February 6th, 2015

Jangan beribadat ikut musim

Isnin lalu, saya menerima mesej WhatsApp seperti berikut: “Malam ini 3.25 pagi waktu Mekah (kira-kira 8.25 pagi waktu Malaysia), bulan akan mengelilingi (tawaf) Kaabah, ini terjadi 1,000 tahun sekali. Langit akan berwarna biru muda. Ini adalah saat yang datang 1,000 tahun sekali, anda mohon minta apa sahaja daripada Allah. Tolong hantar mesej ini kepada orang yang anda sayang dan rakan-rakan. Marilah kita rebut peluang keemasan ini bertahajud malam ini dan solat dhuha esok...Rujuk video http://youtube/hDDODs95xj0powerful emotional doa/mufti Ismail Menk. Ini adalah satu lagi ‘penyakit’ sebahagian umat Islam. Mereka suka sangat menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya. Jika sebelum ini mesej yang disebarkan tidak disertakan pengirimnya tetapi kali ini ia menggunakan nama seorang ulama yang didakwa Mufti Ismail Menk.

Beberapa bulan lalu, pernah disebarkan WhatsApp yang kononnya melarang guna perkataan salam. Kenyataan itu didakwa dikeluarkan seorang ulama, Datuk Dr. Haron Din. Saya pasti, ramai pembaca turut menerima mesej yang sama.


Kenyataan Mufti Ismail Menk menerusi akaun Facebook beliau.

Malangnya, masih ramai yang terpedaya dengan mesej-mesej begini. Antara sebab utamanya, beribadat sekali tetapi ganjarannya berlipat kali ganda. Kalau mengikut mesej tadi, tunaikan solat tahajud dan mintalah apa sahaja, nescaya Allah perkenankan kerana kejadian bulan mengelilingi Kaabah itu berlaku 1,000 tahun sekali.

Bukankah kita sudah diajar supaya memeriksa terlebih dahulu sebelum menyebar dan mempercayai berita atau maklumat yang diterima. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat: 6)

Selang dua hari, ini jawapan Mufti Ismail Menk.....

Ajakan me­laku­kan solat malam atau qia­­mullail itu memang baik tetapi kaitannya dengan asbab iaitu bulan itu adalah tidak benar. Tindakan itu boleh mengelirukan masyarakat. Pada masa yang sama, penyebaran mesej-mesej yang tidak bersandarkan maklumat sahih ini akan mendorong manusia beribadat secara bermusim. Dengan kata lain, mereka ini hanya menunggu masa-masa tertentu yang kononnya waktu mustajab baharu hendak beribadat dan berdoa.

Walhal, sudah jelas dalil-dalil mengenai kelebihan qiamullail dan mustajabnya doa pada waktu tersebut. Antara dalil itu adalah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Allah SWT turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, sambil bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, “Adakah di antara hamba-Ku yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya”. (riwayat Muslim)

Satu lagi malam yang patut kita beribadat bersungguh-sungguh adalah malam al-qadr. Tidak ada pertikaian tentang kelebihan beramal padanya kerana dijelaskan menerusi nas yang qatie iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada lailatul qadar. Tahukah kamu apakah lailatul qadar itu? Lailatul qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan. (al-Qadr: 1-3).

Khutbah Jumaat ~ Dunia Di Mata Ahli Akhirat

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 6 Februari 2015M/ 16 Rabiulakhir 1436H JAWI

Dunia Di Mata Ahli Akhirat

Dunia merupakan tempat persinggahan sementara bagi para pedagang akhirat untuk mengumpul sekian bekalan menuju ke destinasi hakiki. Alam akhirat yang bakal dihuni oleh sekalian manusia adalah destinasi terakhir yang kekal selamanya.

Rasulullah SAW telah memberikan petunjuk di dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari daripada Ibnu Umar RA : Bermaksud : Rasulullah SAW memegang bahuku lalu baginda SAW bersabda : “Hendaklah engkau berada di dunia seperti pedagang atau pengembara.” Dan Ibnu Umar RA berkata : “Jika engkau berada pada waktu petang, jangan engkau bertangguh ke waktu pagi. Dan jika engkau berada pada waktu pagi, jangan engkau bertangguh ke waktu petang. Gunakan masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati”

Pertama, seorang pedagang atau pengembara perlu menyediakan keperluan secukupnya bagi menjayakan dagangan atau pengembaraannya. Tanpa keperluan yang mencukupi, pasti perjalanan yang ditempuhinya akan sukar dan menyeksakan. Oleh itu, seorang pedagang atau pengembara dunia yang ingin berjaya dan sampai ke destinasinya iaitu kebahagiaan di akhirat perlu berbekalkan taqwa dan amal soleh.

Kedua, seorang pedagang atau pengembara hanya akan membawa bersamanya perkara-perkara yang diperlukan agar tidak menyusahkannya. Misalnya peralatan yang berat dan alatan elektrik yang besar kerana ia akan mengganggu perjalanan tersebut. Maka dalam kehidupan di dunia dia hanya mengambil sekadar keperluan bukan untuk bermewah-mewahan. Dia hidup secara zuhud dan qanaah untuk menjamin keselamatan di akhirat

Ketiga, sebagai pedagang dan pengembara di negeri orang, tentulah rindu untuk kembali ke kampung halaman. Namun, kerinduannya tidak bererti sekiranya dia kembali ke kampung halaman dalam keadaan tangan kosong setelah lama berdagang. Mana mungkin dia pulang tanpa sebarang buah tangan yang boleh dinikmati hasil perdagangan dan pengembaraannya di negeri orang. Begitu juga dengan manusia yang akan menyesal sekembalinya ke kampung akhirat tanpa membawa sebarang buah tangan yang boleh dinikmati walaupun lama tempoh berdagangnya di dunia ini. Justeru, istiqamahlah mengumpul dana untuk dibawa kembali ke kampung akhirat yang kekal abadi.

Ibnu Umar RA menambah pesanan Rasulullah SAW dengan menyatakan beberapa ciriciri ahli akhirat iaitu:

Pertama, mereka tidak melengah-lengahkan waktu dan peluang untuk berbuat amal soleh. Apa jua masa dan keadaan, pagi mahupun petang, hidup bahkan sihat, para pencinta akhirat akan sentiasa dalam keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Surah Yusuf ayat 57 yang dibacakan di awal khutbah tadi sentiasa menjadi azimat keimanan mereka kerana ia membawa maksud : “Dan sesungguhnya pahala di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman dan selalu bertakwa.” Sementara ahli dunia pula hidup di dunia seolah-olah ingin kekal di dalamnya lalu melengah-lengahkan serta tidak mempedulikan urusan akhirat.

Kedua, sentiasa menjadikan dunia ini sebagai peluang untuk mengumpul dana akhirat. Apabila tiba saat ajal, tiada lagi peluang untuk melakukan amal kebajikan. Akibat kelekaan, ramai tidak menyedari bahawa keindahan dunia yang mereka kejar sedikitpun tiada bandingan dengan akhirat yang kekal abadi. Namun suatu keanehan terhadap ahli dunia ialah mereka tidak mahu hidup dalam ketaqwaan bahkan derhaka kepada Allah SWT tidak ingin segera bertaubat kepada Allah SWT sebagaimana anjuran Al-Quran di dalam Surah Ali Imran, ayat 133?

Bermaksud : “Dan bersegeralah kamu kepada (memohon) keampunan Tuhanmu dan (janji kurniaanNya di atas taubatmu ialah) Syurga yang luasnya menyamai seluruh langit serta bumi yang disediakan kepada mereka yang bertaqwa.”

Islam bukanlah jalan hidup yang mengekang dunia daripada dinikmati oleh manusia. Islam merupakan agama yang memberi panduan dan sempadan kepada kita dalam menikmati dunia supaya kita tidak terus hanyut dalam arus kelalaian dan tipu daya nafsu dan syaitan.

Dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah daripada Abi Al-Abbas Sahl Ibn Sa’d As-Sa’idi RA, baginda Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Zuhudlah terhadap dunia, nescaya engkau akan dikasihi Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada di sisi manusia, nescaya engkau akan dikasihi manusia.”

Imam Al-Ghazali menaqalkan di dalam karyanya Mizan Al-‘Amal bahawa “Bukanlah orang yang zuhud itu orang yang tidak berharta. Akan tetapi orang yang zuhud itu ialah orang yang tidak dibimbangkan oleh hartanya sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya.”


Zuhud terhadap dunia bukanlah pada keindahan dan kebaikannya, akan tetapi pada perkara yang menjauhkan seorang hamba daripada Allah SWT serta melalaikan manusia daripada mematuhiNya.

Dengan kata lain, zuhud itu bermaksud meninggalkan perkara dunia yang boleh menjerumuskan manusia kepada dosa, kelalaian, syubhah,

Carilah jalan-jalan yang mampu mengosongkan hati kita daripada kelalaian dunia biarpun kita memiliki segalanya di tangan ini. Pertama, pelajari dan amalkan ilmu tasawuf. Ilmu tasawuf menekankan aspek penjagaan hati agar ia sentiasa dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah serta menghindari sifat-sifat mazmumah.

Kedua, imbangi amal dunia dan amal akhirat, bahkan lebihkan amal akhirat daripada amal dunia. Inilah bekalan ‘perdagangan’ dan ‘pengembaraan’ seorang hamba di atas dunia

Ketiga, mulakan hidup secara sederhana dan berusaha untuk mengambil sekadar keperluan, bukan keinginan. Namun begitu, tidak salah mendapatkan keinginan selagimana ia tidak melalaikan kita daripada melaksanakan perintah Allah SWT serta menjauhi laranganNya.

Para tetamu Allah yang dirahmati, Mengakhiri khutbah pada petang ini, marilah kita mengambil beberapa intipati untuk dihayati :

Pertama : Hiduplah di atas dunia seperti seorang pedagang atau pengembara yang akan kembali ke kampung halamannya iaitu akhirat.

Kedua : Zuhudlah terhadap dunia dengan tidak menanamkan kecintaan dunia di dalam hati biarpun segala nikmat dunia dalam genggaman kita.

Ketiga : Berhati-hatilah dengan tipu daya dunia terutama pada zaman kini yang amat mencabar keimanan dan kesucian hati seseorang.

Ingatlah peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 : Bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Aurat : Antara Kebebasan Dan Maruah Diri”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 06 Februari 2015: JAIS

“Aurat : Antara Kebebasan Dan Maruah Diri”

Sesungguhnya makanan, tempat tinggal dan pakaian adalah keperluan asasi manusia di dunia ini.

Makan dan minum sebagai sumber tenaga bagi melaksanakan aktiviti ibadah dan riadah.

Tempat tinggal adalah untuk keselesaan fizikal dan mental.

Manakala pakaian pula untuk menyempurnakan kesemua aspek itu bagi mencermin umat yang beriman, bertamadun dan bermaruah.

Dalam erti kata lain, manusia yang tidak berpakaian atau yang mendedahkan aurat. Maka ia menuju ke jalan dosa dan kemurkaan Allah SWT. Umat Islam wajib mengetahui batasan aurat antara lelaki dan wanita.

Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Penjelasan yang panjang telah diberikan oleh Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Mengapakah Islam begitu menitikberatkan permasalahan aurat baik lelaki ataupun perempuan?

1. Untuk melindungi wanita daripada disakiti secara zahir dan batin;

 Firman Allah SWT dalam surah Al Ahzab ayat 59: "Wahai Nabi! Suruhlah isteri-isteri mu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa keluar rumah), yang demikian itu lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

2. Hikmah yang kedua adalah untuk meninggikan darjat insan melebihi makhluk lain ciptaan Allah SWT;

Allah SWT berfirman dalam surah At Tin ayat 4-5: “Sesungguhnya Kami jadikan manusia sebaik-baik ciptaan, kemudian kami kembalikan mereka ke tempat yang paling bawah di dalam neraka, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus”.

Allah SWT mengharamkan lelaki dan wanita mendedahkan aurat bukan bertujuan menyekat kebebasan tetapi kerana Allah memuliakan dan menghargai mereka.

Pada kesempatan ini juga khatib ingin mengingatkan supaya kita sama-sama dapat mengambil iktibar terhadapa perkara-perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul dengan meyakini bahawa menutup aurat itu adalah merupakan tuntutan syariat Islam yang wajib dipatuhi.

2. Allah SWT mewajibkan lelaki dan perempuan menutup aurat dengan tujuan untuk meninggi dan memuliakan darjat manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain

3. Wanita hendaklah menutup aurat supaya terhindar daripada gangguan seksual dan penganiayaan oleh lelaki yang tidak bermaruah dan bermoral.

4. Ketua keluarga, ketua masyarakat dan pemimpin-pemimpin hendaklah memastikan diri dan orang di bawah jagaannya benar-benar mematuhi syariat Allah khususnya dalam menutup aurat.

5. Penaja-penaja dan penganjur-penganjur fesyen pakaian hendaklah peka dengan setiap rekaan yang mereka tonjolkan dengan mematuhi syariat Allah SWT.

6. Penutupan aurat tidak hanya sekadar menutup tubuh badan, tetapi hendaklah takut kepada Allah dan menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”. (al-a’raaf- 27).

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Wallahualam.

Adab tuntut ilmu mendapat berkat

Rancangan Tarbiah kali ini berkongsi adab menuntut ilmu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim, Ustaz Nazrul Abdul Nasir mengambil ibrah kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa untuk menunjukkan peranan murid terhadap guru.

Menuntut ilmu satu kewajipan bagi setiap manusia. Melalui ilmu manusia dapat mengenal kehidupan dan seterusnya menjalani hidup ini menurut aturan serta tatacaranya. Bagi yang terpesong daripada landasan kehidupan, sebenarnya mereka gagal memahami ilmu.


Setiap guru wajar mendapat penghormatan dan penghargaan daripada anak didiknya. - Gambar hiasan

Hukum menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim dan wajib pula mengikuti adab susila menuntut ilmu supaya datangnya barakah bagi sesuatu ilmu dipelajari.

Melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi di IKIMfm, Ustaz Nazrul Abdul Nasir berkongsi adab bagi seorang Muslim dalam menuntut ilmu dengan turut mengambil ibrah kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa.

Kisah antara Nabi Musa dan Nabi Khidir adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan ketika menuntut ilmu. Ini kerana tertib dan adab menuntut ilmu jika dipelihara sebaiknya membolehkan seseorang mendapat keberkatan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Lalu mereka dapati seorang daripada hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; daripada sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: 'Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku daripada apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?' Ia menjawab: 'Sesungguhnya engkau (Wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?' Nabi Musa berkata: 'Engkau akan dapati aku, Insya-Allah: Orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu'. Ia menjawab: 'Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu'. Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: 'Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar." (Surah al-Kahfi, ayat 65-72)

Ibrah daripada ayat suci al-Quran itu adalah berkaitan akhlak seseorang murid yang barangkali dirinya itu lebih mulia dan lebih salih daripada seorang guru, tetapi itu tidak melayakkan seseorang murid untuk membantah atau tidak menghormati gurunya.

Dengan kata lain, seseorang yang bergelar guru bukan sahaja wajar mendapat penghormatan daripada anak muridnya, tetapi seseorang anak murid itu harus memuliakan gurunya.

Pengajaran lain yang boleh dijadikan iktibar dalam adab menuntut ilmu adalah seseorang murid perlu bersabar dengan tindakan gurunya, tidak terlalu gopoh menghukum atau menilai perlakuan gurunya sedangkan ia tidak mempunyai pemahaman mendalam mengenai apa yang dilakukan.

Walaupun anak murid mempunyai pandangan bercanggah atau tidak senang dengan guru, tetapi berasaskan rasa hormat, anak murid tidak wajar menegur guru mereka. Seseorang Muslim ditegah mencerca guru kerana keberkatan ilmu bergantung kepada sejauh mana guru reda terhadap ilmu dicurahkan kepada seseorang.

Muslim yang baik juga tidak boleh sombong atau bangga diri dengan gurunya walaupun barangkali jawatan disandang lebih tinggi daripada gurunya kerana Islam sangat menitikberatkan untuk menghormati ilmu yang ada pada diri seseorang supaya ilmu itu tidak menjadi barang dagangan yang diperlekehkan.

Begitu juga dalam kita mencari dan menuntut ilmu, setiap ilmu yang diperoleh hendaklah diamalkan kerana berapa banyak ilmu yang kita ada bukan ukuran mendekatkan diri dengan Allah SWT, tetapi sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang dipelajari.

Keberkatan ilmu juga bergantung kepada amalan kerana jika hanya menuntut, tetapi tidak beramal boleh menghilangkan keberkatan ilmu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah as-Shaff, ayat 2-3)

Selain itu, perkara pokok yang menjadi tunjang utama dalam adab menuntut ilmu adalah adanya rasa keikhlasan hanya kepada Allah SWT, bukan bertujuan untuk mendapat gelaran dan pangkat. Sebaiknya ilmu dimanfaatkan untuk agama Allah SWT, bukan sekadar perhiasan dunia.

Justeru, tetapkan niat yang betul serta berdoa kepada Allah SWT supaya diberi hidayah untuk bersama memanfaatkan ilmu dipelajari. Inilah juga cara kita mendekatkan diri di sisi Allah SWT.

Tanpa jasa guru yang sabar serta setia mencurah bakti mengajar dan mendidik, siapalah kita hari ini. Oleh itu, tinggalkan pangkat dan darjat yang membaluti, tinggalkan kemuliaan yang menyelimuti diri dan bersabarlah berhadapan guru kerana kesabaran dan rasa hormat itulah datangnya keberkatan ilmu. Nik Hasnah Ismail ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Pelihara prinsip adil, amanah

BAGAIMANAKAH pandangan Islam mengenai kerja-kerja sukarela ke arah mardhatillah?

JAWAPAN: Islam menggalakkan kita untuk saling membantu. Ia mestilah dilakukan dalam perkara yang baik dan tidak bertentangan dengan syariah. Firman Allah mafhum-Nya yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah kamu di atas jalan kebaikan dan ketakwaan.

Justeru, kerja sukarela adalah antara amalan yang baik dalam merealisasikan ayat ini. Kerja sukarela tidak menetapkan apa-apa bayaran sebagai balasan, sebaliknya hanya semata-mata mengharap ganjaran pahala sahaja.

Contohnya membantu mangsa banjir, mangsa kebakaran, membersihkan rumah orang tua dan kurang upaya, mengajar anak yatim dan sebagainya.

Jika terdapat di sana peruntukan kewangan, maka tidak mengapa juga untuk mengambil sedikit upah penat lelah. Namun contoh-contoh yang disebutkan tadi adalah contoh insan yang wajar dibantu secara sukarela.

Kerja sukarelawan sering disalahertikan

SIKAP tolong-menolong amat digalakkan oleh Islam. - Gambar hiasan

Kerja sukarela sewajarnya dilakukan dengan adil dan juga amanah. Memanglah ia sekadar kerja sukarela sahaja. Tiada siapa yang akan memantau. Tiada arahan ketua yang perlu dipatuhi. Ia sekadar suka dan rela. Namun antara prinsip Islam ialah adil dan juga amanah. Maka prinsip ini sewajarnya dipelihara dengan sebaiknya.

Untuk pengurusan yang baik, sesuatu itu sewajarnya dilaporkan. Ia bagi tujuan rekod dan penghargaan. Contohnya kita membuat kerja sukarela membersihkan rumah orang kurang upaya, maka sebelum melakukan kerja itu, kita meminta izin dan memberitahu pihak pengurusan rumah tersebut. Selepas selesai kerja, maka kita juga memaklumkan bahawa kita sudah selesai sekadar yang mampu kita tolong pada hari tersebut.

Remaja Islam dan konsert maksiat

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan video yang menjadi viral di media sosial melibatkan beberapa remaja wanita Islam dipeluk dan dicium artis lelaki bukan Islam atas pentas dalam konsert K-pop.

Merujuk kejadian itu, saya mendapat beberapa soalan menanyakan mengenai hukum lelaki dan wanita bersentuhan dengan sengaja setelah ada beberapa pihak mengatakan ia dibolehkan.



Apabila kita bercakap atas nama Islam, semaklah dahulu adakah Islam membenarkan atau tidak, Islam mengatakan ia halal atau haram. Jika Islam mengatakan haram, maka haramlah hukumnya. Tidak boleh kita menghalalkan.

Lelaki, wanita bersentuhan

Saya tertarik membaca ulasan Syaikh Muhammad Amin Al-Syanqithi dalam Adwa-ul Bayan apabila dia membahaskan mengenai menyentuh perempuan bukan mahram. Hukumnya dimaklumi haram dan beliau membahaskan sebab dan hujahnya melalui beberapa sudut:


Pertama, kerana dalilnya jelas. Aisyah RA berkata: "Siapa saja wanita Mukminat yang mengikrarkan hal ini, maka dia telah diuji." Rasulullah SAW sendiri berkata ketika wanita Mukminat mengikrarkan yang demikian: "Kalian boleh pergi kerana aku sudah membai’at kalian".

Namun demi ALLAH, Baginda SAW sama sekali tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun. Baginda SAW hanya membai'at golongan wanita dengan ucapannya." Aisyah berkata lagi: "Rasulullah SAW tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali sebagaimana yang ALLAH perintahkan. Tangan Baginda SAW tidaklah pernah menyentuh tangan mereka. Ketika bai'at, Baginda SAW hanya membai'at dengan berkat: "Aku telah membai'at kalian dengan perkataan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis diriwayatkan Imam Malik bin Anas RA dengan sanad yang sahih, sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan golongan wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita." (Riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` daripada As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak daripada besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya." (Riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. Syaikh Al Albani mengatakan hadis ini sahih)

Pada hari ini ramai dalam kalangan umat Islam mengambil mudah perihal ini. Itu tiga hadis yang saya bawakan dan banyak lagi hadis yang lain dan saya tidak bermaksud untuk menceritakan kesemuanya.

Kedua, perempuan itu aurat. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW memerintahkan kita menundukkan mata dan pandangan. Kalau mata pun dilarang melihat, apatah lagi memegang.
Dalam hadis yang masyhur, Jarir bin ‘Abdillah mengatakan: "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai pandangan yang cuma selintas (tidak sengaja). Maka Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku agar aku segera memalingkan pandanganku." (Riwayat Muslim)

Itu adalah asal hukumnya, jika melihat pun sudah dilarang Nabi Muhammad SAW, apatah lagi memegang dan memeluk di khalayak ramai.

Punca terjebaknya remaja Muslim ke konsert maksiat

1. Ibu bapa mengambil ringan

Sekiranya ibu bapa menegakkan hukum ALLAH SWT dalam rumah mereka nescaya perkara ini tidak akan berlaku. Ibu bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak.
Seharusnya ibu bapa perlu tahu apa yang anak mereka lakukan dengan siapa mereka berkawan dan ke mana mereka pergi.

Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani RHM pernah mengungkapkan perkataan yang sangat indah, maksudnya: "Kamu berhukum dengan hukum ALLAH dalam rumah kamu nescaya hukum ALLAH itu akan tertegak di atas bumi kamu."

Ada sesetengah ibu bapa mengambil ringan berkenaan pentarbiahan anak. Dek terlalu sibuk dengan pekerjaan, sehinggakan isu pentarbiahan ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak lain.

Contohnya diserahkan kepada orang gaji sedangkan bimbingan daripada ibu bapa dalam membentuk peribadi, jati diri dan akidah dalam diri anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada kita: "Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan tiap-tiap pemimpin diminta pertanggungjawabannya." (Riwayat Bukhari & Muslim daripada Abdullah bin Umar)

2. Kurangnya kesedaran agama
Keadaan ini terjadi apabila melibatkan kedua ibu bapa dan juga anak. Jika ibu bapa tidak berkesempatan untuk mendalami ilmu Islam dan tidak mahu menjadikan Islam itu sebagai cara hidup, janganlah kita hairan melihat kejadian di pentas K-pop ini.

Hiduplah dengan berpandu  kepada al-Quran dan Sunnah nescaya kita tidak akan tersesat kerana Islam itu mencakupi seluruh kehidupan kita. Bahkan dalam sekecil-kecil perkara seperti beristinjak pun Islam ada mengajarkan kita caranya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya jika kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu Kitab ALLAH dan sunnah Rasul-Nya". (Riwayat Malik)

Tanggungjawab mentarbiahkan anak dengan didikan agama perlu dipupuk daripada kecil lagi secara menyeluruh. Bukan dalam sesetengah perkara sahaja seperti bab solat, puasa, haji dan ibadah yang lain. Ia perlu dilakukan secara keseluruhan.

Jika tidak, itu sebabnya kita lihat remaja yang dipeluk dan dicium di atas pentas itu semuanya memakai tudung tetapi kenapa mereka rela diperlakukan sedemikian?

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan: Sesungguhnya syaitan memang  musuh kamu yang nyata." (Surah Al-Baqarah: 208)

Anak-anak adalah saham akhirat buat ibu bapa. Didiklah mereka mengikut lunas-lunas Islam agar menjadi insan yang bermanfaat buat ummah. "Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat". (Riwayat Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dr Fathul Bari Mat Jaya, Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia )ILMU) Utusan Malaysia Rencana 6 Februari 2015