February 10th, 2015

Indeks syariah

Najib lancar Indeks Syariah hari ini

PUTRAJAYA 9 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Indeks Syariah Malaysia sempena Majlis Perdana Ulama Umara 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini esok.

Indeks kajian tersebut yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) bertujuan mengukur dan menilai pencapaian Malaysia dalam melaksanakan tuntutan syarak berdasarkan kepada lima 'maqasid syariah'.

Lima maqasid syariah itu ialah memelihara agama, akal, nyawa, keturunan dan harta.

Menerusi pelaksanaan indeks tersebut, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang mewujudkan indeks syariah secara komprehensif bagi mengukur secara saintifik dari empat sudut iaitu ketepatan syariah di Malaysia, kepatuhan prinsip urus tadbir dalam membuat keputusan dasar negara, mengukur pencapaian prestasi berasaskan piawaian terbaik dan mengenal pasti ruang penambahbaikan amalan serta dasar kerajaan.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, program yang dibangunkan itu juga bertujuan mengukur tahap keseriusan usaha Malaysia dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

Menurutnya, penggunaan indeks itu juga dapat menjawab banyak persoalan dan polemik berhubung beberapa perkara mengenai negara ini antaranya merungkai persoalan sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sebaliknya. - Utusan Malaysia Nasional 10 Februari 2015


Indeks Syariah bukan setakat syiar Islam

Langkah kerajaan mengumumkan indeks syariah adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Ia bukan sekadar suatu petunjuk mengenai perkembangan syiar Islam di Malaysia tetapi syariat Islam mula berkembang dalam sistem.

Sekian lama Malaysia tidak gopoh melakukan penerapan nilai-nilai Islam kerana sifat masyarakatnya majmuk tetapi istiqamah dengan proses Islamisasi terutama dalam pendidikan dan muamalah.

Proses penerapan dan Islamisasi tidak boleh selesai hanya dengan emosi, persepsi dan retorik tinggi mengenai Islam. Ia menuntut perancangan bijaksana, tekad yang tinggi membangunkan sumber daya insan dan integrasi ilmu nakliah-akliah. Cita-cita penerapan dan Islamisasi hanya boleh berlangsung sekiranya kualiti sistem pendidikan seimbang dengan keperluan membangun sumber daya insan yang holistik.

Ada lapan perkara yang menjadi fokus indeks syariah termasuk aspek ilmu dan pendidikan, ekonomi dan perundangan dan ia selari dengan maqasid syariah yang diperjuangkan kerajaan.

Maqasid syariah antaranya memberi fokus mengenai memperkasa agama, keturunan (kelangsungan generasi), dan ilmu pengetahuan supaya maruah umat terserlah. Islam yang berkembang di Malaysia bukan sekadar sebagai suatu sistem kepercayaan dengan berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi sedang memperlihatkan ia sebagai suatu cara hidup.

Binaan agama tidak sahaja mengembangkan asas rohani tetapi juga mencakupi fokus amaliah. Iman tanpa amal tidak akan terlihat keindahan Islam itu sendiri.

Sistem pendidikan di Malaysia tidak saja menawarkan pendidikan holistik dan integratif tetapi juga memberi fokus kepada hafazan al-Quran supaya seiring dengan kemajuan ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi. Sejak Persidangan Pendidikan Islam di Mekah pada 1977, Malaysia menyambutnya dengan mendirikan Universiti Islam Antarabangsa (1983).

Yang terkini di samping wujudnya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memberi fokus integrasi ilmu-ilmu akliah-nakliah dan Universiti Islam Malaysia (UIM), Kolej Universiti Islam Negeri, juga islah dalam sistem pendidikan arus perdana iaitu memperkenalkan pendidikan Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Ini adalah percubaan menarik menghasilkan sumber daya insan yang integratif dan ijtihadik supaya perubahan ke arah tamadun boleh terjadi.

Islah (reformasi) ini disambut oleh kerajaan dengan cadangan menubuhkan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia yang bakal menampung lulusan tahfiz dan agama supaya puncak pendidikan di Malaysia membolehkan generasi muda memiliki kemahiran al-Quran tidak sahaja secara tekstual tetapi juga secara kontekstual dan mampu menterjemahkan maksud Islam secara syumul dalam sistem.

Penulis masih ingat sewaktu Bank Islam dilancarkan pada 1983, ramai dalam kalangan orang Islam agak ragu-ragu atau dengan pelaksanaannya. Apa lagi dalam kalangan bukan Islam semacam kebingungan bagaimana sistem perbankan boleh berjalan berasaskan pendekatan patuh syariah tanpa riba. Hari ini persepsi ini ternyata berubah, malah ramai bukan Islam yang melabur dan meminjam di Bank Rakyat (berasaskan syariah) kerana melihat adanya faktor keuntungan dan kestabilan dalam pengurusannya. Seiring dengannya lahir takaful (insurans), sukuk (bond), waqaf dan industri halal yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi umat Islam dan negara.

Indeks syariah model Malaysia ini boleh menjadi contoh kepada indeks syariah model dunia Islam. Umat Islam harus menjadikan agenda membangun sumber daya insan (pendidikan) sebagai keutamaan. Retorik kosong tanpa memahami strategi dan maslahah banyak menghasilkan konflik dan fokus harus ditumpukan ke arah Islamisasi sistem secara bijaksana dan terancang. - Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Rencana 10 Februari 2015

Lakonan yang mengaburi mata

SAMA ada Anwar Ibrahim bebas atau tidak pada 10 Februari 2015, keputusan penghakiman kes liwatnya, itu sudah tidak penting lagi bagi Malaysia.

Adapun, kadang kala seperti tiada. Tidak banyak menguntungkan Islam. Apa yang lebih penting, agenda masa depan agama, bangsa dan negara mesti diperkasakan.

Heboh diperkatakan, siapakah yang akan menerajui PR? Jawapan saya, paling penting, sesiapapun, mereka tidak boleh tunduk kepada ultra kiasu yang semakin hari semakin agresif dan celupar mulutnya. Islam dicerca, Perlembagaan dihina.

Lihat sahaja isu banjir. Pemimpin ultra kiasu begitu bongkak mengatakan rakyat Kelantan seperti tiada kerajaan ketika banjir. Penghinaan itu bukan hanya ditujukan kepada kerajaan Islam Kelantan diterajui Pas, tetapi kepada raja yang berdaulat.

Jika bandar raya Pulau Pinang diuji sedemikian rupa, kita nak tengok sejauh mana ultra kiasu ini pandai mengurus negerinya ketika banjir. Saya bukanlah mendoakan.

Menurut Pas, Kelantan dihina oleh ultra kiasu dengan hanya sumbangan bantuan banjir dan lawatan sehari ke Kelantan setelah banjir sudah surut. Mereka tidak datang semasa banjir memuncak. Mereka tidak tahu bagaimana sukarnya kerajaan Kelantan untuk menguruskan bantuan setelah semua perhubungan terputus walaupun dibantu Kerajaan Pusat.

Selama lebih 20 tahun Pas mentadbir Kelantan, tanpa bantuan ultra kiasu, apakah Pas begitu hina untuk  menerima bantuan mereka kali ini? Saya cadangkan, jika masih perlukan bantuan tambahan, bisiklah pada PM, saya yakin PM akan beri.

Selepas penghinaan dibuat, tidak semena-mena mereka datang ke Kelantan untuk membantu, bagi mengaburi hati rakyat, menunjukkan mereka itu baik. Pandai sungguh berlakon dan mengaburi mata orang.

Bila ada bencana, mereka pergi dan cepat-cepat ambil gambar. Tunjukkan dalam laman sosial, mereka buat kerja, begitu prihatin. Walhal, datang tunjuk muka sahaja. Misalnya, aksi memberus baju, lantai dan sebagainya.

Sama juga lakonan klip video 5 minit bertajuk 1 goat year, 1 great family, lakonan ultra kiasu dan Pas Shah Alam. Bukan main rapat lagi duduknya dengan ‘gadis-gadis comel’ di situ. Nasib baik ada sebiji bantal yang memisah.

Jika tidak sudah macam orang bersanding pulak. Sejak bila orang Pas ini pandai berlakon dan bersosial? Jika marahkan sangat pada kerajaan hari ini, tidak payah sehingga menggadaikan prinsip.

Ultra kiasu bernasib baik kerana mewarisi negeri yang telah maju dan banyak duit seperti Pulau Pinang dan Selangor. Jadi, tidaklah sesuatu yang luar biasa jika kita berjaya mentadbirkannya. Pemimpin terdahulu, telah berjaya meletakkan tanda arasnya.

Jika Pulau Pinang, dahulunya sebelum menang pilihan raya, keadaannya masih hutan belukar, kemudian dimajukan, barulah ultra kiasu nampak hebat. Keadaan tidak berlaku sebegitu. Ultra kiasu masih tidak insaf, kokoknya berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Hanya yang celik sahaja dapat membezakan.

Sebab itu, mereka mahu sangat pilihan raya PBT diadakan, terutama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Sudahlah kawasan Parlimen semua mereka sapu. Hari ini majlis bandaraya pun mereka mahu tawan. Nak cari signage bahasa Melayu pun susah.

Sebelum terlambat, eloklah Datuk Bandar Kuala Lumpur fikirkan, menggantungkan kalimah ALLAH dan tulisan jawi di merata tempat di Kuala Lumpur, agar terpancar sedikit identitinya. Apa nak ditakutkan, bukankah puak-puak ultra kiasu mahu gunakan kalimah ALLAH, tentu mereka setuju.

Ingatan saya kepada Pas, jadikanlah banjir ini sebagai titik tolak perpaduan umat Islam, tolaklah musuh yang sebenar, hulurkan tali silaturahim kepada sebangsa dan seagama.

Datuk Kazim Elias dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang menjadi sasaran serangan ultra kiasu disebabkan oleh kenyataan mereka. Saya tidak nampak ada salahnya dari segi fakta akademik, walaupun mungkin ada sedikit berbau perkauman.

Berbanding dengan tuduhan khutbah Jakim ekstrem, pelukis yang menterbalikkan gambar Agong serta simbol negara, penternak ikan keli babi, kes belacan dan bihun kotor, tofu babi dan lain-lain. Sengaja atau tidak dilakukan?

Peliknya, ultra kiasu dan sekutunya MCA dan Gerakan tidak pula lantang mengkritik perlakuan hina ini seperti yang dilakukan terhadap Ismail Sabri. Begitu juga segelintir pemimpin Sabah dan Sarawak yang menuduh saya rasis dan ekstremis. Mari kita berdebat secara anak jantan untuk leraikan kekeliruan. Baru ada telor.

Apabila ultra kiasu bercakap atau bersuara, semua akan berkata, itu hak asasi manusia atau kebebasan bersuara. Bila kita atau sesiapa sahaja bercakap atau menulis atas nama hak dan fakta, seperti yang berlaku pada kami semua, maka akan dituduh rasis. Akhirnya, kami yang benar jadi salah, ultra kiasu salah jadi betul. Meloyakan. - Ridhuan Tee Abdullah ialah pensyarah Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA SInar Harian Rencana 9 Februari 2015

Bersaudara walau berbeza budaya

MINGGU lepas, saya dan beberapa sahabat pergi bercuti di sebuah destinasi di dalam negara. Percutian kami pendek, hanya bermalam semalam, tetapi bagi kami ia merupakan peluang untuk kami mengimbau kembali kenangan silam.

Kami tinggalkan kerja, isteri dan anak selama 24 jam dan meluangkan masa bersama seperti yang kami lakukan hampir tiap-tiap hari lebih dari 15 tahun dahulu.

Saya kenal mereka sejak di bangku sekolah lagi. Mereka sama kelas dengan saya sewaktu tingkatan 4 dan 5. Ada di antara mereka yang saya kenal lebih lama dari itu. Walaupun sudah 15 tahun kami melangkah meninggalkan zaman persekolahan, hubungan kami tetap akrab.

Walaupun dalam 15 tahun yang lepas kami meneroka kehidupan kami sendiri; menimba ilmu, mengejar karier, mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata, kami tetap rapat seperti dahulu.

Ras, agama dan warna kulit kami mungkin berbeza, namun ikatan yang telah kami jalin mengatasi semua ini. Hakikatnya, kami bersaudara dan persaudaraan ini tidak mudah terlerai hanya kerana perbezaan yang ada.

Bukan kami tidak sedar tentang perbezaan tersebut. Cuma, kami meraikannya. Kepelbagaian kami adalah kekuatan kami. Ia membawa warna dan corak kepada hubungan kami.

Kepelbagaian ini bermakna kami boleh saling mengunjungi semasa musim perayaan, contohnya, atau menjadi jendela untuk kami menyingkap budaya lain dan akhirnya menerima dan memahami budaya tersebut.

Pemahaman dan penghayatan saya sendiri tentang kepelbagaian etnik dan budaya di Malaysia dipelajari daripada interaksi dan hubungan saya dengan mereka.

Melalui hubungan saya dengan sahabat-sahabat saya ini, saya faham dan sedar bahawa sebenarnya kita rakyat Malaysia mempunyai lebih banyak persamaan jika dibandingkan dengan perbezaan.

Kalau dikupas ras, agama, budaya, warna kulit, ideologi dan macam-macam lagi, kita sebenarnya mahukan perkara yang sama. Kita mahu hidup di dalam negara yang baik, bersama-sama dengan masyarakat dalam keadaan yang aman damai.

Majoriti rakyat di luar sana tidak mahu huru-hara dan persengketaan. Saya juga sedar bahawa ramai di luar sana, tidak kira bangsa atau agama, melihat Malaysia ini sebagai negara mereka sendiri. Tidak ada negara lain yang mereka anggap sebagai ibu pertiwi mereka kecuali negara ini.

Oleh sebab itu, apabila ada sesetengah pihak yang sering mempersoalkan kesetiaan bangsa lain atau sering menggesa bangsa lain untuk ‘balik’ ke ‘negara asal’ mereka, saya sedih dan marah.

Bagi saya, orang seperti ini tidak pernah benar-benar bersahabat dengan mereka yang berlainan bangsa. Mereka menganggap rakyat senegara sebagai seteru dan sentiasa melihat ‘yang lain’ dengan prasangka buruk.

Ada di antara kita yang hanya dapat melihat semua perkara melalui kanta mata ras. Semua isu dilihat dari aspek perkauman. Kenaikan harga barang, pilihan raya majlis kerajaan tempatan, pembinaan kondo mewah dan macam-macam isu lagi semua dilihat melalui sudut bangsa dan agama.

Persaingan kita sebenarnya dengan dunia luar. Bukan sesama kita. Negara membangun lain semakin mengatasi kedudukan kita. Kita seharusnya bersatu dan saling membantu, bukan saling berkelahi. Hanya dengan perpaduan kita dapat bersaing dengan dunia luar.

Saya bernasib baik kerana mengenali sekumpulan manusia yang saya anggap saudara walaupun tiada pertalian darah. Tatkala masyarakat kita menghadapi cabaran hubungan antara kaum yang cukup membimbangkan, sahabat-sahabat saya ini sentiasa mengingatkan saya tentang prinsip-prinsip sebenar negara ini dibina. Perpaduan dalam kepelbagaian.

Terima kasih, wahai saudaraku semua. Syahredzan Johan Sinar Harian Rencana 9Februari 2015

Penuaan, musibah, fitnah tuntut kesabaran tinggi

Manusia mudah lupa dan disebabkan itu ada kalanya kita tidak menzahirkan rasa syukur atau hanya menunjukkan rasa syukur yang sedikit. Manusia juga sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka.

Justeru, apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperoleh, kita mudah berasa kesal sedangkan setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT. Namun, amat sedikit yang menyedarinya apatah lagi untuk mensyukuri segala kurniaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Muhasabah diri apakah kita tergolong dalam kalangan yang bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan nikmat kepada hamba-Nya adalah untuk disyukuri bukan dikhianati. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Surah Yusuf, ayat 38)

Menyambung perkongsian Pesona D'Zahra di IKIMfm minggu lalu mengenai tajuk 'Mengimani Kemuliaan Allah SWT' oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin, tiga lagi perkara dihuraikan berkenaan kemuliaan Allah SWT dan sifatnya yang Maha Pemurah.

Proses penuaan satu anugerah

Satu anugerah yang dikurniakan yang tidak kita lihat sebagai kurniaan adalah proses penuaan. Apabila usia meningkat, ada antara kita mendapat kesannya seperti badan lemah dan sakit. Sesungguhnya ujian sakit itu adalah sunatullah kerana Nabi juga diuji dengan sakit.

Oleh itu, apabila diuji dengan sakit hendaklah kita berusaha, berikhtiar mendapatkan ubat dan berterusan bermohon kesembuhan daripada Allah SWT yang berkuasa mendatangkan sakit dan berkuasa menyembuhkan segala penyakit.

Sesuatu yang perlu direnungkan ketika sakit, Allah SWT menarik daripada seseorang itu tiga perkara iaitu seri wajah, selera makan dan dosa-dosa kita.



Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu sekali kasih Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman kerana apabila penyakit itu sembuh, Allah SWT akan mengembalikan seri wajah, selera makan tetapi Allah SWT tidak pula mengembalikan dosa yang telah diampunkan. Begitulah sifat pemurah dan kasih Allah SWT.

Perkara keenam dalam mengimani kemuliaan Allah SWT merujuk kepada musibah kerana telah disebutkan tanda akhir zaman berlaku banyaknya bencana, kekurangan harta benda, musuh dan lain-lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?- Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya." (Surah al-Infitar, ayat 6-7)

Melalui ujian musibah, Allah SWT juga memberi jalan pahala atas kesabaran. Di sebalik setiap ujian, Allah SWT berikan jalan keluar dan penyelesaian. Apabila Allah SWT menarik balik musibah, pahala diberikan kepada yang sabar akan kekal menjadi bekalan akhirat.

Tempuhi musibah dengan sabar

Walaupun begitu, kita perlu bermuhasabah antara ujian dan bala kerana dua perkara itu dapat dibezakan. Orang yang beriman ketika dilanda ujian akan menempuhinya dengan sabar, manakala orang yang tidak beriman ketika diuji tidak akan bersabar dengan ujian atau bala.

Maka perbanyakkan memohon kesabaran daripada Allah SWT dalam menempuhi musibah dan ujian kerana sifat sabar anugerah daripada Allah SWT. Semoga kita dianugerahkan sifat sabar apabila ditimpa ujian dan ganjaran pahala orang sabar sangat besar kerana Allah SWT bersama dengan orang yang sabar.

Yang terakhir dalam bab ini adalah anugerah daripada fitnah. Nabi Muhammad SAW mengingatkan, fitnah umpama perompak di tengah malam yang sangat gelap yang tidak kita ketahui. Oleh sebab itu, Nabi Muhamad SAW melarang daripada meletakkan diri kita dengan situasi yang boleh mendatangkan fitnah.

Fitnah berlaku kerana salah faham

Adakalanya fitnah itu berlaku hanya kerana salah faham seperti mendengar dan menyampaikan cerita yang putus-putus atau tidak lengkap daripada orang fasik. Wajib kita menyelidik sesuatu perkara yang didengari supaya tidak tertipu atau tersalah sangka pada mereka yang tidak bersalah.

Fitnah adalah satu bentuk ujian yang datang dalam kehidupan. Fitnah juga terjadi kepada Nabi kerana Nabi Muhammad SAW pernah difitnah sebagai harta, pangkat, wanita dan lain-lain.

Jika seseorang itu ditimpa fitnah berdoalah supaya Allah SWT memberi pahala kemuliaan di dunia dan akhirat. Allah SWT yang Maha Pemurah juga akan memberikan pahala bersabar dan menghapuskan dosa kita.

Yakinlah, jika kita berada di pihak yang benar Allah SWT akan memberikan jalan keluar untuk segala fitnah. Itulah tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita. Jangan sekali-kali berputus asa dalam kehidupan dunia kerana ujian boleh memberi ganjaran pahala dan kebaikan di dunia serta akhirat.

Sentiasalah bersangka baik terhadap ujian Tuhan dan bersyukurlah kepada Allah SWT dengan menjalankan perintah-Nya ketika kita diberikan kesenangan hidup. Semoga kita sentiasa diberikan hidayah dalam mengharungi kehidupan ini. - Mazlina Ismail ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Kuasa bukan segalanya

BUKAN hanya seorang maharaja yang zalim, Firaun juga seorang ahli politik yang licik. Mimpi ngeri sesetengah ahli politik yang licik adalah jatuh tersungkur daripada puncak kekuasaannya. Kalau boleh mereka mahu terus berkuasa sehingga ke lubang kubur. Demi untuk kekal di puncak kuasa, pelbagai strategi dilakukan. Dosa pahala bukan lagi penghalang atau pendorong gerak mereka. Nyawa dan nasib rakyat hanyalah buah catur yang dikorbankan semudah menjentik dengan jari. Inilah mazhab sesetengah ahli politik yang tidak beriman kepada Allah SWT dan balasan kiamat.


Menegakkan keadilan sebenar adalah matlamat politik Islam


AHLI politik yang tidak beriman mengibaratkan corak pemerintahan seperti permainan catur. - Gambar hiasan -

Antara dua strategi popular sesetengah ahli politik licik yang agak konsisten dalam lipatan sejarah adalah:

1. Memainkan isu patriotism dan kepentingan menjaga kedaulatan negara. Sering didengar dialog ini: “Jangan gadai nasib bangsa, negara dan anak cucu dengan menyokong parti itu. Pemimpinnya adalah agen asing yang mahu menggadai negara.”

Tatkala itu, pihak lawan pula menjawab serangan lawan dengan dialog yang sejenis: “Hutang negara sudah mencecah bilion dolar akibat salah urus pemimpin sedia ada. Jika kita masih menyokong mereka sebagai kerajaan, negara kita akan bankrap dan nasib bangsa akan tergadai.”

Bandingkan pula kata-kata Firaun ini sebagaimana dalam surah al-Syu’ara ayat ke-34 hingga ke-35 yang bermaksud: Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada di kelilingnya: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?

2. Memutarbelitkan fakta, yang “tiada diwujudkan”, yang “wujud ditiadakan”, yang “benar disalahkan”, yang “salah dibenarkan”, yang “wira dikatakan penyangak” dan yang “jahat dinobat sebagai wira.”

Kemampuan menukar fakta dalam pusingan 360 darjah ini biasanya dimiliki oleh pemegang kuasa. Lihat sahaja nasib Islam yang suci dipandang kotor lagi hina dengan label pengganas oleh media Barat yang dipegang oleh pembenci Islam. Ini juga strategi Firaun di kala pakar sihirnya tersungkur kalah pada mukjizat Nabi Musa AS yang bermaksud: Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya. (al-Syu’ara: 49)

Tuduhan palsu ke“ketua”an Nabi Musa AS ke atas para ahli sihir turut disebut dalam surah al-A’raf ayat ke-123 bermaksud: Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu (wahai Musa dan ahli sihir) lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya).

Strategi Firaun

Tuduhan Firaun sebenarnya sangat mengarut kerana Musa AS belum pernah bertemu dengan seluruh pakar dan johan sihir dalam empayar Mesir, namun kenyataan tersebut tetap dikeluarkan Firaun sejurus kekalahannya.

Mengapa? Tidak lain, ini antara strategi Firaun bagi mengelirukan sesetengah rakyatnya yang bodoh bertuhankan Firaun. Strategi inilah yang banyak digunakan oleh sesetengah ahli politik sepanjang zaman bagi mengekalkan kuasanya.

Dunia ini berputar dengan putaran yang sama dari dahulu sehingga kiamat. Kisah lampau dinamakan sejarah, namun paparannya tetap sama. Yang berbeza hanya masa, lokasi dan watak yang memainkan peranan dalam sejarah.

Jika mahu berpolitik, jadilah ahli politik yang agung seperti Rasulullah SAW yang dipandu wahyu. Matlamat politik Islam pula bukan semata mendapat “kuasa” tetapi mahu menegakkan keadilan sebenar dalam kehendak Allah sebagai pemilik sebenar kuasa di alam ini.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41)

Tuduhan Firaun sebenarnya sangat mengarut kerana Musa AS belum pernah bertemu dengan seluruh pakar dan johan sihir dalam empayar Mesir, namun kenyataan tersebut tetap dikeluarkan Firaun sejurus kekalahannya.

Mengapa? Tidak lain, ini antara strategi Firaun bagi mengelirukan sesetengah rakyatnya yang bodoh bertuhankan Firaun. Strategi inilah yang banyak digunakan oleh sesetengah ahli politik sepanjang zaman bagi mengekalkan kuasanya.

Dunia ini berputar dengan putaran yang sama dari dahulu sehingga kiamat. Kisah lampau dinamakan sejarah, namun paparannya tetap sama. Yang berbeza hanya masa, lokasi dan watak yang memainkan peranan dalam sejarah.

Jika mahu berpolitik, jadilah ahli politik yang agung seperti Rasulullah SAW yang dipandu wahyu. Matlamat politik Islam pula bukan semata mendapat “kuasa” tetapi mahu menegakkan keadilan sebenar dalam kehendak Allah sebagai pemilik sebenar kuasa di alam ini.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41)