March 25th, 2015

Dangkal ilmu punca prejudis hukum syariah

Sebelum soal undang-undang syariah menjadi hangat kembali dengan perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, saya sudah beberapa kali mengulas mengenainya dalam ruangan ini. Antara isu yang pernah dibangkitkan ialah kedudukan dan pemakaian undang-undang syariah dalam konteks perundangan negara dan persoalan pelaksanaan yang merangkumi kemudahan infrastuktur untuk pelaksanaannya serta sumber manusia berkaitan pelaksanaan.

Apabila rang undang-undang syariah berkaitan jenayah dibentangkan di DUN Kelantan, semua perkara yang saya utarakan dalam penulisan berkenaan menjadi isu yang menarik perhatian.

Walau apapun yang diperkatakan mengenai undang-undang jenayah syariah, ia adalah satu set undang-undang yang sudah sekian lama mendapat tempat dalam sistem perundangan negara. Falsafah perundangan negara juga tidak menolak falsafah jenayah syariah terutama mengenai peranan agama dalam undang-undang. Dari segi falsafah atau jurisprudence undang-undang jenayah, perbahasan mengenai kedudukan agama tidak akan berhenti selagi manusia mempunyai kepercayaan kepada agama.

Dalam konteks agama Islam, undang-undang syariah dalam bentuk apa sekalipun, sama ada undang-undang jenayah atau persendirian dan kekeluargaan, sangat berkait rapat dengan konsep serta kepercayaan agama. Setiap orang yang percaya dan beriman kepada Islam tidak akan sesekali menolak undang-undang syariah.

Beza pendapat soal pelaksanaan

Namun, daripada pemerhatian saya, mereka berbeza pendapat hanya dalam soal pelaksanaannya. Oleh itu, amat tidak adil untuk orang Islam menuduh sesama sendiri mengenai 'iman' mana-mana pihak apabila membahaskan undang-undang syariah. Tutuplah tirai pertikaian dan perbahasan yang beremosikan politik dalam hal berkaitan undang-undang syariah, baik berkenaan jenayah atau kekeluargaan.

Berkenaan falsafah atau tujuan undang-undang, mungkin ada baiknya untuk khalayak, masyarakat Islam dan bukan Islam cuba mempelajari dan memahami kedua-dua falsafah sistem perundangan Malaysia kerana kedua-dua sistem perundangan itu adalah sistem yang diterima dalam kerangka perundangan negara. Walaupun sebenarnya undang-undang Islam hanya terpakai ke atas orang Islam, secara tidak langsung, ia juga menuntut kefahaman bukan Islam atas dasar tanggungjawab moral mereka menghormati undang-undang yang sah serta disokong sistem undang-undang negara.

Bagi orang Islam, undang-undang syariah perlu dipelajari dan difahami dengan baik. Mereka hendaklah menuntut ilmu berkaitannya kerana kedangkalan ilmu dalam hal syariah menyebabkan kekeliruan yang semakin dekat kepada kecelaruan fahaman akan seterusnya menyebabkan silap faham kepada undang-undang berkenaan. Silap faham ini selanjutnya memberikan gambaran tidak baik kepada undang-undang berkenaan dan seterusnya mendatangkan fitnah kepada Islam secara keseluruhannya.

Dari sudut pelaksanaan pula, undang-undang syariah hendaklah menepati bukan sahaja hukum syarak dan persoalan fiqh yang boleh disesuaikan dengan hakikat serta realiti perundangan negara dan situasi masyarakat. Walaupun sesetengah kesalahan dan hukuman jelas tertera dalam sumber hukum Islam, dari segi pelaksanaannya ia perlu disesuaikan dengan sifat syariah yang sejagat, sepanjang zaman dan realistik atau dalam istilahnya waqi'iyyah.

Hormati sistem diamal negara

Pelaksanaannya juga perlu menepati sistem perundangan negara. Jika tidak, undang-undang syariah dilihat sebagai menceroboh atau tidak menghormati sistem perundangan negara. Sebagai agama dan cara hidup yang teratur sifatnya, maka pelaksanaan hukum hakamnya juga hendaklah dilihat sebagai teratur dan menghormati sistem negara.

Sebagai contoh, dari sudut perundangan negara, terutama Perlembagaan Persekutuan, pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri amat jelas. Undang-undang syariah hanya terpakai ke atas orang Islam dan perlu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan akta yang diluluskan Parlimen bagi tujuan pelaksanaannya. Ini adalah soal pembahagian kuasa dalam sistem perundangan negara yang perlu ditaati untuk menunjukkan undang-undang syariah tidak sesekali menentang sistem perundangan negara.

Kecantikan Islam sebagai al-din atau agama dan syariah sebagai cara untuk mencapai tujuan al-din itu hendaklah juga memenuhi sifat agama Islam itu sendiri. Ini amat penting untuk dirasai dan hayati semua pihak, terutama umat Islam. Sekiranya tidak, sudah pasti, fitnah ke atas agama Islam akan berlaku. Dr Shamrahayu Abd Aziz Berita Harian Rencana Agama 25 Mac 2015

Bendung keganasan rumah tangga

SAYA percaya kita semua membaca kisah seorang isteri cuba menyelamatkan diri daripada bekas suaminya sehingga cedera parah. Wanita malang itu baru sahaja bercerai kali ketiga dengan bekas suaminya itu. Beliau dilaporkan telah terjun daripada kereta bekas suaminya selepas dipaksa naik.

Menurut kisahnya, sepanjang tempoh perkahwinan, wanita itu telah didera hebat malah selepas perceraian pun, bekas suami itu sudah beberapa kali datang ke rumah, menderanya dan cuba membunuhnya.

Peristiwa ini bukan yang kita tonton dalam drama televisyen tetapi adalah satu realiti kehidupan. Secara munasabahnya kita akan terfikir betapa nekadnya wanita ini mengambil keputusan yang sudah pasti membahayakan diri.

Tanpa penguatkuasaan, undang-undang tiada bermakna

Suami isteri

Insiden tragis ini membuat kita terfikir kenapa seorang manusia sanggup melakukan kekejaman kepada manusia lain sedemikian rupa. Dalam perkahwinan suami isteri berjanji melalui akad nikah untuk mengambil tanggungjawab bersama.

Suami isteri mempunyai tanggungjawab yang jelas dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ikatan tanggungjawab ini diperkukuh dengan kasih sayang kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: ..dan jadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang... (al-Rum:21)

Persoalan yang sering kita tanya ialah ke manakah perginya kasih sayang dan cinta itu? Mungkinkah pasangan yang dahulunya tidak boleh bernafas atau tidak kenyang jika tidak melihat wajah orang yang dicintainya atau tidak lena tidurnya kerana tidak mendengar suara, namun apabila sudah berkahwin, tiba-tiba menjadi benci.

Apa yang menyedihkan, apabila salah seorang pasangan yang saling cinta mencintai semasa berkahwin itu menjadi ganas dan ada yang sanggup memukul pasangannya yang satu lagi.

Di Malaysia isteri yang menjadi mangsa keganasan suami dilindungi melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Ini menunjukkan bahawa ia bukan fenomena baharu di negara ini. Akta ini diluluskan pada masa kes-kes keganasan rumah tangga sedang memuncak dengan harapan ia dapat dikekang.

Namun sehingga hari ini, kes-kes keganasan rumah tangga semakin meningkat dan membimbangkan. Bagi saya peningkatan bukan bermakna ia sesuatu yang tidak baik. Meningkat boleh bermakna:

Ramai mangsa telah berani tampil ke hadapan membuat laporan mengenai keganasan suami di mana suatu masa dahulu ramai mangsa menderita dalam senyap.

Akta yang diluluskan pada 1994 tidak berkesan dan perlu ditambah baik.

Kegagalan pihak berkuasa seperti polis dan orang ramai dalam menentang keganasan terhadap isteri dan melihatnya sebagai asam garam kehidupan.

Jika diamati Akta ini telah memberi takrifan yang luas kepada perkataan keganasan dalam seksyen 2 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (termasuk pindaan 2012) sebagai satu perbuatan atau lebih yang berikut:

Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan fizikal.

Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.

Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan.

Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu.

Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.

Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa.

Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain tanpa kerelaan mangsa atau jika kerelaan diberikan, kerelaan itu diperoleh dengan cara yang menyalahi undang-undang; atau

Dalam hal jika mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain.

Akta ini mesti dibaca bersama dengan Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana undang-undang bertulis yang melibatkan kesalahan yang berhubungan dengan keganasan rumah tangga. Ini bermakna keganasan rumah tangga tidak dijadikan sebagai satu kesalahan dan Kanun Keseksaan tidak ada peruntukan spesifik tentang kesalahan keganasan rumah tangga.

Perlakuan tersebut mestilah berada dalam kategori “keganasan rumah tangga” yang diperuntukkan di bawah seksyen 2 dan terdapatnya peruntukan yang berkenaan dengan kesalahan tersebut dalam Kanun Keseksaan.

Akta Keganasan Rumah Tangga adalah sebuah akta yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Dengan demikian, ia termasuk dalam kategori yang boleh dibawa ke Mahkamah Sesyen atau Tinggi walaupun ia melibatkan pasangan beragama Islam yang berkahwin di bawah Undang-undang Islam.

Keganasan bukan sahaja dalam hal kecederaan fizikal tetapi emosi, mental dan seksual. Ramai yang merasakan Akta ini satu undang-undang yang sangat baik, namun bagi mangsa walau macam mana baik pun suatu perundangan, jika pelaku atau suami yang ganas tidak merasa gentar dengan undang-undang tersebut kerana penguatkuasaan yang tidak mencukupi atau berkesan, maka undang-undang akan hanya tinggal undang-undang.

SETIAP hari kita membaca kes keganasan suami terhadap isterinya dan setiap hari kita tertanya-tanya, “Adakah suami ini tidak takut dengan undang-undang yang sedia ada?” atau “Kenapa polis tidak mengambil tindakan segera terhadap pelaku?”.


Islam mensyaratkan lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. - GAMBAR HIASAN

Sebenarnya keganasan rumah tangga bukan semudah yang sering diperkatakan. Oleh kerana pelaku dan mangsa adalah orang yang berkahwin dan biasanya berkahwin atas dasar cinta, maka apabila ia berlaku, ramai yang beranggapan ia suatu yang tidak disengajakan atau kemalangan.

Sebagai suami isteri, pada kebiasaannya mereka hidup dengan kasih sayang dan pukul memukul itu adalah sesuatu yang tidak patut berlaku dan jika berlaku ia tidak disengajakan. Ada suami yang memberi alasan, isterinya suka menjawab atau bertikam lidah dengannya sehingga dia hilang kesabaran dan “tertampar” isterinya itu.

Masalahnya daripada “tertampar” kepada “tertumbuk” dan akhirnya ada yang “tertikam dan terbunuh”. Adakah sebagai seorang isteri, alasan suami seperti itu menunjukkan suami masih sayangkan isteri dan rumah tangga dan isteri perlu bersabar serta berdoa dan bertawakal sahaja? Hanya kerana selepas segala “ter”, si suami akan menyesal dan memohon maaf. Di pihak isteri pula, diharap boleh dan mesti memaafkan dan melupakan demi masa depan rumah tangga mereka.

Isteri akan memikirkan rasa malu diceraikan suami kerana dia membuat aduan keganasan suami atau isteri perlu menjaga keburukan suami kerana merasakan ia adalah rahsia rumah tangga atau mengutamakan kebajikan anak-anak, berbanding dirinya sendiri.

Suatu dosa

Dalam Islam, suami yang mendera isterinya secara sengaja atau tidak tetap melakukan suatu dosa kerana tugas utama suami ialah melindungi isterinya dan bukan menyakiti kaum yang lemah ini. Malah, dalam taklik yang dibaca suami sebaik selepas akad nikah “…dan jika saya lazim menyakiti….” Jelas menunjukkan bahawa perbuatan mencederakan isteri atau keganasan ini bukan perkara yang dihalalkan oleh Islam.

Memukul isteri untuk mendidiknya sama dengan merotan anak untuk mendidiknya. Hari ini rata-rata orang Islam enggan menerima hakikat bahawa merotan anak sehingga mencederakan adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam, sama seperti memukul atau mencederakan isteri secara sengaja untuk ‘mendidik’ atau ‘mengajar’.

Ingatlah, suami dan bapa, anda mempunyai tanggungjawab besar kepada Islam iaitu membentuk ummah yang kuat dan beriman. Kekuatan ummah dan keimanan itu tidak dapat lahir daripada rasa terancam, takut dan benci.

Erti kaya seorang Muslim

HARTA dan kekayaan tidak dapat dinafikan bahawa ia kesukaan manusia sejak zaman berzaman. Dengan harta, banyak manfaat yang boleh diperoleh baik dalam urusan keduniaan mahupun keagamaan. Begitu pun, kerosakan dan keburukan daripada harta juga besar jika tidak digunakan dan dikawal dengan baik.



Zakat dan sedekah mestilah seiring dengan keghairahan kita mencari dan mengumpul harta . - GAMBAR HIASAN

Islam agama yang cukup sempurna hingga syariat yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW mengupas lengkap tentang harta dan bagaimana berinteraksi dengannya.

Agama Islam tidak pernah melarang hambanya daripada mencari hingga mengumpulkan kekayaan, tetapi Islam memerintahkan agar kekayaan tersebut digunakan dengan sebaiknya dan diagihkan sebahagian daripadanya kepada yang memerlukan dan berhak ke atasnya.

Pernah suatu ketika sahabat Nabi SAW bernama Sa’ad bin Abi Waqqas menderita sakit dan ingin berwasiat kepada Rasulullah SAW untuk menyerahkan seluruh hartanya kepada agama selepas kematiannya.

Lalu Rasulullah SAW melarang Sa’ad daripada berbuat demikian kerana dia masih mempunyai anak. Lalu Baginda bersabda: Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan mengemis kepada manusia dengan menadah tangan mereka. (riwayat al-Bukhari)

Bertebaranlah

Sebahagian umat Islam tersalah faham dengan konsep berserah diri dan bertawakal kepada Allah SWT, terutamanya dalam urusan rezeki mereka.

Ada yang tidak mahu bekerja dan hanya mengharapkan rezeki datang tiba-tiba tanpa bersusah-payah dan berusaha untuk bekerja.

Yang sepatutnya bagi seorang Muslim ialah berusaha sedaya mungkin untuk mencari rezeki yang halal dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya. Selepas itu barulah berdoa agar dipermudahkan rezeki dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Tawakal sepatutnya di posisi akhir bukan di awalan tanpa perlu bekerja.

Dalam situasi lain pula, usaha mencari rezeki sudah dilakukan namun caranya pula tidak kena. Perbuatan menadah tangan meminta-minta daripada orang lain menjadi seperti sebuah pekerjaan bagi sebahagian orang.

Hakikatnya Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk keluar menerokai muka bumi mencari rezeki yang halal dan baik bukannya dengan cara meminta sedekah sedemikian.

Allah SWT berfirman: Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung. (al-Jumu’ah: 10)

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya bekerja untuk mencari rezeki yang halal dan melarang perbuatan meminta-minta. Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud: Seseorang daripada kamu mengambil talinya lalu pergi mencari kayu api dan memikulnya sendiri lalu menjualnya sehingga Allah menjaganya daripada meminta-minta, itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada diberi atau tidak diberi. (riwayat al-Bukhari)

Hari ini kita melihat sebahagian orang menjadikan perbuatan meminta sedekah sebagai jalan mudah untuk meraih wang yang banyak dalam masa yang cepat. Lebih malang lagi apabila mereka yang terlibat menggunakan nama agama untuk meraih keuntungan. Malah senario kanak-kanak yang dihantar ke kawasan-kawasan awam dan disuruh memungut wang atas nama agama banyak kelihatan.

Kaya hati

Bagi yang mencari rezeki dengan cara yang halal pula, janganlah kita lupa hak-hak yang perlu dikeluarkan daripada rezeki tersebut. Zakat dan sedekah hendaklah dikeluarkan seiring dengan keghairahan kita mencari harta.

Harta yang banyak tidak menjamin kebahagiaan andai ia tidak berkat kerana manusia sememangnya tidak pernah rasa cukup dan puas sekalipun hartanya banyak. Kata Nabi SAW yang bermaksud: Seandainya manusia diberi sebuah lembah berisi penuh dengan emas tentu dia mahukan lembah yang kedua seperti itu. Seandainya diberikan lembah yang kedua pula maka dia masih mahukan lembah yang ketika (berisi harta). Perut manusia tidak akan penuh melainkan dengan tanah. Allah menerima taubat bagi sesiapa yang bertaubat. (riwayat al-Bukhari]

Hendaklah diingat bahawa kekayaan yang sebenar ialah kekayaan di jiwa berupa hati yang bersih, diri yang tenang, akhlak yang baik dan rezeki yang berkat. Itulah harta yang bernilai yang perlu kita cari bersungguh-sungguh sebagaimana kata Nabi SAW: Kaya itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kaya itu ialah kekayaan hati. (riwayat Muslim)