February 13th, 2015

Agama rahmat untuk semua

APABILA kita merujuk perkataan Islam dalam al-Quran, ini bukanlah agama atau syariat Nabi Muhammad SAW sahaja, tetapi merupakan agama atau syariat kesemua nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT, antaranya:

- Nabi Yaakub AS menasihati anak-anaknya yang bermaksud: “Maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.” -Surah al-Baqarah ayat 132.

- Anak-anak Nabi Yaakub AS menyahut seruan bapanya yang bermaksud: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kepada-Nya sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).” -Surah al-Baqarah ayat 133

- Nabi Musa AS berkata kepada kaumnya yang bermaksud: “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepada-Nya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).” - Surah Yunus ayat 83.

Oleh itu, kita dapati Islam menjadi syiar yang umum digunakan bagi agama para nabi dan pengikut mereka sejak dari permulaan sejarah manusia sehingga ke hari ini. Di samping itu, al-Quran menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan kepada mereka agama baharu, malah ia adalah agama nabi dan rasul yang terdahulu.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Shura ayat 13: “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu tegakkan pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisih pada dasarnya.”

Islam membawa rahmat ke seluruh pelosok alam. Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sebelum diutuskan baginda SAW atau lebih dikenali dengan zaman Jahiliah adalah dalam keadaan yang penuh dengan pelbagai kezaliman seperti pembunuhan, permusuhan dan keganasan.

Sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat gagal berfungsi dengan baik. Golongan lemah sentiasa ditindas dan golongan yang kuat terus menjadi kuat dan berkuasa. Peperangan dan pembunuhan berlaku secara berleluasa di sana sini. Anak-anak dibunuh dengan kejam tanpa peri kemanusiaan, golongan wanita dipermainkan dan diperalatkan.


SEBAHAGIAN daripada 10,000 orang yang hadir ke Program Malam Cinta Rasul- Seri Menanti Berselawat 2015 di Negeri Sembilan, baru-baru ini. -

Jika diamati, sebenarnya cara hidup yang diteladani daripada Baginda SAW amat sinonim dengan budaya masyarakat Melayu di negara kita. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu banyak mencorakkan masyarakat Melayu menjadi masyarakat yang pemalu, berbudi bahasa, bersopan santun serta merendah diri.

Namun sebahagian umat Islam hari ini begitu tertarik dengan budaya dan tamadun dari Barat mahupun Timur yang masuk ke negara umat Islam. Mereka mengikutinya tanpa membuat tapisan sama ada ia mendatangkan manfaat atau pun mudarat.

Ini adalah kerana fitrah manusia sukakan hiburan. Akhir-akhir ini budaya berhibur secara melampau atau hedonisme mulai membarah dalam kalangan remaja Islam.

Jika melihat situasi masyarakat sekarang, para ibu bapa disaran merujuk kepada Surah Luqman dalam al-Quran yang menceritakan insan bernama Luqman al-Hakim kerana keistimewaannya memberi nasihat dengan menggunakan perkataan yang baik. Ibu bapa disaran mengambil tahu aktiviti anak-anak di samping bertegas memilih hiburan yang sihat sekali gus menjaga batas-batas susila dan akhlak Islam.

Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah Hari Raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” - Riwayat Ibnu Majah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam pada tahun 2009 sebagai panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 membuat keputusan :

- Nyanyian yang liriknya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;

- Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;

- Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat liriknya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah;

- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus;

Ajarlah anak-anak kita meminati lagu dan melodi al-Quran melebihi alunan muzik yang melalaikan. Oleh itu, cara terbaik berdepan dan menangani cabaran semasa kini ialah dengan cuba mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah seperti dinasihatkan Baginda SAW. Islam sebagai cara hidup sudah lengkap serta relevan bermula zaman kebangkitan Nabi Adam AS diteruskan oleh para anbia’ terdahulu sehinggalah ke hari ini.

-

Belasungkawa: Datuk Nik Aziz Nik Mat (1931-2015)

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, 84, yang meninggal dunia malam tadi adalah seorang ahli politik hebat dan mengabdikan dirinya dengan parti itu sejak 1967.

Sejarah bukan saja mencatatkan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan paling lama, bermula 1990 hingga 2013 tetapi juga seorang ahli politik paling kontroversi.

FOTO fail pada Mac 1992: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - Foto NSTP

Nik Aziz atau lebih dikenali sebagai Tok Guru dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada 1931.

Beliau yang mendapat pendidikan di India, Pakistan sebelum mendapat Sarjana Perundangan Islam di Mesir pada tahun 1960-an.

Selepas pulang ke tanah air, Nik Aziz yang ketika itu berusia 31 tahun, melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis, Tuan Sabariah Tuan Ishak, yang juga pilihan kedua orang tuanya.

Bapa kepada 10 cahaya mata itu memasuki PAS pada 1967 dan dipilih sebagai calon Ahli Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Ahmad Abdullah pada 1969. Beliau menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu sehingga 1986 sebelum berpindah ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api.

Nik Aziz dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990 selepas pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menang dalam Pilihan Raya Umum dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Pada Mei 2013, sebaik sahaja PAS mendapat mandat memerintah Kelantan dalam Pilihan Raya Umum, Nik Aziz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar dan diganti oleh Datuk Ahmad Yakob.

Ia adalah satu kejutan terutama bagi rakyat Kelantan dan khasnya ahli PAS sendiri kerana sebelum itu tiada ura-ura yang beliau akan melepaskan jawatannya itu.

Walaupun tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar, beliau masih lagi berkhidmat sebagai Mursyidul Am PAS dan sering memberi komen terhadap pelbagai isu politik semasa.