March 19th, 2015

Jadikan amalan mandatori ~ Hibah dan Wasiat

BOLEH dikatakan ramai umat Islam di negara ini bukan hanya kurang pengetahuan tetapi masih keliru dan mengambil mudah tentang wasiat dan hibah, walaupun ia satu kewajipan dalam Islam.

Segelintir beranggapan wasiat adalah kata-kata atau pesanan seseorang mengenai hartanya sebelum meninggal dunia.

Bukan sekadar khusus kepada yang berharta, tetapi kewajipan kepada semua umat Islam
DUIT antara punca yang boleh menimbulkan perpecahan antara adik-beradik.- Gambar Hiasan

Ada juga yang beranggapan ini bermatlamat untuk menidakkan proses hukum faraid.

Hakikatnya, kepentingan wasiat disebut dalam surah al-Baqarah ayat 180 yang bermaksud: Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf. (Ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kecetekan pemahaman tentang wasiat dan kepentingannya itu menjadikan pengurusan harta pusaka sering kali tertangguh dalam tempoh yang agak lama.

Dikatakan 10 tahun adalah tempoh tertangguh yang paling minimum.

PEMILIK HARTA seharusnya memastikan harta miliknya tidak menjadi punca perpecahan di kalangan anak atau saudara maranya. Gambar Hiasan.

Lebih mengharukan, harta pusaka itu menjadi punca utama pertelingkahan dalam keluarga kerana masing-masing berusaha mempertahankan hak mereka.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat ditemui di rumahnya di Selangor, baru-baru ini, mengakui kewujudan suasana tersebut di Malaysia.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan antara faktornya adalah berwasiat bukanlah satu yang menjadi amalan mandatori di negara ini walaupun ia satu kewajipan dalam Islam.

Hal sedemikian sudah pasti membuatkan setiap umat Islam menjauhi dirinya daripada mempelajari dan memahami kepentingan berwasiat.

“Contohnya insurans, bukan satu kewajipan dalam Islam, tetapi menjadi mandatori dalam amalan di negara ini, seperti apabila kita membeli rumah atau kereta.

“Saya percaya jika berwasiat menjadi amalan mandatori di negara ini, ramai umat Islam berusaha mempelajari dan memahami mengapa mereka perlu berwasiat,” katanya.


Kursus diberikan oleh WasiyyahShoppe bagi memperkasakan ilmu pengetahuan ejen perunding mereka, khususnya berkaitan wasiat dan hibah.

Tanggungjawab dalam pemilik harta

Dalam usaha mengelakkan sebarang konflik dalam urusan harta pusaka sebenarnya perlu bermula daripada pemilik harta pusaka itu sendiri. Dia yang sepatutnya merancang dengan teliti ke manakah hala tuju hartanya apabila berlaku kematiannya.

Pemilik harta pusaka itu sepatutnya tidak membebankan waris dengan apa jua perkara, khususnya soal caj perkhidmatan pengurusan dan pengagihan harta selepas kematiannya.

“Kenapa hendak meletakkan beban pengurusan harta pusaka dan bayaran caj perkhidmatan kepada waris kita, sedangkan pemilik harta itu sepatutnya menanggung semuanya sebab itu adalah harta mereka.

“Sepatutnya tugas waris hanyalah menentukan soal pembahagian harta pusaka sahaja. Sama ada dijalankan secara muafakat atau mengikut sistem faraid,” kata Ketua Pegawai Eksekutif WasiyyahShoppe Sdn. Bhd., Azrin Sabirin.

Seandainya adik-beradik atau saudara mara bermuafakat supaya harta pusaka itu dibahagikan sama rata, maka ia tidak perlu mengikut sistem faraid.

“Sebenarnya, sistem faraid digunakan sebagai penyelesaian terakhir apabila tidak ada muafakat kerana Islam lebih mengutamakan muafakat,” katanya.

Katanya, jika pemilik harta berhasrat membahagikan harta kepada sesiapa yang diingininya, maka dia sepatutnya menggunakan instrumen hibah dan bukannya wasiat kerana wasiat boleh terbatal jika ada pihak mencabarnya di mahkamah.

“Kalau hendak membuat amal jariah dan melantik wasi (pentadbir harta), maka kena buat wasiat. Tetapi jika hendak memberi harta, maka gunakan hibah kerana ia menentukan hak kepada siapa yang dia hendak beri (hartanya).

“Tetapi, pemilik harta boleh membuat kedua-duanya secara serentak kerana ia berkait rapat antara satu sama lain,” kata Azrin.

Jelas Azrin, hibah bukan bermakna berlakunya pindah milik terhadap harta selagi pemiliknya masih hidup.

“Kepentingan hibah bukan hanya menyampaikan niatnya untuk memberi hartanya tetapi melindungi pemilik harta. Ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Dalam ilmu fikah, hibah boleh ditarik balik pada bila-bila masa yang pemilik harta itu rasa perlu,” katanya.

Berwasiat bukan penamat

SEMENTARA itu, Ketua Pegawai Eksekutif WasiyyahShoppe Sdn. Bhd. Azrin Sabirin yang ditemui di pejabatnya di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tidak menafikan wujudnya kekurangan tersebut.

“Semasa kami (bersama abang beliau) mula-mula menubuhkan syarikat pengurusan wasiat iaitu pada 2004, tidak ada syarikat, agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan wasiat secara 
agresif.

“Dari situ, kami nampak kekosongan tersebut dan bertitik-tolak dari situlah, kami melaksanakan kempen secara lebih agresif dan setelah 10 tahun dalam industri ini, boleh dikatakan 60 peratus umat Islam kian mengetahui perihal wasiat,” katanya.

Begitu pun, berwasiat bukan bererti proses pengagihan harta pusaka sudah selesai. Termeterainya wasiat oleh pemilik harta pusaka hanyalah langkah pertama dan bukannya penamat.

Kegagalan pemilik harta pusaka tersebut memahami susur galur proses itu sebaik sahaja kematiannya, akan membawa bebanan kepada warisnya sendiri.

Banyak kes pengurusan harta pusaka tertangguh bukan hanya kerana ada tuntutan daripada pihak lain tetapi juga bebanan kos pengurusan yang perlu ditanggung oleh waris.

“Apa yang diuar-uarkan adalah apabila membuat wasiat, proses pengagihan harta pusaka akan lebih cepat dan dalam satu keadaan, kenyataan itu betul.

“Tetapi satu lagi fakta yang ramai daripada kita tidak tahu ialah apabila kita melantik syarikat atau badan berkanun untuk mengurus harta kita, mereka akan mengenakan bayaran tertentu,” kata Azrin.

WasiyyahShoppe Sdn. Bhd. adalah syarikat perancangan dan pengurusan harta secara syariah yang utama di Malaysia dan sejak penubuhannya sehingga kini, ia mempunyai lebih 35,000 pelanggan di seluruh negara.

Syarikat milik penuh bumiputera itu mempunyai kepakaran dalam perancangan harta pusaka, penyediaan dokumen, proses tuntutan harta pusaka dan perwarisan perniagaan.

Jelas Azrin lagi, bayaran perkhidmatan itu bukan hanya dikenakan pada masa wasiat yang dimeterai tetapi akan turut dikenakan apabila pengurusan harta pusaka dilaksanakan sebaik sahaja kematian pemiliknya.

Pada kebiasaannya, bayaran itu antara tiga hingga empat peratus daripada nilai keseluruhan harta pusaka pada masa kematian pemiliknya.

“Saya akui waris boleh mengarahkan syarikat atau badan berkanun yang menguruskan harta pusaka itu memotongnya daripada harta itu, tetapi pastinya jumlah yang akan diterima oleh mereka akan jadi berkurangan.

“Mungkin pada waris yang bekerja tetap atau mempunyai kewangan sendiri yang kukuh, ia tidak menimbulkan permasalahan tetapi saya pasti ia sesuatu yang agak sukar bagi kalangan yang tidak bekerja tetap atau menghadapi masalah hutang,” katanya.

Azrin menegaskan, pihak pemilik harta dan juga waris perlu mengetahui secara keseluruhan proses pengurusan harta pusaka.

Katanya, tidak ada peruntukan akta atau undang-undang yang mewajibkan pihak waris menyelesaikan proses pengurusan dan pengagihan harta pusaka dalam tempoh tertentu.

“Sebab itulah, kami tidak hanya menumpukan kepada pemilik harta tetapi juga waris. Kita akan menjelaskan secara terperinci tentang prosesnya, caj dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Golongan berisiko

Namun apa yang menjadi kesungguhan SukaGuam untuk menguar-uarkan amalan berwasiat dalam kalangan umat Islam adalah hasil kajian yang dilakukan oleh Khairul Anwar Rahmat sendiri berkenaan berwasiat kalangan umat Islam tempatan pada tahun lalu.

Kajian itu menunjukkan terdapat lebih 500,000 keluarga di negara ini yang berisiko jika ketua keluarganya tidak berwasiat atau membuat hibah.

Keluarga terbabit adalah yang anak-anak mereka kesemuanya perempuan, suami yang berkahwin lebih daripada seorang dan mereka yang mempunyai anak angkat.

Khairul Anwar turut menegaskan bahawa samalah dengan mereka yang menyertai pekerjaan berisiko tinggi seperti anggota keselamatan dan penguatkuasa undang-undang.

“Sejajar dengan itulah, kami tampilkan program atau kempen Wasiatku yang berusaha menyedarkan umat Islam tentang kepentingan untuk berwasiat sebelum meninggal dunia.

“Kempen yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan mekanisme yang boleh menarik lebih ramai untuk berwasiat,” katanya.

Kempen Wasiatku itu bukan hanya bertujuan untuk memberi penerangan secara lebih jelas tentang kepentingan berwasiat tetapi turut menyediakan perkhidmatan wasiat pada caj yang berpatutan.

Melalui program itu, caj yang bakal dikenakan untuk berwasiat adalah sekitar RM250 hingga RM300 dan kandungan wasiat itu boleh diubah tanpa ada bayaran tambahan.

Kempen tersebut juga bertujuan menjadikannya amalan berwasiat sebagai satu yang mandatori dan untuk itu, pihak SukaGuam akan menggariskan beberapa cadangan mekanisme yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kita kena budayakan amalan berwasiat itu kerana berwasiat tidak semestinya kena ada harta atau dengan kata lain, ia khas untuk mereka yang kaya raya sahaja.

“Ia juga boleh menyentuh soal pesanan atau rahsia tertentu kepada isteri, anak dan saudara yang perlu mereka laksanakan selepas kematian seseorang itu,” kata Khairul Anwar.

Jika tiada wasiat?


  1. Proses pengagihan harta pusaka berlarutan sehingga bertahun-tahun.

  2. Nasib waris-waris tidak terbela, khususnya anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

  3. Suami/isteri tidak mendapat bahagian harta sepencarian.

  4. Hutang tertunggak.

  5. Proses perundangan yang menyulitkan waris-waris.

  6. Hubungan kekeluargaan dalam kalangan waris-waris terjejas.

  7. Manipulasi terhadap harta pusaka.

  8. Perniagaan tidak dapat diteruskan.

Siapa perlu buat wasiat?


  1. Anak.

  2. Suami/isteri.

  3. Individu yang tiada anak.

  4. Individu yang mempunyai anak di bawah 18 tahun.

  5. Individu yang mempunyai anak tiri/angkat.

  6. Individu yang hanya mempunyai anak perempuan.

  7. Ibu/bapa tunggal.

  8. Pemilik saham syarikat.

Berpisah tapi hati masih sayang

FARHAN bingung. Semakin dia memikirkan permintaan bekas isterinya, semakin gundah-gulana dibuatnya. Simpati memikirkan nasib bekas isteri, ada kalanya perasaan Farhan mula tergugat. Bukan dia tidak sayang lagi kepada Najihah. Tapi segala-galanya sudah berlaku. Dan yang pasti apa yang dilafazkannya tidak mampu untuk ditarik balik. Farhan tahu, dia juga tersilap langkah apabila terburu-buru membuat keputusan.

Apa tidaknya, malam itu apabila Najihah memaksanya untuk menceraikannya, keegoannya sebagai suami mula tercabar. Dia menjadi semakin rimas apabila Najihah terus-menerus membuat provokasi kepadanya. Dia tahu, Najihah sebenarnya ingin melihat sejauh mana Farhan sanggup melakukan dan menyahut permintaannya.

Bukan sekali, bahkan banyak kali. Namun sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya, Farhan seboleh mungkin mahu mempertahankan rumah tangga yang dibinanya. Dia tidak mahu, hanya kerana hal yang kecil, dia dan Najihah berpisah. Sekali gus anak-anak akan kehilangan kasih sayang mereka.

Namun sikap Najihah tidak pernah berubah. Cemburunya yang keterlaluan membuatkan Farhan rimas. Biarpun beribu kali Farhan memberikan penjelasan, namun Najihah tetap menolak. Dia terus mencabar ego Farhan.

Apabila keputusan telah dibuat, 
bererti pasangan bersedia hadapi risikonya

Setelah bercerai, tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tidak pernah terputus. - GAMBAR HIASAN

Sehinggalah pada malam itu, Farhan terus diasak dan dicabar untuk menceraikan Najihah. Bukan dengan talak satu bahkan tiga! Dengan egonya Najihah mengatakan, dia takkan mati kelaparan dan terhegeh-hegeh meraih cinta dan kasih Farhan selepas diceraikan.

Katanya lagi, dia mampu hidup sendiri tanpa adanya Farhan. Sesuatu yang terus mencabar Farhan apabila Najihah mula memperkecilkan dirinya sebagai seorang suami apabila mengatakan: “Sekali aku petik jari, aku akan dapat yang lebih baik daripada awak!”

Ternyata kesabaran Farhan ada hadnya. Dia mula tercabar dengan kata-kata Najihah. Sekali gus mulutnya terus melafazkan talak tiga kepada Najihah. Najihah terdiam dan terkedu seketika. Sama sekali dia tidak menyangka, Farhan akan melakukannya!

Farhan juga bingung seketika dan tidak menyangka dia telah melafazkannya. Namun segala-galanya sudah berakhir. Malam itu Farhan mengemas pakaiannya dan keluar dari rumah tersebut.

Dua tahun berlalu, Farhan bertemu pengganti Najihah dan berkahwin lain. Namun sepanjang perceraian itu Farhan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak-anak. Tetapi sesuatu yang memburu resah di hatinya apabila Najihah sering menelefonnya dan mencari pelbagai alasan agar dapat berjumpa dengan Farhan. Dan apabila Najihah menyatakan hasrat untuk kembali bersatu, Farhan mula serba salah. Bukan dia tidak sayangkan Najihah tapi hatinya kini sudah dimiliki orang lain! Mana mungkin dia menghancurkan hati dan perasaan isteri baharunya sebagaimana Najihah pernah melakukan perkara tersebut ke atasnya!

PERTEMUAN dan perpisahan adalah rencah kehidupan. Apatah lagi dalam kehidupan suami isteri ada pasang surutnya. Berpisah hidup merupakan pengalaman yang amat memilukan berbanding berpisah jasad dek kerana ajal dan maut. Berpisah kerana salah seorang dijemput Ilahi lebih mudah diterima berbeza berpisah kerana tiada jodoh dalam perkahwinan.

Namun bukanlah semua perpisahan itu menjadi pilihan utama pasangan kerana ada ketikanya perpisahan berlaku atas beberapa sebab dan faktor. Antaranya ketidakserasian hubungan, campur tangan keluarga dan orang ketiga, kegagalan menjalankan tanggungjawab dan banyak lagi.

Kisah berpisah tapi hati masih terasa sayang juga adalah cabaran dalam perkahwinan.

Fenomena bercerai dan berhasrat mahu kembali semula sebagai suami isteri ada baik dan buruknya. Jika dipandang daripada sudut yang positif, selepas berpisah suami atau isteri akan mulai terasa kehilangan kerana antara keduanya banyak kenangan yang dilalui sama ada manis ataupun pahit.

Bahkan pengalaman itu akan membuatkan pasangan mulai menilai kelebihan pasangan masing-masing berbanding memikirkan soal kekurangannya.

Antaranya sikap pasangan yang ringan tulang, penyayang walaupun kedekut, tidak suka dengan aktiviti yang terlalu bersosial, bukan kaki perempuan dan sebagainya. Sikap yang baik ini akan menjadi igauan pasangan apabila sudah berpisah.

Demikian juga sebagai bekas suami pasti ada kelebihan bekas isteri yang membezakan dia dengan mana-mana wanita yang dikenali. Sikap isteri yang manja, tidak pandai melawan kata atau pandai berjimat akan membuatkan suami teringat semula kenangan tersebut.

Satu perkara lagi ialah perasaan sayang yang pernah singgah di dalam hati masing-masing. Tambahan pula dengan kehadiran anak-anak yang menjadi penghubung silaturahim membuatkan suami isteri yang berpisah menjadi serba salah.

Dan yang pasti, walau atas sebab apa pun perpisahan itu berlaku, anak-anak tidak sepatutnya menjadi mangsa keadaan.

Sebagai ibu bapa peranan dan tanggungjawab perlu diteruskan seperti biasa namun keadaannya sedikit berubah. Jika dahulu hidup dalam sebuah rumah yang sama, namun keputusan untuk berpisah membuatkan mereka terpaksa berhadapan dengan keadaan yang memerlukan mereka memahami situasi waktu itu.

Tambahan pula suami telah pun berumah tangga semula dengan isteri baharu. Anak-anak merasa kekok untuk bermesra dengan ibu baharunya. Bahkan layanan ayah terhadap anak-anak mungkin akan berkurangan akibat perhatian yang harus diberikan kepada isteri baharu atau anak-anak baharu jika berkahwin dengan janda.

Sebagai isteri yang telah berpisah dengan suami dan masih meletakkan harapan untuk berbaik semula dengan bekas suami mungkin akan menimbulkan banyak konflik perhubungan, terutamanya perhubungan dengan isteri baharu bekas suami dan keluarganya.

Inilah konflik yang akan dihadapi oleh suami agar tidak menimbulkan suasana tidak selesa isteri dan keluarga baharunya.

Justeru, sebagai ibu kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan bersama bekas suaminya, harus memainkan peranan yang betul agar kehadiran dalam kehidupan baharu suami tidak mengeruhkan keadaan.

Apa yang penting ibu bapa dapat menyeimbangkan antara keperluan peribadi dengan tanggungjawab kepada keluarga terutama anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa mereka.

Tip kaunselor


  1. Perpisahan amat memedihkan bagi orang yang melaluinya. Pelbagai perasaan dan fikiran akan dialami seperti bingung, keliru, sedih, serba salah dan tidak kurang juga mereka yang menyesali keputusan yang telah diambil. Namun setiap yang berlaku bukan sahaja kemahuan manusia tetapi berada dalam perancangan Allah yang Maha Mengetahui hikmah di sebalik apa yang ditakdirkan. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Insyirah yang bermaksud: Sesungguhnya di sebalik kesukaran itu ada kemudahan. Dan sesungguhnya di sebalik kesukaran itu pasti ada kemudahan.

  2. Apabila keputusan berpisah dibuat bererti suami isteri telah bersedia dengan sebarang risiko sama ada yang dapat dirancang atau di luar perancangan mereka. Ada kalanya suami isteri telah memikirkan perkara tersebut, namun banyak yang terpaksa menanggung risiko akibat tidak berbincang terlebih awal apa yang akan dihadapi selepas keputusan itu dilakukan.

  3. Setelah keputusan dibuat untuk bercerai, pasangan seharusnya lebih bersedia daripada segi mental dan emosi. Ini penting supaya perceraian tidak menjadikan seseorang itu kelam-kabut sehingga hilang arah diri. Sekali gus menimbulkan dan menambahkan lagi beban permasalahan yang sedia ada. Sebaliknya, tenangkan diri, minta bantuan bimbingan dan nasihat daripada pakar atau orang yang dipercayai agar tindakan tidak tersasar daripada landasan yang betul. Dan yang paling penting, dapatkan maklumat yang tepat dalam hal-hal berkaitan proses perundangan.

  4. Hubungan suami isteri yang telah bercerai akan ditentukan oleh pihak mahkamah terutama dalam menentukan pengesahan lafaz yang diucapkan. Sekali gus masing-masing akan mendapatkan hak yang sewajarnya sebalik berlakunya perpisahan.

  5. Suami dan isteri yang bercerai seharusnya bertindak dengan rasional kerana hubungan keduanya bergantung dengan jumlah talak yang dilafazkan oleh suami serta keadaan isteri ketika diceraikan. Namun kedua-duanya boleh mengambil keputusan yang terbaik untuk meneruskan perhubungan silaturahim sebagai saudara seagama. Ini kerana walaupun telah bercerai, suami sebagai bapa dan isteri sebagai ibu akan terus berurusan untuk keperluan kehidupan anak-anak.

  6. Semasa berhubung dan berkomunikasi untuk menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan hak dan tanggungjawab terhadap anak-anak, pasangan yang bercerai perlu menjaga adab-adab pergaulan agar tidak melakukan perkara yang dilarang oleh syarak. Status hubungan mereka sebagai pasangan yang sah sebagai suami isteri hanya berlaku jika adanya lafaz rujuk. Tapi awas! bagi yang telah bercerai talak tiga, tiada apa yang boleh dilakukan melainkan bekas isteri perlu berkahwin dengan orang lain terlebih dahulu. Seterusnya membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan kedua tersebut atau kembali kepada bekas suami.

  7. Dalam kancah kehidupan selepas bercerai, tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bapa tidak pernah terputus. Anak-anak perlu diberikan hak sewajarnya terutamanya daripada sudut kasih sayang dan nafkah agar kehidupan anak-anak berjalan secara teratur tanpa sebarang masalah.

  8. Untuk suami yang telah berkahwin lain selepas perceraian, seharusnya berlaku jujur kepada si isteri terutama dalam hal-hal yang melibatkan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anaknya dalam perkahwinannya terdahulu. Andai perlu untuk bersemuka dengan bekas isteri, maklumkan kepada isteri baharunya agar tidak menimbulkan konflik . Bekas isteri pula perlu menghormati hak isteri baharu dan tidak mengganggu-gugat perhubungan tersebut.

Isu perkahwinan kanak-kanak

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1.Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.

2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:

i) Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan satu isu baru di Malaysia dan ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini. Perkahwinan Baginda Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah ra tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak. Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah ra tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur.

ii) Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak di negara ini, tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan.

iii) Kajian mendapati statistik permohonan dan perkahwinan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat dan kesan akibat daripada perkahwinan ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit.

iv) Kebanyakan perkahwinan kanak-kanak ini berlaku akibat didorong oleh rasa cinta kepada pasangan yang tidak mampu dikawal sehingga mendorong berlakunya penzinaan serta kehamilan luar nikah.

v) Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar.

vi) Keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi menegaskan wujudnya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.

3.Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah menegaskan bahawa para ulama bersetuju bahawa secara syar’i, perkahwinan kanak-kanak bukan merupakan perkara yang wajib atau sunat. Tiada hadis yang menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak itu dianjurkan. Perkahwinan pada zaman Rasulullah SAW yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga kemaslahatan kanak-kanak. Ia termasuk dalam perkara harus tetapi hukumnya tertakluk kepada ketentuan Maqasid Syariah dan Qaedah Fiqhiyyah iaitu “Menjauhi Kerosakan” (Dar’ al-Mafasid) serta “Mengambil Maslahat” (Jalb al-Masalih).

4.Sehubungan itu, berasaskan nas-nas syarak dan Qaedah-Qaedah Fiqhiyyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syar’ie.

5.Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pihak-pihak berkuasa berkaitan memperketatkan syarat-syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan pelaksanaannya dijalankan mengikut prosedur.

*Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Utusan Malaysia Rencana Agama 19 Mac 2015

Buruk sangka boleh merosak jiwa

SAYA tersenyum membaca kisah sebuah keluarga yang membatalkan perkahwinan anak perempuan mereka kerana bakal menantu mereka gagal menjawab soalan mudah.

Apabila ditanya 15 + 6 jadi berapa, dia menjawab 17. Pengantin perempuan menangis, bukan kerana bakal suaminya itu tidak cerdik, tetapi kerana selama ini keluarga lelaki itu terlalu merahsiakan tahap pendidikan anak mereka.

Kalau belum kahwin pun sudah banyak kelentong, bayangkan apabila kahwin entah banyak mana lagi temberangnya.

Sebenarnya hidup menjadi sejahtera jika wujud sangka baik dan pemikiran positif, namun kes seperti di atas boleh dianggap terpencil.

Menyebut pasal fikiran positif, teringat kepada temu bual saya dengan Dr Hamka, di Kuala Terengganu, pada 1980.

Dalam satu wawancara, saya bertanya kepada penulis, pendakwah dan ulama besar Indonesia itu apa perasaannya apabila dihukum penjara dua tahun empat bulan pada 1964 kerana dituduh pro-Malaysia.

Beliau boleh menyalahkan pendakwanya, tetapi Hamka memilih untuk melihat dari sudut positif apabila beliau menjawab: “Syukur (kerana masuk penjara), saya boleh siapkan tafsir al-Quran (iaitu Tafsir al-Azhar, karya ilmiah terbesar Hamka).”

Ketika berceramah dalam Masjid Putih di bandar Kuala Terengganu, seorang pemuda bertanya beliau mengenai kegiatan mungkar di negara itu.

Kata pemuda itu, Hamka merupakan ulama besar di Indonesia, tetapi maksiat berleluasa di sana. Jadi, apa Bapak Hamka buat?

Soalan pemuda itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan para hadirin. Beberapa orang menegurnya.

Saya berada di situ dan terfikir, sebagai ulama, pendakwah, pemidato dan penulis terkenal di seluruh dunia, mudah bagi Hamka mematahkan hujah itu.

Tetapi Hamka memilih untuk berkata: “Alhamdulillah, hari ini saya belajar perkara baru daripada tuan”. Senyap sunyi suasana masjid dengan jawapannya itu.

Kita juga biasa mendengar kisah bagaimana Nabi Muhammad SAW luka dibaling batu apabila Baginda berdakwah di Taif.

Tetapi apabila Baginda ditawarkan Jibrail untuk memusnahkan mereka yang mencedera dan menghinanya, Baginda menolak.

Sebaliknya, beliau berdoa, antaranya: “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Demikianlah sebahagian daripada teladan berkaitan sangka baik dan berfikir positif yang boleh kita jadikan pengajaran dalam hidup.

Beberapa jiran saya bukan Islam. Rumah mereka tidak lebih 150 meter dari surau.

Mereka mendengar laungan azan lima kali sehari dari seawal 6 pagi melalui pembesar suara, sejak lebih 20 tahun lalu.

Yang menarik, bukan sahaja mereka tidak pernah buat bantahan, malah melihat perkara itu dari sudut positif.

Mereka memberitahu mereka menganggap azan, terutama Subuh, sebagai jam penggera untuk membantu mereka bangun dan bersiap ke pejabat.

Ada beberapa rakan lagi yang melihat masalah mendapatkan tempat parkir dengan  pandangan yang positif juga.

Mereka tidak melihat parkir di kawasan yang jauh dari destinasi sebagai masalah, tetapi menganggap berjalan 300 meter antara tempat parkir dan destinasi sebagai senaman.

Sebenarnya, hidup kita lebih tenang dan gembira jika kita sentiasa melihat masalah dari sudut positif. Kita terima sebagai ujian dan cabaran, bukan sebagai perkara yang memberikan tekanan. Jika tidak, hidup kita boleh jadi tertekan dan letih.

Seorang rakan yang sakit yang saya ziarah di rumahnya tidak lama dahulu mengakui kesan buruk daripada berfikiran negatif dan buruk sangka. Benarlah kata orang, jangan buruk sangka kerana buruk sangka boleh merosakkan jiwa!

Rakan saya itu percaya dia sakit kerana tertekan akibat banyak menghabiskan masa melayan fikiran tentang masalah, buruk sangka, marah dan menaruh dendam dengan ramai orang di sekelilingnya.

Setelah sembuh, dia memberitahu, dia sudah berazam untuk mula melihat keadaan sekeliling dengan pandangan positif, tanpa ada perasaan buruk sangka lagi. Syukur, dia nampak lebih sihat, tenang dan ceria.

Untuk renungan: "Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain  - Al-Hujuraat:12. Farush Khan Sinar Harian Kolumnis 18 Mac 2015

Hudud bukan untuk menghukum

HARI ini merupakan hari bersejarah buat seluruh negara dan negeri Kelantan secara khususnya. Ini kerana hari ini Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) atau lebih mudah difahami iaitu  Rang Undang-Undang berkaitan Hukuman Hudud akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Saya percaya Rang Undang-Undang berkaitan Hudud ini (selepas ini akan disebut RUU Hudud dalam artikel ini) tentu sekali akan disokong penuh oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri tidak kira daripada Pas mahupun Umno.

Ini kerana sebagai orang Islam kita wajib beriktikad dari segi akidah bahawa hukum hudud merupakan hukum ALLAH yang disyariatkan. Namun ini tidak bererti RUU Hudud ini sunyi daripada kelemahan.

Malah semenjak pertama kali dibentang dan diluluskan pada tahun 1993, banyak sekali kelemahan RUU Hudud tersebut yang dikritik oleh para cendekiawan, ulama, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Walau bagaimanapun, kritikan-kritikan yang dilontarkan tidaklah bermakna mereka ini menolak hukum hudud sebagai hukum ALLAH. Ini kerana terlalu banyak kelemahan dalam RUU Hudud 1993 yang jika dilaksanakan tentu sekali akan menyerlahkan kelemahan dan ketidakadilan Islam.

Sedangkan hukum hudud jika difahami falsafah dan matlamatnya tidaklah bertujuan menghukum semata-mata. Ia merupakan satu bentuk undang-undang pencegahan hingga mencetuskan kegerunan dalam diri setiap penjenayah yang ingin melakukan kesalahan-kesalahan khusus yang terkandung dalam hudud terutamanya zina, menuduh zina (qazaf), mencuri, merompak, minum arak, murtad dan bughah.

Malah jika diperhalusi dan dihayati mengenai hukuman hudud ini seolah-olah ALLAH tidak menginginkan hukuman itu dilaksanakan lantaran prosedur dan kaedah penjatuhan hukum yang teramat ketat.

Sebagai contoh, jenayah zina hanya boleh dihukum jika empat orang saksi yang adil dan tidak fasik (orang melakukan maksiat dan dosa) benar-benar menyaksikan perbuatan zina sehinggakan disebut dalam kitab-kitab fekah perumpamaannya seperti perbuatan pedang dimasukkan ke dalam sarungnya.

Jika difikirkan secara logik akal, adalah amat mustahil untuk kita mendapatkan empat saksi yang tidak berkecenderungan buat dosa dan maksiat dapat menyaksikan perbuatan zina sebagaimana syarat ketat yang digariskan.

Sebab itulah terlalu banyak kelemahan yang dibangkitkan terhadap RUU Hudud 1993 hingga mengundang pelbagai fitnah dan persepsi hingga mencalarkan imej hudud sebagai hukuman yang indah lagi adil.

Mujurlah akhirnya kerajaan Pas akur jua dengan kelemahan-kelemahan ini hingga melakukan banyak pindaan dan penambahbaikan terhadap RUU Hudud yang akan dibentangkan hari ini.

Antara yang akan dibentangkan hari ini, turut memasukkan 20 syarat tambahan yang perlu dipatuhi sebelum hukuman mencuri boleh dijatuhkan. Begitu juga dalam konteks tempoh masa proses memujuk dan memberi masa lama untuk mereka yang murtad bertaubat dan kembali semula kepada Islam berbanding 3 hari yang digariskan dalam RUU sebelum ini. Dalam RUU ini juga dimasukkan dengan lebih jelas peruntukan mengenai liwat dan kes-kes yang bersangkutan dengan rogol.

Banyak lagi jika hendak disebutkan secara satu persatu dalam kolum penulis yang terbatas ini. Cuma beberapa persoalan turut bermain di pemikiran penulis. Mengapakah kerajaan Pas Kelantan tampak begitu tergesa-gesa untuk membentangkan RUU Hudud dalam sidang Dewan pada kali ini.

Sedangkan secara tertibnya penulis pasti kerajaan Pas amat arif bahawa lebih molek jika dibawa ke Parlimen terlebih dahulu untuk dipinda beberapa perkara termasuk Perkara 76A yang memperuntukkan kuasa Parlimen bagi memperluas kuasa perundangan negeri.

Kuasa perundangan negeri khususnya kuasa mahkamah syariah negeri-negeri ketika ini hanya terhad kepada hukuman jenayah syariah seperti zina, qazaf, minum arak dan murtad yang tidak boleh melebihi denda RM5,000 atau penjara 3 tahun atau 6 kali sebatan.

Justeru jika hudud ingin dilaksanakan secara sempurna sudah tentulah pindaan perlu dibuat bagi meluaskan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman kepada satu tahap yang ditetapkan oleh syarak seperti 80 atau 100 kali sebatan.

Begitu juga lebih manis dan tertib jika dibawa terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Harapan penulis agar hudud ini tidak lagi menjadi bahan komoditi perpolitikan yang hanya akan merosakkan imej Islam. Moga-moga rakan-rakan Pas dalam Pakatan terutamanya DAP dan PKR akan turut merestui niat baik Pas untuk melaksanakan amanah agama. Dr Asyraf Wajdi Dusuki Sinar Harian Kolumnis 18 Mac 2015