March 6th, 2015

Khutbah Jumaat: “Penghayatan Integriti Dalam Kehidupan”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 06 Mac 2015:  JAIS

“Penghayatan Integriti Dalam Kehidupan”

Secara umumnya, integriti membawa maksud kepada nilai-nilai amanah, boleh dipercayai, jujur, taat dan mempunyai sifat-sifat keperibadian yang teguh.

Penghayatan nilai-nilai integriti ini akan membawa kepada pembentukan keperibadian yang unggul.

Hadis daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan (manusia dengan) akhlak yang baik”. (Riwayat al-Bukhari).

Kita juga hendaklah sentiasa berlaku amanah, jujur, adil, bertanggungjawab disamping menzahirkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, ikhlas, saling menyayangi dan berdisiplin kerana ianya merupakan tuntutan dalam agama.

Kesan-kesan kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai integriti yang perlu dipandang serius adalah:

Pertama: peningkatan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Rasuah adalah perbuatan yang haram dan bertentangan dengan syarak.

Pengertian rasuah bukan sahaja merujuk kepada kewangan semata-mata.

Pengertian rasuah sebenarnya lebih luas meliputi penyelewengan, penyalahgunaan jawatan dan kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan diri, keluarga dan pihak tertentu.

Kedua: Hilang keberkatan dan keredhaan Allah SWT didalam kehidupan.

Ketiga: Negara menjadi lemah dan terdedah dengan pelbagai risiko keselamatan.

Bagi menerap dan memperkukuhkan pembudayaan serta penghayatan nilai-nilai integriti dalam kehidupan kita, maka:

1. Umat Islam hendaklah memantapkan pegangan iman dan menguatkan ketinggian sahsiah dalam diri kerana iman dan keperibadian yang tinggi sahaja dapat memastikan seseorang itu istiqamah dalam melazimi sifatsifat mahmudah dan integriti dalam diri.

2. Umat Islam hendaklah menekankan aspek asuhan dan pendidikan integriti bermula dari peringkat awal kanak-kanak dan seterusnya di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

3. Penguatkuasaan undang-undang perlu terus menerus dipergiatkan supaya masyarakat sedar akan kemudaratan pengabaian nilai-nilai integriti yang boleh mengundang berlakunya jenayah dan mengancam keselamatan Negara.

4. Penerangan berkenaan nilai-nilai integriti hendaklah ditingkatkan oleh semua pihak agar ia menjadi budaya amalan dalam masyarakat.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”. (an-Nisa-58).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat: Ketegasan Dalam Kelembutan

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat  6 Mac 2015M / 15 Jamadilawal 1436H JAWI

"Ketegasan Dalam Kelembutan"

Nama Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. adalah manusia yang dianggap paling mulia dalam sejarah Islam sesudah Rasulullah S.A.W.

Khalifah pertama ini digelar As-Siddiq yang bererti ‘orang yang benar’ kerana Abu Bakar adalah seorang yang mempercayai dan membenarkan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah.

Antara peristiwa dan pengiktirafan oleh para sahabat yang membenarkan gelaran ini ialah semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Peristiwa bersejarah ini diabadikan Allah S.W.T dalam Surah at-Taubah ayat 40: Bermaksud: “Jika kamu tidak mahu menolong dia (Muhammad) sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya, semasa mereka berdua di gua itu ia berkata kepada temannya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita.”

Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. adalah manusia yang dermawan dengan Allah S.W.T telah menyatakan sifat dermawan Abu Bakar As-Siddiq dalam Surah alLail ayat 18-21: Maksudnya: “Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan diri dan harta bendanya, sedang dia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredhaan Tuhan-Nya Yang Maha Tinggi; Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya).”

Pemilihan beliau sebagai ketua negara menggantikan Rasulullah S.A.W adalah tepat sekali. Beliau meletakkan satu prinsip yang tegas berhubung keadilan dan kesaksamaan di antara rakyatnya. Ia disebut dalam ucapan beliau ketika diangkat menjadi khalifah:

“Wahai sekalian umat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Jika pemerintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tidak baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisinya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula.”

Beliau terkenal dengan kelembutan perkerti, santun dan merendah diri tetapi beliau begitu tegas dalam mempertahankan akidah islam dan iman.

Pertama: Ketaatan dan sikap setia kawan Abu Bakar kepada Nabi S.A.W tiada tandingannya.

Kedua: Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka kita hendaklah tahu bahawa dilakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasul-Nya. Tidak kerana mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Ketiga: Menginfakkan harta ke jalan Allah merupakan satu pelaburan besar yang tiada ruginya.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari ini ialah:

Pertama: Membela kebenaran adalah tanggungjawab kita bersama lebih-lebih lagi apabila fitnah telah menjadi makanan masyarakat kita hari ini.

Kedua: Menginfakkan harta ke jalan Allah diibaratkan kita sedang menyiapkan mahligai di akhirat dan membina laluan kita ke syurga Allah.

Ketiga: Contohilah keperibadian Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam segala aspek kehidupan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 8: Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap satu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."

Wallahualam.

Jihad memerangi rasuah

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang bagi manusia satu zaman di mana orang tidak peduli lagi apakah harta yang diperolehinya halal atau haram."

Dan sebuah hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka.”

Persoalannya, sejauh manakah umat Islam khususnya mereka yang mengamalkan rasuah menterjemahkan hadis ini dalam bentuk tindakan? Memang benar wang boleh menjadi ‘hantu’ yang merasuk seseorang. Kuasa yang dimiliki bukan lagi dianggap satu amanah dan tanggungjawab sebaliknya ‘lubuk’ bagi meraih keuntungan serta mahu hidup senang dengan cara mudah.

Namun kesan akibat perbuatan tidak amanah itu bagaikan ‘bom jangka’ kepada bangsa, agama dan negara apatah lagi jika ia melibatkan mereka yang diberikan tanggungjawab untuk menegakkan undang-undang dan mengawasi harta negara supaya tidak mengalir secara haram ke luar negara.

Malangnya apa yang disaksikan sejak kebelakangan ini, terlalu banyak anggota penguat kuasa menyalahgunakan kuasa yang mereka miliki. Dalam soal ini tidak harus ada lagi kompromi. Tidak kira siapa pun mereka, berpangkat atau anggota biasa, kalau mereka bersedia menyuapkan rezeki haram melalui hasil rasuah kepada anak isteri maka mereka juga perlu bersedia menghadapi akibatnya.

Kelompok yang memperalatkan kedudukan dan kuasa yang dimiliki boleh dianggap pengkhianat kepada rakyat. Mereka bagaikan ‘anai-anai’ yang sedikit demi sedikit boleh meruntuhkan negara.

Atas sebab itulah, banyak pihak beranggapan sudah tiba masanya jihad memerangi rasuah dilancarkan secara besar-besaran. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mempunyai keberanian luar biasa untuk membanteras mana-mana pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat.

“Kita bukanlah menafikan ketegasan SPRM dalam soal tersebut namun masih ada ‘bisik-bisik’ yang menyatakan SPRM harus menerima hakikat berleluasa rasuah adalah refleksi kepada kegagalan atau kelemahan mereka untuk mengambil tindakan yang efektif serta proaktif,’’ kata seorang pengamal undang-undang ketika dihubungi.

Namun untuk membebankan usaha membanteras gejala rasuah hanya kepada SPRM semata-mata adalah tidak wajar. Sebaliknya ketua-ketua jabatan juga khususnya yang mempunyai agensi penguat kuasa perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Kita sudah bosan mendengar cerita-cerita bagaimana ada ketua-ketua jabatan atau mereka yang berkuasa dalam sesuatu jabatan atau mempunyai kuasa dibiayai oleh ‘tauke-tauke’ untuk sesuatu majlis yang dianjurkan. Ini belum lagi mengambil kira ‘gosip-gosip’ bagaimana ‘tauke-tauke’ menaja pertandingan golf sama ada di dalam atau luar negara.

Penajaan yang dibuat sudah tentu ada maksud tersirat, kalau seseorang itu tidak mempunyai kuasa mana mungkin akan ada ‘tauke-tauke’ mahu melakukan kebaikan seumpama itu, memetik satu dialog dalam filem P.Ramlee, “Ya baik..baik ada makna tu’.

Walaupun kita mengharapkan ia sekadar ‘gosip’ namun ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan dan sudah tentu ia bergantung kepada maklumat bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan. Pelbagai kes penyelewengan yang berlaku termasuklah perjudian, maksiat, penyeludupan minyak dan barang-barang lain, segala-galanya berpunca daripada amalan rasuah yang diamalkan oleh segelintir anggota agensi penguat kuasa.

Kelompok seumpama ini tidak perlu diberi peringatan dari segi agama kerana mereka pasti mengetahui hukum hakamnya tetapi mereka harus dibanteras dengan apa cara sekali pun. Sebab itulah, dalam mana-mana kes tidak boleh siasatan terlalu lama apatah lagi kalau kes tersebut menjadi bualan ramai serta dipaparkan oleh media. Janganlah sampai ada tanggapan begitu heboh apabila tangkapan dilakukan, tetapi senyap sunyi selepas itu.

“Dari segi fokus siasatan satu-satu kes rasuah, ia mesti fokus kepada hasil rasuah, bukan setakat kesalahan rasuah. Ada orang yang ditangkap bukan pertama kali melakukan perbuatan itu, ada antaranya sudah mengumpul beribu-ribu ringgit malahan berjuta ringgit sebelum diberkas. Oleh itu apabila ditangkap dan dituduh kesalahan rasuah hanya melibatkan jumlah wang ketika ditangkap, jumlah itu sudah pasti kecil berbanding apa mereka kaut selama ini,’’ kata pengamal undang-undang tersebut.

Seperkara lagi, janganlah terlalu mudah menuduh media mempunyai agenda apabila mendedahkan sesuatu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Media juga mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama membanteras perbuatan jahat tersebut. Memang benar, media ada agenda tetapi agenda media seperti Utusan Malaysia hanya satu iaitu melaksanakan jihad bagi memastikan gejala rasuah dan penyelewengan kuasa tidak terus bermaharajalela.

Bagaimanapun sama ada gejala rasuah boleh bermaharajalela atau tidak ia terpulang kepada individu itu sendiri khususnya mereka yang mempunyai kuasa. Dalam Islam, Rasulullah SAW telah mengingatkan dalam sebuah hadis maksudnya; “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitulah juga mereka yang ada kuasa, kalau hati bersih dan tidak berhasrat mengalirkan darah di dalam tubuh anak isteri mereka melalui hasil yang haram mereka tidak akan menerima rasuah.

Tetapi malangnya apa yang kita saksikan, segelintir daripada mereka sengaja melupakan perkara itu. Ia kerana mereka mahu hidup senang dan menjadikan kuasa yang dimiliki sebagai ‘punca pendapatan sampingan’, soal haram dan halal bukanlah lagi perhitungan. Yang penting setiap bulan ada orang membayar kereta, hujung bulan ada wang masuk ke akaun dan apa sahaja mereka mahukan akan dipenuhi oleh pemberi-pemberi rasuah.

Namun begitu, bahaya yang ditempah oleh penerima-penerima rasuah ini bukan hanya menanti pembalasan di akhirat tetapi di dunia, selain diri mereka berhadapan dengan tindakan undang-undang perbuatan tidak amanah mereka jika dibiarkan boleh menyebabkan bangsa, agama dan negara menjadi taruhan. Justeru marilah berjihad memerangi rasuah. - Zulkifli Bakar Utusan Malaysia Rencana 6 Mac 2015

Menyekat hadis maudu'

DALAM sebuah hadis sahih Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara selagi mana kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah-ku”. (riwayat Imam Malik)

Demikian tingginya kedudukan hadis Nabi SAW yang menjadi rujukan utama selepas al-Quran. Bagaimanapun, selepas kewafatan Baginda, telah muncul hadis-hadis maudu’ (hadis palsu) yang kemudiannya disebar luas. Antara punca hadis palsu dicipta adalah politik, taksub, golongan musuh Islam, ahli bidaah dan golongan zuhud, percanggahan bab fiqh dan akidah serta untuk kepentingan diri.

Kini selepas lebih 1,400 tahun kewafatan Nabi SAW, penyebaran hadis palsu ini semakin berleluasa. Sehinggakan ia menjadi ‘rujukan’ bukan sahaja para ustaz dan penceramah tetapi juga orang awam. Dalam dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari, kesan penyebaran hadis palsu itu semakin dirasai. Jika tidak dibendung perkara ini boleh menjadi barah dalam masyarakat.

Alhamdulillah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif menerbitkan buku Hadis Mawdu’: Sejarah dan Cara-cara Mengenalinya karangan Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor iaitu bekas pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Buku itu diterbitkan pada 3 Mac lalu.

Memanglah buku itu tidak cukup untuk mengesan dan menangkis semua hadis palsu tetapi sekurang-kurangnya umat Islam kini ada panduan dan boleh merujuk kepada buku tersebut yang boleh dimuat naik menerusi Internet. Dengan kata lain, sekarang jangan tangkap muat sahaja. Sebaliknya, buat penyelidikan bagi menentukan status sesebuah hadis terlebih dahulu sebelum disebarkan terutama menerusi laman sosial.

Antara contoh hadis palsu yang masyhur adalah berkaitan fadilat solat tarawih pada setiap malam Ramadan. Ia berunsur bidaah dalam ibadat dengan melebih-mele­bihkan ganjaran melaksanakan ibadat. Ini boleh mendorong umat Islam menjadi malas melakukan ibadat gara-gara mahu menumpukan pada hari atau bulan tertentu bagi mendapatkan ganjaran dan pahala besar.

Walhal hadis sahih berkaitan Ramadan an­taranya adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu. (riwayat Bukhari)

Hadis ini sudah cukup menggambarkan betapa hebat dan besarnya ganjaran bagi mereka yang berpuasa Ramadan dengan penuh keikhlasan. Adakah hadis ini masih tidak cukup sehinggakan kita mahu mempercayai hadis-hadis palsu berkaitan fadilat beramal dalam Ramadan?

Inilah yang perlu dinilai semula oleh umat Islam dalam usaha memotivasi diri melaksanakan ibadat seharian. Jangan sampai kita terpedaya menyebar dan ‘beramal’ dengan hadis-hadis palsu yang kebanyakannya menjanjikan ganjaran luar biasa bagi amalan harian.

Banyak hadis memberi amaran keras terhadap pendusta yang memalsukan hadis, kemudian mendakwanya sebagai sabda Nabi. Justeru para sahabat sangat takut apabila meriwayat sesebuah hadis kerana khuatir terjerumus ke dalam amaran itu. Dalam riwayat Bukhari dan Muslim daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud: Jangan kamu berdusta terhadapku, sesiapa berdusta terhadapku, maka bersedialah kemasukannya ke neraka.

Imam al-Zahari dalam bukunya al-Kabair (dosa-dosa besar) meletakkan kesalahan mencipta, meriwayat dan menyebar hadis maudu’ termasuk salah satu daripada 70 dosa besar.

Abu Muhammad al-Juwaini pula menyatakan boleh jatuh kufur bagi sesiapa yang sengaja mendustai Rasulullah SAW dan pendapat beliau disokong oleh Ibnu Jauzi. - Mohd Radzai Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 2015

Menerap nilai ihsan dalam kehidupan

Ustazah Norhafizah Musa dalam rancangan Usrati mengupas isu ihsan dalam rumah tangga, bagaimana kita harus mendahulukan berbuat baik untuk mendapat ihsan daripada semua orang.

Sering kali dalam rumah tangga perkataan 'sepatutnya' dituturkan sama ada suami kepada isteri atau sebaliknya dan ibu bapa kepada anak. Pernahkah kita mengatakan perkataan 'sepatutnya' kepada diri sendiri? Pernahkah kita fikirkan untuk memperbaiki diri selain sibuk memperbaiki orang lain.

Dalam rancangan Usrati yang bersiaran hari Khamis, jam 5.15 petang, minggu lalu di IKIMfm, Ustazah Norhafizah Musa mengupas isu ihsan dalam rumah tangga iaitu bagaimana kita seharusnya dahulu membuat kebaikan dengan seikhlas hati kepada semua orang dalam kita mengharapkan kebaikan orang kepada kita.



Contohnya, suami yang mahukan isterinya berlemah-lembut terhadapnya dalam apa saja urusan, maka suami terlebih dahulu perlu berlemah-lembut terhadap isterinya. Begitu juga jika ibu bapa mahukan anak melayan mereka dengan kebaikan, maka ibu bapa terlebih dahulu perlu melayan anak dengan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda: "Allah merahmati orang tua yang menolong anaknya untuk berbakti kepadanya." (Riwayat Ibnu Hibban)

Semai nilai ihsan dalam diri

Tidak dinafikan akan berlaku pertengkaran dalam rumah tangga. Oleh itu, setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan untuk menanamkan nilai ihsan dalam diri masing-masing dan berusaha melakukan kebaikan terlebih dahulu.

Alangkah indah rumah tangga sekiranya setiap ahli berlumba-lumba memberikan ihsan terlebih dahulu daripada yang lain.

Norhafizah Musa mengajak anak yang selalunya menganggap ibu bapa tidak memberikan perhatian atau tidak mahu melayan kehendak mereka berusaha untuk mendengar nasihat serta teguran daripada kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu bagi mendapat layanan yang sama daripada ibu bapa.

Rasulullah SAW bersabda: "Ihsan itu, hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekalipun kamu tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat mu." (Riwayat Muslim)

Bagaimanakah untuk kita fahami nilai ihsan yang disebut dalam hadis yang boleh menjadikan kita insan salih khususnya dalam rumah tangga. Fitrah manusia, apabila perbuatannya dilihat oleh orang lain, maka dia akan mengawal gerak-gerinya, malah boleh menahan kesabaran untuk tidak marah.

Oleh itu, nilai ihsan yang dibicarakan dalam hadis ini yang jauh lebih luas maksudnya, Allah SWT bersama kita di mana sahaja kita berada dan sesungguhnya Dia Maha Melihat segala perbuatan kita. Maka dengan itu, kita dapat mendidik diri untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Nilai ihsan perlu sentiasa diterapkan dalam rumah tangga bagi memastikan ahli sentiasa melakukan kebaikan walau di mana kerana setiap makhluk berada di bawah pengawasan Allah SWT. Atas sebab itu, seseorang berasa malu kepada Allah SWT untuk melakukan perkara tidak baik dan zalim.

Malah, Allah SWT menyuruh manusia berbuat baik (ihsan) bukan sahaja kepada manusia, bahkan makhluk lain seperti maksud hadis: "Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa." (Riwayat Muslim)

Apabila kita diuji atau marah, kita akan memberi tindak balas. Oleh itu, kita perlu menyiapkan diri supaya merasakan Allah SWT sentiasa melihat perbuatan kita walau di mana kita berada. Persiapan ini perlu dilatih sejak awal untuk menahan diri daripada terus bertindak balas dengan apa yang berlaku.

Setiap ujian yang datang adalah sebagai latihan untuk menahan diri daripada marah dan bertindak zalim. Muhasabah diri bahawa Allah SWT sedang melihat dan berusaha memperbaiki ke arah kebaikan. Ujian yang dilalui satu latihan dan proses memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Istighfar ketika berdepan ujian

Norhafizah berkata, sentiasa istighfar dan berdoa kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang dilakukan, terutamanya ketika menghadapi ujian.

Antara doa yang Rasulullah SAW anjurkan ialah: "Ya Allah, aku berlindung dengan pengampunan-Mu dari seksa-Mu, aku berlindung dengan keredaan-Mu dari kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan azab-Mu dari rahmat-Mu. Ya Allah, aku tidak dapat memuji-Mu dengan baik meskipun aku sudah bersungguh-sungguh. Akan tetapi aku hanya dapat memuji-Mu seperti mana Engkau memuji diri-Mu sendiri."

Doa ini boleh diamalkan bagi memohon perlindungan Allah SWT daripada sifat mendatangkan kemurkaan dan azab Allah SWT kepada kita. Setiap manusia tidak akan lari daripada ujian Allah SWT sama ada ringan ataupun berat.

Ujian adalah rahmat daripada Allah SWT untuk menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa dan dekat dengan-Nya. Kisah Nabi Yusof boleh dijadikan panduan sebagai persediaan berdepan ujian serta cara bermuhasabah diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa kepada Allah SWT, yang bersabar, maka sesungguhnya Allah SWT tidak pernah mensia-siakan ganjaran kebaikan kepada orang yang berbuat baik. Allah SWT telah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf dengan ketakwaan dan kesabaran baginda terhadap ujian yang telah diberikan. Janji Allah SWT itu pasti kepada hamba-Nya yang bertakwa dan sabar dengan ujian. Bersyukurlah apabila Allah SWT telah memilih kita untuk menjadi orang yang berbuat kebaikan." (Surah Yusuf, ayat 90). Maslina Alias Berita Harian Rencana 6 Mac 2015