January 23rd, 2015

Majlis akikah 
ikut kemampuan

SEMEWAH majlis perkahwinan, majlis akikah untuk anak baharu lahir yang diadakan pada masa kini juga tidak kalah hebatnya.


Majlis akikah yang diadakan baru-baru ini oleh pasangan selebriti Rozita Che Wan dan Zain Saidi untuk bayi mereka, Aishah Dya Rania, hasil bantuan tata hias Man Kajang.

Bagaikan satu trend bukan sahaja dalam kalangan selebriti bahkan orang biasa, mengadakan majlis akikah secara besar-besaran seolah-olah sebuah majlis perkahwinan atau pertunangan mewah.

Segalanya serba indah dengan mendapat sentuhan perancang majlis dan menelan perbelanjaan puluhan ribu ringgit.

Tugas perancang majlis yang diserahkan bagi menguruskan hiasan dan sebagainya memerlukan perbincangan lebih awal supaya segala yang dirancang dan dikehendaki oleh tuan rumah memuaskan hati.

Bagi perancang majlis, mereka hanya mengikut kehendak tuan rumah. Jika tuan rumah mampu berbelanja mewah maka mereka akan mengikut sahaja.

Namun jika tuan rumah mahukan majlis yang sederhana maka itu juga terserah kepada tuan rumah.


Dewan tempat berlangsung majlis akikah dihias indah.

Othman Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Man Kajang berkata, ibu bapa sekarang banyak membaca majalah bukan sahaja majalah tempatan tetapi juga luar negara.

Bukan sahaja majalah malah mereka melayari laman sosial seperti facebook dan instagram dan gemar melihat majlis-majlis yang cantik.

Dari situ mereka mungkin memperoleh idea untuk mengadakan majlis akikah anak masing-masing mengikut apa yang diingini.

Katanya, mereka yang berkemampuan sudah tentu hendakkan majlis yang nampak mewah dan kalau boleh lebih daripada majlis yang pernah mereka hadiri.

Pemilik butik pengantin yang juga perancang majlis sejak 22 tahun lalu ini, berpengalaman menjadi perancang majlis perkahwinan dan akikah untuk golongan selebriti, kerabat, kenamaan (VIP) dan sebagainya.

Terbaharu, beliau diberi kepercayaan mengendalikan majlis akikah anak sulung kepada pasangan selebriti Rozita Che wan atau Che Ta dan Zain Saidin, iaitu Aishah Dya Rania.

Majlis yang diadakan di Hotel Royal Chulan itu serba indah dan memukau pandangan setiap tetamu malah ada tetamu yang berkata majlis tersebut lebih indah daripada majlis perkahwinan.

Menelan kos sebanyak RM50,000, segala persiapan majlis tersebut dibuat secara berkolaborasi bersama temannya, Azika Collection.

Menurut Man Kajang, sebelum sebarang kerja dimulakan, beliau akan berbincang terlebih dahulu dengan pelanggan mengenai konsep warna yang dipilih, bunga-bungaan, perhiasan, pentas, laluan berjalan dan sebagainya.

“Che Ta memilih konsep warna lembut daripada segi perhiasan dan bunga-bungaan seperti putih krim, champagne dan ungu samar.

“Beliau juga mahukan pentas yang cantik seperti pentas pelamin. Saya membuat pemilihan bunga dan aksesori yang bersesuaian.

Mengadakan majlis akikah secara besar-besaran jadi ikutan

Majlis akikah kini turut mendapat khidmat perundingan perkahwinan. -

“Keseluruhan majlis dihiasi dengan bunga-bunga segar seperti mawar, lavender, orkid, estoma dan diselitkan dengan dedaun silver leaf.

“Saya menggunakan semua barang yang baharu kerana beliau mahukan majlis nampak lain daripada yang lain.

“Bekas berendoi merupakan katil berbentuk bulat dan bahagian atas endoi berbentuk seperti kubah istana lama.

“Selepas majlis Che Ta ini sudah ada 10 orang membuat tempahan untuk menggunakan endoi ini untuk majlis akikah anak mereka pula. Perancangan untuk membuat majlis ini diadakan selama seminggu namun semua persiapan dapat disiapkan dalam masa sehari dengan bantuan 20 orang pekerja.

“Pada saya tidak salah jika seseorang itu mahu membuat majlis yang nampak mewah, hebat dan menarik jika berkemampuan. Apa yang penting mereka mempunyai bajet,” katanya mengenai majlis akikah yang dihadiri lebih 200 tetamu itu.

Tambah Man Kajang lagi, majlis yang diadakan pada pukul 9 pagi itu dimulakan dengan bacaan marhaban dan berzanji oleh anak-anak yatim.

Seterusnya tahnik atau ‘membelah mulut bayi’ dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah Mahmood dengan menyuapkan nasi kunyit yang dikunyah dan kurma ke dalam mulut Aishah.

Majlis berakhir pada pukul 12 tengah hari dengan tetamu membawa pulang cenderamata berupa surah Yassin dan tin biskut yang berisi kurma.

Mengakhiri perbualan, Man Kajang berkata, bagi sesiapa yang memerlukan khidmatnya untuk mengadakan majlis perkahwinan, berendoi dan sebagainya boleh menghubunginya di 019-2149692.

Jaga hati jangan mati

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan la­rangan penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu untuk penganut Roman Katolik terutama di Sabah dan Sarawak, kelmarin amat melegakan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya perjuangan mempertahankan agama, salah satu daripada maqasid syariah telah berjaya.

Walaupun kita gembira dengan berita itu, jangan pula kita terlalu selesa. Masih banyak cabaran dan halangan yang bakal dihadapi dalam mempertahankan kesucian Islam walaupun sudah jelas dan nyata agama itu disebut sebagai agama bagi negara dalam Perlembagaan.

Untuk itu, tidak ada cara lain bagi kita mempersiapkan diri mendepani hal ini melainkan dengan menambah ilmu dan menjaga hati atau hakikatnya adalah iman. Sebabnya, hanya mereka yang hatinya sejahtera akan merasa gelisah dan bimbang apabila Islam diusik atau dipermain-mainkan.

Malangnya, kita berhadapan dengan cabaran hebat untuk menjaga hati ini. Cabaran itu sudah tersedia di rumah kita lagi. Sumber utamanya adalah program hiburan televisyen yang lagha (sia-sia). Cuba kita perhatikan, apakah rancangan atau program yang menjadi kegilaan masyarakat terutama remaja masa kini?

Jawapannya, antara kegilaan mereka adalah program hiburan seperti Raja Lawak, Akademi Fantasia, American Idol dan yang seangkatan dengannya (sekadar menyebut beberapa contoh). Ini bukan bermakna Islam itu rigid sehinggakan nak berhibur pun dilarang. Yang dilarang oleh agama apabila hiburan itu melalaikan dan melanggar batas yang ditetapkan.

Mengenai bergelak ketawa pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam satu lagi hadis daripada Aisyah isteri Nabi SAW, bahawa beliau berkata: Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW tertawa terbahak-bahak hingga kelihatan tenggorok beliau, beliau biasanya hanya tersenyum. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Demikian juga apabila terlalu banyak menonton program hiburan yang lagha, maka hati juga akan mati. Apabila hati mati, penindasan yang berlaku ke atas umat Islam waima isu Charlie Hebdo di Perancis hanya jadi kuman di mata. Apabila sampai ke tahap itu, seseorang itu tidak ada perasaan dan tidak rasa apa-apa terhadap apa juga yang berlaku ke atas umat Islam.

Sebab itu, amat penting bagi kita menjaga hati. Ia menjadi penentu kepada baik atau buruknya perilaku seseorang. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika daging itu baik, maka seluruh tubuh akan baik. Jika ia rosak, maka seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah, se­gumpal daging itu adalah hati. (riwayat Muslim)

Justeru, sebaik-baik perkara adalah yang sederhana dan pertengahan. Tatkala Islam mensyariatkan untuk banyak tersenyum, maka Islam juga melarang banyak tertawa. Sebabnya, segala sesuatu yang berlebih-lebihan dan melampaui batas akan membuat hati jadi mati.

Seperti juga banyak makan dan banyak tidur boleh mematikan hati dan melemahkan tubuh, maka demikian pula ba­nyak tertawa akan mematikan hati dan melemahkan tubuh. Apabila hati sudah mati, maka ia tidak akan terpengaruh dengan peringatan al-Quran dan tidak mahu menerima nasihat.

Yang dibimbangkan, umat Islam hilang sensitiviti apabila agama suci itu dihina dan diperkotak-katikkan. Salah satu daripadanya termasuk bersikap tidak apa terhadap apa juga perbuatan orang bukan Islam waima dalam bab penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang dituntut oleh Gereja Roman Katolik.


Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Reancana Agama 23 Januari 2015

Islam tidak ajar keganasan – Chandra

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Agama Islam langsung tidak mempunyai kaitan dengan keganasan sebagaimana yang sering kali ditafsir oleh negara-negara Barat.

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar berkata, agama Islam tidak wajar dipersalahkan kerana perkara yang patut dinilai adalah penindasan yang berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq dan negara-negara Islam lain.

“Apa yang mereka tafsir sebagai keganasan sebenarnya boleh disifatkan sebagai reaksi kepada penindasan berlaku di Palestin dan Iraq atau manipulasi yang sengaja direka pihak tertentu dengan matlamat tertentu.

“Negara Barat dengan sengaja melaksanakan perang terhadap keganasan. Mereka mungkin tidak menggunakan nama Islam tetapi matlamatnya adalah menjadikan Islam sebagai sasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyertai rundingan meja bulat anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) di sini hari ini.

Rundingan meja bulat bertajuk Ekstremis, Keganasan dan Islam: Ke Arah Pemahaman Isu itu turut diser­tai Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali; Profesor di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Mohamad Abu Bakar serta Pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad El-Muhammady.

Menurut Chandra, pertembungan antara dunia Barat dengan dunia Islam tidak berkisar kerana perbezaan agama semata-mata, tetapi juga me­libatkan kepentingan ekonomi terutamanya hasil minyak dan negara Israel untuk terus wujud.

Chandra Muzaffar Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Jan 2015

Lambang keutuhan Perlembagaan

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu, melambangkan keutuhan keluhuran Perlembagaan dalam melindungi agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Larang guna kalimah Allah dalam The Herald

Harussani Zakaria

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sememangnya tindakan Gereja Roman Katolik itu salah mengikut fatwa dan turut dilarang di bawah enakmen syariah negeri. Sehubungan itu katanya, semua lapisan masyarakat di negara ini wajib me­matuhi keputusan mahkamah berkenaan.

“Kita mempunyai Perlemba­gaan dan da­lam Rukun Negara ju­­ga sudah ter­ma­ktub ke­­luruhan Perlembagaan dan sebagai rakyat Malaysia adalah wajib untuk dipatuhi.

“Maka siapa yang tidak bersetuju dengan keputusan itu sama seperti tidak mentaati keluhuran Perlembagaan. Keputusan itu juga baik dalam melindungi masa depan orang Me­layu serta agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh Gereja Roman Katolik berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, pihak gereja dilarang sama sekali menggunakan kalimah suci itu dalam penerbitan The Herald terbitan bahasa Melayu sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013.

Ketetapan dibuat oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi negara, diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama-sama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.

Jelas Harussani, secara jelas keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak boleh dipersoalkan atau sesuka hati menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama selain Islam. “Malah sebelum ini saya juga menerima panggilan daripada beberapa individu luar negara seperti dari Perancis, United Kingdom dan Kanada yang mempersoalkan tentang larangan itu oleh majalah The Herald itu.

“Saya kemudian bertanyakan kepada mereka, bolehkah sekiranya semua perkataan ‘lord’ di dalam Bible di seluruh dunia ditukarkan kepada Allah, mereka menjawab tidak boleh kerana Allah bukan Tuhan mereka. Oleh itu, saya bertanya kembali kenapa pula kamu beria mahu menggunakan kalimah Allah,’’

Mampukah kepemimpinan 
Hadi dipertahan?

SEJAK Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai Presiden Pas, tidak pernah wujud sebarang usaha untuk ‘menurunkan’ beliau daripada jawatan itu.

Ahli politik berusia 67 tahun itu dianggap pemimpin pa­ling ideal memimpin Pas dan dilihat bertepatan dengan slogan ‘Kepemimpinan ulama’. Selama 11 tahun menerajui parti itu, Abdul Hadi telah menempuh pelbagai ranjau dan duri bagi meletakkan Pas sebagai salah sebuah parti pembangkang terkuat di negara ini.


Abdul Hadi Awang

Kejayaan paling manis beliau sudah tentulah apabila ditabalkan menjadi Menteri Besar Terengganu pada 1999 selepas Pas berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Walaupun hanya sepenggal menjadi Menteri Besar namun ia tidak bermakna keunggulan Abdul Hadi sebagai pemimpin Pas tergugat, malah di bawah beliau juga Pas berjaya menawan Kedah dan Perak pada 2008 dan berkongsi menerajui pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun kini apa yang dianggap ganjil dalam politik Pas kini mula berputik, apabila sudah ada desakan supaya Abdul Hadi digantikan dengan orang lain bagi memimpin Pas. Walaupun setakat ini, tidak pasti sejauh manakah ia akan berjaya tetapi pemimpin dan ahli Pas seharusnya tidak membenarkan ia berlaku.

Abdul Hadi masih diperlukan oleh Pas. Walaupun jarang sekali membuat kenyataan-kenyataan politik sejak kebelakangan ini tetapi tiada siapa pun boleh menafikan Ahli Parlimen Marang itu ibarat benteng terakhir kepada kepimpinan ulama dalam parti tersebut.

Ia memandangkan Abdul Hadi memegang jawatan dalam hierarki tertinggi kepemimpinan Pas. Oleh itu, jika beliau berjaya disingkirkan apatah lagi digantikan dengan pemimpin daripada kumpulan bukan ulama sudah pasti tiada siapa pun boleh memberi jaminan apa yang akan berlaku kepada kepimpinan ulama Pas.

Sebenarnya, ura-ura untuk menggantikan Abdul Hadi tercetus bukan kerana beliau mengkhianati perjuangan Pas atau disabitkan dengan masalah moral tetapi segalanya berpunca daripada ketegasan beliau mempertahankan prinsip Pas me­negakkan kebenaran dalam isu kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Ketegasan Abdul Hadi yang tidak mahu menerima cara sekutu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kemelut tersebut menaikkan kemarahan penyokong-penyokong Pas yang terlalu taksub menjalin hubungan dengan PKR dan DAP.

Mereka membuat pelbagai andaian termasuklah mempertikaikan kewibawaan Abdul Hadi yang dianggap boleh meretakkan hubungan dengan sekutu-sekutunya. Adalah sesuatu yang malang bagi Pas apabila ada sekelompoknya ahli dan penyokong parti itu berniat untuk menyingkirkan pemimpin sendiri semata-mata mahu mempertahankan kerjasama politik yang selama ini sama sekali tidak menguntungkan Pas.

Atas sebab itulah mahu tidak mahu, seluruh pemimpin dan ahli Pas perlu berada di belakang kepemimpinan Abdul Hadi. Tindakan membenarkan Abdul Hadi disingkirkan dari jawatan Presiden semata-mata kerana beliau mempertahankan prinsip perjuangan Pas bukanlah suatu langkah yang bijak. Pas sudah ada banyak masalah. Perpecahan yang berlaku dalam parti itu ketika ini sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Kewujudan PasMa atas alasan mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP masih dipersoalkan.

Ini memandangkan dalam sejarah penubuhan Pas sejak 1951, tidak pernah berlaku situasi seumpama itu dalam parti tersebut. Pemimpin dan ahli Pas boleh berhujah apa sahaja tetapi mereka tidak boleh menafikan kemelut yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada hubungan politik dengan PKR dan DAP.

Sememangnya tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak ke­r­jasama itu membawa keuntungan politik kepada Pas tetapi ramai mentafsirkan ruginya lebih banyak daripada untung. Pas sentiasa sahaja didesak untuk mengalah dan tunduk kepada kemahuan politik kedua-dua parti itu walaupun ia merugikan Pas sendiri.

Apa yang dilakukan oleh Abdul Hadi dalam isu kemelut Menteri Besar Selangor adalah isyarat kepada kedua-dua parti tersebut supaya jangan terus membuli Pas. Parti itu tidak sepatutnya dilayan bagaikan melukut di tepi gantang. Pas ada maruah dan memiliki kekuatan tersendiri. Pas tidak akan berkubur jika tidak berkawan dengan PKR tetapi PKR belum tentu tidak akan berkubur kalau tidak berkawan dengan Pas.

Apatah lagi dari semasa ke semasa, semakin jelas sikap sebenar sekutu Pas terhadap parti itu. Hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan ditentang habis-habisan oleh DAP biarpun undang-undang syariah berkenaan hanya melibatkan orang Islam sahaja.

DAP seolah-olah melihat petaka politik kepada pembangkang jika Pas melaksanakan undang-undang tersebut. Tetapi hakikatnya, ia bukanlah kali pertama DAP bersikap demikian. Sebelum ini pun DAP yang disokong oleh PKR juga bertanggungjawab menentang perjuangan negara Islam Pas.

DAP mendakwa pelaksanaan hukum hudud bukan kesepakatan pembangkang tetapi apabila mereka mahu menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan yang tidak dipersetujui oleh Pas di Pulau Pinang, soal kesepakatan tidak pula ditimbulkan.

Ini hanya salah satu bukti kecil keangkuhan DAP dalam menjalin kerjasama dengan Pas. DAP tidak pernah peduli pun apa kehendak atau kemahuan Pas. DAP hanya mementingkan PKR. Sebab itulah, DAP sentiasa bersama dan sekata dengan PKR tetapi tidak pernah mahu bersetuju dengan peranca­ngan atau perjuangan politik Pas. Abdul Hadi sudah lama menyedari perkara ini sebab itulah buat pertama kalinya beliau tidak bersetuju dengan tindakan PKR dalam isu Menteri Besar Se­langor.

Oleh itu, jika benar pemimpin, ahli dan penyokong Pas mahu mempertahankan kepemimpinan ulama dan ingin memastikan perjuangan parti itu tidak terus tersasar semata-mata mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP, mereka perlu mempertahankan kepemimpinan Abdul Hadi.

Percayalah, jika Abdul Hadi berjaya disingkirkan maka ia boleh dianggap permulaan kepada pe­ngakhiran kepada kepemimpinan ulama Pas dan saki baki usaha mempertahankan maruah parti tersebut.

Banlieues punca keganasan Paris

BANYAK pihak mengaitkan serangan pengganas di Paris dua minggu lalu yang mengorbankan 17 nyawa dengan fahaman agama Islam radikal dan kebebasan bersuara yang melampau. Kumpulan militan Negara Islam (IS) disabitkan dengan pembawakan Islam radikal kerana kemungkinan terdapat kaitan dengan pengganas tersebut. Sementara, akhbar satira mingguan Charlie Hebdo yang menjadi sasaran pengganas dikaitkan pula dengan faktor kebebasan bersuara tanpa had yang mengundang tindakan ekstrim.

Sebenarnya bukan kerana penganut agama Islam yang radikal atau pun kumpulan yang memperjuangkan kebebasan melampau yang menjadi punca utama serangan Pa­ris kerana kedua-dua faktor tersebut hanyalah digunakan sebagai kambing hitam untuk menghalalkan perbuatan terkutuk itu.



Manuel Valls memegang salinan akhbar Charlie Hebdo yang bertajuk Tout est pardonne (Semua dimaafkan) selepas menghadiri mesyuarat Kabinet mingguan di Istana Elysee di Paris pada 14 Januari lalu. – Agensi

Akhirnya Perdana Menteri Pe­rancis, Manuel Valls secara jujur dan berterus-terang mengakui ke­ganasan itu tercetus kerana kepincangan masyarakat negaranya yang disifatkan oleh beliau sebagai bom detik yang telah pun meletus. Valls menegaskan, Perancis perlu menghadapi dan memperbaiki apa yang disifatkan oleh beliau sebagai wujudnya sistem masyarakat aparteid yang membezakan berdasar kepada faktor kawasan tempat tinggal, keturunan etnik dan sosial.

Beliau juga mengakui untuk menghapuskan sikap ekstrim ini sama ada dalam bentuk fahaman agama atau kebebasan bersuara, rakyat terlebih dahulu perlu menghapuskan sikap diskriminasi dan rasis yang berleluasa di Perancis.

Peristiwa yang menyentap pe­rasaan Valls adalah ketika Perancis mengadakan proses tafakur selama satu minit sebagai menghormati mangsa keganasan, ramai rakyat Perancis terutama golongan remaja secara terbuka langsung tidak mempedulikan waktu tersebut.

Majoriti remaja tersebut tinggal di kawasan bandar yang tidak terurus yang lebih dikenali sebagai banlieues atau pun dalam bahasa mudah kawasan ghetto. Kebanyakan banlieues ini dihuni oleh imig­ran yang berasal dari Algeria dan Afrika Utara beragama Islam yang menghampiri seramai 6 juta orang iaitu 10 peratus daripada keseluruhan penduduk Perancis. Kadar pe­ngangguran penempatan banlieues boleh mencecah sehingga 40 peratus dan lazimnya mereka terasing dan terpisah dari masyarakat asal Perancis. Secara keseluruhannya terdapat 750 banlieues yang dianggap kawasan yang sensitif dari segi keselamatan.

Perlu ditegaskan Cherif Kouachi dan Said Kouachi yang menyerang pejabat Charlie Hebdo dan Amedy Coulibaly yang menawan pasar raya kosher walaupun dilahirkan di Perancis tetapi ibu bapa mereka adalah imigran dari Afrika. Begitu nyata sekali terdapat kepincangan integrasi yang nyata kerana ge­nerasi kedua imigran masih tidak mampu untuk bersama-sama hidup dengan masyarakat asal Perancis.

Generasi seperti adik beradik Kouachi dan Coulibaly sepatutnya tidak terasing dari masyarakat Pe­rancis. Tetapi oleh kerana kepincangan sistem integrasi masyarakat yang terlalu tebal dengan sikap prejudis atau xenophobia terhadap kumpulan yang mempunyai budaya dan cara hidup asing, ramai lagi seperti Kouachi dan Coulibaly merasakan mereka bukan daripada sebahagian masyarakat Perancis.

Sebenarnya bom detik banlieues telah pun meletus pada 2005 apabila penduduk di penempatan ini telah merusuh terutama sekali di kawasan Clichy-sous-Bois yang majoritinya didiami oleh imigran dari Afrika.

Pengajaran dari rusuhan ini memaksa kerajaan Perancis di bawah pimpinan Presiden Nicolas Sarkozy pada tahun 2008 melaksanakan program pembaharuan dengan bajet AS$55 bilion untuk memperbaiki kepincangan banlieues tetapi setelah lima tahun tiada pembaharuan yang dicapai.

Banlieues pada hari ini terutama sekali yang dihuni oleh imigran Afrika tetap menjadi pusat akti­viti jenayah, kadar pengangguran yang tinggi dan terpisah daripada masyarakat utama Perancis.

Mungkin ada hikmah dari musibah yang melanda Paris kerana pengakuan jujur Valls itu mampu membuka ruang supaya kepincangan masyarakat Perancis perlu diperbaiki segera mungkin tanpa berselindung dengan mensabitkan Islam radikal atau kebebasan bersuara melampau sebagai punca utama.

Bagi rakyat Malaysia yang majmuk, pengajaran dan iktibar dari peristiwa di Paris adalah begitu tersurat sekali. Sikap toleransi dan faham memahami yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia selama hampir enam dekad lamanya telah menghasilkan senario negara yang stabil dan aman. Jika wujud sikap prejudis yang antara lain seperti mempersoalkan pegangan dan kepercayaan agama satu pihak, maka tindak balas yang lazim terbit adalah sesuatu yang ekstrim yang boleh menghancurkan konsep amalan masyarakat majmuk Malaysia.

Keharmonian yang terjalin bukan berlaku secara tidak sengaja tetapi kerana perancangan dan dasar berkongsi kekayaan negara yang diamalkan semenjak merdeka lagi dan juga sikap faham memahami di antara satu sama lain. Tidak keterlaluan jika diandaikan jika hilang ketiga-tiga cara hidup yang diamalkan maka tidak mustahil kejadian Paris boleh juga melanda Malaysia.

Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Buka minda, hati apabila ditimpa bencana

Persepsi ujian adalah bala sebagai hukuman semata-mata perlu diperbetulkan. Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam Rancangan Pesona D'zahra di Ikimfm berkongsi tujuh perkara dalam melihat ujian atau bencana alam seperti banjir luar biasa yang berlaku di beberapa negeri di pantai timur, baru-baru ini.

Pertama, walaupun ada banyak tanda-tanda hari kiamat yang semakin menghampiri tetapi ada dua yang banyak disebutkan iaitu air laut membuak-buak dan air laut terbakar. Justeru ketika didatangi musibah alam yang hebat, ambil iktibar dan muhasabah diri daripada ujian yang datang dalam hidup kita mahupun yang menimpa orang lain.

Perbetulkan persepsi memandang sesuatu ujian itu kerana sesungguhnya musibah dan bala yang melanda juga adalah tanda menghampiri kiamat. Lalu, tanyalah diri kita apakah persediaan untuk menghadapi hari kiamat. Elakkan menghakimi orang lain atas ujian dihadapi mereka, sebaliknya hulurkan bantuan dan tunjukkan rasa simpati kepada mangsa bencana.

Bala bukti kekuasaan Ilahi

Kedua, renungi setiap bala, bencana dan musibah yang melanda itu adalah sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Penghayatan ini hanya akan dapat dilakukan dengan pembacaan dan memahami makna ayat yang terkandung dalam al-Quran.

Allah SWT menceritakan kekuasannya di dalam al-Quran, tetapi manusia tidak memahami dan tidak merenunginya. Maka, Allah SWT menghantar ujian untuk membuktikan kekuasaan-Nya supaya manusia faham dan sedar.  Lihat tsunami di Aceh yang tidak menjejaskan masjid.

Walaupun diuji, Allah SWT tidak akan membiarkan kita bersendirian dalam menghadapi sesuatu musibah.  Bagi hamba-Nya yang bertakwa dan bertaubat, setiap musibah yang melanda  akan diberikan jalan keluar. Allah SWT menghantarkan bantuan dalam menghadapi kesusahan dan memberi kemudahan dalam pelbagai cara.

Ketiga, bencana dan musibah itu didatangkan kerana Allah ingin menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Bukalah hati dan fikiran untuk melihat bencana itu dari sudut positif. Contohnya, ada yang mungkin kehilangan rumah, insya-Allah akan mendapat rumah baru, kelengkapan baru dan sebagainya.

Sesungguhnya janji Allah pasti benar. Percayalah selagi kita bersangka baik dengan ujian-Nya dan sifat Maha Pengasih Allah SWT, semua usaha untuk bangkit kembali akan dipermudahkan.

Keempat, apabila didatangi ujian, ketahuilah Allah SWT hendak meninggikan darjat mereka yang diuji. Rasul dan Nabi adalah antara yang paling berat diuji. Rasulullah SAW juga bersabda, seberat-berat ujian adalah kepada Nabi. Dan setiap ujian itu berdasarkan kepada tahap keimanan seseorang. Manusia itu lahir dengan nama 'Abdullah' di sisi Allah dan nama-nama lain yang dinamakan kepada kita, tetapi apabila mati kita akan digelar dengan nama-nama yang baik seperti Saifullah, namun tidak kurang juga yang dinamakan nama yang tidak baik di sisi Allah bergantung kepada amalan kita di dunia dan cara kita menghadapi ujian yang menimpa.

Ujian penghapus dosa

Kelima, ujian itu datang kepada kita sebagai penghapusan dosa. Dalam mengharungi kehidupan ini adakalanya kita berbuat sesuatu kesalahan dan dosa, baik yang tidak kita sedari mahupun yang disengajakan dan kadangkala kita tidak memohon ampun kepada Allah SWT.

Mungkin dalam mencari rezeki, ada terambil harta yang tidak jelas sumbernya dan jalan perbelanjaannya. Maka ujian diturunkan bagi menyucikan seseorang itu daripada dosa dan kesalahannya dengan kesabaran dan kepayahan yang datang daripada ujian itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya" (Hadis riwayat Bukhari).

Sesungguhnya pengampunan Allah itu sangat besar dan ketika dilanda ujianlah kita akan banyak mengingati Allah dan mengharapkan pengampunan dengan sebenar-benarnya. Ini adalah keutamaan yang besar daripada Allah SWT kerana dengan ujian yang dideritai seorang Muslim, dosa yang pernah dilakukannya terhapus kerana penderitaannya menjadi kifarah (penebus) dosanya. Jadi dengan bersabar dan reda akan membawa kepada ketenangan.

Keenam adalah mengenai bagaimana seharusnya melihat ujian yang melanda, iaitu dengan mengetahui Allah hendak  memberi pahala percuma kepada mereka yang ditimpa ujian.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah. "(Hadis riwayat Bukhari).  Hal ini kerana di dalam syurga ada darjat tertentu yang harus dicapai, apabila seorang Muslim tidak mampu mencapainya dengan suatu amal, maka dia pasti dapat memperoleh darjat itu dengan musibah atau penyakit yang dideritai.

Selain itu adakalanya ibadah yang kita laksanakan mungkin kurang sempurna justeru pahala sabar ujian itu akan membantu menyelamatkan kita di akhirat nanti.

Pahala percuma

Pahala percuma juga bukan sahaja diperoleh mereka yang menghadapi ujian, malah akan turut dikurniakan kepada kepada mereka yang memberikan bantuan kepada mangsa bencana. Mereka yang membantu hamba Allah yang sedang dalam ujian itu perlu menyedari bahawa Allah SWT yang memberikan kesempatan dan menggerakkan hati untuk melakukan kebaikan. Maka sebutlah Alhamdulillah selepas memberi bantuan kerana semua kudrat dan bantuan itu adalah rezeki dengan izin-Nya.

   Perkara terakhir dalam perkongsian kali ini adalah; ada kalanya walaupun ujian itu memang dilihat seperti bala, tetapi itu bukan perkara utama. Renungilah ujian itu sebagai tanda masa untuk kita bermuhasabah diri dan memperbetulkan diri. Tidak semua ujian itu bala. Berhati-hatilah agar tidak menjatuhkan hukuman kerana kita tidak layak untuk mengukur bahawa setiap ujian itu bala.

Sebaliknya, berbanyak syukur atas setiap ujian, kerana Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih terhadap hamba-Nya dan pasti akan memberikan hanya yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaan-Nya di dunia dan akhirat.

Khutbah Jumaat ~ Sifat Ihsan Memandu Kehidupan

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 23 Januari 2015M / 2 Rabiulakhir 1436H JAWI

Sifat Ihsan Memandu Kehidupan

Bagi menjamin kehidupan kita dalam suasana harmoni, Allah S.W.T membekalkan pedoman berupa al-Qur’an dan As-sunnah.

Kita perlu sedar bahawa seseorang insan tidak cukup sekadar memahami bahawa mereka perlu beriman dan melaksanakan tuntutan agama semata-mata, malah mereka haruslah menerapkan sifat ihsan dalam diri masing-masing.


Hal ini berdasarkan kepada hadith panjang riwayat Imam al-Bukhari daripada ‘Umar al-Khattab, bahawasanya Jibril bertanya kepada Baginda Nabi s.a.w :
Bermaksud: “Khabarkanlah kepadaku tentang ihsan.” Jawab Baginda: “Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, seandainya engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”…

Sifat ihsan bermaksud merasai pengawasan Allah S.W.T dalam setiap ibadah kita. Pengabdian diri kepada Allah S.W.T yang dilaksanakan menurut hakikat ihsan hanya dilakukan semata-mata kerana-Nya, tidak kerana selain-Nya.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-‘Ankabut ayat 69:
Bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari keredhaan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik (memiliki sifat ihsan).”


Marilah kita bersama-sama berusaha menyuburkan sifat ihsan dalam kehidupan. Antaranya ialah:

Pertama: Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T serta menjaga hubungan kita dengan-Nya (habl min Allah).

Kedua: Bermuhasabah mengenai tujuan hidup dan memikirkan hala tuju manusia setelah meninggalkan dunia.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Qasas ayat 77:

Bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (berlaku ihsan) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”


Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Isra’ ayat 7:
Bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…”

Mimbar menyimpulkan bahawa:

Pertama: Sifat ihsan merupakan salah satu komponen terpenting dalam pembinaan modal insan kamil.
Kedua: Sifat ikhlas dalam beribadah dapat dipupuk dengan memahami konsep ihsan bahawa segala yang dilakukan oleh manusia tidak pernah terlepas daripada pengwasan Allah S.W.T.
Ketiga: Bagi menyuburkan sifat ihsan, setiap insan sewajarnya memelihara hubungannya dengan Allah S.W.T (habl min Allah) serta hubungannya sesama makhluk (habl min al-nas).
Keempat: Pengabaian sifat ihsan dalam diri manusia menyebabkan hilangnya kemanisan beramal ibadah serta keharmonian hidup sesama manusia tidak dapat direalisasikan dengan jayanya.


Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Nahl, ayat 90:

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya), supaya kamu mengambil peringatan.”

Wallahualam

Khutbah Jumaat ~ Sejahterakan Ummah Dengan Dakwah

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 23 Januari 2015 JAIS


Sejahterakan Ummah Dengan Dakwah

Sesungguhnya berdakwah itu merupakan suatu jihad. Mereka yang bersungguh-sungguh dan istiqamah melakukan dakwah sebenarnya sedang berjihad di jalan Allah SWT.

Para pendakwah telah mengorbankan diri mereka dalam rangka mencintai Allah Ta'ala, membela agama Allah, meninggikan kalimat Allah, dan menentang musuh-musuh Allah dengan cara mengingatkan manusia supaya sentiasa mematuhi perintah Allah SWT.

Para pendakwah bakal
mendapat keberkatan dan limpahan pahala dari Allah SWT. Sesungguhnya suasana damai, aman, tenteram dan sejahtera yang kita nikmati sekarang memerlukan kita berjihad bagi membangunkan ummah, memerangi kejahilan disamping mengatasi atau mengawal pelbagai masalah sosial yang terus berlaku.

Tugas dakwah yakni menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah kewajipan yang perlu didokong bersama oleh setiap individu muslim.

Para pendakwah hendaklah sentiasa merujuk kepada
sumber al-Quran, al-Hadis, ijmak ulama dan qias bagi merangsang semangat
berdakwah dan mengatur gerakan dakwah demi meninggikan syiar Islam.

Berdakwah boleh dilakukan secara individu atau secara berjemaah melalui badan-badan, pertubuhan, persatuan, kelompok atau
jemaah yang bergerak di bidang dakwah.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 71:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Antara perkara yang perlu kita lakukan ialah;
1. Kita hendaklah menyemarak dan menyegarkan semula gerak kerja bersepadu dakwah Islamiyah ke seluruh Selangor.
2. Kita hendaklah menyatu, menggabung, mengatur, menyelaras dan merancang seluruh tenaga gerak kerja dakwah untuk beroperasidengan lebih berkesan.
3. Kita hendaklah mempertingkat dan memperkukuh jaringan kerja dakwah dengan semua pihak.
4. Kita hendaklah memaksimakan penggunaan institusi seperti masjid, surau, sekolah, badan bukan kerajaan dan pusat komuniti dalam menyampaikan wacana dakwah Islamiyah, sebagai usaha merakyatkan pemahaman dan penghayatannya.
5. Agensi kerajaan dan organisasi dakwah hendaklah merangka dan menyediakan dokumen strategi bertindak merancang aktiviti dakwah jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang melaksanakan pelan dakwah bagi memastikan usaha dakwah dilakukan dengan teratur dan berkesan.

6. Kita hendaklah memperluaskan sasaran dan medan dakwah kita bukan sekadar di masjid sahaja. Tetapi lebarkannya di kilang-kilang, pusat perniagaan, pasara-pasar malam, kelab-kelab belia dan sebagainya.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”. (Fussilat - 33).

Wallahualam

Belajar hidup berdikari

“MAMA, nak balik. Afiq nak tukar sekolah. Tak nak sekolah sini. Abang-abang buli Afiq. Mama, tolong mama. Tukarkan sekolah Afiq,” suara rintihan Afiq kedengaran di hujung telefon. Merayu-rayu meminta papa dan mamanya mengambilnya dari sekolah berasrama itu. Hati mama mula gundah. Apapula yang tidak kena dengan Afiq. Ketika pendaftaran sekolah dan asrama tempoh hari, Afiq kelihatan tenang. Tapi baru seminggu, telefon mama dan papanya sering ‘diganggu’ dengan suara rintihan anak sulung mereka itu.

Sindrom homesick yang pasti 
melanda setiap pelajar asrama -


MEMILIKI penguasaan kendiri yang tinggi membuatkkan seseorang itu tidak menghadapi masalah dalam menerima pengalaman baharu tinggal di asrama. - GAMBAR HIASAN

Kejadian buli yang pernah dipaparkan di dada akhbar mula melintas satu persatu. Khuatir, anak menjadi mangsa buli yang keterlaluan. Tidak sanggup rasanya melihat anak sulungnya didera, dipukul dan diperlakukan sehingga mendatangkan kecederaan.

Paling menakutkan hati si mama, kalau itu adalah suara terakhir anaknya yang didengarinya. Risau dan bimbang dengan‘rintihan’ itu, mama dan papa Afiq mengambil cuti menjenguk anaknya. Namun sebelum itu, si papa telah menghubungi kaunselor sekolah tersebut untuk melihat terlebih dahulu apa sebenarnya yang berlaku kepada Afiq.

Memohon kepada kaunselor kalau-kalau nasihat dan bimbingan awal boleh diberikan kepada si anak. Sekurang-kurangnya satu tindakan awal telah dibuat. Kepada warden asrama turut ditelefon agar Afiq diperhatikan. Khuatir jika Afiq melakukan tindakan di luar kewarasan akal.

Hakikatnya, hati ibu bapa mana yang tidak risau kalau setiap hari anaknya menelefon dalam keadaan menangis.

Tiba hari yang dijanjikan, papa dan mama memohon Afiq dibawa keluar sebentar dari asrama. Membeli apa jua keperluannya sambil memujuknya menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

Afiq meluahkannya segala yang dianggap membebankannya. “Abang-abang suruh Afiq basuh baju mereka. Mereka minta duit untuk telefon keluarga mereka. Bukan itu sahaja, ada yang meminta bekalan makanan,” kata Afiq sambil merayu-rayu agar dia dipindahkan sekolah.

“Tak adalah teruk sangat. Ingatkan kena dera dan kena pukul,” kata si mama memujuk. Apa pun mama berpesan, andai ada kes pukul dan dera, jangan didiamkan. Sebaliknya ambil tindakan awal dengan melaporkan kepada warden asrama. Afiq angguk tapi hatinya masih tidak keruan dan masih mengharapkan mereka termakan rayuannya.

Disindir ketika berdakwah

Suatu ketika dahulu hampir setiap minggu wajahnya akan muncul di kaca televisyen. Begitu popular sehingga hampir semua saluran TV utama mengundangnya sama ada sebagai tetamu jemputan mahupun menjadi penyampai tetap.

Kemerduan suaranya mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran sambil membimbing dan membetulkan bacaan, sentiasa ditunggu-tunggu oleh penonton setia yang mengikuti program Tilawah Interaktif terbitan TV1.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti dakwah Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah, 44, sedikit perlahan dan semakin jarang kelibatnya di kaca televisyen mahupun berceramah di majlis-majlis.

Berkesempatan bertemu dengan tokoh agama yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ravi, menyingkap serba sedikit perkembangan terbaharu beliau tentang aktiviti dakwah, kisah pengislaman, dan latar belakang keluarga yang dibina sejak 13 tahun lalu.

“Sejak tiga tahun lalu saya memang sudah jarang muncul di televisyen kerana menetap di Jordan bersama isteri dan anak-anak.


Sebagai saudara baharu Ustaz Ravi menghadapi pelbagai dugaan

USTAZ Mohd. Farid Ravi sering melakukan aktiviti riadah bersama keluarganya.

“Saya ke sana kerana menyambung pengajian peringkat kedoktoran. Walaupun pengajian masih berbaki beberapa semester, tetapi memikirkan anak yang perlu menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu kami terpaksa kembali ke tanah air.

“Sebenarnya saya tidak pernah melepaskan dunia dakwah saya melalui media kerana masih mengacarakan sebuah program bicara agama di saluran TV Al-Hijrah, cuma tidaklah terlalu kerap seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Siapa yang tidak kenal dengan Ustaz Ravi, seorang saudara baharu berketurunan India yang muncul sebagai antara penceramah bebas sangat disegani.

Beliau bukan sahaja mampu menghafaz dan memahami setiap maksud bacaan al-Quran, bahkan dapat berkongsi dan menyampaikan ilmu itu kepada orang Islam lain.

Beliau juga pernah mencipta sejarah peribadi apabila menjadi saudara baharu pertama dilantik sebagai hakim bagi Majlis Tilawah Al-Quran Kebangsaan Ke-51.

Perjalanan beliau mencari ‘nur’ Islam mungkin sedikit berbeza dengan saudara-saudara baharu lain, yang biasanya diiringi dengan cerita-cerita tentangan daripada keluarga sehingga ada yang terpaksa putus tali persaudaraan demi sebuah kebenaran.

Cerita sama tidak berlaku pada Ustaz Ravi. Ikatan keluarga yang terjalin tidak pernah putus walaupun dirinya bertukar agama, malah sehingga kini hubungan dirinya dengan adik-beradik yang lain kekal utuh.

Sebagai anak bongsu dalam keluarga, pengislamannya sedikit mengguris hati keluarganya kerana beliau sangat rapat dengan ibu dan kakak-kakaknya.

Namun, berkat kesabaran memujuk, akhirnya mereka menerima dengan hati terbuka, malah berjaya membawa ibu dan abangnya turut memeluk Islam.

“Mereka bimbang apabila sudah bertukar agama hubungan kami akan menjadi renggang. Dalam agama Hindu, hubungan adik-beradik sangat diutamakan dan mereka khuatir saya melupakan keluarga.

“Hakikatnya saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai anak lelaki dan mereka masih menerima saya sebagai ahli keluarga, tetap melawat ibu dan adik-beradik, perlahan-lahan mereka mula menerima keputusan saya,” ujarnya.

Menurut Ustaz Ravi lagi, sejak kecil lagi beliau terdedah dengan persekitaran hidup di perkampungan Melayu di Sungai Choh, Rawang dan bersekolah pun di sekolah kebangsaan.

Di sekolah walaupun tidak diwajibkan, beliau gemar mengikuti kelas mata pelajaran Pendidikan Islam dan sering bertanya tentang kemusykilan agama kepada rakan-rakan yang beragama Islam.

“Saya agak rapat dengan sebuah keluarga Islam iaitu Hajah Saunah Arifin, kerana laluan saya ke sekolah perlu melalui rumahnya dahulu.

“Setiap kali balik dari sekolah saya akan singgah di rumahnya dahulu untuk berbual dengan keluarganya. Mereka sekeluarga melayan saya dengan baik dan kadang kala mengajak saya balik ke kampung halaman mereka di Klang.

“Dari situ, saya mula melihat amalan-amalan yang dilakukan keluarga Hajah Saunah. Cara beribadah, berpuasa, dan membaca al-Quran semuanya berbeza dengan amalan yang dilakukan agama yang saya anuti. Saya juga rajin bertanya tentang Islam kepada mereka tetapi ketika itu saya masih di sekolah rendah.

“Apabila menginjak usia remaja, mereka mula bertanya jika saya berminat untuk memeluk Islam,” katanya yang ditemani isteri tercinta, Suziana Mohd. Soyong, sepanjang temu bual berlangsung.

Walaupun mendapat pendedahan yang luas tentang Islam, kemuncak beliau mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam selepas membaca kisah Nabi Ibrahim ketika mengikuti kelas Pendidikan Islam.

Beliau tertarik dengan kisah Nabi Ibrahim yang memecahkan berhala-berhala kecil tetapi mengekalkan berhala besar di rumah berhala Raja Namrud.



Bertalaqi bersama muktabar dan ulama ketika menyambung pelajarannya ke Jordan.

Cerita Ustaz Ravi lagi, Nabi Ibrahim dengan mudah dituduh melakukan perbuatan tersebut tetapi Baginda menafikannya, sebaliknya meminta Raja Namrud bertanya kepada berhala yang paling besar siapa yang memecahkan berhala-berhala kecil itu.

“Raja Namrud berkata, patung-patung itu tidak boleh berkata-kata. Mengapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya, dan Baginda menjawab, ‘kalau begitu, kenapa kamu semua menyembah patung-patung yang tidak dapat berkata-kata dan tidak dapat pertahankan diri dari kemusnahan? Kenapa kamu menyembah berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa?’

“Kisah ini membuka pintu hati saya tentang persoalan yang timbul selama saya belajar mengenali Islam. Alhamdulillah, ketika saya berusia 18 tahun, saya melafazkan dua kalimah syahadat di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Kuala Lumpur,” katanya.

Disangka lelaki Sudan

Melayari bahtera perkahwinan yang dibina sejak 13 tahun yang lalu, Mohd. Farid Ravi Abdullah dan Suziana Mohd. Soyong dikurniakan lima puteri yang berusia antara enam hingga 13 tahun.

Menyingkap kisah perkenalan mereka, kedua-duanya bermula sebagai rakan satu universiti di Universiti of Jordan.

Ketika itu, Ustaz Ravi menyambung pelajaran dalam jurusan Usuluddin manakala isterinya dalam Bahasa Arab. Tidak seperti pasangan bercinta yang lain, mereka selesa sebagai rakan dan hanya mengambil keputusan untuk bernikah apabila tamat sahaja pengajian.

Menurut Suziana yang membahasakan dirinya sebagai Kak Su, pada mulanya beliau menganggap Ustaz Ravi rakyat Sudan, tetapi apabila berkumpul bersama rakan-rakan Malaysia yang lain beliau bercakap dalam bahasa Melayu.

“Ketika itu, agak terkejut kerana saya memang ingat beliau orang Sudan, dengan kulit yang gelap, berserban, dan bergaul pula dengan masyarakat Arab, tidak sangka pula beliau orang Malaysia,” katanya sambil tersenyum.

Suziana mengakui tidak pernah berasa beliau berkahwin dengan seorang mualaf kerana pengetahuan agama dan gaya hidup Islam dilalui suaminya itu tidak ubah seperti milik seorang yang lahir dan dibesarkan sebagai muslim.

“Ilmu agama yang ditimba terlalu banyak, mencukupi untuk membawa saya dan anak-anak ke jalan yang lebih baik. Saya bersyukur dipertemukan dengan beliau,” katanya.

Tidak mendapat sebarang tentangan apabila menyuarakan hasrat kepada keluarga Suziana untuk menyunting anak gadis mereka, Ustaz Ravi, berkata, bapa mertuanya juga seorang mualaf dari China.

Jadi perkahwinan yang dirancang berjalan dengan baik dan sempurna walaupun berbeza budaya.

Kini, walaupun kembali bergelar pelajar, Ustaz Ravi masih mengekalkan jawatannya sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di samping sesekali memenuhi undangan sebagai penceramah bebas.

Baginya, walaupun perlu menghadapi halangan yang datang sepanjang mengenali dan mendalami ajaran Islam, tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang di jalan Allah.

Kejayaan yang dicapai ini adalah berkat nikmat dan kurniaan daripada Allah SWT.

Cabaran sebagai pendakwah



Ustaz Mohd. Farid Ravi bersama rakan-rakan ketika menuntut di Jordan. -

Tidak dinafikan pada awal penglibatan dalam kerja dakwah, Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah, menghadapi cabaran getir berhadapan dengan masyarakat yang tidak mempercayainya kerana penguasaan ilmu agamanya masih kurang dan ketika itu pula beliau sedang belajar di Perkim.

Katanya, walaupun ketika itu baru menginjak usia empat tahun memeluk Islam, namun penguasaannya masih baharu dan beliau terasa begitu kerdil untuk berkongsi ilmunya yang terhad.

Namun demikian, masyarakat boleh menerima dirinya seadanya sebagai seorang pendakwah mualaf. Kekurangan tersebut tidak dilihat sebagai satu kelemahan malah diberi sokongan moral dengan kata-kata motivasi.

“Ada yang memuji walaupun saya baru memeluk agama Islam tetapi saya dapat menguasai bacaan al-Quran dan hadis dengan baik, mampu bercakap di pentas dakwah, dan berani berbicara tentang Islam di hadapan muslim asal.

“Ada juga segelintir yang jumlahnya saya katakan terlalu kecil yang menyindir dan memandang sinis sehingga kata-kata mereka mengguris perasaan saya.

“Pernah juga saya dengar ada yang berkata, ‘kami lebih tahu kerana kami Islam asal, awak yang perlu banyak belajar kerana awak mualaf’ dan ada juga yang bertanya ‘kenapa awak masuk Islam’ berbanding soalan apa yang mendorong saya memeluk Islam.

“Ungkapan tersebut seolah-olah menunjukkan mereka tidak bersetuju saya memeluk Islam. Pernah ketika saya menyampaikan ceramah di sebuah masjid, saya berkata ‘tepuk dada tanya iman’ tetapi ada seorang hamba Allah yang menjawab, ‘iman kami sudah mantap’.

“Bahasa-bahasa yang ditujukan kepada saya membuatkan saya sedikit tersentak dan mungkin mereka beranggapan saya tidak layak untuk memberikan ceramah tetapi saya tidak mudah melatah.

“Saya menganggap itulah cabaran yang perlu saya hadapi dan bersabar dalam apa jua sekalipun demi dakwah yang ingin saya sampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Selepas sahaja tamat pengajian di Jordan, beliau lebih yakin untuk meneruskan kerja dakwahnya kerana percaya apa yang dipelajari boleh dikongsi kepada masyarakat.

Beliau sendiri pernah bertalaqi bersama muktabar dan ulama-ulama dari Syria, Iraq dan Jordan, dan kini tugasnya pula untuk disampaikan kepada generasi-generasi muda yang lain.

Diberi kepercayaan untuk mengendalikan soal jawab agama di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul Kapsul terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), program televisyen pertama itu menjadi batu loncatan untuk terus bergerak aktif sebagai pendakwah bebas.

Katanya, dia tidak berharap untuk muncul di kaca televisyen tetapi peluang yang datang tidak dapat ditolaknya kerana memikirkan media adalah medium yang paling baik untuk menyampaikan dakwah.

Hiburan yang bertentangan syariah

FITRAH manusia memang suka kepada hiburan. Namun baru-baru ini berlaku insiden yang telah mencalarkan hati dan perasaan pelbagai pihak, gara-gara terlalu fanatik sehingga tidak dapat mengawal perasaan. Apakah panduan agama Islam dalam mendepani isu hiburan ini?

Islam tidak melarang tetapi ada batasan adab, peraturan

Anugerah Nasyid IKIMFM (ANI) 2014 di Dewan Plenari, PICC Putrajaya -

JAWAPAN: Hiburan bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Ini kerana Islam adalah agama yang mencakupi kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. Namun kita dapati bahawa Islam menetapkan adab dan peraturan agar hiburan itu tidak melampaui batas. Antara adab dan peraturan yang perlu diberi perhatian iaitu:

Nyanyian yang mempunyai lirik atau senikata yang baik. Ia tidak membawa kepada antiagama, keruntuhan akhlak dan sebagainya. Jika lirik lagu mengajak kepada antiagama, seks bebas, minum arak, cinta tanpa peduli halal haram dan sebagainya maka ia adalah lirik lagu yang bertentangan dengan syariah.

Memelihara pergaulan. Islam menetapkan agar lelaki dan wanita tidak terkinja-kinja hingga hilang kesopanan, berpelukan berlainan jantina dan sebagainya.

Tidak melalaikan sehingga mengabaikan kewajipan agama seperti solat fardu. Oleh itu, masa menikmati hiburan juga hendaklah dijaga dengan baik. Jika hiburan menyebabkan kita tidak dapat menunaikan kewajipan agama seperti solat fardu, berbuat baik kepada ibu bapa, membantu orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya maka ia adalah hiburan yang bertentangan dengan syariah Islam.

Menjaga pakaian agar menutup aurat dengan baik.

Tidak mempromosi atau membawa budaya yang bertentangan dengan Islam. Jika hiburan tersebut mendorong kepada maksiat, maka hiburan itu bertentangan dengan Islam.

Didikan akhlak terpuji bermula dari rumah

Tarbiah Jinsiah atau dikenali juga sebagai Pendidikan Seksual seharusnya diberi pendedahan kepada kanak-kanak seawal umur remaja lagi.

Sekiranya kita melihat fenomena yang berlaku kepada anak muda kini, ia berkait rapat dengan tarbiah jinsiah. Islam menggariskan beberapa perkara di dalam tarbiah jinsiah untuk kita sebagai manusia mengambil panduan daripadanya.

Ustazah Norhafizah Musa dalam rancangan Usrati yang bersiaran Khamis lalu jam 5.15 petang menekankan betapa Islam menitikberatkan tarbiah jinsiah bermula dari rumah.

Ia merangkumi ilmu Islam yang menggariskan tatacara seorang anak terhadap ahli rumah yang lain, termasuk berurusan dengan kedua-dua ibu bapa.

Minta izin masuk bilik ibu bapa

Di dalam al-Quran disebutkan bagaimana sikap seorang anak yang hampir atau baligh perlu meminta izin daripada kedua-dua ibu bapanya sebelum memasuki bilik mereka.

Allah berfirman di dalam Surah an-Nur, ayat 58 hingga 59 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak. Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa berkenaan (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dalam kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Apa yang ditekankan di dalam al-Quran ini adalah pendidikan atau pencegahan bagi banyak perkara dan tidak boleh dianggap remeh kerana seorang anak yang sedang membesar mempunyai perasaan serta naluri ingin tahu terhadap banyak perkara.

Pandangan perlu dijaga

Pada masa sama, pandangannya sangat perlu dijaga. Antara hikmah di sebalik tarbiah jinsiah seawal usia hampir baligh ialah untuk membendung anak-anak daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya.

Namun begitu, bagaimanakah gejala sosial dalam kalangan remaja dalam sudut seksual begitu berleluasa?

Ustazah Norhafizah Musa merungkai permasalahan ini dengan melihat apa yang berlaku adalah kerana naluri seksual anak-anak ini tidak berjalan secara alami, malah ia dirangsang hasil daripada menonton atau melihat perkara tidak sepatutnya.

Hikmah di sebalik panduan Islam ini adalah untuk mendidik anak-anak bahawa setiap perkara dalam kehidupan kita ada batasannya, sama ada makan, pergaulan, akhlak, percakapan dan sebagainya.

Setiap perkara yang melanggar batas akan membawa kita kepada melakukan dosa dan dosa yang kita lakukan mempunyai rangkaiannya.

Apabila kita melakukan sesuatu dosa, ia akan membuka pintu untuk kita melakukan dosa yang lain pula dan begitulah seterusnya. Batasan di dalam Islam adalah untuk mencegah kita daripada melakukan dosa.

Dalam hal ini, ibu bapa disaran menjadikan bilik tidur mereka satu tempat yang istimewa, iaitu bukan tempat yang sewenang-wenangnya boleh dimasuki ahli keluarga atau saudara-mara.

Bilik tidur adalah 'tempat rahsia' suami isteri kerana ada sesetengah perkara atau barang yang tidak boleh diketahui atau dilihat oleh orang lain, melainkan hanya mereka berdua sahaja.

Rasulullah SAW mengajarkan adab meminta izin memasuki bilik kepada Anas sewaktu beliau menjadi pelayan Nabi SA.

Suatu masa, Anas masuk ke tempat Baginda tanpa meminta izin terlebih dahulu, dan pada suatu hari ketika Anas datang ke tempat Nabi, Baginda bersabda yang bermaksud, "Tahukah engkau wahai Anas bahawa sesudah itu telah turun ayat yang menegaskan bahawa engkau tidak boleh masuk tanpa izin terlebih dahulu." (Riwayat Bukhari).

Didik rasa malu dalam diri

Selain itu, tarbiah jinsiah juga adalah sebagai didikan kepada anak-anak untuk menundukkan pandangan. Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak-anak supaya mempunyai rasa malu di dalam diri mereka, terutamanya dalam kalangan anak perempuan.

Firman Allah SWT di dalam Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka."

Dalam hal ini, Sheikh Abdul Al Hamid mengajak umat Islam bermuhasabah diri dengan membawa satu kisah di dalam ceramah beliau berkenaan seorang bukan Islam, iaitu ilmuwan Jerman di dalam bidang pendidikan memberikan satu komentar terhadap usaha dan cara Islam dalam tarbiah jinsiah yang berkait rapat dengan menundukkan pandangan.

Ilmuwan itu memberitahu bahawa dia mempelajari ilmu psikologi dan pelbagai ubat untuk mengatasi persoalan seksual, tetap tidak menjumpai walau satu penawar atau cara yang lebih mujarab daripada firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi SAW di dalam surah berkenaan An-Nur, ayat 30 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci dari mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan."

Akhirnya, ibu bapa perlu merancang pendidikan seksual awal dari rumah, bermula usia sebelum baligh. Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul sepatutnya kita lebih mengambil berat dengan apa yang diperintahkan Allah SWT supaya menghindarkan diri kita daripada melakukan dosa dan akhirnya mendapat keredaan Allah SWT dalam kehidupan kita. Maslina Alias Berita Harian Rencana 23 Jan 2015

Islamophobia agenda global Barat

Islamophobia berlaku secara global

APA yang berlaku di Perancis, Sweden, Amerika Syarikat dan banyak negara terhadap Islam adalah gambaran Islamophobia yang semakin merebak. Kebebasan yang mereka tampilkan memberi fokus mengenai kebangkitan Islam. Kalau Islam itu tidak ada apa-apa tidak mungkin phobia (kegentaran) itu terjadi.

Umat Islam sepanjang sejarah berdepan dengan pelbagai pengalaman getir. Perang Salib tidak sekadar pertembungan persenjataan suatu ketika dulu tetapi dendam salibiyyah masih berjalan sehingga kini kerana perancangan evangelis Kristian terhadap umat Islam masih berterusan terutama di rantau Alam Melayu yang mempunyai penduduk Islam ratusan juta.

Al-Quran (al-Baqarah: 120) menyebutkan cita-cita Yahudi dan Nasrani untuk memesongkan orang-orang Islam dengan rasa kebencian yang tinggi. Nasib umat Palestin adalah manifestasi Yahudi-Zionis ingin menghancurkan Islam dan umatnya. Gerakan orientalisme telah berlaku berabad-abad memberi tafsiran lain terhadap Islam itu sendiri. Al-Quran dan Sunnah diberikan tafsiran baru yang secocok dengan sudut pandangan mereka. Namun begitu Islam tetap bangkit dengan originalitinya sendiri dengan merujuk pandangan jumhur ulama yang muktabar.

Yang amat tidak disukai oleh Barat ialah aplikasi syariah dalam sistem. Mereka hanya ingin melihat Islam sebagai agama ritual seperti agama mereka bukannya menyantuni sistem. Bila Islam diterjemahkan sebagai suatu cara hidup, Barat melihat ia suatu gugatan kepada status quo mereka. Di sinilah lahirnya Islamophobia.

Yang ingin ditampilkan oleh Islam ialah kebaikan dan kesejahteraan umat manusia. Islam ada sejarah tamadun yang hebat. Ia tidak saja mampu melakukan sinergi antara sains dan wahyu tetapi menjadi sumber rujukan Barat untuk maju suatu ketika dulu.

Berabad-abad mereka tanamkan benih sekularisasi, deIslamisasi dan liberalisasi di negara orang-orang Islam, kini benih Islam itu pula sedang subur di negara-negara Barat dan menyebabkan Barat memberi reaksi yang berlebihan supaya fitnah terjadi terhadap Islam itu sendiri.

Sayangnya di negara-negara umat Islam, umat Islam berantakan sesama sendiri dan terjebak dengan perangkap kuasa besar dan berkepentingan akibat di satu pihak ingin mempertahankan sekularisme dan liberalisme dan dipihak lain ingin menampilkan Islam yang tidak toleran atau terjebak dengan pertentangan tajam pelbagai aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam sendiri dan dibayangi oleh perbezaan mazhab.

Di Malaysia, sifat kemajmukan masyarakatnya dalam agama memperlihatkan petanda sekularisasi dan liberalisasi sedang mula menayangkan gelagatnya. Peruntukan dalam Perlembagaan adalah jelas bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain adalah bebas diamalkan dengan aman dan damai.

Malangnya kelompok-kelompok liberal yang ditaja oleh pihak luar atau yang cenderung terpengaruh dengan faham hak asasi dan kebebasan mutlak sedang mula memperlihatkan taring dan wajahnya dan menimbulkan keresahan dan boleh mengundang konflik. Munculnya sekelompok elit Melayu yang pernah mendukung dasar-dasar dalam pemerintahan cuba memberi takrif sendiri mengenai moderation, kesederhanaan dan ekstrem tanpa memahami secara mendalam aspek sejarah, budaya dan agama hingga menyebabkan mereka sinis terhadap faktor syariah.

Kemudian muncul pula kenyataan seorang peguam Eric Paulsen yang menuduh Jakim mempelopori faham ekstremisme pada setiap hari Jumaat (mungkin yang beliau maksudkan ialah khutbah Jumaat). Penulis membuat kesimpulan Eric hanya pencetus kepada suatu kontroversi. Apakah ia didorong oleh suatu perancangan yang tersusun rapi pancaran daripada Islamophobia yang semakin merebak. Orang-orang yang rasional mempunyai pendirian Eric membuat kenyataan tanpa hujah dan kajian yang menyeluruh. Kenyataan itu sendiri sifatnya suatu ekstrem dan bersifat prejudis.
* Prof Dr Sidek Baba ialah pemsyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). SInar Harian Rencana 23 Jan 2015

Islamofobia agenda Barat kuasai dunia

KUALA LUMPUR - Fenomena Islamofobia merupakan agenda Barat bertujuan untuk menghapuskan agama Islam yang dirasakan sebagai cabaran kepada mereka.

Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan, Dr Chandra Muzaffar berkata, bagi menjayakan agenda itu, negara Barat khususnya akan sentiasa mereka-reka perkara buruk mengenai Islam.



Dr Chandra Muzaffar


“Islamofobia masih berlaku dan akan berlaku sampai bila-bila, cuma apa yang membezakan keadaan semasa adalah dari segi sejarahnya sahaja. Seperti yang kita tahu ia dikatakan berlaku semasa Perang Salib dan istilah itu dikenali sehingga kini.

“Tetapi kalau kita tengok dalam keadaan semasa ini ada sekurang-kurangnya dua faktor mengapa istilah itu diteruskan. Pertamanya mereka jadikan Islam sebagai sasaran kerana bagi tamadun Barat, kepentingan ekonomi adalah keutamaannya yang melibatkan minyak.

Tambahan pula sebahagian besarnya minyak yang diimport adalah dari negara Islam, itu adalah antara faktor penting,” katanya ketika diskusi meja bulat bertajuk Ekstremisme, Keganasan dan Islam: Ke Arah Pemahaman Isu Lebih Baik anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia di sini, semalam.

Katanya, faktor kedua agenda Islamofobia adalah bagi mencapai cita-cita Barat untuk menguasai dunia.

Sementara itu, mengulas serangan terhadap akhbar satira Charlie Hebdo yang didakwa melibatkan penyerang beragama Islam, beliau berkata serangan itu sebagai tindak balas selepas akhbar tersebut menghina kesucian Islam dalam kartun terbitannya.

“Ini adalah reaksi sikap tidak bertanggungjawab syarikat penerbitan itu yang mempersendakan Islam.

“Malangnya daripada sikap mereka itu mengakibatkan berlakunya kematian yang akhirnya sekali lagi memburukkan Islam,” kata beliau.

Sementara itu, pensyarah Pusat Program Asasi, Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa, Ahmad El-Muhammady berkata, krisis ketidakadilan global terhadap umat Islam menjadi faktor utama penyumbang wujudnya kumpulan militan yang bertindak di luar batasan sehingga dijadikan modal oleh Barat untuk memburukkan imej Islam.

Menurutnya, ada yang menganggap kumpulan militan sebagai penyelamat.

"Seperti di Iraq, Afghanistan, Yaman, Palestin, Syria dan lain-lain negara, mereka tiada tempat untuk membuat laporan (semasa peperangan) dan terpaksa hidup dalam kesengsaraan.

“Jadi perasaan marah yang begitu lama dipendam seolah-olah diberi peluang untuk membalas dendam apabila kumpulan militan Negara Islam (IS) datang, ramai yang tengok mereka boleh kawal dengan begitu cepat sekali selain dapat sokongan dari Iraq,” katanya.

Katanya, ia menyebabkan ramai terpengaruh sehingga ada yang terlibat dengan kumpulan militan itu tanpa berfikir panjang.

“Ada juga yang terpaksa sokong kerana terlalu ramai yang sokong IS, jadi mereka ikut sokong. Begitu juga sehingga di negara kita ada individu yang merasakan mereka terpanggil untuk turut serta atas nama Islam.

“Malangnya mereka ini digunakan untuk capai matlamat tertentu oleh IS sehingga melakukan perbuatan jelas terpesong daripada ajaran Islam,” ujarnya.

Sementara itu, kata Ahmad, sikap sesetengah pihak yang sengaja menimbulkan provokasi juga sebenarnya penyumbang kepada keganasan.

“Mungkin kita di Malaysia ini jika ada pihak menimbulkan kenyataan provokasi, mereka masih selamat.

“Tetapi di luar sana tidak mustahil mereka akan dibalas dengan kekejaman terutamanya (provokasi) melibatkan kesucian agama,” kata beliau.

Raja Abdullah diumumkan mangkat

ARAB SAUDI - Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz diumumkan mangkat dalam pengumuman yang dibuat stesen tv negara itu awal pagi ini.
Abdullah meninggal dunia pada usia 90 tahun.
Raja Arab Saudi yang baharu akan diwarisi Putera Salman Abdulaziz, lapor stesen tv berkenaan lagi yang dipetik daripada CNN.
Raja Abdullah, 90, dimasukkan ke hospital kerana menghidap jangkitan pada paru-paru.
Baginda menaiki takhta pada tahun 2005.

RAJA Abdullah yang dilahirkan pada 1 Ogos 1924 ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi sejak 1 Ogos 2005 hingga kemangkatannya pada 22 Januari 2015 akibat penyakit radang paru-paru. Baginda adalah anak ke-10 Raja Abdulaziz. Baginda mengambil alih takhta pemerintahan keluarga berpengaruh dalam dunia Arab itu selepas kemangkatan abang tirinya, Raja Fahd. - Grafik BH