January 12th, 2015

Hina agama boleh cetuskan keganasan

Rabu lalu, dunia dikejutkan dengan kejadian serangan bersenjata ke atas pejabat majalah Charlie Hebdo yang berpusat di Paris, Perancis yang menyebabkan terbunuhnya 12 orang termasuklah penyunting dan kartunis majalah terbabit.

Antara yang terbunuh ialah seorang pengasas dan editor majalah tersebut iaitu Jean 'Cabu' Cabut dan kartunis Stephanie 'Charb' Charbonnier. Pihak polis sedang menjejak tertuduh yang bertanggungjawab iaitu adik-beradik Cherif dan Said Kouachi serta seorang lagi penembak.

Kejadian ini harus dikutuk oleh seluruh masyarakat antarabangsa kerana sebarang tindakan serangan bersenjata adalah tindakan jenayah yang juga bertentangan dengan ajaran Islam. Beberapa orang yang terbunuh termasuklah anggota polis dan orang awam yang tiada kaitan dengan majalah terbabit. Seluruh pemimpin global mengutuk sekeras-kerasnya insiden ini. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengutuk sekeras-kerasnya insiden ini dan menyeru kepada moderasi, persefahaman antara budaya dan hormat-menghormati antara satu sama lain serta menentang ekstremisme dan keganasan.

Peluang kerja dirampas imigran

Kebimbangan utama yang dirasakan masa kini ialah meningkatnya perasaan Islamofobia dalam kalangan penduduk Perancis secara amnya dan Eropah secara umumnya. Seperti yang kita tahu, Eropah sedang menghadapi isu mendesak berkenaan dasar imigrasi khususnya yang membabitkan negara seperti United Kingdom, Jerman dan Perancis. Ramai pihak yang menentang polisi ini kerana dikatakan warga imigran, malah ramai kemudiannya menjadi warga negara terbabit, menyebabkan kadar pengangguran penduduk asal yang tinggi kerana peluang kerja dirampas oleh warga imigran ini. Desakan ke atas perubahan dasar imigrasi ini menyebabkan parti sayap kanan menjadi popular di banyak negara di Eropah, khususnya di Perancis melalui Barisan Kebangsaan pimpinan Marine Le Pen.

Perancis adalah sebuah negara yang juga cuba menegakkan dan mempertahankan fahaman sekularisme serta cuba mengetepikan segala elemen agama khususnya Islam untuk diresapi sebagai nilai masyarakatnya. Ini menyebabkan Perancis mengharamkan pemakaian simbol agama di semua universiti, sekolah dan pejabat kerajaan. Oleh itu, pemakaian tudung oleh wanita Islam misalnya diharamkan.

Perancis juga kuat mempertahankan hak kebebasan bersuara dalam kalangan rakyatnya. Penghinaan kepada agama, kaum, dan individu dibenarkan atas nama kebebasan bersuara. Di Perancis, kebebasan bersuara hanya tidak dibenarkan ke atas sebarang usaha untuk menghina masyarakat Yahudi khususnya dari segi mempertikaikan kejadian Holocaust di Eropah ketika Perang Dunia Kedua yang mana hukuman penjara boleh dikenakan. Dalam erti kata ini, pengamal media dan artis bebas melakukan penghinaan tanpa mengira penghinaan itulah sebenarnya menyebabkan banyak pihak merasa terhina.

Majalah hina Islam

Majalah Charlie Hebdo ini sebenarnya bukan saja acap kali menghina Islam, malah agama lain juga termasuklah agama Khatolik dan Pope tanpa mengira sensitiviti agama berkenaan. Majalah yang ditubuhkan pada tahun 1970 itu telah menerbitkan banyak karikatur menghina Islam. Pada Februari 2006, mereka menerbitkan semula 12 karikatur Nabi Muhammad SAW yang sebelum itu diterbitkan oleh akhbar Jyllands-Posten (The Jutland Post) berpusat di Denmark yang menyebabkan bantahan besar-besaran masyarakat Perancis dan kumpulan Islam.

Untuk meningkatkan keluaran majalah mereka pada November 2011, majalah ini menerbitkan edisi khas bertajuk Charia Hebdo yang menunjukkan wajah Nabi Muhammad sedang ketawa. Edisi tersebut terjual 400,000 naskhah, namun pejabat majalah ini telah dibakar dengan serangan molotov cocktail. Sejak itu, majalah ini terus menerbitkan karikatur menghina Islam dari tahun 2012 hingga tragedi baru-baru ini. Sebenarnya, majalah ini menghadapi masalah kewangan apabila keluarannya jatuh kepada 30,000 naskhah bagi setiap keluaran. Mereka harus mengeluarkan karikatur kontroversi dan sensasi bagi melariskan jualan majalah ini.

Penghinaan terhadap Islam ini bukanlah baru di Eropah, malah penduduk Islam dihina berdekad-dekad lamanya secara konsisten oleh media, penulis dan artis di sana. Ramai masih ingat buku tulisan Salman Rushdie bertajuk Satanic Verses pada tahun 1988 yang mencetuskan kemarahan penduduk Islam seluruh dunia. Malah, Ayatollah Khomeini dari Iran pernah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Rushdie kerana menerbitkan buku itu. Pada 30 September 2005, karikatur terbitan Jyllands-Postenmenggemparkan dunia yang menyebabkan banyak negara Islam melancarkan boikot ke atas produk Denmark.

Cuma malangnya kali ini, pembunuhan berlaku dan ini seharusnya memberikan kesedaran. Pertama, kita harus mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan sebegini yang dilakukan di atas nama Islam. Kedua, kita juga harus mengutuk usaha menghina sebarang juga agama di atas nama kebebasan bersuara.

Sebarang permasalahan harus diselesaikan secara aman dan bertamadun yang boleh diterima oleh setiap masyarakat. Jadi, hidup saling hormat-menghormati itu penting bagi menjamin kemakmuran berkekalan.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Berita Harian Kolumnis 11 Jan 2015

Selebriti Agama: Berjaya selesai perebutan jenazah

Seorang lelaki saudara baharu telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa tahun lalu akibat satu kemalangan. Pihak Hospital Kuala Lumpur diminta menguruskan, memandikan dan mengkafankan jenazah. Petugas yang menguruskan jenazah sebenarnya tiada masalah untuk menguruskan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di HKL.


Ilustrasi Mohd Nazar Ibrahim (kiri) memberi penjelasan dan jalan penyelesaian pada keluarga agama asal jenazah.

Namun apabila membabitkan jenazah mualaf ini, timbul sedikit masalah kerana keluarga dan rakan mahu menguruskannya mengikut kepercayaan agama asal mereka, sedangkan kakitangan HKL tidak membenarkannya kerana jenazah ini adalah seorang Muslim.

Berikutan itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan HKL, Mohd Nazar Ibrahim, 47, yang biasa mengetuai urusan mandi jenazah terpaksa dipanggil. Setelah melihat 'kumpulan' si mati yang ramai dan ada yang berbadan besar, selain mahu mengelak kekecohan di perkarangan HKL, Mohd Nazar membuat keputusan menemui bapa si mati.

Keluarga bantu urus jenazah

"Encik boleh buat upacara ikut cara agama encik selama 30 minit. Lepas itu encik serah kepada kami untuk dimandi dan dikafankan. Saya mahu pergi sembahyang sekejap," kata Mohd Nazar. Bapa si mati bersetuju dengan syarat itu dan rakan si mati yang lain juga akur.

Selepas setengah jam, Mohd Nazar datang semula dan bertanya sama ada mereka sudah selesai melakukan upacara berkenaan dan mereka meminta tambahan 15 minit lagi.

Setelah selesai, jenazah itu dibawa ke bilik mandi jenazah. Sekali lagi keluarga si mati meminta izin untuk ikut dan melihat cara jenazah itu dimandikan. Malah Mohd Nazar meminta anggota keluarga mengangkat mayat ke tempat mandi dan membenarkan mereka menggosok badan jenazah ketika dimandikan.

Terap unsur dakwah

Beliau juga menerangkan kepada mereka fungsi kapur barus dan serbuk cendana. Mereka berasa kagum melihat cara umat Islam menguruskan jenazah dengan lemah lembut dan tertib. Mereka sendiri melihat kuku dan najis jenazah dibersihkan.

Selesai jenazah dimandikan, keluarga si mati begitu gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nazar dan pembantunya. Mereka juga meminta izin untuk ke tanah perkuburan di Gombak dan Mohd Nizar membenarkan keluarga si mati menaiki kereta jenazah.

Oleh kerana amat berpuas hati, bapa si mati juga bermurah hati menghulurkan sedikit sagu hati kepada Mohd Nazar.

Sebenarnya, kata beliau, dalam menguruskan jenazah, ada unsur dakwah kerana setiap tindak-tanduk akan menjadi perhatian dan contoh teladan (dakwah bil hal).

Sikap tolak ansur dan tindakan berhemah Mohd Nazar dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan baik tanpa kekecohan dan campur tangan pihak luar. Cara menguruskan jenazah dengan baik dan tertib dapat menambat hati orang bukan Islam.

Menurut Mohd Nazar , insiden itu adalah satu daripada cabaran ketika menjalankan tugas, khususnya kes membabitkan jenazah saudara baharu. Bagi penganut agama Hindu dan Sikh, mereka begitu mengambil berat soal kematian anggota keluarga. Bagi kaum Cina, jarang mereka menuntut mayat kerana mungkin urusan pengebumian menelan kos yang besar.

Bagi masyarakat Melayu pula, ada juga berlaku perebutan jenazah. Pernah berlaku, sebaik saja seorang lelaki meninggal dunia, tiba-tiba datang tiga isteri mahu menuntut mayatnya. Ketika itu baharu diketahui si mati ada tiga isteri.

"Kami akan bertanya dengan siapa si mati tinggal lama dan sehingga meninggal dunia. Isteri berkenaan akan beri keutamaan mengambil jenazah suami," ujar Mohd Nazar.

Selesai perebutan

Sekiranya ada perebutan di antara isteri dan ibu, si isteri akan diutamakan. Sekiranya ada tuntutan antara datuk, cucu dan anak lelaki, anak lelaki akan diutamakan, katanya.

Selain itu jika ada tuntutan beberapa pihak, pihak yang dapat memaklumkan bahawa mereka sudah menyediakan tanah perkuburan berhampiran, mereka akan diberikan keutamaan kerana dapat menyediakan 'tanah kubur' .

Ada juga kes yang menyedihkan iaitu mayat tidak dituntut oleh keluarga, terutama mangsa kes HIV.

Mohd Nazar menceritakan hanya empat orang sahaja menguruskan satu jenazah yang tidak dituntut keluarga, termasuk beliau ketika mengurus, memandi dan mengkafankan, manakala seorang lagi ketika mengebumikannya. Agak pelik juga, ada penjaga tanah perkuburan tidak membenarkan jenazah HIV dikebumikan di kawasan berkenaan.

Selain pesakit berisiko, beliau juga berdepan gangguan makhluk halus. Pernah bahunya berasa begitu berat selepas memandikan jenazah seseorang. Apabila berjumpa dengan rakannya seorang ustaz, rakannya itu menyatakan ada 'benda bertenggek' di badannya dan rakan itu membantu membuangkannya.

Beliau juga menasihatkan sesiapa yang hendak memandikan jenazah supaya berwuduk dulu dan apabila selesai, hendaklah mereka mandi.

Selain menjalankan tugas memandikan jenazah, Mohd Nazar yang bertugas selama enam tahun di HKL, juga menjadi penceramah tetap kursus urusan jenazah pada hari Sabtu sebulan sekali di Masjid Negara, selain Masjid Sultan Mizan dan Masjid Putra, Putrajaya.

Beliau juga mengadakan kursus untuk kakitangan hospital dan pusat kesihatan bagi membimbing dan menasihati pesakit Islam bagaimana melakukan ibadat, khususnya solat.

Mohd Nazar yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, mempunyai seorang isteri dan dua anak berusia sembilan dan 12 tahun. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis dan Tingkatan Enam di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), seterusnya di Kolej Darul Hikmah (Diploma Psikologi) dan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang dakwah dan kepemimpinan.

Roh si pemiutang tergantung?

Benarkah roh orang yang berhutang akan tergantung di langit selepas dia mati kelak? Dan benarkah jika si pemiutang menghalalkan hutangnya, Allah akan ampunkan dosa kita yang berhutang? Rayyan Firdausi, Taiping, Perak<

UKE: Adalah berdosa orang yang tidak membayar hutang malah orang yang terkorban syahid pun tidak terampun dosanya jika dia mempunyai hutang dan bertemu dengan Allah dalam keadaan dosanya seperti dosa pencuri. Disebutkan dalam satu hadis Imam al-Tarmizi, Imam Ahmad dan Imam Ibnu Ibban yang bermaksud roh seseorang mukmin itu tergantung yakni terhalang daripada tempat yang mulia disebabkan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan. Tetapi apabila hutang yang dihalalkan atau dibayar oleh orang lain, maka selesailah halnya.

Suami kahwin lain

Saya mendapat tahu suami telah berkahwin lain dan mempunyai dua orang anak. Saya begitu kecewa kerana sepanjang 25 tahun kami berkahwin, kami bahagia dan tidak ada sebarang krisis. Walaupun tidak mewah tetapi syukur anak-anak semua cukup makan. Saya pun berkorban untuk membantu suami berjaya dalam perniagaannya sehingga ke tahap berhutang dengan along dan bank sehingga saya diisytiharkan bankrap.

Saya nekad mahu berpisah dengan suami kerana janji kami dahulu, kalau suami ada orang lain, dia kena tinggalkan saya. Tetapi sekarang dia tidak mahu saya tinggalkan dia kerana sangat sayangkan saya dan anak-anak. Apakah yang patut saya buat ustaz?

* Noora, Taiping, Perak

UKE: Jika suami anda mampu untuk berkahwin lain atau menjalankan tanggungjawabnya dengan baik walaupun berpoligami, maka apa sebab hendak bercerai. Banyakkan bersabar dan teruskan kehidupan seperti biasa. Apabila dia tidak mampu, tidak memberi nafkah dan mengabaikan puan dan keluarga, barulah ada sebab untuk puan menuntut cerai.

Hukum solat sunat selepas Asar

Apakah hukum solat sunat selepas Asar? Adakah haram? Kalau haram, mengapa ia diharamkan?

* Yang bertanya, Kota Bharu, Kelantan

UKE: Ada solat sunat yang dilarang dan ada yang tidak dilarang pada waktu-waktu tahrim. Bagi mazhab Syafie larangan itu kadang-kadang diharuskan solat jika bersebab dan di tempat-tempat tertentu. Maka anda hendaklah pergi belajar dengan lebih mendalam akan pelajaran ini. Larangan solat selepas Asar ada disebutkan dalam hadis-hadis antaranya diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Dawud.

Imam cacat

Apakah hukum menjadi imam solat wajib atau sunat kepada keluarga atau orang awam jika imam duduk di atas kerusi disebabkan kaki telah dipotong di bawah lutut dan imam tidak mampu berdiri betul pada takbir pertama dalam rukun solat. Mohon pencerahan daripada ustaz.

* Abang Zul Tanjung, Kuala Lumpur

UKE: Harus kepada seorang imam jika duduk di dalam solat kerana uzur dan bagi mazhab Syafie, makmum hendaklah berdiri seperti biasa. Hanya imam yang menunaikan solat secara duduk kerana keuzuran. Tetapi lebih afdal diberikan kepada yang lebih berkemampuan untuk menjadi imam.

Jual barang kemas suami

Apakah berdosa saya mengambil barang kemas suami tanpa pengetahuannya? Saya menjual barang kemas itu untuk menyara hidup saya kerana suami tidak pernah beri nafkah zahir kepada saya. Insya-Allah saya akan pergi menunaikan haji tahun ini.

* Puan Anny, Manjung, Perak.

UKE: Jika seseorang suami tidak memberi nafkah kepada isterinya sehinggalah isteri menderita, maka haruslah bagi seorang isteri mengambil wang suaminya walaupun tanpa pengetahuan suaminya untuk kegunaan rumah tangga mereka.

Taqarrub, tabarruk, tawasul, wasilah

Apakah yang dikatakan taqarrub, tabarruk, tawasul dan wasilah?

* Md. Radyuwan Mat Piah, Kuala Lumpur

UKE: Taqarrub ertinya menghampirkan diri kepada Allah SWT untuk mendapatkan kasih daripada Allah SWT dengan melakukan amalan-amalan. Tabarruk bermaksud perbuatan mengambil keberkatan daripada seseorang atau sesuatu. Tawasul ialah perantara atau penghubung. Wasilah ialah perantaraan yang sampai kepada Tuhan termasuk jalan-jalannya supaya kita terpelihara oleh Allah SWT.

Anak malas solat

Saya ada anak yang sudah berumah tangga tetapi dia tidak solat. Macam mana cara hendak mengatasinya?

* Zaidah, Perak

UKE: Kewajipan seorang manusia ialah menunaikan solat. Dan kewajipan kepada seorang ibu dan ayah, memastikan anak-anaknya menunaikan solat walaupun anaknya sudah mendirikan rumah tangga. Apabila anaknya sudah dewasa, maka anaknya yang menanggung dosa kerana tidak solat dan ibu bapa berterusanlah menasihatinya untuk menunaikan solat. Puan suruh dia solat. Telefon dia selalu bila masuk waktu solat dan kalau ke rumahnya, ajaklah dia untuk solat berjemaah.

Solat jamak 
dan qasar

Saya merupakan pegawai kerajaan yang bekerja tetap di luar kawasan iaitu melebihi 100 kilometer. Saya berulang seminggu sekali dari rumah saya ke tempat kerja. Contohnya, setiap Isnin sebelum Subuh saya bergerak dari rumah saya ke tempat kerja dan tinggal bersama-sama kawan di kawasan berhampiran tempat kerja sehingga Jumaat. Setiap Jumaat selepas waktu pejabat, saya bergerak pulang ke rumah saya. Mengikut fahaman saya (mazhab Shafie), hari bergerak Isnin, saya boleh jamak dan qasar. Hari Selasa hingga Khamis saya juga boleh jamak dan qasar kerana tidak lebih tiga hari. Hari Jumaat adalah hari saya bergerak pulang ke rumah dan boleh juga saya jamak dan qasar. Saya nak tanya ustaz, betulkah fahaman saya ini? Mohon ustaz beri pencerahan.

* Puan Nomy, Kuala Lumpur

UKE: Adakah anda menyewa di rumah itu? Kalau anda menyewa di rumah itu, maknanya anda sudah menjadi orang di situ. Maka anda tidak boleh jamak dan qasar. Sila jelaskan sama ada anda menyewa atau tidak.

Dibelanja rakan 
Lepas menang judi

Soalan ini daripada kawan saya. Hari itu ada kawan dia yang bukan beragama Islam belanja dia makan. Selepas selesai makan, baru dia dapat tahu bahawa kawan dia belanja sebab menang nombor ekor. Selepas dapat tahu, dia jadi serba salah. Adakah dia berdosa kerana makan makanan yang dibayar menggunakan sumber yang haram?

* Ayobshah,  Pahang.

UKE: Tidaklah berdosa kawan anda sebab dia tidak mengetahui kawannya membelanjanya dengan duit yang haram. Tidaklah perlu dia susah hati. Kalau dia hendak menghilangkan rasa susah hatinya, bolehlah dia membayar harga makanan tersebut dengan cara dia sedekahkan kepada masjid atau surau atau orang miskin dengan diniatkan belanja wang makanan tersebut.

- Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Jan 2015

Agama Islam dan etika sejagat

‘‘Layanilah pihak lain sebagaimana kamu ingin dilayani’’. Seruan sedemikian kerap dipetik dan dimajukan sebagai rukun persefahaman dan kerjasama antara warga pelbagai bangsa dan penganut pelbagai agama.

Rukun tersebut juga sering dirujuk sebagai ‘lunas emas’ (the golden rule) (diringkaskan selepas ini sebagai LE). Pada para pendokong taksub LE (disingkatkan sebagai PLE), lunas ini perlu sentiasa diguna pakai dalam hubungan dengan pelbagai pihak lain, tidak kira siapapun pihak itu, orang perseorangan daripada agama lain, jantina lain, suku lain, pembawaan seksual lain dan sebagainya.

Meskipun kepentingan LE dalam ruang-lingkup hubungan sesama insan, khasnya dalam masyarakat majmuk, sukar untuk dinafikan, kefahaman dan pelaksanaan LE ini seharusnya berada dalam lingkungan batas-batasnya yang sah agar sama sekali tidak bertentangan dengan fahaman kebenaran dan keadilan yang dinyatakan dalam Islam.

Dengan kata lain, LE ini seharusnya diletakkan pada kedudukan yang wajar dalam kefahaman dan amalan orang Islam.

Usaha untuk meletakkan LE pada kedudukannya yang wajar memerlukan penelitian yang menyeluruh lagi saksama terhadapnya.

Penelitian sedemikian perlu turut merangkumi langkah-langkah untuk menerangkan secara ilmiah apa yang sebenarnya bukan LE agar tidak berlaku kecelaruan dan kekeliruan faham.

Apabila kita menelaah kitab-kitab suci pelbagai agama dan ajaran akhlakiah yang ada, kita akan dapati bahawa selain bentuk olahan dan ungkapan LE yang berbeza-beza, terdapat pada amnya dua bentuk pernyataan LE ini iaitu: bentuk suruhan atau rupa yang positif (misalnya: layanilah orang lain itu sepertimana kamu mahu kamu dilayani olehnya) dan bentuk larangan atau rupa yang negatif (contohnya: janganlah kamu layani orang lain itu dengan cara yang kamu tidak ingin dirimu diperlakukan).

Sekali imbas, seakan-akan terdapat kedua-dua bentuk pernyataan LE dalam lingkungan agama Islam.

Satu daripadanya terkandung dalam hadis Nabi yang terkenal: “Seseorang daripada kamu tiada (sempurna) beriman sehingga ia sukakan untuk saudaranya apa yang ia sukakan untuk dirinya.”

Yang menariknya, pernyataan LE dalam ajaran Islam dalam bentuknya yang didakwa langsung atau tersurat semuanya terkandung dalam kumpulan hadis-hadis Nabi.

Justeru, agak sukar bagi mana-mana PLE yang beragama Islam untuk mendokongnya tanpa mengakui kesabitan hadis Nabi sebagai sumber sah ilmu, kebenaran dan hukum.

Para PLE umumnya beranggapan bahawa biarpun terdapat beraneka versinya, semua itu pada dasarnya menayangkan prinsip dan makna yang sama. Apakah betul anggapan mereka ini?

Apakah tiada mungkin jangkauan makna LE dalam pernyataan yang berbentuk positif itu tidak benar-benar sama dengan liputan pengertiannya dalam pernyataan yang berupa negatif?

Sekiranya ada perbezaan pada jangkauan maknanya, bagaimanakah PLE dapat mengatasi jurang antara kedua-dua maksud tersebut?

Malah, memang sebenarnya wujud pihak yang menamakan pernyataan LE dalam bentuknya yang negatif itu sebagai ‘lunas perak’ (the silver rule) kerana pada pemerhatian mereka, pernyataan sedemikian tidak benar-benar sama dengan pernyataannya dalam bentuk positif, bahkan menduduki taraf keluhuran yang lebih rendah.

Menurut pihak-pihak itu, ‘lunas perak’ ini sekadar menggesa seseorang itu untuk mengawal diri daripada berbuat sesuatu yang buruk yang memudaratkan pihak lain berbeza dengan LE yang mendorong seseorang itu untuk berusaha melakukan tindakan-tindakan baik yang bermanfaat kepada yang lain.

Turut perlu disedari bahawa LE telah dikritik oleh para penganalisis dan sarjana daripada Barat sendiri atas beberapa asas.

Salah satunya adalah kebolehlaksanaannya yang terlalu bergantung pada perkongsian sistem nilai yang sama antara pihak pelaku dan pihak yang diperlakukan.

Justeru, sering dipetik ujaran George Bernard Shaw (1856–1950), “Janganlah bertindak terhadap orang lain itu sebagaimana kamu mahu dirimu diperlakukan olehnya. Cita-rasa mereka mungkin tidak sama.” (Do not do unto others as you would that they should do unto you. Their tastes may not be the same).

Dengan kata lain, jika nilai pegangan kita tiada sama dengan pihak yang lain itu, maka cara kita ingin dilayani bukan semestinya cara mereka ingin diperlakukan.

Daripada pengamatan ringkas di atas, jelas sekali bahawa umat Islam perlu berhati-hati dan teliti sebelum menerima apa sahaja lunas atau garis panduan—seperti LE ini yang dianjurkan atas nama etika sejagat (global ethic) yang dirumus daripada satu kumpulan nilai-nilai teras yang serupa dalam ajaran agama-agama dunia.

Sifat berhati-hati dan teliti ini melibatkan pengamatan ilmiah terhadap bukan sahaja asal-usul lunas tersebut tetapi juga luasan liputan maknanya dan akibat-akibat yang menyusul darinya.

Mereka juga harus faham bahawa etika sejagat ini, sekiranya ada, tidak seharusnya menjadi satu agama dan undang-undang baru yang mengatasi agama dari mana ia berasal.

Malah, pengamalan apa-apa lunas seperti ini perlu dilaksanakan berpandukan kefahaman yang sebenar berkenaan dengannya dalam agama yang tersebut.

Tambahan pula, sepertimana yang telah disimpulkan oleh sebahagian penganalisis, LE ini jika ingin dilaksanakan perlu berdasarkan lunas-lunas yang lebih asasi yang wujud dalam ajaran agama masing-masing penganut.

Mohd Zaidi Ismail ialah Felow Utama / Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Jan 2015