March 8th, 2015

Nafsu songsang kecelaruan naluri

Gay atau homoseksual yang melibatkan hubungan di antara lelaki dan lelaki sudah menjadi stigma buruk kepada rakyat negara ini. Bagaimanapun gejala tersebut tetap wujud dalam masyarakat hari ini.

Keadaan itu bukan sahaja disebabkan budaya luar, tetapi lebih kepada faktor dalam diri seseorang untuk merelakan gejala itu berlaku.

Kecelaruan identiti, nafsu, pegangan hidup dan sebagainya perlu diambil kira bagi memastikan perkara seumpama ini dapat dikurangkan kerana ia boleh dianggap mustahil untuk dihapuskan.

Menurut ajaran agama Islam, manusia diciptakan lelaki dan perempuan agar dapat mewujudkan perkongsian hidup yang normal untuk menambahkan lagi zuriat dalam meramaikan umat di dunia ini.

Namun bagi pasangan homoseksual atau gay pastinya tidak dapat memiliki zuriat apatah lagi untuk berkongsi hidup di antara satu sama lain yang tentunya memberi impak negatif kepada masyarakat.

Ini belum lagi ditambah dengan permasalahan penyakit disebabkan hubungan seks sebegini seperti STD, HIV AIDS dan sebagainya yang kian menular dalam kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup tidak sihat.

Ada di antara negara-negara di dunia membenarkan perkara ini berlaku seperti kehidupan bersama, perkahwinan dan sebagainya yang dilakukan secara terang-terangan manakala Malaysia mengambil langkah untuk tidak mahu perkara ini terjadi.

Pernah satu ketika dahulu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Trangender (LGBT) mendapat liputan meluas media bagi membolehkan hak mereka didengari namun tidak mungkin ia dibenarkan di negara ini yang kuat berpegang kepada ajaran agama dan tata susila ketimuran.

Ia diikuti dengan kisah pelajar perubatan, Ariff Alfian Rosli yang dilaporkan hilang oleh keluarga ketika belajar di Dublin, Ireland dan dilaporkan telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Jonathan.

Kisah ini amat menggemparkan negara apabila gambar ‘perkahwinan’ pasangan tersebut disebar di laman sosial.

Berbeza dengan transgender, mak nyah mahupun golongan bapok, yang mudah dikenali, golongan gay pula amat sukar dikesan.

Ruangan Fokus .com berusaha mendekati golongan ini bagi mengetahui punca dan bagaimana mereka boleh mempunyai perasaan sedemikian serta sanggup mengamalkan cara hidup songsang itu.

Diharap paparan kali ini dapat dijadikan iktibar kepada masyarakat untuk menghalang gejala itu daripada berkembang luas di negara ini– AMIRUL

Bercerai kerana tabiat songsang

TERBABIT dalam kegiatan homoseksual bukan sahaja menjerumuskan Zul (bukan nama sebenar) ke kancah maksiat, tetapi menyebabkan rumah tangga dibina musnah.

Lelaki berusia 28 tahun itu mengakui menyesal terhadap peristiwa tersebut tetapi mendakwa sudah berusaha sebaik mungkin mempertahankan rumah tangga.

Beliau mengakui perasaan suka kepada kaum sejenis telah bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Perkahwinan pada awalnya berjalan lancar dan keadaan itu tidak disedari oleh isteri saya, namun setelah hampir setahun keadaan mula berubah,” katanya.

Zul menambah, pada masa ini beliau berusaha untuk mengubah dirinya, tetapi kerap menemui jalan buntu.

“Apa yang menjadi masalah ialah orang seperti kami tidak diketahui orang lain. Jadi, tidak ada siapa yang akan datang untuk membantu orang seperti kami kecuali jika kami yang bertindak.

“Tetapi, jika kami yang ingin bertindak ke mana pula kami hendak pergi mendapatkan bantuan. Ini menyebabkan masalah ini menjadi lebih rumit,” ujarnya.

Bercerita mengenai tempoh perkahwinan, Zul memberitahu, beliau sudah berusaha membuang tabiat lama demi rumah tangga yang dibina.

“Tetapi perasaan itu kerap muncul, Untuk berlaku adil, saya dengan berat hati menceraikan isteri,” tambahnya.

Saya merasakan saya semakin minat kepada lelaki dan rasa keterujaan itu sama seperti lelaki lain melihat wanita, begitu juga bagi saya apabila melihat lelaki.

Saya mengaku bahawa saya menjalani kehidupan sebagai seorang homoseksual atau gay selama lebih 15 tahun.

Sentiasa usaha berubah

“SAYA tidak tahu sampai bila saya akan terus begini, tetapi saya akan terus cuba untuk berubah,” demikian pengakuan Daniel (bukan nama sebenar) terhadap penglibatannya dalam kegiatan homoseksual.

Menurutnya, cubaan untuk berubah sentiasa ada tetapi naluri untuk suka kepada kaum sejenis amat tebal.

“Saya tidak minta perkara ini berlaku namun naluri dan kecenderungan ini muncul sejak saya masih kecil sebelum darjah satu lagi.

“Tetapi pada waktu itu, saya tidak dapat membezakan adakah itu normal atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menambah, bagi seorang gay, seks bukanlah segala-galanya, tetapi perasaan cinta atau sayang adalah perkara utama dalam setiap perhubungan.

“Sehingga hari ini, hanya kakak yang mengetahui mengenai perkara ini dan tidak ada ahli keluarga lain yang tahu,” tambahnya lagi.

Beliau menolak penglibatan dalam homoseksual sebab pengaruh kawan.

“Seperti saya kata tadi, ia lebih kepada naluri.Biasanya, golongan seperti kami lebih suka berdiam diri atau tidak terlalu menonjol.

“Itulah yang menyebabkan kenapa golongan gay sukar dikenali dengan hanya melihat luaran sahaja. Ini kerana kami biasanya sama seperti lelaki lain, cuma naluri kami berbeza,” katanya. - Utusan Malaysia Rencana Agama 07 Mac 2015 10:45 PM

Amalan baik, ikhlas dibalas keberkatan

Seseorang yang ingin hidup tenang, diberkati Tuhan perlu mengikhlaskan diri dalam setiap kerja dilakukan. Ikuti kupasan mengenai mencari barakah oleh Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir dalam Tarbiah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97)

Apabila membicarakan perkara berkaitan barakah, setiap manusia mahukan kehidupan yang dilimpahi keberkatan kerana sesuatu yang Allah SWT kurniakan barakah kepadanya pasti akan mencukupi walaupun jika dilihat dari segi angka dan bilangan, jumlahnya kecil atau sedikit.

Menurut Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir dan program Tarbiah, keberkatan hidup seseorang Muslim bergantung kepada keikhlasan dirinya kepada Allah SWT. Apabila seseorang mengikhlaskan diri dan membetulkan niat, sudah tentu akan menemui keberkatan dalam perkara yang dilakukan.

Antara sebab yang menjadikan seseorang Muslim itu diberkati Allah SWT dalam kehidupannya adalah keimanan dan ketakwaan terhadap Allah Yang Maha Besar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah al-Araf, ayat 96)

Sedikit tetapi berterusan

Keberkatan bukan bermakna mempunyai nilai wang ringgit yang banyak, kenderaan mewah atau rumah besar. Keberkatan merujuk kepada sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi malah kebaikannya berterusan umpama mata air jernih yang sentiasa mengalir memberi manfaat kepada seluruh manusia.

Sungguh pun jika kita mempunyai wang yang banyak atau kehidupan mewah tetapi selalu berasa tidak cukup, tidak bahagia, tidak tenang, ia boleh disifatkan kepada sesuatu yang tidak mengundang keberkatan kepada kehidupan kita.

Diriwayatkan daripada Jabir, katanya: "Kalaulah engkau melihat bagaimana saya bersama Nabi SAW, ketika itu waktu Asar sudah tiba sedangkan air tidak ada untuk berwuduk, kecuali lebihan air sedikit.

Maka air yang sedikit itu dimasukkan dalam satu bekas lalu dibawa kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda telah masukkan tangan ke dalam bekas itu lalu merenggangkan anak jarinya, kemudian Baginda berkata: Hai orang yang akan berwuduk, ke marilah, barakah daripada Allah. Jabir berkata: Saya lihat air keluar dari anak jari Baginda, maka berwuduklah semua orang dan minumlah. Saya tidak peduli lalu memenuhkan perut saya dengan air itu. Saya tahu betul bahawa air itu memberi barakah. Salim bin Abi Ja'd bertanya kepada Jabir: Berapa orang kamu semua ketika itu? Jawab Jabir: 1,400 orang."

Begitulah nilai sesuatu barakah buat kita yang mengharap kebaikan dan rahmat Allah SWT. Tentunya kita juga tertanya bagaimanakah untuk menjemput keberkatan dalam hidup kerana kita semua tentunya tidak ada jawapan yang tepat apakah hidup kita ini diberkati atau sebaliknya.

Nikmat beribadah

Namun, melalui nikmat yang diperoleh adalah kemuncak kepada kebaikan anugerah Allah SWT buat kita. Keberkatan yang Allah SWT berikan melalui kenikmatan beribadah, merintih, bersujud memohon keampunan daripada Allah SWT adalah barakah yang membuat hati lapang serta tenang.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah, al-Hakim daripada Abdullah bin Abbas)

Bagaimanapun, kita dianjurkan melaksanakan pelbagai amalan seperti terkandung dalam al-Quran dan al-hadis. Antaranya, mencari keberkatan hidup melalui amalan bersedekah kerana dalam setiap sedekah yang diberikan mengandungi nilai barakah selain ia membersihkan rezeki, juga melaksanakan hak orang lain dalam rezeki kita.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya." (Riwayat Muslim)

Begitu juga melaksanakan amalan menunaikan solat sunat duha adalah salah satu pintu untuk mengetuk barakah dalam kehidupan seperti sabda Nabi Muhammad SAW: "Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat duha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang." (Riwayat al-Hakim dan at-Tabrani)

Keberkatan bagi mereka yang sering menunaikan solat sunat duha juga tidak harus dipandang enteng, kerana solat sunat duha selain sebagai membuka rezeki, ia juga memberi keberkatan kepada rezeki yang kita peroleh.

Kelebihan solat duha

Keberkatan rezeki di sini merujuk kepada kehidupan yang dijamin, kesihatan baik, anak salih, ilmu dapat diamalkan, hidup lapang, dipermudahkan dan banyak lagi. Solat sunat duha juga disebut sebagai amalan yang dapat membersihkan dosa.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang masih berdiam diri di masjid atau tempat solatnya setelah solat Subuh kerana melakukan iktikaf, berzikir, dan melakukan dua rakaat solat duha disertai tidak berkata sesuatu kecuali kebaikan, maka dosanya akan diampuni meskipun banyaknya melebihi buih di lautan." (Riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya tiada apa yang lebih bermakna dalam hidup ini melainkan kehidupan yang diberkati kerana diampuni Allah SWT setiap kekhilafan serta kesalahan yang kita lakukan. Orang yang bersih daripada noda dan dosa tentu dapat menikmati kemanisan iman sebenar-benarnya.

Mudah-mudahan kita juga dikurniakan hidup yang barakah dan selalu dibukakan hati untuk menyedari kekhilafan diri serta bermohon keampunan daripada Allah SWT. Nik Hasnah Ismail Berita Harian Agama 7 Mac 2015

Keganasan IS calar wajah kesejahteraan Islam

Kedatangan Islam adalah sebagai rahmat kepada sekalian umat manusia dan sudah dijelaskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai agama yang harmoni dan sejahtera. Atas dasar itulah ia dapat diterima oleh semua masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Namun, sejak akhir-akhir ini kita berhadapan dengan serangan pemikiran sekular yang sangat ganas menerjah akidah umat Islam dan usaha musuh Islam secara tersusun mencorakkan dunia bertujuan meletakkan Islam di kandang orang salah.

Kuasa besar dan musuh Islam sedang ghairah membidik sasaran, menumpahkan darah umat Islam secara keji, mengganggu gugat sistem yang diciptakan oleh Islam dan mewujudkan konflik mazhab serta fahaman sehingga berlaku pergolakan antara sesama umat Islam.

Bukan hanya sekadar memecahkan kesatuan Islam, malah mereka terlalu aktif melaga-lagakan golongan agama supaya masyarakat Islam tidak lagi menghormati institusi keagamaan. Di tambah lagi dengan budaya ekstrim yang sedang membarah sehingga melahirkan manusia yang hilang jatidiri Muslim, malah menjadi musuh untuk menghancurkan Islam.

Tak cermin ciri-ciri Islam

Apabila agenda ini berlaku kepada semua negara umat Islam, maka jelaslah ada tangan musuh yang tersembunyi di sebalik musibah ini.

Pada masa sama, citra dan wajah kesejahteraan Islam cuba dirosakkan wajah bengis kumpulan Islam yang kononnya berjihad sedangkan Islam yang sebenar tidak mencerminkan ciri-ciri seperti yang mereka lakukan.

Kita mesti sedar, apa saja tindakan berbentuk keganasan oleh umat Islam bukanlah mencerminkan ajaran Islam itu sendiri. Islam menentang segala bentuk penindasan, kezaliman dan keganasan. Islam memberatkan aspek kasih sayang serta sifat ambil berat terhadap sesama Islam dan bukan Islam.

Jika tindakan itu dilakukan oleh Muslim, maka apa yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan kehendak agama. Islam tidak membenarkan kita menyakiti orang lain apatah lagi membunuh orang lain tanpa hak.

Biarpun golongan itu mungkin berniat baik iaitu untuk membela Islam, tetapi pendekatan yang digunakan tidak kena pada tempatnya serta mencemarkan imej Islam itu sendiri. Segala tindakan dianggap keganasan itu ada sesetengahnya memang hasil perbuatan penganut Islam, tetapi ini bukanlah 'lesen' untuk menuduh Islam mengajar penganutnya berbuat demikian.

Perancangan jahat musuh

Isu Kumpulan Militan Islam (IS) di Syria dan Iraq menjadi fokus penting dalam media arus perdana dalam serta luar negara. Jika keganasan itu benar-benar berlaku, maka Islam tidak pernah bertanggungjawab terhadap perkara sedemikian.

Apa yang dibimbangi, perancangan jahat musuh untuk meletakkan Islam di kandang orang salah dan menyebabkan nilai nyawa umat Islam semakin murah. Media milik musuh pula, seolah-olah mendapat ramuan baharu untuk menyisihkan Islam yang sedang berkembang pesat di Eropah dan negara bekas komunis.

Islam sendiri tidak menggalakkan perang, malah Islam melarang pembunuhan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Oleh kerana itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul kami dengan (membawa) keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi." (Surah al-Maidah, ayat 32)

Salah guna tafsiran

Secara dasarnya peperangan dalam Islam juga mempunyai tertib dan syaratnya. Tentera Islam tidak boleh sesuka hati bertindak zalim dan menindas orang yang diperangi. Ketika peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah SAW memerintahkan kaum Muslimin hanya memerangi sesiapa yang memerangi mereka sahaja.

Biarpun ketika itu kaum Muslimin datang kekuatan yang lebih besar daripada penduduk Makkah. Sikap yang ditonjolkan Rasulullah SAW itu selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8)

Islam hanya meletakkan keganasan kepada perkara yang melampaui batas, pembunuhan, kezaliman dan pencerobohan terhadap kedaulatan orang lain dengan cara yang salah. Sebarang penentangan dan perjuangan menentang pencerobohan adalah perjuangan sebenar dan ia amat mulia di sisi Islam.

Malangnya hari ini tafsiran keganasan telah disalahgunakan oleh musuh mengikut acuan mereka dan lebih malang lagi acuan itu diguna pakai oleh umat Islam sehingga
berlaku pertembungan antara mereka.

Rujukan perisikan dan sumber berita pihak musuh juga turut menjadi rujukan umat Islam dalam menentukan penghukuman terhadap sesama mereka. Maka, di sinilah letaknya kesilapan umat Islam sehingga mereka kehilangan integriti dan kewibawaan.

Pendakwah terkenal, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan, pengganas sebenar adalah orang yang sengaja membunuh manusia tanpa membezakan orang awam atau tentera, tanpa mengira mangsanya bersalah atau tidak bersalah, tidak melihat apakah ia pihak yang dizalimi atau pelaku kezaliman.

Ulama salaf yakin dengan memberikan kefahaman agama yang benar, penafsiran syariat jelas dan menyebarkan prinsip Salaf as-Soleh dengan sempurna, ia akan dapat meyakinkan semula umat berkenaan apa pun jenis keganasan adalah bertentangan konsep dan prinsip agama Islam kedamaian, keselamatan dan ketenteraman bagi seluruh alam.

Wajib bagi pendakwah berdakwah di jalan Allah SWT dengan cara yang terbaik, iaitu berdakwah dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Mereka mestilah bijak mencari medan yang sesuai untuk menyampaikan fahaman itu selain mendekati pemimpin menyampaikan hal yang wajib diketahui pemerintah. Zamanuddin Jusoh berita Harian Rencana Agama 8 Mac 2015

Malaysia tiada data lengkap khunsa

Malaysia belum memiliki statistik atau pangkalan data lengkap mengenai khunsa, manusia dua organ kelamin kerana kekurangan kesedaran dan perkembangan maklumat yang sahih mengenai punca, rawatan dan kesan kehidupan golongan ini.

Akibatnya, golongan ini atau ahli keluarga mereka tidak mendapat bantuan, nasihat dan rujukan pakar. Lebih teruk, jika sebahagian mereka mengambil jalan salah dengan menyertai pertubuhan tertentu berkiblatkan Barat dan bertentangan agama.

Laporan eksklusif BH

Pendedahan laporan eksklusif BH mengenai kelompok ini bertujuan menyedarkan masyarakat bahawa masih ada saluran yang betul dan rawatan tertentu bagi membantu khunsa mendapat hak mereka.

Daripada istilah Fiqah, khunsa adalah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin iaitu lelaki dan perempuan.

Ulama Fiqah membahagikan khunsa kepada dua (Mohd. Al-Bakri 2011): Pertama, khunsa wadhih; iaitu yang nyata memiliki tanda lelaki atau perempuan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan ketika bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin atau dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu dan keduanya, khunsa musykil; iaitu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-duanya dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh.

Mengikut pakar sakit puan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ani Amelia Zainuddin, dari segi perubatan, individu yang mempunyai kecacatan atau abnormal dari segi kromosom (genetik), gonad (iaitu testes atau ovari) atau secara anatomi (kemaluan atau organ pembiakan atau alat reproduktif dalaman) diberikan istilah yang baharu iaitu Disorders of Sex Development (DSD) menggantikan istilah dahulu seperti hermaphrodite atau intersex.

DSD ini pula diklasifikasikan kepada tiga kategori berdasarkan kromosom iaitu, 46, XY DSD, individu dalam kategori ini memiliki kromosom lelaki normal tetapi keabnormalan dari segi gonadnya atau alat reproduktifnya.

Sebagai contoh satu daripada sindrom dalam kategori ini adalah AIS atau Androgen Insensitivity Syndrome iaitu individu ini dilahirkan dengan kemaluan yang menyerupai alat kemaluan wanita, justeru mereka dibesarkan sebagai perempuan. Tetapi mereka mempunyai testis di dalam badan mereka dan tidak mempunyai organ reproduktif dalaman wanita.

Organ reproduktif tak sensitif

Mereka mempunyai kecacatan iaitu organ reproduktif mereka tidak sensitif atau tidak boleh distimulasi oleh hormon lelaki (androgen), oleh itu mereka tidak mempunyai kemaluan lelaki dan selalunya tidak melalui akil baligh seperti lelaki. Mereka juga tidak mengalami haid dan tidak boleh mengandung.

46, XX DSD, individu dalam kategori ini mempunyai kromosom wanita yang normal tetapi keabnormalan dari segi gonadnya atau alat reproduktifnya atau penghasilan hormon. Contohnya adalah CAH atau congenital adrenal hyperplasia. Kanak-kanak CAH yang mempunyai kromosom wanita normal 46,XX dilahirkan dalam keadaan khunsa yang mana kemaluan mereka ada kedua-dua alat perempuan dan lelaki (celaru).

Jika mereka tidak didiagnosa dengan tepat pada peringkat bayi dan menerima rawatan yang betul, mereka mungkin akan dibesarkan sebagai lelaki dan mempunyai perangai seperti lelaki dan mungkin melalui akil baligh sebagai lelaki. Tetapi mereka ini mempunyai alat reproduktif dalaman wanita.

Kecacatan kromosom

Kromosom Seks DSD, individu dalam kategori ini mempunyai kecacatan dari segi kromosom mereka. Contoh seperti Turner's Syndrome yang mempunyai kromosom 45, X (kurang satu kromosom wanita X), atau Klinefelter's syndrome yang mempunyai kromosom 47, XXY (terlebih satu kromosom wanita) dan mixed gonadal dysgnesisyang mempunyai kromosom 45,X atau 46, XY yang mana sebahagian daripada sel-sel badannya mempunyai kromosom 45, X dan sebahagian lain mempunyai kromosom 46, XY. Mereka ini akan mempunyai masalah kemandulan dan mungkin juga masalah kecelaruan identiti jantina.

Kajian akan dijalankan di PPUKM membabitkan pakar perubatan dan syariah untuk mengenal pasti sindrom perubatan untuk diklasifikasikan sebagai khunsa wadhih atau khunsa musykil dan permasalahan serta penyelesaian dari segi fiqah yang mereka mungkin hadapi jika individu ini beragama Islam.

Masalah ini terutama sekali jika ada kecelaruan identiti jantina akan membawa kepada masalah dari segi pengamalan ibadat, penutupan aurat, pewarisan harta dan perkahwinan.   Wan Noor Hayati Wan Alias  Berita Harian Rencana Agama 8 Mac 2015