February 28th, 2015

Meletakkan mahabbah di tempat yang betul

Sheikh Mohammad membicarakan mengenai mahabbah yang boleh dilahirkan daripada percakapan, hati, niat dan perbuatan. Anak perlu ikut cakap ibu bapa sebagai tanda kasih sayang . Kupasan lanjut dalam program Topik Jumaat di IKIMfm.

Mahabbah bermaksud pengorbanan, perjuangan, takwa, keadilan, kejujuran, amanah dan bertanggungjawab. Mahabbah ada dalam jiwa setiap manusia, tidak kira orang itu Muslim, bukan Muslim, baik atau jahat sekali pun.


Anak mengikut kata ibu bapa tanda kuatnya ikatan mahabbah antara mereka. - Gambar hiasan

Mahabbah meliputi manusia sesama manusia, manusia dengan makhluk lain dan manusia terhadap Allah SWT Pencipta seluruh alam.

Topik Jumaat di IKIMfm menjemput Sheikh Mohammad Nuruddin Al-Banjari untuk mengupas isu bagaimana menjadi insan yang dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW di samping bermahabbah sesama manusia dengan cara yang diredai Allah SWT.

Mahabbah boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu ucapan, percakapan, hati, niat dan perbuatan. Mahabbah berpandukan niat yang baik, ucapan zikir kepada Allah SWT diikuti dengan perbuatan baik akan mendapat reda daripada Allah SWT.

Kasih sayang sesama manusia

Kasih sayang sesama manusia akan membuahkan mahabbah yang boleh memandu dan membimbing mereka ke arah kebahagiaan dunia serta akhirat. Namun, mahabbah yang lahir daripada kasih sayang terhadap seseorang disanjung sebagai idola tidaklah memberi apa-apa erti untuk perjalanan ke akhirat kelak.

Sebagai seorang Muslim, apa sahaja perbuatan, aktiviti atau amalan dalam kehidupan seharian haruslah mendapat keredaan di dunia dan akhirat. Adalah mustahil wujudnya akhirat tanpa kehidupan dunia terlebih dahulu dan tidak bererti kehidupan dunia sekiranya tidak mengambil kira kehidupan di akhirat nanti.

Untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berusaha melaksana serta mematuhi perintah-Nya, di samping menyanjungi Rasulullah SAW.

Sheikh Nuruddin memberi perumpamaan bagaimana seorang anak mendapat kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa, iaitu dengan cara menuruti perintah, mendengar nasihat, tidak melakukan perkara yang boleh membuatkan ibu bapa marah dan bersedih.

Begitulah juga halnya dengan Allah SWT, lebih lagi kita perlu melakukan perkara yang diperintahkan dan menjauhi perkara dilarang. Untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, dianjurkan supaya kita melakukan amalan sunat.

Dalam hadis qudsi, "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepada-Ku, dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya." (Riwayat Bukhari)

Amalan wajib, sunat kena seiring

Melakukan amalan sunat tetapi tidak melakukan perintah yang diwajibkan dan meninggalkan larangan Allah SWT terlebih dahulu, tidak mungkin akan mendapat mahabbah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Tidak ada satu amalan atau perbuatan yang afdal melainkan melaksanakan perkara diwajibkan dulu.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi: "Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya." (Riwayat Bukhari)

Setelah amalan wajib dilakukan, barulah boleh diikuti dengan amalan sunat secara istiqamah. Seseorang yang sentiasa melakukan ibadah sunat akan dikasihi oleh Allah SWT. Dengan kasih sayang Allah, apa sahaja perkara yang didengar, dilihat atau dilakukan adalah kerana Allah SWT.

Apabila kita mendapat mahabbah daripada Allah SWT, maka Allah SWT akan memberitahu kepada malaikat Jibril untuk mengasihi kita seperti mana dijelaskan dalam hadis, "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah SWT menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah engkau mengasihinya. Jibril pun mengasihinya, kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya. Dengan itu penduduk langit pun mengasihinya, setelah itu orang yang itu dikasihi dan diberi sambutan di bumi." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, untuk mendapat mahabbah daripada Allah SWT, perlu dipastikan terlebih dahulu siapakah golongan yang mengasihi kita. Sekiranya mereka adalah terdiri daripada orang fasik dan melalaikan, sudah pasti tidak akan membawa kita kepada mahabbah Allah SWT.

Sekiranya kita dikasihi oleh golongan yang bertakwa, ulama, mereka yang sentiasa membuat kebaikan, dan mendekatkan diri dengan Allah SWT, maka kita juga akan mendapat mahabbah daripada Allah SWT.

Mahabbah ibarat permata berharga

Sheikh Mohammad Nuruddin Al Banjari mengibaratkan mahabbah sebagai permata yang sangat berharga, dan sudah pasti kita tidak sekali-kali akan meletakkan permata dimiliki pada tempat tidak sepatutnya atau mengorbankannya pada perkara yang sia-sia.

Contohnya, meletakkan mahabbah kepada benda yang disayangi seperti kereta, perhiasan, rumah dan sebagainya yang dibimbangi boleh menghalang kita daripada melakukan kewajipan, malah membawa pula kita kepada kemungkaran.

Kasihilah mereka yang dikasihi oleh Allah SWT, muliakanlah mereka yang dimuliakan oleh Allah SWT dan hargailah mereka yang dihargai oleh Allah SWT kerana mahabbah mereka bermula daripada Nabi dan Rasul, diikuti ulama, solihin dan mereka yang sentiasa melakukan kebaikan.

Dadah boleh musnah institusi keluarga

Penggunaan dadah masih menjadi masalah besar pada waktu ini. Dalam Islam, beberapa dalil dengan terang merujuk dadah itu dilarang keras kerana ia akan membinasakan hidup dan masa depan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah, ayat 195)


Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat hal yang memudaratkan." (Riwayat Imam Ahmad)

Secara amnya, kemudaratan tidak patut dilakukan kepada diri sendiri atau orang lain dan jangan pula melakukan sesuatu yang berguna kepada diri sendiri, tetapi mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Jelas sekali Allah SWT serta Rasul-Nya menginginkan manusia menjauhi perkara boleh membinasakan diri.

Ini termasuklah menjauhkan diri daripada penggunaan dadah. Meskipun ada larangan yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, namun penggunaan dadah masih menjadi masalah besar yang perlu ditangani bersama.

Majoriti penagih Melayu

Terdapat permintaan yang cukup besar daripada penagih dadah menyebabkan banyak percubaan untuk menyeludup bahan itu ke dalam negara sedangkan penyeludup berhadapan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada akhir tahun 2014, pihak polis berjaya melakukan beberapa serbuan dan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang dianggarkan berjumlah RM8.5 juta. Dari segi penagih pula, 77 peratus daripada lebih 20,00 penagih yang direkodkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada 2013 adalah orang Melayu.

Manakala 60 peratus daripada mereka dalam kategori remaja dan belia dari umur 13 hingga 39 tahun. Angka-angka ini menunjukkan penagihan dadah masalah besar umat Islam yang perlu dicegah sedaya upaya kerana jika tidak, nescaya hancurlah masa hadapan generasi akan datang.

Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk menangani gejala dadah termasuk pembinaan pusat pemulihan bagi membantu memulihkan penagih. Kerugian yang ditanggung akibat hilangnya golongan muda dan belia yang terjebak perangkap dadah sememangnya tidak ternilai.

Wujud keluarga harmoni

Oleh itu, kita seharusnya mengambil langkah awal untuk mencegah anak dan ahli keluarga daripada terbabit dengan penagihan dadah. Mulakan dengan ahli keluarga sendiri terlebih dahulu kerana mereka adalah tanggungjawab yang perlu diberikan keutamaan. Apabila berjaya memelihara ahli keluarga, barulah masyarakat secara amnya terlindung daripada masalah dadah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (Surah an-Nisa', ayat 29)

Antara langkah yang boleh diambil untuk mencegah ahli keluarga daripada terbabit penagihan dadah, ibu bapa perlu menjalankan peranan dengan memberikan kasih sayang dan perhatian secukup terutama mereka yang masih kecil dan muda remaja.

Kita perlu mewujudkan suasana kekeluargaan yang harmoni, mendidik dengan disiplin, mengawasi gerak geri anak, bekerjasama dengan pihak sekolah, membelai anak dengan sentuhan dan kata-kata mesra, memberi penghargaan, perhatian dan dorongan, serta meluangkan masa menjalankan aktiviti bersama.

Pihak kerajaan mahupun swasta perlu mengadakan program pendidikan berkala dan terancang bagi membangkitkan kesedaran remaja dan belia supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Program pendidikan itu perlu dilaksanakan di peringkat awal perkembangan anak dan di peringkat sekolah.

Kerajaan dan anggota masyarakat perlu berganding bahu membanteras penyalahgunaan dadah. Anggota masyarakat yang mengetahui kegiatan mencurigakan perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan segera.

Penyalahgunaan dadah hanya akan membawa banyak kemudaratan kepada diri penagih, keluarga, masyarakat dan negara. Penyalahgunaan dadah akan menghancurkan keharmonian sesebuah keluarga. Jika ketua keluarga terjebak kegiatan itu, ia akan menyebabkan isteri serta anak hilang tempat bergantung.

Ia juga akan menimbulkan banyak masalah jenayah dalam masyarakat termasuk mencuri, merompak, memeras ugut, mahupun membunuh. Penagih dadah sebenarnya telah menempah maut dan secara perlahan-lahan membunuh diri mereka sendiri.

Marilah kita jalankan peranan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga supaya tiada satu pun daripada ahli keluarga kita terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah. * Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Membunuh serangga di rumah

APAKAH hukum membunuh serangga yang melata di dalam kawasan rumah kita seperti semut dan labah-labah yang menyebabkan sawang dan pelbagai kesan buruk lain? Ini kerana serangga itu dimuliakan oleh Allah SWT sehingga dinyatakan di dalam al-Quran dan kisah Rasulullah SAW. Jika boleh, bagaimanakah cara yang dituntut dalam Islam?


Jika ia mengganggu kehidupan, maka wajar dibunuh

JAWAPAN:

Haiwan-haiwan ini adalah makhluk Allah. Jika semut ini tidak mengganggu kehidupan kita maka tidak wajar untuk kita membunuh semut. Contohnya sengaja mencari semut untuk dibunuh. Contohnya semut yang berada di jalan raya, maka biarlah semut itu hidup.

Namun jika semut tersebut mengganggu kehidupan maka ketika itu ada kewajaran untuk membunuhnya. Gangguan itu juga pelbagai bentuk. Haiwan yang bersarang di rumah maka harus dibunuh. Cara yang sesuai adalah dengan menyapu semut keluar. Boleh juga digunakan penyembur racun. Namun tidak wajar digunakan api.

Ini kerana ada riwayat menyatakan agar tidak dihukum dengan azab Allah SWT. Azab Allah adalah api neraka. Maka penggunaan api untuk membunuh semut adalah tidak wajar.

Begitu juga dengan haiwan-haiwan kecil yang lain. Adalah harus untuk kita membersihkan rumah kita. Maka jika terdapat sarang labah-labah maka tidak mengapa untuk dimusnahkan. Ini kerana kewujudan sarang tersebut mengganggu kehidupan dan kebersihan rumah kita.

-

Hadis , perpaduan dan sistem pendidikan

Risalah JAKIM tangkis hadis palsu

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta umat Islam merujuk risalah bertajuk ‘Hadis Mawdu’ (Hadis Palsu)’ yang diterbitkan jabatan itu sebagai panduan mengenali hadis-hadis palsu.


Othman Mustapha

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, risalah hasil tulisan Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor itu memberi penerangan tentang hadis-hadis palsu dan cara-cara untuk mengenalinya.

Katanya, risalah percuma itu adalah inisiatif Jakim bagi mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam mempercayai sesuatu hadis yang disebarkan di laman-laman sosial.

“Umat Islam mestilah mendapatkan rujukan daripada kitab-kitab dan para ilmuan yang mempunyai kepakaran dalam ilmu hadis bagi mengelakkan mereka menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar.

“Saya menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dalam mengguna pakai serta menyebarkan hadis khasnya melalui laman sosial. Rujuklah kitab dan para ilmuan bagi mengelakkan mereka menyimpang daripada Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam menyatakan kerajaan akan memantau secara tegas penyebaran hadis palsu yang tidak terkawal terutama­nya berkaitan jihad dan mati syahid.


Sistem pendidikan Islam perlu diubah

PUTRAJAYA 27 Feb. - Sistem pendidikan Islam perlu diubah dalam usaha memberikan kefahaman sebenar ajaran suci itu kepada para pelajar terutama yang berkaitan dengan topik jihad.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu banyak diperkatakan oleh para ulama mutakhirin dalam resolusi-resolusi terkini berhubung usaha mencegah generasi muda daripada terlibat dengan gerakan ekstrem dan melampau.

“Sebagai contoh apabila disebut konsep jihad, maka kita akan terfikir bahawa jihad itu hanya mengangkat senjata sedangkan terlalu banyak ruang yang terdapat dalam Islam.

“Ulama terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya `Fiqhul Jihad' telah menyebut terdapat tidak kurang daripada 13 jenis jihad. Yang kita nampak hanya satu sahaja sedangkan banyak lagi tanpa menafikan jihad melalui mengangkat senjata,'' katanya ketika memberikan taklimat tentang gerakan ekstrem kepada kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini hari ini.

Zulkifli berkata, selain pendidikan, tidak dinafikan juga penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu usaha untuk mencegah umat Islam daripada terjebak dengan gerakan-gerakan seumpama itu.

Seperkara lagi katanya, hubu­ngan rapat serta bimbingan yang diberikan secara berhikmah oleh ibu bapa kepada anak-anak juga dilihat mampu mencegah generasi muda terjebak dengan gerakan ekstrem.

“Dalam hal ini Saidina Ali pernah berkata, darah panas orang muda jika dibimbing melalui kebijaksanaan warga tua tidak akan menyebabkan konfrontasi, bahkan akan terbit kasih sayang,” ujarnya.

Berhubung gerakan militan Negara Islam (IS), beliau berkata, tiada seorang pun ulama-ulama tersohor dunia seperti Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Usamah Al-Rafaei dan Syeikh Ali Sabouni yang memberi sokongan kepada gerakan itu.

“Tiada seorang pun ulama-ulama yang berkuasa dunia memberi sokongan secara langsung, secara tuntas kepada kumpulan ini. Malah dalam satu seminar yang diadakan di Mekah kelmarin, resolusinya telah menyebut pelaksanaan gerakan ini tidak tepat dan tidak benar,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan punca berlakunya gerakan ekstrem itu adalah disebabkan kejahilan dan ketaksuban.


Bangkitkan kesedaran perpaduan Islam, Melayu

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Perhimpunan Perpaduan Melayu dilihat berupaya memainkan peranan dalam membangkitkan kesedaran orang Melayu bagi menyahut seruan Allah SWT agar umat Islam sentiasa bersatu padu. Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perhimpunan itu akan menjadi titik tolak dalam usaha menyatupadukan orang Melayu di luar kerangka sentimen politik kepartian.

Menurut beliau, amat penting bagi orang Melayu membuang sikap ego dan menerima hakikat tentang betapa perlunya mereka bersatu dalam menghadapi pelbagai ancaman terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.



Asyraf Wajdi Dusuki

“Banyak fitnah yang mengganggu-gugat kedudukan agama Islam dan orang Melayu disebarkan oleh pihak tertentu apabila kita tidak bersatu.

“Malah, tidak pernah terlintas dalam fikiran kita sebelum ini mereka akan menimbulkan isu-isu yang bertujuan memperlekehkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan seperti isu kalimah Allah dan menyebarkan ideologi asing yang bercanggah dengan Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Asyraf Wajdi menyatakan harapannya terhadap perhimpunan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang memberi tumpuan terhadap usaha memperkasakan pembangunan orang Melayu dalam bidang agama, pendidikan dan ekonomi.

Lebih 20,000 orang dijangka menyertai perhimpunan mulai pukul 5 petang dan mereka berpeluang mendengar sendiri amanat yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menambah, orang Melayu sepatutnya mengambil iktibar daripada peristiwa kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia ekoran sikap tamak kuasa dan pertelingkahan sesama sendiri.

“Agak menyedihkan kerana kita sering memberi 1,001 alasan untuk tidak bersatu dengan saudara seagama tetapi pada masa sama, kita cuma memerlukan satu alasan sahaja untuk bergabung dengan pihak yang menentang Islam,” ujarnya.

Asyraf Wajdi memberitahu, orang Melayu hendaklah bermuhasabah dan kembali kepada teras agama Islam yang menyeru umatnya kepada perpaduan agar sejarah pahit kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia tidak diulangi di negara ini.

Kebaikan baca Quran di majlis

Pada 13 Februari lepas, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, titah supaya ayat-ayat al-Quran dibaca di majlis istana dan majlis rasmi kerajaan negeri. Kunta Kinte rasa tak salah. Tapi, macam Sultan Nazrin titah, ayat yang nak dibaca dan ditafsir tu kenalah sesuai dengan majlis dan jangan panjang sangat.

Kunta Kinte kata syarat ini penting pasal nampak dah jadi macam amalan di kalangan sesetengah pihak berlawan-lawan baca surah panjang-panjang. Itulah yang dah jadi dengan sembahyang sunat tarawih di banyak masjid dan surau. Yang jadi keutamaan bukan sembahyang tarawih tapi lawan baca surah panjang-panjang sampai makmum susah nak khusyuk dan ramai berhenti lepas rakaat ke lapan.

Nak lawan punya hal, kadang-kadang iman dan tahfiz pun terlupa, terputus dan berhenti terus. Kita yang jadi makmum pula tergamam. Macam tu juga dengan doa. Ada yang panjang berjela-jela sampai yang hadir gelisah dan tak bagi perhatian. Jadi elok sangatlah titah Sultan Nazrin supaya baca ayat-ayat pendek yang sesuai dengan majlis. Doa pun kena kawal juga agar tak berjela-jela.

Hormat dan tertib

Satu lagi yang penting ialah hormat dan tertib bila ayat-ayat Quran dibaca. Kita kena bagi tahu yang hadir, tak kira tua atau muda, Islam atau bukan Islam yang bacaan Quran akan dibuat dan mereka kena diam diri. Ini pun dah jadi masalah besar di masjid dan surau. Jemaah, khususnya kanak-kanak, tak diajar dan tak dibagi tahu berkenaan tatatertib berjemaah. Budak-budak buat bising. Orang dewasa bersembang.

Sekarang dah tambah pula dengan telefon pintar. Kunta Kinte dah tengok dengan mata sendiri masa khatib baca khutbah ada yang main mainan komputer. Kita tengah khusyuk sembahyang tiba-tiba telefon pintar jemaah di sebelah berdering. Macam-macam bunyi pula tu. Ada otak fikir la sikit. Matikan atau senyapkan telefon. Kalau sayang telefon bimbit lebih daripada sembahyang jemaah, tak payahlah datang masjid atau surau.

Ada sebuah masjid di Kuala Lumpur yang Kunta Kinte kerap tumpang solat ada sekolah rendah agama dalam kawasannya. Malangnya kanak-kanak sekolah itulah yang paling banyak buat bising masa khutbah dan solat. Kunta Kinte pun pelik apa yang guru ajar kepada mereka. Ini sekolah agama.

Zaman Kunta Kinte mengaji agama dulu, kita ada mata pelajaran akhlak. Kalau tak berakhlak di masjid mesti kena rotan atau busuk-busuk pun buat ketuk ketampi. Islam ajar umatnya sensitif dan hormat orang bukan seagama selagi mereka tak musuhi Islam.

Di Malaysia, orang bukan Islam dah biasa dengan doa sebab doa dah jadi sebahagian daripada atur cara majlis. Lagipun, amalan doa dan baca kitab suci bukan terhad kepada Islam atau dibuat di negara kita saja. Di negara-negara Barat yang amalkan sistem sekular pun banyak majlis mula dengan bacaan doa Kristian.

Inilah yang Kunta Kinte alami bila hadiri konvokesyen anak-anak di sana. Mereka bertafakur, baca doa dan petik daripada Bible. Macam dah banyak kali Kunta Kinte cerita, kali pertama Kunta Kinte dengar orang baca doa makan adalah di rumah seorang paderi di pekan Levin, New Zealand, pada tahun 1971. Kunta Kinte tinggal dengan keluarga paderi itu selama seminggu masa buat latihan amali.

Satu lagi, dalam keadaan di mana imej Islam cemar kerana macam-macam hal kotor yang dibuat oleh orang yang mengaku Islam tapi sebenarnya sesat, usaha perkenalkan Islam sebenar kepada orang bukan Islam sangat penting. Kita di Malaysia ni bertuah. Sejak zaman berzaman kita ada banyak bangsa, kaum, agama, budaya dan bahasa, tapi kita hidup aman damai. Kita ada undang-undang, amalan dan peraturan yang jamin hak semua pihak.

Cabar undang-undang Islam

Cuma akhir-akhir ini nampak ada usaha terancang dan kebetulan cabar atau uji undang-undang, amalan dan peraturan berkaitan agama dan adat resam. Orang kita pula makin kurang bergaul antara kaum tak macam generasi Kunta Kinte.

Kunta Kinte harap kita faham hal ini dan jangan ikut sangat perasaan. Kalau Malaysia kacau-bilau kerana agama dan adat resam semua orang akan rugi.

Jadi, apa pun yang kita buat, kita kenalah faham betul-betul buruk baiknya dan sensitif antara satu sama lain dalam hal-hal agama, kepercayaan dan adat resam.

Kita jangan serah bulat-bulat kepada orang politik apatah lagi biarkan mereka rosakkan keharmonian agama, bangsa dan budaya yang kita nikmati selama ini semata-mata kerana kuasa. Kita wajib ambil tahu dan ambil berat. Wallahuaklam. Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis 28 Feb 2015