January 15th, 2015

Projek One Soul One Quran tangani Islamophobia

Banyak pihak memberi pandangan bahawa serangan terhadap pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo di Paris, baru-baru ini adalah disebabkan tindakan penerbitnya sendiri yang gemar membuat provokasi terhadap agama Islam?

Ada pihak percaya bahawa sekiranya majalah terbabit memahami sensitiviti umat Islam serta mengelak menerbitkan artikel serta karikatur menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, sudah pasti tragedi mengorbankan 17 jiwa itu tidak berlaku.



Untuk mengubah persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap Islam, agama syumul dan menyeluruh, mereka sewajarnya memahami kandungan kitab suci al-Quran. Itulah manfaat projek One Soul One Quran yang antara matlamatnya memberi lebih kefahaman kepada bukan Islam mengenai ajaran Islam. Projek yang diasaskan Islamic Information & Services Foundation berpangkalan di Kuala Lumpur serta disokong pelbagai pihak lain itu, adalah usaha membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej al-Quran dan ajaran Islam sebenar.

Projek itu satu usaha memantapkan

pengetahuan dan maklumat umum mengenai al-Quran sebagai sumber utama agama Islam bertujuan menyumbang ke arah keamanan dan keharmonian global. Sebanyak sejuta naskhah tafsir al- Quran akan diedarkan kepada orang ramai di seluruh negara, mulai bulan ini.

Pelancaran projek itu disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Menara Kuala Lumpur. Pengarah Program One Soul One uran, Sabariah Abdullah, berkata objektif projek itu adalah membantu ke arah keamanan dan keharmonian dunia sejagat yang lebih mantap dan berkekalan.

Seterusnya katanya, membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej al-Quran dan ajaran Islam sebenar, sekali gus meredakan keadaan dan membasmi Islamophobia yang tidak berasas sama sekali. Beliau berkata, ia juga membudayakan pemikiran dan cara hidup al-Quran yang sentiasa mementingkan keadilan, kesederhanaan, keikhlasan dan semangat timbang rasa dalam segala hal dan tindakan.

"Program ini membantu mengeratkan hubungan antara pelbagai bangsa dan agama di negara kita, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan semangat muhibah dan penyatuan nasional. "Seterusnya mengukuhkan semangat dan metodologi kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, pertubuhan bukan kerajaan dan badan korporat dalam usaha memantapkan proses penerangan mengenai Islam kepada semua pihak," katanya.

Projek empat tahun lima bulan

Pelaksanaan projek itu keseluruhannya empat tahun lima bulan bermula Januari tahun ini hingga Jun 2019 dengan anggaran belanjawan keseluruhannya RM11.5 juta. Format al-Quran untuk projek itu berdasarkan Projek Quran untuk hotel Saba Islamic Media yang sudah lebih 15 tahun diguna pakai di hotel ternama di negara kita.

Format berciri moden ini terbukti kelebihannya dari segi penerimaannya oleh pembaca bukan Islam khasnya, tanpa menghampakan masyarakat beragama Islam yang mahu berqira'ah secara kaedah tradisional.

Ayat tertentu akan dikaji selidik dari aspek aplikasi dan relevannya kepada isu masa kini serta dilengkapi penjelasan berdasarkan sumber sahih, mantap dan terkini. Sebagai contoh, ayat yang sering disalah tafsir secara sengaja oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi Islamophobia, akan diberi perhatian dan penerangan khusus menerusi nota khas.

Semua maklumat akan ditentukan kesahihannya oleh panel yang arif termasuk pakar terjemahan al-Quran sebelum diguna pakai. Sabariah berkata, terjemahan ke dalam empat bahasa akan diterbitkan dengan tumpuan lebih kepada bahasa Inggeris kerana kumpulan sasaran terbesar adalah mereka yang berpendidikan tinggi dan berkomunikasi menggunakan bahasa antarabangsa itu.

Katanya, terjemahan turut mencakupi bahasa Mandarin dan Tamil sesuai dengan fakta demografi ramai masyarakat terbabit menjadikan bahasa ibunda sebagai sumber bacaan utama.

Berbaik sangka bantu mangsa banjir

Penulis agak tersentuh membaca satu nota yang ditulis oleh seseorang dalam satu kumpulan media sosial baru-baru ini. Tulisnya, 'hati jadi tenang dan tersentuh apabila melihat ribuan anak siswa institusi pengajian tinggi (IPT) kita turun ke lapangan tanpa bersungut penat dan lelah berbakti pada musim banjir dan pasca banjir. Bila mengenangkan sebahagian kecil lagi anak siswa kita berdemonstrasi di sana di sini dan sanggup merempuh pagar universiti, sanggup memecah pintu pejabat HEP (Hal Ehwal Pelajar) dan lain-lain.'

Tulisnya lagi, 'siapa kata siswa kita tidak tahu mengenang jasa, siapa kata siswa kita tak pandai berterima kasih. Bila mengenang hal ini, hati rasa terubat bila melihat ribuan anak siswa secara sukarela turun ke lapangan.

Ops Pasca Banjir menjadi saksi. Hati terubat. Semangat membara. Moga kita semua sentiasa dalam perlindungan Allah jua.'

Selami hati mangsa bencana alam

Banyak yang boleh direnungkan dari catatan ini. Bukan sahaja sebagai seorang yang terbabit dalam pengurusan mahasiswa, tetapi juga melihatnya dalam perspektif yang lebih luas dalam menilai apa yang kita lakukan selama ini secara keseluruhan. Berapa banyak lagi suara hati yang bergetar saat ini dalam merasai apa yang dilalui oleh mangsa banjir, bencana alam dan mangsa takdir hidup yang di luar jangkauan pemikiran kira selama ini.

Jika selama ini kita hanya melihat di kaca televisyen, hari ini kita melihat dan merasainya. Malah, menyaksikan berapa ramai golongan muda yang menumpahkan keringat untuk membantu mereka dalam kesusahan, kemarahan dalam kesedihan melihat mangsa yang payah untuk didekati.

Kisah anak muda yang menunggang motosikal untuk menghantar bekalan makanan kepada keluarga yang tiada makanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai yang menjadi viral dalam media sosial.

Gambar seorang tua yang bersembahyang pada saat air sedang naik, tayangan pelbagai video dan visual yang meruntun hati kita dan banyak lagi kisah yang dapat kita baca dan saksikan saban hari.

Sesekali terbaca kisah pihak yang hanya tahu mencari salah orang itu dan orang ini dan menjadi seolah-olah pengulas siaran selari yang berat sebelah. Apatah lagi cubaan mempertikaikan usaha pelbagai pihak yang mengorbankan masa, tenaga, malah menyabung nyawa untuk membantu mangsa banjir yang memualkan.

Lihat sahaja bagaimana anggota pasukan tentera dan polis kita menyabung nyawa seawal jangkaan banjir bermula yang meredah air larian menderu, meninggi dan penuh risiko untuk menghantar bekalan makanan.

Jika ada yang tertinggal bukanlah disengajakan, tetapi ada banyak sebab yang munasabah mengapa ia terjadi.

Tidak ada siapa yang mempunyai perasaan yang akan membiarkan mangsa kelaparan dan kesejukan. Namun, dalam banyak keadaan pelbagai pihak berusaha membantu dan hero tidak didendang ini begitu ramai di sekeliling kita. Bukan sahaja pelbagai agensi, pertubuhan sukarela dan anak-anak muda, malah pensyarah, profesor, ilmuwan serta warga universiti dan sekolah, pertubuhan belia dan ramai lagi yang meninggalkan urusan harian biasa mereka untuk turun padang.

Kita juga mendengar suara hati mereka yang diduga oleh musibah ini yang mengharapkan keikhlasan pihak yang membantu tanpa ada maksud lain dan jangan politikkan bencana banjir ini.

Suara hati untuk berbaik sangka dan tidak melihat hanya dari sudut negatif dalam kalangan yang memberi dan menerima. Suara hati untuk meminta semua pihak bersatu dan bersepadu dalam membangunkan semula segala yang musnah dengan jiwa raga yang ikhlas bukan bertelagah atas hal yang remeh dan kepentingan diri atau kumpulan sendiri.

Belajar untuk bersyukur segala yang dimiliki dan rasa sayu dengan kehilangan, tanah lumpur merah dan kesan kemusnahan yang akan terus lekat di hati untuk tempoh yang panjang. Suara hati untuk mendidik jiwa kita mengurus tadbir alam dengan lebih berhati-hati, mengurus sumber dengan baik dan berkesan serta mementingkan pembangunan yang lestari.

Hargai sumbangan generasi muda

Suara hati untuk kita lebih memahami dan merasai bukan sahaja melihat sumbangan generasi muda kita, menghargai usaha mereka yang banyak membantu dan yang lebih penting melihat dan merasai dengan hati nurani terhadap apa yang kita miliki.

Suara hati yang hanya kita rasai dan tidak boleh ditipu walau pun ada ketikanya kita zahirkan melalui kata-kata dan tulisan. Adakah tindakan kita selama ini didendangkan senada dan seirama dengan suara dan gerak hati ikhlas kita terhadap sudut pandang, kehidupan dan alam kita?

Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia. Berita Harian Kolumnis 15 Jan 2015

Serangan di Paris bukan konflik Islam, Barat

Semua pihak masih dalam keadaan terkejut dengan peristiwa serangan senjata terhadap syarikat penerbitan Charlie Hebdo beberapa hari lalu yang mengorbankan belasan nyawa. Sebagai Muslim, kita mesti konsisten menyatakan sikap yang jelas mencela perbuatan ganas yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Perbuatan menggunakan kekerasan bagi menangani pertembungan nilai dan amalan antara tamadun berbeza bukan bersumberkan ajaran Islam. Agama Islam meletakkan prinsip kemuliaan insan dan menganjurkan pendekatan 'dialog' dalam erti yang luas bagi menghadapi apa juga bentuk pertembungan dan perselisihan.

Demikianlah prinsip dan sikap yang konsisten yang ditunjukkan oleh masyarakat Muslim berhubung peristiwa keganasan di seluruh dunia sama ada peristiwa 11 September 2001 atau kejadian lain yang serupa selepasnya. Sekiranya pelakuan keganasan itu dilakukan oleh penganut Muslim, maka celaan dan bantahan perlu dilakukan terhadap pelaku itu. Ia tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan agama Islam atau masyarakat Muslim seluruhnya. Begitu juga sikap kita terhadap pelaku keganasan dalam kalangan penganut agama lain.

Tidak ambil pengajaran

Kita berasa dukacita kerana ramai pihak tidak mengambil pengajaran daripada punca yang membawa kepada perlakuan keganasan dalam kehidupan manusia hari ini. Dalam pelbagai komentar yang diteliti berhubung kejadian di Paris itu, ada banyak pendapat yang menganjurkan kepentingan penegasan berterusan dilakukan kembali supaya nilai penghormatan terhadap kemuliaan manusia dan kesucian agama dijunjung seutuhnya oleh semua tanpa mengira anutan, pegangan dan fahaman kepercayaan.

Prinsip penghormatan terhadap kemuliaan agama dan simbolnya adalah nilai sejagat yang merentas sempadan benua dan negara sama ada di Timur atau Barat. Semestinya setiap individu atau masyarakat, sama ada pandangan hidupnya dipandu oleh ajaran agama atau ideologi sekular, mempunyai prinsip nilai yang dikongsi bersama. Dalam konteks ini, nilai penghormatan kemuliaan insan dan kesucian agama adalah prinsip yang perlu dijunjung dan dihormati tanpa kompromi.

Permasalahan keganasan yang membawa kepada kehilangan nyawa yang menyayat hati dalam kehidupan hari ini terjadi antaranya berpunca dari sikap sebahagian anggota masyarakat yang tidak menjunjung nilai kebersamaan yang sepatutnya dikongsi seluruh umat manusia. Sikap menafikan prinsip perkongsian keluhuran nilai bersama ini disebabkan oleh tanggapan bahawa nilai pegangan kehidupan mereka merentasi nilai pegangan orang lain tanpa had dan batasan menjadi antara punca utama pertembungan nilai dalam kehidupan.

Misalnya, apabila sesetengah pihak berpegang dengan prinsip 'kebebasan bersuara' tanpa batas dan dengan itu mereka boleh menggunakan prinsip itu untuk meremehkan, mempersenda dan mentertawakan kemuliaan manusia dan kesucian agama masyarakat lain, maka sudah tentu ia dengan mudah mengundang tindak balas tanpa kawalan pihak lain. Begitulah bentuk dialektik pertembungan dan punca yang membawa kepada berlakunya banyak peristiwa keganasan dalam masyarakat dunia hari ini. Dalam konteks di Paris itu, peranan Charlie Hebdo dalam menerbitkan bahan yang mempersendakan kesucian agama dan kemanusiaan memang diketahui umum.

Tidak terkeliru peristiwa di Paris

Ramai sarjana Muslim menyeru masyarakat dunia tidak terkeliru dengan peristiwa di Paris itu dengan menjadikannya sebagai bukti wujudnya pertembungan antara tamadun Islam dan Barat. Jika ada anggota masyarakat yang terpengaruh dengan pandangan pertembungan antara dua tamadun ini, mereka sebenarnya sudah berada dalam perangkap minda yang sengaja dicipta oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan peristiwa ketakutan dan kemarahan antara pelbagai penganut dan penduduk masyarakat. Kes di Paris itu bukan bukti untuk mengabsahkan pertembungan agama dan tamadun. Ia perlu ditinjau secara khusus dalam latar sosiopolitik masyarakat Eropah semasa terutama dalam konteks perhubungan masyarakat tempatan dan golongan yang berhijrah di Perancis.

Kes di Paris ini juga perlu dijadikan asas untuk kita meneroka lebih mendalam perkembangan sosiopolitik masyarakat Eropah semasa. Analisis mengenai pertembungan dan persaingan sengit aliran kanan dan kiri dalam kalangan kumpulan masyarakatnya hari ini banyak dibicarakan dalam teks ilmiah. Persoalan golongan yang berhijrah ke Eropah yang kian meningkat serta kemunculan fenomena agama yang semakin jelas dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak bagi meraih kepentingan kuasa tertentu. Bagi tujuan itu, kaedah provokasi bagi mewujudkan ketegangan dan membina minda perseteruan dengan menggunakan apa juga saluran media menjadi pilihan. Apa yang mendukacitakan, realiti persaingan kepentingan demi meraih kuasa ini terpaksa memakan korban, seterusnya mewujudkan kehidupan bermusuhan yang tidak berkesudahan. Moga kita semua mengambil pengajaran.

Dr Muhamad Razak Idris ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM. Berita Harian Kolumnis 15 Jan 2015

Pembelajaran etika didik generasi muda berakhlak

Pendedahan video aksi gadis bertudung memeluk artis popular KPop dari Korea Selatan amat menggemparkan dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat. Pada saat negara dirundung kesedihan dengan isu banjir di Pantai Timur dan nahas kapal terbang QZ8501 AirAsia Indonesia, video berkenaan menggambarkan bagaimana tingkah laku generasi muda masa kini yang semakin 'bernanah' dalam masyarakat.

Video itu turut menerangkan bahawa institusi pendidikan dan keluarga perlu memainkan peranan bagi membendung perlakuan tidak sopan yang membabitkan pergaulan lelaki dan wanita. Nilai murni masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adat dan kesantunan tinggi telah tercemar dengan pendedahan video berkenaan. Ini bukan nilai murni yang baik dan patut dicontohi generasi muda.





Etika dan nilai murni milik generasi muda masa kini kian pudar selaras dengan perkembangan teknologi yang dikecapi. Penggunaan media sosial telah digunakan sebagai platform oleh generasi muda bagi mengkritik, menempelak dan meluahkan perasaan atas segala aspek yang dirasakan tidak adil pada perspektif mereka.

Ini menyebabkan nilai murni dan sopan santun masyarakat Malaysia semakin lama semakin terhakis. Etika berasal daripada perkataan 'ethos' (Greek) yang didefinisikan sebagai keperibadian dan akhlak, merangkumi aspek prinsip dan kelakuan individu mengenai kepercayaan antara betul dan salah. Etika juga merangkumi tingkah laku seseorang yang menggambarkan sesebuah masyarakat. Dari perspektif Islam, etika amat penting kerana Islam menggariskan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan, tawaduk dan wasatiyyah dengan berlandaskan kepada al-Quran dan hadis.

Etika dan nilai murni yang baik amat penting kepada diri seseorang individu kerana ia berupaya membantu memberi sumbangan kepada masyarakat dan juga negara.

Elak masalah sosial lebih serius

Banyak kes rasuah pada masa kini adalah dalam kalangan eksekutif muda yang mahukan kesenangan dengan cepat tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan berkenaan.

Sekiranya ini dibiarkan maka adalah tidak mustahil pada suatu masa nanti kejatuhan nilai murni dan sosial menjadi semakin serius di Malaysia. Permasalahan ini perlu dibendung sejak di sekolah rendah lagi dengan memperkenalkan subjek yang berkaitan dengan etika dan nilai murni. Pengenalan subjek ini dapat membantu mendidik pelajar sejak di sekolah rendah dan pada masa sama dapat mengurangkan sikap prejudis dan iri hati generasi muda.

Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) menunjukkan sebanyak 31 peratus pelajar sekolah sanggup menerima rasuah seandainya ada kuasa dan peluang melakukannya. Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian kerana tidak mustahil jumlah peratusan tersebut akan meningkat pada masa hadapan.

Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya sememangnya mempunyai etika dan nilai murni masing-masing. Oleh itu, adalah menjadi keperluan setiap pelajar sekolah rendah memahami dan menghormati etika dan nilai murni yang diterapkan dalam masyarakat masing-masing.

Penghayatan etika dan nilai murni dalam pelbagai agama dan masyarakat membolehkan generasi muda pada masa akan datang lebih bertamadun dan berketrampilan. Ini secara tidak langsung akan bertindak sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara serta dapat merealisasikan wawasan negara maju menjelang tahun 2020.

Saranan Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim perlu diberi perhatian. Beliau mencadangkan bahawa adalah menjadi keperluan untuk sekolah rendah memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam seminggu bagi proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan etika dan nilai murni.

Tumpu aspek perpaduan

Seterusnya, pembangunan modul etika dan nilai murni yang dibangunkan perlu memberikan tumpuan khusus kepada aspek perpaduan, hormat menghormati, bekerjasama yang mempunyai kualiti daya saing tinggi bagi membolehkan generasi pelajar hari ini mampu berdepan perubahan pada masa hadapan.

Penilaian terhadap subjek juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memenuhi objektif pengajaran dan membolehkan penilaian pelajar dapat dilakukan dengan lebih baik serta berkesan.

Malaysia juga boleh mengaplikasi konsep pendidikan negara Jepun dengan menerapkan pengajaran dan pembelajaran etika sejak di sekolah rendah. Berdasarkan kepada pepatah Melayu 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' maka adalah amat tepat jika pelajar sekolah rendah digunakan sebagai medium mengubah etika masyarakat yang kian hancur masa kini.

Keseluruhannya, pengajaran dan pembelajaran etika amat signifikan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan generasi muda lebih bertanggungjawab, amanah dan adil dalam menjalankan tugas.

Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan dan universiti serta badan penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih terancang. Hasilnya diharapkan dapat menghasilkan generasi muda lebih berilmu dan berakhlak mulia.

Sedekah tidak kurangkan harta

Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah menyentuh isu memberi yang tidak merugikan jika dilakukan dengan ikhlas. Beliau berkongsi resipi memujuk hati memberi ketika tidak memiliki.

Allah memberi pada setiap masa dan ketika, memberi sebelum diminta, tanpa mengharap balasan dan Allah SWT memberi tanpa mengurang apa yang ada pada-Nya. Itu permulaan perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran jam 10.15 pagi Rabu lalu. Selain konsep memberi dengan keikhlasan ia perlu juga kepada kebijaksanaan selain perkongsian resipi memujuk hati untuk terus memberi kala tidak memiliki.

Terdapat beberapa sebab keengganan untuk menghulur atau memberi bantuan antaranya timbul persepsi bahawa dengan memberi akan mengurangkan sebaliknya apabila menerima akan menambah. Allah SWT sentiasa memberi tanpa mengharapkan balasan.


Sukarelawan menyumbangkan tenaga untuk membantu mangsa banjir juga dianggap sedekah. - Gambar hiasan

Malah, Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya: "Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambah dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya." (Riwayat Muslim).

Ditamsilkan umpama penanam sayur, apabila menabur benih di batas akan menumbuhkan anak pokok yang tumbuh berkelompok pada satu tempat yang sama. Itu akan mengganggu proses mendapatkan nutrisi kerana terpaksa bersaing untuk membesar.

Harta perlu dibersihkan

Oleh itu, petani akan mencabut dan membuang beberapa anak pokok dan meninggalkan beberapa pokok sahaja bagi memberi peluang ia terus tumbuh serta membesar dengan subur. Begitu juga dengan harta, perlu dibersihkan dengan zakat, sedekah, hibah dan wakaf bagi mengundang kehadiran harta yang lain.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata, "Harta atau rezeki kamu adalah menurut apa yang dibelanjakan atau digunakan ke jalan Allah."

Kita hanya penjaga kepada harta. Jika diberi kepada orang lain ia akan menjadi milik orang lain secara fizikal dan secara tidak langsung memberi pengertian harta itu telah diberi kepada dirinya. Jelas bahawa dengan memberi tidak akan mengurang bahkan menambah.

Menurut Pahrol, sikap memberi akan menjadikan seorang itu lebih dinamik dan produktif untuk berusaha kerana untuk memberi lebih dia perlu memperoleh lebih banyak lagi dan dengan itu perlu berusaha lebih gigih. Itulah konsep 3M iaitu mencari, memiliki dan memberi.

Oleh itu, jika ingin memberi yang banyak perlu kepada pemilikan harta yang banyak juga. Harta yang banyak terhasil menerusi usaha pencarian yang jitu dan bersungguh. Formula memperoleh rezeki juga berdasarkan tanggungjawab, semakin tinggi rasa tanggungjawab, lebih banyak rezeki Allah SWT kurniakan.

Jika diteliti, ramai peniaga besar terdorong untuk menunaikan zakat dan memasang niat awal memberi lebih banyak ketika membuka perniagaan menjadikan perniagaan mereka berjaya serta diberkati.

Apabila memberi, menjadi kebiasaan mengharap penghargaan dan ucapan terima kasih sedangkan Allah SWT sangat menitikberatkan soal keikhlasan dalam setiap pemberian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat." (Surah asy-Syura, ayat 20)

Fitrah suka penghargaan

Tidak dinafikan fitrah manusia suka kepada penghargaan, tetapi menurut satu kajian, orang yang mengharap ucapan terima kasih setelah memberi mempunyai potensi menjadi pesakit jiwa kerana umumnya manusia hari ini tidak pandai berterima kasih dan menghargai.

Diharap perkara ini tidak menjadi penghalang untuk terus memberi. Sesungguhnya jika berhenti memberi hanya disebabkan tiada penghargaan bererti ada sifat ego dan takbur dalam diri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Jika diteliti, terlalu banyak yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya tetapi hanya sedikit hamba yang berterima kasih. Pun begitu, Allah SWT tidak putus-putus memberi. Diharap ia menjadi penyuntik semangat untuk tidak berhenti daripada memberi tatkala tidak dihargai.

Sifir memberi adalah sifir yang tidak terduga. Selepas memberi, bukan sekadar si pemberi menerima kembali pemberian, ada kalanya muncul bantuan tidak terduga asbab pemberian itu. Ia menjadi pendorong untuk terus memberi walau tidak dihargai jauh daripada menerima balasan kebaikan daripada si penerima.

Ada juga tidak mampu memberi dengan alasan tidak ada benda untuk diberikan. Oleh itu, perlu jelas dengan konsep dan pengertian rezeki. Jika pandangan mengenai rezeki itu sempit maka kesempitan untuk memberi akan menjadi kenyataan.

Rezeki bukan sekadar harta

Jika pengertian rezeki hanya bergantung kepada duit, harta dan sebagainya, wajarlah rezeki itu sempit. Cuba luaskan pandangan berkenaan rezeki kerana menurut Islam, rezeki boleh jadi tenaga, ilmu, kata-kata yang baik, doa, senyuman dan iman. Ini membuktikan kita sentiasa ada untuk memberi.

Jika tiada harta usah bimbang kerana masih miliki kata-kata yang baik, senyuman dan doa untuk disumbangkan. Menurut Hukama, "Allah mencintai orang yang pemurah tetapi Allah lebih mencintai orang miskin yang pemurah seperti mana Allah suka orang yang bertaubat tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat."

Memberi wujud daripada sifat kasih sayang yang berpunca daripada iman kepada Allah SWT. Justeru kembalilah kepada Allah SWT untuk terbitkan rasa kasih sayang sesama manusia yang bakal memansuhkan alasan menghalang diri daripada sifat memberi.

Bencana antara sains dan takdir Tuhan

Kita sering kali juga berpendapat Malaysia tidak mungkin mengalami taufan atau tsunami secara besar-besaran. Kalau ada pun hanya tempiasnya sahaja. Apakah mungkin kita akan terus-terusan berfikiran sedemikian? Memang benar, Malaysia tidak banyak pengalaman dalam menghadapi kejadian bencana alam yang besar seperti kesan letusan gunung berapi dan ribut taufan.

Beberapa kejadian pernah berlaku ialah ribut Greg pada tahun 1998 yang melanda pantai Sabah dan memusnahkan harta benda. Malaysia merasai tempias kesan gempa dasar laut membawa kepada tsunami pada 26 Disember 2004 di pusat gempa terletak pada latitud 3.316° utara dan longitud 95.854° timur iaitu sejauh 160 kilometer di sebelah barat Aceh di Sumatera pada kedalaman laut kira-kira 10 kilometer.

Kejadian tsunami yang berlaku di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada tahun 2004. - Gambar hiasan

Gempa ini berkekuatan 9.0 mengikut skala Richter. Tsunami mengorbankan hampir 230,000 nyawa, 125,000 lagi cedera dan 46,000 hilang di 14 negara. Malaysia merekodkan 75 kematian, 6 hilang dan 299 cedera. Pengalaman kita dari segi banjir ialah pada tahun 1926 yang dipanggil 'bah besar' dan berlaku sekali lagi pada tahun 1946. Pada Januari 1971, banjir besar berlaku dan hampir meliputi seluruh negara yang memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat. Seterusnya banjir di Johor pada tahun 1998. Lazimnya, negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang hampir saban tahun mengalami banjir pada setiap hujung tahun dan awal tahun.

Bagi ahli geografi, ahli sains dan yang memahami kejadian ini, semua bencana alam ini telah diduga, diramal dan dijangka. Malah manusia sebenarnya telah dimaklumkan menerusi amaran supaya tidak menyemarakkan bencana alam dengan memusnahkan alam sekitar, tumbuh-tumbuhan, muka bumi atau mencemari udara dengan kloroflurokarbon dan kotoran udara lain.


Ribut Greg yang melanda

Sebelum memahami bagaimana bencana alam berlaku, perlu difahami jenis angin yang datangnya dari arah laut dan sebenarnya adalah asas kepada fenomena kejadian tersebut. Angin monsun bertiup sederhana pada kadar 5 knot atau 10 kilometer sejam dan boleh meningkat kepada 35 knot atau 50 hingga 80 kilometer sejam. Jika tekanan angin menjadi lebih tinggi, maka angin ini akan berubah menjadi lebih ganas.


Peta pergerakan angin siklon.

Kekuatan tekanan angin

Angin ribut, taufan atau siklon adalah bertekanan tinggi dari jenis yang sama dan dibezakan dengan kekuatan atau kelajuan anginnya. Angin ribut ialah keadaan angin kencang dengan kadar kelajuan kira-kira 50 knot atau 100 kilometer sejam. Kelajuan angin ini boleh menyebabkan pokok tumbang dan bumbung rumah tercabut atau terangkat. Ribut berserta hujan lebat kadangkala diikuti dengan petir maka jadilah ribut petir. Jika kekuatan angin ribut menjadi bertambah kencang sehingga 200 knot atau 360 kilometer sejam, maka ia menjadi taufan yang mampu meranapkan sekali bangunan, rumah, tumbuh-tumbuhan dan objek lain. Biasanya ia juga diiringi banjir atau bah iaitu limpahan air laut dan hujan lebat.

Kekuatan taufan ini boleh bertambah kuat sehingga mencapai 216 knot atau 400 kilometer sejam. Jika berlaku di kawasan lautan, taufan ini akan menyebabkan ombak besar dan gulungan ombak sehingga menenggelamkan kapal laut besar. Taufan ini dikenali sebagai siklon tropika atau siklon sederhana dunia. Bagi memahami kejadian angin ribut, taufan atau siklon, kita perlu ada imaginasi kuat menggambarkan teori geosains. Angin ini terdiri daripada satu kumpulan udara yang berbentuk seperti satu bulatan dinamai sebagai bulatan siklon. Bulatan siklon ini biasanya bergerak mengikut arah tetap iaitu dari barat ke timur planet bumi. Tenaga yang menggerakkan siklon ini diperoleh daripada air laut panas. Udara panas (biasanya di kawasan tengah lautan) yang bertekanan tinggi ini akan naik ke atmosfera seterusnya akan bergerak ke arah kawasan bertekanan rendah iaitu kawasan daratan dan apabila sampai di tengah-tengah benua dan berbukit, angin ini akan semakin lemah dan lenyap kerana faktor halangan tanah tinggi atau kawasan pergunungan. Ada dua jenis siklon iaitu siklon tropika dan siklon sederhana.

Siklon tropika

Siklon tropika diimaginasikan seperti bentuk bulatan dengan daya tekanan curam, anginnya kencang dan kawasan tengah bulatan ini biasanya hujan sangat lebat dengan suhu sama di sekitar bulatan itu. Siklon sederhana pula digambarkan berbentuk bujur telur dan kurang kecuraman tekanannya berbanding siklon tropika. Angin siklon bertekanan tinggi jika tidak sempat lemah apabila sampai di kawasan daratan disebabkan kepanasan kawasan laut, siklon ini akan mampu meranapkan bangunan, objek, tumbuhan, pantai dan sebagainya yang menjadi laluannya. Pada ketika inilah berlakunya angin ribut atau taufan.

Di Asia Tenggara, negara yang pernah mengalami kejadian ribut besar ialah di Filipina pada tahun 1978. Taufan Rita mengorbankan 100 orang. Di kawasan Asia Tenggara ini, angin bertekanan tinggi (siklon) yang menyebabkan ribut bermula dari kawasan lautan Pasifik dikenali Monsun Timur Laut dan berlaku sekitar November hingga Mac. Ribut Greg di Sabah pada tahun 1998 adalah lanjutan siklon ini. Di Malaysia, ribut yang disebabkan siklon kurang memberi kesan kerana faktor kedudukan negara ini yang dikelilingi pulau seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Kepulauan Irian Jaya, pulau Filipina dan semenanjung Indo-China yang menjadi halangan muka bumi semula jadi. Namun begitu, angin siklon bertekanan tinggi dari timur itu kadangkala tidak sempat menjadi lemah (teori tidak menjadi) walaupun terdapat halangan pulau atau benua kerana dibantu oleh keadaan kepanasan kawasan Lautan Pasifik, Laut China Selatan, Laut Sulu dan mungkin juga Laut China Utara. Dengan suhu bertekanan tinggi itu membolehkan ia sampai ke Pantai Timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor) dan juga pantai timur dan utara Sabah dan Sarawak. Siklon ini menurunkan hujan lebat berserta angin ribut. Tidak mustahil kawasan ini berisiko banjir, bah (air melimpah) dan ribut.


Banjir yang melanda Pantai Timur Semenanjung lazim

Aktiviti manusia bantu kejadian bencana alam

Aktiviti manusia di bumi sama ada kecil atau besar sangat membantu kejadian bencana alam. Satu kajian menyebut, sebatang pokok dapat menyerap 400 gelen air. Bayangkan jika beratus ribu pokok ditebang, ke manakah air yang dikandungnya? Tentulah air ini tidak terserap dan menjadi 'larian air' di permukaan tanah yang memberi kesan hakisan, mendapan dan perubahan fizikal tanah.

Dalam sesuatu keadaan, angin lazim iaitu angin monsun barat daya, monsun timur laut, angin baratan, angin sumatera dan angin perantaraan (antara monsun) boleh bertembung atau bercantum sesama sendiri dan menjadi tidak stabil. Akibatnya, angin-angin ini menjadi berpusing-pusing lalu berlakulah apa yang dipanggil angin puting beliung. Tidaklah hairan, kawasan di luar sistem angin pada satu-satu musim monsun, berlakunya kejadian ini. Buktinya, ketika Pantai Timur Semenanjung mengalami tekanan udara (siklon) dari Monsun Timur Laut yang tinggi yang mana banjir, bah dan ribut terjadi, kawasan Pantai Barat yang sepatutnya reda daripada tiupan Monsun Barat Daya pula mengalami puting beliung pada akhir Disember lalu walaupun tidak meranapkan harta benda kerana laluannya atau sistem pusingannya berlaku di atmosfera.

Kesimpulannya, manusia perlu berfikir mengenai kebesaran kuasa Allah yang menjadikan sesuatu itu.

"Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendakkan sesuatu maka Dia hanya mengatakan kepadanya: Jadi, maka jadilah ia" (Surah Al-Baqarah ayat 117).

Manusia juga disuruh berfikir bagaimana bencana alam atau malapetaka alam itu terjadi. Sains dan geografi telah banyak memberi bukti dan bukan sahaja teori, malah praktikalnya. Allah SWT telah menunjukkan dengan jelas. Rakaman satelit dan ramalan pakar kaji cuaca semuanya hampir benar belaka, tetapi berapa ramai berfikir dan mengambil iktibar?

"Sesungguhnya, dalam kejadian langit dan bumi serta bersilih gantinya malam dengan siang itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah, bagi orang-orang yang suka berfikir" (Surah Ali-Imram ayat 190).

"Apakah mereka tidak memperhatikan pada unta, bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan juga bumi, bagaimana ia dikembangkan? Maka dari itu berikanlah peringatan kerana engkau itu hanyalah seorang yang bertugas memberi peringatan" (Surah Al-Ghasiah ayat 17 hingga 21).

Memperketat kawalan moral

SEKITAR 2005 dan 2006 hangat diperkatakan tentang undang-undang moral. Ramai yang menyuarakan pandangan agar moral manusia tidak boleh dikawal oleh undang-undang. Moral merupakan hak individu yang tidak boleh dikongkong oleh undang-undang.

Bagi menghalang kemungkaran 
yang menjadi punca pelbagai bencana berlaku

Pelbagai gejala maksiat semakin berleluasa akibat kelonggaran kawalan moral. - Gambar hiasan

Terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk memilih jalannya sendiri walaupun jalan tersebut melanggar batasan moral masyarakat. Laungan menyahjenayahkan perlanggaran moral tidak berhenti tetapi menjadi agenda yang lebih besar sejak kebelakangan ini.

Golongan ini melihat undang-undang semata-mata daripada kaca mata Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu, menentang penggunaan undang-undang bagi memaksa mengikuti nilai-nilai yang tertentu.

Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Ia merupakan pekerjaan Tuhan dan manusia tidak harus mencampuri urusan tersebut. Isu dosa adalah isu antara seorang hamba dengan Tuhannya dan kerajaan tidak harus campur tangan, ujar golongan ini.

Oleh itu, undang-undang dikatakan tidak boleh menghalang perbuatan bersekedudukan antara lelaki dan wanita, berzina ataupun melakukan maksiat. Ia merupakan hak individu itu sendiri dan tidak boleh dipertikaikan. Di manakah konsep amar maaruf nahi mungkar?

Sejak itu kawalan moral masyarakat telah begitu longgar kerana tentangan yang diberikan terhadap undang-undang kawalan moral. Natijahnya, kita dapat lihat saban hari muda-mudi sudah tidak segan silu melakukan maksiat walaupun di khalayak umum.

Sering hujah yang dikeluarkan ialah kerajaan tidak boleh mengintip perlakuan salah masyarakat. Kisah Saidina Umar sering didamba sebagai outoriti ini. Namun sebenarnya golongan ini tidak pernah membaca Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah yang digubal bagi menjamin hak peribadi rakyat.

Yang lebih membimbangkan gejala pembuangan bayi begitu menjadi-jadi dewasa ini. Ia bukan berlaku sekali sahaja tetapi tidak putus-putus diulangi.

Tanpa naluri kemanusiaan bayi yang dilahirkan dan baru sahaja melihat dunia telah dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa yang dilakukan oleh ibu bapa bayi itu.

Bayi yang tidak berdosa itu menjadi mangsa dan hak mereka untuk hidup di dunia telah dihakis oleh ibu bapa yang tidak berperi kemanusiaan itu. Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas daripada hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesannya, namun sudah pasti di akhirat kelak perbuatan mereka ini akan dibalas dengan azab seksaan-Nya.

Keruntuhan moral

Gejala membunuh bayi ini begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada perasaan malu lagi berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang di kalangan masyarakat.

Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja di parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi norma di sesetengah tempat.

Malah orang yang menegur pula dikatakan sebagai ketinggalan zaman, ekstrem dan fanatik agama. Sebarang tindakan yang diambil dianggap sebagai melanggar hak asasi dan privasi seseorang. Walaupun salah satu Rukun Negara adalah Kesopanan dan kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan dalam konteks Rukun Negara ini juga. Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, dan apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan.

Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Jika diteliti dengan mendalam gejala pembuangan bayi ini ia merupakan isyarat jelas daripada Allah kepada orang yang menentang agama-Nya. Musibah yang melanda negara ini perlu difikirkan dengan fikiran yang terbuka dan penuh keinsafan.

Petanda ini seharusnya kita akur dan bertindak segera sebelum negara menjadi hancur musnah dengan muda-mudi yang tidak keruan dan menyimpang daripada ajaran agama.

Sudah terbukti akibat daripada melonggarkan kawalan moral ini telah mengakibatkan gejala-gejala yang begitu menyedihkan saban hari berlaku. Yang peliknya pula di mana perginya pejuang-pejuang hak asasi apabila bayi yang tidak berdosa itu dibunuh, dibakar, mayatnya dijinjing anjing dan sebagainya?

Sepatutnya mereka perlu menggarap formula yang berkesan bagi menangani gejala yang berleluasa ini dengan segera. Namun apa yang berlaku ialah sehingga hari ini jalan penyelesaian gagal dicari bagi menangani gejala sosial ini.

Pada pendapat saya, jalan penyelesaiannya memang telah lama wujud cuma ia sengaja dipinggirkan. Kembalilah kepada agama Islam bagi menemui jalan penyelesaian. Kawalan moral perlu diperketatkan bagi membanteras gejala sosial dan dengan sendirinya akan melahirkan generasi yang mantap berteraskan kepada al-Quran dan sunnah, seterusnya dapat memacu pembangunan negara dengan kualiti tersebut.

Saya hairan kenapa masih ramai yang tidak melihat Islam sebagai jalan penyelesaiannya walaupun telah dibuktikan dalam banyak keadaan pendekatan Islam merupakan jalan terbaik dalam menyelesaikan banyak isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang semakin meruncing akhir-akhir ini.

Sementara masa masih lagi menyebelahi kita. Oleh itu, kita harus segera bertindak menyelesaikan kemelut sosial ini mengikut lunas-lunas Islam. Apabila sudah terlambat nanti sudah tidak ada gunanya mencari penyelesaian tersebut.

Bahang masalah sosial ini amat dirasai ketika ini, penyelesaian yang dicari hendaklah bukan bersifat sementara sahaja tetapi kekal bagi membentuk generasi gemilang dan mempunyai daya bersaing di peringkat global.

Kesunyian 
yang ditempah

HASHIM tidak pusa hati. Dia menjerit-jerit memanggil nama Halimah. “Apa yang kau dah buat betina?,” katanya kasar. Halimah yang datang dari dapur, tiba-tiba diterkamnya bagai harimau lapar. Muka Halimah ditampar-tampar. Tiada sedikit ruang pun diberikan kepada Halimah untuk bertanya apa sebenarnya yang berlaku.

Setelah puas memukul dan memaki hamun Halimah, Hashim dengan muka bengisnya keluar meninggalkan rumah. Anak-anak yang terdiam melihat perlakuan ayahnya berlari mendapatkan Halimah sebaik sahaja Hashim berlalu. Masing-masing saling berpelukan dan menangis.

Meniti saki baki usia sendirian kerana lupa melakukan persediaan di hari tua

APA yang dilakukan di waktu muda, kesannya akan juga dirasai pada penghujung usia. – Gambar hiasan

Bukan sekali dua Halimah diperlakukan sedemikian. Hashim seakan hilang pertimbangan, apabila apa yang dihajatinya tidak dipenuhi. Bahkan kerana salah faham pun, Halimah akan menjadi mangsanya. Halimah dipanggil dengan pelbagai gelaran termasuk babi! Luluh hati Halimah mendengarnya.

Dia bukan binatang yang selayaknya menerima panggilan seumpama itu. Dia manusia yang juga punya perasaan. Namun Hashim tidak pernah untuk ambil tahu semua itu.

Pernah juga tergerak di hati untuk meminta cerai. Tetapi sebaik melihat dua pasang mata anak-anaknya yang masih kecil, mana mungkin Halimah sanggup hidup sendiri membesarkan anak-anaknya.

“Mak, jom kita lari”. Ungkapan itu juga bukan sekali dua Halimah mendengarnya. Sudah banyak kali. Tapi Halimah terus memujuk, “Nanti ayah akan berubah,” sambil Halimah mengusap-usap kepala kedua-dua anaknya.

Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia menuruti kata-kata anaknya. Tapi dia tahu, Hashim akan terus mencarinya dan hidupnya akan sentiasa tidak tenang. Paling dirisaukan Halimah, bukan sahaja dia yang menjadi mangsa bahkan anak-anaknya.

Dia tidak mahu melihat betapa kasarnya Hashim memperlakukan anak-anaknya. Jangan silap sedikit, tali pinggang di seluarnya ditarik keluar lalu menyebat anak-anaknya tanpa belas kasihan.

Kini anak-anak Halimah telah dewasa dan membina rumah tangga masing-masing. Anak-anaknya sering mengajak Halimah tinggal bersamanya. Namun Halimah menolak. Sebaliknya Halimah punya perancangan. Tanggungjawabnya membesarkan anak-anak sudah selesai.

Malam itu Halimah dalam diam membungkus kain bajunya lalu keluar rumah membawa diri. Hashim ditinggalkan bersendirian. Bagi Halimah, inilah masa terbaik untuknya mencari ketenangan diri. Biar waktu yang menetapkan perjalanan usianya.

SEBAGAI seorang suami dan ayah yang ditinggalkan isteri dan anak-anak akibat sikap yang dilakukan perlulah mengajar diri agar belajar daripada apa yang telah terjadi. Tip kaunselor kali ini memandu pembaca agar fikir dahulu sebelum bertindak.

1 Setiap sesuatu peristiwa yang berlaku dalam hidup berkeluarga pasti ada asal usul ceritanya. Mustahil sesuatu perkara itu terjadi dengan sendiri tanpa sebab. Justeru, rendahkan ego dan kembalilah ke pangkal jalan kerana ia tidak merugikan apa-apa.

2 Orang yang mempunyai akal yang waras akan menggunakan fikiran dan perasaannya untuk menimbangkan sesuatu perkara. Apabila terjadinya sesuatu tindakan orang lain terhadap dirinya pasti ada sesuatu maklumat yang perlu difahami mengapa perkara itu terjadi dan perlu diperbaiki untuk kebaikan diri dan orang lain .

3 Orang yang bersikap keras kepala, panas baran dan tidak terbuka di atas pandangan dan nasihat orang lain hanya akan menampakkan sikap kelemahan dirinya, sekali gus menunjukkan kerendahan ilmu dan kebijaksanaannya. Bahkan akan menjatuhkan maruah diri sendiri. Mereka juga tidak akan dihormati dan dikasihani.

4 Jadikan setiap apa yang terjadi sebagai pelajaran kehidupan. Kalau kita memang bersalah, maka jangan malu untuk mengakuinya. Perkataan maaf, cukup besar kesannya kerana ia boleh melembutkan hati sesiapa sahaja. Jangan mencari 1000 alasan untuk menampakkan kebenaran diri. Lambat laun orang akan tahu mana yang benar dan salah tentang apa yang kita perkatakan.

5 Jadikan sikap keterbukaan dan tidak sombong untuk berubah sebagai amalan diri kerana sikap ini akan membuatkan diri kita dihormati dan disayangi oleh orang lain. Kita juga akan menjadi lebih tenang lapang dan riang. Hidup akan menjadi lebih bermakna dan bahagia.

LANGIT tidak selalunya cerah. Begitulah perumpamaan yang menggambarkan nasib hidup seseorang. Jika semasa mudanya penuh dengan kemewahan dan dikelilingi kesenangan, namun itu bukan jaminan kebahagiaan di hari tua.

Semuanya bergantung kepada nasib diri atau lebih tepat takdir yang ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Ada orang ketika mudanya dipenuhi dengan pelbagai nikmat dunia seperti wang ringgit dan harta yang melimpah serta anak-pinak yang sentiasa mendampingi diri. Namun di saat usia beransur senja pelbagai dugaan datang menimpa sehingga hidup sebatang kara.

Inilah yang berlaku kepada mereka yang lupa melakukan persediaan di hari tua. Seperti kisah minggu ini nasib seorang ayah yang hidup melarat seorang diri menanggung kesusahan apabila isteri dan anak-anak meninggalkannya akibat ‘dosa lampau’ yang pernah dilakukan.

Sikap ayah yang panas baran, kaki pukul serta bibir yang sentiasa basah dengan kata-kata maki hamun, telah menghiris banyak jiwa terutama orang yang paling hampir dengannya – isteri dan anak-anak.

Bagi yang tidak mengetahuinya, apabila anak-anak mengambil sikap menjauhkan diri serta isteri pula tidak mahu lagi pulang ke rumah, pastinya mereka akan digelar isteri dan anak derhaka. Namun aib keluarga bukan untuk dicanang. Segala penderitaan disimpan demi maruah keluarga.

Dan apabila masing-masing sudah boleh berdikari, inilah masa terbaik untuk menjauhkan diri daripada kesengsaraan yang ditanggung selama ini. Cukuplah pengalaman yang penuh dengan penderitaan dan biarlah ia menjadi cerita keluarga yang amat memeritkan.

Hakikatnya, fenomena warga emas yang ditinggalkan isteri dan anak-anak bukan lagi luar biasa pada hari ini. Lihat sahaja di pusat-pusat perlindungan warga emas, berapa ramai yang menghabiskan masa bersendirian di sana?

Sekalipun cerita setiap orang itu berbeza, namun tidak dinafikan, angkara perbuatan ketika zaman muda, kini hukuman itu berbalas. Yang pasti cerita sebenar di sebalik ‘kesunyian yang ditempah’, hanya empunya diri yang tahu.

Namun, orang sedemikian, ada kalanya egonya terus meninggi. Kesilapan yang dilakukan sukar untuk diakui. Yang nampak hanya salah orang lain. Menyukarkan lagi keadaan, nasihat dan pandangan yang diberikan ditolak mentah-mentah. Justeru, usaha menyalahkan orang lain, andai sikap masih tidak mahu berubah.

Lebih memburukkan keadaan, cerita sebenar cuba disembunyikan. Biar nampak salahnya pada orang lain. Justeru, mereka yang pernah mendengar luahan seumpama ini, berhati-hatilah kerana kita tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

Ingat, Allah SWT pernah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Dalam hal ini Islam sentiasa menitikberatkan aspek kebenaran dan kesahihan maklumat yang diterima. Ini supaya manusia tidak terjebak dengan fitnah yang akhirnya memudaratkan diri.

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita agar sentiasa berkata benar dan tidak menipu orang lain semata-mata untuk mendapatkan simpati manusia. Orang yang berbohong di sisi Islam ialah orang yang munafik sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik itu tiga, apabila dia berbicara, dia dusta, apabila dia berjanji, dia menyalahi janjinya, apabila dia diberi amanah, dia khianat.”

Khutbah Jumaat ~ Kecelaruan Budaya

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 16 Januari 2015M / 25 Rabiulawal 1436H JAWI

Kecelaruan Budaya


Islam datang membawa rahmat ke segenap pelosok dunia.

Kedatangan Islam di tanah Melayu suatu ketika dahulu telah banyak mencorakkan budaya masyarakat yang sopan santun, berbudi bahasa, pemalu, merendah diri dan sebagainya.

Islam tidak menghalang umatnya berhibur tetapi mestilah ada batas-batas dan panduannya.

Segala bentuk hiburan yang tidak bercanggah dengan
syariat Islam adalah diharuskan.

Namun, akhir-akhir ini budaya berhibur
secara melampau atau hedonisme telah merebak di kalangan remaja Islam.

Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Ibnu Majah daripada Abu Malik al-Asy’ari RA :

Bermaksud : “Akan ada dari umatku segolongan manusia yang meminum arak dengan mereka menamakannya dengan nama lain, kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi.”

Ambillah langkah-langkah berikut sebagai panduan dan iktibar kita bersama :

Pertama : Peranan ibu bapa.

Sentiasalah memastikan jiwa anak-anak diisi dengan santapan rohani yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 67: Bermaksud : “Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”

Kedua : Peranan pemimpin masyarakat dan pihak berwajib

Ambillah tindakan sekiranya terdapat segelintir individu yang melanggar undang-undang seperti perlakuan tidak sopan di khalayak ramai.

Ketiga : Peranan anggota masyarakat.

Difirmankan dalam surah al-Maaidah ayat 79 : Bermaksud : “Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

Keempat : Peranan badan bukan kerajaan.

Setiap badan bukan kerajaan atau NGO perlu memberi sokongan kepada pihak berwajib dalam memberi kefahaman kepada anak-anak muda mengenai bahaya budaya hedonisme yang melampau.

Kelima : Peranan ahli-ahli akademik dan pendidik.

Berilah tarbiah, panduan dan tunjuk ajar yang baik kepada anak-anak muda di samping menunjukkan tauladan yang baik kepada mereka.

Difirmankan Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104. Bermaksud : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Kesimpulan daripada khutbah pada hari ini :

Pertama : Islam tidak mengharamkan hiburan tetapi mestilah menepati kehendak dan aturan syariat.

Kedua : Kecelaruan budaya di kalangan anak-anak muda menyebabkan kemusnahan akhlak dan jati diri Islam dalam jiwa mereka.

Ketiga : Peliharalah diri, isteri dan anak-anak daripada fitnah musuh-musuh Islam yang dibawa melalui budaya berhibur tanpa batasan.


Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6 : Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Transformasi Diri

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 16 Januari 2015/ 26 Rabiulawal 1436H JAKIM

Transformasi Diri


Transformasi atau perubahan merupakan satu aturan dalam hidup dan merupakan perkara yang amat penting apabila kita ingin mencapai sesuatu kemajuan dan kecemerlangan.

Transformasi merupakan satu penghijrahan, peralihan iaitu melakukan perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 69:

Maksudnya:Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.

Pakar motivasi telah menyarankan beberapa langkah proaktif untuk mencapai matlamat antaranya ialah dengan melaksanakan analisis SWOT (Strengths, Weakness, Opportunies, Threats).

Sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11: Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.

Mereka yang ingin melaksanakan tranformasi diri menilai beberapa aspek penting antaranya:

Pertama: kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan,

Kedua: Pengorbanan yang sebenar,

Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain.


Pesanan Rasulullah SAW ini,

Pertama: Sebagai pemimpin perlulah meletakkan pengukuran kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara selari dengan pemerkasaan rohani (spiritual) modal insan agar kegemilangan tamadun Islam terdahulu dapat diulangi.

Kedua: Sebagai ibu bapa kita perlu meletakkan keharmonian rumahtangga sebagai satu matlamat. Rumahtangga ibarat ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan .

Ketiga: Sebagai individu muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41:

Bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 111:

Maksudnya:Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga.

Wallahualam.