January 16th, 2015

Wasatiyyah, solidariti pasca banjir

DALAM kehidupan setiap manusia, hakikatnya ki­ta tidak dapat lari daripada menerima ujian yang berbeza mengikut kemampuan diri sendiri. Ada diuji dengan kemiskinan, kekayaan, kesakitan, kehilangan orang tersayang dan bala bencana. Kita juga perlu memahami bahawa ujian Allah SWT boleh datang dalam bentuk nikmat kebaikan dan musibah berbentuk kesusahan. Sama ada bersyukur atau kufur terhadap Allah, musibah pula untuk melihat sama ada manusia sabar menanggungnya atau cepat berputus asa.


Sebahagian murid tidak memakai pakaian seragam kerana rumah mereka terlibat dalam banjir besar memulakan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi, Tanah Merah, Kelantan, pada Ahad lalu. – utusan/JAZALY AMRY JAAFAR

Keimanan dan kesabaran seseorang hanya akan lahir tatkala diuji Allah SWT seperti firman-Nya dalam Surah al-Ankabut ayat 2-3: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu sebelum mereka, agar diketahui Allah, siapa yang sebenar-benarnya beriman,dan nyata pula sesiapa yang berdusta.”

Justeru segala ujian sebegini adalah daripada Allah SWT. Ia mestilah ditempuhi dengan penuh kesabaran agar mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 157: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.

Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Kemusnahan akibat ‘bah kuning’ di Kelantan adalah sangat besar. Ia dianggarkan berjumlah hampir RM 1 bilion. Dianggarkan lebih RM200 juta kerugian infrastruktur dan aset awam akibat banjir yang melanda. Nilai sebenar kemusnahan itu dijangka lebih besar setelah semua agensi berkaitan mengemukakan laporan masing-masing.

Malapetaka ini menguji kita semua terutamanya mangsa yang mengalami kemusnahan harta benda dan turut mempengaruhi psikologi mereka. Sokongan moral kepada keluarga yang terjejas amat diperlukan. Kemurungan yang me­landa mangsa banjir itu hanya boleh diubati apabila mereka merasakan ada orang sekeliling prihatin dengan apa yang terjadi.

Mangsa-mangsa yang terjejas ini perlu diingatkan untuk terus ber­syukur kerana mereka masih diberi kesempatan untuk hidup walaupun berdepan dengan musibah besar. Mereka tidak seharusnya ditinggalkan bersendirian.

Dalam waktu beginilah, seluruh rakyat perlu bangkit secara spontan memperkuatkan solidariti atas dasar tanggungjawab untuk membantu rakyat senegara yang terjejas teruk akibat bencana, mengikut kemampuan masing-masing. Rakyat Malaysia perlu bersatu bukan sahaja untuk solidariti Melayu dan bumiputera, tetapi yang paling penting adalah solidariti rakyat Malaysia.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menghilangkan salah satu kesusahan dunia dari seorang mukmin maka Allah menghilangkan salah satu kesusahan hari kiamat daripadanya, sesiapa memberi kemudahan kepada orang yang kesulitan maka Allah memberi kemudahan padanya di dunia dan akhirat, dan sesiapa menutup aurat seorang muslim maka Allah menutup auratnya di dunia dan akhirat. Allah menolong hamba-Nya, selagi hamba tersebut menolong saudara-nya.” - Riwayat Muslim.

Inilah nilai solidariti ummah yang dianjurkan oleh Nabi SAW mencakupi kehidupan semua lapisan masyarakat manusia bertunjangkan sifat al-Rahim Allah SWT.

Pemulihan terutamanya di Kuala Krai dan Gua Musang memerlukan kerjasama semua pihak mencari jalan membantu pemulihan pasca banjir. Rakyat amat mengalu-alukan jalinan kerjasama penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Antara Kerajaan Persekutuan (BN) dan Kerajaan Negeri (Pas) terutamanya dalam usaha membangunkan semula negeri itu.

Jawatankuasa ini:

* Perlu memastikan semua mangsa banjir terutamanya yang kehilangan tempat tinggal mempunyai kediaman buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan.

* Perlu mengkaji semua aspek pembangunan negeri yang mesti merangkumi aspek penerokaan dan penempatan di kawasan penampan, hulu sungai, hutan simpan dan sebagainya.

* Hasil kajian mesti diperjelaskan untuk menyedarkan semua pihak supaya menjaga alam sekitar dan khazanah biodiversiti alam ini, sekali gus merupakan petanda baik kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri yang prihatin kepada semangat persekutuan.

Inilah iktibar yang dapat kita lihat dengan jelas apabila alam berbicara dengan kita. Musibah ini mempunyai hubung kait dengan perbuatan manusia terhadap alam yang diamanahkan oleh Allah kepada kita sebagai khalifah-Nya.

Melalui pendekatan wasatiyyah yang bererti kesederhanaan, berimbang, adil dan cemerlang , aspek keredaan Tuhan amat ditekankan dalam sesuatu dasar pembangunan.

Melalui pendekatan wasatiyyah dalam pembangunan lestari, tiga entiti utama dalam pembangunan mesti difahami dan diletakkan dalam fungsinya yang sebenar iaitu keredaan Tuhan, tidak berpaksikan kepada nafsu manusia semata-mata dan berlaku adil kepada alam.

Kegagalan menggabungkan fung­si ketiga-tiga entiti ini akan menyebabkan kecacatan dalam pembangunan tersebut.

Secara umum, pendekatan wasatiyyah dalam konteks pembangunan lestari perlu seimbang antara tuntutan yang ekstrem iaitu tuntutan pembangunan di dunia dengan pembangunan untuk ke hari akhirat; tuntutan pembangunan diri dengan tuntutan pembangunan sosial; pembangunan rohani de­ngan pembangunan jasmani, penero­kaan dan eksploitasi alam mengikut landasan yang sebenarnya.

Apa yang sebenarnya sedang berlaku sekarang merupakan natijah daripada ketidaklestarian alam kerana rakusnya manusia memba­ngunkan alam ini secara ekstrem dan tidak seimbang.

Inilah waktunya kita meneguhkan keutuhan solidariti rakyat Malaysia membantu rakan senegara dan merealisasikan pendekatan wasatiyyah dalam pembangunan negara. Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.

Kepura-puraan yang memualkan

JULAI lalu, kita dikejutkan dengan satu lagi pembunuhan kejam rakyat Palestin oleh Israel. Dalam hanya 51 hari, lebih 2,300 orang rakyat Palestin dibunuh, termasuk kanak-kanak dan lebih 500 wanita. Sekolah dibinasakan, hospital dihujani peluru dan keluarga dipecahbelahkan. Itu belum kita berbicara tentang nasib lebih 10,000 orang lagi yang tercedera hasil kekejaman rejim zionis Israel tersebut.

Awal minggu ini, kita dibedik kemualan pula apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atau Bibi berada di barisan hadapan perarakan perpaduan di Paris ekoran serangan dan pembunuhan kejam di ibu pejabat Charlie Hebdo. Lebih memualkan, seorang pemimpin yang kononnya pencinta keamanan ini telah bertanggungjawab ke atas kematian hampir 17 wartawan tidak bersalah oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Nampak jelas kepura-puraan yang tiada tandingan.

Namun, seperti kebiasaan, semua sudut pemikiran berkaitan kekejaman di Charlie Hebdo tampaknya salah orang Islam. Memang benar pembunuhan dijalankan oleh tiga ekstremis Muslim, tetapi lupakah dunia seorang polis Muslim juga telah kehilangan nyawa mempertahankan kebebasan wartawan-wartawan Charlie Hebdo yang kerap kali menghina rasul umat Islam?

Bukan itu sahaja, dunia beranggapan bahawa pembunuhan ini menguntungkan umat Islam. Siapa sebenarnya yang paling untung hasil kekejaman ini? Adakah ia umat Islam yang kini dipandang hina ibarat semuanya pembunuh kejam dan ekstremis, walaupun hampir semua Muslim mengutuk keras pembunuhan yang dijalankan? Adakah pemenang sebenar 1.6 bilion umat Islam yang tak senang duduk di tempat awam, dipandang dengan kecurigaan oleh orang lain khususnya di negara-negara Barat?

Kekejaman kali ini menampakkan sekali lagi seolah-olah umat Islam yang bersalah. Bila kartun-kartun hasil karya wartawan Charlie Hebdo menghina Islam, dunia sentiasa mengungkit bagaimana ia dilakukan atas nama kebebasan bersuara. Umat Islam juga menanggung malu dan menahan sabar. Dan bila hanya tiga orang umat Islam bertindak keterlaluan, sekali lagi umat Islam menanggung herdikan dan generalisasi buruk yang dibina masyarakat dunia.



Sebahagian penduduk Perancis memegang kertas bertulis `I am Charlie’ sebagai memberi penghormatan kepada mangsa serangan di pejabat Charlie Hebdo yang membunuh 12 orang pada 7 Januari lalu. – AFP

Adakah ini adil?

Apabila agama Islam dihina, semua dihalalkan dek kebebasan bersuara. Jika umat Islam marah, dikatakan jangan kerana kebebasan bersuara. Namun adakah dunia menghormati kebebasan bersuara umat Islam? Adakah dunia memperjuangkan kebebasan bersuara sepertimana yang mereka inginkan daripada umat Islam?

Apabila wanita Islam berpurdah dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan didenda RM700 di Perancis, di mana pejuang kebebasan ekspresi? Jika benar kebebasan bersuara diperjuangkan, kenapa bila ada umat Islam mengutuk kekejaman Israel, ada yang dianggap rasis dan tidak objektif? Dunia tidak mempersoalkan pula 16 negara yang menghalang sesiapa menyangkal wujudnya ‘Holocaust’? Lebih menarik, hampir semuanya negara Eropah. Ke mana hilangnya kebebasan bersuara yang digembar-gemburkan untuk menghalalkan kutukan terhadap umat Islam?

Kepura-puraan ini amat memualkan

Hal ini sungguh jelas di Malaysia. Apabila ada orang Islam menghina agama lain, maka gegak-gempitalah sesetengah puak menjerit “tindakan perlu diambil!”. Tetapi puak yang sama ini juga mengutuk Akta Hasutan dan memperjuangkan kebebasan bersuara apabila Alvin Tan menghina Islam ketika bulan Ramadan.

Baru-baru ini pula kita dikejutkan dengan Eric Paulsen yang menuduh Jabatan Kemajuam Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyebar elemen ekstremis semasa khutbah Jumaat setiap minggu. Namun ada yang mempertahankan Eric kononnya dia bebas dan berhak untuk memperkatakan apa sahaja.

Ada yang menganggap kononnya Islam ini mudah paranoid – kononnya kita sentiasa takut orang lain ada agenda ingin menjatuhkan Islam. Namun apabila ada segelintir umat Islam yang tidak membenarkan yang lain mengucapkan selamat hari natal kepada rakan Kristian, orang yang sama bangkit marah dengan sinisan dan kutukan – sampai ada yang mengaitkan kononnya ia agenda kerajaan untuk memajukan Islam – tanpa rasional.

Jika kita ingin terus hidup dalam keamanan, baik Muslim atau yang menganuti agama lain, kepura-puraan ini perlu dihentikan terutamanya dalam kalangan pejuang kebebasan bersuara. Jika benar dan ikhlas, perjuangkanlah kebebasan itu untuk semua, dengan batasan. Jangan hanya lantang bersuara dengan menggunakan alasan kebebasan bersuara untuk mengutuk dan menghina Islam.

Tak kan hanya kerana Islam agama majoriti di Malaysia, standard kebebasan bersuara yang digunapakai untuk orang Islam lebih rendah berbanding lain? Jika tidak, kebebasan bersuara dengan hadlah jawapannya sehingga bila-bila. Jika tindakan yang diambil kerajaan lebih konsisten, kebebasan terhad inilah perisai keharmonian negara – selagi kita kekal ‘double standard’ dalam memperjuangkan had kebebasan bersuara mutlak.

Jika kita mahu kerajaan membenarkan kebebasan bersuara tanpa had, kita ditagih untuk berlaku adil dalam memperjuangkan konsep tersebut. Jika yang kutuk Islam sahaja dipertahankan tetapi orang Islam yang melakukan perkara sama dihina, dicaci dan hendak dihumban ke penjara – bukan hanya perpaduan yang dikejar tak dapat, keamanan yang dikendong juga lama-lama akan keciciran. Insiden di Perancis akibat keangkuhan Charlie Hebdo atas alasan kebebasan bersuara harus dijadikan pengajaran dan peringatan buat kita semua. Penulis ialah Naib Ketua Pemuda umno Malaysia.

Dr. Asri dilantik semula Mufti Perlis?

KANGAR 15 Jan. - Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dijangka dilantik semula sebagai Mufti Perlis bagi menggantikan Dr. Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya pada tahun lalu.
Pengumuman mengenai pelantikan Mohd. Asri, 44, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Menurut sumber, sekiranya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan dengan pelantikan tersebut, ini bermakna jawatan itu adalah kali kedua buat Mohd. Asri.

“Bagi Exco dan kerajaan negeri, mereka bersetuju dengan apa sahaja keputusan Tuanku termasuk jika memilih semula Mohd. Asri yang berpengalaman luas dalam agama Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Mohd. Asri Zainul Abidin

Kata sumber, sebelum ini terdapat beberapa calon anak tempatan yang dikatakan akan mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Mohd. Asri yang memiliki ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam Pendedahan Pengetahuan dan Warisan (Al-Quran dan Sunah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2003 dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda.

Beliau yang juga dikenali sebagai Dr. Maza merupakan seorang penceramah yang sering diselubungi kontroversi antaranya termasuk ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Beliau juga telah menulis puluhan buku dan ratusan rencana serta membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Cabaran didik lidah bercakap benar

Ustazah Norhafizah Musa mengajak umat Islam supaya bermuhasabah diri dengan sentiasa bersikap jujur. Bagaimana untuk meluruskan lidah, sentiasa bercakap benar, ikuti kupasan beliau dalam program Usrati

Apakah yang menjadi punca kepada hati seseorang yang sentiasa tidak jujur? Anas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga lurus (lebih dahulu) hatinya. Dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya. Yang menjadi punca kepada hati seseorang yang tidak lurus adalah daripada lidahnya."

Program Usrati bersama Ustazah Norhafizah Musa mengajak umat Islam supaya bermuhasabah diri dengan sentiasa bersikap jujur. Setiap orang sama ada sedar atau tidak, mungkin ada masanya tidak bercakap benar. Jadi bagaimanakah untuk kita meluruskan lidah untuk sentiasa bercakap benar?



Rasulullah SAW menjelaskan perkara itu dalam sabda Baginda: "Apabila anak Adam memasuki waktu pagi, maka sesungguhnya setiap anggota tubuhnya tunduk kepada lidah, seraya berkata: Bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya kami bergantung kepadamu. Jika kamu lurus maka kami pun lurus. Jika kamu bengkok maka kami pun bengkok." (Riwayat at-Tirmizi)

Lidah tutup perbuatan buruk

Norhafizah mengambil contoh tingkah laku dan perbuatan buruk yang kita lakukan selama ini sentiasa ditutup oleh lidah. Kita melakukan kesalahan dengan mengambil hak orang lain dan apabila ditanya, kita berbohong mengatakan tidak.

Ini bermaksud tangan yang melakukan kesalahan dan lidah telah menutup kesalahan itu. Selama mana tangan kita tidak lurus, menjadikannya sukar bagi lidah untuk lurus.

Tidak dinafikan, setiap manusia ingin berubah ke arah kebaikan, namun kenapa begitu sukar untuk seseorang itu berubah? Ini kerana diri sudah terbiasa diselamatkan oleh lidah atas perbuatan yang tidak lurus.

Ia telah menjadi sebati dan sentiasa berasa selamat dengan berselindung di sebalik lidah yang tidak lurus tetapi lidah tidak lurus tidak akan selamat di akhirat kelak. Setiap kali melakukan kesalahan dan setiap kali itu kita berselindung dengan lidah yang tidak lurus, maka kita lebih menjauhkan diri daripada kebaikan.

Bagaimana untuk kita berubah jika lidah sentiasa tidak lurus. Bercakap benar mungkin akan membuatkan kita ditegur atau dimarahi tetapi itu adalah sebagai satu desakan untuk seseorang berubah ke arah kebaikan dan kejujuran.

Apabila kita dimarahi dengan memberitahu perkara yang benar, maka kita tidak akan mengulangi perkara sama dan akhirnya berubah sedikit demi sedikit. Adakalanya lidah yang lurus mengakui kesilapan menjadi pemangkin untuk seseorang itu berubah ke arah kebaikan.

Empat perkara punca wajah kusam

Menurut Imam Syafie, terdapat empat perkara yang menjadikan wajah seseorang itu kelihatan kusam atau tidak berseri iaitu lidah yang berbohong, sedikit rasa malu, suka membuat dosa dan bertanya melulu yang hanya menunjukkan kebodohan amat sangat.

Norhafizah menganjurkan umat Islam memupuk suasana yang baik bermula dari rumah. Rumah adalah institusi kekeluargaan dan pembelajaran terbaik bermula dari ibu dan bapa sendiri. Peranan ibu bapa mendidik anak sentiasa bercakap benar dan mewujudkan persekitaran yang baik serta harmoni.

Dengan cara itu, orang di sekeliling juga akan mula bercakap benar dan akhirnya membentuk suasana yang menjiwai kejujuran. Namun tidak dinafikan cabaran membentuk lidah menjadi lurus bukanlah satu perkara mudah.

Beliau menyarankan supaya sentiasa menghargai kejujuran seseorang supaya anak, pasangan, orang yang rapat dengan kita, malah masyarakat akan terbina untuk menjadi orang jujur. Malangnya, yang berlaku di sekeliling ialah kita menghukum mereka yang bercakap jujur.

Setiap manusia melakukan kesilapan dan mengakui kesilapan itu adalah satu perkara yang amat berat. Maka, hargailah mereka yang bercakap jujur walaupun apabila melakukan kesilapan. Jika seseorang yang bercakap jujur itu dimarahi dan diherdik, maka mereka akan kembali bercakap bohong.

Jiran tetangga yang sentiasa berbohong menjejaskan kerukunan dan meretakkan hubungan. Sebagai jiran kita patut menyelidik dan menjelaskan perkara sebenar yang telah berlaku supaya hubungan dapat diperbaiki kembali.

Berdiam diri akan memburukkan lagi keadaan dan berkemungkinan besar boleh memutuskan hubungan silaturahim sesama jiran.

Cara kuatkan semangat, iman

Norhafizah berkata, bagi menguatkan semangat dan iman kita untuk berubah, kita perlu meletakkan diri sebagai orang yang ditipu. Adakah kita akan berasa gembira atau sedih apabila mengetahui diri telah ditipu? Sudah pasti kita tidak akan gembira dan begitu jugalah orang lain, sudah pasti tidak mahu ditipu.

Maka kita akan lebih mencuba untuk tidak bercakap bohong dan sentiasa meluruskan lidah dalam apa juga keadaan sekalipun.

Seseorang yang bercakap bohong diibaratkan seperti seorang yang bercakap mengeluarkan bau sangat busuk sehinggakan tidak ada seorangpun sanggup berada di hadapannya untuk mendengar kata-katanya itu. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang hamba berdusta dengan satu pendustaan, maka malaikat akan melarikan diri daripadanya sejauh sebatu lantaran bau busuk pendustaannya itu."

Kenyataan provokatif Paulsen terhadap JAKIM bahayakan negara

Pelbagai reaksi dapat dilihat selepas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menulis Twitter kontroversi dan provokasi yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat.

Majoriti umat Islam marah dan kesal terhadap sikap prejudis Paulsen itu, lantas menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peguam pro pembangkang itu termasuk disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro Islam.


Inti pati khutbah disampaikan khatib menyeru umat Islam kepada perkara kebaikan. - Gambar hiasan

Kesan daripada Twitter provokatif itu, imej JAKIM, Islam dan umat di negara kini tercalar kerana apa yang Paulsen catatkan itu seolah-olah memberi gambaran apa yang didakwa itu wujud sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Di sini, sukar untuk menolak andaian bahawa tulisan di dalam Twitter itu tidak mempunyai unsur prejudis terhadap JAKIM, Islam dan umatnya iaitu sebagai pihak yang didakwa mempromosikan ekstremisme walaupun Paulsen dalam laporan polisnya menegaskan beliau hanya merujuk kepada pihak JAKIM semata-mata ketika menulisnya dan bukan bertujuan menghina Islam.

Motif Paulsen tuduh JAKIM

Apakah motif Paulsen menuduh JAKIM sebagai 'tukang promosi' ekstremisme sedangkan ia adalah agensi yang berperanan dalam perancangan, pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan umat Islam di negara ini.

Seandainya beliau menafikan tulisan dalam Twitter menghina Islam, adakah dengan mendakwa JAKIM mempromosi ekstremisme itu tidak menghina Islam?

Bahkan, jika diteliti sedalamnya, Twitter itu secara tidak langsung menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negara, mempersenda Perlembagaan serta memperlekeh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Malah, jika diteliti secara mendalam lagi, tulisan itu seolah-olah hendak menyatakan masjid yang menjadi tempat umat Islam beribadah adalah pusat atau markas mempromosikan ekstremisme.


Keratan akhbar BH kelmarin mengenai kes Paulsen perlekeh khutbah.

Justeru, meneliti tulisan Twitter Paulsen ini, memang sukar untuk menafikan yang beliau sebenarnya merujuk kepada ibadah khusus yang wajib dilaksanakan kaum lelaki Islam setiap Jumaat iaitu mendengar khutbah sebelum solat Jumaat.

Dalam pada itu, agak aneh juga apabila Paulsen yang sebelum ini turut disangka bukan warganegara Malaysia, mendakwa JAKIM iaitu agensi di bawah JPM sebagai institusi pencetus ekstremisme.

Ia menjadi luar biasa apabila Paulsen menyatakan secara khusus Jumaat adalah hari JAKIM mempromosikan ekstremisme.

Adakah ini yang beliau fikirkan pada setiap Jumaat, umat Islam di negara ini akan diajar atau diseru menerusi khutbah untuk melakukan ekstremisme dalam konteks keganasan, bukan dalam konteks amalan dan cara hidup?


Teks Twitter yang menghina JAKIM - Gambar hiasan

Jika inilah yang dicurigai Paulsen, berapa ramaikah ekstremis sudah berjaya dilahirkan JAKIM selama ini dan berapa ramai pula rakyat Malaysia yang sudah menjadi mangsa kepada 'produk' JAKIM ini?

Bermakna, tulisan Paulsen dalam Twitternya hanya berasaskan kepada prejudis, salah sangka dan andaian semata-mata, bukannya berdasarkan bukti atau kajian imperikal.

Sepatutnya, sebagai seorang peguam, Paulsen sepatutnya lebih faham dan bertanggugjawab dalam menyiarkan apa juga pandangan, pendapat atau idea supaya ia tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sentuh sentimen agama, kaum

Lebih penting lagi, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan pandangannya itu secara umum tanpa sebarang bukti kerana ia menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman.

"Beliau seorang peguam, sepatutnya perlu bertanggungjawab dengan apa yang hendak disuarakan. Mungkin ia nukilan peribadi, tetapi sudah menjadi umum.

"Jika hendak nyatakan juga, perlulah disertakan bersama fakta atau bukti. Tidak boleh sesuka hati tulis kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dan sentimen keagamaan," kata Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Zaid Kamaruddin.

Malah, beliau mengakui hairan dengan dakwaan Paulsen itu kerana menurutnya, sepanjang mendengar khutbah Jumaat sama ada di masjid di Kuala Lumpur atau Selangor yang berada di bawah pentadbiran pembangkang, beliau tidak pernah mendengar isi kandung yang menyeru umat Islam menjadi ekstremis.

"Sebaliknya inti pati khutbah disampaikan khatib atau imam adalah menyeru umat Islam supaya bertakwa, mengerjakan amalan digariskan al-Quran dan hadis, bukan menyeru mereka supaya menjadi pengganas atau jadi jahat," katanya.

Nada berbeza disuarakan Pengerusi Biro Agama Ketua Pemuda UMNO, Azmir Yuzaini Mohd Yunos, yang percaya Paulsen sengaja membuat kenyataan bersifat provokasi untuk memburukkan imej Islam.


- Gambar hiasan

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap Paulsen yang secara prinsipnya menghina Islam secara terbuka dan menyakiti hati umat Islam di negara ini.

"Beliau sudah banyak kali menulis dalam Twitter mempersenda dan menghina Islam. Kali ini, pihak berkuasa patut mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap beliau kerana kita tidak mahu, Islam terus dihina dan dipersenda oleh individu seperti beliau," katanya.

Kenyataan boleh kelirukan masyarakat bukan Islam

Dalam isu ini katanya, beliau bimbang dengan apa yang dicetuskan Paulsen itu kerana ia mungkin boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat khasnya orang bukan Islam terhadap ajaran Islam.

"Kenyataan provokatif ini sangat bahaya untuk negara yang didiami masyarakat majmuk dan kepelbagaian anutan agama. Kita tidak mahu sikap atau perbuatan seperti ini akan menimbulkan kebencian orang bukan Islam terhadap orang Islam," katanya.

Beliau menyeru agar umat Islam bersabar dan bertenang apabila berdepan isu seperti ini serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menanganinya dengan berkesan supaya tidak berulang pada masa depan.

Begitu pun, tidak dapat dinafikan, apa yang ditulis Paulsen itu hanya berasaskan syak wasangka dan prejudis terhadap ajaran Islam yang mungkin disebabkan kejahilannya mengenai Islam atau hanya mengambil kesempatan di atas serangan pengganas di Paris, minggu lalu.

INFO: Khutbah Jumaat
* Ucapan atau seruan mengandungi nasihat, peringatan dan pengajaran berteraskan al-Quran dan hadis yang disampaikan oleh imam sebelum mendirikan solat Jumaat secara berjemaah.
* Hukumnya wajib dan menjadi satu daripada syarat sah solat Jumaat. Tanpanya, solat Jumaat tidak sah.

Rukun khutbah
* Memuji Allah
* Membaca selawat ke atas Nabi SAW
* Mengingatkan jemaah supaya bertakwa kepada Allah
* Membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran dengan lengkap
* Mendoakan kesejahteraan kaum Muslimin