February 19th, 2015

Tangisan keramat

SIFAT manusia boleh berbeza kerana “stor iman” mereka. Manusia yang penuh iman di dada akan menangis di kala pengisian iman tak mampu ditambah. Itulah perihalnya para sahabat Nabi yang dikenal sebagai “orang yang keseduan menangis.”

Mereka pulang dengan kesedihan yang amat sangat seraya menangis kerana gagal bersama Rasulullah SAW ke medan Tabuk. Bukan Rasulullah SAW tidak mahu membawa mereka, tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan.

Buat mereka yang kenal erti jihad dan ganjaran mentaati Nabi SAW

TANGISAN berkualiti ialah tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni diselaputi iman yang tebal. - Gambar hiasan


Inilah tangisan manusia yang kenal erti jihad dan ganjaran mentaati Rasulullah SAW. Impaknya sungguh dahsyat, “Tangisan keramat” mereka menjadi pujian berkekalan dibaca oleh semua manusia melalui al-Quran sehingga kiamat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). (al-Taubah: 91-92)

Siapakah manusia mulia yang menangis dalam ayat ini? Menurut para ulama mereka digelar sebagai al-bakka’in iaitu orang yang sangat kuat menangis kerana sedih tidak dapat memenuhi seruan Allah SWT.

Mereka terhalang kerana keperluan musafir dan jihad yang bakal menempuh perjalanan sejauh 600km tidak lengkap. Tambahan pula tiada kenderaan kosong yang boleh membawa mereka. Mereka adalah sekumpulan (tujuh orang sahabat nabi yang bergegas menyahut seruan jihad ke Tabuk pada tahun ke 9 Hijri (Tafsir Ibnu Kathir, Sirah Ibnu Hisyam, al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah).

Bukan sekali Allah SWT memuji tangisan hamba-Nya dalam al-Quran. Allah SWT pernah memuji pendeta Nasrani yang berdamping dengan al-Najasyi kerana mereka menangis keseduan mendengar al-Quran dibacakan kepada mereka.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 83 hingga 84 yang bermaksud: Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui kitab mereka) daripada kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh.

Inilah kisah tangisan yang berkualiti dalam al-Quran. Tangisan ini tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni halus diselaputi iman yang tebal. Hati yang “sensitif iman” sebegini diperoleh daripada siraman ilmu dan mujahadah melawan nafsu yang berpanjangan.

Jika ia pernah dimiliki oleh manusia pilihan yang lain, ia juga mampu kita miliki kerana kita dan mereka sama-sama manusia yang memiliki potensi yang sama. Marilah kita sama-sama menambah dan menghayati ilmu agar hati kita juga mudah menangis kerana Allah SWT.

  • Current Music
    TAGS select MOOD select

Al-Quran dan perdamaian

TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini agar semua program anjuran istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat al-Quran berserta maksudnya, amat dialu-alukan dan bertepatan dengan usaha penghayatan dan membudayakan al-Quran dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran merupakan mukjizat paling agung. Ia menjadi panduan utama umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Al-Quran menjadi petunjuk terunggul yang harus dijadikan panduan menghidupkan akal dan hati manusia. Tidak akan terpesong sesuatu ummah itu selagi berpegang kepada kitab suci ini bersama sunah Rasulullah SAW. Walaupun begitu, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan seharian dan ramai juga yang tidak memahami apa yang dibaca.

Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dihafal sahaja. Khazanah ilmu yang terkandung di dalam kandungan al-Quran wajib difahami, dikaji, diselami dan dite­rokai. Bertepatan dengan fakta-fakta yang difahami dalam al-Quran, maka akan dapat dilihat wajah Islam yang damai dan menjadi rahmat kepada semua.

Al-Quran mengungkapkan Islam sebagai agama perdamaian, kesejahteraan dan mengamalkan dasar hormat menghormati antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama. Toleransi dan bukan kekerasan adalah menjadi amalan hidup yang sangat digalakkan oleh Islam. Rasulullah SAW ialah pembawa rahmat kepada alam seluruhnya sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbia’ ayat 107: “Dan tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat kepada alam seluruhnya.”

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya Allah menjadikan salam sebagai penghormatan bagi umat kita dan jaminan keamanan untuk penduduk dalam kalangan ahli zimmah kita.”

Al-Quran memberi gambaran Islam bukanlah sebagai agama yang keras, bengis dan dahagakan darah manusia, sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan orang Barat kerana bukanlah menjadi matlamat Islam untuk memaksa orang bukan Islam supaya semuanya memeluk agama ini.

Rasulullah SAW menyedari hakikat ini berpandukan firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 118: “Kalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senan­tiasa berselisih pendapat.”

Firman-Nya lagi dalam Surah Yusof ayat 103: “Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin­ (supaya mereka beriman).”

Surah Yunus, ayat 99: “Dan kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang berada di bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya.”

Surah al-Qasas, ayat 56: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang yang menerima petunjuk.”

Oleh itu terbentuklah satu peraturan yang tetap dalam al-Quran iaitu kebebasan beragama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, 256: “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”

Di samping itu al-Quran menggariskan kaedah menyampaikan dakwah dengan hikmah dan hujah yang jelas di samping memberi nasihat dengan lembut dan bersopan serta berdiskusi dengan cara yang baik. Firman-Nya dalam Surah al-Nahl, ayat 125: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Al-Quran tidak hanya menggariskan panduan hidup berdamai dengan orang-orang bukan Islam, malahan umat Islam dituntut supaya memberi pertolongan dan perlindungan kepada penganut agama wathani (penyembah berhala) iaitu agama yang sangat jauh perbezaannya dengan agama Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Taubah, ayat 6: “Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya.”

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan dakwaan seorang peguam dan pengarah eksekutif sebuah kumpulan hak asasi manusia bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini pada setiap Jumaat.

Fenomena itu adalah sesuatu yang menakutkan kerana umat Islam kini diserang dari segenap penjuru, bukan sahaja oleh musuh Islam malah oleh Muslim berfaham­an liberal yang tidak segan silu mengeluarkan pelbagai ‘fatwa songsang’ sehingga menyebabkan umat Islam yang kurang asas agama terpe­ngaruh.

Al-Quran ada menjelaskan bahawa para Rasul tidak pernah sunyi daripada tentangan dan serangan musuh. Kitab-kitab suci termasuk al-Quran diingkari serta diburukkan dengan pelbagai jenama. Demikian juga utusan Allah ini difitnah de­ngan pelbagai tuduhan seperti tukang sihir, tukang tilik, orang gila, pemecah masyarakat dan sebagai­nya.

Maka tidak hairanlah apa yang berlaku sekarang ini apabila kesucian Islam difitnah oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 120: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”

Perdamaian amat sinonim de­ngan Islam. Semua ajaran, perintah yang ada dalam ajaran Islam membawa kepada terciptanya perdamai­an dan keadilan di dunia. Kedatang­an Islam di tengah-tengah bangsa Arab yang pada masa itu jelas mempunyai misi perdamaian. Bangsanya yang terpecah mengikut suku-suku dan suka berperang, menjadi sebuah komuniti Islam yang ideal sehingga semua manusia disamakan kedudukannya di atas dasar iman dan takwa.

Membaca al-Quran itu satu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisis, mengkaji, menyelidik dan mencari rahsia ilmu pengetahuan seterusnya menghasilkan idea-idea yang akhir­nya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Percayalah, al-Quran mampu mencetuskan semangat dan harapan baharu bersama nilai-nilai wasatiyyah yang digagaskan dalam Islam.   Abdullah Md Zain ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri. Utusan Malaysia Rencana Agama 19 Feb 2015

Islam pelopori kedaulatan undang-undang

Kedaulatan undang-undang adalah satu lagi prinsip dalam konsep Faham Perlembagaan. Bagi Malaysia, prinsip kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara yang keempat. Dalam perundangan Islam prinsip ini juga sudah diperkenal terlebih dahulu. Perkataan 'kedaulatan' bermaksud 'kekuasaan yang tertinggi'.

Oleh itu, prinsip 'kedaulatan undang-undang' bermaksud kedudukan undang-undang sesebuah negara sebagai kuasa tertinggi yang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak atau lapisan masyarakat.

Prinsip kedaulatan undang-undang ini mengandungi dua perkara umum. Pertama, kuasa yang dilaksana oleh kerajaan hendaklah mempunyai asas atau disandarkankepada sumber yang sah (legitimate). Ini menjadikannya sistem yang mendaulatkan undang-undang, bukan sistem yang mendaulatkan individu; a government of law, not a government of men.

Kedua, badan kerajaan hendaklah bertindak mengikut undang yang mengandungi piawaian'keadilan' yang diterima oleh masyarakat bersandarkan nilai tertentu yang disepakati dalam pengisian Perlembagaan.

Bagi Dicey, seorang ahli falsafah Inggeris, inti pati kedaulatan undang-undang ialah, pertama tiadanya penyalahgunaan kuasa atau tiada kuasa budi bicara yang terlalu luas.

Kedua, Dicey juga menggariskan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum sekiranya tiada peruntukan undangundang yang khusus dan jelas. Ketiga konsepkesamarataan di sisi undang-undang. Maksudnya hanya satu undang-undang untuk memberi perlindungan, menghukum semua orang tanpa pengecualian atau tanpa perbezaan; tidak mengira status atau kedudukan individu dalam masyarakat. Keempat, peranan mahkamah dalam menjaga hak-hak asasi.

Konsep 'natural justice'

Prinsip kedaulatan undang-undang menurut Faham Perlembagaan juga sudah dikembangkan oleh ahli falsafah lain dan juga keputusan mahkamah. Antaranya ialah prinsip undang-undang yang berkesan ke hadapan. Maksudnya undang- undang tidak boleh berkesan ke belakang.Sebagai contoh, seseorang tidak boleh dihukum dengan hukuman yang lebih tinggi daripada hukuman ketika kesalahan dilakukan. Jika hukuman ketika kesalahan dilakukan ialah pemenjaraan selama satu tahun, tetapi, hukuman itu dipinda menjadi dua tahun selepas kesalahan dilakukan, maka hukuman yang boleh dikenakan ialah hanya satu tahun, iaitu hukuman ketika seseorang itu melakukan kesalahan terbabit bukan hukuman yang dipinda. Prinsip kedua ialah, undang-undang hendaklah stabil.

Maksudnya undang-undang tidak boleh berubah-ubah sehingga mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat. Sekiranya pindaan atau perubahan undang-undang diperlukan, ia hendaklah diumumkan kepada masyarakat dengan cara pewartaan. Konsep 'natural justice' juga menjadi inti pati kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Walaupun konsep 'natural justice' ini agak abstrak dan tidak mudah untuk dijelaskan, pada dasarnya konsep ini memerlukan pemahaman mendalam kepada prinsip keadilan yang perlu disesuaikan dengan keadaan, masa dan tempat.

Semakan kehakiman atau 'judicial review' juga satu prinsip penting dalam kedaulatan undang-undang. Semakan kehakiman ialah proses semakan semula oleh mahkamah mengenai keputusan pihak badan pelaksana dalam apa-apa perkara. Sebagai contoh, sekiranya seorang penjawat awam tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa memberhentikan perkhidmatannya, maka penjawat awam itu berhak membawa kes pemberhentiannya kepada mahkamah untuk semakan semula.

Perbezaan ketara

Kuasa mahkamah dalam menyemak semula keputusan atau tindakan pihak eksekutif menunjukkan wujudnya sistem semak dan imbang dan mahkamah hendaklah bebas dalam melakukan tugas ini. Oleh itu, dalam prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah adalah elemen utama.

Ketika memberi kuasa kepada mahkamah, prinsip kedaulatan undang-undang juga menitikberatkan prinsip kebebasan pihak- pihak atau rakyat umumnya untuk mendapatkan pertolongan daripada mahkamah. Bagi merealisasikannya, teori kedaulatan undang-undang mahukan mahkamah yang mudah atau senang dan rapat dengan masyarakat.

Dengan kata lain, mahkamah senang dikunjungi tanpa birokrasi yang tegar atau tanpa kos yang tinggi. Jika diperhati dengan teliti prinsip kedaulatan undang-undang dalam Faham Perlembagaan yang digarap Dicey dan keputusan mahkamah ini semuanya ada dalam sistem Islam. Apa yang ketara perbezaannya ialah sumber perundangan dan konsepnya. Sebagai contoh, Islam juga mementingkan kawalan dalam penggunaan kuasa.

Justeru, Islam meletakkan syarat ketat untuk lantikan pemimpin. Syarat ketat ini secara langsung menjadi mekanisme semak dan imbang kepada penggunaan kuasa yang luas. Manakala prinsip lain, terutama prinsip keadilan, kesamarataan, undang-undang berkesan ke hadapan dan semakan kehakiman juga menjadi amalan Islam terlebih dahulu sebelum ia dikembangkan Barat dalam Faham Perlembagaan.