February 12th, 2015

Selaraskan maklumat peribadi umat Islam

Perundangan syariah dan urusan tadbir bersabit nikah kahwin serta apa juga yang ada kaitan dengan umat Islam di negara ini perlu diselaraskan bagi memudahkan segala urusan mengikut prosedur.

Ini penting supaya semua hal sedemikian disatukan di bawah satu bumbung pentabiran supaya teratur dan kemas.

Saya rasa tidak menjadi masalah dalam zaman teknologi maklumat (IT), segala maklumat peribadi boleh diperoleh dalam masa hanya beberapa saat.

Apa yang diperlukan ialah dengan menekan nombor kad pengenalan dan beberapa saat kemudian nama dan nombor pemilik Mykad akan terpapar.

Banyak kebaikannya terutama mereka yang hendak mendirikan rumah tangga seperti status sudah berkahwin atau bujang serta dapat juga maklumat tentang kerjayanya dan lain-lain butir peribadi.

Umpamanya kalau kita hendak membuat pinjaman daripada bank atau institusi kewangan, pegawai bank hanya perlu akses kepada nama dan nombor Mykad dan segala butiran peribadi pemohon akan muncul.

Dalam konteks yang sama, jika butir-butir maklumat ini diselaraskan, segala urusan pentadbiran yang ada hubung kait dengan umat Islam, maka tiada lagi kes penipuan dari mana-mana pihak dalam urusan nikah kahwin.

Ini bermakna seseorang yang berhasrat untuk bernikah terpaksa membuat pertukaran alamat sekiranya mahu bernikah di luar kawasan atau tempat beliau bermastautin.

Islam itu sebenarnya mudah dan mudahkanlah segala urusannya.

Begitu juga dengan segala urusan zakat sebaiknya juga diselaraskan bayaran zakat yang dikenakan terutama zakat fitrah.

Ini kerana nilai ringgit kita adalah sama di semua negeri dalam Malaysia dan taraf hidup juga boleh dikatakan sama.

Disamping itu disyorkan juga supaya setiap umat Islam warganegara Malaysia ini dimasukkan juga maklumat tarikh lahir mengikut kelendar Islam.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN 
JAMALULLAIL Ampangan Seremban Utusan Malaysia Rencana 12 Februari 2015 1:10 AM

Solat bukan part time

CELIK mata waktu pagi terlihat khidmat pesanan ringkas atau WhatsApp dalam telefon, “PM mahu jumpa pukul 10 pagi hari ini”. Pasti kita yang hanya orang biasa - bukan ketua bahagian atau ketua cawangan, berada dalam keadaan tidak keruan. Serba-serbi tidak kena, takut, baju apa nak pakai, topik apa yang nak dibincangkan dan sebagainya.

Itu baharu orang kenamaan di negara ini, cuba bayangkan jika menerima jemputan daripada Yang Maha Berkuasa iaitu pemilik mutlak seluruh alam semesta ini. Secara logiknya, pasti kita akan teruja tetapi secara praktikalnya majoriti yang bukan sebegitu.

Allah menjemput kita secara eksklusif untuk mengadap-Nya sebanyak lima kali sehari, tidak salah dikatakan bahawa ramai daripada kita bukan sahaja tidak menyahut, malah terdapat juga yang mengabaikannya terus. Sombong dan bongkak, seolah-olah segala nikmat yang diperoleh selagi bernafas di atas muka bumi ini hak milik kekal.

Melayu di negara ini amat unik kerana cukup sinonim dengan agama Islam - Melayu adalah Islam dan tidak sebaliknya. Sehubungan itu, bangsa yang penuh toleransi ini amat sensitif apabila kalimah Allah cuba diperkotak-katikkan, walaupun pada masa sama sesetengah daripada mereka langsung tidak menghiraukan larangan dan suruhan pemilik nama Yang Maha Esa itu, termasuklah agak liat untuk mendirikan solat - salah satu daripada Rukun Islam.

Dalam kebanyakan kes, solat dilaksanakan secara terpilih, langsung tidak dimartabatkan sebagai kewajipan mutlak seorang hamba kepada pencipta. Ada yang hanya seminggu sekali iaitu pada hari Jumaat, setahun dua kali - sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Banyak hadis Rasulullah SAW menyentuh mengenai sembahyang, antara sabda Baginda ialah, “Anak kunci syurga ialah sembahyang,” - Riwayat Imam Ahmad; “Batas pemisah di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat,” - Riwayat Bukhari dan Muslim; “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan aga­manya,” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Beberapa tahun lalu, pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah mendedahkan hasil kajiannya yang mendapati 80 peratus umat Islam di negara ini tidak menyempurnakan solat lima waktu. Statistik ini tidak boleh dipandang mudah kerana solat adalah tiang agama, sekiranya tiang sesuatu struktur itu tidak kuat maka bangunannya boleh runtuh pada bila-bila masa.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang bertujuan memartabatkan syiar dan syariat Islam yang didukung kerajaan. Semua pihak perlu menyahutnya, jangan biarkannya sekadar ‘dasar gajah putih’ semata-mata. Luaskan pelaksanaannya dalam setiap aspek kehidupan rakyat di negara ini. Antaranya jadikan solat sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap penjawat awam Melayu Islam di semua sektor - atasan dan bawahan. Pihak swasta juga dipelawa untuk amalkan KPI ini. Mungkin ramai beranggapan cadangan ini adalah perkara remeh-temeh, lebih baik utamakan perkara lain yang bersifat global dan hebat pada namanya.

Perlu diingati, tujuan utama Allah menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah serta menjadi hamba cemerlang di dunia dan mampu melepasi proses pengauditan di akhirat kelak. Jika kepada Allah pun manusia itu gagal me­laksanakan tanggungjawabnya, bagaimana pula kepada organisasi yang diwakilinya? Ini amat berkait rapat dengan konsep ihsan dalam Islam yang secara ringkasnya bermaksud melaksanakan sesuatu ibadah dengan perasaan penuh yakin seolah-olah ia dilihat terus oleh Allah SWT.

Menghayati sifat ihsan ini akan membantu umat Islam mewujudkan kualiti kerja cemerlang dan berinovatif, sekali gus akan memperkasakan jati diri dan meningkatkan harga diri pekerja itu sendiri. Memetik petikan yang selalu dikongsi dalam WhatsApp, “Solat bukan part time, bukan sometimes, bukan no time tapi mesti full time, kalau boleh over time’. -  Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Feb 2015

Penamaan bertentangan syarak

Sesetengah daripada agensi dan badan berkanun di Malaysia mengamalkan sistem penamaan bagi memudahkan pengeluaran dana apabila berlaku kematian. Institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi, syarikat insurans dan takaful menyifatkan penama sebagai orang yang diberi kuasa mengeluarkan wang si mati tanpa perlu melalui proses pembahagian mengikut undang- undang pembahagian harta pusaka.

Tujuan penamaan ialah untuk memudahkan proses pengeluaran dana tanpa perlu menunggu Sijil Faraid dan perintah pentadbiran harta pusaka. Penulis difahamkan pengeluaran dana boleh dilakukan seawal dua minggu selepas permohonan dibuat melalui penamaan ini.



Seksyen 23 Akta Undang-Undang Sivil 1956 memberi peruntukan berkaitan penamaan dalam insurans. Peruntukan yang berakar umbi daripada Akta Harta Perempuan Berkahwin (England) 1882 sebenarnya dibuat untuk orang bukan Islam. Ia tidak terpakai kepada orang Islam di Malaysia kerana bagi orang Islam, undang-undang yang mengawal orang Islam dalam hal ini adalah undang-undang Islam. Undang-undang diri bagi orang Islam di Malaysia selain di Wilayah Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Bagi orang Islam terdapat pelbagai kekeliruan terhadap amalan penamaan ini. Ramai beranggapan orang Islam sama seperti bukan Islam apabila dinamakan, beliau berhak mendapat harta apabila penama meninggal dunia. Ini anggapan yang salah dan bertentangan hukum syarak.

Wujud pertelingkahan amalan penamaan

Telah timbul banyak pertelingkahan dan salah tafsiran, malah tidak keterlaluan jika dikatakan salah guna terhadap sistem serta amalan penamaan bagi orang Islam di Malaysia. Sebahagian daripada orang Islam masih beranggapan pihak dinamakan berhak mendapat harta si mati walaupun sebenarnya beliau hanyalah dinamakan sebagai pentadbir. Keputusan Persidangan Majlis Raja-Raja Ke-96 pada tahun 1973 memutuskan, orang yang dinamakan hanyalah sebagai wasi. Akibatnya terjadilah insiden menyorok harta, menyembunyikan fakta dan pelbagai alasan diberikan untuk tidak melupuskan harta kepada orang yang berhak menerima iaitu ahli waris.

Oleh yang demikian, terdapat desakan daripada pelbagai pihak untuk memansuhkan amalan penamaan ini bagi orang Islam kerana bercanggah dengan hukum syarak dan mendatang kezaliman. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-7 pada tahun 1973 telah membuat keputusan bahawa kerajaan negeri dinasihatkan membuat pindaan yang sesuai kepada undang-undang supaya harta peninggalan si mati hendaklah difaraidkan dan tidak boleh diambil oleh orang yang dinamakan.

Pada tahun 1978 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-15 memutuskan, orang Islam tidak boleh melantik penama kerana mengikut definisi undang-undang sivil ia bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah. Undangundang itu hendaklah dipinda supaya penamaan dibuat oleh orang Islam adalah tidak sah.

Pada tahun 2001, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa bahawa orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh si mati adalah wasi kepada si mati dan hendaklah membahagikan harta peninggalan si mati kepada waris yang berhak mengikut pembahagian faraid.Malah Majlis Raja- Raja Melayu dalam persidangan kali ke- 117 pada tahun 1980 memutuskan orang Islam tidak boleh membuat penamaan dan peguam negara perlu menggubal undang- undang supaya orang beragama Islam tidak dibenarkan membuat penamaan.

Walaupun terdapat keputusan Majlis Raja-Raja serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang jelas menyatakan penamaan melanggar hukum syarak dan pihak tertentu didesak menggubal undang-undang menghalang orang Islam daripada membuat penamaan, tiada apa-apa tindakan ke arah itu telah dibuat.

Amalan masih berleluasa

Natijahnya, umat Islam terus dibelenggu keresahan dan amalan yang bertentangan hukum syarak ini masih berleluasa. Sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil serius pandangan dan ketetapan yang telah lama dikeluarkan dengan segera memansuhkan undang-undang penamaan bagi orang Islam.

Pada masa sama mesti diadakan mekanisme menghalang orang Islam membuat penamaan. Undangundang legasi penjajah ini hendaklah disesuaikan dengan adat dan kehidupan masyarakat tempatan khususnya orang Islam. Islam bukan sekadar ritual harian, tetapi suatu cara hidup yang lengkap bagi penganutnya.

Dalam Islam orang yang dinamakan itu hendaklahbertindak sebagai wasi kepada harta diterimanya. Wasi adalah pentadbir atau pemegang amanah yang menjaga harta bagi pihak ahli waris dan hendaklah mengagihkan harta itu kepada ahli waris secepat mungkin jika tiada apaapa halangan wujud.

Tiada hari khas berkasih sayang

HARI Kekasih dikatakan antara perayaan manusia yang cukup ajaib dan pelik. Perayaan itu diraikan seluruh dunia, namun sebahagian besar negara di dunia ini tidak menjadikannya sebagai cuti rasmi.

Ingatan itu dikuatkan lagi apabila ia turut diraikan oleh rangkaian media massa dan gedung membeli-belah, termasuk rangkaian jualan dalam talian.



BERMANFAAT... meluangkan masa bersama keluarga dan rakan taulan mampu memperkukuhkan lagi kasih sayang sesama insan. - Gambar hiasan

Mereka berlumba-lumba menawarkan pelbagai jenis produk yang sesuai dijadikan hadiah bernilai. Tidak hairanlah, ia menjadi suatu perayaan yang paling diminati dan sentiasa ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama kekasih, khususnya dalam kalangan golongan muda dan remaja.

Fenomena itu turut melanda umat Islam. Mereka turut meraikan tarikh 14 Februari setiap tahun bersama pasangan masing-masing dalam suasana yang terang-terangan melanggar batas agama.

Dalam meraikan perayaan tersebut, ungkapan To be my Valentine yang dikatakan bagi menzahirkan kecintaan itu adalah jelas melanggar akidah kita sebagai umat Islam.

Satu artikel yang dipetik dalam laman web rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal daripada bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Yang Maha Kuasa”.

Konsep dan nilai kasih sayang telah lama wujud dalam Islam


Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi To be my Valentine, maka sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah, sekali gus mengundang kemurkaan Allah SWT.

Apa tidaknya, ini kerana ia telah meminta orang tersebut menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Walaupun sehingga kini ahli sejarah masih tidak mempunyai kata sepakat apakah peristiwa sebenar yang menjadikan perayaan berkenaan terus diingati.

Namun tegas pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi, terdapat dua pendapat yang mempunyai kaitan langsung dengan agama Islam.

“Kedua-duanya perlu didedahkan kepada generasi muda atau remaja Islam hari ini supaya mereka mengetahui mengapa perayaan tersebut perlu dijauhi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Malah jelas Ahli Panel Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad) itu lagi, tarikh Hari Kekasih itu ada kaitan dengan kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol.

Pengumuman tarikh terbabit dikatakan telah dibuat oleh salah seorang yang memainkan peranan penting dalam usaha itu iaitu St. Valentine.

Dia melakukan demikian kerana menyifatkan tumbangnya kerajaan Islam sebagai berakhirnya era kezaliman dan kekejaman yang kononnya menjadi polisi pemerintahan kerajaan Islam pada masa itu.

“Ini merupakan satu peristiwa tragis untuk umat Islam. Tetapi, lebih malang kita menyambutnya dalam suasana keseronokan,” katanya.

Bagi pendapat kedua pula membabitkan peristiwa yang dikatakan berlaku semasa empayar Rom diperintah oleh keturunan Romawi Kuno pada 270 Masihi.

Pemerintahan kejam dan zalim yang dilaksanakan oleh keturunan itu telah menerima tentangan daripada seorang keturunan Rom yang bernama Valentine.

Kesan penentangan itu telah menyebabkan Valentine dihukum bunuh oleh pemerintah terbabit pada 14 Februari 270 Masihi dan hukuman itu telah menimbulkan perasaan sedih yang mendalam dalam kalangan pengikut Valentine.

Oleh itu, untuk mengenang jasa dan sumbangan Valentine, pengikutnya telah menjadikan tarikh itu sebagai hari berkabung setiap tahun.

“Tetapi, pemerintah Romawi Kuno itu berjaya mempengaruhi para pengikut Valentine supaya mengubah sambutan itu daripada mengingati kepada upacara pesta atau perayaan yang bukan agama.

“Mereka mengadakan jamuan makan, berkasih sayang dan lain-lain. Tradisi itu diteruskan sehingga hari ini dan sebahagian besar golongan muda serta remaja Islam turut meraikannya dan telah menjadi trend pada hari ini,” katanya.

Menggarap strategi ampuh

TIDAK habis-habis umat Islam ketika ini diasak dengan pelbagai isu yang mencabar agama Islam dan syariahnya. Tentangan ini pula bukan hanya datang daripada kalangan bukan Islam malah daripada kalangan orang yang mengaku Islam yang ditambat dengan anutan liberalisme, pluralisme dan pelbagai isme lagi.


KITA telah diingatkan di dalam al-Quran bahawa orang bukan Islam tidak reda agama Islam sehinggalah kita mengikuti agama mereka. - Gambar hiasan

Dalam kalangan umat Islam yang mahu menegakkan syariat Islam pula, tidak mahu menzahirkan contoh teladan yang baik sehinggalah umat Islam sendiri menolaknya. Ekstremisme kumpulan Islamic State (IS) dan Boko Haram umpamanya tidak mempunyai tempat di hati umat Islam arus perdana yang berpegang kepada konsep Islam yang adil.

Natijahnya, Islam tidak dilihat sebagai sebuah model terbaik untuk menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Hakikatnya ajaran Islam diamalkan di negara bukan Islam (walaupun bukan atas nama Islam) tetapi norma yang sama tidak dapat diterapkan dalam kalangan umat Islam di negara Islam sendiri. Ironinya, Islam tidak diamalkan di negara Islam.

Dalam aspek yang lain pula ramai daripada kalangan ilmuwan Islam pada ketika ini pula konsep-konsep baharu mahu diperkenal dan dikembangkan sehingga orang awam menjadi keliru berkaitan dengan amalan yang sekian lama dilaksanakan mahu diubah sekelip mata.

Penulis bukan mahu mengkritik ilmuwan Islam ini tetapi sekadar meluahkan pandangan agar segala bentuk konsep sebegini hendaklah terlebih dahulu diputuskan bersama para ilmuwan sebelum sampai kepada masyarakat awam.

Bukankah salah satu sumber hukum di dalam Islam ialah ijmak ulama? Kenapa ijmak ulama ini tidak diperoleh tetapi mahukan ijmak sekalian umat?

Kalau suatu ketika dahulu kita pernah mendengar para ulama setelah memberi sesuatu pandangan mereka berkata ini adalah pandanganku, pandangan aku bagiku adalah betul tetapi berkemungkinan salah dan pandanganmu adalah salah tetapi berkemungkinan benar tetapi ketika ini amat jarang kita mendengar kalangan yang meraikan perbezaan pandangan dengan tertib yang mulia.

Melabel

Ada juga yang mendakwa memberi pandangan atas prinsip kebebasan bersuara tetapi apabila pandangan mereka disanggah mulalah mereka melabel pihak yang menyanggah dengan pelbagai gelaran. Penulis berpandangan sudah sampai masanya umat Islam, tidak kiralah sama ada daripada kalangan alim ulama, masyarakat awam, pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak pemerintah merangka strategi ampuh menangani segala permasalahan umat.

Mendabik dada dialah betul dan orang lain semuanya salah bukanlah merupakan pendekatan Islam. Mencari kesilapan orang lain dan menuding jari ke arah itu juga mestilah dihentikan. Umat Islam mesti berubah dalam strategi ini bagi menangani segala cabaran mendatang.

Tiada guna menyalahkan orang bukan Islam menentang agama Islam kerana memang kita telah diingatkan di dalam al-Quran, orang bukan Islam tidak reda agama Islam sehinggalah kita mengikuti agama mereka.

Yang perlu kita salahkan ialah diri kita sendiri masih memikirkan kepentingan diri mengatasi kepentingan umum tidak membuka minda dan saling menyalahkan antara satu sama lain, di samping tidak bersatu dalam kalangan umat.

Khutbah Jumaat ~ “Akidah Mantap Hidup Selamat”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 13 Februari 2015: JAIS

“Akidah Mantap Hidup Selamat”


Akidah merupakan suatu pegangan dan keyakinan yang tiada syak atau ragu-ragu, manakala akidah Islam adalah mempercayai semua perkara yang disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui al-Quran dan an-Sunnah.

Akidah menjadi asas kepada penerimaan atau penolakan amalan manusia di sisi Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 23 ;

"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan".

Penerapan akidah Islam bermula sejak manusia itu dilahirkan ke dunia ini. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bayi yang baru dilahirkan supaya diazan dan diiqamat ke telinganya, kerana kalimah dalam azan dan iqamat itu mengandungi kalimah tauhid.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jadikanlah kalimah La ilaha Illa Allah sebagai kalimah pertama yang didengari oleh anak-anakmu ” (Riwayat al-Baihaqi).

Akidah Islam yang mantap akan dapat mendorong kita untuk patuh dan taat kepada setiap perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 103: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu semua akan orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya”.

Sifat sabar tidak akan dapat dicapai melainkan sekiranya jiwa kita telah diisi dengan akidah dan keyakinan yang teguh terhadap keesaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah As-Sajdah ayat 12: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu); wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Akidah yang mantap dapat menghalang berlakunya penyelewengan terhadap ajaran Islam.

Menelusuri khutbah pada hari ini, maka beberapa pengajaran hendaklah diambil perhatian;

1. Umat Islam hendaklah berusaha memupuk dan memantapkan akidah Islamiah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

2. Umat Islam hendaklah berusaha mempelajari akidah Islamiah untuk mengelak diri daripada terlibat dengan penyelewengan dan kesesatan.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara akidah dengan memantapkan amalan dan memperbaiki akhlak.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa mengambilkira dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam menjalankan kehidupan seharian.

“Bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhan-Nya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”. (al-Baqarah- 112).

Wallahualam

Khutbah Jumaat ~ Hakikat Jihad

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat (13 Februari 2015 / 23 Rabiulakhir 1436H) JAKIM

Hakikat Jihad

Keamanan adalah satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan manusia samada di peringkat individu atau masyarakat demi kebaikan umat sejagat.

Keamanan bererti kita bebas dari bahaya, bebas daripada kejahatan, kecelakaan, dan lain-lain. Ini termasuk keamanan dalam aspek kenegaraan, kekeluargaan, sosio ekonomi dan sebagainya.

Keamanan membawa banyak kebaikan dan rezeki kepada manusia serta negara. Manakala perpecahan membawa kemelaratan dan kesengsaraan. Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

Islam menolak keras bentuk gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan untuk mengugat keamanan negara.

Seorang ulama’ terkenal al-Raghib al-Asfhani menyatakan bahawa jihad itu terbahagi kepada tiga perkara,

Pertama: berjuang kepada musuh yang nampak,

Kedua: berjuang menghadapi syaitan dan

Ketiga: berjuang menghadapi hawa nafsu dan ketiga- tiga bahagian ini terkandung di dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78: Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya;

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 8: Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. .”

Marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat dihindarkan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 190: Maksudnya: Dan perangilah kerana agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh

Sebagai kesimpulan khutbah pada minggu ini ini, mimbar menyeru sidang Jumaat, umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Memahami hakikat jihad dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman.

Kedua: Menghayati dengan jelas tentang fiqh keutamaan (fiqh awlawiyat) dalam membuat pertimbangan hidup yang mana perlu diutamakan dan yang mana perlu dikemudiankan.

Ketiga: Senantiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dalam semua perkara dengan menolak segala gerakan pelampau yang boleh mengugat kesejahteraan dan keamanan.

Dan keempat : Mengawasi dan memantau anak-anak kita dari segenap sudut kehidupan agar mereka tidak terpengaruh dengan gerakan yang menyalahi agama Islam yang sebenar.

Mengakhiri khutbah, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al –Baqarah ayat 286: Maksudnya: “ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir

Wallahualam.