February 27th, 2015

Khutbah Jumaat ~ “Zikrullah Membentuk Akhlak, Merubah Kehidupan”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 27 Februari 2015:  JAIS

“Zikrullah Membentuk Akhlak, Merubah Kehidupan”

Zikrullah ialah mengingati Allah dengan lisan dan perbuatan secara zahir mahu pun batin.

Dengan berzikir kepada Allah, kita sentiasa melakukan perhubungan kepada Allah SWT.

Ini memang merupakan satu daripada ciri orang bertaqwa.

Skop zikir amatlah luas. Ianya meliputi segala perbuatan zahir mahupun batin selagi ditujukan kepada mengingati Allah. Termasuklah bila kita menyebut nama Allah SWT secara khusus, melakukan solat wajib dan sunat terutama solat sunat di waktu selepas satu pertiga malam, berpuasa, berzakat, membaca al-Quran, menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, berdoa, tidak melakukan maksiat, bekerja untuk mencari pendapatan yang halal dan merenung serta memikirkan pelbagai kejadian Allah SWT disamping mengucapkan sesungguhnya segala kejadian ini adalah ciptaan Allah SWT yang maha besar.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 191: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka”.

Amalan berzikir mempunyai adab. Antaranya menyebut lafaz zikir seperti contoh “Lailaha Illa Allah” dan lain-lainnya dengan betul, berzikir dalam keadaan hati dan perasaan yang bersih dan suci.

Ketika berzikir pula kita dapat merasakan keagungan, kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Disamping itu kita hendaklah melakukan zikir dengan suara yang perlahan sekadar didengari oleh si penzikir sendiri. Berzikir dengan menyebut lafaz-lafaz yang terdapat dalam al-Quran atau as-Sunnah.

Apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah SWT maka ia akan yakin dengan segala ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT. Ini akan menjadikan mereka jujur, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin, sentiasa mengutamakan nilai mulia ketika berkomunikasi dengan masyarakat seperti, sabar, belas kasihan dan menyayangi setiap manusia dan segala jenis makhluk yang ada di dunia.

Lantaran itu, seorang yang sentiasa berzikir akan merasa dan menikmati ketenangan yang menyebabkan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah SWT.


Antara kesan yang bakal diperolehi oleh mereka yang sering berzikir ialah; ALlah SWT akan melindungi mereka daripada perkara yang dibenci oleh-Nya.

Mereka juga akan dapat mengawal nafsu supaya sentiasa melakukan perkara yang baik sahaja.

Disamping itu mereka akan dapat mengawal diri daripada godaan iblis dan syaitan.

Orang yang sentiasa berzikir akan dapat menghidupkan hati dan insyaAllah akan terhindar daripada lalai dan leka, kerana hati si penzikir akan sentiasa redha, qanaah dan merasa cukup dengan segala apa jua rezeki dan ketentuan yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Umat Islam disarankan agar;

1. Sentiasa mengingati Allah, Allah pasti mengingati kita, oleh itu ingatlah Allah.

2. Amalkanlah zikir-zikir harian dan jadikan zikir-zikir sebagai amalan harian setiap ketika dan semasa.

3. Carilah ketenangan dengan melaksanakan zikir dan ketaatan kepada Allah SWT.

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku”. (al-Baqarah- 152).

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan.

Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Tindakan ekstremis juga boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama islam. Sebaliknya seluruh umat islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati. Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Lembah Neraka Dunia

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 27 Februari 2015M / 8 Jamadilawwal 1436H JAWI

"Lembah Neraka Dunia"

Di dalam Islam, beberapa dalil dengan terang merujuk kepada betapa pengunaan dadah itu adalah suatu yang dilarang keras, kerana ianya akan membinasakan hidup dan masa depan kita. Umpamanya, Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195: Bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Begitu juga, Rasulullah SAW telah berpesan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abi Said Al-Khudri RA: لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ Bermaksud: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat hal yang memudaratkan”.


Di akhir tahun 2014 sahaja, pihak polis berjaya melakukan beberapa serbuan dan melumpuhkan beberapa sindiket pengedaran dadah yang dianggarkan berjumlah RM 8.5 juta.

Dari segi penagih pula, seramai 77% daripada lebih 20 ribu para penagih yang direkodkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam tahun 2013 adalah di kalangan orang Melayu yang pastinya beragama Islam, manakala 60% daripada mereka itu adalah dalam kategori remaja dan belia, iaitu dari 13 hingga 39 tahun.

Lindungilah ahli keluarga sendiri terlebih dahulu, kerana mereka merupakan tanggungjawab yang perlu diberikan keutamaan. Apabila berjaya memelihara ahli-ahli keluarga, barulah masyarakat secara amnya akan lebih selamat dan lebih terlindung daripada dihinggapi masalah dadah. Renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 : Bermaksud : “Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah ahli keluarga daripada terlibat dengan penagihan dadah adalah seperti berikut:

Pertama: Mengawasi anak-anak

Kedua: Melaksanakan program pendidikan

Ketiga: Mewujudkan kerjasama antara anggota masyarakat dan kerajaan

Penyalahgunaan dadah hanya akan membawa banyak kemudaratan kepada diri si penagih, keluarga, masyarakat dan negara.

Penyalahgunaan dadah akan menghancurkan keharmonian sesebuah keluarga

Para penagih dadah sebenarnya telah menempah maut dan secara perlahan-lahan sedang membunuh diri mereka sendiri


Kesimpulannya:

Pertama: Amat jelas sekali di dalam Islam bahawa penyalahgunaan dadah adalah diharamkan, kerana ia mendatangkan banyak kemudharatan kepada umat manusia.

Kedua: Meskipun larangannya adalah jelas namun statistik menunjukkan bahawa masih ramai yang menagih dadah. Pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam usaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah.

Ketiga: Jalankanlah peranan dan tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga bagi memastikan tiada ahli keluarga kita yang terjebak di dalam penyalahgunaan dadah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 70 : Bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Wallahualam.

Kismis doa, air jampi ubah anak jadi mengarut

Jika anda berkunjung ke Perlis dan sempat menunaikan solat berjemaah di masjid-masjid utama di negeri ini, pasti akan merasa hairan kerana beberapa amalan berbeza dipraktikkan di negeri Indera Kayangan itu.

Antaranya surah Al-Fatihah yang dibaca imam tidak didahulukan dengan Bismillahirrahmanirrahim, tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh dan tidak juga membaca doa selepas mana-mana solat fardu.




Mohd. Asri Zainul Abidin

Penduduk di negeri ini turut tidak mengadakan majlis tahlil mahupun bacaan Yasin pada malam Jumaat seperti kelaziman dilakukan rakyat dari negeri-negeri lain.

Meskipun demikian perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah menjadi amalan lazim penduduk Perlis sejak sekian lama.

Soal perbezaan sesetengah amalan itu diajukan wartawan pada hari pertama Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dilantik buat kali kedua sebagai Mufti Perlis pada 16 Januari lalu bagi menggantikan Datuk Dr. Juanda Jaya.

Mohd. Asri yang menjawabnya de­ngan tenang berharap umat Islam di negara ini menghormati perbezaan pandangan itu. Malah berharap perkara itu tidak dijadikan isu besar kerana bukan sahaja berlaku di Perlis tetapi juga di Arab Saudi dan negara-negara Islam lainnya. Ini terma­suk ketika seluruh umat Islam dunia menunaikan rukun haji.

Islam menurut­nya, tidak me­ngapa sedikit ber­beza ke­rana keluasan pandangannya namun mestilah berlandaskan hujah dan dalil serta perbincangan secara ilmiah dan kesarjanaan.

Beliau dengan tegas menyatakan mendukung Ahli Sunnah Wal Jamaah berharap agar janganlah di­sebabkan perbezaan itu, umat Islam berpandangan serong terhadap Perlis apatah lagi merasa takut dan curiga.

Sebaliknya apa lebih penting ditangani oleh umat Islam adalah perkara-perkara khurafat yang melanda golongan itu sehingga kadang-kadang boleh memperlekehkan martabat agama suci itu. Apatah lagi dengan kehadiran hadis-hadis palsu.

Lebih malang dek kerana percayakan hadis palsu dan perkara khurafat, ada sesetengah umat Islam yang me­yakini Nabi Adam A.S pernah turun ke Gunung Jerai, Kedah. Atau kapur barus yang digunakan untuk mengawet mayat Firaun di Mesir diambil dari Yan, Kedah.

Kepercayaan ‘pelik’ orang Islam terhadap keajaib­an air jampi juga perlu ditentang. Betapa ramai umat Islam masa kini sanggup datang dari jauh untuk ke rumah ‘ustaz-ustaz’ tertentu hanya untuk mendapatkan air jampi.

Nabi Muhammad SAW berdoa pada air untuk meng­ubati penyakit dan sihir, sebaliknya orang Islam sekarang pergi mendapatkan air jampi kononnya untuk menjadikan anak mereka cerdik atau mengubati si suami yang ‘nakal’.

Inilah yang membelenggu kejahilan orang Islam masa kini. Ujar Mohd. Asri, jika begitulah mudah untuk membentuk umat Islam, ramailah termasuk bekas banduan berubah menjadi baik sejurus sahaja diberi minum air jampi.

Bukan sahaja air jampi, air zam-zam turut didoakan. Air itu kemudian dijual berlipat kali ganda sehingga mencecah RM10 sebotol. Yang menerima manfaat ialah individu yang menjalankan perniagaan itu atas eksploitasi agama.

Mohd. Asri juga hairan bagaimana para ibu bapa sanggup menghabiskan wang membeli pelbagai kismis doa yang bukan murah harganya untuk menjadikan anak mereka cerdik. Hanya kerana di botol itu ditampalkan gambar seorang ustaz.

Secara sinis, beliau mengajak golongan itu bersikap matang dan memikirkan sejenak bagaimana seseorang ustaz boleh berdoa pada berlori-lori kismis. Perkara-perkara itu hanya akan menyebabkan orang Islam terperangkap dalam ‘ketidakcerdikan’ sehingga menjadikan mereka malas berusaha.

Dalam pada itu, konsep keterbukaan pandang­an dalam Islam di Perlis dibuktikan apabila pihak berkuasa agama tersebut turut menyerahkan pelantikan watikah tauliah mengajar kepada penduduk berkelayakan dari negeri lain, baru-baru ini.

Tarbiah pengabai solat Jumaat

TINDAKAN Kerajaan Terengganu mentarbiah (mendidik) individu beragama Islam yang berkelakuan tidak sopan, memakai pakaian mencolok mata dan meninggalkan solat Jumaat khususnya mat rempit dengan menjalani sesi kaunseling di sekolah pondok selama tiga hari, adalah dialu-alukan.

Syabas diucapkan kepada kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman atas usaha menyelamatkan umat Islam Terengganu daripada terus melakukan maksiat. Arahan itu pula wajib dipatuhi kerana dikeluarkan oleh ketua. Lagipun arahan itu tidak menyalahi peraturan agama.

Selepas tarbiah jika masih buat kesalahan sama, mereka akan diarak menaiki kenderaan jenazah. Indahnya Islam. Sebelum dihukum ditarbiah terlebih dahulu. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (an-Nisa’:59)

Pastinya, hukuman di atas muka bumi ini jauh lebih ringan berbanding bakaran neraka Allah kepada mereka yang meninggalkan perkara wajib dalam Islam. Perbuatan tidak solat Jumaat bagi lelaki, mendedahkan aurat baik lelaki atau wanita hukumnya sama iaitu berdosa besar.

Penulis bagaimanapun mahu memberi tumpuan kepada kefarduan solat Jumaat. Memang umat Islam di negara kita sedia maklum tentang hal ini. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk meng­ingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Jumu’ah: 9)

Malangnya tidak semua me­nunaikan solat Jumaat walaupun diberikan pelepasan waktu bekerja malah di sesetengah negeri diisytihar cuti. Begitulah insan yang lalai dan lupa terhadap janji mereka sebagai mana tujuan penciptaan manusia iaitu untuk menyembah Allah. (rujuk adz-Dzariyaat: 56)

Dalam berdakwah, keinginan untuk mendidik manusia hanya akan lahir apabila aspek at-targhib (beri galakan) dan at-tarhib (me­nimbulkan rasa gerun) sentiasa mengiringi isi-isi dakwah yang lain.

Imam Ahmad meriwayat­kan daripada Ibn Masud bahawa Nabi SAW bersabda mengenai mereka yang tidak solat Jumaat: “Saya telah diajar mengajak lelaki memimpin manusia di dalam solat, maka saya sepatutnya membakar rumah-rumah lelaki yang gagal menyertai solat Jumaat.” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Ibnu Umar bahawa mereka mendengar Nabi SAW bersabda di atas mimbar: “Ada dalam kalangan kaum/mereka yang patut berhenti mencuaikan Jumaat atau Allah SWT akan kuncikan (pateri) hati-hati mereka, maka sudah pasti mereka dalam kalangan yang lalai (Ghaafiliin).”

Sepakat ijmak ulama dalam hal ini. Namun, jika seseorang yang diwajibkan ke atasnya solat Jumaat mempunyai uzur syarie se­perti pada masa Jumaat itu bertanggungjawab ke atas ke­selamatan, lalu lintas, sistem perhubungan/komunikasi dan sebagainya atau giliran kerjanya adalah pada waktu panggilan terakhir solat Jumaat ataupun solat berjemaah - maka mereka ini diberi rukhsah (kelonggaran) tidak solat Jumaat atau solat jemaah.

Perlu diingat, mereka yang ditugaskan itu janganlah pula mengharapkan supaya dia bertugas pada waktu sembahyang Jumaat agar terlepas daripada menunaikan solat Jumaat. Janganlah kita mengabaikan solat fardu atau kewajipan lain dalam agama kerana perbuatan itu akan mendatangkan kecelakaan di akhirat kelak. Beruntunglah ada pemimpin yang prihatin terhadap rakyatnya yang mengajak kepada kebaikan bagi mengelak azab neraka kelak.

- Mohd Radzi Mohd Din Utusan Malaysia Rencana Agama 27 Februari 2015 1:04 AM