January 9th, 2015

Musibah orang lain, ujian bagi kita

Malaikat maut pada saat mencabut nyawa Nabi Nuh telah bertanya kepada Baginda: "Bagaimana kamu dapati dengan umur yang begitu panjang? Nabi Nuh menjawab: Umpama sebuah rumah yang aku masuk melalui pintu depan dan keluar melalui pintu belakang."

Nabi Nuh yang dikurniakan Allah SWT umur panjang iaitu lebih seribu tahun menggambarkan bahawa betapa masa yang dilalui itu berjalan dengan begitu pantas. Itulah mula bicara Ustazah Norhafizah Musa pada program Usrati minggu lalu.

Beliau membicarakan mengenai topik 'Sentiasa Untung' yang dikaitkan dengan tiga sikap manusia iaitu sentiasa membaca, merujuk dan beramal dengan kitab Allah (Al-Quran). Kedua, mereka yang menjaga dan memelihara solat lima waktu dan ketiga, yang menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT. Mengambil iktibar musibah banjir yang berlaku, Norhafizah memfokuskan perbincangan kepada keuntungan yang diperoleh mereka yang menafkahkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT.

Perniagaan tidak alami kerugian

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-Nya)." (Surah Faatir, ayat 29)

Semasa Allah SWT menguji hamba-Nya, Allah SWT memerintahkan malaikat untuk melihat bagaimana keadaan hamba yang diuji itu. Apabila malaikat memberitahu hamba yang diuji itu reda, maka untuknya juga keredaan Allah. Jika sebaliknya pula, hamba yang diuji itu tidak reda dan berkeluh kesah, maka begitu jugalah daripada Allah SWT kepada hamba itu.

Ujian atau musibah yang berlaku kepada orang lain sebenarnya ujian kepada diri kita. Bagaimanakah cara kita melihat ujian yang menimpa orang lain. Adakah dengan hanya memandang dengan simpati atau menghulurkan bantuan kepada mereka?

Keuntungan bukan dinilai dari aspek harta

Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak supaya mereka mengerti keuntungan bukan dinilai dari aspek harta tetapi manusia boleh menjadi beruntung dengan berkongsi harta diperoleh bersama golongan kurang berkemampuan atau mereka yang berdepan ujian. Anak perlu dididik untuk berasa simpati dan empati.

Norhafizah memberi contoh mudah iaitu ibu bapa boleh mendidik anak bermula dari sekolah dengan berkongsi makanan atau membeli makanan untuk meraikan kawan yang kurang berkemampuan. Seterusnya, anak perlu ditanam sikap sentiasa bersederhana dan merasa cukup dalam kehidupan.

Ibu bapa adalah orang paling rapat dengan anak dan mereka sepatutnya menunjukkan teladan supaya mudah mendidik anak hidup dalam kesederhanaan. Kesederhanaan mendidik hati untuk mudah menafkahkan sebahagian rezeki kepada yang memerlukan.

Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT untuk mendidik nafsu supaya berasa cukup dan syukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada kita.

Allah SWT Maha Mengetahui setiap ujian atau musibah yang diberikan kepada hamba-Nya kerana mereka mampu menerimanya. Allah SWT tidak akan sekali-sekali memberikan ujian kepada hamba-Nya untuk memudaratkan mereka, melainkan adalah untuk memberi kekuatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Setiap ujian atau musibah yang melanda untuk mendidik kita supaya reda kepada Allah SWT. Hati perlu dididik sentiasa mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT dengan apa yang telah ditakdirkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)

Jaminan diberi jalan keluar

Alangkah ruginya mereka yang diuji Allah SWT, tetapi meninggalkan solat lima waktu. Malah merintih dan mengeluh dengan musibah yang melanda. Allah SWT telah berjanji dalam al-Quran jika hamba-Nya yang diuji itu reda dan sentiasa mengingati Allah SWT, maka akan diberi mereka jalan keluar.

Allah SWT memberi jaminan kepada hamba-Nya yang yakin dan bertakwa walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada dalam keadaan gembira mahupun susah.

Keredaan terhadap Allah SWT akan hilang jika hati kita diselubungi rasa syak, keraguan dan kebimbangan terhadap ujian serta musibah yang melanda. Segala tindak tanduk kita dalam kehidupan menunjukkan sama ada kita yakin atau tidak dengan ayat Allah SWT.

Keyakinan terhadap Allah SWT adalah jalan keluar bagi segala-segalanya, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." (Surah Fussilat, ayat 30)

Alkohol tidak semestinya arak

Kaitan alkohol dengan arak telah menyebabkan cecair kimia itu dikaitkan dengan sesuatu yang memabukkan dan juga boleh menjejaskan ibadat kita kepada Allah SWT.

Gambaran sedemikian membuatkan kita berhati-hati dan sensitif bila terlihat perkataan alkohol pada mana-mana produk yang dijual di pasaran.

Kita juga tidak akan teragak-agak memboikot produk yang dikaitkan dengan cecair itu walaupun pengumumannya dibuat oleh bukan pihak berwajib.

Arak turut mengandungi bahan lain

Leonard Ariff Abd. Shatar

Saintis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Irwandi Jaswir menyifatkan kekeliruan itu disebabkan ketiadaan pengetahuan yang mendalam dalam kalangan orang ramai tentang alkohol.

“Pada hal, khamr (arak) dan alkohol itu jelas berbeza. Khamr itu dimakan atau diminum, sedangkan alkohol tidak,” kata Pengarah Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART) UIA itu ketika ditemui di UIA, baru-baru ini.

Alkohol terdapat dalam arak atau liquor (minuman beralkohol) tetapi tidak terdapat dalam morfin (morphine), walaupun liquor dan morfin merupakan khamr.

Jadi, yang terdapat dalam liquor itu bukan hanya alkohol (ethanol), tetapi juga komponen-komponen lainnya termasuklah acetaldehyde, propanol, 1-butanol, dan methanol yang dalam keadaan normal bersifat beracun.

Secara amnya, Dr. Irwandi memberitahu, alkohol adalah satu terma yang sangat umum kerana di bawahnya ada banyak sebatian kimia iaitu iso-propilalkohol, metilalkohol (etanol), butilalkohol (butanol), propilalkohol (propanol), sorbitol dan inositol.

“Walaupun alkohol adalah terma umum tetapi selalunya, orang ramai akan merujukannya kepada etanol sahaja. Mungkin kerana ia mudah dikesan,” katanya.

Dengan itu, etanol bukan satu-satunya sebatian yang terdapat dalam arak. Ada lagi sebatian lain yang membentuk sifat dan rasa arak itu, seperti ester, asid, acetaldehyde, propanol, 1-butanol, dan methanol dan sebagainya.


Arak tidak hanya dihasilkan menggunakan alkohol. -Gambar hiasan

Malah, penghasilan arak melalui pemeraman buah-buahan, barli atau beras dalam tempoh tertentu adalah disebabkan berlakunya tindak balas kimia yang menghasilkan alkohol.

“Dalam arak itu tidak hanya ada etanol tetapi ada bahan-bahan lain yang bentuk satu bahan yang boleh merosakkan kesihatan atau memabukkan,” katanya.

Namun begitu, etanol turut terhasil daripada proses penapaian tumbuhan atau secara sintesis kimia yang bukan bertujuan untuk menghasilkan arak atau dikenali sebagai alkohol industri.

Ini berfungsi sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri dan digunakan dalam perisa, pewarna, cat, kosmetik dan ubatan yang tiada kaitannya arak.

“Perbezaan utama antara arak dan etanol industri ini adalah dari segi tujuan dihasilkan. Arak dihasilkan dan boleh menyebabkan mabuk, manakala etanol industri adalah sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri.

“Dalam Islam, etanol itu dibenarkan atau hukumnya harus,” katanya.

Penghasilan etanol bukan melalui proses pemeraman daripada buahan atau beras tetapi dari petrol kimia. Ia menghasilkan etanol tulen yang tidak bercampur dengan sebatian kimia lain dan ia juga bersifat racun.

Penggunaannya dalam industri makanan adalah 0.5 peratus ke bawah kerana kandungan etanol itu akan hilang bila sampai ke peringkat akhir proses penyediaan makanan dilakukan.

“Etanol dari industri cuma 0.5 peratus, ia tidak akan rasa macam minum arak. Lagipun, saya fikir, tidak ada orang yang berani mencuba minum etanol tulen kerana ia toksik,” katanya.

Sukatan 0.5 peratus adalah panduan kita yang sudah disahkan pihak berkuasa.

Namun begitu, apa yang lebih membimbangkan beliau adalah kemajuan sains dan teknologi di masa depan akan membolehkan etanol industri itu digunakan untuk menghasilkan minuman arak.

“Penghasilan etanol industri yang food-grade akan sedikit menyukarkan keadaan. Apatah lagi, banyak etanol industri mulai dihasilkan juga melalui pemeraman tanaman (plant fermentation).

Apa tidaknya, banyak kejayaan yang dihasilkan melalui kemajuan sains dan teknologi hari ini tidak pernah tergambar di fikiran generasi masa lalu.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah pihak berkuasa agama dan penyelidik di universiti perlu memastikan mereka sentiasa berada di hadapan,” katanya.

Fatwa tentang alkohol, arak

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan beberapa fatwa berhubung status alkohol dan arak bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Perbincangan tersebut bukan hanya merangkumi pandangan Islam terhadap alkohol dan arak tetapi turut menyentuh soal-soal penggunaan dua bahan itu dalam makanan, pewangi dan ubatan.

Fatwa yang turut mendapat pandangan daripada pakar-pakar itu mampu memberi panduan kepada umat Islam dalam menentukan status halal atau haram sesuatu bahan yang menggunakan sebatian alkohol (etanol).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 - 12 April 1984 telah memutuskan bahawa:

1 Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.

2 Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

3 Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4 Tapai halal dimakan.

5 Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

6Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan.



Pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus. – Gambar hiasan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-22 yang bersidang pada 24 November 1988 telah membincangkan Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan.

Muzakarah telah memutuskan bahawa kordial yang mengandungi bahan perisa yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

1 Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.

2 Bahawa kuantiti alkohol dalam perisa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan.

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambil kira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
1 Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.



Ubat atau suplemen turut mengandungi alkohol yang dibenarkan oleh Islam. – Gambar hiasan

2 Manakala alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

3 Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras satu peratus adalah harus (boleh) diminum.

4 Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

5 Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.

6 Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5 peratus.

7 Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

(sumber: Portal Rasmi Fatwa Malaysia).

Umrah musim sejuk

Melaksanakan ibadat umrah pada musim sejuk merupakan satu impian bagi setiap umat Islam di seluruh dunia.

Umrah merupakan ibadat yang wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang mukallaf iaitu memenuhi lima syarat iaitu Islam, baliqh, berakal, merdeka dan berkemampuan.

Ada kelebihan, tetapi turut mengundang kealpaan

ANTARA kealpaan jemaah umrah musim sejuk adalah terlalu banyak menghabiskan masa membeli belah. Gambar hiasan.

Berkemampuan di sini bermaksud ada kenderaan pergi balik dan ada bekalan makan serta minum ketika melaksanakan ibadat umrah.

Kewajipan ibadat umrah jelas disebut dalam Firman Allah SWT, di antaranya dalam Surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Sempurnakanlah kamu wahai sekalian manusia ibadat haji dan umrah kerana Allah SWT.”

Rasulullah SAW juga memperakui Firman Allah SWT bahawa ibadat umrah ini merupakan satu kewajipan tatkala Baginda bersabda, “Ibadat haji dan ibadat umrah kedua-duanya diwajibkan, ia tidak memudaratkan kamu untuk mengerjakan dahulu salah satu daripada kedua-duanya.”

Keistimewaan dan ganjaran menunaikan ibadat umrah tidak dapat dinafikan dan ditambah pula dilakukan pada musim sejuk.



Umrah musim sejuk memberi banyak kelebihan tetapi cuacanya yang dingin kerap kali menyebabkan kealpaan dalam kalangan jemaah khususnya semasa dalam ihram. – Gambar hiasan

Sehubungan itu, umat Islam di seluruh dunia berebut-rebut ingin melaksanakannya kerana dua ganjarannya yang sangat hebat di samping keistimewaan musim sejuk itu sendiri.

Pertama, jemaah umrah yang mengerjakannya dengan sempurna akan diampunkan dosa-dosanya seperti sabda Rasulullah SAW, “Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya.” (Riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

Oleh itu, umat Islam yang mengerjakannya dalam musim sejuk amat bermotivasi untuk mengerjakannya lebih dari dua kali umrah di samping ibadat sunat yang lain.

Kedua, akan dikabulkan doa dan hajatnya. Sabda Rasulullah SAW, “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah SWT, sekiranya mereka memohon doa kepadanya, nescaya Allah SWT memperkenankan doa mereka, dan sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah SWT mengampunkan mereka.” (Riwayat al-Nasa’iy dan Ibnu Majah).

Sehubungan itu, umat Islam dilihat kerap berdoa di depan Kaabah tanpa mahu berlindung di bawah bumbung bangunan Masjidil Haram walaupun pada waktu tengah hari kerana cuaca yang nyaman.

Ketiga, amalan dapat dilipat gandakan seperti kekerapan melakukan ibadat sunat kerana keselesaan suasana sejuk dan nyaman.

Kedatangan musim sejuk di Tanah Suci Mekah dan Madinah amat dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Tambahan pula umrah bersamaan dengan jadual cuti sekolah dan cuti hujung tahun di antara bulan Disember hingga Februari dan adakalanya hingga ke bulan Mac.

Cuacanya yang sejuk dan nyaman membolehkan jemaah umrah melakukan ibadat dengan selesa bersama keluarga. Suhunya tidaklah sesejuk seperti di sebahagian negara Eropah. Ia sekitar 15 darjah Celsius hingga 26 atau 28 darjah Celsius, cuma adakalanya pada waktu malam dan subuh ianya boleh mencapai 13 darjah celsius.

Sejuknya di Tanah Suci Mekah dan Madinah bukanlah kerana disebabkan salji, tetapi kerana tiupan angin sejuk dari khutub utara.

Namun begitu, sejuk yang paling terasa sekali adalah ketika keluar dari hotel menunaikan solat subuh di masjid khususnya di Madinah.

Terdapat perbezaan cuaca di antara Tanah Suci Mekah dan Madinah. Andai kata, Mekah nyaman, maka Madinah sejuk, tetapi andai kata Mekah sejuk, maka Madinah lebih sejuk.

Sehubungan itu, jemaah umrah dinasihatkan tidak lupa membawa baju sejuk di samping ubat-ubatan.

Melaksanakan ibadat umrah pada musim sejuk adalah sama dengan ibadat umrah pada musim panas atau Ramadan iaitu dari segi rukun dan wajibnya.

Keistimewaan musim sejuk dapat membantu jemaah umrah melaksanakannya dengan lebih selesa tanpa perlu bimbang akan cuaca panas kering dan penyakit demam serta batuk khususnya bagi mereka yang membawa anak kecil.

Jemaah umrah juga dapat melipat kali gandakan beribadat di depan Kaabah atau dalam Masjidil Haram dengan lebih lama seperti memperbanyakkan melakukan ibadat umrah sunat, badal umrah, baca al-Quran, berzikir, berselawat dan melihat Kaabah sepuas-puasnya.

KEALPAAN JEMAAH

Namun begitu, dalam masa yang sama, umrah musim sejuk juga boleh menyebabkan kelalaian, kerugian dan kealpaan dalam kalangan jemaah umrah dan seterusnya mengundang melakukan kesalahan dan dikenakan dam serta berdosa.

Ada dua kealpaan yang sering dilakukan jemaah adalah melibatkan masa dan larangan dalam ihram iaitu:

1) Menyangka pemergian umrah musim sejuk adalah satu percutian kerana kelebihan suasana sejuk dan nyaman dan ini telah digunakan jemaah untuk tujuan lain, seperti banyak tidur dan menonton rancangan televisyen dalam bilik, membeli belah tanpa batasan dan kurang beribadat di masjid tanpa sebab uzur syarie.

2) Kerap melanggar pantang larang dalam ihram sebagai contoh jemaah wanita memakai sarung tangan atau mafla iaitu tutup muka tanpa sebab.

Manakala jemaah lelaki ketika ihram memakai stokin, selipar yang tidak menampakkan semua jari kaki serta tumit dan kadang kala bertawaf dengan stokin dan selipar tersebut di samping menutup kepala atau sebahagian kepala dengan alasan sejuk.

Kesalahan dalam ihram yang dilakukan dengan sengaja, bukan sahaja dikenakan dam tetapi berdosa dan mengganggu kemabruran umrah.

Justeru, bagi merebut ganjaran umrah yang dijanjikan Allah SWT di samping tidak mensia-siakan keistimewaan umrah musim sejuk, jemaah dinasihatkan agar menghadiri kursus umrah yang dianjurkan syarikat umrah.

Ini supaya mereka lebih memahami maksud tujuan menunaikan ibadat umrah, di samping persiapan dapat dibuat dengan rapi seterusnya mempraktikkannya di Tanah Suci Mekah dengan ibadat yang cemerlang dan akhirnya diterima Allah SWT. Amin.

Penulis juga Pengerusi Fa’Izin International Travel & Tours, Merangkap Penasihat Syariah Andalusia Travel & Tours.  PENULIS bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.

Uniknya 
Masjid Negara

Kita semua tahu atau sedar bahawa dalam seni binaan masjid di negara ini. Selalunya mesti ada kubah separuh bulat dan beberapa buah menara serta kini, satu lagi ciri tambahan yang perlu ada adalah penyaman udara.

Sama ada seni bina itu mengikut gaya Asia Barat atau tidak, adalah tidak penting.

Masjid lama guna konsep hijau

Seni bina Masjid Negara menggunakan konsep hijau yang memberikan keselesaan kepada jemaah ketika beribadat.

Apa pasti, sesuatu reka bentuk itu ada tujuannya, dan masjid bukan hanya untuk beribadat tetapi melaksanakan aktiviti keagamaan lain dalam suasana yang selesa.

Samalah dengan Masjid Negara. Masjid yang dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965, hasil idea tiga orang arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Seorang daripada mereka Datuk Baharuddin Abu Kassim.



Baharuddin Abu Kasim ( tiga dari kanan) memberi penerangan kapada Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad (dua dari kanan) berhubung dengan proses pembinaan Masjid Negara, baru-baru ini.

Masjid Negara merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika itu. Masjid ini juga boleh menampung 15,000 orang jemaah.

Bagi Baharuddin, kalau dilihat pada pelan pembinaan masjid tersebut dari sudut seni bina moden, boleh dikatakan ia mengikuti konsep bangunan hijau yang kini menjadi keutamaan kerajaan hari ini.

Lagipun, jika dilihat pada bukaannya yang luas, serambi terbuka, siling yang tinggi dan telaga udara yang menyejukkan selain air kolam di tengah masjid jelas menunjukkan fungsi dan konsep masjid tersebut di sebuah negara beriklim tropika.

Dengan kata lain, reka bentuk masjid itu sebagai sebuah bangunan yang tidak akan memerangkap haba di siang hari.

“Memang tidak ada niat untuk menyediakan kemudahan bagi pemasangan penyaman udara dan atas sebab itulah, saya perlu pastikan kawasan sekeliling masjid dan juga reka bentuk dalamannya akan memberi keselesaan kepada jemaah.


BINAAN Masjid Negara menjadikan suasana lebih selesa ketika menunaikan ibadat.

“Satu ciri yang menjadi keutamaan saya pada masa itu adalah masjid perlu dikelilingi oleh air,” katanya ketika ditemui dalam satu seminar Masjid Negara, baru-baru ini.

Penekanan tersebut bagaikan satu usaha untuk menjadikan sesebuah bangunan itu mesra cuaca yang dialami oleh Malaysia.

Tidak hairanlah, Pengarah Prinsipal, Jurubena Bertiga International Partnership itu menegaskan, elemen air perlu menepati ciri-ciri yang boleh menenangkan fikiran ketika beribadat dan bersiar sekitar masjid tersebut.

“Tidak kiralah sama ada air itu datang dari tangki atau tempat tadahan air hujan yang dikitar semula, ia mesti menenangkan fikiran dan jiwa sesiapa yang berada dalam masjid itu,” katanya.

Atas sebab itulah, beliau tidak melihat sesuatu yang perlu untuk membina kubah separuh bulat, sebagaimana ciri biasa sesebuah masjid tetapi mengubahnya agar menyerupai sekaki payung yang kuncup pada menara manakala bumbung Masjid Negara pula, sekaki payung yang mengembang.

Rekaan sedemikian bukan hanya mudah untuk diselenggarakan tetapi boleh mengalirkan air hujan kepada kawasan takungan yang disediakan.

“Selain elemen air, kawasan sekitarnya dipenuhi pokok-pokok. Itu telah mematuhi ciri-ciri bangunan hijau. Tetapi, Masjid Negara dibina pada tahun 1968 dan ketika itu, tidak ada sesiapa yang bercakap tentang bangunan hijau.

“Cuma pada ketika tersebut, saya lakukan itu untuk menyejukkan suasana dalam dan luaran Masjid Negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perubahan yang melanda kawasan sekitar masjid tersebut telah menyebabkan suasana sekitarnya turut berubah dengan ketara.

Malah, perubahan tersebut turut menyebabkan ada kawasan tertentu di masjid itu dilengkapi dengan penyaman udara.

“Bila banyak bangunan dibina di sekeliling dan mereka tebang pokok. Itu menyebabkan suasana suhu di masjid itu berubah,” katanya.

Bijak menghadapi ujian

BERMULA dengan kemarau panjang, catuan air, jerebu, kehilangan MH 370, kezaliman manusia terhadap MH 17, kebocoran soalan UPSR, kejatuhan pesawat Air Asia QZ 8501 dan banjir luar biasa di Kelantan, tahun 2014 boleh dinobat sebagai tahun duka bencana bagi Malaysia.

Semua bencana tersebut meninggalkan parut luka yang sungguh dalam pada hati rakyat Malaysia. Musibah dan ujian yang meliputi dalam berbagai rasa seperti sakit, rugi, gagal, susah serta kecewa adalah rencah rasa hidup yang tidak mungkin dihapuskan dari takdir hidup manusia.

Al-Quran turut menjelaskan kepada umat Islam kaedah menghadapi musibah

Musibah dunia yang tidak diuruskan dengan iman dan taqwa boleh juga menjadi musibah agama.

Firman Allah SWT bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah[2:155-156]).

Tahukah anda bahawa musibah sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu musibah dunia dan musibah agama. Rata-ratanya manusia berduka ketika ditimpa musibah dunia seperti musibah tahun 2014 yang melanda negara, namun sedikit yang risaukan musibah agama yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Lihat sahaja bagaimana nabi Yusuf AS risaukan agamanya terancam dengan musibah zina. Baginda lebih rela ditimpa musibah dunia dengan dipenjarakan serta hilang kebebasan berbanding ditimpa musibah agama serta mengingkari perintah Allah SWT maksudnya: (Isteri Aziz Mesir atau Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”Yusud (merayu ke hadrat Allah SWT dengan) berkata; Wahai tuanku, aku lebih rela kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya“(Yusuf: 32-33).

Elak musibah agama

Pun begitu, musibah dunia yang tidak diuruskan dengan iman dan taqwa boleh juga menjadi musibah agama. Ada segelintir manusia yang rapuh imannya kepada qada dan qadar Allah menyalahkan Allah kerana menguji mereka dengan perbagai ujian. Oleh itu, umat Islam wajib tahu teknik menguruskan musibah, antaranya:

1) Sabar terutamanya pada awal musibah. Rasulullah SAW pernah melewati di sebelah seorang wanita yang menangis di sebuah kubur. Baginda berkata kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata, “Engkau tidak rasa musibah yang aku alami.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada sahabat berkata kepada wanita itu bahawa orang yang menasihati tadi adalah Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah Rasulullah SAW dan berdiri dipintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenalmu.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di awal musibah.” (Sahih al-Bukhari).

2) Faham dan yakin musibah yang melanda mampu kita tanggung. Firman Allah SWT bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan (al-Talaq:7]).

3) Reda dengan musibah dan ujian. Tanpa reda, manusia tidak akan dapat meneruskan hidup dengan normal kerana akan berterusan menyalahkan takdir. Firman Allah ertinya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid:22]).

4) Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT sebelum datangnya musibah jauh lebih banyak. Firman Allah bermaksud: Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya (Ibrahim:34).

5) Sentiasa positif menerima musibah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Menakjubkan sekali urusan orang beriman. Semua urusannya membawa kepada kebaikan dan ia tidak akan berlaku kecuali kepada orang beriman sahaja. Sekiranya dia beroleh kesenangan dia akan bersyukur, dan syukur itu baik untuk dirinya. Sekiranya dia beroleh kesusahan dia akan sabar, dan sabar itu juga baik untuk dirinya (Sahih Muslim).

6) Memahami pasti ada hikmah di sebalik musibah. Firman Allah SWT bermaksud: Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah:216).

7) Tidak berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar musibah diganti bahagia. Setelah kematiannya suaminya, Abu Salamah, Ummu Salamah senantiasa berdoa dengan doa yang diajar Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali padaNya. Ya Allah! Berikan ganjaran padaku dalam musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik.” Allah kemudiannya menggantikan kehilangan suaminya itu dengan suami terbaik iaitu Rasulullah SAW sendiri yang meminangnya (Sahih Muslim).

Hidup adalah pentas ujian bagi Allah menilai iman manusia. Hadaplah ujian yang menimpa dengan hati terbuka kerana kejayaan menangani musibah dan ujian akan menjadi sebab kebahagiaan kita di akhirat kelak. Kebahagiaan itu pastinya dicemburui oleh orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pada hari kiamat kelak, apabila orang yang sihat melihat orang yang banyak diuji (semasa di dunia dan bersabar atas ujian tersebut) mendapat pahala yang banyak, (maka orang yang sihat) sangat berharap agar kulit mereka dikoyak dengan gunting semasa di dunia dahulu.” (Sunan al-Tirmidhi).

Mataf dijangka siap sebelum musim haji ini

MEKAH 8 Jan. – Projek pembesaran Mataf atau tempat tawaf mengelilingi Kaabah dijangka siap sepenuhnya sebelum musim haji tahun ini.



Projek pembesaran Mataf berjalan lancar dan dijangka boleh digunakan sepenuhnya sebelum Ramadan tahun ini. – AGENSI

Laman web arabnews.com memetik Ketua Presiden Dua Masjid Suci, Abdul Rahman Al-Sudais sebagai berkata, ribuan jemaah bakal berpeluang menggunakan Mataf menjelang musim haji ini.

“Sebahagian besar projek akan disiapkan sebelum Ramadan sebagai persediaan untuk musim umrah,” ujarnya.

Abdul Rahman berkata, fasa ketiga kerja-kerja pembesaran Mataf berjalan dengan lancar, bertujuan untuk meningkat kapasiti jemaah pada satu-satu masa sehingga mampu menampung kira-kira 105,000 jemaah haji setiap jam.

Beliau berkata, pihak pentadbiran mahu memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan jemaah disediakan dengan perkhidmatan yang sempurna.

Kerajaan Arab Saudi sedang melaksanakan beberapa projek pembesaran di Masjidilharam, termasuk membina bangunan baharu yang dibuka kepada jemaah bagi mengurangkan kesesakan disebabkan kerja-kerja pembesaran Mataf.

Sementara itu, Abdul Rahman mengutuk tindakan kumpulan pengganas yang menyerang pusat pemeriksaan sempadan di bandar Arar di utara negara ini, yang menyebabkan tiga askar Arab Saudi terkorban termasuk seorang komander wilayah Sempadan Utara, Brigedier Audah Al-Balawi.

Antara takdir dan tadbir

TANPA disedari, kita menempuh tahun 2015. Kita meninggalkan tahun yang dipenuhi dengan musibah, dugaan dan cabaran - ada yang terpahat sahaja di ingatan, ada yang berterusan - terutamanya buat teman-teman di pantai timur sehingga kini.

Bermula dengan kehilangan MH370 dan jua MH17 - keperitan kehilangan tidak mungkin mudah hilang buat semua kita di Malaysia. Bak lirik yang dinyanyikan Yuna, “terbang, terbang tinggi, awan biru menanti bersama pelangi” - kita hanya mampu mendoakan kesejahteraan mereka yang telah pergi berserta keluarga, dan semoga yang belum ditemui menemui pengakhiran yang terbaik.

Di sebalik kehibaan, kedengaran jua suara-suara sumbang yang berniat untuk meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia. Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu, terutamanya akibat penurunan harga minyak mentah sedunia yang menyebabkan unjuran ekonomi Malaysia sedikit malap, berserta cabaran percukaian dan inflasi yang mendatang, sebarang perpecahan hanya bakal menambah beban untuk semua.

Saya mengambil peluang sempena menyambut Maulidur Rasul untuk memetik kandungan Sahifah Al-Madinah (Piagam Madinah) yang dirangka oleh Rasulullah SAW bagi mengangkat prinsip kesatuan ini.

Fasal 1 menyebutkan: “Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh ALLAH bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk agama Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.”

Fasal 2 pula menyebutkan: “Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza daripada manusia-manusia lain.”

Jelasnya, Rasulullah SAW beranggapan bahawa mereka yang bersama-sama berjuang demi kebaikan negara pada ketika itu tergolong dalam ummah.

Hal Ini ditekankan lagi dalam Fasal 37 yang menyebut, “Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.”

Dalam konteks ini, kesatuan rakyat adalah sebuah aspek yang amat dipentingkan sekali dalam perjalanan pentadbiran sesebuah negara Islam.

Wajarlah kita menghayati dan lantang bersuara menentang mereka yang merencana perpecahan antara umat Islam dengan rakan-rakan senegara kita yang lain.

Menyebut tentang keperitan dugaan yang sedang dihadapi saudara-saudara kita di beberapa negeri, terutamanya di pantai timur; Kelantan, Terengganu dan Pahang; yang menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat, ingin saya tegaskan, retorik-retorik yang menyatakan semuanya berlandaskan pembalasan daripada ALLAH SWT mestilah dikaji semula.

Tanggapan saya, retorik-retorik seperti ini seolah-olah ingin melepaskan diri sendiri daripada dipertanggungjawabkan atas kemusnahan yang telah dilakukan kepada muka bumi dengan meletakkan tanggungjawab ke atas yang Maha Berkuasa.

Tidakkah kita terfikir, bahawasanya kejadian seperti banjir yang terburuk yang dialami oleh Malaysia pada ketika ini mungkin disebabkan oleh kesilapan pengurusan tebatan banjir, kesesakan saliran, ataupun oleh pencabulan nyata dan rakus terhadap alam semula jadi yang tercetus daripada ketamakan manusia?

Bukanlah kita tidak percaya kepada takdir, tetapi barangkali kita tersalah tadbir.

“Ar-Rahman” dan “Ar-Rahim”, adalah dua  nama ALLAH yang pertama yang kesemua umat Islam pelajari. Apakah dalam kegelojohan menyerang, sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani ini langsung tidak diambil kira, walhal realitinya adalah, kerakusan manusia yang mencetuskan bencana ini.

Ingin saya memetik sedikit hasil nukilan Rizqi Mukhriz pada 30 Disember lepas: “Berbalik kepada mereka yang melihat Tuhan sebagai penghukum dan pendendam yang membalas setiap keingkaran yang dikerjakan, perihal itu pada satu sisi adalah cerminan terhadap apa yang tersirat dalam naluri mereka sendiri."

Shams Tabrizi pernah menerangi tokoh sufi Jalaluddin Ar Rumi tepat atas noktah ini: “Bagaimana kita melihat Tuhan adalah pantulan langsung bagaimana kita melihat diri sendiri. Jika Tuhan membawa ketakutan dan rasa bersalah, itu bermakna terlalu banyak ketakutan dan rasa bersalah yang mendiami dalam benak jiwa kita. Jika kita lihat Tuhan sebagai penuh dengan cinta dan kasih sayang, maka itulah kita.”

Kesimpulannya, sebagai pentadbir, kita wajib mengambil tanggungjawab dan mengkaji apakah faktor-faktor yang telah menyumbang ke arah bencana-bencana yang melanda.

Tidak ada maknanya sekiranya kita hanya menganggap bencana-bencana ini sebagai hukuman daripada Tuhan sekalian alam, walhal kuasa untuk melakukan tindakan untuk mengelakkan kejadian-kejadian ini daripada berulang ada dalam tangan kita sendiri.

Pentadbiran yang baik oleh kerajaan, dan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri perlu dipertingkatkan demi kebaikan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Kita perlu mengadaptasikan semangat kerjasama dan kesatuan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam Sahifah Al-Madinah dalam pentadbiran, demi Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai Sinar Harian Rencana 9 Jan 2015

Malaysia bakal ditimpa bala Tuhan?

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan ALLAH. Itu yang boleh dikatakan apabila melihat pelbagai musibah  berlaku di negara ini. Jika dahulu kita biasa diberitakan mengenai kejadian banjir dan ribut taufan berlaku di negara ini.

Tetapi kini  ditambah lagi kejadian luar jangkaan. Antaranya peristiwa tsunami, musim hujan sehingga banjir, kemarau berpanjangan dan baru-baru ini kejadian puting beliung menyebabkan banyak rumah musnah.

Persoalannya mengapa perkara seperti ini berlaku? Sedangkan keadaan Malaysia yang berada di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik selain keadaan geografi yang terletak di garisan khatulistiwa menghalang kepada pembentukan puting beliung dan taufan besar ini. Adakah ini bermakna negara kita bakal ditimpa bala daripada Tuhan sepertimana yang berlaku kepada kaum terdahulu?

Wartawan MOHD AZLI MOHD AlI bertemu Pensyarah dalam bahagian al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, DR MUHAMMAD LUKMAN IBRAHIM bagi mendapatkan jawapan mengenai persoalan ini.


Boleh Ustaz perjelaskan mengenai konsep bala' dalam Islam?

Bala' adalah satu perkataan umum digunakan masyarakat kita yang memberi makna satu ujian, satu peperiksaan dan seumpamanya. Dan dalam al-Quran, ALLAH SWT menggunakan perkataan bala’ ini merujuk kepada kebaikan dan kejahatan. Firman ALLAH: "…Kami uji mereka dengan kejahatan dan kebaikan sebagai satu ujian dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan." (Surah Al-Anbiya: 35)

Kata bala’ dalam al-Quran disebutkan di enam tempat dengan makna berbeza. Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala’ al-hasan).

Bala’ al-hasan adalah satu ujian yang baik diberikan ALLAH kepada orang mukmin dengan sebab ujian tersebut mendekatkan lagi mereka kepada ALLAH. Kalimah bala’ al-hasan pada ayat ini juga turut dijelaskan dalam kitab Tafsir al-Jalalain yang dikarang oleh dua imam tafsir. Iaitu merujuk kepada ujian khusus untuk menguji keteguhan iman yang ada dalam diri orang mukmin.

Secara ringkasnya bala’ digunakan untuk kedua-duanya iaitu untuk kebaikan dan juga kejahatan. Walau bagaimanapun penggunaan dalam masyarakat kita orang Melayu khususnya, bala’ ini merujuk kepada kejahatan sahaja. Dan kefahaman seperti ini perlu dibetulkan.


Apakah yang menyebabkan terjadinya bala’ daripada ALLAH?

Bala’, apabila kita merujuk kepada perbincangan tadi iaitu bala’ yang bermaksud perkara kejahatan, maka dengan ini ia bermaksud perkara tidak baik yang ALLAH turunkan kepada manusia.

Sesungguhnya bala’ tidak akan diturunkan oleh ALLAH ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan.

Bala’ terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH iaitu apabila manusia melakukan maksiat. Maka dengan sebab itu akan turun bala daripada-Nya. Misalnya dalam hadis riwayat imam at-Tarmizi menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila umat aku melakukan 15 perkara, maka halal bagi ALLAH menurunkan bala'. Dengan sebab melakukan 15 perkara ini secara berleluasa, maka ALLAH akan memberi bala kepada umat tersebut. Antara lain:

a. Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.
b. Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.
c. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.
d.Apabila suami terlalu mentaati isteri.
e.Apabila anak menderhakai ibu bapa.
f. Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
g. Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.
h. Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.
i. Apabila pemimpin sesuatu kaum itu dihina oleh kaumnya sendiri.
j. Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.
k. Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.
l. Apabila ramai lelaki memakai sutera.
m. Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.
n. Apabila wanita bermain alat muzik.
o. Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

Maka, pada saat itu tunggulah bala' yang akan menimpa dalam bentuk angin (puting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi."

Ringkasnya apa yang boleh saya katakan bahawa bala' ini terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH dan yang lebih membimbangkan ialah apabila bala ini terjadi, ia tidaklah terjadi hanya kepada orang yang melakukan dosa tersebut, tetapi ia akan terkena kepada semua orang sama ada orang ini adalah dalam kalangan orang yang baik atau yang jahat.

Boleh Ustaz ceritakan sedikit mengenai sejarah Islam di mana ALLAH turunkan bala' kepada kaum yang melakukan kemungkarannya.

Dalam al-Quran, ada kisah masyhur yang ALLAH ulang beberapa kali iaitu kisah kaum ‘Aad dan kaum Thamud. Kaum ‘Aad, ALLAH turunkan seorang rasul kepada mereka namanya Nabi Hud AS. Kaum Thamud pula diturunkan kepada mereka Nabi Salleh AS.

Kaum ‘Aad adalah satu contoh kaum yang ALLAH beri kehebatan. Mereka ada kekuatan tubuh badan yang begitu istimewa sehingga diceritakan dalam riwayat tafsir mereka mampu mencabut pokok dengan tangan mereka. Itu kekuatan mereka. Dengan sebab kekuatan seperti ini mereka ingkar kepada ALLAH dan tidak menuruti atau taat kepada rasul mereka. Akhirnya ALLAH hancurkan dan binasakan kaum mereka.

Begitu juga dengan kaum Thamud, mereka ini diberikan kehebatan dan kekuatan daripada sudut teknologi dan pembangunan yang hebat. Kalau kita lihat di zaman sekarang ini kita mampu membina rumah di atas bukit, tetapi kaum mereka (Thamud) mampu membina rumah di dalam bukit. Sehinggakan dalam al-Quran mencatatkan mereka adalah sebuah kaum yang mempunyai kemahiran memahat gunung-ganang untuk dijadikan kediaman mereka.

Ini kehebatan kaum Thamud. Mereka memahat bukit tersebut dan jadikannya sebagai rumah mereka. Tetapi akibat tidak taat kepada perintah rasul iaitu Nabi Salleh AS supaya beriman dan mentaati-Nya, mereka ini dibinasakan.

Kisah kaum Thamud ini ada dirakamkan di dalam Surah Al-A’raf ayat 73-78.

Apa yang boleh saya simpulkan berdasarkan kedua kisah ini, kita dapat lihat akibat daripada keegoan mereka yang ingkar kepada perintah ALLAH dan rasul, ALLAH datangkan ribut taufan, puting beliung dan seumpamanya yang akhirnya menghancurkan kedua kaum itu. Daripada golongan yang hebat ketamadunannya akhirnya mereka ditenggelamkan oleh ALLAH.

Baru-baru ini negara kita dilanda ribut yang amat dahsyat sehingga mencetuskan angin kencang dan puting beliung yang tidak pernah berlaku di sini. Sebelum itu, kita juga dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang masih belum dijumpai sehingga sekarang dan banyak lagi bencana yang berlaku di negara kita. Adakah ini bermakna negara kita sekarang ini menerima bala' daripada-Nya?

Menjawab persoalan ini kita kena kembali kita kepada persoalan asas iaitu bala ini ada dua perkara iaitu bala' yang dalam bentuk yang baik dan dalam bentuk yang tidak baik. Apabila ALLAH menurunkan sesuatu ujian seperti mana yang berlaku di negara kita baru-baru ini, memang pada asasnya kita kena kembali pada ayat ALLAH yang menyebutkan:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak mereka berasa sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Ruum: 41)

Jadi jika kita katakan perkara itu (bencana) disebabkan oleh dosa. Maka dosa tersebut perlu diminta ampun kepada-Nya. Kalaulah pada mulanya ALLAH menurunkan bala' seperti itu dengan tujuan untuk mengingati manusia, maka akhirnya daripada bala' yang kurang baik itu, akan memberi kepada kebaikan. Akhirnya dengan sebab bala seperti itu, mereka kembali merujuk kepada ALLAH.

Tetapi kalaulah bala' yang diturunkan itu menyebabkan manusia tidak sedar juga, maka apa yang berlaku kepada kaum ‘Aad dan Thamud sebelum ini, boleh sahaja berlaku kepada umat hari ini. Sebabnya dalam syair Arab ada menyebutkan: "Sejarah pasti berulang".

Walaupun nama bangsa kita berbeza, berbeza daripada pelbagai sudut, tetapi pada hakikatnya manusia tetap sama iaitu bertuhankan tuhan yang sama iaitu ALLAH dan perlu mentaati kepada perintah rasul yang diturunkan pada zaman mereka. Jadi dengan itu, kita tidak terlepas kepada perkara seperti itu. Mohd Azli Mohd Ali SInar Harian Rencana Agama 9 Jan 2015

Bacalah, fahamilah kitab ALLAH sedalamnya

ALLAH SWT memerintahkan kita memahami isi kandungan al-Quran dan melarang kita untuk berpaling daripadanya.

Dalam firman-Nya yang bermaksud: "Tidakkah mereka hayati al-Quran, atau apakah hati mereka sudah terkunci?." (Surah Muhammad: 24)


Bacalah, fahamilah kitab ALLAH sedalamnya. - Sekadar gambar hiasan


Ibnu Jarir berkata: "Maka tidakkah orang munafik itu menghayati peringatan daripada ALLAH yang terkandung dalam ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi-Nya? Tidakkah mereka memikirkan hujah-Nya yang Dia terangkan bagi mereka dalam wahyu-Nya, sehingga mereka mengerti kesalahan sikap mereka?

Ataukah hati mereka sudah dikunci ALLAH sehingga mereka tidak mampu mengambil peringatan dan pelajaran yang diturunkan ALLAH dalam kitab-Nya?"


Ambil pengajaran

ALLAH SWT sudah menegaskan bahawa tujuan diturunkan al-Quran adalah untuk kita tadabur dan mengambil pelajaran di balik ayat.

ALLAH berfirman: "Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran." (Surah-Shad: 29)

Betapa besar ilmu yang diperoleh oleh seorang hamba dengan mentadabur kitab ALLAH. Sungguh, hal itu adalah kebaikan dunia dan akhirat.

Kebaikan al-Quran tidak akan lenyap, faedahnya tidak akan hilang dan keberkatannya tidak akan habis.

Selama seorang hamba mentadabur kitab ALLAH, selama itulah dia dapat mengambil manfaat dan ilmunya akan terus bertambah dan berkembang.

Ibnu Qayyim berkata: "Tidak ada yang lebih bermanfaat bagi seorang hamba dalam kehidupan dunia dan akhiratnya, dan tidak ada yang lebih mendekatkannya kepada keselamatan melebihi tadabur al-Quran, berlama-lama dalam merenungkan dalam memahami makna ayat-ayatnya."


Hindari perbuatan tercela

Membaca dengan cara inilah yang akan membuahkan rasa cinta, kerinduan, pengharapan, tawakal, reda, syukur, sabar dan seluruh keadaan yang menjadi faktor hidupnya hati dan kesempurnaannya.

Membaca dengan cara ini juga akan mengingatkan diri daripada segala sifat dan perbuatan yang tercela yang dapat merosakkan hati dan membinasakannya.

Seandainya ramai yang tahu akan kemanisan membaca al-Quran dengan bertadabur, pasti ramai akan menyibukkan diri dengannya, dan melupakan aktiviti seharian. Subhanallah!

Membaca satu ayat dengan memikirkan dan memahami maknanaya lebih baik daripada membaca seluruh ayat sehingga khatam tanpa memahaminya.

Hassan al-Basri berkata: "Orang sebelum kalian menganggap al-Quran sebagai surah yang turun dari Tuhan mereka. Malam hari mereka mentadaburnya dan siang hari mereka mengamalkannya."

Mengulang-ulang satu ayat agar dapat mentadaburnya, Yasrah Binti Dajajah menyatakan bahawa dia mendengar Abu Dzar berkata: "Nabi SAW pernah bangun solat malam membaca satu ayat sehingga pagi, Baginda SAW mengulang-ulang ayat tersebut yang bermaksud: "Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah- Al-Ma’idah: 118)

Abu Sa’id Al-Khudri menyatakan ada seseorang mendengar orang lain membaca Surah Al-Ikhlas. Orang itu mengulang bacaannya.

Keesokan harinya, lelaki yang mendengar itu bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu sambil meremehkannya.

Maka, Baginda SAW bersabda: "Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya Surah Al-Ikhlas itu seumpama dengan sepertiga al-Quran." (Riwayat Abu Dawud).

Begitulah Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin dalam menghayati al-Quran. Semoga kita mampu meneladani mereka. Amin ya Rabb. Insya-ALLAH.

Khutbah Jumaat ~ “Pesanan Khutbah Wada’ Rasulullah SAW”

Sedutan Petikan  Khutbah Jumaat 09 Januari 2015: JAIS

“Pesanan Khutbah Wada’ Rasulullah SAW”

Padang Arafah telah menjadi saksi berlakunya satu peristiwa penting di mana  Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah yang terakhir kepada umatnya yang dikenali dengan Khutbatul Wada’ (Khutbah Perpisahan), satu khutbah yang menyentuh jiwa dan perasaan setiap manusia yang hadir di Padang Arafah, juga kepada semua generasi sesudah mereka yang mendengarnya.

Khutbatul Wada’ jika diperhalusi dengan mendalam isi kandungannya, penuh dengan pesanan dan peringatan kepada umat masa kini, untuk memandu manusia dalam segenap aspek kehidupan, samada secara individum masyarakat mahupun negara.

Antaranya adalah:

Pertama : Larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa alasan yang hak;

Hadis daripada Ibnu Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya darah dan harta kamu, semua itu adalah haram ke atas kamu sebagaimana kesucian hari kamu ini (hari Arafah) pada bulan ini (Zulhijjah) dan di negeri yang suci ini (Arafah)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kedua : Kewajipan meninggalkan tradisi dan amalan jahiliyyah; pembunuhan dan riba;

Islam telah mengharamkan amalan riba ini seperti mana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 278: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman”.

Ketiga: Berwaspada dengan gangguan syaitan dan kewajipan menjaga agama;

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168-169: “...dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”.

Keempat: Larangan mengharamkan apa yang dihalalkan dan sebaliknya;

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 87: “ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”.

Kelima: Kewajipan memuliakan wanita (isteri);

Hadis dari ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah yang paling baik di antara kalian kepada isteriku”. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Keenam: Kewajipan berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku”. (Riwayat Imam Malik)


Hadis daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran maka sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada orang yang membacanya dan beramal dengan isi kandungannya. (Riwayat Muslim).

Ketujuh: Kewajipan patuh dan taat kepada pemimpin, siapa pun dia selama masih berpegang teguh kepada al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah
kepada Rasul, dan orang-orang yang berkuasa antara kamu...”.

Namun Islam hanya menetapkan kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang berunsur maksiat.

Antara pengajaran daripada Khutbatul Wada’ (Khutbah Perpisahan) yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan kita ialah;

1. Umat Islam wajib menunaikan hak yang perlu dipenuhi iaitu hak kepada Allah SWT, hak kepada Rasulullah SAW dan hak kepada manusia. Hak ini tidak boleh dizalimi dan dianiayai.

2. Umat Islam wajib berurus niaga dengan institusi-institusi kewangan yang berteraskan patuh syariah bagi kelangsungan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

3. Umat Islam wajib beramal soleh sepertimana yang ditunjukkan dalam kehidupan Rasulullah SAW. Amalan soleh ini dapat menjaga agama untuk kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

4. Umat Islam hendaklah menjaga kesucian agama Islam dan ajarannya yang bersifat Syumul dan melengkapi segala aspek kehidupan umat Islam.


Wallahualam.