February 17th, 2015

Hidup berpandu al-Quran

Al-Quran yang diwah­yukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah mukjizat paling agung. Ia menjadi panduan utama umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Tidak akan sesat atau terpesong seseorang itu selagi mana dia berpegang kepada kitab suci ini dan juga sunnah Baginda SAW.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku tinggalkan kamu dua perkara selagi mana kamu berpegang teguh de­ngannya pasti kamu tidak akan sesat selama-lamanya iatu kitab Allah dan sunnahku. (riwayat Muslim)

Berbekal jaminan insan paling mulia yang juga kekasih Allah, maka amat tepat titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 13 Februari lalu supaya sebarang acara dianjurkan oleh istana dan kerajaan negeri seboleh-bolehnya dimulakan dengan bacaan petikan ayat al-Quran dalam situasi yang sesuai, dilengkapi dengan maksudnya.

Titah itu amat dialu-alukan dan bertepatan dengan usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan dan juga amalan dalam kehidupan seharian. Malah, titah oleh Sultan Nazrin itu amat bermakna kerana baginda adalah ketua bagi agama Islam di negeri Perak.

Orang Islam sudah maklum bahawa al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6,236 ayat (4,613 ayat Makkiyah dan 1,623 ayat Madaniyah). Isi ajaran yang tercantum dalam al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:

* Cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),

* Peraturan masa kini (tatkala al-Quran diturunkan) dan

* Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasulullah SAW, masa kini dan seterusnya hari kiamat).

Secara keseluruhannya, al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan isu akidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.

Besarlah harapan agar usaha digerakkan ke aras merealisasikan titah tersebut ke arah melahirkan masyarakat yang berkualiti. Sete­rusnya menjadikan negeri dan negara yang makmur dan mendapat pengampunan sebagai mana kerajaan Saba’ di bawah kepemimpinan Ratu Balqis dalam zaman Nabi Sulaiman.

Di dalam kitab sejarah Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, dijelaskan ketinggian tamadun Saba’ ini mempunyai beberapa keistimewaan jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun Arab lain. Antara keistimewaan tamadun itu adalah aspek ketakwaan kepada Allah SWT dan akidah yang tulen.

Maka dengan sebab inilah Saba’ disifatkan sebagai negara yang makmur dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Ini dirakam menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)

Usaha memperdengarkan bacaan al-Quran dalam majlis-majlis di Perak adalah usaha murni yang boleh memupuk kepada membudayakan kitab suci itu dalam hidup kita. Kehebatan al-Quran sudah terbukti dalam mendidik jiwa manusia menjadi insan berakhlak dan bertakwa.

Ini telah terbukti apabila kita merujuk kepada kisah yang membawa kepada pengislaman Saidina Umar al-Khattab. Beliau dikenali sebagai seorang yang amat keras penentangannya terhadap Islam semasa zaman jahiliah. Tetapi hati keras yang dimiliki oleh beliau ‘cair’ apabila mendengar dan membaca ayat Allah dalam surah Taha ayat 1 hingga 5.

Mendengarkan kalam-kalam Allah itu menyebabkan sendi Saidina Umar lemah dan bergetar kerana terpegun dengan kehebatan ayat-ayat tersebut. Akhirnya beliau memeluk Islam dan menjadi pendokong Islam yang hebat serta insan yang paling hebat dalam mempertahankan dakwah Rasulullah SAW.

Memulakan majlis dengan bacaan al-Quran dapat memberi ketenangan dan melembutkan hati mereka yang mendengarnya. Apabila jiwa tenang, maka mudahlah menerima pesanan-pesanan kebaikan dan seterusnya diamalkan. Hati yang lembut akan mudah tersentuh dengan saranan melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah.

Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram. (ar-Ra’d: 28)

Di dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja menjadi ibadah dan mendapat pahala serta rahmat Allah tetapi mendengarkan bacaannya pun begitu juga. Tentang pahala orang yang mendengar bacaan al-Quran telah dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikan lah tenang, agar kamu mendapat rahmat...(al-A’raaf: 204)

Mendengar bacaan al-Quran de­ngan tenang juga dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengar bacaan al-Quran dengan baik. Demikian besarnya mukjizat kitab suci ini, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarkannya.

Malah semakin kerap kita membaca dan mendengarnya, semakin terpikat kita kepada al-Quran. Apabila al-Quran dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mende­ngarnya dan bertambah imannya.

Keadaan orang mukmin apabila mendengar bacaan al-Quran digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, ha­nyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allahlah mereka bertawakal.(al-Anfaal: 2)

Antara hikmah yang terdapat dalam al-Quran adalah sebagai kitab hidayah.

* Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Alif laam miin. Kitab (al-Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (al-Baqarah: 1-2)

* Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya al-Quran Ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar... (al-Isra’: 9)

Oleh itu al-Quran memberi petunjuk kepada orang yang baik dan orang yang sesat. Al-Quran memberi petunjuk kepada jalan yang betul dan jalan Allah yang lurus dan memimpin manusia kepada keredaan Khaliq, kemenangan memperoleh syurga dan pembebasan dari api neraka.

Al-Quran ialah kitab Allah yang kekal dan mukjizatnya bertahan sehingga hari kiamat. Memadailah Allah mewakilkan diri-Nya dengan menjamin bahawa al-Quran tidak akan berubah dan berpinda atau diseleweng dan ditokok tambah. Ia di­nyatakan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)

Justeru al-Quran memberi petunjuk kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya ke arah jalan yang betul. Ia juga memimpin bahtera manusia ke perairan yang aman dan daratan yang selamat. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 17 Feb 2015

Bila si jahil berbicara

JURUCAKAP G25 berkata, jika hudud dilaksanakan, Kelantan akan diserbu oleh perogol kanak-kanak dan dewasa, untuk memuaskan nafsu mereka di sana.

Kenapa begitu bersangka buruk dengan undang-undang Islam sedangkan kita belum pernah melalui dan merasainya? Mengaku diri beramal dengan Islam, di manakah keyakinan kepada ALLAH? Tidakkah kita yakin kepada rahmat ALLAH apabila perintahNya dilaksanakan?

Paling kurang, pergilah melawat ke Brunei. Lihat betapa aman sentosanya keadaan di sana. Rahmat ALLAH datang mencurah-curah sejak syariat Islam dilaksanakan.

Lagi pun, apakah sistem yang diamalkan hari ini berjaya membendung jenayah rogol? Tidak juga. Malah semakin ramai yang kena rogol, jenayah berleluasa. Tidakkah perlu mencari alternatif lain?

Majoriti manusia cenderung ke arah melakukan kebaikan. Manusia yang rasional tidak akan merogol. Mereka yang merogol hanya segelintir sahaja. Sebab itu, Islam mengambil pendekatan mencegah dengan hukuman agak berat.

Ilmu kita tentang rogol, jangan hanya terhad pada empat saksi sahaja dan buku Inggeris Hashim Kamali. Kitab-kitab hendaklah ditelaah bersekali. Apakah benar jika tiada empat saksi, maka bebaslah perogol?.

Bagaimana pula dengan takzir, hirabah (kerana memeras), Qisas (jika mencederakan atau menyebabkan kematian), diat (denda ganti rugi) dan sebagainya?

Dalam kata lain, kepelbagaian kes ini boleh disabitkan melalui pelbagai kaedah mengikut pertuduhan. Malah, kes rogol lebih mudah ditangani berbanding zina.

Inilah akibatnya apabila si jahil berbicara dalam bidang bukan kepakarannya. Pakar pun, kadangkala kalah juga, bila berada di mahkamah (ICJ). Pendek kata, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Malu dan boleh merosakkan akidah. 

Belum pun isu rogol reda, tiba-tiba wakil rakyat ultra kiasu Pulau Pinang membuat kenyataan rogol dengan mengaitkan khutbah Jumaat Jais dua minggu lalu.

Peliknya, khutbah itu ditujukan kepada orang Islam, kenapa yang tidak bersunat gatal punggung?

Wakil rakyat itu mempertikaikan khutbah Jais, bertajuk “aurat: antara kebebasan dan maruah”, yang menekankan kepentingan menutup aurat bagi mengelakkan mudarat lain seperti rogol.

Ultra kiasu kata, orang yang tutup auratlah yang paling ramai kena rogol. Sebab kainnya mudah diselak, berbanding memakai seluar ketat, yang sukar ditanggalkan.

Katanya, isi kandungan khutbah Jais bercanggah dengan fakta, tidak benar, tidak bertanggungjawab, tidak menghormati wanita dan bias.

Kepada yang faham, sudah tentu kita akan berkata, bahawa khutbah tersebut mahu mengangkat martabat wanita. Peliknya, kenapa MCA, Gerakan dan lain-lain diam membisu? Tidak pula dituduh wanita putih ini rasis?

Kena pada kita, rasis belaka. Kena kepada mereka, itu namanya hak.

Peliknya lagi, kenapa tidak bandingkan kes rogol di negara barat yang tidak menutup aurat atau negara paling seksi?

Mengikut kajian di barat, berpakaian seksilah yang paling banyak mengundang kepada rogol. Zig Ziglar (2000), pakar motivasi Amerika, bercerita panjang lebar tentang hal ini.

Hujah ini disokong oleh Sudin Dhavilika (2014), bukan Islam, Menteri di Jabatan Kerja Raya, Goa, India. Beliau pernah mencadangkan larangan pemakaian bikini di pantai.

Begitu juga pemakaian skirt pendek dan kelab malam. Pemakaian sebegini boleh mengundang kepada cabul dan rogol serta keganasan ke atas wanita.

Kenapa ultra kiasu tidak boleh berfikir rasional seperti menteri India ini? Nasib baiklah di negara kita ada etika berpakaian ketika berada di pejabat, Dun atau Parlimen.

Kadangkala sangat meluat melihat, pergi ke pejabat awam, sudah ada notis ditampal dengan jelas, berpakaian sopan bila berurusan dengan pejabat kerajaan. Malangnya, yang datang, baju-T lebih panjang daripada seluar pendeknya.

Bentuk tubuh badan wanita dan lelaki berbeza. Pendedahan dan penonjolan wanita menggiurkan dan memberahikan, menjadikan lelaki terangsang untuk merogol. Logiknya, mudah. Tubuh badan wanita memberi tarikan dan rangsangan.

Memanglah tutup aurat bukan jaminan untuk kena rogol. Perogol tidak memilih mangsa. Agama kami lebih kepada mengambil langkah pencegahan. Jika ditakdirkan ramai yang tutup aurat kena rogol. Itu sudah takdir.

Saya tidak nafikan wanita bangsa saya kurang kena rogol. Kebanyakan mereka lakukan seks atas dasar suka sama suka, meskipun belum mendaftarkan perkahwinan. Suka, teruskan, tidak suka tinggalkan. Itulah yang berlaku kepada saudara mara saya. Sebab itu tidak ada istilah rogol. * Ridhuan Tee Abdullah ialah pensyarah Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA. Sinar Harian Kolumnis 16 Feb 2015

Merealisasi makna kesederhanaan

HARI ini, terutama kerana meningkatnya kebimbangan terhadap ekstremisme agama dan ras dalam negara dan keganasan antarabangsa, maka, semakin ramai merujuk pada “kesederhanaan” sebagai jawapannya.

Semakin ramai mendukung kesederhanaan adalah positif. Bagaimanapun, inilah juga masanya yang memerlukan untuk dipastikan bahawa kesederhanaan difahami dengan tepat. Supaya tidak disalah tafsir atau disalah guna.

Supaya mereka yang mengamalkan kesederhanaan tidak dilabel (contohnya, kurang Islam/Melayu) atau didakwa (contohnya, hasutan).

Supaya tidak diculik oleh langkah-langkah memerangi keganasan bersenjata, sehinggakan golongan sederhana pun dihapuskan sekali gus. Dan supaya ekstremis tidak dilindungi, atau diiktiraf sebagai sederhana.

Ketika mencadangkan diwujudkan Gerakan Kesederhanaan Global, iaitu dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib merujuk istilah wasatiyyah sebagai kesederhanaan.

Wasatiyyah terbit daripada ayat al-Quran: “Kami telah jadikan kamu satu umat yang adil supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu” (al-Baqarah:143). Wasatiyyah bermakna “umat yang adil”.

Menurut Mohammad Hashim Kamali, penggunaan istilah wasatiyyah dalam ayat ini merujuk konteks antara-tamadun, iaitu kedudukan umat Islam bersama dengan masyarakat-masyarakat lain, dan bahawa ia tertakluk pada komitmennya terhadap kebenaran dan keadilan; pemaaf, adil dan berkemampuan berunding dalam kalangan masyarakat berbeza dan dengan itu mempamerkan rahmat dan keadilan ALLAH.

Ayat ini juga menunjukkan cara-cara berinteraksi dengan masyarakat-masyarakat lain. Umat ini mesti komited pada kesederhanaan kerana Rasulullah akan menjadi saksinya. 

Wasatiyyah amat rapat dengan keadilan, dan cenderung memilih jalan tengah di antara dua ekstrem, dan sering digunakan bersilih ganti dengan istilah-istilah purata, asas, standard, pusat, berkecuali, pilihan terbaik dan seimbang.

Lawan kepada wasatiyyah ialah tataruf, iaitu cenderung terhadap kepenghujungan, ekstrem (termasuk keganasan), radikalisme dan pembaziran (dan lawannya: ketidakcukupan).

Kita perlu mengaplikasi kesederhanaan dalam seluruh spektrum kehidupan: kepercayaan, moral dan perwatakan, berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain, dalam institusi-institusi sosial, ekonomi dan politik, dan hubungan antarabangsa.

Contohnya, seorang Muslim perlu adil dalam menyeimbangkan kehidupan duniawi dengan ukhrawi. Beliau wajib menunaikan ibadat-ibadat fardu dan pada masa sama melunaskan tanggungjawabnya mencari nafkah untuk diri dan keluarga, dan peranannya dalam masyarakat dan negara.

Semua itu perlu adil dan seimbang antara spiritual dan fizikal, dan antara bentuk dan isi. Dalam konteks Malaysia, perlu ada keadilan antara tiang seri negara (Perlembagaan, Rukun Negara, Kontrak Sosial) dan Realiti Baru (ICT/media baru, kesedaran/gerakan sosial baru, tahap ketiga demokrasi), antara kebebasan dan tanggungjawab, antara kerajaan dan pemegang taruh lain, dan dasar inklusif yang membina perpaduan dan kesaksamaan sambil mengelakkan diskriminasi tak adil.

Contohnya, bagaimana menangani kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni (Perkara 3)?
Al-Quran memberikan panduan mencukupi. Islam “rahmat untuk semua” (al-Anbiya: 107).

Islam mengiktiraf dan merayakan kemajmukan, kerana “Jika ALLAH menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat” (an-Nahl: 93). Tetapi, ALLAH “telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan... berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan” (al Hujurat: 13).

Islam menegakkan kebebasan agama: “Tidak ada paksaan dalam agama” (al-Baqarah: 256). Islam melarang mengganggu agama lain: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada ALLAH” (al-an’Am:108).

Islam mengisyaratkan supaya menggunakan “kebijaksanaan” dan “berbahas/berdialog dengan cara yang lebih baik” (an-Nahl: 125). Dan sekiranya berlaku perbalahan, maka, “janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan” (al-Maidah: 8).

Jadi, sekiranya benar-benar memahami dan merealisasikan kesederhanaan, sesetengah kontroversi agama dan sebagainya dapat dielakkan.

* Datuk Saifuddin Abdullah (twitter: @saifuddinabd) ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global. Sinar Harian Kolumnis 16 Feb 2015

Tokoh mujaddid dari Delhi

SALAH seorang tokoh pembaharuan dan ahli sufi terkemuka dari India ialah Syah Waliyullah. Nama penuhnya ialah Qutubuddin Ahmad Syah Waliyullah bin Abdurrahim al-Dihlawi.

Caption Area


Salah satu karya Shah Waliyullah yang terkenal ialah kitab Al-Fauz al-Kabir fi Usul at-Tafsir (Kemenangan Besar dalam Usul Tafsir).

Dilahirkan di Delhi, sehingga mendapat gelar al-Dihlawi (orang Delhi). Syah Waliyullah berasal daripada keluarga terkemuka. Salasilah keluarganya hingga kepada Umar bin al-Khattab daripada keturunan ayahnya dan Ali bin Abu Talib daripada keturunan ibunya.

Beliau memperoleh pendidikan daripada ayahnya Abdurrahim, ahli sufi dan ulama pengasas Madrasah Rahimiah di Delhi. Di madrasah itulah, beliau mempelajari ilmu agama, termasuk tasawuf.

Kemudian beliau mencurahkan ilmunya di madrasah itu, selepas tamat pengajian di Mekah dan Madinah sehingga akhir hayatnya.

Selama dua tahun, Syah Waliyullah tinggal di Mekah dan Madinah. Beliau banyak memperoleh ilmu agama, terutama tentang hadis dan tasawuf daripada ulama terkemuka di kedua-dua kota suci itu.

Gurunya yang paling penting di Tanah Suci itu ialah Syeikh Abu Tahir al-Madani, seorang ulama Mazhab Syafie dan ahli sufi terkemuka di Hijaz pada masa itu. Selain menerima ijazah untuk mengajar dan meriwayatkan hadis, Syah Waliyullah juga diterima dalam tarekat yang diikuti Abu Tahir.

Syah Waliyullah berusaha mendamaikan doktrin wahdah al-wujud (kesatuan wujud) Ibnu Arabi dengan doktrin wahdah al-syuhud (kesatuan kesaksian) Ahmad Sirhindi.

Beliau yakin bahawa kedua-duanya benar. Beliau mengatakan bahawa selama ini wahdah al-wujud sering difahami sebagai doktrin yang menghilangkan perbezaan antara Tuhan dengan alam. Dengan mempertahankan perbezaan itu, wahdah al-wujud tidak bertentangan dengan wahdah al-syuhud.

Pemikiran Syah Waliyullah amat berpengaruh lama dunia Islam. Di India sendiri, pengaruhnya disebarkan menerusi murid dan anak-anaknya, terutama anak sulungnya, Syah Abdul Aziz.
Melalui Abdul Aziz, unsur pemurnian dalam ajarannya menjadi lebih menonjol, namun tetap tidak menghilangkan sufi ortodoknya. Gerakan ini semakin kuat di tangan murid Syah Abdul Aziz yang kemudian mengubahnya menjadi gerakan jihad.

Syah Waliyullah menyampaikan pemikirannya menerusi karyanya. Dengan karyanya itu, beliau berjuang untuk memperbaiki keadaan umat Islam India yang pada masa itu sedang dalam krisis politik, sosial, intelektual dan agama.

Salah satu karyanya yang terkenal ialah kitab Al-Fauz al-Kabir fi Usul at-Tafsir (Kemenangan Besar dalam Usul Tafsir). Di dalamnya Syah Waliyullah secara berani mengemukakan pendapatnya yang sebenar dalam bidang ilmu al-Quran.

Info

Biodata Syah Waliyullah

1703 – Lahir di Delhi (21 Februari)

1708 – Memasuki pendidikan asas

1710 – Mampu menghafal kandungan al-Quran

1718 – Masuk Tarekat Naqksyabandiyah

1720-1730 – Mengajar di Madrasah Rahimiah

1730-1732 – Tinggal di Mekah dan Madinah

1732 – Kembali mengajar di Madrasah Rahimiah

1762 – Meninggal dunia di Delhi (10 Ogos)