March 1st, 2015

Cabaran Mualaf di zaman moden

ISLAM adalah sebuah agama lengkap yang menjadi panduan dalam kehidupan semua umat manusia di muka bumi ini. Agama ini relevan buat sesiapa sahaja sama ada yang lahir sebagai Islam, mahupun individu mualaf yang baharu mengenali dan memeluk agama ini.

Adapun mualaf itu merupakan panggilan kepada individu bukan Muslim atau bukan beragama Islam yang mempunyai keinginan untuk memeluk Islam. Mereka ini juga boleh dikategorikan sebagai individu yang imannya masih kosong dan perlu dikukuhkan dengan bantuan dan sokongan mereka yang sudah beragama Islam.

Dalam sejarah Islam , golongan mualaf atau saudara baharu ini merupakan orang yang paling penting dalam memperjuangkan agama dan mengembangkan dakwah.

Antaranya adalah sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada golongan Muhajirin yang memeluk Islam dan mengikut baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah manakala golongan Ansar pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj.

Pada zaman moden yang serba canggih kini, usaha dalam mengembangkan dakwah menjadi mudah dan lebih meluas dengan adanya pelbagai platform yang tersedia seperti media sosial di internet.

Setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai cerita menarik saudara baharu daripada seluruh dunia. Kisah- kisah yang mereka ceritakan termasuklah bagaimana mereka diberi hidayah, menemui dan mengenali agama Islam serta rintangan yang mereka hadapi setelah memeluk Islam.

Bergelar saudara baharu bukan perkara mudah. Kerana, seperti mereka yang lahiriah Islam, golongan mualaf juga berdepan banyak rintangan dan cabaran dalam kehidupan mereka.

Tambahan pula dengan kemajuan teknologi kini, pelbagai informasi sama ada sahih atau yang mengelirukan semakin pantas tersebar dan ini tidak terkecuali memberi kesan kepada kehidupan seorang mualaf.

Dalam pada itu, dengan kewujudan anasir-anasir perosak yang membawa ajaran-ajaran menyimpang dengan menggunakan nama Islam dikhuatiri akan membawa kekeliruan kepada golongan saudara baharu.

Bagi golongan mualaf yang masih muda, cabaran yang ditempuhi mereka tidak kurang hebatnya. Membuat keputusan memeluk Islam bukan perkara remeh. Ada di antara mereka yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga dan orang tersayang.

Seperti kita semua, mereka juga mempunyai perasaan dan adakalanya dihimpit dengan tekanan yang menyusul selepas bergelar seorang Muslim. Ada di antara mereka dibuang daripada institusi keluarga dan dipulaukan rakan-rakan hanya kerana memeluk agama Islam.

Namun kebanyakan saudara-saudara baharu menyatakan kepada penulis bahawa mereka reda dan menganggap ini sebagai satu ujian yang diberikan kepada mereka. Golongan mualaf ini jelas tabah dalam mengharungi cabaran demi agama Islam yang dicintai.

Tambahan pula, dengan adanya pertubuhan atau persatuan yang memainkan peranan melindungi dan memberi sokongan kepada golongan ini sedikit sebanyak mampu memberi bimbingan kepada saudara baharu.
- AL FAIZAL

Amanah dan tanggungjawab dalam mendidik anak

Anak kita memang cermin diri kita. Kita kata telah memberikan pendidikan yang baik kepada mereka, tetapi mengapakah anak-anak masih degil dan tidak ikut kata. Seandainya hal ini terjadi kepada diri kita, audit diri kita sendiri, “Degil tak kita dengan Allah?” Banyak orang yang terpengaruh dalam perangkap dunia, iaitu sibuk bertanggungjawab untuk orang, tetapi untuk diri sendiri dizaliminya. Dalam menunaikan amanah Allah mendidik anak, didiklah anak dengan pertama, mantapkan akidah atau sistem kepercayaannya. Sebab semua tindakan kita bergantung kepada cara kita berfikir.

Tetapi hakikatnya kebanyakan orang kini, banyak ilmu tetapi tidak beramal atau kalau ada yang mengamalkan ilmunya, tetapi tidak ikhlas. Demikianlah betapa pentingnya mendidik anak-anak dimulakan dengan penerapan nilai akidah, iaitu dengan membina dan mengukuhkan sistem kepercayaan, selepas itu barulah menerapkan tentang kepentingan amalan dan akhlak. Bergerak daripada pengukuhan akidah, amalan dan akhlak barulah membentuk sikap kemanusiaan, barulah kita boleh mengerakkan fizikal anak-anak menjadi insan yang sempurna. Jika ibu bapa berasakan anak-anak ini amanah Allah, dan modal yang Allah berikan kepada kita untuk menentukan hidup kita bahagia dunia dan akhirat, maka hargailah modal ini dengan sebaik-baiknya.

Kalau akidah kita tetap dan mantap, kita tahu dan sedar bahawa kita dilahirkan di dunia ini sementara sahaja, dan dunia ini tempat persinggahan untuk beribadah sebelum kembali ke dunia yang kekal, kita tidak akan mendidik anak-anak kita, mengejar dunia hingga tercicir akhirat. Kedua, jaga dan kuatkan ibadah. Pastikan anak-anak melakukan ibadah dengan lengkap, sempurna dan ikhlas kerana Allah. Ketiga, lembutkan akhlak anak.

Apabila kita ada tiga "tiang" ini (akidah, ibadah dan akhlak), bermakna setiap yang kita cakap, yang kita alami, yang kita baca dan tonton, tidak akan menjejaskan fikiran, emosi dan iman kita. Semasa anak kita dilahirkan perkara pertama yang kita lakukan adalah, mengazankannya (kita dengarkan kata-kata bahawa Allah Maha Besar). Tetapi, sejak anak itu dilahirkan hingga dia membesar, dewasa dan akhirnya meninggal, kita tidak nyatakan dan terangkan tentang sifat Allah Yang Maha Besar itu bagaimana?

Kebanyakan ibu bapa semasa anaknya kecil mereka fokuskan anaknya kepada amalan beribadah sahaja. Contohnya, disuruh anaknya melakukan solat dan berpuasa, sedangkan akidah tidak ditekankan kepada anak-anak, iaitu terangkan kepada anak-anak mengapa kita perlu bersolat dan berpuasa? Mengapa kita perlu bercakap benar, kalau menipu berdosa? Yang sepatutnya ibu bapa perlu terangkan dan tekankan kepada anak-anak, sebelum kita memastikan dan memantau anak-anak mesti melakukan solat atau puasa adalah, penerangan dan kefahaman tentang akidah berasaskan sifat-sifat Allah.

Contohnya tentang Allah Yang Maha Berkuasa, Allah Yang Satu, Allah Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat dan Allah Yang Maha Mengetahui, jika kita tidak melakukan amalan itu dengan bersungguh hati, kita akan berdosa dan mendapat balasan daripada Allah. Kenalkan kepada anak-anak tentang dosa pahala dan syurga neraka. Ajarkan anak-anak tentang adanya Tuhan, yang menyebabkan anak-anak perlu mengerjakan amalan yang membuktikan ketaatan kepada Allah SWT. Sebagai ibu bapa kitalah pendidik pertama anak-anak, dan kita wajib memberikan ilmu yang boleh memberikan perubahan kepada anak-anak. Jika kita ada ilmu, ilmu itu untuk kita berfikir.

Paradigma

Mengapakah peluang masa anak kita kecil, masa mindanya terbuka menerima apa-apa sahaja maklumat yang masuk, tidak kita masukkan dengan maklumat yang baik. Benarlah seperti kata pepatah Melayu, “kalau hendak melentur buluh, biar dari rebungnya”. Anak-anak pada umurnya 0 – 7 tahun, mereka macam pita rakaman, merakam apa-apa sahaja yang dilihat dan didengar ke dalam mindanya. Apa yang ibu khususnya amalkan masa mengandung, masa menyusukannya, masa menjaga dan membesarkannya hingga mereka Tadika, akan menjadi paradigma anak-anak.

Pada usia 7 – 14 role model anak, siapa yang ada di sekelilingnya, mereka akan ikut perangai orang yang menjadi idolanya. Pada usia 14 -21 tahun (zaman remaja) anak bergantung pada kehidupan sosial persekitarannya. Maksudnya bergantung kepada siapa kawan-kawannya. Kalau baik kawan-kawannya, baiklah dia dan demikianlah sebaliknya. Untuk mencegah moral anak-anak menjadi negatif, ketika mengandungkan anak, ibu kena menjaga akhlak. Bapa juga kena memainkan peranan sentiasa memberikan semangat dan emosi positif kepada isteri yang sedang mengandung. Ibu tingkatkan ibadah dan jaga akhlak ketika mengandung, dan suami pun perlu melakukan hal yang sama.

Setelah anak dilahirkan, janganlah kerana kesibukan bekerja, kita tidak ada masa untuk mendidik anak. Biar bagaimana terbatasnya masa kita untuk anak-anak, peruntukkanlah masa untuk mereka. Yang penting kualiti masa. Ada orang yang banyak masa dengan anak, tetapi dia tidak ada dengan anak. Contohnya ketika menonton TV dengan anak, kita ibu atau bapa melayan telefon bimbit.

Ketika anak bercakap dengan kita, kita tidak memandangnya, kita sibuk memandang telefon bimbit, i-pad, komputer riba dan sebagainya. Mulut cakap dengan anak tetapi tangan sibuk menekan telefon bimbit dan mata tidak memandang anak.Bercakap dengan anak dalam keadaan tidak ada interaksi antara mata dengan mata adalah satu kesilapan dan kerugian. Sebab apabila kita melihat dalam mata seseorang, roh kita akan bercantum serta saling hubungan, dan situasi ini adalah sangat penting.

Kita mesti bahagikan waktu, dan apabila kita berada dengan anak, kita sebagai ibu dan bapa mesti tunjukkan kita benar-benar berada (keberadaan) bersama-sama mereka. Ada orang yang sibuk dengan kerja tetapi dia pandai mengguna dan memanfaatkan waktunya yang singkat itu dengan baik. Contoh menggunakan waktu ketika keberadaan kita bersama-sama anak-anak ketika dalam kereta. Ketika dalam kereta itulah kita memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada anak kita, serta kita mendengar semua luahan rasa hati anak-anak.

Berikan manfaat kepada anak, terutama pada waktu yang sangat diperlukan oleh anak, walaupun dalam waktu yang singkat. Jangan cakap tidak cukup masa. Siapa yang kata tidak cukup masa sebenarnya tidak pandai menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Walau bagaimanapun, yang paling penting untuk menjaga dan menjadi anak kita anak yang baik di dunia dan di akhirat, ialah doa. Mesti banyak zikir bukan banyak fikir!

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Utusan Malaysia Rencana 1 Mac 2015

Tidak salah 
jadi pemarah

MARAH. Marah sana. Marah sini. Marah di pejabat. Marah di rumah. Patutlah muka berkerut sepanjang masa. Kucing pun tidak mahu mendekat. Aura negatif manusia dapat dikesan haiwan.

Kemarahan memberi anda suatu kuasa luar biasa iaitu tujuan, kecenderungan dan makna kerana bila anda mahukan sesuatu tetapi dihalang, ini membuatkan anda marah.

Itu analisis pakar sakit jiwa. Orang selalu kata tidak manis kita tunjukkan kemarahan pada khalayak ramai. Malah, siapa yang marah-marah terus dilabel sebagai orang bengis, garang dan paling teruk, tidak beriman.

Marah adalah sifat semula jadi manusia, malah dianggap cerminan api dalam badan. Marah kena ada. Walau pendiam dan tenang macam mana seseorang itu, untuk menafikan kemarahan hanya akan merosakkan sistem saraf badan. Menyimpan kemarahan bagus daripada segi keterampilan imej tetapi terbakar dalam, mungkin boleh mengakibatkan barah jiwa.

Dalam sesetengah insiden, kemarahan itu amat berguna kerana boleh menjadi titik pendorong kepada anda untuk melakukan pembaharuan. Misalnya, anda gagal dapat 5 A dalam UPSR menyebabkan ibu marah, lalu mendorong ibu melipat gandakan tuisyen anda di tingkatan satu. Hendak marah ibu kerana taksub kepada UPSR? Atau diri sendiri kerana dapat B dalam UPSR?

Seseorang yang pemarah ada personaliti tertentu yang mungkin dianggap umum sebagai negatif dan tidak seronok dijadikan kawan. Tetapi ia juga menggambarkan seseorang itu sangat teliti dan fokus kepada apa yang dilakukannya, dan meletakkan usaha kesungguhan 100 peratus untuk menjayakannya. Individu ini menjadi marah bila ada sesuatu atau orang tidak mencapai piawaian ini.

Jika anda memerlukan pengurus, carilah sifat ini pada calon. Dia mungkin tidak disukai kerana ketegasannya tetapi kadar kejayaannya melaksanakan tugas adalah jauh lebih tinggi berbanding orang yang lembut, tenang terlampau hingga disyaki tidak berminat, kaki mengelak kerja dan kaki tidur.

Emosi marah perlu pada setiap manusia, sama seperti emosi suka, cinta, ghairah, malas dan sebagainya. Tiada satu pun emosi tersebut "negatif" kepada kita, melainkan jika kita enggan mengakui atau merasainya.

Kita hanya perlu merasai emosi-emosi ini dan kemudian, lepaskannya. Jangan khuatir apa orang hendak kata atau label hanya kerana kita berasa marah. Marah bukan sesuatu yang buruk. Asalkan jangan mengamuk.

Jadi, sebelum sampai ke tahap mengamuk, anda kena memiliki formula metodologi untuk melepas, melerai dan membuang perasaan marah secara sistematik daripada diri anda.

Berikut adalah lapan cadangan kaedah Merrepak hari ini untuk anda melepaskan rasa marah sebelum terkena migrain dan diserang angin ahmar:

1Analisis segala pertuduhan, penghakiman dan kritikan terhadap diri anda sendiri. Tetapi bukan menafikan semua itu. Ini kerana jika anda sudah dapati memang salah sendiri, maka fikirkan langkah ke hadapan. Bukan kekal di situ meratapi kesalahan atau mahu balas dendam. Maju ke depan untuk perbaiki kesilapan. Proses memperbaiki diri bukan mudah tetapi yang pasti, ia amat melegakan.

2Mengaku diri anda ada sifat pemarah dan "bersemuka" dengan sifat kemarahan itu, secara rohaniah. Matlamatnya ialah menurunkan tahap kemarahan ke paras yang tidak memudaratkan anda. Jika selama ini bila marah, anda akan terkeluar perkataan mencarut, eloklah padamkan perbendaharaan kata itu daripada diri anda. Kalau dulu asyik hambur perkataan "bodoh", gunalah "kurang pandai" pula. Kurang sikit bisanya.

3 Pergi ke spa. Buang segala asid dan asap dalam badan. Kepala akan jadi ringan dan bertenaga. Kaum lelaki boleh cuba buat rawatan muka. Bukan hendak jadikan anda metroseksual dengan kulit pipi licin. Sebaliknya ia boleh menyejuk, menyamankan urat-urat pada muka.

4 Ketawa banyak. Bila marah, mulut jadi herot. Kena banyak senyum dan ketawa. Kabel saraf ketawa banyak membantu aliran darah ke dalam jantung. Marah hanya menyebabkan jantung berdegup kencang. Tetapi anda tidak digalakkan ketawa sendirian. Takut nanti anda dianggap gila atau dirasuk zombie.

5 Bersorak riang, misalnya menonton perlawanan bola. Stadium adalah lokasi bebas untuk menjerit dan ketawa. Kasihan pengadil dan FAM jadi sasaran mudah. Dan bila pasukan sokongan tewas, berhentilah bakar suar.

6 Menjerit sekuat-kuat hati. Cari bukit atau sungai. Jerit sampai habis suara. Tarik suara anda sampai perut rasa keras dan kepala jadi pening. Lepaskan. Dan rasai kenikmatan selepas itu. Cuma pastikan kawasan sekitar, takut datang tetamu tidak diundang yang menyangka anda memanggilnya.

7 Melompat pada trampoline – alat ini mengajar kita membuat keseimbangan kaki dan badan, selain sangat unik untuk kita mengelamun, mencari idea dan melepaskan pening. Tau apa trampoline? Cari sendiri di Internet.

8 Pasang lagu kegemaran yng lama sudah tidak didengar. Pasti bawa balik memori manis. Lagu Mr. Roboto kumpulan The Styx, Life is Life (Opus), Tarzan Boy (Baltimora), My Girl (Temptation). - Utusan Malaysia Rencana 1 Mac 2015

Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar

Allah SWT menciptakan dua pancaindera penting bagi manusia iaitu pendengaran dan penglihatan. Tujuan penciptaan ini adalah supaya kita fahami bahawa satu daripada pancaindera ini mesti dikurangkan fungsinya supaya hati kita menjadi lembut untuk menerima kebaikan.

Fungsi pendengaran hendaklah dilebihkan dan fungsi lidah dikurangkan kerana percakapan terdedah kepada fitnah serta dosa sehingga ulama menyarankan supaya perbezaan sepertiga jurang pada penggunaan kedua-duanya.

Umpama kita bercakap dalam kadar satu jam, maka pendengaran mestilah digunakan dalam tempoh tiga jam. Menunjukkan, percakapan yang banyak akan menjerumuskan seseorang ke kancah dosa dan maksiat. Dosa lidah adalah satu daripada dosa besar yang diambil ringan oleh kebanyakan manusia.

Seseorang yang dijangkiti penyakit waswas ketika melakukan ibadah sebenarnya membuka pintu kepada syaitan umpama kita membuka pintu untuk pencuri di rumah. - Gambar hiasan

Kawal percakapan

Baginda SAW meninggalkan banyak pesanan bagi menyelamatkan umat daripada bahaya lidah. Baginda Nabi SAW bersabda: "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian. Akan tetapi katakanlah: Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi. Ini kerana perkataan 'kalau' akan membuka pintu perbuatan syaitan." (Riwayat Muslim)

Kata-kata yang diucapkan akan menentukan pulangan pahala dan dosa seseorang. Lebih banyak mendengar lebih baik daripada banyak berkata-kata. Pengaruh hati juga amat besar berbanding anggota lain, maka hati perlu dijaga dengan meneliti kerja yang kita lakukan setiap hari.

Hati yang mendorong lidah dan telinga untuk memainkan peranannya. Hati akan menjadi keras disebabkan berlebihan dalam tutur kata, berlebihan mengambil makanan, banyak bergurau serta bersosial.

Kemudahan teknologi kini menyebabkan ramai melupai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Pengaruh Facebook, Twitter, WhatsApp dan laman sosial lain menjadi medan utama untuk bersosial sedangkan Islam meletakkan beberapa syarat memilih kawan yang sebenar. Antaranya, sentiasa mengingatkan saudaranya jika melihat kawannya terleka.

Suasana kehidupan juga mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Segala ucapan yang diungkapkan, akan menambahkan pengetahuan. Demikian ciri sahabat sebenar dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Oleh itu, kebijaksanaan memilih kenalan akan membuahkan hasil yang baik dalam kehidupan.

Membawa akibat buruk

Berlebihan bercakap menjadikan hati keras serta membawa akibat buruk kepada seseorang. Natijahnya, mereka akan suka dan gemar kepada perkara haram, bercakap yang sia-sia, mendengar dan melakukan perkara buruk kerana menjadi permainan syaitan.

Seterusnya akan menyebabkan manusia menghidap dua penyakit bahaya iaitu syubahat dan syahwat. Syaitan tidak akan masuk kepada perkara wajib kerana mengetahui hamba taat melakukan perkara itu.

Jadi, syaitan menyerap masuk melalui dua penyakit ini untuk menyesatkan manusia.

Manusia akan dibayangi penyakit waswas terhadap kewajipan dilakukan. Meragukan terhadap ibadah yang kita lakukan ketika sedang dan selepas beribadah.

Maka, seseorang yang dijangkiti penyakit waswas sebenarnya telah membuka pintu kepada syaitan umpama kita membuka pintu untuk pencuri di rumah.

Kebanyakan penyakit waswas ini menyerang mereka yang ingin membuat yang terbaik dalam ibadahnya. Contohnya, meragukan kita mengenai rakaat sembahyang, sah wuduk serta perbuatan lain berkaitan ibadah dilakukan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia." (Surah an-Nas)

Penyakit syahwat

Setelah syaitan dapat melangkah kepada pintu pertama iaitu waswas, maka akan terus masuk pintu lebih besar iaitu ragu-ragu terhadap manhaj Allah SWT, meragui ketetapan seterusnya membatalkan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT serta hukum hakamnya.

Ketetapan Allah SWT akan dianggap lapuk, ketinggalan dan menjadikan sistem jahiliah sebagai pegangan dianggap yang terbaik. Firman Allah SWT bermaksud: "Apakah mereka menghendaki hukum jahiliah dan hukum siapakah yang lebih baik daripada Allah SWT?" (Surah al-Maidah, ayat 50)

Akhirnya kita terjebak kepada penyakit syahwat yang akan membinasakan. Hati terdorong kepada dunia dengan menyukai pangkat kekayaan, kedudukan dan kuasa. Gemar kepada mengumpulkan harta kekayaan tanpa mengira sumbernya serta suka kepada kemasyhuran dan kemegahan.

Imam Ibnu Qayyim berpendapat, perlu bagi seseorang supaya tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah SWT. Zikir dapat melindungi diri daripada gangguan syaitan yang masuk melalui pintu kelalaian.

Pelihara penglihatan

Sebahagian ulama menyarankan kita memelihara penglihatan kerana pandangan terhadap sesuatu akan mempengaruhi hati dan minda. Justeru, mata perlu dipelihara supaya tidak cenderung melihat kepada aspek keduniaan sahaja.

Firman Allah SWT bermaksud: "Janganlah kamu tujukan kedua pandanganmu kepada mereka yang diberikan kesenangan dunia untuk kami uji mereka dengannya." (Surah Taha, ayat 131)

Kita dianjurkan melihat kepada yang lebih rendah supaya tidak berasa kecewa dengan nikmat Allah SWT seperti disarankan Baginda SAW dalam sabda Baginda: "Lihatlah pada orang yang lebih rendah daripada kalian dan jangan melihat orang yang lebih tinggi dari kalian, kerana yang demikian lebih baik supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah ke atas kalian." (Riwayat Muslim)

Pandangan kepada mereka yang lemah akan menambahkan kesyukuran terhadap kurniaan Allah SWT walaupun tidak dinafikan kata-kata menyebut bahawa orang kaya yang bersyukur lebih baik daripada orang miskin yang sabar.

Namun, dalam urusan agama hendaklah dilihat kepada mereka yang di atas untuk peningkatan kepada amalan baik yang kita lakukan. Hati akan berasa ghairah apabila melihat orang lain beribadat dan berusaha untuk melakukan kebaikan lebih banyak daripadanya.

Ingatlah, sesiapa yang menjaga dan memelihara pandangannya akan dikurniakan ketajaman pandangan mata hatinya. Mereka yang menutup pandangannya terhadap kelemahan manusia, akan ditutup pandangan manusia terhadap kelemahannya.