February 15th, 2015

Membina generasi positif

Setiap yang hidup akan mengalami proses kitaran hidup, iaitu yang muda akan menjadi tua. Sebab itulah wujudnya istilah generasi pertama yang mewakili golongan tua, dan generasi kedua yang mewakili golongan muda.

Generasi kedua akan belajar daripada teladan, yang ditunjukkan oleh generasi pertama, khususnya ibu bapa. Seandainya teladan yang positif kita tunjukkan kepada anak-anak kita, bermakna kita sedang membina generasi kedua yang positif, demikianlah jika di sebaliknya. Jika kita generasi pertama sebagai anak, melayan ibu atau bapa kita yang sudah tua dengan baik, anak-anak kecil atau anak-anak muda akan mencontohi teladan kita.

Ingatlah, bahawa apa-apa yang kita sebagai ibu bapa lakukan di hadapan anak-anak, ibarat kita sedang menyemai benih atau menabur racun kepada mereka. Sampai masanya apa-apa yang kita tanam dan apa-apa yang kita tabur itulah, yang akan kita tuai. Jom audit diri kita, bagaimana sikap kita terhadap ibu bapa kita, positif atau negatif?

Generasi pertama, yang sudah tua, kena mengambil tanggungjawab atas apa-apa yang berlaku dalam keluarga, masyarakat dan negara. Jadilah kita pemula kepada keluarga kita untuk berubah daripada negatif menjadi positif. Kalau kita sebagai generasi pertama/tua sedar, kita belum cukup ilmu, akidah tidak mantap, ibadah tidak sempurna atau akhlak tidak lembut, maka kitalah yang terlebih dahulu kena berubah, membetulkan segala kekurangan diri. Bagaimanakah kita hendak mengubah generasi kedua kalau kita sendiri tidak betul?

Generasi pertama/tua patut dihormati dan dicontohi. Generasi kedua/muda patut didengari dan diajari. Sebagai generasi pertama/tua yang sudah lama diberi Allah peluang hidup, kita sepatutnya "sedar", dan bukan hanya sekadar "tahu" di mana kelemahan diri kita yang perlu diperbetulkan. Kalau kita sekadar "tahu" belum tentu kita "sedar", tetapi kalau kita sedar memang kita "tahu", dan yang lebih penting "sedar" lahir dari hati, "tahu" lahir dari minda. Sesuatu tindakan yang datang dari minda dan hati akan lebih berkesan.

Jom audit diri kita, adakah kita ini sedar siapa kita? Dari mana kita datang? Kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya kita akan pergi di penghujung kehidupan kita? Audit diri dan refleksi diri, lihat hasil kehidupan kita! Jika tidak seperti yang kita mahukan, hentikan menyalah orang lain, ambil tanggungjawab dan buat pilihan yang berbeza untuk hasil yang berbeza dengan cara membina keperibadian yang positif dan keyakinan diri yang tinggi. Tutuplah mata fizikal kita, insya-Allah kita akan dapat bayangkan banyak perkara yang baik, dan boleh fokus kepada tujuan kehidupan kita yang sebenar. Sebab apabila kita menutup mata fizikal, mata hati akan terbuka.

Fokus

Hal ini kerana, pepatah Melayu ada mengatakan, “biarpun rambut kita sama hitam, tapi hati lain-lain”. Setiap manusia itu berbeza hati budinya dan pelbagai ragam sikapnya. Pertama, ada manusia yang sangat takut akan hukuman daripada Allah sebab banyak dosa. Kedua, ada manusia yang materialistik terlalu cinta dunia hingga lupa bahawa suatu masa kehidupan kita akan terhenti; kita akan mati. Ketiga, manusia neurotik yang menghadapi neurosis (gangguan emosi). Manusia jenis ini akan fokus kepada masalah hingga berasa hidupnya sudah tidak ada lorong cahaya.

Sebagai generasi pertama/tua, tunjukkan kepada generasi kedua/muda contoh yang baik, contohnya jika kita diuji Allah dengan masalah, fokuslah kepada resolusi, apakah tindakan serta fokus kepada menyelesaikan masalah. Mesti ada dalam hidup – tujuan dan penyelesaian masalah hidup. Hidup dengan tujuan, kita akan menjadi seorang yang hidup dengan penuh semangat. Kalau kita tahu tujuan hidup ini untuk mencari reda Allah, hidup akan tenang serta kita tahu wawasan dan aspirasi hidup kita untuk dunia dan akhirat.

Setiap orang daripada kita mesti ada aspirasi untuk menjadi baik; iaitu untuk membina keluarga bahagia, membina negara yang maju, dan membina dunia yang aman damai. Bagi mencapai aspirasi ini, pentadbiran negara, perlu menentukan polisi yang menekankan kepada nilai akhlak yang murni. Sistem pendidikan negara perlu mengajar generasi kedua/muda tentang mencintai diri sendiri, menyayangi orang lain, menghormati diri dan menghormati orang lain.

Sejak kecil lagi kita telah dibeza-bezakan berdasarkan kelulusan akademik; pelajar yang mendapat markah yang rendah akan duduk di kelas bawah. Pelajar cemerlang sahaja yang ditempatkan di kelas atas (kelas pelajar cerdik). Sedangkan pengajian akademik itu, hanya masuk ke dalam minda sedar sahaja, iaitu banyak menggunakan akal. Tetapi, kita kurang menekankan ilmu wahyu, yang mengajar kita tentang keikhlasan, adab, lembah lembut, dan menghormati sesama kita, yang akan masuk ke dalam minda bawah sedar/minda segar (roh/jiwa).

Keseimbangan ilmu akal dan ilmu kerohanian ini akan menyediakan negara kita, satu generasi yang lahir daripada anak bangsa Malaysia, yang sifatnya pertama, sangat kreatif. Kedua, sangat penyayang. Ketiga, sangat baik hatinya. Keempat, sangat ingin memperbaiki diri dan suka belajar. Kelima, suka menghargai bukan minta dihargai. Keenam, sangat menerima manusia seadanya dan menerima takdir hidupnya dengan reda dan kesyukuran. Ketujuh, sangat suka berkongsi apa yang dia ada, suka bekerjasama tidak suka bersaing. Sebab tujuan kita adalah untuk membangunkan ummah.

Semua impian positif ini tidak akan tercapai jika kita tidak ada kasih sayang. Apabila kita menyayangi diri kita sendiri, barulah kita boleh menyayangi keluarga, masyarakat dan negara kita. Sebab itu ingatlah konsep pemikiran ‘Reset Minda’, ADA – BERI – DAPAT. Maksudnya, jika kita ada kasih sayang, barulah kita boleh memberikan kasih sayang, dan apabila kita memberikan kasih sayang, barulah kita akan mendapat kasih sayang daripada orang sekeliling kita. Oleh sebab minda bawah sedar/minda segar mempengaruhi 90 peratus kehidupan kita, maka berhati-hatilah dengan apa-apa yang masuk dalam minda bawah sedar/minda segar. Cara minda bawah sedar/minda segar mempengaruhi apa-apa yang masuk ke dalamnya, contohnya elakkan menonton atau terlibat dengan aksi ganas.

Hal ini adalah kerana, jika aksi ganas masuk dalam minda bawah sedar/minda segar, semua gambaran (sama ada yang kita lihat, yang kita bayangkan, atau yang kita lalui) akan tertanam dalam minda bawah sedar/minda segar. Oleh sebab itu sebagai generasi pertama/tua, kita mesti ‘tahu’ dan ‘mahu’ melakukan transformasi diri, meninggalkan segala yang negatif dan memulakan cara hidup yang positif, untuk kita wariskan kepada generasi kedua/muda. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.   - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 15 Februari 2015 12:09 AM

Bisik-Bisik Awang Selamat

Al-Quran dan Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenalkan satu lagi pembaharuan yang pada fikiran Awang cukup besar maknanya. Kelmarin, baginda menitahkan sebarang acara dianjurkan oleh istana dan kerajaan negeri seboleh-bolehnya dimulakan dengan bacaan petikan ayat al-Quran dalam situasi yang sesuai, dilengkapi maksudnya sekali. Awang bersyukur dengan inisiatif yang diambil oleh baginda. Selama ini, kita lebih banyak bercakap soal penghayatan dan membudayakan al-Quran tetapi kurang dari segi tindakan. Sedangkan kitab suci itu adalah gerbang ilmu dan pedoman hidup kepada ummah dalam apa jua keadaan dan cabaran. "Umat Islam wajib didampingkan malah masyarakat umum wajib difahamkan dengan kandungan al- Quran,'' titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua dan Ahli Majlis Agama Islam Perak. Tahun lalu, Sultan Nazrin mengejutkan banyak pihak di Perak apabila baginda menolak untuk menerima sebarang cenderamata atau cenderahati setiap kali baginda dan Permaisuri, Tuanku Zara Salim  menghadiri majlis rasmi. Sememangnya amalan memberikan cenderamata kepada raja dan pemimpin  pada majlis rasmi tidak lagi sesuai terutama yang berbentuk plak, ukiran dan lukisan, apatah lagi yang mahal-mahal. Pada majlis kelmarin, bukan sahaja soal pembaharuan memulakan majlis dengan membaca petikan al- Quran sahaja yang menarik perhatian, malah titah ucapan baginda yang mengupas keagungan kitab suci itu disifatkan sangat relevan. Baginda menyentuh pelbagai persoalan termasuk kegagalan umat Islam memahami kandungan al-Quran menyebabkan mereka terperangkap dalam minda sempit sehingga gagal mentafsir secara analitis dan strategik ciptaan Illahi yang menyebarkan umat di serata pelosok benua bersama pelbagai kekayaan. Seperti beberapa ucapan Sultan Nazrin sebelum ini, Awang berpendapat ia wajar dijadikan simpanan untuk bacaan, rujukan dan renungan khususnya buat umat Islam. Galilah pemikiran baginda menerusi ucapan yang selalunya dianggap khazanah ilmu. Awang sudah lama mulakan. Percayalah, ia mampu cetuskan semangat dan harapan baharu.

Tahun lebih bersih

Awang ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar kerana komitmen beliau untuk terus menangani kegiatan judi haram. Beberapa langkah yang beliau ambil ekoran laporan investigatif Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia akhir tahun lalu, telah mula membuahkan hasil. Premis-premis judi haram di seluruh negara telah banyak yang tutup. Pada Awang, ini pencapaian besar berbanding senario sebelumnya dengan aktiviti haram itu bagaikan tidak dapat dibendung. Harus diakui, bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghapuskan kegiatan tersebut 100 peratus. Hari ini, masih terdapat pengusaha-pengusaha judi haram berdegil dan mencabar pihak berkuasa. Lebih-lebih lagi ada segelintir pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang salah guna kuasa dan korup. Mereka inilah yang menjadi gunting dalam lipatan dan menyukarkan usaha memerangi kegiatan judi haram di negara ini. Kini rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan para aktivis memerhatikan perkembangan – sejauh mana segala langkah yang diambil benar-benar dilaksanakan dengan berani, tegas dan efisien. Sudah bersihkan setiap daerah, pekan dan bandar daripada gejala tersebut? Awang yakin dengan kesungguhan Khalid dan sokongan para pegawai kanan terutama keberanian pihak tertentu di belakang tabir dalam pasukan polis, 2015 akan menjadi tahun lebih bersih daripada gejala judi haram. Semoga tiada lagi cerita tauke judi lebih berkuasa daripada polis di daerah dan lapangan.

Kedaulatan kita...

Sebenarnya tidak teruja untuk Awang menulis berkaitan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat. Memang terlalu banyak asas mensabitkan beliau, yang pasukan pendakwa raya diketuai Shafee Abdullah berjaya buktikan. Akhirnya Anwar mencatat sejarah, pemimpin yang dua kali dipenjara atas kesalahan meliwat mengatasi rekod bekas Presiden Zimbabwe, Canaan S. Banana yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, juga atas kesalahan meliwat pembantu peribadi Jeff Dube pada 1998. Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan Anwar bersalah disambut dengan tenang oleh rakyat Malaysia. Kematangan terserlah apabila rakyat tidak terheret dengan cubaan membantah keputusan  itu di jalanan. Setakat ini, beberapa penganjuran bantahan itu tidak mendapat sambutan orang ramai dengan jumlah yang agak luar biasa kecil. Sesungguhnya rakyat sudah bosan dengan demonstrasi jalanan dan kekecohan apatah lagi untuk memperjuangkan pemimpin yang menghadapi masalah moral yang serius. Lagipun keadilan bukan semata-mata untuk pemimpin seperti Anwar, rakyat kecil seperti Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang menjadi mangsa liwat, juga punya hak. Yang lebih Awang teruja untuk bangkitkan sambil berasa bimbang ialah campur tangan negara dan pihak asing terhadap kes tersebut. Ini termasuk kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang seperti biasa mahu mengenakan tekanan ke atas Malaysia antaranya menerusi petisyen untuk membebaskan segera Anwar. Awang setuju dengan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, kuasa besar itu tiada sebab untuk mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan negara ini apatah lagi untuk membuli Malaysia. Rakyat Malaysia juga kata beliau, wajar membuat petisyen yang sama supaya AS jangan mengganggu urusan negara ini. Pada Awang, inilah akibatnya jika ada pemimpin seperti Anwar yang suka mengundang campur tangan asing. Sudah belasan tahun lamanya beliau melobi ke luar negara untuk berkuasa, terlalu banyak mentohmah kerajaan Malaysia dan sentiasa berusaha mendapatkan sokongan dunia agar mengenakan tekanan kepada negara kita semata-mata mahu menyelamatkan diri di sebalik kesalahannya. Belajarlah sejarah pengkhianatan bagaimana tumbangnya sesebuah tamadun dan negara termasuk empayar Melaka angkara si Kitul. Kini strategi dan pelaburan Anwar selama ini menjadi. Kuasa besar seperti AS mahu "meliwat" pula sistem perundangan dan kehakiman kita biarpun majoriti rakyat Malaysia akur dan menghormati keputusan mahkamah. Bagi Awang, Anwar bukan sahaja mempunyai kesalahan jenayah seksual malah mengundang campur tangan asing, yang kesalahannya itu jauh lebih besar. Kedaulatan tiada galang gantinya.

Takziah

Al-fatihah. Belum terlewat untuk Awang menerusi ruangan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia, Khamis lalu. Walau apa pun tafsiran dan sama ada suka atau tidak untuk diakui, Allahyarham Tok Guru adalah tokoh berpengaruh yang telah mewarnai politik tanah air, lebih-lebih lagi dalam Pas, parti yang memerintah Kelantan. Kesederhanaan Nik Aziz adalah kekuatannya yang sukar untuk dibandingkan dengan tokoh politik lain. Namun Allahyarham sebagai pemimpin ketika hayatnya tidak terlepas daripada kontroversi dan kritikan. Yang tentunya menjadi persoalan selepas ini bagaimana Pas pasca Nik Aziz, makin lemahkah pengaruh golongan ulama? Juga, apakah akan berlaku perubahan besar hala tuju parti itu, ke arah penyatuan dan kekuatan ummah di negara ini?

Berjayakah Palani?

Apa sudah jadi dengan Presiden MIC, G. Palanivel? Semalam beliau mengeluarkan kenyataan yang dilihat memburukkan lagi krisis dalam parti itu. Kata dua beliau kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengejutkan banyak pihak. Apakah itu caranya? Dakwaan Palanivel terhadap ROS yang didakwa mencabul Perlembagaan parti adalah berat. Perkembangan terbaharu ini makin meresahkan ahli-ahli, yang sebahagiannya sudah meluat dengan krisis tersebut. Awang berharap Palanivel tahu apa yang beliau buat. Elakkan lebih banyak mudarat, yang jika berlaku, juga mencerminkan kegagalan kepimpinan beliau. Sekarang ini pun, itulah persepsi ramai. Harap-harap beliau berjaya. - Utusan Malaysia Rencana Bisik Awang Selamat 15 Feb 2015

Indeks Syariah ukur usaha bukan jenama

Ramai teruja apabila Indeks Syariah Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Februari lalu. Namun tidak kurang juga yang dangkal pemikiran menanggapinya sebagai satu inisiatif seolah-olah bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada isu Anwar.

Hakikatnya idea awal pembangunan Indeks Syariah Malaysia ini diilhamkan sendiri oleh Najib. Idea ini mula tercetus apabila dalam satu pertemuan tertutup dengan pimpinan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 21 Ogos 2013 di pejabat Perdana Menteri, Najib menyuarakan keperluan untuk mengukur pencapaian Malaysia dalam pelaksanaan syariat dan pengembangan syiar Islam.

Keseriusan Najib sekali lagi disuarakan dalam Majlis Perdana Ulama Umara pada 28 Ogos 2014 sehingga tertubuhnya sebuah jawatankuasa yang diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi memulakan usaha untuk membangunkan Indeks Syariah ini.

Hakikatnya sejak lebih 57 tahun merdeka telah banyak kerajaan lakukan bagi mengembangkan syiar dan syariat Islam dalam pelbagai polisi, sektor dan program. Ini seiring dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Malah agenda memartabatkan Islam sememangnya amat sebati dengan perjuangan UMNO sebagai parti tunjang yang menerajui kerajaan. Agenda ini dizahirkan secara jelas dalam Perlembagaan UMNO Fasal 3.3 bahawa asas dan matlamat perjuangan UMNO antara lain ialah untuk “menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama”.

Sebab itulah pelbagai dasar dan program Islam telah dibangun dan dikembangkan sama ada dalam bidang perundangan, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan pelbagai lagi sektor pemerintahan.

Walau bagaimanapun sehingga hari ini belum ada sebarang usaha mahupun inisiatif untuk benar-benar melakukan introspeksi atau penilaian berkenaan dengan usaha-usaha yang telah dilaksanakan untuk memartabatkan Islam dalam segenap lapangan dan bidang.

Atas asas inilah Najib secara berani dan ikhlas mahu kerajaan di bawah kepimpinannya dinilai dan diukur khususnya sejauh mana usaha dan pencapaian kerajaan selama ini dalam melaksanakan Islam menurut neraca syariat yang sebenar.

Tidak ramai pemimpin negara Islam yang bersedia untuk dinilai berkenaan dengan pelaksanaan syariat. Apatah lagi usaha penilaian yang dijalankan oleh pihak ketiga sudah tentu akan menzahir dan menyerlahkan pelbagai kelemahan dan kelompongan yang ada dalam pemerintahan.

Namun keikhlasan Najib jelas terpancar melalui kata-kata beliau dalam majlis pelancaran Indeks Syariah Malaysia Selasa lalu, yang meletakkan dua matlamat utama inisiatif ini.

Pertama, untuk “menilai keseriusan usaha kerajaan dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan”. Dan yang kedua, bagaimana untuk kita mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan, agar kita dapat menerima lebih banyak manfaat, hasil dari penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam”.

Keberanian untuk dinilai, bersedia untuk memperakui kelemahan serta melakukan penambahbaikan sudah tentu akan menyerlahkan jiwa besar yang ada pada seorang pemimpin Islam. Malah nilai seperti inilah yang dituntut Islam sebagaimana hadis Nabi SAW:

“Setiap Anak Adam terdedah kepada melakukan kesilapan dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesilapan adalah orang yang bertaubat (iaitu orang yang memperakuinya lantas melakukan koreksi atas kesilapan tersebut).

Dalam dunia akademik dan penyelidikan, instrumen atau kaedah untuk mengukur sesuatu pencapaian dipanggil indeks.

Sebelum ini memang telah banyak indeks-indeks yang dihasilkan untuk mengukur pelbagai sektor dan aspek kehidupan. Sebagai contoh Indeks Pembangunan Manusia yang mengukur pencapaian pembangunan modal insan sesebuah negara. Indeks Persepsi Rasuah yang mengukur dan menilai pencapaian sesebuah institusi mahupun negara dalam isu-isu menyentuh rasuah dan penyelewengan.

Indeks ini dibangunkan mengikut kaedah tertentu berasaskan data-data yang berkaitan dengan bidang atau aspek yang ingin diukur.

Sebab itulah apabila idea untuk mengukur pencapaian dalam melaksanakan syariah, maka tidak salah untuk mengambil kaedah atau metadologi yang sama dengan indeks-indeks yang lain.

Cuma yang berbeza sudah tentulah komponen dan piawaian syariah yang ingin diukur dan dinilai. Piawaian syariah yang dimaksudkan ini harus berpandukan kepada lima matlamat syariah yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah. Ini termasuklah pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Manfaat

Ini kerana setiap hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah semuanya terkait dengan kelima-lima perkara ini yang menjadi matlamat sesuatu hukum.

Sebagai contoh, asas pengharaman zina kerana Islam amat menitikberatkan pemeliharaan keturunan yang jika tidak ditangani bakal memporak-porandakan masyarakat. Begitu juga apabila Islam menuntut agar pendidikan diberi keutamaan kerana akal manusia bukan sahaja perlu dipelihara bahkan dikembangkan.

Inilah yang dimaksudkan dengan matlamat atau Maqasid Syariah yang bukannya bertujuan semata-mata menghukum tetapi lebih utama meningkatkan kualiti kehidupan yang bukan sahaja khusus kepada umat Islam tetapi punya nilai sejagat yang dimanfaati semua termasuk bukan Islam.

Inilah yang dikehendaki Allah apabila menegaskan dalam al-Quran bahawa Islam sebagai agama yang memberi rahmat kepada seluruh alam.

Bersandarkan prinsip ini Indeks Syariah Malaysia dibangunkan tidak hanya memfokuskan kepada insitusi-institusi, dasar-dasar, program-program yang berjenama Islam tetapi meliputi segenap aspek kehidupan yang menepati makna dan nilai syariah sejati.

Memang hakikatnya Islam tidak pernah mengutamakan label mahupun jenama. Tetapi yang lebih mustahak adalah makna syariah sebenar yang perlu dihayati dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan perlaksanaan.

Sebagai contoh pengukuran sama ada kenderaan itu Islamik atau tidak bukan bergantung kepada penjenamaan kenderaan itu sebagai ‘kereta Islam’ tetapi yang lebih bernilai dan bermakna ialah sama ada pemanduannya berhemah, berdisiplin dan tidak memudaratkan mana-mana pihak.

Begitu juga dalam bidang ekonomi, pengukuran yang holistik bukan sahaja dalam konteks indusri kewangan Islam semata-mata tetapi meliputi aspek kecekapan, kejujuran dan ketelusan pengurusan ekonomi dalam kerajaan serta apa jua dasar dan polisi yang mampu mengangkat taraf hidup rakyat seperti pembasmian kemiskinan dan kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan.

Ini semua perlu dilihat daripada neraca dan piawaian syariah kerana al-Quran dan as-Sunnah yang merupakan sumbernya jelas memperuntukkan hal-hal sedemikian.

Ini hanyalah sebahagian contoh bagaimana Indeks Syariah ini dibangunkan oleh hampir 200 tenaga-tenaga pakar dalam 8 bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

Sesungguhnya, pembangunan Indeks Syariah ini juga merupakan satu manifestasi kesungguhan, ketulusan dan iltizam tidak berbelah bahagi Perdana Menteri yang ikhlas ingin dinilai oleh pihak ketiga yang tiada kepentingan bagi mengenal pasti kedudukan sebenar Malaysia dalam pembangunan Islam.

Justeru dengan adanya Indeks Syariah ini tentu sekali kerajaan dapat menentukan apakah lagi kelompongan-kelompongan dalam dasar-dasar dan program-program yang perlu ditambah baik bagi menuju kepada kesempurnaan.

Memanglah amat mustahil untuk kita mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan tuntutan syariah. Namun apa yang lebih mustahak untuk kita sama-sama berusaha bagi menyempurnakannya.

Akhirnya Allah bukan menilai berasaskan natijah mahupun pencapaian kita tetapi yang lebih mustahak ialah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan syariah secara holistik dalam segenap aspek kehidupan. Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Rencana 15 Februari 2015 12:09 AM

Kesabaran senjata ampuh tegak kebenaran

Naluri manusia amat suka kepada kekuatan, kekuasaan dan mereka sentiasa berusaha untuk mendapatkan kelebihan itu. Namun, kedua-dua kelebihan itu tidak dapat menentukan sesuatu kebenaran kerana ia adalah sesuatu yang sabit dan tetap daripada Allah SWT.

Oleh itu, kebenaran menjadi arah pedoman untuk kehidupan lantaran tautan yang kukuh dengan hidayah daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu dan jangan kamu termasuk daripada golongan mereka yang ragu-ragu." (Surah al-Baqarah, ayat 147)

Ayat ini berkisar perbuatan mereka menyembunyikan kebenaran kerasulan Baginda SAW yang diterangkan dalam kitab terdahulu. Namun, menolak kebenaran menjadi kebiasaan kerana jiwa yang berpenyakit.

Justeru, kebenaran ada hubung kait dengan hubungan yang benar dengan Allah dan sesama manusia. Ini hal yang sangat penting untuk difahami. Maka, hikmah daripada setiap perintah Allah SWT tetapkan adalah mengukuhkan hubungan kita dengan-Nya dan sesama manusia.

Hubungan erat itu umpama hubungan yang terjalin antara roh dan jasad dan tidak dapat dipisahkan.

Kekuatan jiwa adalah kunci kepada kebenaran hakiki kerana asas kebenaran ialah kekuatan jiwa.

Namun, kekuatan itu sendiri berlainan pada setiap jiwa kerana manusia mempunyai pemikiran yang berlainan antara satu sama lain. Dengan kekuatan jiwa, seseorang dapat mengawal dirinya, mendominasi orang lain atau tidak dapat mengawal diri dan orang lain.

Kekuatan lawan nafsu amarah

Seorang mukmin dapat mengawal dirinya dan sentiasa istiqamah pada jalan Allah SWT. Dia juga dapat berhadapan dengan seruan kebatilan dengan jayanya. Padanya ada dua kekuatan iaitu kekuatan melawan nafsu amarah dalam jiwa dan kekuatan menentang kebatilan.

Tetapi orang kafir hanya mempunyai satu kekuatan sahaja iaitu hanya mampu mengawal diri dan tidak dapat menolak kebatilan yang datang hingga terjerumus ke kancah kebatilan.

Ada juga golongan yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu menghadapi kebatilan yang datang. Mereka ialah orang munafik yang hilang segala kekuatan dan pada masa sama terpaksa mengaku pada zahir kerana tidak sanggup berhadapan dengan kebenaran. Nauzubillah.

Kedua-dua jalan ini (kebenaran dan kebatilan) tidak akan bertemu buat selamanya kerana kedua-dua jalan ini tidak pernah sekata. Al-Quran telah memperjelaskan hal ini kerana al-Quran adalah pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Al-Quran juga dipanggil al-furqan yang membawa maksud pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Saidina Umar dipanggil al-faruq kerana memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. Melalui kisah Umar, dapat disimpulkan kebenaran tidak pernah mengenal sesiapa dan ia adalah kekuatan pendokong kebenaran.

Apatah lagi beliau adalah seorang yang dikenali dan ditakuti ketika itu. Ini menjelaskan kebatilan akan luntur dan hilang setelah datangnya kekuatan melalui kebenaran itu.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan katakanlah bahawa datangnya kebenaran yang akan melenyapkan kebatilan. Sesungguhnya yang batil itu pasti akan lenyap juga." (Surah al-Israk, ayat 81)

Mereka yang bersama kebenaran tidak goyang dengan musuh yang ramai disebabkan kekuatan tadi. Baginda SAW sendiri bermula dengan sendirian sehingga menerima pelbagai tentangan. Akhirnya, kebenaran Islam dapat diterima peringkat demi peringkat sehingga hari kiamat.

Di samping keyakinan dan kekuatan, ketakwaan juga akan membantu dalam mencari kebenaran kerana ia adalah neraca bagi orang yang beriman.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika kamu sekalian bertakwa kepada Allah SWT, nescaya kamu akan diberi petunjuk kebenaran dan diampunkan dosa kamu." (Surah al-Anfal, ayat 29)

Ayat ini mengaitkan keimanan dan ketakwaan sebagai jalan menuju kebenaran. Maka, berbahagialah bagi mereka yang mencari kebenaran melalui iman dan takwa, seterusnya mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Bagaimanapun, kebenaran dicari adalah sesuatu yang pahit dan akan sentiasa ditentang oleh kebatilan. Justeru, ketahanan diperlukan bagi melawan kebatilan dan kesabaran adalah senjata ampuh untuk berbuat demikian.

Pertahan kebenaran

Senjata ini dapat dilihat pada surah al-Asr yang menekankan wasiat kebenaran dan kesabaran. Di sini menunjukkan pentingnya manusia menerima kebenaran dan mempertahankan kebenaran dengan penuh kesabaran. Tetapi, kebatilan sunyi daripada sifat sabar dan akhirnya manusia menjurus ke arah kekerasan.

Keganasan akan berlaku setelah segala dalil dan hujah yang menjadi asas mencari kebenaran tidak lagi digunakan. Maka, bahasa kekerasan akan digunakan bagi menutup segala kebatilan. Kebenaran adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan walaupun sudah pasti kebatilan akan lenyap.

Kebenaran dan kebatilan tidak akan bersatu buat selamanya kerana perbezaan titik mula dan penghujungnya. Namun demikian, kedua-duanya akan terserlah walaupun mengambil masa yang panjang.

Pengetahuan mengenai yang hak dan batil juga dapat membentuk insan memiliki semangat juang kental serta lebih berani kerana kita semakin yakin dengan apa yang kita lakukan. Oleh itu, kita seharus mendalami sesuatu ilmu sebelum menyangkal atau membantah sesuatu perkara yang dianggap bertentang pandangan kita.

Jadi, untuk mengelakkan sesuatu salah faham, kita perlu menegakkan kebenaran dan menjauhi kebatilan.

Kita hendaklah meyakini bahawa kebenaran adalah kekuatan yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Islam adalah agama keamanan, bukan keganasan sebagaimana anggapan sesetengah pihak kerana ia agama kebenaran yang dibuktikan dengan hujah dan dalil yang jitu. Sebenarnya, kebatilan dan kekufuran yang mencetus keganasan kerana gagal dalam hujah serta dalil. Zamanuddin Jusoh Berita Harian Rencana 15 Februari 2015

Awasi pergerakan anak-anak

PEDOFILIA merupakan gangguan psikiatri melibatkan orientasi seksual yang mana kebanyakan pedophile boleh menjadi seperti heteroseksualiti, homoseksual atau biseksual. Ia melibatkan rangsangan erotik, fantasi dan tarikan seksual terhadap kanak-kanak. Bedasarkan DSM-III (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) dan  Persatuan Psikiatri Amerika, 1987) menyenaraikan ciri-ciri dan kriteria penting pedofilia sebagai berulang-ulang, dorongan seksual, kebangkitan fantasi dan hubungan seks serta berlaku sekurang-kurangnya tempoh enam bulan. Ia melibatkan aktiviti seksual terhadap kanak-kanak yang umumnya berumur 13 tahun ke bawah.

Pelakunya ialah 16 tahun ke atas, sekurang-kurangnya 5 tahun lebih tua daripada mangsa dan mempunyai kepentingan seksual yang kekal dan eksklusif pada kanak-kanak. Tindakan pedophiles berbeza-beza, rujukan daripada DSM - IV menyatakan beberapa pedophiles : 1) hanya melihat dan tidak menyentuh kanak-kanak itu. 2) hanya mahu menyentuh atau menanggalkan pakaian kanak-kanak itu. 3) hanya mempamerkan alat kelamin dan tubuh badan, tetapi biasanya exhibitionists atau pelaku yang mempamerkan ini tidak mendekati kanak-kanak secara seksual.

Namun apabila aktiviti seksual yang berlaku, ia selalunya melibatkan seks oral atau menyentuh kemaluan kanak-kanak itu atau pelakunya. Dalam kebanyakan kes (kecuali sumbang mahram), pedophiles tidak memerlukan penembusan (penetration).

Apabila pedophile yang menuntut penembusan (penetration), mereka akan menggunakan ancaman atau kekerasan. Mangsa-mangsa dalam kes ini adalah kanak-kanak yang lebih tua biasanya. Kebanyakan pedophiles tidak memaksa kanak-kanak itu malah mereka menggunakan pendekatan pujukan, tipu daya dan hubungan persahabatan.

Tingkah laku seksual pedophile adalah satu jenayah kejam yang dilakukan terhadap mangsa tidak berdaya seperti kanak-kanak. Dalam kebanyakan kes, ianya memberi kesan negatif terhadap psikologi dan hubungan interpersonal akibat pengalaman trauma yang dialami mangsa kanak-kanak tersebut. Berdasarkan kajian, pelaku penderaan seksual kanak-kanak sering mendakwa bahawa mereka sendiri pernah menjadi mangsa penderaan seksual kanak-kanak.

Selain itu, antara faktor-faktor pedofilia adalah disebabkan mendapat pendedahan tentang seksual terlalu awal dan tidak dikawal melalui video porno mahupun pengalaman diri sendiri, pernah menjadi mangsa penderaan seksual, mengalami patologi biologi tertentu (contohnya sindrom Klinefelter atau Hermaphrodisme), keabnormalan hormon dan kecacatan genetik, hiperseksualiti atau keinginan nafsu seks yang tinggi, penghidap penyakit mental tertentu dan struktur kerosakan otak boleh menjadi punca serta faktor yang menyumbang. Namun bagi penghidap penyakit mental kejayaan rawatan psikosis biasanya akan menghentikan tingkah laku pedophilic tersebut.

Pedophile (Pelaku) biasanya tidak mendapat kepuasan dalam hubungan seks dewasa dan berkemungkinan besar mempunyai harga diri yang rendah, mereka mendapati aktiviti seksual terhadap kanak-kanak kurang mengancam dan mengganggu gugat penghargaan kendiri mereka. Rujukan daripada DSM-IV (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) kes pedofilia amat jarang berlaku di kalangan wanita dan kebanyakan pedophiles adalah lelaki yang kebiasaannya adalah ahli keluarga, jiran dan kawan. Kebanyakan sasaran dan mangsa juga adalah kanak-kanak perempuan. Namun terdapat juga kes-kes pedofilia terhadap kanak-kanak lelaki. Justeru, ibu bapa perlu awasi anak-anak dan sentiasa memantau keadaan mereka sepanjang masa.