March 27th, 2015

Khutbah Jumaat ~ : “Kepentingan Penjagaan Sumber Air”

Sedutan petikan Khutbah Jumaat 27 Mac 2015  JAIS

“Kepentingan Penjagaan Sumber Air”


Air merupakan suatu zat atau unsur yang penting bagi semua bentuk kehidupan di bumi. Air menutupi hampir 71% permukaan bumi. Dalam tubuh manusia pula, lebih kurang 55% hingga 78% adalah terdiri daripada air. Jika tiada air di dalam tubuh kita, sel-sel akan kering dan mati, begitulah kepentingan air kepada manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbia’ ayat 30: “Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”.

Kita seharusnya bersyukur kerana negara kita merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber air dan dapat memenuhi kehendak dan permintaan rakyat untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian.

Walau bagaimanapun, akibat daripada proses pembangunan yang membawa kepada kemajuan negara, timbul satu ancaman yang perlu diberi perhatian iaitu pencemaran alam sekitar terutamanya yang merosakkan sistem sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat.

Pemeliharaan sumber air termasuklah melindungi sumber air mentah, pengurusan sungai yang lebih cekap, memastikan keperluan air kepada tumbuhtumbuhan dan haiwan yang melata terjamin disamping mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap

Kita sebagai pengguna hendaklah membantu kerajaan dalam penjagaan sumber air.

Hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa antara kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia menegahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka (tegahlah) ia dengan lidahnya, sekiranya ia tidak mampu maka (tegahlah) ia dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim).

Air ini merupakan suatu nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita untuk dijaga dengan sebaiknya.  Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Mulk ayat 30: “Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”

Oleh itu, langkah-langkah berikut perlu kita lakukan:

1. Kita hendaklah meyakini dan bersyukur bahawa sumber air itu datangnya daripada Allah SWT dan tanggungjawab kita memeliharanya.

2. Semua pihak hendaklah bertanggungjawab menyelenggara dan memastikan sumber-sumber air dijaga dan dipelihara dengan baik.

3. Janganlah melakukan pencemaran air kerana ianya akan mendatangkan keracunan dan menjejaskan kesihatan manusia dan memusnahkan alam sekitar.

4. Pihak-pihak yang bertanggungjawab hendaklah meningkatkan kerjasama untuk mengurus air dengan sebaik-baiknya.

5. Oleh kerana air adalah anugerah yang percuma daripada Allah SWT. Maka tidak wajar pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan pihak-pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya dan menceroboh hak-hak manusia di atas muka bumi ini..

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Tindakan ekstremis juga boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama islam. Sebaliknya seluruh umat islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati agar umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW diutus dan Islam yang diperjuangkan adalah rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

Wallahualam.

Doa ibu mustajab

Seorang ibu perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Ibu tidak boleh berasa lemah atau berputus asa mendoakan yang lebih baik untuk anak.

Sekalipun menghadapi kesukaran dan kesedihan, janganlah meletakkan diri sebagai ibu yang lemah untuk terus berdoa demi kebaikan. Bagaimanakah untuk seorang ibu itu terus bersemangat berdoa tanpa rasa bosan atau putus asa?

Allah SWT menyeru hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya, namun tidak ramai yang menyahut seruan itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul-rasul itu (ialah kerana) sesungguhnya mereka itu sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh pengharapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk dan taat kepada Kami." (Surah al-Anbiyaa', ayat 90)

Terlalu banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam kita berdoa. Apabila kita berasakan banyak perkara baik yang belum dilakukan, maka perasaan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan akan timbul dari dalam diri.

Doa ibu penuh pengharapan



Bagi mendapat nikmat dan berkat dalam berdoa, perlulah meletakkan rasa khusyuk yang penuh pengharapan kepada Allah SWT bahawa hanya Dia Yang Maha Berkuasa memberikan segala-galanya. Ingatlah Allah SWT sentiasa ada dan Maha Mendengar rintihan hamba-Nya yang berdoa khususnya doa seorang ibu.

Doa ibu sentiasa memberi harapan dan kekuatan kepada anak. Ustazah Norhafizah Musa berkongsi kehebatan doa seorang ibu melalui rancangan Usrati di IKIMfm yang bersiaran setiap Khamis, jam 5.15 petang.

Doa ibu adalah dengan kesempurnaan dan kehebatan kasih sayang yang terdapat pada dirinya. Bayangkan jika kasih sayang yang sepatutnya ada pada seorang ibu itu hilang, maka anak akan dipukul, syariat Islam tidak dididik dengan sempurna dan akhirnya mereka terbiar dengan kehidupan tanpa bimbingan yang betul.

Ibu bapa yang kasih dan sayang kepada anak sudah pasti tidak mahu melihat anaknya diazab kerana tidak mengenal Allah SWT. Bagaimanakah yang dikatakan sebagai kasih sayang seorang ibu kepada anak?

Berilah pendidikan agama supaya mereka mengenal Allah SWT. Mendidik anak perlu sabar dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kerenah mereka kerana melalui kesabaran itu Allah SWT akan memberi ganjaran apa yang diusahakan.

Norhafizah menyarankan ibu bapa sentiasa memberi nasihat kepada anak walaupun mereka tidak menghindarkan nasihat itu. Ada kala anak tidak menunjukkan reaksi terhadap nasihat yang diberikan kepada mereka kerana mereka masih belum matang untuk menilainya.

Namun, apabila mereka telah matang dan tahu menilainya, ketika itulah mereka akan sedar bahawa nasihat diberikan adalah demi kebaikan. Oleh itu, ibu bapa jangan sekali-kali berputus asa memberikan nasihat kepada anak dan sentiasa berharap nasihat itu akan memberikan panduan kelak. Doa ibu menjadi kuat dan mustajab kerana kasih sayang dalam hatinya adalah kerana Allah SWT.

Jangan jadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak mempunyai ruang bersama anak. Setiap minit yang terluang cuba mendalami perasaan, kehendak dan keperluan anak. Amalkan membelai dan memeluk anak dengan rasa penuh kasih kasih sayang di samping bergurau senda dengan mereka.

Dorong anak dengar kata ibu bapa

Ini bukan sahaja akan membangkitkan rasa hormat anak kepada ibu bapa, malah akan mendorong mereka menjadi anak yang mendengar kata ibu bapa. Norhafizah menyarankan kepada ibu bapa mengungkapkan sayang kepada anak ketika berbual, terutama dalam berdoa selepas solat berjemaah dengan mereka.

Doa ibu bapa juga merangkumi keikhlasan dan ketulusan. Ada kala seseorang itu berdoa untuk kebaikan orang lain atas sebab mendapatkan kebaikan pada dirinya. Akan tetapi doa ibu bapa adalah sama sekali daripada hati yang tulus ikhlas untuk kebaikan anak, bukan mendapat balasan atas kejayaan yang diperoleh.

Seorang ibu mendoakan kebaikan kepada anak sebelum mereka dilahirkan di dunia lagi, mengharapkan diberi perlindungan oleh Allah SWT. Sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan doa seorang ibu terhadap anaknya demi kebaikan di dunia dan akhirat.

Doa ibu adalah doa yang bersatu antara hati, lidah dan fizikal. Hati yang sentiasa berharap kepada Allah SWT, lidah yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan menasihati anak, manakala fizikal berusaha serta berkorban melakukan yang terbaik untuk anak.

Selain itu, doa ibu terdapat nilai kesungguhan sehingga menitiskan air mata demi untuk kebaikan anak. Di samping itu, ibu tidak pernah berhenti berdoa untuk kebaikan anak walaupun hatinya dilukai oleh anak.

Hidup biarlah 
cari reda Allah

Dalam hidup bermasyarakat, kita tidak boleh lari daripada pujian, kejian dan umpatan terhadap setiap tindakan atau perbuatan yang dilakukan. Dengan kata lain, sikap menjaga tepi kain orang lain memang berlaku. Untuk itu, penting bagi kita mengetahui dan menetapkan bahawa setiap perbuatan itu mesti berlandaskan syariat.
Ini supaya hidup kita yang sementara di atas muka bumi sentiasa mencari reda Allah.
Membicarakan tajuk ini, marilah kita mengikuti kisah Luqman al-Hakim iaitu seorang ahli hikmah. Suatu hari, Luqman ingin pergi ke pasar dan telah dicatat segala peralatan dan barang keperluan yang ingin dibeli. Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan masyarakat dan pandangan manusia, Luqman turut membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai.
Senario pertama:
Ketika mereka tiba di sebuah perkampungan dengan si anak menunggang keldai tersebut dan Luqman menarik keldai dengan berjalan kaki. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama seekor keldai.
“Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadab dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai! Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”
Senario kedua:
Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan. Kali ini Luqman pula menunggang keldai.
Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Mereka mula mencela dan berkata: “Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan. Si bapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya si anak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!”
Senario ketiga:
Setelah melepasi kampung kedua dan berfikir beberapa ketika, Luqman berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, kali ini kita menunggang keldai ini bersama-sama sehingga tiba di pasar.”
Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar berkenaan, tiba-tiba orang ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah seksanya keldai itu membawa beban berganda!” Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”
Senario keempat:
Kali ini Luqman dan anaknya hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat, penduduk di situ berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat sedia ada!”
Kesimpulannya, kalau nak ikut kata manusia, serba salah dibuatnya. Orang yang berakal tidaklah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.
Berbalik kepada isu hudud, hendaklah kita umat Islam menyokong pelaksanaan hukum itu dan yakin dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)
Jangan kita bimbang dengan penentangan manusia. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 27 Mac 2015 1:00 AM

Mengimbangi tuntutan fardu 
ain, kifayah

Memahami fardu ain bersama fardu kifayah dalam konteks masa kini amat penting bagi kemajuan umat Islam. Senario yang berlaku hari ini dengan hanya memberi penekanan kepada satu bahagian sahaja dan mengabaikan bahagian lain menimbulkan masalah kepada masyarakat Islam.

Fardu ain merupakan perkara yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang akil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya seperti ilmu akidah, syariat dan akhlak yang berkaitan dengan selok belok agama Islam.

NOTA: SILA MOSAIC AYAT-AYAT SUCI AL QURAN SLUG: SupplemenMaraGemenchehTampin 28 Februari 2015- Sebahagian pelajar-pelajar khusyuk menghafaz al-Quran ketika mengikuti aktiviti tasmi' (memperdengarkan bacaan) di Surau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, Tampin, disini hari ini.GAMBAR: Abd Razak AidPEMBERITA: Noor Diana Azis (UTUSAN)

Ia berkait rapat pembentukan dan pembinaan peribadi individu Muslim. Sementara itu, fardu kifayah pula diwajibkan ke atas masyarakat Islam secara kolektif dan berhubung dengan kepentingan kehidupan dan kesejahteraan masyarakat umum, yang mana tanpa ilmu-ilmu ini kesempurnaan dan kestabilan masyarakat Islam tidak akan tercapai seperti ilmu perubatan dan sains kesihatan, ilmu matematik untuk urusan muamalat dan pembahagian pusaka, begitu juga ilmu perusahaan, pertanian, ternakan, pertukangan dan politik.

Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya, ayat 7 : “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada ahlu al-zikr jika kamu tidak mengetahui.”

Kesempurnaan tuntutan fardu ain adalah bergantung kepada pelaksanaan fardu kifayah, sebagai contoh seorang Muslim diwajibkan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Solat tidak akan sah dan diterima oleh Allah SWT kecuali dilakukannya dengan menutup aurat. Menutup aurat memerlukan pakaian yang sesuai.

Oleh itu, wajib ada orang Islam yang mengusahakan industri dalam bidang jahitan. Ini yang dikatakan bahawa ke­dua-dua fardu itu berjalan serentak dan seiring.

Sejarah membuktikan kemajuan kerohanian dan fizikal umat Islam pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat RA dan zaman keagungan Islam adalah hasil kefahaman umat Islam terhadap kesepaduan ilmu Islam ini. Kecemerlangan tamadun Islam dapat disaksikan hingga hari ini dalam pelbagai bidang ilmu seperti seni bina, ukuran, tulisan dan teori dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

Antaranya, keagamaan dan falsafah oleh al-Ghazali, Ibn Rushd, al-Farabi; perundangan oleh al-Syafi’i, Abu Hanifah Malik dan Ahmad bin Hanbal; geografi oleh al-Idrisi dan lain-lain; sains semula jadi oleh al-Dinawari; perubatan oleh al-Razi dan Ibn Sina dan lain-lain; mekanik oleh al-Bairuni; zoologi oleh al-Jahiz; fizik oleh Khalid bin Yazid, Jabir bin Hayyan; ilmu matematik oleh al-Khawarizmi; politik oleh al-Mawardi, Ibn al-Taimiah dan al-Ghazali.

Penekanan terhadap fardu kifayah ke atas umat Islam secara kolektif bertujuan memenuhi keperluan hidup masyarakat Islam sendiri. Sekiranya tiada orang Islam yang dapat menyelesaikan keperluan masyarakat Islam, maka seluruh masyarakat Islam menanggung risiko dan dosa.

Kewajipan fardu kifayah dikenakan ke atas masyarakat Islam bagi memenuhi keperluan umat Islam kerana keperluannya amat banyak. Pembahagian mestilah dibuat secara menyeluruh dan teratur.

Adalah mustahil bagi seorang Muslim yang umurnya terbatas menjadi alim dalam semua bidang ilmu dan mampu menyelesaikan semua tuntutan umat Islam. Begitu juga tidak mungkin seorang doktor, jurutera, pakar undang-undang, ahli ekonomi dan lain-lain dapat menyelesaikan semua keperluan masyarakat Islam.

Masih banyak contoh lain yang boleh diperhatikan, misalnya di bidang sains kesihatan, wajib ada pakar perubatan Muslim. Tempat tinggal orang-orang Islam, wajib ada jurutera dan kontraktor Muslim yang menyelesaikannya. Bahan-bahan makanan dan gunaan Islam, wajib ada pakar-pakar pemakanan Muslim yang menyelesaikannya.


Abdullah Mat Zin

Senjata-senjata canggih yang hendak digunakan oleh kerajaan Islam, wajib ada pakar senjata Muslim yang dapat menyelesaikannya tanpa mengharapkan ihsan daripada negara bukan Islam. Ringkasny, pemisahan antara tuntutan fardu ain bersama fardu kifayah tidak dibenarkan berlaku dalam kehidupan umat Islam.

Kejayaan yang didapati oleh umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan dan lainnya adalah hasil usaha dan kegigihan mereka dalam bidang pendidikan Islam yang seimbang. Ini adalah keistimewaan Islam memberi peluang mempelajari ilmu-ilmu keduniaan setaraf dengan mempelajari ilmu al-Quran, hadis dan fikah.

Pensyarah dalam bidang fizik, kedoktoran dan sebagainya boleh dijemput untuk menyampaikan ilmu di masjid dan di mana-mana majlis ilmu selari dengan penceramah dan pendakwah yang mengendalikan sesi pengajaran ilmu agama.

Ilmu dalam Islam adalah bersepadu bersama nilai agama, tidak seperti dunia Barat atau sekular di mana ilmu itu dipisahkan sama sekali daripada nilai agama. Bagi mereka agama perlu dipisahkan daripada pengajian ilmiah dan sains mahupun pentadbiran negara.

Pelaksanaan fardu ain bersama fardu kifayah secara bersepadu ini perlu disebar luas dalam masyarakat Islam kerana kesamaran dalam memahami kedua-dua konsep ini akan membawa masalah yang berpanjangan dalam masyarakat Islam.

Fahaman melampau bakal lahir, golongan mengetatkan agama Islam akan muncul bersama golongan yang mempermudahkan agama dalam setiap perkara.

Sudah sampai masanya kita memberi definisi baharu kepada pelaksanaan fardu kifayah sebagai satu jihad untuk menegakkan agama dan mempertahankan martabat ummah. Kita perlu meninggikan syiar Islam bukan hanya pada kulit tetapi perlu lebih menyeluruh.

Perkara ini bukan sahaja ditumpukan kepada fardu ain yang mementingkan agama tetapi juga fardu kifayah untuk kesejahteraan hidup umat Islam di negara ini. Keperluan sebegini mesti dimaksimumkan. Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah dalam semua bidang, keciciran yang berlaku perlu diatasi, sekali gus mengatasi sindrom kebergantungan kepada pihak lain.

Inilah prinsip wasatiyyah yang terkandung dalam dakwah Rasulullah SAW yang mampu memainkan peranan dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang membelenggu ummah dan negara.

Isu hudud 
yang dikelirukan

DA dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syariah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.


Surat terbuka kepada umat Islam

DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

Presiden Pas

Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung Kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.

Hudud adalah cabutan daripada salah satu hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syariat. Mereka menganggap hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.

Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.

Dr. Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya Taysir al-Fiqh lil Muslim al-Mu’asir dalam halaman 102 menjelaskan :

Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :

1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.

2- Kalangan yang menyalahgunakan Siyasah Syariyyah, usul dan maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.

3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.

Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul SAW yang bersifat maksum. Adapun lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad dalam kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.

1- Siyasah Syari’yyah

Perkataan “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki). Tegasnya, adalah melaksanakan syariat dengan betul, bukannya meninggalkan syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.

2- Maqasid Syari’ah

“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya adalah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang ditetapkan oleh syara’ dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.

(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)

Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan kerana hadis Rasulullah SAW : “Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.

Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.

Maqasid Syariah tidak bermakna membatalkan penguatkuasaan undang-undang hudud. Maqasid Syariah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.

Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walaupun salah mengikut pentafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya. Mengikut kaedah al-Umur bi Maqasidaha (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).

3- Fiqh Aulawiyyat

Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).

Contohnya, Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) akidah agama, (2) nyawa (3) akal (4) keturunan dan (5) harta.

Contohnya, tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.

Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiy­yat.

Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara adil pula.

“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.

Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum hudud dan qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.

Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang - undang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.

(Sila lihat Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297).

4- Maslahah

“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan. Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :

1- Maslahah Mu’atabarah

Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya, wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ini adalah ketetapan Allah SWT.

2- Maslahah Mulghah

Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada.Contohnya, seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.

3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah

Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman. Melaksanakan syariat adalah maslahah yang ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.

ISU ENAKMEN KANUN 
JE­NAYAH SYARIAT (KJS)
 NEGERI KELANTAN

Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat dalam kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan sehingga berlakunya isu kafir mengkafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.

Apabila keadaan dapat diredakan, maka Pas mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik. Langkah pertama adalah menubuhkan pasukan daripada parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara), Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tahun 50an dari Singapura dan bekas Peguam Negara Singapura yang pertama), Allahyarham Dr. Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam, Allahyarham Datuk Abdul Halim Muhammad, bekas Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar Kelantan.

Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Kelantan, ia terlebih dahulu dibentangkan kepada umum dalam banyak forum, seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke DUN Kelantan pada 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000 manakala Kelantan pula memperkukuhkan secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.

Kini setelah lebih dari 20 tahun Pas memperkenalkan enakmen ini, di samping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka Pas ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.

Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan memperkemaskan dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.

Dalam masa sama, apa yang ingin dicadangkan dan akan dibawa oleh Pas menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.

Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

Firman Allah: (Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada manusia itu adalah orang yang jahat).

Adakah mereka mahukan hukum jahiliah, padahal siapakah lagi yang paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang yang percaya dengan yakin).