February 16th, 2015

Martabatkan bacaan al-Quran

PEMAHAMAN umat Islam yang jelas terhadap inti pati ajaran al-Quran adalah amat penting kerana ia merupakan petunjuk terunggul yang harus dijadikan panduan sepanjang masa.

Ia dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firmannya dalam surah Saad, ayat 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”


SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH bertitah ketika merasmikan majlis pengurniaan watikah kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan 21 ahli majlis di Kompleks Islam Ipoh pada Jumaat lalu. – UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Walaupun diakui sebagai sumber rujukan terunggul, masih ramai umat Islam yang tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan seharian mereka dan banyak juga yang tidak memahami segala apa yang telah dibaca.

Ini terbukti apabila satu kajian tidak rasmi yang dibuat oleh seorang guru di sebuah sekolah bandar pada 2013 menghasilkan satu perangkaan yang cukup membimbangkan. Ini berikutan 75 peratus daripada keseluruhan pelajar Islam di sekolah tersebut didapati langsung tidak menjadikan pem­bacaan al-Quran sebagai amalan harian mereka.

Daripada jumlah itu pula, 57 peratus remaja tidak tahu langsung membaca al-Quran dan 30 peratus menyatakan mereka tidak memiliki naskhah kitab suci itu di rumah masing-masing. Walaupun bancian itu dibuat secara tidak rasmi, sebagai pembaca kita sendiri boleh merasakan kajian itu adalah sesuatu yang tidak jauh lari daripada realiti kehidupan seharian sekarang.

Ramai daripada kita tidak menjadikan amalan membaca al-Quran dan tafsirannya sebagai rutin harian dengan pelbagai alasan terma­suk kerana sibuk bekerja dan mengurus anak-anak.

Fenomena itu adalah sesuatu yang menakutkan kerana umat Islam kini diserang daripada segenap penjuru, bukan sahaja oleh musuh Islam malah oleh Muslim berfahaman liberal yang tidak segan silu mengeluarkan pelbagai ‘fatwa songsang’ sehingga menyebabkan umat Islam yang kurang asas agama terpengaruh.

Sehubungan itu, kita menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Jumaat lalu agar semua program anjuran istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat al-Quran beserta maksudnya.

“Ini adalah sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan apresiasi ummah begitu juga sebagai usaha untuk menangani sebarang salah faham masyarakat umum terhadap al-Quran.

“Ayat yang di­pilih tidak perlu panjang tetapi ayat-ayat tersebut hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu acara yang dianjurkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan majlis pengurniaan watikah kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan 21 ahli majlis di Kompleks Islam Ipoh.

Di samping itu, Sultan Nazrin bertitah, ramai ummah membaca surah Yasin; dijadikan amalan dibaca pada setiap malam Jumaat, di majlis tahlil, di sisi insan berke­adaan nazak, di tanah perkuburan dengan memohon ganjaran daripada bacaannya dihadiahkan kepada roh mereka yang telah berada di alam barzakh dan ketika ummah memohon agar Allah memakbulkan sesuatu hajat.

“Namun, inti pati utama yang terkandung di dalam surah Yasin amat sedikit difahami, jauh daripada dihayati apatah lagi untuk diyakini akan rahsia dan muslihat kalam Ilahi. Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, ayat-ayat al-Quran tidak sekadar untuk dihafal. Kandungan al-Quran wajib difahami, wajib dikaji, wajib diselami; diterokai khazanah ilmu yang tersirat di sebalik yang tersurat hingga ummah menemui mutiara berharga yang terkandung di dasar kitab.

“Lalu dijadikan pakaian ummah ketika menyempurnakan tugas dan tanggungjawab terutama dalam memenuhi amanah mengurus tadbir negara dan menjalankan urus niaga,” titah Sultan Nazrin.



Ismail Mina Ahmad

Jelas baginda, daripada 6,238 ayat al-Quran, 228 daripadanya menyentuh perkara-perkara awam berkaitan ekonomi, undang-undang dan susun atur sosial yang wajib dijadikan rujukan oleh setiap umat Islam agar roh Islam dapat dijelmakan dalam atur urusan dunia.

“Umat Islam wajib didampingkan dan masyarakat umum wajib difahamkan dengan kandungan al-Quran. Minat mempelajari dan minat mengkaji al-Quran perlu dihidupkan di hati setiap ummah sehingga terbentuknya rasa kasih dan rasa cinta kepada al-Quran dan terbinanya budaya mempelajari al-Quran sepanjang hayat,” titah baginda.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad yang mengulas titah Sultan Nazrin itu menyeru Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain agar mencontohi langkah yang dilaksanakan oleh pihak istana dan kerajaan Perak.

“Setakat ini saya dapati tiada arahan rasmi supaya amalan ini dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain, jadi sudah sampai masanya ia dibuat selaras dengan pelancaran model Indeks Syariah Malaysia baru-baru ini.

“Kita menyambut baik pelancaran indeks ini yang bertujuan memastikan lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial memenuhi objektif syariah. Lebih baik jika ia turut diiringi dengan usaha mewajibkan bacaan al-Quran dalam setiap majlis,” ujar­nya.

Beliau berkata, jika amalan itu dijadikan satu arahan rasmi ia sudah tentu akan dapat menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang memartabatkan Islam kerana di negara-negara Asia Barat sendiri amalan berkenaan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

“Setakat yang saya tahu, di negara-negara Arab bacaan al-Quran ketika permulaan majlis dibuat atas inisiatif ketua-ketua jabatan atau agensi kerajaan sahaja dan tiada arahan rasmi daripada pemerintah negara,” katanya.

Tambah beliau, selain terjemahan ayat al-Quran secara literal ke bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, adalah lebih baik ia disertai ‘tazkirah’ ringkas bagi menghurai ayat-ayat yang telah dibaca berkenaan.

“Ini adalah amalan yang paling baik bagi membolehkan para hadirin lebih memahami maksud ayat yang telah dibacakan ini terutama yang berkaitan dengan isu semasa atau secara khusus menyentuh mengenai tujuan majlis diadakan,” ujar beliau.

Upacara 'candlelight vigil' dilarang Islam

SHAH ALAM - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan hari ini menegaskan, Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.

Oleh itu, upacara 'candlelight vigil' atau berhimpun bersolidariti sambil menyalakan lilin adalah dilarang bagi umat Islam kerana ia menyerupai upacara agama lain.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah memutuskan bahawa umat Islam dilarang menyertai aktiviti 'candlelight vigil' kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam," menurut kenyataan muzakarah tersebut yang dikeluarkan menerusi laman rasmi Facebook Fatwa Malaysia.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa muzakarah berkata di dalam Islam, cahaya atau api yang dihasilkan oleh lilin dan selainnya tidak memberi apa-apa pengertian berkaitan aqidah dan kepercayaan.

"Cahaya atau api hanya merupakan satu alat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT bagi memudahkan urusan kehidupan manusia.

"Bagaimanapun, api atau cahaya menjadi satu perkara yang amat signifikan bagi agama-agama bukan Islam terutamanya bagi agama majoriti di negara ini iaitu Kristian, Hindu dan Buddha," jelas jawatankuasa tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, amalan 'candlelight vigil' khasnya atau kuasa cahaya atau api amnya mempunyai perkaitan langsung dengan ketiga-tiga agama tersebut.

"Upacara berhimpun di suatu tempat dengan membakar lilin sebagai tanda protes adalah menyerupai amalan agama orang bukan Islam.

"Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam," jelas jawatankuasa itu lagi.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu berkata hukum itu adalah berdasarkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-18, m.s. 1343 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)

Jelas jawatankuasa itu lagi, Rasulullah S.A.W turut melarang umatnya daripada melakukan sesuatu perkara yang bukan datangnya dari urusan agama, sepertimana disebutkan di dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-17, m.s. 1343 yang bermaksud:

“Telah diberitakan kepada kami oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Subhi dan Abdullah bin Aun al-Hilali kesemua daripada Ibrahim bin Sa’ad telah berkata Ibn al-Subhi, diceritakan kepada Ibrahim bin Sa’ad bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Auf, diberitakan kepada kami oleh ayahku daripada al-Qasim bin Muhammad daripda Aisyah berkata; Rasulullah S.A.W telah bersabda “Sesiapa yang mengada-adakan (mereka-reka) perkara yang baru dalam urusan kami dan perkara tersebut bukan tergolong di dalamnya maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)

Terdahulu, upacara 'candlelight vigil' kembali hangat diperkatakan apabila para pemimpin dan penyokong pembangkang berhimpun bersolidariti sambil menyalakan lilin di hadapan Penjara Sungai Buloh sebagai simbol untuk pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu ketua Anak Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha mereka berhimpun sambil memegang lilin adalah semata-mata untuk menunjukan solidariti terhadap Anwar dan bukannya melakukan upacara keagamaan.