March 29th, 2015

Bercakap perkara baik juga sedekah

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, hadis itu menganjurkan supaya berbicara hal yang baik. Apabila dia masih ragu kemaslahatan itu, maka hendaklah dia diam.

Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustaz Zulkifli Aini menjelaskan pentingnya kita memelihara lidah supaya tidak tergolong penghuni neraka.


Menjaga lidah elak berbicara perkara yang tidak baik patut jadi amalan setiap orang. - Foto hiasan

Justeru, hendaklah kita benar-benar memanfaatkan mulut dengan mengungkap bicara yang hanya memberi kebaikan buat diri kita dan orang lain. Seorang yang bercakap sesuatu kalimah, ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya ke dalam neraka.

Kita bakal dibangkitkan pada hari pembalasan dan pada masa itu setiap anggota badan akan berbicara. Walaupun mulut kita ditutup, ia tetap akan menjadi saksi terhadap buah bicara kita di atas dunia ini.

Sebab itulah Nabi Muhammad SAW menekankan kepada kita untuk menggunakan kebijaksanaan dalam berbicara dan jika kita tidak mampu melakukannya adalah lebih baik berdiam sahaja.

Hikmah bijak berkomunikasi

Berbicara dengan hikmah selain mengungkap perkara yang baik-baik juga berbicara dengan berlandaskan ilmu. Berbicara berasaskan ilmu bermakna kita tahu berkomunikasi dan disesuaikan dengan siapa kita berbicara.

Contohnya, pendekatan berbeza digunakan apabila kita berbicara dengan suami, isteri, orang tua ataupun kanak-kanak. Perbezaan dan pendekatan yang betul ini menjadikan kita berbicara untuk menatijahkan sesuatu yang baik.

Kegagalan dan seni berbicara inilah yang selalu membawa kepada masalah komunikasi seperti salah faham, bercakap kasar, saling tidak menghormati perbezaan pandangan yang akhirnya boleh membawa kepada perbalahan dan bermasam muka.

Menurut Zulkifli, keretakan dalam rumah tangga kebanyakan berlaku disebabkan kelemahan dalam berkomunikasi. Salah faham yang terjadi menyebabkan tiada persefahaman antara suami isteri. Lebih memudaratkan lagi apabila masing-masing tidak ada ilmu untuk memperbaiki masalah komunikasi menyebabkan perkahwinan menjadi semakin rapuh.

Kebanyakan ahli motivasi berpendapat kerukunan rumah tangga boleh terus dikekalkan jika suami isteri saling berbicara dengan berhemah, lemah lembut, menghormati pandangan antara satu sama lain dan berkata hal baik-baik yang boleh membuahkan sebuah rumah tangga bahagia.

Sedekah itu tidak dikhususkan dengan duit, bahkan setiap apa yang mendekatkan kepada Allah SWT, maka ia sedekah dengan makna yang umum. Kerana perbuatan menunjukkan atas kebenaran pelakunya dalam mencari reda Allah SWT.

Begitu juga dengan kata-kata, buah bicara yang mengundang kebaikan kepada si pendengar boleh diibaratkan umpama satu sedekah. Ini kerana kata-kata yang baik boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain atau mendorong seseorang untuk membuat kebaikan.

Contoh akhlak terpuji

Sebaik-baik ikutan akhlak berbicara, kita mengambil akhlak Rasulullah SAW yang telah mempamerkan akhlak unggul dan terpuji dalam setiap gerak geri aspek kehidupan, daripada tindakan sehingga kepada perbualan Baginda, segala-galanya dilakukan dengan hikmah dan penuh kebaikan.

Maka akhlak yang baik serta contoh teladan terpuji itu harus diterapkan dalam diri setiap Muslim, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat dalam medan dakwah, penyampaian ilmu dan tarbiah.

Malah, kepada sesiapa sekalipun, perlu juga ditanam di dalam diri hanya sepotong perkataan jika mendatangkan manfaat ia adalah satu bentuk pahala kepada kita yang akan bertemu Allah SWT kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Ayat al-Quran ini mendidik menggunakan sebaik-baik kata dalam bercakap tidak kira dalam apa juga keadaan dan waktu, sehinggalah pada saat kita ingin menegur atau mencegah sebarang kemungkaran hendaklah menggunakan hikmah supaya kata-kata itu tidak hanya mencegah tetapi menjadi satu bentuk dakwah yang membawa kepada kebaikan.

Diriwayatkan oleh Aisyah, katanya, "Rasulullah tidaklah berbicara seperti yang biasa kamu lakukan (iaitu berbicara dengan nada cepat). Namun beliau berbicara dengan nada perlahan dan dengan perkataan yang jelas dan terang lagi mudah dihafal oleh orang yang mendengarnya." (Riwayat Abu Daud)

Begitu jugalah dalam kehidupan sehari-hari kita, marilah bersama kita mengamalkan teladan Rasulullah SAW. Berbicaralah dengan perlahan dan jelas. Jangan terburu-buru, sehingga apa yang diucapkan menjadi tidak jelas didengar oleh orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, bertakwalah kamu sekalian kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." (Surah al-Ahzab, ayat 70-71)

Jangan sampai jadi "tengkorak hidup"

PADA 21 Disember lalu, Mursyidul Am Pas Datuk Dr. Ha­ron Din secara tegas mengingatkan sekutu parti itu, DAP bahawa hukum hudud merupakan nyawa Pas yang tidak akan digadaikan walau atas alasan apa sekalipun manakala pada 19 Mac lalu, beliau menegaskan, Pas mele­tak­kan perjuangan menegakkan hukum hudud sebagai ke­tetapan yang jauh lebih penting daripada kerjasama pa­ka­tan pembangkang. Dua kenyataan tegas beliau itu sekali gus membuktikan Pas bersedia melakukan apa sahaja ba­gi memastikan perjuangannya untuk melaksanakan hu­kum hudud khususnya di Kelantan tercapai. Apatah lagi de­ngan menganggap hukum hudud adalah nyawa Pas ma­ka sudah pastilah Pas perlu melakukan apa sahaja bagi mempertahankannya.

Tetapi persoalannya sejauh manakah Pas bersedia me­ninggalkan pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila DAP dan PKR kini sudah secara terbuka bukan sahaja menentang usaha Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan untuk orang Islam malah DAP tanpa segan silu mencabar maruah Pas apabila menghina Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan pelbagai tuduhan termasuklah pengkhianat. Walaupun ketika ini pelaksanaan hukum hudud di Kelantan baharu di peringkat diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan perlu dibawa ke Dewan Rakyat bagi membolehkan ia dilaksanakan tetapi PKR dan DAP yang selama ini begitu gah mendabik dada sebagai pejuang demokrasi tidak membenarkan proses demokrasi di­jalankan.

Dalam bahasa mudah, Pas buatlah apa sahaja, teranglah apa jua, berilah penjelasan sebanyak manapun, PKR dan DAP ti­dak akan menerimanya. Apa yang mereka mahu ialah jika Pas ingin terus berada dalam pakatan pembangkang, mereka hanya ada satu sahaja pilihan iaitu perjuangan hukum hudud perlu dihentikan. Berikutan pendirian tegas itulah, pemimpin-pemimpin DAP "menyerang" Pas sehingga ada antara mereka memutuskan hubungan dengan Pas seperti mana berlaku di Sarawak. Mereka memberi isyarat Pas bukanlah satu parti yang bernilai dalam pakatan pembangkang ibarat "ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi". Persoalannya, kenapakah PKR dan DAP terlalu bertegas menolak hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas sedangkan Enakmen Kanun Jenayah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan hanya dikhususkan kepada orang Islam, orang bukan Islam sama sekali tidak terlibat dan tidak akan dilibatkan?

Mencabut nyawa

Sepatutnya DAP dan PKR memberi ruang kepada Pas untuk memperjuangkan pelaksanaan hukum itu seperti mana UMNO yang sebelum ini dikecam hebat oleh penyokong-penyokong Pas kononnya menolak hukum Allah dan Islam memberi sokongan kepada usaha Pas. Pendirian UMNO itu sudah dibuktikan dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini. Tetapi malang bagi Pas, rakan yang selama ini "dipeluk siang dan malam" dan disanjung sebagai golongan yang lebih memahami Islam berbanding UMNO kini menentang habis-ha­bisan perjuangan hukum hudud Pas. Ia membuktikan yang sedang berusaha "mencabut nyawa" Pas bukanlah UMNO tetapi DAP dan PKR.

Kedua-dua parti itu berhu­jah pelaksanaan hukum hu­dud bertentangan dengan Perlem­ba­gaan Persekutuan tetapi kita juga boleh mempersoalkan bagai­ma­­na dengan usaha DAP untuk mengembalikan pilihan raya maj­lis tempatan?

Kalau soal bertentangan dengan Perlembagaan mahu diperdebatkan ini sama sekali tidak relevan dengan apa yang hendak dilakukan oleh Pas melalui pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat kerana hanya me­libatkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah dan bukannya apa-apa fasal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Melalui pindaan akta itu, akan membolehkan sebahagian daripada peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan dilaksanakan mengikut perundangan Islam, seperti minum arak dihukum sehingga 80 kali sebatan.

Dalam Akta Mahkamah Sya­riah sedia ada bidang kuasa mahkamah itu di semua negeri ter­batas kepada menjatuhkan hukuman tidak melebihi RM5,000, penjara lima tahun dan enam kali sebatan. Apabila menyebut meminda akta berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah maka secara auotomatik pelajar sekolah pun tahu bahawa ia hanya akan melibatkan orang Islam dan sudah pasti tidak ada kaitan sama sekali dengan orang bukan Islam. Oleh itu kenapakah DAP hendak menyibuk urusan orang Islam seperti mana dipersoalkan oleh banyak pihak sebelum ini?

Mengulas perkara ini, seorang pemimpin muda Pas yang juga pengamal undang-undang menegaskan: "Jika DAP tidak mahu campur tangan, itu hak parti tersebut, tetapi janganlah menyekat hak Pas dan ahli-ahli Parlimen beragama Islam seramai 136 orang membuat keputusan. Perlu difahami pindaan akta melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ini sudah banyak kali dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), cuma yang bezanya kali ini Pas pula berhasrat mengemukakan cadangan itu bagi disesuaikan dengan peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan.’’

Tegasnya, apabila pindaan itu diluluskan, bukan secara automatik semua negeri perlu mengikut apa yang dilaksanakan di Kelantan sebaliknya, kerajaan negeri perlu membawanya ke sidang DUN masing-masing untuk diluluskan sebelum dikemukakan kepada Sultan atau Yang Dipertua negeri untuk perkenan.

"Jadi kita tidak faham kenapakah DAP kelam-kabut sangat bila Abdul Hadi ingin membawa rang undang-undang persendirian itu sepatutnya berilah ruang kepada Pas kerana apa yang hendak diperjuangkan hanya melibatkan orang Islam semata-mata,’’ katanya ketika dihubungi. Namun begitu, kalau benarlah apa yang berlaku sekarang adalah satu sandiwara politik atau Pas akan kembali berbaik-baik dengan DAP dan PKR, jelaslah hukum hudud bukanlah nyawa Pas seperti mana ditegaskan oleh Dr. Haron tetapi alat politik bagi Pas terus bertahan dalam persada politik tanah air.

Jika Pas masih lagi mahu berkompromi terhadap satu perkara yang dianggap nyawa parti itu, maka Pas perlu bersedia menjadi "tengkorak hidup" – nyawa dicabut tetapi masih mahu bergerak biar­pun martabat dan maruah sudah tergadai kononnya demi menjaga nama tahaluf siyasi yang terbukti cukup merugikan parti itu! - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencan 29 Mac 2015

Isu Hudud: Kenapa parti Cina jadi sasau?

Tidak lama dulu apabila kerajaan Pas Kelantan berura-ura membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di mana hudud salah satu daripadanya di Dewan Undangan Negeri (DUN), parti Cina tiba-tiba menjadi sasau. Tidak kira parti Cina dalam Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang.

Mereka menggelupur dan terloncat-loncat walaupun kerajaan Kelantan berulang kali menegaskan kanun jenayah syariah itu tidak melibatkan bukan Islam. Sama ada DAP, Gerakan atau MCA semuanya menjadi tidak keruan dan meroyan seolah-olah akan menerima bala.

Tetapi mereka menjadi lebih sasau apabila UMNO “seakan-akan” menyokong walaupun ada dua tiga kerat pemimpin UMNO menggelarkan orang yang membentangkan hudud sebagai “bodoh” dan ada yang berkata, “tidak akan masuk Kelantan.” Pedulikan. Puak ini kita tolak ke tepi, begitu juga dua tiga kerat dalam Pas yang menentang pembentangan kanun jenayah syariah itu.

Sehingga hari ini UMNO belum menyatakan sokongan secara rasmi. Saya fikir UMNO mengambil sikap berhati-hati. Tetapi ada beberapa isyarat yang menunjukkan UMNO menyokong usaha Pas itu. UMNO mungkin takut kehilangan "kekasihnya" MCA walaupun sudah curang dan biadab. Apa lagi MCA telah mengugut untuk berpisah dengan UMNO. Ini adalah kesan berpanjangan pasca tsunami politik 2008.

Benarkah parti Cina menentang kanun jenayah syariah? Atau sebenarnya ada perkara lain yang menjadi kebimbangan mereka? Saya tidak percaya mereka menentang kanun itu kerana mengacau kehidupan sosial. Sebaliknya menentang kerana kanun itu menjadi wadah kebersatuan (maaf kerana saya rasa canggung menggunakan istilah solidariti) orang Melayu.

Tetapi seorang kawan saya yang keloloh (dialek Perlis bermaksud buat lawak tidak bertempat) berkata, mereka menentang kanun jenayah syariah itu kerana menjejaskan perniagaan orang Cina yang menjadi tauke judi, tauke pusat pelacuran dan tauke pusat hiburan. Sebabnya pelanggan di tempat-tempat begini sebahagiannya adalah orang Melayu. Menurut teori “enam sen” dia, apabila orang Melayu takut undang-undang syariah, tauke Cina kehilangan pelanggan. Kononnya selepas berjaya di Kelantan, mungkin dilaksanakan di peringkat pusat suatu hari nanti.

Saya tidak menolak “jenaka” kawan saya itu. Memang ada benarnya “industri maksiat” begitu banyak dijuarai oleh orang Cina. Industri judi dan pelacuran 'halal' di Kuala Lumpur pun bukan rahsia lagi dimonopoli oleh orang Cina. Tetapi saya fikir ada perkara lain yang membimbangkan parti-parti Cina ini hingga mereka menjadi tidak keruan.

Yang peliknya jurucakap parti-parti Cina ini tidak memberikan hujah yang menjadi asas penolakan terhadap kanun jenayah syariah itu. Ketakutan dan kebimbangan mencetuskan misteri dan seolah-olah menyembunyikan perkara sebenar yang menjadi ketakutan.

Saya sangat percaya yang menjadi ketakutan dan kebimbangan parti-parti Cina ini ialah kebersatuan orang Melayu yang sudah mulai merentasi ideologi politik. Apabila UMNO walaupun secara tidak rasmi memperlihatkan sokongan kepada pembentangan kanun jenayah syariah ini, sudah ada asas kebersatuan iaitu kepentingan agama Islam.

Dalam politik Malaysia, UMNO dan Pas adalah dua parti yang mempunyai akar tunjang yang kukuh serta banyak persamaannya. PKR boleh runtuh bila-bila masa sahaja tetapi UMNO dan Pas agak sukar.

Sekiranya isu kanun jenayah syariah ini berjaya memisahkan Pas daripada belenggu DAP dan Pas menjadi pembangkang sendirian, Pakatan Rakyat yakni DAP akan terjejas teruk. Walaupun sekiranya MCA kononnya akan berpisah dengan UMNO kerana UMNO menyokong Pas dalam isu ini, politik Melayu akan lebih dominan. Ke mana MCA selepas keluar BN? Fikir-fikirlah sendiri berdasarkan keselarian gerak politik MCA dan DAP.

Bagi saya MCA dan Gerakan perlu disedarkan apabila mengugut supaya UMNO jangan menyokong kanun jenayah syariah kerajaan Pas. Suara sumbang kedua-dua parti ini tidak ada bezanya dengan DAP. Cuma yang menghairankan, dalam keadaan dua parti Cina ini yang ditolak oleh orang Cina dan hilang pengaruh dalam Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13) mereka masih lagi menganggap mempunyai nilai yang tinggi kepada BN. Kasihan.

Dalam banyak perkara MCA membawa idealisme DAP. MCA menjadi pembangkang dalam BN sendiri dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Cina seperti budaya, pendidikan dan ekonomi. Maka sekiranya UMNO dan Pas bersatu dalam isu-isu tertentu, ini sudah tentu suatu yang sangat membimbangkan MCA dan DAP walaupun mereka juga melakukan perkara yang sama demi kaum.

Keterbukaan Kerajaan Pusat yang mengetepikan perbezaan ideologi politik dalam menangani tragedi banjir besar di Kelantan juga membimbangkan parti-parti Cina. Tragedi banjir telah menyatukan orang Melayu dan inilah antara hikmah di sebalik musibah yang melanda. Tentunya ini bukan suatu yang menggembirakan bagi parti-parti Cina.

Kalau diperhatikan sebelum ini, “perkelahian” MCA dan DAP tidak lebih sandiwara dan tidak menjejaskan asas perjuangan mereka terhadap kepentingan kaum. Tetapi “perkelahian” UMNO dan Pas memang real hingga isu kepentingan orang Melayu dan Islam pun mereka tidak dapat duduk semeja kecuali pada kali ini. Maka sudah tentu ini satu perkembangan yang luar biasa dan membuka mata DAP dan MCA.

Taktik yang dilakukan ialah menyekat kebersatuan orang Melayu dengan membangkitkan kesangsian UMNO terhadap Pas. Usaha ini memperlihatkan sedikit kejayaan apabila ada dua tiga kerat pemimpin UMNO memberikan label yang buruk kepada usaha Pas itu. Parti-parti Cina sangat gembira dengan sikap sesetengah pemimpin UMNO ini.

Kebersatuan orang Melayu perlu merentasi batas politik yang sempit untuk mendominasi dan muncul sebagai kuasa politik utama. Isu kanun jenayah syariah memperlihatkan ruang ke arah kebersatuan, setidak-tidaknya dalam isu agama. Isyarat lebih jelas ialah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chempaka apabila Pas dan UMNO memurnikan politik Melayu. Ini menakutkan DAP, Gerakan dan MCA. Mereka tidak senang melihat kemurnian ini.

Kawan saya bertanya, apakah kata saya kepada DAP, MCA dan Gerakan dalam isu kanun jenayah syariah Kelantan? Saya jawab, “Lu sapa? Gua tak perlu lu punya cakap.” - Ku Seman Ku Hussein Utasan Malaysia Rencana Agama 29 Mac 2015

Jadilah isteri yang penyayang

Mengapakah perlu kita menjadi isteri penyayang dan bagaimanakah hendak menjadi isteri penyayang? Jom audit diri adakah kita memiliki ciri-ciri isteri/ibu yang penyayang? Wanita dikahwini kerana empat perkara. Pertama, kerana rupa parasnya. Kedua, kerana hartanya. Ketiga, kerana keturunannya. Keempat, kerana agamanya. Jika cukup empat perkara ini daripada seorang wanita, insya-Allah dapatlah lelaki atau suami itu seorang isteri yang baik dunia dan akhiratnya. Lelaki yang bijaksana akan menikahi wanita itu kerana kebaikannya; dari segi hati budi dan agamanya. Kebaikan hati budi seseorang itu datang dari hati/jiwa dan rohnya.

Yang membezakan mayat dengan manusia ialah roh. Mayat tidak ada roh tetapi seorang manusia/insan itu ada roh dan jiwanya. Apabila jiwa kita penuh dengan kasih sayang, wajah akan sentiasa tersenyum, dan orang sekeliling akan bahagia. Isteri penyayang itu mestilah seorang yang mampu menyejukkan mata suami memandang, dan menyejukkan hati suami mengenang.

Sebelum menjadi isteri, berkenalanlah dengan bakal suami dan keluarganya. Layanan kita sebagai bakal isteri, iaitu dari segi pertuturan, budi bahasa, adab perilaku kita dengan pasangan kita perlu dijaga dengan baik. Pastikan apa-apa yang kita buat kebaikan sebelum kita berkahwin itu berkekalan, malah menjadi semakin baik setelah kita berkahwin. Sebab apabila berkahwin, sebenarnya kita berkahwin dengan tiga orang. Pertama, kita berkahwin dengan orang yang kita sangka siapa dia. Kedua, selepas kita kahwin baru kita kenal siapa sebenar dia (negatif/positif). Ketiga, siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Sebelum kita berkahwin memang kita kena bersedia, mantapkan akidah, ibadah dan akhlak serta ekonomi kita. Kalau mantap keempat-empat perkara ini, insya-Allah sesudah berkahwin kita akan dapat apa yang kita idamkan, iaitu rumah tangga yang bahagia.

Banyak rumah tangga yang mengalami masalah dan keruntuhan, walaupun sudah mempunyai anak yang ramai. Keruntuhan rumah tangga berlaku kerana salah satu sebabnya, isteri suka menyalahkan suami atau orang lain (faktor yang luar daripada dirinya). Jika berlaku sesuatu dalam hidup kita yang tidak seperti kita harapkan, kita mesti lihat diri sendiri dahulu. Sebab apabila kita berubah barulah orang lain akan berubah.

Jika isteri kata suaminya kasar, suaminya ada perempuan lain, kita lihat kembali diri kita yang dahulu, ketika kita mula berkenalan dengan suami kita. Mengapakah dalam beribu orang manusia ini (ketika baru berkenalan dahulu/sebelum berkahwin dahulu), mengapa mata suami kita hanya nampak kita? Kita dipilih oleh suami kerana maknanya, kita ialah wanita istimewa dan terpilih di hatinya. Tetapi, mengapa selepas berkahwin keadaan dan perasaan suami berubah, kita tidak lagi menjadi pilihannya? Audit diri kita dahulu, baru kita tunjukkan punca kesalahan itu datang daripada suami.

Isteri penyayang kunci nombor satu kebahagiaan rumah tangga. Sebab isteri yang penyayang akan membahagiakan suami, akan membahagiakan anak-anak, mentua, dan ipar-duai. Jadi, kalau suami kita tidak seperti yang diharapkan, kita hendaklah terlebih dahulu melakukan perubahan. Sebab isteri penyayang, tentulah ibu yang penyayang, dan isteri/ibu penyayang akan mewujudkan suasana keluarga penyayang. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu yang penyayang akan bijak dan sihat.

Wanita yang penyayang ciri-cirinya; pertama, memek muka senyum. Kedua, lembut bicara dan bahasanya. Ketiga, bahasa badannya nampak tidak sombong dan bongkak serta sangat lemah lembut perilakunya. Keempat, intonasi percakapannya sangat menghormati orang dan menyenangkan hati orang. Keempat-empat ciri ini amat penting bagi mewujudkan komunikasi yang mesra dan ceria serta penuh tawaduk.

Komunikasi

Dalam perhubungan sosial manusia, komunikasi amat penting serta memberikan kesan dan impak yang besar. Komunikasi ada tiga situasi. Pertama, perkataannya atau ayatnya cuma 7 peratus. Cara kita bercakap 38 peratus. Tetapi, cara dan intonasi kita bercakap (fisiologi) 55 peratus. Sebab itu jika fisiologi kita penyayang, 55 peratus kita sudah menang, jika intonasi kita positif. Kalau suami asyik tengok isteri tidak memberangsangkannya; lemah, tidak bermaya dan tidak bersemangat dari segi fisiologinya, maka isteri akan terus lemah/negatif. Cara kita melihat dan emosi yang kita bawa ketika melihat seseorang akan menentukan tenaga seseorang. Tetapi, kalau suami memandang isteri penuh dengan inspirasi, pandangan positif suami terhadap isteri itu sahaja sudah mampu memberikan tenaga positif kepada isteri.

Pernahkah para suami berhadapan dengan situasi apabila di pejabat suami berasa ceria, bertenaga dan bersemangat. Tetapi, apabila balik dari kerja sampai di rumah, berasa lemah. Sebab situasi ini berlaku adalah kerana, pandangan isteri kepada suami yang tidak bermaya dan ceria, tidak merangsang semangat dan tenaga suami. Bayangkan jika suami balik, isteri menyambut suami dengan kasih sayang dan penuh keceriaan, suami juga akan berasa seronok untuk berada di rumah. Hal ini adalah kerana suami tahu ada orang yang menanti kepulangannya dan berasa kehadirannya sebagai suami, melengkapkan hidup isterinya dan membahagiakan isterinya.

Biasanya suami, apabila berada di luar rumah, dia dihormati, orang sekeliling sambut dan suka kehadirannya, dan mereka memandang tinggi kedudukannya. Sedangkan di rumah, isteri pandang rendah kepadanya, malah berasa tidak ada apa-apa makna pun kehadiran suaminya. Maka, kerana itu, suami tidak bahagia di rumah, dan dia juga tidak akan membahagiakan isterinya, kerana konsep ADA – BERI – DAPAT. Pandang pasangan kita dengan penuh kasih sayang dan menghargainya, barulah kita juga disayangi dan dihargai oleh pasangan kita. Kedua-dua suami dan isteri mesti memainkan peranan masing-masing dan tidak boleh menyalahkan. Beri sayang akan dapat sayang. Kita tidak akan dapat sayang, kalau tidak beri sayang, dan kita tidak boleh beri sayang kalau tidak ada sayang, (konsep ADA – BERI – DAPAT).

Untuk menjadi isteri penyayang, kita kena menyayangi diri sendiri dahulu. Kalau kita tidak boleh sayang diri kita, bermakna kita tidak kenal dan sayang Pencipta kita, Allah SWT. Para isteri, alangkah rugi kalau kita sibuk mencari kasih sayang suami, hingga kita tidak ada masa untuk mendapatkan kasih sayang Allah. Siapa yang mencari kasih sayang Allah, yakinlah akan dapat kasih sayang manusia. Jika kita fokus mencari kasih sayang manusia, kita akan tercicir daripada nikmat hidup akhirat. Ingatlah suatu hari nanti suami yang kita sayangi itu juga, akan kita tinggalkan atau suami kita itu yang akan tinggalkan kita, apabila kematian berlaku. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Prof Dr Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana Agama 29 Mac 2015

Persediaan mantap merealisasikan cita-cita agama

Menjayakan cita-cita agama dalam segala urusan memerlukan persediaan tersendiri. Jika ditinjau pola wacana Islam pada abad ke-19 dan ke-20, kita akan menemui pelbagai usaha intelektualisme yang disumbangkan oleh sarjana Muslim

dalam membangunkan bentuk yang wajar dijayakan oleh masyarakat Muslim bagi merealisasikan pengertian Islam sebagai tatacara kehidupan manusia menyeluruh.

Sumbangan pemikiran mereka adalah bermakna dan sebahagian besar persediaan dianjurkan itu perlu terus dilanjutkan oleh semua, sama ada individu atau kumpulan.

Kepentingan mengukuhkan persediaan itu bertambah utama pada abad ke-21 ini kerana realiti dan cabarannya yang serba kompleks dan unik. Ia juga akan memastikan pelaksanaan cita-cita agama berlangsung dalam keadaan tertib, tersusun dan hikmah. Ini penting supaya pelaksanaan cita-cita agama tidak membawa kepada kegagalan, hilang keyakinan atau citra yang negatif pula terhadap agama dan masyarakat Muslim.

Antara sumbangan intelektual yang berkesan berhubung persoalan persediaan dalam merealisasikan cita-cita agama dirakamkan oleh sarjana Muslim, Malik Bennabi (1905-1973) dalam wacana beliau mengenai peradaban. Beliau menekankan kepentingan persediaan ketamadunan dibina secara utuh sebagai landasan atau manhaj bagi pembangunan semula umat Islam yang berada dalam keadaan lemah pada masa kini.

Gerakan ketamadunan

Persediaan peradaban boleh juga difahami sebagai pendekatan berfikir bagi menjayakan semula kemajuan ummah. Dalam erti kata lain, kebangkitan dan kemajuan sesebuah masyarakat berlaku dalam satu proses kompleks yang boleh difahami sebagai gerakan ketamadunan.

Persediaan peradaban menekankan kepada upaya pengemblengan secara menyeluruh segala potensi ketamadunan masyarakat Muslim bagi berdepan tuntutan dan cabaran persekitaran semasa. Permasalahan terbesar masyarakat Muslim hari ini ialah cabaran ketamadunan yang lemah dan bagaimana untuk berdepan dengan pengaruh ketamadunan sekeliling yang serba kompleks. Berikutan itu, pemahaman sepenuhnya kedudukan zaman hari ini dan menilai keupayaan semasa yang dimiliki umat Islam adalah asas dalam pemikiran peradaban ini.

Sebagai sebuah gerakan ketamadunan, pemikiran mengenai persediaan peradaban menekankan kesepaduan dalam pelaksanaan urusan agama. Misalnya, cita-cita bagi merealisasikan cita-cita perekonomian Islam menuntut kepada pembangunan suatu rencana persediaan menyeluruh meliputi program pengemblengan modal insan, kecekapan sains dan teknologi, pembangunan semangat keusahawanan, ketetapan dasar ekonomi, pembinaan institusi kewangan yang cekap serta kefahaman mengenai rentak kuasa ekonomi dunia dan sistem kewangan global semasa.

Seluruh program ini adalah aspek penting dalam persediaan peradaban yang perlu dijayakan bagi merealisasikan kemajuan ekonomi umat Islam, seterusnya memastikan model perekonomian Islam mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dunia.

Persediaan peradaban sama juga boleh diaplikasikan dalam konteks misalnya bagi merealisasikan cita-cita perundangan Islam pada masa kini.

Undang-undang Islam sebagai sebuah sistem peraturan yang bertujuan membina sebuah kehidupan saksama, adil dan penyayang tidak terbina secara sendiri atau terasing. Kemajuan dalam penterjemahan pelaksanaannya banyak tergantung kepada kesediaan pelbagai aspek ketamadunan yang berfungsi sebagai pendokong kejayaan pelaksanaannya.

Pada abad ke-21 ini, cabaran merealisasikan cita-cita perundangan Islam amat kompleks kerana dunia Islam secara khusus masih berdepan fenomena Islamophobia diakibatkan pelbagai peristiwa politik global yang tidak tenteram. Kita tidak boleh menafikan wujud sikap prejudis yang masih berleluasa terhadap peranan agama dalam urusan pemerintahan dan perundangan sama ada pada peringkat nasional atau global.

Pelaksanaan cita-cita perundangan Islam memerlukan kesediaan oleh kepemimpinan dan umat masyarakat Islam secara menyeluruh. Malah, penerimaan falsafah dan nilai kebaikannya hendaklah diakui masyarakat dari agama atau ideologi lain.

Kesempurnaan asas ekonomi dan kemakmuran yang melimpah kepada semua peringkat golongan adalah antara aspek ketamadunan lain yang dapat memastikan kejayaan merealisasikan cita-cita perundangan Islam.

Dalam erti kata lain, persediaan peradaban dalam merealisasikan cita-cita agama menuntut kefahaman menyeluruh terhadap seluruh aspek ketamadunan sesebuah masyarakat.

Kajian pelbagai sudut ilmu

Dalam konteks perekonomian Islam dan perundangan Islam yang dibincangkan itu, kejayaan pelaksanaannya menuntut persediaan kefahaman menerusi kajian jitu dari pelbagai sudut ilmu sosiologi dan antropologi, budaya dan etika, institusi dan modal insan serta persekitaran politik yang positif pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beberapa ilmu terkini dalam wacana pemikiran Islam semasa seperti panduan keutamaan bertindak (maratib al-amal) dan kepentingan awam yang perlu dipelihara (maslahah) serta objektif syariah (maqasid syariah) penting dijadikan rujukan dalam membangunkan persediaan ketamadunan itu. Dr Muhamad Razak Idris Berita Harian Kolumnis 29 Mac 2015