January 18th, 2015

Kenapa kait ekstremis dengan khutbah Jumaat

MUKADIMAH : TINDAKAN Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen yang mengeluarkan kenyataan menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini nyata mengundang padah. Apakah yang sebenarnya ingin dijaja oleh Eric, adakah dia sengaja mahu mengundang persepsi negatif masyarakat bukan Islam kepada golongan Islam di negara ini? Jika sebelum ini kita tidak terfikir akan ada pihak yang berani mempertikaikan tentang jabatan atau agensi berkaitan agama, namun kini mereka lebih berani bertindak dengan mengusik khutbah Jumaat. Timbul persoalan apakah isu ini sengaja ditimbul oleh individu itu sendiri ataupun ada tangan-tangan ghaib yang cuba memporak-perandakan kemakmuran yang dicapai di negara yang mempunyai rakyat berbilang agama dan bangsa ini. Untuk menjawab isu ini, Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan RASDAN AHMAD telah menemu bual Mufti Wilayah Persekutuan, DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL- BAK RI bagi mendapatkan pencerahan daripada beliau tentang tuduhan yang telah dilemparkan oleh individu ini. "Faham betul-betul terlebih dahulu. Bila kita faham realiti, faham Perlembagaan, faham tentang budaya dan masyarakat, maka kita akan timbang-timbang dan tarik-tarik. Kita akan lebih bertoleransi dan sekiranya ada benda yang dituduh itu benar, kita gunakan bahasa lebih lembut daripada kita memperkatakan sesuatu yang akan jadi lebih teruk lagi, " ujar beliau ketika ditemui pada pagi Jumaat lepas.



Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

MINGGUAN : Jika dahulu ada pihak yang hanya menuduh individu tapi sekarang mereka berani menuduh agensi dan badan-badan agama termasuk isu khutbah Jumaat yang dikatakan ada unsur-unsur provokasi dan penyebab orang menjadi ekstremis?

DR. ZULKIFLI: Isu berkenaan khutbah sebenarnya menyentuh kepada prosedur atau pelaksanaan khutbah Jumaat itu sendiri. Kita di Malaysia boleh dikatakan semua negeri tidak berkhutbah tetapi baca khutbah. Kenapa kita baca khutbah? Salah satunya adalah untuk mengesahkan khutbah tersebut. Ini kerana kita bimbang takut tertinggal hukum khutbah nanti jadi rosak sembahyangnya. Keduanya mungkin tentang kepakaran-kepakaran, ada yang hebat sangat dan ada juga yang tidak mampu. Jadi jika kita selaraskan saja maklumat dan informasi yang ingin disampaikan adalah bersifat kelarasan tiadalah yang cakap terlalu rendah atau yang ini terlalu tinggi sangat.

Jadi tidak bimbang fokus kepada isu-isu tertentu tetapi akan lebih nampak terfokus sebab khutbah tersebut diseragamkan. Ketika proses membuat khutbah, panel-panel akan dilantik bahkan ada wakil seperti di Wilayah Persekutuan, ada wakil dari JAWI dan wakil dari pejabat mufti sendiri dan individu terpilih untuk menyemak khutbah. Jadi khutbah seperti itu telah menjalani beberapa tapisan berdasarkan realiti dan isu semasa yang hendak dibahaskan atau apa sahaja maklumat yang hendak disampaikan. Atas asas inilah yang saya tengok bila kita nampak maksud khutbah tersebut, maka dengan sendirinya khutbah yang dibuat oleh pihak JAWI dan Jakim dengan kerjasama pejabat mufti yang lain adalah bersifat toleransi, telus, adil lebih bersifatkan menerangkan Islam dan apakah sebenarnya syariat dan syiar Islam.

Bukan sepertimana sangkaan tuduhan bahawa ada provokasi kerana kami telah menelitinya secara adil. Yang kedua sikap menuding jari terhadap mana-mana badan terutamanya badan seperti Jakim dan JAWI ataupun institusi pengajian agama dan sebagainya, wajiblah dihentikan bahkan kalau kita rasa ada beberapa hal kurang selesa alangkah baiknya kalau kita berbincang dan bertanya sudah pasti ada jawapannya daripada kita membuat sesuatu dakwaan. Dibimbangi dakwaan tersebut amat menyeleweng dan tidak tepat dari segi faktanya. Sebab itulah alangkah baiknya kalau kita terlebih dahulu bertanya untuk mendapatkan kepastian dari segi faktanya.

Pandangan ustaz apabila pihak ini semakin berani melakukan provokasi terhadap umat Islam, adakah ini ada agenda peribadi atau ada penglibatan tangan-tangan ghaib daripada pihak tertentu atau pihak luar?

Dr. Zulkifli: Dalam isu ini secara jujurnya saya sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang ada di sebaliknya. Sebab saya mengambil satu pendekatan iaitu untuk membuktikan sesuatu maklumat kita kena sahihkan dahulu sebelum membuat sesuatu dakwaan. Jadi dengan asas Islam seperti itu, kita tidaklah terus membuat dakwaan melulu kerana kita lihat kenyataan dari sudut yang zahir. Oleh itu hukuman dan percakapan adalah berdasarkan yang zahir itu. Jadi ke arah yang lebih itu iaitu keterlibatan pihak luar saya tidak dapat menjawab.

Sepatutnya mereka lebih bertoleransi dan lebih menghormati kerana kita hidup dalam pelbagai kaum, dan masing-masing perlu faham toleransi antara agama.Apakah mereka ini kurang faham atau sengaja tidak mahu faham?

DR. ZULKIFLI: Ini satu hal yang saya nampak banyak berlaku terutamanya mungkin kurang faham. Kedua, dapatkan maklumat dan fakta tepat, dan ketiga mungkin sikap yang terletak di dalam hati yang suka berpihak-pihak. Saidina Umar sendiri bila hantar surat kepada Abu Musa selalu sebut dalam suratnya tentang fahaman.

Faham betul-betul terlebih dahulu. Bila kita faham realiti, faham Perlembagaan, faham tentang budaya dan masyarakat, maka kita akan timbang-timbang dan tarik-tarik. Kita akan lebih bertoleransi dan sekiranya ada benda yang dituduh itu benar, kita gunakan bahasa lebih lembut daripada kita memperkatakan sesuatu yang akan jadi lebih teruk lagi.

Dalam hal ini sepatutnya pihak-pihak ini berjumpa dahulu dengan jabatan agama contohnya tuan sendiri atau pihak Jakim sebelum mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah dan provokasi seperti ini, sebaliknya terus melontarkan pandangan mereka terutamanya melalui media sosial?

DR. ZULKIFLI: Kalau kita dalam ruang lingkup sesama Islam lain, tapi bila kita berinteraksi dengan sahabat-sahabat kita yang lain, maka di situ mungkin akan berlaku perkara yang lain. Walau bagaimana sekalipun, sewajarnya mereka yang fahami selok belok undang-undang, mereka tidak boleh merujuk hanya kepada orang yang tahu sahaja tetapi rujuk kepada orang yang tahu dan berkuasa. Mungkin mereka sudah tanya mana-mana ustaz yang tahu tetapi ustaz tersebut bukannya orang yang sepatutnya dan tiada kuasa.

Bukan apa saya bimbang, kalau dia rujuk orang yang sepatutnya, maka maklumat yang diberikan adalah sahih tetapi kalau merujuk kepada orang yang hanya tahu hukum dan perkara biasa sahaja, jadi penegasannya serta jalan penyelesaiannya tiada. Memanglah orang itu sama-sama pakai jubah tetapi perlu diingat, hati masing-masing lain dan kefahaman juga lain walaupun luarannya nampak sama.

Pada awalnya pihak ini mengeluarkan kenyataan dalam media sosial seolah-olah menyatakan khutbah Jumaat itu sendiri mengandungi unsur-unsur provokasi dan kemudiannya menuduh Jakim tidak mengawal ataupun Jakim sendiri yang yang menyediakan teks khutbah Jumaat yang mempunyai unsur-unsur provokasi. Apa pandangan tuan?

DR. ZULKIFLI: Inilah masalah tentang kefahaman, batasan tentang agama dengan kebebasan. Kebebasan itu Islam telah iktiraf tetapi kebebasan itu ada yang tidak tercapai. Apa yang Allah sebut, apa yang Nabi sebut itu mestilah ada hikmahnya, mesti ada hidayah dan mesti ada asas. Asas ini memang banyak dan tidak dapat dipertikaikan. Sebab itu dalam al-Quran ada disebut nama Islam itu sendiri iaitu sejahtera dan selamat. Tunjuk kepada kami satu sejarah di mana Islam itu pergi menentang ataupun pergi bunuh manusia yang lain? Tiada.

Mereka yang diizinkan berperang ke jalan Allah ini adalah kerana mereka telah diperangi dan ditindas. Sebab orang Islam sentiasa ditindas, ini membuktikan bahawa Islam bersifat bertahan, asalnya begitu. Sebagai contoh Perang Badar, asalnya Abu Jahal yang serang, Perang Uhud Abu Sufian yang perang dan Perang Khandak di Madinah, orang Quraish yang perang. Jadi kita sudah tahu sebab apa orang Islam itu perlu berperang.

Menyentuh pula dalam konteks global contohnya apa yang berlaku di pejabat akhbar satira Charlie Hebdo baru-baru ini, militan Negara Islam (IS), sedikit sebanyak mencemarkan agama Islam. Apabila berlakunya perkara sebegini, Malaysia turut mendapat kesannya maka ada pihak yang sengaja mengaitkan pelbagai perkara tentang Islam sebagai ekstrem?

DR. ZULKIFLI: Sebaik-baiknya dalam isu begini, kenyataan bersama daripada alim ulama dan badan Islam yang telah disahkan oleh kerajaan perlu diselaraskan. Wasatiyyah sebenarnya adalah yang terbaik, yang adil, yang tidak menindas, yang tidak menceroboh dan dalam masa yang sama kita juga tidak mahu diceroboh dan ditindas. Jadi ini saya bahagikan isu IS dan isu di Paris adalah berlainan.

IS ini satu isu yang terpencil. Alim ulama telah putuskan bahawa kita tidak perlu ke sana dan terbabit apa-apa dalam IS, tapi isu di Paris ini mukadimahnya adalah daripada karikatur. Jadi isu sebegini dari dahulu lagi orang Islam sensitif. Ada tiga perkara yang tidak boleh disentuh iaitu pertama nabi, yang kedua al-Quran dan ketiga masjid dan Kaabah. Jangan cakap buruk pasal Nabi. Memang cukup sensitif dan dalam Islam sendiri kita tidak hina Nabi Isa, kita tidak hina Nabi Musa bahkan mereka itu termasuk dalam rasul-rasul yang kita hormati.

Bab al-Quran begitu juga walaupun ada umat Islam yang tidak baca al-Quran tapi jangan ada pihak yang cuba menghina al-Quran. Sama juga dengan masjid walaupun ada yang tidak pergi ke masjid. Kalau robohkan masjid, mesti umat Islam marah. Bina masjid baharu tidak apa. Orang Islam memang macam itu sejak dari dahulu lagi cukup sensitif. Tetapi tindakan yang dilakukan di Paris itu sepatutnya ada perbincangan terlebih dahulu, sebelum tindakan tersebut diambil kerana setiap tindakan yang diambil tanpa perbincangan akan mengeruhkan lagi keadaan.

Ustaz ada sebut tentang wasatiyyah, tapi timbul masalah apabila ada pihak tertentu memanipulasikan konsep ini dengan mengaitkan lebih keterbukaan termasuklah soal lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan Islam liberal dan pelbagai lagi. Apa pandangan tuan?

DR. ZULKIFLI: Kesederhanaan yang dibawa oleh Islam ini kadang-kadang mereka tidak boleh kocak dan tidak boleh roboh asasnya, walau dalam pelbagai keadaan sekalipun. Yang jadi masalah kenapa mereka mahu ceroboh hal ini, mereka hendak bincang hal ini. Hal itu Islam tidak benarkan dan mana-mana pun tidak dibenarkan.

Tengok bagaimana Mahmoud Ahmadinejad menjawab persoalan dari orang luar tentang Islam, jawapannya cukup hebat. Islam bukan hak sekumpulan sahaja tetapi Islam ini hak umum. Siapa kata Islam ini hak sesetengah golongan sahaja tetapi yang tersilapnya tentang kebebasan hak bersuara ini tiada batasannya.

Isu keterbukaan seperti yang berlaku pada konsert K-Pop, menyebabkan golongan remaja kita hilang kawalan diri serta menjejaskan imej Islam itu sendiri, bagaimana ustaz melihat perkara ini?

DR. ZULKIFLI: Saya setuju apa yang dikatakan itu. Ini sepatutnya kita kembali kepada asas tarbiyah dan pendidikan anak-anak peringkat kecil hatta peringkat ingin mendirikan rumah tangga. Gejala yang parah seperti hiburan yang melampau dengan merokok dan dadah serta kebebasan seperti pemikiran terbuka (free thinker).Setiap masjid, ibu bapa dan sekolah perlu menekankan perkara ini.

Apa yang berlaku telah berlaku dan betul itu adalah salah, tapi muhasabah diri itu kena ada bukan sekadar masing-masing hanya mempertahankan dasar kebebasan tapi kita perlu istighfar dan tidak mahu buat lagi perkara seperti ini. Kita akan mendapat pengajaran yang terbaik daripada isu yang terjadi ini. Jadi kita tidak mahu perkara ini terjadi selepas ini. Daripada sedikit jadi lebih parah. Jadi hal ini secara tidak langsungnya telah mengingatkan kita terhadap satu hadis Nabi yang bermaksud; "Kamu pasti mengikut jejak langkah mereka sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta tidak kira lubang mana sekalipun, dan sahabat bertanya mereka itu siapa, adakah Yahudi dan Nasrani dan Nabi menjawab; kalau tidak mereka siapa lagi".

Yang jadi masalahnya kita mengikut mereka sehingga tahap itu sehingga kita sendiri tiada pegangan kepada dahan Islam yang kukuh setelah diceroboh oleh budaya Barat dan Timur. Ini bukan budaya Islam. Budaya Melayu yang baik dan soleh juga telah diceroboh dari semasa ke semasa.

Bahan hiburan kita sendiri seperti filem dan drama juga nampaknya tiada batasan dari segi pelakon melakonkan watak, apa pandangan ustaz?

Bahagian drama dan filem kita dah ada bahagian tapisan. Lembaga penapisan itu akan menapis, cuma saya tidak boleh menjangkakan adakah ada proses tersebut. Maknanya kalau ada proses tersebut memang tiada masalah. Bukan kita mahu filem itu ditapis selepas siap dihasilkan tetapi kita mahu ia ditapis dari pihak penerbit dan pengarah malah melalui skrip lagi. Jadi tidak timbullah masalah seperti ini. Cuba kita tengok filem Omar Mukhtar, berapa juta orang tengok tiada masalah pun. Jadi isi filem itu sendiri perlulah menekankan perkara-perkara yang baik dan penting dan perlu ada batasan-batasannya.

Harapan ustaz terhadap orang bukan Islam dan Islam yang lebih berpegang kepada fahaman liberal dan semakin berani melawan arus sekarang?

DR. ZULKIFLI: Pertama sekali nasihat saya, kita kini berada dalam Malaysia, perkara yang paling kita mahu ialah keamanan dan kita tidak mahu kocokan dan gelombang yang besar. Pepatah Arab ada menyatakan, terhadap nikmat keamanan, masa nikmat keamanan ada, kita tidak perasan tapi apabila nikmat keamanan itu tiada barulah kita mencarinya. Nikmat kesihatan juga, masa kita sihat kita tidak kisah tetapi apabila kita sakit barulah kita menyesal. Keamanan yang kita kecapi perlulah dikekalkan, tengok sahaja sahabat kita di Iraq, di Syria di Palestin kasihan mereka, mahu keluar masjid menunaikan solat Jumaat pun susah. Hendak beli gula tepi jalan pun susah. Kedua, dalam keadaan ini, kita perlu ada sikap bertenang apabila memberi apa sahaja pandangan terhadap kawan kita dan sahabat kita. Ini penting kerana dengan sikap ini kita akan tahu apa perkara yang boleh dan apa perkara yang tidak boleh, dan kita sendiri juga telah ada badan agama yang dilantik, jadi kita perlu berbincang terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan diambil.

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Apa lagi Charlie Hebdo mahu?

Kenyataan Henri Roussel, 80, iaitu salah seorang daripada pengasas akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo bahawa pengarangnya, Stephane Charbonnier atau dikenali sebagai Charb patut dipersalahkan atas serangan meragut 12 nyawa pada 7 Januari lalu, sepatutnya membuka mata semua pihak. Menurut beliau, tindakan Charb untuk terus meningkatkan penyiaran kartun provokasi  menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sejak dari 2011 lagi, sudah dijangka akan berdepan dengan akibat buruk.


"Pada saya, dia tidak patut menyiarkan kartun yang menghina Islam,'' katanya  menerusi tulisan dalam majalahNovel Obs dengan menggunakan nama pena Delfeil de Ton. Dalam tulisan itu juga, Roussell menyatakan sudah beberapa kali beliau tidak bersetuju dengan tindakan akhbar tersebut mempromosi fahaman Zionis dan menyemai sentimen Islamofobia. Awang petik tulisan itu untuk  renungan semua. Dalam kita mengutuk keganasan yang dilakukan oleh kumpulan penyerang tersebut, hakikat provokasi keterlaluan oleh akhbar berkenaan tidak boleh dinafikan sebagai punca tercetusnya  keganasan. Turut menarik perhatian Awang ialah reaksi pemimpin Vatican, Pope Francis kelmarin yang menegaskan kebebasan bersuara perlu ada batasnya termasuk dalam isu Charlie Hebdo.


Beliau menyatakan perbuatan akhbar tersebut bukan sahaja menghina Islam tetapi menyakiti perasaan penganut Kristian dan Yahudi. "Anda tidak boleh melakukan provokasi termasuk menghina kepercayaan orang lain dan menjadikan agama bahan gurauan. Malah jika seseorang menghina ibu saya, saya akan tumbuk dia, dan perkara itu adalah biasa, apabila kita bertindak balas," katanya seperti disiarkan portal berita Financial Times. Namun akhbar Charlie Hebdo  sengaja tidak mahu mengakui kesilapan mereka dan mengambil iktibar. Awang seperti juga orang Islam lain dan warga dunia yang menolak provokasi agama, sangat terganggu dengan tindakan akhbar itu menyiarkan lagi karikatur Nabi Muhammad SAW biarpun selepas insiden serangan tersebut.


Siapa sebenarnya yang ekstrem? Tindakan itu mencetuskan gelombang bantahan di sekurang-kurangnya 10 negara semalam sehingga mengorbankan nyawa dalam pertumpahan darah. Apa lagi Charlie Hebdo mahu dan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas semua insiden itu? Awang hairan mengapa kerajaan Perancis tidak segera campur tangan menghentikan provokasi akhbar berkenaan sebelum berlaku mudarat lebih besar di seluruh dunia.


Soal keselamatan dan kesejahteraan adalah jauh lebih utama daripada soal kebebasan media apatah lagi yang menjadi punca ketegangan dan keganasan. Jangan biar nasi jadi bubur.

Adenan, integriti dan alam

Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem terus menjadi bahan bualan di negeri itu kerana kesungguhannya melawan rasuah dan mendokong integriti. Bukan sekadar kata-kata dan ucapan, beliau telah membuktikannya satu demi satu. Kelmarin, Sarawak mengorak langkah menjadi negeri pertama yang menteri dan timbalan menteri diwajibkan menandatangani ikrar integriti bagi melawan rasuah.


Menerusi langkah tersebut, semua menteri dan timbalan menteri perlu mengisytiharkan harta dan maklumat kewangan peribadi kepada Adenan. Ia merupakan sebahagian daripada usaha Adenan menerapkan budaya integriti dalam agensi-agensi kerajaan negeri, badan berkanun, sektor swasta malah melibatkan industri pembalakan yang telah dilaksanakan tahun lalu.


Keberaniannya menentang pembalakan haram dan rasuah dalam kalangan penjawat awam menarik perhatian Awang. Sudah ada pembalak haram didakwa di mahkamah kerana cuba merasuah penjawat awam. Beliau juga bertekad mewartakan lebih banyak kawasan hutan simpan. Adenan benar-benar tegas dalam memerangi jenayah alam sekitar.


Sedihnya, di beberapa negeri di Semenanjung, kegiatan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara keterlaluan, menjadi-jadi. Walaupun banjir besar melanda negeri-negeri Pantai Timur, yang antara lain disebabkan oleh faktor tersebut, tiada langkah drastik, tegas dan holistik diambil oleh kerajaan negeri berkenaan. Awang angkat topi kepada Adenan. Beliau pemimpin yang jenis cakap serupa bikin. Lebih daripada itu, beliau benar-benar bersahabat dengan alam.

Harapan, dilema Kg. Baru

Pembangunan semula Kampung Baru melalui Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) 2020 yang dilancarkan Khamis lalu memberi harapan baru kepada para pemilik dan pewaris tanah di situ. Ketidaktentuan tentang pembangunan semulanya yang sentiasa menjadi isu selama ini, kini sudah terjawab.


Pelan tersebut yang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB) memberi fokus kepada dua aspek iaitu perancangan fizikal dan pengurusan pembangunan di kawasan berkeluasan 124.37 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM61 bilion.


Projek tersebut terbahagi kepada empat fasa memakan masa 20 tahun dan dijangka mewujudkan 46,237 peluang pekerjaan. Ia bakal menjadi pusat kebudayaan Melayu dan enklaf aktiviti ekonomi baharu di Kuala Lumpur dengan turut dilengkapi 17,500 unit kediaman, beberapa hotel dan bangunan untuk ruang pejabat.


Kampung Baru yang terhimpit di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur sememangnya perlu berubah wajah. Kawasan sekelilingnya terutama di sekitar KLCC dan Jalan Sultan Ismail sudah lama pesat membangun dengan bangunan pencakar langit, Kampung Baru pula masih di takuk lama. Apa pun perancangannya, ia mesti disusuli dengan kekuatan dari segi pelaksanaan. Selalunya yang menjadi cabaran ialah pelaksanaan. Awang juga berharap segala jaminan terutama berkaitan kepentingan penduduk dan anak-anak Kampung Baru benar-benar direalisasikan supaya mereka tidak terpinggir. Inilah amanah yang perlu dipikul oleh PKB supaya cerita indah pada awal perancangan tidak menjadi kisah duka buat orang Melayu yang sudah menduduki Kampung Baru sejak tahun 1899 (melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu.)


Sudah cukup kita menyaksikan banyak kawasan penduduk Melayu di ibu negara yang ditelan projek perumahan mewah. Kebanyakan orang Melayu yang rata-rata tidak mampu akhirnya terhumban ke kawasan luar ibu negara. Berbalik kepada Kampung Baru, Awang berharap PITPKB akan menjadikan kawasan itu sebagai hub moden yang bukan sahaja dibanggakan malah membawa manfaat besar kepada orang Melayu dalam erti kata sebenar. Inilah masa bagi para penduduk Kampung Baru terutama pemilik tanah memberikan sokongan penuh.


Pembangunan juga menuntut pembaharuan sikap. Lalu fikiran Awang terimbas kepada drama muzikal Kampung Baru karya Hatta Azad Khan pada 2011 yang memaparkan kemelut pembangunan di situ. Biar apa pun cabaran, akhirnya segala konflik dapat diselesaikan menerusi keikhlasan, kesabaran dan komitmen semua pihak. Itulah mesej daripada drama tersebut, yang Awang juga mahu sampaikan.

PasMa dan Guan Eng

Ke mana Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) yang diketuai ADUN Pengkalan Kundor, Phahrolrazi mahu dibawa? PasMa ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh kumpulan dalam Pas yang pro- PKR dan DAP. Timbul persoalan besar apabila jejak-jejak PasMa makin mencurigakan. Terbaharu, PasMa mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP bertujuan merangka kerjasama dan strategi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Phahrolrazi dalam reaksinya selepas pertemuan itu dilaporkan berkata, PasMa sedia timbang untuk jadi sebuah parti politik yang akan menjadi sekutu baharu kepada pakatan pembangkang. Apa sudah jadi?


Nampaknya tindak-tanduk PasMa makin jauh menyimpang daripada landasan perjuangan parti itu. DAP termasuk Guan Eng banyak mengkritik, memperlekeh dan membantah hasrat kerajaan Pas melaksanakan hukum hudud.


Di sebalik najis yang diberi oleh DAP kepada Pas, PasMa menghadiahkan bunga kepada DAP. Majlis Syura Ulama Pas telah mengingatkan agar tiada ahli Pas menyertai sebarang aktiviti PasMa, yang selari dengan peringatan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Mengapa Phahrolrazi terus berani mencabar kepimpinan Pas?


Awang melihat beliau tidak bersendirian kerana terdapat beberapa pemimpin kanan Pas di belakangnya yang menggerakkan agenda daripada pihak luar parti. Selain itu, DAP dan PKR awal-awal lagi sudah mengiktiraf PasMa untuk meningkatkan tekanan ke atas Pas. Buktinya, Guan Eng menyampaikan sumbangan tabung banjir Kelantan melalui PasMa dan bukannya terus kepada Pas pusat atau negeri. Awang kasihan kepada Pas kerana makin ramai jadi 'duri dalam daging' dalam parti tersebut. Sejauh mana Pas berani untuk mengambil tindakan ke atas PasMa dan membersihkan parti itu, sukar ditelah tetapi Awang tidak mahu ambil mudah Hadi. Kesabaran ada hadnya termasuklah dalam menghadapi penghinaan politik yang tidak henti-henti.
Utusan Malaysia Rencana 18 Jan 2015

Kebencian disemai keganasan dituai

Ketika menulis artikel ini, penulis berada di Quito, ibu negara Ecuador bersama 20 orang delegasi Ahli Parlimen dan Pegawai Parlimen Malaysia yang diketuai Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang ke Persidangan Ahli-ahli Parlimen Asia Pasifik (APPF) kali ke-23.

Sama ada kebetulan mahupun tidak, persidangan kali ini berlangsung ketika dunia digemparkan dengan insiden pembunuhan 12 wartawan termasuk dua polis, ketua editor dan empat kartunis di pejabat akhbar satira Charlie Hebdo di Paris.

Penulis yang diberi tanggungjawab mewakili Malaysia dalam penyediaan draf resolusi persidangan turut mengambil kesempatan untuk berbahas bagi menjernihkan segelintir pemikiran ahli Parlimen Eropah yang pantas mengaitkan kejadian itu dengan Islam.

Dalam perbahasan resolusi menangani aktiviti keganasan militan dan pengganas, penulis tegas membangkitkan bahawa aktiviti keganasan tidak sesekali diiktiraf Islam. Sebaliknya prinsip kesederhanaan dalam Islam yang dipelopori Malaysia selama ini harus diarus-perdanakan bukan sahaja dalam kalangan negara Islam tetapi juga negara Barat.

Malah sudah banyak forum antarabangsa terutamanya di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Gagasan Kesederhanaan ini dibangkitkan oleh arkiteknya iaitu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pendirian dan kenyataan penulis di persidangan APPF kali ini disokong kuat oleh Ahli Parlimen dari China yang memperakui dan meyakinkan anggota Parlimen daripada negara lain betapa Malaysia adalah negara Islam contoh yang menggagaskan idea kesederhanaan kepada dunia.

Memahami maksud kesederhaan atau istilah yang dimasyhurkan Malaysia – moderation dalam bahasa Inggeris, amat penting terutamanya ketika dunia tercari-cari formula mujarab untuk menangani pelbagai aktiviti keganasan yang dilakukan atas nama agama dan pelbagai ideologi.

Penulis mengambil kesempatan memahamkan anggota delegasi APPF ini bagi maksud menjelaskan makna kesederhanaan sebagai satu prinsip penting dalam menangani ektremisme yang makin menggejala dalam masyarakat dunia hari ini.

Kesederhanaan yang dimaksudkan bukan sahaja bermaksud penolakan mutlak terhadap sebarang bentuk pelampauan yang bersifat ganas dan militan hingga membawa kepada kerosakan dan perlakuan zalim seperti pencabulan hak dan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Malah Gagasan Kesederhanaan juga merujuk kepada keperluan dunia menangani sebarang kegiatan dan perlakuan ekstrem seperti menyemai kebencian dan kekeliruan atas nama kebebasan bersuara yang tiada sempadan dan batasnya.

Kedua-dua bentuk pelampauan atau ekstrem ini saling terkait antara satu sama lain. Sebaliknya kegagalan menangani kedua-duanya secara adil dan bijaksana akan mencetuskan kemudaratan dan kerosakan yang lebih besar lagi.

Umpamanya dalam insiden pembunuhan di pejabat Charlie Hebdo pada 7 Januari lalu, adalah penting untuk dikaji secara tuntas punca sebenar perlakuan mereka yang didakwa pengganas beragama Islam itu.

Natijah

Perlu diingat bahawa akhbar berbentuk satira Charlie Hebdo telah banyak kali mencetuskan provokasi dan kemarahan umat Islam lantaran menyiarkan siri-siri karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan kesucian agama Islam.

Persoalannya, apakah kebebasan bersuara sebagaimana justifikasi editor Charlie Hebdo ini tiada batasnya? Atau apakah atas nama kebebasan bersuara maka 'halal' segala tindakan dan cara, walaupun jelas melampaui batas prinsip, norma dan etika sesuatu bangsa mahupun agama?

Yang pasti kebebasan bersuara bukan bermakna kebebasan menghina. Kebebasan bersuara juga bukan bermakna kebebasan menyemai kebencian, menfitnah dan mengadu domba. Kebebasan bersuara juga tidak akan bermakna sekiranya natijah yang berlaku lebih memporak-porandakan hidup manusia sehingga mampu menjejaskan keharmonion dunia.

Lebih membimbangkan apabila kebebasan bersuara tanpa batas seperti yang dilakukan oleh akhbar Charlie Hebdo inilah yang akhirnya menanam dan menyemai kebencian dalam masyarakat hingga meletusnya tindakan balas yang ganas dan melampau.

Sebab itulah konsep kebebasan mutlak seperti yang dicanangkan Barat dengan meletakkan pertimbangan manusiawi sebagai faktor utama penentuan baik buruk sesuatu perkara tidak bersesuaian dengan aturan agama. Kebebasan acuan Barat yang berpaksikan rasional pemikiran semata-mata dan menolak prinsip agama jelas bertentangan dengan konsep dan prinsip kebebasan mengikut perspektif Islam.

Penolakan Islam terhadap kebebasan mutlak bukan bermakna Islam menentang kebebasan bersuara secara total. Islam juga tidak pernah mengekang hak dan kebebasan individu menyatakan pandangan mahupun pendapat. Malah Islamlah satu-satunya agama yang menjelaskan secara tuntas maksud kebebasan bersuara berbanding dengan agama lain.

Prinsip kebebasan bersuara menurut Islam tidak bersifat mutlak. Ini kerana sifat manusia itu sendiri tidak mutlak. Ketidaksempurnaan sifat manusia inilah yang menyebabkan Islam membataskan kebebasan kepada lingkungan prinsip dan nilai agama. Ini penting untuk mengelakkan wujudnya kecenderungan melampau yang hakikatnya lahir semula jadi dalam kerangka akal budi manusiawi.

Umpamanya, Islam mendokong kebebasan bersuara selagi kebebasan tersebut dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Kebebasan bersuara yang bertanggungjawab ini sentiasa berada dalam lingkungan batas-batas akhlak dan adab tanpa sekali-kali mencetuskan kemudaratan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Dengan kata lain kebebasan bersuara harus mengambil kira faktor masyarakat terbanyak dan tidak hanya berasaskan nilai individualistik dan materialistik sempit acuan Barat.

Islam dengan tegas membataskan kebebasan bersuara sehingga boleh mencetuskan konflik termasuk dengan masyarakat bukan Islam. Islam melarang tegas pencabulan hak dan kehormatan orang lain. Malah Islam melarang umatnya mengadu domba, memfitnah ataupun menghina termasuk terhadap agama lain walau atas alasan apa sekalipun yang mampu mengundang tindak balas yang melampau.

Sebab itulah pentingnya Gagasan Kesederhaan atau moderation yang diperjuangkan Najib difahami secara tuntas bahkan diarusperdanakan bagi memastikan kedua-dua ekstrem yang dibicangkan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Kita tentunya tidak mahu dalam keghairahan dunia memperjuangkan ideologi kebebasan hak bersuara secara mutlak tanpa batasan hingga menyemai bibit-bibit kebencian dalam masyarakat bakal mengundang pula tidak balas melampau dalam bentuk keganasan yang lebih memudaratkan.

- Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Utusan Malaysia Rencana 18 Januari 2015 1:19 AM

Kenapa JAKIM?

Sejak dari bangku sekolah kita didedah, dididik dan di­ingatkan supaya tidak melanggar tembok-tembok sensitiviti agama, kaum dan budaya. Selama berabad-abad kewujudan kerajaan di Malaysia, inilah resepi unik keharmonian negara ini.

Sesama kita tanpa mengira agama, kaum dan budaya – tahu had-had itu. Selain ditegah dalam undang-undang, masyarakat secara keseluruhan akan cepat-cepat membungkam suara dan perbuatan yang mahu melanggar tembok sensitiviti itu.

Pihak berkuasa bukan sekadar mengambil tindakan cepat dan tegas tetapi mencegahnya daripada berlaku. Tetapi ini senario dahulu, rasanya kira-kira 17 tahun lalu.

Kini kumpulan yang tidak mempedulikan tembok sensitiviti semakin membesar. Sejak 10 tahun lalu kumpulan ini semakin berani. Mereka berlindung di bawah naungan badan bukan kerajaan (NGO) hak asasi yang mempunyai rangkaian di merata belahan dunia.

Pemimpin-pemimpin NGO ini pula telah menyerap masuk dalam parti politik. Mereka berjaya mempergunakan nafsu parti politik tertentu untuk menyebarluaskan fahaman baharu yang kononnya merupakan nilai sejagat yakni, bebas melakukan apa sahaja.

Mereka bersama parti politik secara sistematik menyerang institusi yang menjadi penjaga dan pelindung tembok sensitiviti itu - badan kehakiman, polis, tentera dan institusi raja.

Selagi ada pihak yang berkeras mahu menjaga tembok sensitiviti itu, mereka akan dikerjakan habis-habisan. Label rasis dan ektremis sengaja digembar-gemburkan untuk membunuh wibawa pelindung dan penjaga keharmonian ini.

Kini peralatan perang 'pejuang’ hak-hak sivil ini seperti sudah sempurna. Dengan adanya teknologi Internet, segala-galanya menjadi mudah ditambah pula dengan bantuan kuasa politik.

Generasi terdahulu barangkali tidak pernah terfikir akan ada seorang lelaki bukan Islam begitu berani mencari pasal apabila mempromosikan sup tulang babi semasa menyampaikan ucapan berbuka puasa kepada umat Islam pada Ramadan 2013.

Malangnya, lelaki ini yang telah didakwa di mahkamah tetapi kemudian melarikan diri ke Amerika Syarikat dibela pula oleh NGO hak asasi dan pemimpin politik tertentu.

Tindakan tegas kerajaan termasuk membatalkan pasport lelaki tidak bertanggungjawab dan hanya meletakkan keharmonian Malaysia dalam risiko ini, dikecam. Anehnya mereka berdiam diri apabila lelaki itu beberapa kali telah menimbulkan kemarahan umum atas alasan hak bersuara individu.

Jelas ada agenda tersirat dalam kalangan organisasi hak asasi ini.

Begitu juga apabila pengasas Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen menulis dalam Twitternya bahawa Jakim mempromosi ekstremisme pada setiap Jumaat adalah sesuatu yang dianggap cuba melanggar tembok sensitiviti itu.

Tidak pernah terbayang akan ada individu khususnya seorang peguam bertindak di luar batas yang boleh menjejaskan keharmonian di Malaysia. Lihatlah siapa lingkungan rakan-rakannya? Ini pun bukan pertama kali peguam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini cuba membakar kemarahan awam khususnya orang Melayu dan umat Islam.

Mengguris

Biarpun catatan kontroversi yang membawa maksud khutbah Jumaat yang disediakan Jakim mempromosi keganasan dibantah banyak pihak, namun beliau tetap bertegas dengan kenyataannya itu. Beliau tidak mahu menarik balik atau meminta maaf sebagaimana didesak oleh banyak pihak.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh Eris Paulsen konsisten. Sebelum catatan biadab itu, beliau dikesan menulis perkara-perkara yang mengguris perasaan orang Islam, antaranya:

- 'Golongan ulama adalah se­per­ti raja/Tuhan, tidak boleh dikri­tik’ (merujuk tindakan Harakah me­na­matkan kontrak Ketua Pengarangnya).

-  'Lagi agamawan menjaja aga­ma’ (merujuk program munajat dan doa mangsa banjir).

-  'Ada majlis outdoor & nampak nak hujan. Jadi penganjur doa agar tak hujan. Tak lama pun hujan. Jadi penganjur kata rahmat Tuhan. True story.”

LFL dikenali sebagai pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi manusia dan reformasi undang-undang serta men­cabar tindakan tidak berperlembagaan yang didakwa dilakukan oleh kerajaan. LFL dalam kempen terbaharunya juga menentang Akta Hasutan 1948.

Seperti NGO hak asasi propembangkang lainnya, LFL menerima dana sebuah pertubuhan berpangkalan di Washington, National Endowment for Democracy (NED). Mengikut laporan, NFL menerima dana AS$45,000 (RM160,000) setiap tahun dari 2001 hingga 2013.

Senario bebas bersuara tanpa had ini nampaknya sudah menjadi budaya baharu di merata-rata belahan dunia. Tetapi ironisnya, dunia bukan semakin aman bahkan terus diancam dengan keganasan.

Kebebasan bersuara tanpa had itu hanya menjadikan dunia tidak selamat. Kebebasan suara hanya menjadi pemicu kepada ketidaktenteraman awam. Bukan sekadar negara-negara lemah di Asia Barat atau di Afrika Timur tetapi juga ketidaktenteraman sedang berlaku di Eropah.

Di Perancis, serangan ke atas akhbar mingguan Charlie Hebdo yang menggorbankan 12 orang adalah akibat faham kebebasan bersuara. Bagi Charlie Hebdo, mengecam agama orang lain dan menimbulkan provokasi adalah hak yang perlu dipertahankan.

Nyatalah, kebebasan bersuara tanpa had telah me­nye­babkan dunia ini tambah kucar-kacir. Jelas bukan, kebebasan mutlak telah menyebabkan mekarnya aktiviti keganasan.

Terlalu banyak negara yang menjadi korban tetapi kita di Malaysia belum juga mahu belajar. Kita masih mahu membela kumpulan yang secara terang-terangan menyerang pihak yang selama ini telah terbukti menjaga dan melindungi keharmonian.

Sebab itu, soalan mengapa Jakim menjadi sasaran kumpulan NGO hak asasi ini barangkali sudah terjawab. Hal ini kerana Jakim adalah penjaga dan pelindung keharmonian yang menjadi penyekat kepada faham kebebasan tanpa had.

- Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana 18 Januari 2015 1:19 AM

Utamakan orang lain atau diri sendiri?

Lebih baik kita tidak disukai sebab menjadi diri sebenar, daripada kita disukai dengan menjadi diri yang pura-pura. Diri kita yang sebenar ialah diri kita semasa kita kanak-kanak. Waktu kanak-kanak kita tidak tahu apa-apa, apatah lagi untuk berasa diri kita bagus dan terbaik, dan kita tidak fikir apa orang kata kepada kita.

Apabila dewasa kita telah dipengaruhi oleh persekitaran kita, maka mulalah timbul perasaan diri ego dan diri palsu. Iaitu kita menilai diri kita berdasarkan pangkat yang kita ada, berapa banyak harta yang kita miliki dan kita berasa kitalah yang paling bijak, yang paling hebat, yang paling cantik atau kacak, dan yang paling kaya dan seumpamanya.

Jom nilai diri sendiri adakah kita orang yang payah hendak berbuat baik atau sebaliknya? Kalau kita seorang yang baik, kita akan suka juga berbuat baik. Menahan kemarahan itu adalah baik daripada menghemburkan kemarahan mengikut nafsu. Kalau kita suka sangat melabelkan orang, cubalah labelkan semua orang baik.

Boleh atau tidak kita tanamkan niat, apabila kita melihat orang, semua orang kita katakan baik. Kalau ada pun yang tidak baik, kita anggap sahaja dia tidak tahu bagaimana hendak menjadi baik. Jangan marah kepada orang yang tidak baik. Ingat, jangan ada emosi negatif. Kalau kita takut, jangan takut selain Allah. Sifat yang perlu disingkirkan dalam diri kita, iaitu takut, dengki, tamak, marah, dendam, suka percaya kepada tahyul.

Perkara yang susah hendak kita buat ialah berbuat baik kepada orang yang tidak berbuat baik kepada kita. Kalau orang berbuat baik kepada kita, tetapi kita tidak boleh berbuat baik kepadanya, bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada hati nurani kita, maka nilailah dan lihatlah diri sendiri dahulu, sebelum melihat dan menilai orang lain. “Reset Minda” dan ubah cara kita melihat sesuatu, dengan terlebih dahulu menilai dan melihat diri sendiri dari segi perlakuan fizikal dan hati nurani.

Lihatlah diri, betulkan sifat diri, sayangi dan hargai diri sendiri sebelum kita memberikan perhatian kepada orang lain, sama ada dia seorang kawan mahupun seorang sahabat. Untuk menjaga graf wawasan hidup kita agar sentiasa menaik dan positif, pilih kawan-kawan yang baik. Untuk mendapat kawan senang dan ramai boleh kita dapat, tetapi untuk mendapat seorang sahabat, itulah yang paling susah.

Kawan, biasanya berguna untuk masa kita gembira dan senang, tetapi sahabat kita perlukan untuk bersama-sama kita, masa kita susah dan senang. Sahabat juga akan sentiasa ingin melihat kita bahagia, kerana itu sahabat akan mendorong kita ke arah kebaikan, bagi mencapai wawasan hidup di dunia dan di akhirat. Sahabat yang baik akan ingatkan kita agar sentiasa ingat Allah.

Kemampuan

Apabila kita tidak menghargai diri, bermakna kita memandang diri kita rendah, hingga kita mengambil sikap, mendahului orang lain. Kita akan bersikap semua perkara kita beri kepada orang, dan untuk kita tidak apa atau nanti dahulu. Sikap tidak menghargai diri sendiri ini akan menimbulkan rasa rendah diri atau tidak mementingkan diri sendiri ini, membuatkan kita sanggup menolak peluang kita untuk mengecap kejayaan.

Kita memang tidak boleh memberi apa-apa yang kita tidak ada atau apa-apa yang kita tidak mampu berikan. Maka, kalau kita hendak membantu orang, kita harus tolong diri sendiri dahulu, yakni lihat kemampuan kita. Dalam Islam pun menegaskan, kalau kita hendak membantu orang, bantulah orang yang terdekat dengan kita dahulu, maksudnya lihatlah keluarga kita dahulu, adakah keluarga kita telah kita bantu? Membantu keluarga kita samalah seperti membantu diri kita sendiri, kerana kebahagiaan dan kejayaan ahli keluarga kita bermakna kebahagiaan dan kejayaan kita jua, dan begitulah sebaliknya. Orang yang berwawasan akan membetulkan wawasan keluarganya dahulu sebelum membetulkan wawasan orang lain.

Kalau dalam kapal terbang pun, apabila menghadapi kecemasan, kita diingatkan supaya pastikan dapat oksigen untuk diri sendiri dahulu, bukan beri oksigen itu kepada orang lain. Setelah kita letakkan corong pernafasan di hidung kita, baharu meletakkan corong topeng oksigen itu ke hidung orang lain untuk memberi bantuan. Macam itulah umpamanya hidup kita. Sebelum kita hendak tolong orang mesti tolong diri sendiri dahulu. Buat dahulu yang keutamaan, orang yang tidak ada keutamaan bermakna dia tidak ada kehidupan dan kualiti hidup. Jadi apabila kita telah tentukan atau putuskan keutamaan, maka kita harus melaksanakannya dan perlukan disiplin, itu dipanggil pengurusan diri sendiri.

Tetapi, kalau kita mendengar kisah sahabat Nabi, memang mereka sangat sanggup berkorban untuk orang lain, hingga harta Saidina Abu Bakar contohnya, habis dibelanjakan untuk perjuangkan menegakkan Islam. Ini sikap yang sangat mulia dan tanda orang mempunyai tahap ‘kesedaran ketuhanan’ yang tinggi. Orang yang memiliki kesedaran ketuhanan yang tinggi ada tujuh ciri sikapnya. Pertama, mereka ini sentiasa memberi kerjasama. Kedua, sentiasa penuh kasih sayang. Ketiga, sentiasa lihat kebaikan orang dan suasana. Keempat, kalau dia bercakap dia lebih menjaga silaturahim daripada hendak membetulkan. Kelima, sentiasa bermurah hati. Keenam, sentiasa memperbaiki diri dengan majlis ilmu dengan tujuan mencari ilmu bukan mencari berita. Ketujuh, menerima manusia seadanya.

Ketahuilah bahawa dunia kita adalah dalam minda kita. Jika kita melihat sesuatu bukan hanya di ‘mata fizikal’ sahaja, tetapi melihat lebih daripada itu, iaitu daripada roh kita. Kekuatan manusia sebenarnya terletak pada roh, bukan terletak pada fizikal; kalau roh kita sihat - fizikal akan sihat, kalau roh kita tenang - fizikal kita akan tenang. Dari segi saintifik minda ada dua lapis, iaitu minda sedar dan minda bawah sedar/minda segar (hati/roh/jiwa).

Di manakah minda kita? Kalau kita gembira adakah minda kita gembira? Sebenarnya yang gembira ialah hati kita. Oleh sebab itulah dalam konsep pemikiran ‘Reset Minda’ ditekankan betapa pentingnya kita ‘celik mata hati’.” “Jika kita hanya celikkan ‘mata akal’, ‘mata fizikal’, ‘mata nafsu’ tetapi kita tidak celikkan ‘mata hati’ untuk mengenal Allah, kita tidak akan mengenal dan memahami hakikat kasih sayang Allah yang sebenar.

Adakah kita tidak akan mengambil peduli tentang perasaan orang sekeliling kita? Orang sekeliling kita yang mendambakan kasih sayang kita dan mengharapkan sikap pemurah kita, yang boleh ‘bahagia dan membahagiakan’. Kerana, ‘orang yang bahagia sahaja yang mampu membahagiakan orang’. Maka bahagiakan diri kita sendiri dahulu supaya kita boleh bahagiakan orang lain.” “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 18 Januari 2015 1:18 AM