January 30th, 2015

Islam memuliakan manusia sejagat

DALAM konteks dunia mencabar masa kini, semangat setiakawan amat diperlukan dalam kalangan umat Islam sebagai unsur kekitaan atau kesatuan ummah. Ia bermaksud perpaduan, kerukunan dan perasaan untuk bersatu. Setiakawan juga diterjemahkan dalam menyeru perkara kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar). Ia tidak seharusnya membeku dalam syarahan yang ‘garang’ dan seruan yang ‘gagah’ semata-mata.

Islam menetapkan dengan jelas dimensi ibadat yang luas dan meliputi semua amalan baik dan berfaedah. Amalan atau kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada individu dan masyarakat dikira ibadat, sekiranya seseorang itu me­lakukannya dengan niat yang ikhlas dan jujur, tidak mencari nama serta sanjungan orang ramai.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia.” Baginda dikenali sebagai seorang dermawan dan baik hati, malah turut melibatkan diri dalam kebajikan serta memberi pertolongan kepada orang ramai.

Dalam konteks hari ini, sema­ngat setiakawan mampu mengge­rakkan dakwah seiring dengan amar makruf yang dijalankan secara khid­mat, amal bakti dengan teladan, saranan dan usaha lapangan yang nyata.

Nahi mungkar pula dilaksanakan dengan mesej yang jujur dan membina, dilengkapi data, fakta serta angka hasil penyelidikan. Kemudiannya disampaikan dalam bahasa dakwah lunak yang merangsang fikiran dan fitrah semula jadi manusia untuk membuka pintu hati mereka.

Pendakwah hendaklah mendekati dan memberi perhatian serta pertolongan kepada mereka yang berada dalam kesusahan termasuk anak yatim dan remaja yang terlibat de­ngan maksiat. Kita janganlah terlalu asyik dengan theoretical dialoque konsep keadilan sosial yang serba ideal tetapi perlu menterjemahkan kepada konsep ideal Islam melalui kerja-kerja kemasyarakatan.

Semangat setiakawan Nabi SAW menonjolkan Islam sebagai sebuah agama yang syumul, yang mampu mengeratkan hubungan pelbagai bangsa dan agama di negara kita, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan semangat muhibah dan penyatuan nasional seperti berikut:

- Teladan yang baik - amat pen­ting dalam penyampaian dakwah. Imej Muslim mithali yang mempraktikkan ajaran Islam amat pen­ting untuk dihayati dan dipraktikkan oleh para pendakwah. Sejauh manakah akhlak menepati seperti digariskan oleh al-Quran dan sunah, akhlak dengan jiran, kawan sekerja, bersama-sama masyarakat dan sebagainya.

Kisah yang masyhur melibatkan Nabi SAW dan perempuan tua Yahudi. Perempuan itu sering meletakkan najis dan duri di hadapan rumah Baginda namun baginda sentiasa bersabar. Sehinggalah pada suatu hari Baginda mendapati tiada sebarang kotoran. Maka Nabi SAW mengetahui bahawa perempuan itu jatuh sakit, lalu Baginda menziarahinya.

Sikap Baginda yang sabar dan berbuat baik, mendorong perempuan itu memeluk Islam kerana terkesan dengan ketinggian budi pekerti Rasulullah.

- Memuliakan ‘bahasa’ mereka - dakwah menggunakan keperluan kumpulan sasar dan menjauhi daripada menyebut perkara yang tidak diingini oleh mereka, contohnya tidak sesuai membicarakan persoalan ‘halal haram makanan’ kepada masyarakat Orang Asli, ­minum minuman yang memabukkan mungkin tidak sesuai disebut dalam kalangan masyarakat berpendidikan Barat bukan Islam, tetapi jika memperkatakan permasalahan dadah dan AIDS, mungkin sesuai untuk dijadikan topik perbincangan bersama.

- Perkhidmatan sosial - digunakan sebagai satu cara berkesan untuk memenangi hati masyarakat. Tidak dibataskan pada kegiatan lisan dan tulisan sahaja tetapi dilakukan de­ngan teladan yang baik, gerak-geri yang mulia, aktiviti positif yang menarik perhatian dan minat golong­an sasar menerima agama Islam.

Apabila kita membuka pintu dakwah dengan seluas-luasnya, semua pihak seharusnya memainkan peranan mengikut keupayaan dan kepakaran masing-masing. Tidak semua anggota masyarakat berkemampuan untuk berdakwah dengan lisan atau tulisan. Bakat semula jadi dan potensi manusia adalah berbagai-bagai, justeru mereka yang berkemampuan dalam bidang tertentu se­perti khidmat sosial harus memainkan peranan masing-masing.

Kita hendaklah berusaha membuktikan kemampuan Islam menyelesaikan masalah umat Islam masa kini. Islam tidak sepatutnya kelihat­an indah dan mengagumkan di atas kertas yang ditulis oleh para sarjana atau diucapkan dengan indah dan menarik dalam syarahan serta ce­ramah sahaja.

Keunggulan dan kecantikan Islam diterjemahkan secara nyata dalam kehidupan manusia. Per­khidmatan sosial sebagai media dakwah tidak terbatas kepada bantuan kecemasan kepada mang­sa banjir, tanah runtuh dan kecelakaan lain, tetapi meliputi ke­perluan asas orang ramai seperti makanan, perumahan, pakaian, kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.

Inilah cerminan para da’i sebagai ikon masyarakat. Pendekatan dakwah melalui program turun ke lapangan dan mendekati secara langsung kumpulan sasar di peringkat akar umbi, sekali gus mampu menyelami denyut nadi permasalah­an dan membimbing masyarakat.

- Memuliakan manusia sejagat - Allah SWT memberi panduan kepada orang Islam supaya memberi bantuan dan perlindungan kepada penyembah berhala yang tersangat jauh perbezaannya dengan agama Islam, jika mereka memohon perlindungan kepada orang Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 6: ­“Dan jika seseorang di antara orang musyrikin itu me­minta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia, supaya ia sempat mendengar perkataan Allah, kemudian hantarkan ia ke tempat yang aman baginya.”

Berbeza agama bukan alasan untuk hidup bermusuhan. Setiap manusia yang berbeza agama mempunyai persamaan sebagai warga besar ummah manusia. Memuliakan manusia atas sifat kemanusiaan tanpa mengira agama, suatu tuntutan dalam beragama, selain sunah Rasulullah SAW. Al-Bukhari meriwa­yatkan Rasulullah SAW berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

Begitu juga setiap jiwa manusia memiliki unsur kemuliaan yang mesti dihormati sepanjang masa. Ibn Hazm mencatatkan mengenai kematian ibu al-Harith Ibn Abi Rabiah yang beragama Kristian, jena­zahnya dihantar ke perkuburan oleh sahabat Rasulullah. Hakikatnya, seluruh umat manusia itu saling berhubung kait dan tidak selayaknya untuk dimusuhi, dibenci dan saling membunuh sebaliknya dihormati, dikasihi dan dibantu untuk kebaikan.

Beginilah cerminan setiakawan sejati dalam Islam sebagaimana yang dituntut. Golongan yang kuat menolong masyarakat yang lemah, golongan atasan yang kaya mengasihani masyarakat miskin dan wujudnya perasaan saling menghormati antara satu sama lain. Inilah wasatiyyah yang dibawa oleh Rasul junjung­an kita Muhammad SAW. - Abdullah Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 30 Januari 2015 1:09 AM

Pertembungan Islam-Barat

ISU penghinaan terhadap agama Islam melalui lukisan karikatur Nabi Muhammad SAW membabitkan majalah Perancis, Charlie Hebdo, seterusnya mengakibatkan serangan kega­nas­an terhadap pejabat majalah ber­kenaan yang meragut 12 nyawa, bukanlah satu permulaan baik untuk kehidupan beragama bagi pembukaan tahun baharu 2015 ini.

Tanpa membela tindakan keganasan tersebut, tidak ada agama di dunia dapat menerima apabila tokoh penting mereka dihina sedemikian rupa. Apatah lagi insan yang dihina itu ialah individu yang menjadi asas ajaran Islam itu sendiri iaitu Rasulullah, si penerima wahyu Allah.



Para penyokong parti Jamaat-e-Islami memegang poster lambang hati dengan perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab semasa menyertai perhimpunan mengutuk majalah Perancis, Charlie Hebdo kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad di Lahore, Pakistan, 25 Januari lalu. – AP -

Sikap hipokrit dan angkuh mereka ini begitu ketara sehingga sengaja ‘memalitkan darah-darah’ yang ditumpahkan sekelompok ekstremis Islam ini ke tubuh seluruh Muslim lainnya. Lantas mereka melaungkan; “Anda bersama kami atau bersama pengganas?” Seolah-olah jika tidak menyokong keganas­an hendaklah menyokong agenda kebebasan mereka.

Hakikatnya kedua-duanya adalah manifestasi ekstremisme.

Perbezaan kefahaman tentang agama

Tidak dapat dinafikan perselisih­an ini sedikit-sebanyak berkait rapat dengan kefahaman barat sebagai sebuah pandangan hidup, terhadap agama itu sendiri. Agama dalam Islam tidaklah sama seperti agama yang difahami di barat.

Mereka boleh saja mengatakan kelab bola sepak yang mereka gilai sebagai agama, atau legenda bola sepak tertentu sebagai Tuhan. Se­nario ini cukup untuk menggambarkan bahawasanya agama tidak lebih daripada sesuatu yang mereka percaya sebagai obsesi terbesar dalam kehidupan semata-mata.

Ahli teologi dan falsafah Jerman, F. Schleiermacher dalam bukunya On Religion: Speeches to Its Cultured Despisers mengatakan agama adalah, “rasa ketergantungan yang mutlak”. Sementara itu, Alfred Whitehead dalam Religion In The Making mengatakan agama adalah, “apa yang kita lakukan sendirian” sementara bagi Emile Durkheim dalam bukunya, The Elementary Form of The Religious Life menyatakan agama sekadar “rasa keber­tuhanan dalam jiwa”.

Sudah tentu mereka tidak akan menemui tuhan yang sebenar itu kerana; “Tuhan telah mati,” kata Friedrich Nietzsche.

Tuhan bukan lagi wujud dan tertinggi. Tidak ada lagi yang mutlak. Kini semuanya relatif dan harus berubah. Yang kekal hanyalah perubahan. Jika ada sesiapa mengatakan sesuatu itu salah atas nama agamanya, maka orang lain berhak menghakimi bahawa orang itu benar. Kerana tuhan tidak boleh diwakili atau dijadikan justifikasi. Tuhan yang mutlak itu telah mati dan kini diambil alih oleh tuhan yang ditentukan ‘kesepakatan sosial’.

Jus­teru tidak hairan kenapa agama ataupun tokoh-tokoh tertentu dalam agama itu bukanlah sesuatu yang begitu suci untuk dipermainkan.

Kini budaya tinggi di barat yang melihat prinsip liberal sebagai punca kemajuan melihat nilai yang mereka yakini ini perlu diseja­gatkan. Penjajahan yang dulunya fizikal kini berubah wajah kepada penjajahan versi baru iaitu penjajahan pemikiran.

Akhirnya kini agama tidak lagi sesuatu yang sacred (suci) tetapi hanya profane (sekular). Agama yang dulunya mencakupi metafizikal (melangkaui fizikal) menjadi sesuatu yang fizikal semata-mata, mesti boleh dilihat, diukur dan dibuktikan. Jadilah para saintis sosial moden masa kini ulama-ulama baru pentafsir agama.

Islam adalah pandangan keseluruhan tentang kehidupan. Konsep agama dalam Islam sama sekali berbeza dengan faham barat terhadap agama mereka. Agama dalam Islam adalah fitrah (default) manusia itu sendiri. Sebelum dilahirkan ke dunia lagi manusia telah ditanya di hadapan Allah SWT: “Adakah aku ini Tuhan kamu?” Lalu manusia telah menjawab, “Bahkan kami bersaksikan (Engkaulah Tuhan kami) (al-A’raf: 172).

Islam adalah sebuah agama yang berpandukan wahyu Tuhan, memberi pandangan keseluruhan tentang setiap yang wujud serta martabat-martabatnya. Ilmu tentang setiap perkara termasuk hakikat ketuhanan, wahyu, agama, kebebasan dan lain-lain ini seterusnya memandu tingkah laku setiap insan untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar.

Pertembungan tamadun

Peristiwa keganasan melibatkan Islam dan barat ini hanya rentetan pertembungan dua tamadun yang saling bersaing. Hakikatnya pertembungan tamadun ini membawa bersamanya pertentangan pandangan hidup terhadap alam dan kewujudan secara keseluruhan.

Barat menyedari bahawasanya Islam adalah tandingannya dalam membawa mesej kesejagatan. Jus­teru tidak hairan agama Islam ini menarik ramai sekali pengkaji dari barat mengkaji tokoh-tokoh serta hasil karya agung Islam.

Dalam bidang Islamic Studies khususnya, orientalis barat telah beberapa langkah ke hadapan dalam mengkaji karya-karya agung Islam, biarpun motif mereka bersifat pelbagai sama ada keilmuan, keagamaan ataupun politik.

Samuel Huntington dalam karyanya yang popular iaitu Clash Of The Civilisation menyatakan; “Negara atau kumpulan daripada tamadun yang berbeza tidak akan menjadi rapat, malah akan sentiasa wujud pertentangan. Keruntuhan komunisme mengukuhkan dominasi barat yang percaya li­beral demokrasi yang membawa kejayaan kepada mereka harus di­sejagatkan. Lantas di mana-mana ada sahaja ‘kaki-kaki’ mereka yang dipasang sebagai puppet on a string untuk mempromosikan agenda li­beral demokrasi ini.”

Keuntungan peribadi

Pasca peristiwa serangan ini, jelas menunjukkan mereka tidak menyesali tindakan provokasi mereka itu malah mengulang cetak edisi baharu yang ‘lebih panas’ dan dikatakan telah mengaut keuntungan jualan jutaan unit. Yang menjadi mangsa pastinya dunia Islam yang terus dicurigai sebagai sarang pengganas.

Boleh jadi ia hanya provokasi murahan yang akhirnya membawa keuntungan kepada majalah yang hanya mementingkan keuntungan jangka masa panjang. Tiada siapa yang mengenali Charlie Hebdo sebelum mereka melakukan kegilaan ini, barangkali cuba mengikut jejak langkah Salman Rushdie yang tidak dikenali sesiapa kecuali setelah keluar dengan bukunya, The Satanic Verses. Penulis ialah Penolong Pengarah ­Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berniaga jangan khurafat, syirik

Perniagaan adalah punca rezeki yang paling banyak. Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis yang bermaksud: “9/10 rezeki itu datang daripada perniagaan.” (riwayat Tirmizi)

Demikian Islam meletakkan perniagaan sebagai aktiviti yang mulia. Selain itu, perniagaan adalah ibadat dan juga sunah baginda SAW. Bahagialah peniaga yang amanah kerana mereka dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada. Namun demikian, jika dilakukan luar batasan syariat Islam maka boleh mengundang padah baik di dunia mahupun akhirat.

Akibat terlalu mengejar keuntungan, ada peniaga yang mencari pelaris dan tangkal untuk memajukan perniagaan. Pelaris itu biasanya melibatkan penggunaan barangan ter­tentu secara tradisional iaitu bomoh. Berjumpa bomoh kerana jualannya tidak maju, makanan tidak sedap dan adakalanya dilakukan sihir oleh bomoh supaya orang bertumpu ke kedainya. Perbuatan ini dilarang dan haram dalam Islam.

Pelaris itu pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang menggunakan objek, gambar rajah, azimat atau tangkal. Ada warung atau gerai makan yang meletakkan dalam bingkai, huruf tertentu dalam petak yang digabungkan seakan-akan ayat suci al-Quran atau doa tertentu tetapi tidak difahami langsung. Ini juga mungkin sejenis pelaris.

Untuk mencapai hajat maju dalam perniagaan, mereka tidak sayang me­labur puluhan ribu ringgit malah ada yang mencecah ratusan ribu. Ada yang terjebak dalam perkara khurafat dan membayar ribuan ringgit untuk sebentuk cincin yang kononnya membawa tuah dan ada juga yang ‘membeli’ ayat seribu dinar dengan harga tinggi untuk digantung di premis perniagaan.

Ada juga segelintir bomoh yang bertopengkan agama. Mereka berjubah, menyimpan janggut dan berserban sebesar bakul tetapi semua itu hanyalah untuk mengabui pandang­an masyarakat. Jangan kita terperangkap dengan bomoh sebegini waima berstatus kiai sekali pun.

Tanpa disedari, perbuatan berkenaan boleh menyebabkan syirik kerana kita percaya boleh mendatangkan pulangan lumayan sedangkan yang memberikan rezeki kepada manusia ialah Allah SWT.

Hukum perbomohan adalah harus dengan syarat tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Dalam sejarah Islam, memang wujud cara pengubatan tertentu sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Selain cara-cara biasa, mereka juga menggunakan doa-doa, khusus bagi mengubati penyakit-penyakit tertentu.

Walau bagaimanapun, penggunaan tangkal azimat adalah haram dan syirik jika mengandungi perkataan-perkataan yang tidak dapat difahami maknanya, berdasarkan sihir, yang memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis dan kotor.

Para peniaga juga mesti meletakkan keyakinan bahawa rezeki itu daripada Allah. Sebagai manusia kita perlu berikhtiar. Bagi peniaga ikhtiar mereka sepatutnya menyediakan makanan yang lazat, premis yang bersih serta harga yang berpatutan. Dengan demikian, insya-Allah perniagaan makanan mereka akan maju.

Seperkara lagi, sesibuk mana sekali pun kita dengan aktiviti perniagaan, hakikatnya seruan Allah itu adalah perkara utama yang mesti didahulukan. Jangan kerana berniaga, solat ditinggalkan. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (an-Nur: 37) - Mohd Razi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 30 Jan 2015