ALLAH, dan supaya kita sentiasa beringat bahawa kita datang daripada ALLAH, akan kembali kepada-Nya, dan kepada-Nya sahajalah tempat kita bergantung segala harapan.


Mengambil hikmah

Banjir yang melanda sebahagian negara kita terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung memang bakal meninggalkan duka yang mendalam.

Ada yang terpaksa menanggung korban saudara yang hilang dibawa arus deras, dan juga mereka yang kehilangan tempat tinggal. Namun, selalunya ada hikmah dan pelajaran berharga yang boleh kita ambil dari setiap peristiwa yang terjadi.

Boleh dikatakan, musibah banjir tahun ini bagi negeri Kelantan adalah yang terburuk setelah beberapa tahun ke belakang. Ternyata, musibah ini telah menelan banyak harta benda dalam kalangan saudara seislam.

Jumlah mangsa banjir juga meningkat dari hari ke hari. Kerugian keseluruhan, pastinya dalam ratusan ribu ringgit.

Oleh kerana itu, bagi sesiapa yang terkena musibah atau sekadar menyaksikan musibah banjir yang terjadi, haruslah merenung kembali tuntutan Islam dalam menghadapi musibah, sehingga musibah tersebut mampu diharungi dengan sabar dan syukur. Kita haruslah beriman bahawa setiap musibah yang berlaku adalah ketetapan ALLAH sehingga wajib menerima ketetapan itu dengan berlapang dada.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya, itu semua mudah bagi ALLAH." (Surah Al-Hadid: 22)

Sikap berlapang dada dan reda pada setiap ketentuan ALLAH akan memberi kekuatan ruhiyah yang besar dalam menghadapi musibah itu. Selain itu juga, ia mampu menguatkan keadaan psikologi yang akan meringankan kesan musibah itu dan sangat membantu dalam usaha menyelesaikannya.

Didasari atau tidak, sesungguhnya di sebalik musibah itu terkandung hikmah yang luar biasa. Seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya:

"Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah lalu mengatakan, "Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada-Nya lah kami kembali, (lalu berdoa) ya ALLAH, berilah pahala kepadaku dalam musibahku ini, dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya, kecuali ALLAH memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantikannya dengan yang lebih baik untuknya." (Riwayat Muslim)

Musibah yang melanda kita belum lagi sehebat ujian yang melanda rasul dan sahabat. Dengan demikian, setiap orang yang ditimpa musibah atau bencana, baik berupa banjir, tanah runtuh, atau musibah lainnya, maka hendaklah kita mengambil hikmah dan pelajaran berharga  di sebalik musibah itu.

Dengan keimanan serta reda dan sabar dengan segala ketetapan ALLAH, maka ia akan memiliki kekuatan mental yang luar biasa sehingga setelah perginya musibah yang menimpanya, semuanya berubah menjadi kebaikan.

Yakinlah, di sebalik setiap musibah yang melanda itu, ada selaut kasih sayang ALLAH kepada kita.

Aurat: Lambang mulianya seorang wanita

ISLAM, agama yang mengembalikan kemuliaan wanita yang pada mulanya dianggap sebagai lebih rendah tarafnya berbanding lelaki. Masyarakat Arab jahiliah meletakkan taraf wanita pada kedudukan yang paling rendah dari segi peranan dan moralnya iaitu sebagai pemuas nafsu lelaki, hamba dan harta.

ALLAH SWT memuliakan manusia terutama mereka yang beriman yang terdiri dalam kalangan lelaki dan wanita. Justeru dengan kemuliaan inilah maka manusia diberikan amanah ke atas setiap diri individu untuk menjaganya agar ia tidak tercemar dengan sebarang anasir yang mendorong ke arah kemungkaran.


Kalimah 'arun (celaka)

Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Afandi Mat Rani menjelaskan, ulama bersepakat menyatakan aurat berasal daripada kalimah ’arun yang bermakna celaka.





Pendedahan aurat adalah sangat hodoh dan buruk di sisi syariat.
Sifat kepedulian ibu bapa terhadap anak-anak menjadi pendiding kepada
berlakunya masalah sosial.

"Ini kerana sering kali pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan kerosakan. Perkataan iryan juga membawa makna aib dan memalukan. Orang yang mendedahkan aurat adalah berkelakuan tidak sopan dan sangat buruk. Aurun pula membawa makna sesuatu yang menjijikkan.

"Kerana inilah juga golongan lelaki diwajibkan menundukkan pandangan daripada melihat kepada aurat wanita yang dianggap jijik, kerana ia termasuk dalam perkara dosa. Dosa boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang menjijikkan jika diperlakukan," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, terdapat perkaitan yang kukuh antara aurat dan maruah. Maruah adalah lambang ketinggian nilai seseorang manusia. Andainya maruah seseorang itu tercemar, maka nilai dan harga diri seseorang itu sudah tidak ada lagi.


Malu dipertontonkan

Mohd Afandi berkata, maruah juga amat berkait dengan keperibadian seseorang. Hakikat semula jadi manusia akan mempunyai perasaan malu jika bahagian tertentu daripada badan dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Mendedahkan aurat sama seperti tidak berpakaian. Gejala rogol, gangguan seksual, pencabulan kehormatan dan lain-lain banyak berpunca daripada cara berpakaian yang tidak menutup aurat. Maka hukum yang menjadi peraturan dan panduan dalam Islam semuanya adalah untuk menjaga dan menjamin maruah wanita terutamanya daripada gejala yang tidak sihat berlaku.

"Kita lihat hari ini, timbulnya pelbagai fesyen yang benar ia menutup aurat tetapi jelas sekali bukan menutup, namun membalut. Bayangkan bagaimana sosok tubuh dibalut sehingga kelihatan sukar untuk bernafas.

"ALLAH menciptakan wanita dengan pelbagai keistimewaan diri, seperti kecantikan rupa paras dan fizikal, lemah-lembut, kehalusan kulit dan lain-lain berbeza dengan kaum lelaki. Sehubungan dengan itu, ALLAH menjadikan salah satu syariat-Nya ialah mewajibkan wanita menutup aurat," jelasnya panjang.

Kenapa ALLAH menyuruh wanita berbuat demikian? tujuan-Nya adalah untuk memuliakan dan menghormati nilai diri setiap Muslimah. Pendedahan aurat adalah sangat hodoh dan buruk  di sisi syariat.

Maka mendedahkan aurat kepada orang yang bukan mahram secara tidak langsung mencacatkan sifat dan darjat kemanusiaan yang mulia, menunjukkan akhlak yang rendah dan merosakkan masyarakat. Wanita yang sengaja mendedahkan aurat adalah golongan yang dianggap tidak amanah terhadap diri sendiri yang diperintah ALLAH agar menutupnya dengan rapi dan sempurna.


Malu itu perhiasan wanita

Nabi Muhammad SAW menyifatkan malu adalah sebahagian daripada iman. Menutup aurat dengan berpakaian yang sempurna dan timbulnya rasa malu dalam diri adalah suatu fitrah naluri keinsafan yang hanya terbit daripada jiwa manusia yang beriman.

"Antara tanda pergi dan hilangnya iman ialah hilangnya perasaan malu. Nabi SAW bersabda: "Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang". Nabi SAW bersabda lagi di dalam hadis yang lain, Baginda SAW melihat kebanyakan penduduk syurga adalah orang-orang fakir, manakala penduduk neraka adalah wanita. Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan hadis ini katanya: "Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka. Kecenderungan mereka kepada kesenangan dunia, dan berpaling daripada akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.

"Wanita dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan dengan maksiat dan larangan ALLAH. Hilangnya perasaan malu inilah yang menjerumus wanita ke kancah kehinaan," tegas Mohd Afandi.

Abu Hatim menyatakan: "Apabila manusia terbiasa dengan sifat malu, maka pada dirinya terdapat faktor-faktor yang mendorong kepada kebaikan. Sebaliknya orang yang tidak tahu malu, maka dirinya tidak ada faktor yang mendorong kepada kebaikan.


Jaminan menutup aurat

ALLAH tidak membebankan kaum wanita dengan perkara yang berat, cukup hanya dengan menunaikan rukun Islam, menjaga aurat dan mentaati suami, maka tertutup segala pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga. Wanita boleh memasuki daripada mana-mana pintu yang dia suka.

ALLAH tidak mewajibkan wanita berjihad, mencari nafkah dan lain-lain.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda: "Akan datang suatu zaman kepada umatku, segolongan wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang tanpa pakaian. Sanggul mereka ditinggikan bagai bonggol unta. Kutuklah mereka.

Sesungguhnya mereka itu terkutuk oleh ALLAH. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak dapat mencium sedikit pun bau syurga.

Agama Islam memberi jaminan terhadap umatnya yang mengambil berat tentang aurat, mereka dikelaskan sebagai umat yang terbaik yang mendapat keredaan ALLAH sebagaimana firman-Nya: "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) ALLAH (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Kajian dijalankan oleh Prof Dr Harlina Halizah Siraj dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan, peratusan remaja yang hamil dan dikategorikan sebagai remaja luar kawalan ibu bapa dan penjaga adalah 45 peratus, dibandingkan dengan mereka yang terlanjur (biasanya antara pasangan yang sudah bertunang), iaitu 13 peratus dan yang diperkosa hanya tiga peratus.

Kajian ini  menjelaskan, peranan ibu bapa amat penting terutama dalam mencorak pemakaian dan aurat anak-anak, terutama anak-anak perempuan. Sifat kepedulian ibu bapa penting agar anak-anak sentiasa terdidik dengan akhlak berpakaian Islam yang menjadi pendinding kepada berlakunya masalah sosial pada hari ini.

Pemakaian seseorang adalah mencerminkan interpretasi imannya. ALLAH memuliakan wanita dengan menamakan surah al-Quran secara khusus iaitu "al-Nisa" yang membincangkan perihal kaum wanita. Sewajarnya wanita sekalian peliharalah keperibadianmu dengan menutup aurat yang tinggi dan mulia di sisi ALLAH dan Rasul-Nya.