January 29th, 2015

Risiko konflik perceraian

DIBINA atas dasar cinta, pastinya tidak pernah terlintas dalam fikiran pasangan suami isteri membayangkan akan berlakunya krisis dalam rumah tangga sehingga mengakibatkan penceraian ketika di alam perkahwinan.

Perceraian bukan ruang untuk mengaibkan satu sama lain

Perceraian mendatangkan kesan buruk terhadap anak jika tidak dikendalikan dengan baik. - Gambar hiasan

Atas kerelaan bersama, walaupun perlu menempuhi pelbagai cabaran dan halangan akan dilalui dengan sebaik mungkin dalam usaha merealisasi impian mengakhiri zaman bujang dengan bergelar suami dan isteri.

Namun, ibarat perjudian, tiada siapa yang dapat menjangka masa depan hubungan yang dibina walaupun telah bertahun lama. Pelbagai masalah luar jangka walaupun dianggap remeh berkemungkinan berlaku menjadi antara punca yang mengakibatkan konflik rumah tangga.

Disebabkan terlalu ego dan ingin menegakkan kebenaran diri, hubungan yang asalnya dibina dengan kata cinta dan janji setia akhirnya diakhiri dengan kata-kata kesat dan saling mempersalahkan sama lain. Permasalahan terus meruncing apabila tiada lagi persefahaman dalam komunikasi yang akhirnya membawa kepada perceraian.




Tempoh iddah merupakan peluang kedua kepada pasangan untuk memperbaiki hubungan. – Gambar hiasan

Tidak terhenti di situ, realitinya, akibat tidak berpuas hati dan apabila nafsu amarah menguasai diri, maka pelbagai tindakan sanggup dilakukan kepada pasangan yang dianggap punca permasalahan termasuklah memburuk-burukkan pasangan atau sehingga mencederakan.

Mengakui perkara itu, Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Profesor Datin Noor Aziah Mohd. Awal berkata, pasangan perlu berbincang dan memikirkan perkara itu sebaik mungkin bagi mengelakkan kesan buruk berlaku.

Ia tambahnya kerana, bukan sahaja mengakibatkan persengketaan yang berpanjangan sesama pasangan, malah hanya akan menjatuhkan maruah keluarga apabila diketahui umum.

“Jika semasa ingin berkahwin dapat dilakukan dengan prosedur dan etika yang baik, perkara sama juga perlu dilakukan ketika ingin melafazkan perceraian. Jika perceraian yang dibuat atas dasar persetujuan bersama tidak mendatangkan masalah, malah pihak mahkamah dengan mudah memberi pengesahan perceraian.

“Tetapi apa yang banyak berlaku kini, terdapat sebelah pihak yang membantah. Sebagai contoh, jika suami enggan menjatuhkan talak kepada isterinya selepas isteri membuat tuntutan khuluk, maka isteri perlu memberi penjelasan mengapa meminta diceraikan.

“Proses ini memerlukan penerangan terperinci yang hanya akan membuka pekung di dada sendiri kerana perlu menceritakan hal pasangan dan boleh memalukan suaminya walaupun ia adalah benar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pasangan suami isteri juga perlu mempunyai pengetahuan, khususnya berhubung hukum syarak ketika ingin menceraikan isteri.

“Lebih-lebih lagi bagi suami, mereka perlu tahu bahawa ingin menceraikan isteri perlu memastikan sama ada ia bersih daripada haid dan belum ditiduri semula. Jika semuanya teratur, pasangan boleh memilih hari apa yang bersesuaian dengan persetujuan bersama.

“Suami juga perlu mengetahui hukum untuk menceraikan isteri iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Jika suami tahu yang dia tidak lagi layak untuk menjadi suami seperti tidak mampu memberikan nafkah, maka ia wajib menceraikan isterinya,” jelasnya.

Psikologi anak

Bukan sahaja kepada pasangan, perceraian yang diakhiri dengan perselisihan turut boleh menjejaskan dan memberi kesan buruk terhadap masa depan anak-anak hasil daripada ikatan perkahwinan yang dibina.

Noor Aziah berkata, selain mengakibatkan hilang rasa kasih sayang, keruntuhan rumah tangga itu juga dapat mengganggu psikologi anak, terutamanya yang masih belum matang untuk berhadapan dengan rakan-rakan.

“Sedangkan kita sendiri yang telah berkahwin dan membina keluarga sendiri akan merasa kehilangan jika kematian ibu bapa, inikan pula bagi kanak-kanak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa.

“Perkara ini dapat memberi kesan buruk yang bukan sementara, tetapi sepanjang hayat bagi anak tersebut. Malah anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa itu akan menjadi malu untuk berhadapan dengan masyarakat, begitu juga untuk berhadapan dengan rakan-rakan ketika ditanya mengenai ibu bapa,” ujarnya.

Tindakan segelintir pasangan katanya, yang menghalang anak daripada berjumpa ibu atau bapa setelah mendapat hak penjagaan anak juga perlu dielakkan.

Ini tambahnya kerana, ibu bapa perlu mengetahui anak tersebut juga mempunyai hak untuk berjumpa dan mendapat kasih sayang ibu atau ayah mereka.

“Kebiasaan kes yang dilaporkan berlaku ialah, apabila bercerai dan mendapat hak penjagaan anak, ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan akan menghalang anak itu daripada berjumpa dengan ibu atau bapa mereka.

“Begitu juga, ibu bapa juga tidak boleh menceritakan keburukan ibu bapa kepada anak tersebut atau menghalang supaya tidak menggunakan barang pemberian. Tindakan ini perlu diubah kerana akan memberi kesan mendalam terhadap anak.

“Sebagai ibu bapa kita tidak boleh menafikan hak anak terhadap ibu bapanya,” tegasnya.

Pertahan martabat Islam

PENULIS mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kemelut penggunaan kalimah Allah SWT oleh Pihak Gereja Katolik yang berterusan sejak 2009 di mahkamah, sudah berakhir. Namun tidak ramai yang tahu sebenarnya kemelut ini bermula jauh terlebih dahulu daripada itu kerana pihak Kementerian Dalam Negeri telah acapkali memberi amaran sejak 1986 kepada mereka melarang penggunaan kalimah tersebut dan beberapa kalimah lagi di dalam penerbitan mereka yang merujuk kepada agama mereka.

Selagi penghakiman mahkamah disanggah, maka kedudukan Islam terus dicabar

Cabaran terhadap perundangan Islam dapat diadili sewajarnya berdasarkan kedudukan Islam, sejarah dan budaya serta norma masyarakat di Malaysia. &ndash-GAMBAR HIASAN

Kes di mahkamah bermula dengan semakan dipohon oleh pihak Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumppur mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri melarang mereka menggunakan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah Allah di dalam penerbitan bahasa Melayu berkala mereka. Kalimah-kalimah seperti Allah, Baitullah, Solat, Kaabah, Iman dan lain-lain digunakan bukan bagi merujuk kepada istilah yang difahami oleh orang Islam tetapi bagi merujuk istilah agama mereka.

Penulis terlibat di dalam kes ini sebagai salah seorang peguam yang mengendalikan kes ini dari peringkat mahkamah tinggi lagi. Adalah diharapkan dengan keputusan terbaharu yang tidak membenarkan pihak gereja menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri dapat menyelesaikan kemelut penerbitan pihak gereja berkenaan.

Begitu pun di hadapan mahkamah sebenarnya terdapat beberapa kes lain yang telah difailkan mirip kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur tersebut mempertikaikan larangan penggunaan kalimah yang berakar umbi kepada Islam bagi digunakan oleh agama lain merujuk agama mereka.

Islam dicabar

Nampaknya kemelut kalimah Allah ini masih belum dapat diselesaikan dengan tuntas sekiranya pihak bukan Islam masih tidak mahu akur dengan penghakiman mahkamah sebelum ini. Namun apa yang melegakan ialah penghakiman di dalam kes terdahulu ini boleh dijadikan asas kepada penghujahan di dalam kes-kes mendatang yang serupa.

Begitu juga terdapat pelbagai kes lain yang sedang diadili di mahkamah yang mempunyai kaitan dengan kedudukan agama Islam di Malaysia umpamanya kes transgender yang melibatkan perisytiharan ketidak berperlembagaan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) yang juga didengar di Mahkamah Persekutuan. Ketika artikel ini ditulis, kes tersebut masih belum didengar lagi. Ia dijadualkan didengar pada 27 Januari iaitu semalam.

Selain daripada kes transgender yang menarik perhatian beberapa Majlis-Majlis Agama Islam Negeri seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang dan Johor terdapat juga kes yang mencabar keputusan fatwa mufti yang difailkan di mahkamah sivil.

Malah bukan sahaja di mahkamah kedudukan dan ajaran agama Islam dicabar. Di media sosial serangan terhadap agama Islam lebih hebat lagi sama ada di dalam mahupun di luar negara. Apa sahaja yang berkaitan dengan keganasan diasosiasikan kepada Islam.

Islamophobia dalam kalangan orang awam amat menjadi-jadi kerana orang awam, khususnya bukan Islam sering diasak dengan tipu daya dan kekeliruan mengenai Islam. Sebahagian daripada kalangan awam meletak parameter yang salah di dalam menilai Islam. Tidak kurang juga yang mempercayai bulat-bulat propaganda pihak tertentu untuk mencemar nama Islam.

Terkini cabaran terhadap Islam bukan sahaja dipimpin oleh orang bukan Islam tetapi juga orang Islam atas nama liberal, moderat dan sebagainya. Golongan ini boleh mempersoalkan apa sahaja atas nama hak asasi termasuklah isu-isu moral atau akhlak.

Sering hujah yang dikeluarkan ialah kerajaan tidak boleh mengintip perlakuan salah masyarakat. Kisah Saidina Umar sering didamba sebagai autoriti ini. Namun sebenarnya golongan ini tidak pernah membaca pun Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah yang digubal bagi menjamin hak peribadi rakyat.

Malah orang yang menegur pula dikatakan sebagai ketinggalan zaman, ekstrem dan fanatik agama. Sebarang tindakan yang diambil dianggap sebagai melanggar hak asasi dan privasi seseorang. Walaupun salah satu Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan dalam konteks Rukun Negara ini juga.

Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini. Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang sedia adapun, akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan dan apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan.

Seharusnya selagi seseorang itu beragama Islam beliau berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan, termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Jika diteliti dengan mendalam gejala pembuangan bayi umpamanya, ia merupakan isyarat jelas daripada Allah SWT kepada orang yang menentang agama-Nya. Musibah yang melanda negara ini perlu difikirkan dengan fikiran yang terbuka dan penuh keinsafan. Petanda ini seharusnya kita akur dan bertindak segera sebelum negara menjadi hancur musnah dengan muda-mudi yang tidak keruan dan menyimpang daripada ajaran agama.

Sudah terbukti akibat daripada melonggarkan kawalan moral ini telah mengakibatkan gejala-gejala yang begitu menyedihkan saban hari berlaku. Yang peliknya pula, di mana perginya pejuang-pejuang hak asasi apabila bayi yang tidak berdosa itu dibunuh, dibakar, mayatnya dijinjing anjing dan sebagainya?

Sepatutnya mereka perlu menggarap formula yang berkesan bagi menangani gejala yang berleluasa ini dengan segera. Namun apa yang berlaku ialah sehingga hari ini jalan penyelesaian gagal dicari bagi menangani gejala sosial ini.

Jalan penyelesaiannya memang telah lama wujud cuma ia sengaja dipinggirkan. Berbaliklah kepada agama Islam bagi menemui jalan penyelesaian. Kawalan moral perlu diperketatkan bagi membanteras gejala sosial ini dan dengan sendirinya akan melahirkan generasi yang mantap berteraskan kepada al-Quran dan sunnah dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara dengan kualiti tersebut.

Penulis hairan kenapa masih ramai yang tidak melihat Islam sebagai jalan penyelesaiannya walaupun telah dibuktikan dalam banyak keadaan pendekatan Islam merupakan jalan terbaik dalam menyelesaikan banyak isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang semakin meruncing akhir-akhir ini. Namun sebahagian kita memilih menentang Islam.

Semoga segala cabaran terhadap perundangan Islam dapat diadili sewajarnya berdasarkan kedudukan Islam, sejarah dan budaya serta norma masyarakat di Malaysia.

Tingkat profesionalisme peguam syarie

Peguam syarie adalah satu bidang profesional dan setiap negeri di Malaysia mensyaratkan pengamal undang-undang syariah mempunyai kelayakan asas iaitu Ijazah Sarjana Muda Syariah dan sijil tambahan lain seperti Diploma Syariah dan Amalan Guaman (DSLP) atau Diploma Lepasan Ijazah dan Amalan (DLSA) dari universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf kerajaan.

Peguam syarie secara langsung membantu mahkamah dan hakim menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak. Peguam syarie yang bertanggungjawab harus memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan lunas-lunas dan peruntukan undang-undang serta prosedur mahkamah.

Ini perlu bagi memastikan keputusan dicapai memberikan hak sewajarnya kepada pihak berkenaan. Namun, di sebalik kerjaya mulia itu tidak dinafikan wujud beberapa kelompongan sama ada dari sudut kaedah undang-undang, tatacara mahupun akta.

Contohnya, sehingga hari ini masih tidak ada peruntukan kaedah ataupun tatacara dalam pelaksanaan pelatih dalam kamar syariah. Sebagai perbandingan, seorang pelatih dalam kamar sivil akan terikat dengan kaedah dan garis panduan ditetapkan oleh Majlis Peguam.

Tempoh masa ditetapkan iaitu sembilan bulan, mata ganjaran dan pentauliahan ditetapkan dengan sebegitu teliti bagi memastikan pelatih dalam kamar mendapat pengetahuan sewajarnya dalam dunia amalan guaman.


Mahkamah Syariah memberi keadilan dalam kes kekeluargaan dan menyelesaikan isu jenayah babitkan masyarakat Islam. - Gambar hiasan

Perkara itu tidak berlaku bagi pelatih dalam kamar syariah. Tidak ada garis panduan ditetapkan oleh mana-mana badan berkanun menyebabkan sesetengah pelatih masih tidak boleh beramal walaupun sudah setahun dalam kamar.

Ini sangat merugikan komuniti Mahkamah Syariah kerana pelanggannya kian bertambah. Justeru, jumlah peguam syarie harus sejajar dengan pertambahan itu.

Peguam syarie yang tidak boleh beramal di Mahkamah Sivil, mereka juga tidak ditadbir oleh mana-mana peraturan dalam beramal sebagai peguam syarie. Tiada syarat mengenai papan tanda iklan firma peguam syarie sahaja sudah melambangkan tahap tidak profesional pengamal undang-undang.

Rasulullah sebagai model profesionalisme

Sebagai pengamal undang-undang yang berasaskan wahyu dan syariah, sewajarnya profesion ini menjadikan Rasulullah SAW sebagai model profesionalisme yang wajib ditaati dan dicontohi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah, hari akhirat dan sentiasa menyebut Allah (berzikir)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Rasulullah SAW seorang pekerja paling profesional dalam pelbagai lapangan baik bidang perniagaan, kepemimpinan dan panglima perang. Baginda sering memberi komitmen seratus peratus dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketika perang Khandak, Rasulullah menerima cadangan daripada Salman Al-Farisi melaksanakan strategi peperangan iaitu menggali parit bagi membuat pertahanan daripada diserang musuh. Cadangan daripada orang luar berbangsa Parsi itu tidak menjadi penghalang bagi Rasulullah SAW menerimanya.

Tentera Islam menang peperangan itu dan ia memberi kesan positif dari sudut moral serta jati diri umat Islam yang baru mula berkembang. Sebagai seorang Rasul yang dididik secara langsung oleh Allah SWT, Baginda tidak memerlukan sebarang pendapat daripada manusia lain, tetapi baginda tetap bertindak profesional.

Pelbagai cerita tidak enak didengar mengenai tingkah laku sesetengah peguam syarie. Terdapat peguam syarie yang sangat lemah dalam kemahiran berkomunikasi dengan anak guam menyebabkan berlaku salah faham dan tuduh menuduh antara satu sama lain.

Menjadi kewajipan dan tugas hakiki peguam syarie sebagai pemudah cara serta pembantu mahkamah untuk menyelesaikan kes berdasarkan peruntukan undang-undang. Tanpa komunikasi yang baik, input maksimum tidak dapat diperoleh dan akan menyebabkan pelbagai prosiding tergendala.

Kurang pemantauan oleh badan berbidang kuasa terhadap peguam syarie menyebabkan sesetengah peguam syarie terbabit isu yang akan menimbulkan konflik kepentingan seperti memberi nasihat guaman yang tidak tepat dan lebih malang menyebabkan anak guam terbabit aktiviti menyalahi undang-undang.

Kesungguhan junjung keadilan

Seorang anak guam mungkin boleh menyelesaikan pertikaian dengan pasangannya melalui perceraian secara damai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan dinasihatkan oleh peguam syarie untuk menuntut fasakh.

Tuntutan nafkah yang mungkin sebenarnya wajar diterima seorang suri rumah, tetapi telah dinasihatkan untuk menuntut lebih daripada itu dengan alasan memberi pengajaran kepada bekas suami. Perlakuan seperti itu tidak melambangkan profesionalisme sebenar dan tidak ada kesungguhan menjunjung keadilan.

Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara sudah beberapa kali memaklumkan mengenai penambahbaikan bidang kehakiman dan kepeguaman syarie seperti penambahan hierraki Mahkamah Syariah daripada tiga kepada lima peringkat dan cadangan mewujudkan Akta Guaman Syarie.

Cadangan itu walaupun sudah acap kali disebut, tidak bergerak dengan kadar yang sama pada tahap profesionalisme peguam syarie. Diharap cadangan itu dapat dilaksanakan segera dan peguam syarie perlu mempersiapkan diri bagi memastikan tahap profesionalisme yang tinggi.

Khutbah Jumaat ~ Warga Bersatu Wilayah Maju

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat  30 Januari 2015M / 10 Rabiulakhir 1436H JAWI

Warga Bersatu Wilayah Maju

     Manusia merupakan makhluk sosial yang hidup secara majmuk.

Manusia akan berasa sunyi sekiranya mereka hidup terasing daripada kelompok manusia yang lain.

Surah Al-Hujurat, ayat 13 yang dibacakan pada muqaddimah khutbah yang bermaksud : “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki danseorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Kementerian Wilayah Persekutuan menganjurkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari setiap tahun. Tahun 2015 merupakan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ke-11 yang bertemakan “Wilayahku Ceria".

Perpaduan yang dibina penting bagi memupuk kerjasama dan membentuk toleransi antara satu sama lain.

Masyarakat yang harmoni wujud melalui hasil persefahaman antara satu sama lain. Tanpa sebarang prejudis dan perkauman, kita harus mengambil tahu adat resam dan pantang larang sesuatu kaum seterusnya menghormatinya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-An’am, ayat 108 : Bermaksud : Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umatmenganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.

Pertama : Membentuk mentaliti ummah yang bertamadun.

Kedua : Bekerjasama dan bersatu padu membentuk Wilayah Persekutuan yang maju.

Ketiga : Meningkatkan penghayatan Islam dalam kehidupan.

Keempat : Bantu-membantu dalam masyarakat


Renungkan pesanan Nabi SAW sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Abu Musa RA :  Bermaksud : “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti satubinaan yang kukuh, lalu baginda SAW mencantumkan jari-jari tangan kanan dankirinya.”

Piagam Madinah merupakan salah satu contoh terbaik sebagai dasar atau perlembagaan yang menjadikan Madinah sebuah Negara Islam yang membangun dan berkembang pesat kemajuannya.

Pertama : Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkahan hendaklah merujuk kepada baginda.

Kedua : Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam semua keputusan dan tindakan.

Ketiga : Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.

Keempat : Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka mematuhi perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut.



Kesimpulan yang dapat kita ambil daripada khutbah hari ini ialah :

Pertama : Umat Islam harus menunjukkan qudwah hasanah dalam hidup bermasyarakat agar dihormati oleh semua manusia termasuk mereka yang bukan Islam.

Kedua : Sumbangkanlah apa jua yang terdaya demi kemakmuran dan kesejahteraan wilayah yang kita kasihi ini.

Ketiga : Rasulullah SAW telah menunjukkan kebijaksanaan baginda dalam pentadbiran sebuah wilayah yang didiami oleh rakyat berbilang kaum dan agama.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, hayati dan renungilah firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal, ayat 63: Bermaksud : “Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yangberiman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka,akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Manfaatkan ICT Untuk Dakwah”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 30 Januari 2015 JAIS

“Manfaatkan ICT Untuk Dakwah” 

Teknologi maklumat dan komunikasi atau ringkasnya ICT merupakan satu teknologi yang dapat memudahkan kita mengumpul, menyimpan danmenyebarkan sesuatu maklumat dengan lebih pantas kepada orang lain.

Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke 33 ; “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta diasendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya akuadalah dari orang-orang Islam (yang berserah sepenuhnya kepada Allah)!”.

Pendakwah juga disarankan dan digalakkan untuk menggunakan peralatan teknologi ICT ketika berdakwah samada di masjid-masjid ataupun di surau-surau.

Dengan adanya medium ICT ini, kita dapat mengambil bahagian untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab berdakwah, sama ada denganmewujudkan laman-laman web, blog-blog dan lain-lain lagi yang berorientasikan Islam.

Hadis daripada Abdullah Bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah apa-apa yang kamu perolehi daripadaku walaupun satu ayat.” (Riwayat al- Bukhari).

Janganlah menyebar ajaran Islam yang menyeleweng, menyebarkan berita-berita palsu, fitnah memfitnah, caci mencaci dan sebagainya yang semuanya itu adalah dilarang keras oleh agama Islam.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat ke 19 ; “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhanyang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhiratdan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”.

Pengajaran yang terdapat daripada khutbah ini adalah:

1. Umat Islam hendaklah meningkatkan pengetahuan tentang ICT agar dapat memperluaskan medan dakwah kita kepada seluruh umat manusia.

2. Para ilmuan Islam hendaklah memanfaatkan penggunaan ICT termasuk membina perisian dalam penyampaian dakwah mereka.

3. Para pengguna ICT hendaklah sentiasa bijak dan berhati-hati semasa menggunakan ICT dan merujuk kepada para ulama sekiranya mendapati fakta-fakta meragukan berkaitan agama Islam.

4. Para pengguna ICT janganlah leka menggunakan ICT sehingga mengabaikan perlaksanaan kewajipan-kewajipan yang lain.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. (an-Nahl- 125).

Mimbar Jumaat sekali lagi berpesan bahawa Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan.

Wallahualam