April 2nd, 2015

Cabaran pemikiran umat Islam

MUTAKHIR ini, masyarakat banyak didedahkan tentang cabaran pemikiran yang dihadapi oleh umat Islam sehingga membawa ancaman kepada kefahaman tentang Islam.

Tidak dinafikan bahawa arus kemodenan telah membawa banyak perkara baharu yang kadangkala memerlukan penelitian mendalam tentang kesesuaiannya dengan prinsip-prinsip Islam.

Dakwah bukan tertakluk kepada agamawan sahaja, ia peranan semua orang. -Ilustrasi Gayour


Justeru, umat Islam harus berusaha untuk memastikan unsur-unsur pemikiran yang tidak sesuai dengan Islam seperti liberalisme dan sekularisme tidak menjadi arus perdana dalam amalan umat Islam.

Pemikiran pasca modernisme ini adalah antara penyumbang utama kepada cabaran pemikiran umat Islam masa kini.

Pengaruh unsur–unsur liberalisme, kebebasan mutlak manusia dan sekularisme dalam ideologi umat Islam boleh menimbulkan usaha penolakan terhadap asas-asas dan tradisi agama dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Akhirnya, ini akan membawa kepada tindak-tanduk yang menggugat peranan institusi pemerintahan dan juga kepimpinan agama dalam negara atas dasar kebebasan mutlak individu dan masyarakat.

Sebagai contoh, pemikir-pemikir Barat lebih cenderung mengangkat bentuk pemikiran yang mendaulatkan hak dan kebebasan individu semata-mata.

Bagi golongan ini dan para pendukungnya, hak asasi manusia dan kebebasan individu adalah bersifat mutlak dan kepentingan individu mengatasi kepentingan manusia sejagat.

Di sini, perlu ada penjelasan bahawa dari perspektif Islam, hak asasi dan kebebasan manusia adalah tidak mutlak dan bermatlamatkan melindungi maruah dan karamah manusia yang membezakan antara manusia dan haiwan.

Umat Islam harus dididik dengan kesedaran tentang peranan mereka memenuhi aspirasi sebenar Islam, iaitu sebagai khalifah bagi memakmurkan dan memelihara hak ALLAH SWT di muka bumi ini.

Dalam usaha untuk menangani cabaran pemikiran ini, adalah penting bagi umat Islam untuk mempunyai kefahaman Islam yang sebenar. Ia harus meliputi kefahaman Islam sebagai agama fitrah. Keseluruhan ajaran Islam menepati dan sememangnya sesuai dengan fitrah semula jadi manusia.

Sesungguhnya manusia itu diciptakan ALLAH SWT dengan segala kemampuan jasadiah, akliah, ruhiyyah dan keperluan yang bersesuaian untuk menerima perintah-Nya.

Syariat daripada ALLAH SWT yang diutuskan melalui para Nabi dan Rasul adalah sesuai dengan manusia untuk diamalkan bagi mencapai keharmonian dan kesejahteraan hidup.

Ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat ke 30: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama yang hanif (Islam). Itulah fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah ALLAH. Itulah (Islam) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Islam juga menekankan pendekatan yang sederhana (wasatiyyah) dalam semua aspek kehidupan. Secara langsung, ini menjadikan ia praktikal dengan mengambil kira fitrah semula jadi manusia.

Seharusnya umat Islam juga mengambil berat terhadap aspek kesederhanaan ini.

Mempunyai salah faham tentang Islam akan mengakibatkan wujudnya golongan ekstremis dalam masyarakat yang akan melahirkan tindakan-tindakan yang sememangnya tidak sesuai dengan Islam.

Disebabkan oleh tindakan yang mencalarkan imej Islam dan menimbulkan kecelaruan kefahaman tentang Islam, perbincangan tentang cabaran pemikiran yang melanda umat Islam perlu berterusan menjadi topik di arus perdana.

Ini bertujuan menjadi panduan agar umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan pemikiran yang tiada asas dalam Islam, terutamanya yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.

Pensyariatan wasiat dalam Islam

WASIAT dari segi bahasa berasal daripada perkataan wassa yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati.

Dari segi istilah pula merujuk kepada pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada pihak lain setelah meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak dalam bentuk harta atau manfaat.

Pensyariatan wasiat dapat dilihat melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan seseorang itu supaya berwasiat seperti dalam surah al-Ma’idah ayat 106 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang daripada kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi, lalu kamu ditimpa bahaya kematian.”


PENULISAN wasiat merupakan salah satu mekanisma perancangan perwarisan harta yang menzahirkan keinginan seseorang terhadap strategi pengagihan harta dimiliki. – Gambar hiasan

Di samping itu, Rasulullah SAW menggalakkan seseorang itu membuat wasiat sebagaimana dalam hadis: “Tiada hak (patut) bagi seorang Muslim, mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ikut sunah

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunah. Dia juga mati sebagai seorang yang bertakwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Antara syarat utama wasiat ialah pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan tidak dipaksa serta pemilik kepada harta yang diwasiatkan.

Penerima wasiat pula hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan), wujud pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki harta dan bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali).

Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih, tidak alih atau manfaat yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan). Sighah wasiat boleh berlaku sama ada secara jelas (sarih) atau tersirat (kinayah) atau sama ada melalui lisan, tulisan atau isyarat.

Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat sepertiga daripada harta bersih peninggalan yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumian dan pembayaran hutang-hutang sekiranya ada.

Disebabkan itu, wasiat yang melebihi kadar sepertiga harta pewasiat adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang melarang wasiat melebihi sepertiga daripada harta pewasiat.

Saad bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Mekah.”

Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.”

Baginda menjawab: “Tidak.”

Aku berkata: “Sebahagiannya.”

Baginda menjawab: “Tidak.”

Aku berkata: “Sepertiga.”

Baginda menjawab: “Ya, sepertiga dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perbezaan wasiat dan faraid:

1 - Pembahagian faraid ditetapkan oleh Allah dalam al-Quran manakala pembahagian wasiat tidak melebihi sepertiga daripada jumlah harta.

2 - Hukum faraid berlaku selepas kematian si waris manakala wasiat dilakukan ketika hidup dan berkuat kuasa selepas pewasiat meninggal.

3 - Hukum faraid yang menentukan kaedah agihan harta pusaka si mati kepada ahli waris yang berhak menerimanya, manakala wasiat boleh diagihkan kepada orang lain sekalipun bukan waris.

Berdasarkan penerangan di atas, perlu difahami bahawa pelaksanaan wasiat adalah berbeza dengan faraid. Terdapat ruang yang disediakan untuk kita menginfakkan sebahagian harta kepada individu-individu yang tidak termasuk dalam senarai pembahagian faraid dengan syarat tidak melebihi sepertiga daripada harta pusaka.

Justeru itu, dengan adanya instrumen wasiat, kita mampu membantu golongan yang tidak berkemampuan sekalipun kepada golongan yang bukan waris seperti anak angkat, fakir miskin atau jiran tetangga.

Lantaran sifat wasiat yang fleksibel, ia juga membuka ruang kebajikan kepada golongan yang berkemampuan untuk membantu individu-individu yang dalam kesusahan bagi memperoleh ganjaran pahala di akhirat kelak.

Jangan terlalu ghairah hendak bergurau

LANGSUNG tidak salah untuk bergurau. Namun gurauan itu perlu ada hadnya, jangan melampau hingga sengaja mereka-reka sesuatu yang langsung tidak diucapkan oleh individu terbabit. Amat teruk jika membabitkan individu yang sudah meninggal dunia.

Malam semalam, iaitu menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), alam maya mengalami kesesakan trafik yang amat serius, pelbagai mesej dan ucapan gurauan menceritakan mengenai sisi hitam cukai itu bersimpang-siur - seperti fitnah dan tohmahan itu sesuatu yang halal.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah penyebaran gambar memaparkan bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Allahyarham Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah yang kononnya mengeluarkan kenyataan: “Bagi menyempurnakan titah perintah Dato Sri Najib, setelah diperkenankan oleh Datin Sri Rosmah, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh bermulanya GST bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 April 2015, bersamaan 12 Jamadilakhir 1436”.

Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab, Allahyarham yang begitu sinonim dengan pengumuman tarikh mula berpuasa dan juga tarikh Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, meninggal dunia pada 12 Disember 2012. Arwah memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun mulai tahun 1989 hingga 2011.

Penulis ingin bertanyakan kepada ‘pahlawan papan kekunci’, pernahkah anda semua terfikir apakah perasaan anak-anak, saudara-mara Allahyarham apabila menerima gurauan ini? Tidak berdosakah anda? Sekiranya berdosa dengan Pencipta, diberikan peluang untuk bertaubat. Namun sekiranya melakukan kesalahan sesama makhluk, urusan di hari pembalasan kelak akan tergantung selagi tidak meminta pengampunan daripada individu terbabit. Dosa sendiri tidak tertanggung, inikan pula dosa ‘pahlawan-pahlawan’ yang berganding bahu membantu menjadikannya sebagai viral.

Rasulullah SAW bersabda: “Termasuk dosa yang paling besar adalah kalau orang mengutuk kedua-dua orang tuanya. Ada orang bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana orang mengutuk kedua-dua ibu bapanya? Baginda menjawab: “Kalau seseorang mencaci bapa orang lain, lalu orang lain itu membalas mencaci bapanya dan mencaci ibunya.” - Riwayat Bukhari.

Mungkin ada yang cuba mengelak dengan mengatakan bahawa “aku bukan yang pertama menyebarkannya” tetapi perlu diingatkan jari yang menekan butang kongsi dalam telefon bimbit masing-masing itu akan bersaksi di hadapan Yang Maha Esa pada hari Kiamat kelak.

Firman Allah dalam Surah Yaasin, ayat 65, mafhumnya: “Pada waktu itu Kami paterikan mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ialah seorang yang patut dihormati, peranan dan tanggungjawab pemegang amanah itu amat besar dan bukannya sesuatu yang boleh dipermainkan dengan sewenang-wenangnya.

Memetik reaksi seorang rakan penulis dalam laman sosial WhatsApp mengenai perkara ini:

“Pada masa krisis atau adanya isu, banyak sekali gambar yang diedit oleh pihak tertentu yang berkepentingan terutamanya untuk memanipulasi dan menjajah minda dalam keadaan orang ramai tidak menyedarinya apabila melihatnya dari sudut yang sempit.

“Teori propaganda yang paling berkesan adalah manipulasi dan penjajahan minda. Sebuah kerajaan akan runtuh, pegangan agama, adat dan moral akan dikikis. Terdapat pihak yang cuba mengambil peluang dalam situasi krisis untuk menyebarkan propaganda sebegini bagi tujuan menghakis ketaatan kepada Raja yang menjadi lambang kebesaran agama, ketaatan pada negara dan maruah bangsa.

“Mungkin mereka dengki dengan orang Melayu dan agama Islam kerana setiap kali tiba Ramadan, Raya Puasa dan Haji maka pengumuman akan dibuat oleh seorang wakil Raja-Raja Melayu, agama dan kaum lain tidak ada.

“Janganlah kita mempersendakan lambang keagungan negara, agama dan keturunan kita, juga jangan sebarkan gambar-gambar edit pemimpin negara walau kita tidak setuju dengan mereka. Jangan kita menjadi ejen dalam tidak sedar membantu musuh menyempurnakan agenda mereka. Sejarah dunia telah membuktikannya.”

- Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana 02 April 2015 2:01 AM

Hidup berlandas kebendaan jadikan manusia rakus

Saudara baharu yang memilih Islam sebagai agama dan cara hidup boleh menjadikan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidaklah Aku (Tuhan) menjadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Surah al-Zariyaat, ayat 56)

Mengabdikan diri kepada tuhan adalah asas beragama. Melakukan segala kewajipan beribadah, membuat yang makruf dan meninggalkan yang mungkar hanyalah permulaan kepada perkara lebih luas mengenai pengabdian kepada Tuhan.

Menerusi amal ibadah, Allah SWT menjadi paksi kepada hati nurani, akal budiman dan perilaku yang mulia. Menerusi ibadah yang dilakukan, Allah SWT menjadi perangsang kepada pemikiran, perbuatan dan pembinaan hidup.


Peneroka alam membuka mati hati mengenai kehebatan ciptaan Tuhan. - Gambar hiasan

Alam semesta tanda-tanda Allah

Ibadah mengaitkan Allah SWT dengan kita dan seterusnya alam semesta. Alam semesta ini adalah tanda-tanda Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:"Sesungguhnya di dalam ciptaan langit dan bumi dan peralihan di antara malam dan siang adalah ayat-ayat (iaitu tanda-tanda) bagi mereka yang berfikir." (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Apabila menjenguk dunia yang terpampang di depan mata, kita teruja dengan apa yang boleh diperoleh daripadanya. Dengan akal yang ada, kita meneroka setiap pelosok alam dan menggali rahsia yang terkandung di dalamnya.

Kita memperoleh minyak dan elektrik, ubat-ubatan untuk merawat pelbagai penyakit, meningkatkan kualiti pertanian, menghasilkan makanan lebih berkhasiat, mengetahui teknologi menghasilkan kereta, kapal terbang dan kapal angkasa.

Sememangnya akal adalah anugerah tidak ternilai sumbangannya kepada pembangunan hidup manusia. Namun, seandainya akal hanya terbatas kepada mencari kepuasan kebendaan, manusia tidak boleh menjadi insan sejati dan memenuhi matlamat utama ciptaannya.

Mengikut hawa nafsu

Manusia juga mempunyai hawa nafsu dan hawa nafsu yang menjurus kepada kebendaan sahaja tidak boleh membawa manusia lebih jauh daripada kepuasan hidup. Sejarah menyaksikan bagaimana kehidupan berlandaskan kebendaan mengakibatkan manusia menjadi rakus.

Mereka saling mengatasi antara satu sama lain untuk memperoleh sebanyak mungkin harta kekayaan sehingga lupa bahawa mereka adalah manusia bersaudara.

Agama membawa manusia melangkaui batasan kebendaan. Agama membawa kita merenung persoalan ciptaan yang kemudiannya akan merangsang akal dan hati untuk bertanya sama ada dunia hanya sekadar kehidupan kebendaan atau membawa nilai penuh keinsanan.

Kita adalah insan yang mempunyai lima peribadi iaitu saya, keluarga, insan, alam semesta dan agama. Justeru, setiap yang kita fikir dan lakukan pastinya membabitkan kepentingan selain daripada kita.

Mungkin juga Allah SWT jadikan peribadi kita sedemikian rupa supaya dapat merealisasikan hakikat manusia perlu berkongsi hidup dengan yang lain. Ia akan melahirkan nilai murni seperti kasih sayang, hormat menghormati dan tolong menolong antara sesama insan.

Beragama dalam Islam memastikan kita beribadah untuk mencelikkan minda meneroka alam semesta dan menjana kehidupan selesa. Minda yang celik akan merangsang akal mengaitkan erti kehidupan kebendaan kepada makna kita sebagai manusia yang kemudiannya mencetuskan nilai murni dalam peribadi.

Akal yang sedar akan membuka mata hati kita kepada agama dan menyedari kenapa tuhan penting untuk umat manusia. Sehubungan itu, beragama dalam Islam semestinya menjadikan seseorang itu ahli kaji, ahli fikir, berkeperibadian murni dan ahli ibadah sesuai dengan dirinya yang bergelar Muslim.

Pembangkang menakutkan bukan Islam

Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu, hudud menjadi bahan perbahasan dan bualan hingga ada yang mendakwa tidak relevan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun perundangan Kanun Jenayah Syariah atau hudud ini hanya meliputi orang Islam, warga bukan Islam dikatakan terus bimbang.

Dalam konteks sistem dan badan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan mengakui kewujudan dan amalan dua sistem perundangan iaitu undang-undang sivil di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan undang-undang syariah di bawah kerajaan negeri. Perkara 73 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen membuat undang-undang bagi keseluruhan Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri untuk keseluruhan negeri masing-masing. Perkara 74 (1) memberi kuasa kepada Parlimen membuat undang-undang terhadap perkara yang disenaraikan dalam Senarai I, Jadual Sembilan dan Perkara 74 (2) pula memberi kuasa kepada Dewan Undang-Undang Negeri (DUN) membuat undang-undang terhadap perkara yang disenaraikan dalam Senarai II, Jadual Sembilan, Perlembagaan Persekutuan. Jenayah sivil digolongkan dalam Senarai I dan hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang Islam (undang-undang Islam) pula digolongkan dalam senarai II - Senarai Negeri. Pada masa sama, Jadual Sembilan, Senarai II, Para (1) dengan jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri menubuh mahkamah syariah bagi mengurus hukuman mengenai kesalahan orang Islam terhadap perintah agama.

Bidang kuasa Persekutuan, negeri

Perlembagaan Persekutuan, Perkara 74, Jadual Sembilan dengan jelas memasukkan perkara dan jenis kesalahan dalam dua senarai mengikut bidang kuasa Pusat dan negeri. Perkara dan jenis jenayah dalam Senarai 1 adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Senarai II bagi kerajaan negeri. Jenayah sivil dimasukkan dalam Senarai 1 dan Perundangan Islam masuk dalam Senarai II atau Senarai Negeri.

Jenayah sivil ditadbir Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di bawah pentadbiran Pusat. Perundangan Islam atau syarak pula ditadbir oleh Mahkamah Syariah Rendah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan pelaksanaan perundangan Islam, kerajaan meluluskan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, Akta 355, membolehkan Mahkamah Syariah ditubuhkan dengan sempurna di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang Islam dan mana-mana perkara dalam Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah syariah tidak berkuasa menghukum kesalahan yang boleh dihukum penjara lebih tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan lebih enam kali. Perkara 121(1A), Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan mahkamah sivil tidak ada kuasa terhadap perkara yang disenaraikan dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang umumnya dikenali sebagai hukum hudud, qisas dan takzir agar undang-undang Islam dapat dilaksanakan di Kelantan pada tahun 1993 dan di Terengganu pada tahun 2003. Namun, Enakmen Kanun Jenayah Syariah pada tahun 1993 tertangguh pelaksanaannya sejak tahun 1993 kerana pelbagai kekangan dari segi penyediaan perundangan.

Apabila pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II diluluskan di DUN Kelantan pada 19 Mac lalu, 31 ahli PAS dan 12 wakil rakyat Barisan Nasional menyokong. Enakmen itu dilaporkan menyedia struktur pengurusan mahkamah syariah di Kelantan dan menyediakan peruntukan pelbagai kesalahan terutama tujuh salah laku seperti sariqah (mencuri), hirabah (rompakan bersenjata), zina (persetubuhan di luar perkahwinan), liwat, qazaf (tuduhan palsu mengenai kemuliaan seseorang), syurb (meminum arak) dan irtiddah (murtad).

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dilaporkan terkandung syarat di mana masyarakat bukan Islam diberi pilihan untuk memilih perundangan mengikut pilihan, iaitu sama ada mereka memilih untuk dibicara dan dihukum di mahkamah sivil atau syariah (hudud). Tetapi, syarat itu dipinda dalam Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dilulus pada 19 Mac lalu agar warga bukan Islam tidak termasuk dalam pelaksanaan perundangan Islam atau hudud di Kelantan. Dengan itu jelas segala kesalahan dan hukuman dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) adalah ditujukan kepada orang Islam sahaja.

Warga bukan Islam harus sedar kelulusan Pindaan Enakmen Syariah II tahun 1993 bukan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti didakwa kerana ia membenarkan kewujudan dan pengamalan perundangan sivil dan syariah. Dakwaan kelulusan enakmen berkenaan bertentangan Perlembagaan Persekutuan bermotif politik dan cubaan mengelirukan bukan Islam. M Periasamy Berita Harian Kolumnis 2 April 2015

Lidah penentu syurga, neraka

ABU Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, baginda menjawab: “Bertakwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah SAW menjawab: “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.” (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Diumpamakan seperti modal saham selepas meninggal dunia, mulut atau lidah merupakan anggota tubuh yang mampu menentukan langkah seseorang untuk meneruskan kehidupan sama ada di syurga atau neraka di akhirat.

Perlu bijak menggunakan lidah dalam percakapan dan gurauan



PERTUTURAN merupakan penentu langkah di akhirat. - Gambar hiasan

Malah, pertuturan yang membawa kebaikan bukan sahaja memberikan kelebihan pahala ketika hayat, tetapi mendatangkan ganjaran yang berterusan selagi masih memberi manfaat kepada orang ramai walaupun setelah meninggal dunia.

Pendakwah bebas, Nurul Hidayah Kamarudin berkata, situasi sama juga akan berlaku kepada individu yang menyalahgunakan lidah bagi mengungkapkan perkara yang membawa kepada keburukan dan maksiat.

Lebih membimbangkan tambahnya, dosa yang diperoleh akibat perbuatan lisan itu akan diterima berpanjangan sehingga ke akhirat selagi masih diulangi dan dilakukan oleh orang ramai yang masih hidup dari sehari ke sehari.

“Dilihat suatu yang remeh, namun lidah atau lisan boleh diumpamakan sebagai modal akhirat. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju seseorang Muslim sama ada ditempatkan ke dalam syurga atau neraka.

MEDIUM komunikasi baharu merupakan pengantar informasi bersifat lisan tanpa suara

“Oleh itu, kita perlu bijak menggunakan lidah apabila bercakap dan bergurau. Sekiranya ungkapan yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita sehingga ke hari akhirat.

“Bagi percakapan yang baik pula, walaupun ianya hanya sedikit tetapi membawa manfaat yang besar kepada masyarakat dan dilakukan oleh orang ramai, pahala akan diperoleh walaupun kita telah meninggal dunia,” katanya yang juga merupakan bekas pendakwah program realiti televisyen.

Menyakiti orang

Nurul Hidayah berkata, Rasulullah SAW turut mengambil berat terhadap peranan mulut dengan berpesan kepada setiap Muslim agar memelihara tangan dan juga lidah daripada perbuatan menyakiti orang lain.

“Perkara ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: Seorang Muslim adalah seseorang memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain. (riwayat Bukhari)

“Ini kerana setiap Muslim mempunyai hak terhadap sesama Muslim yang lain. Begitu juga sebarang pertuturan atau gurauan kepada orang lain juga perlulah benar dan tidak boleh mempunyai unsur penipuan atau sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

“Lebih-lebih lagi apabila menyentuh hati dan perasaan orang lain. Sesuatu perbuatan yang boleh menyakitkan orang lain adalah seperti menafikan hak Muslim terhadap Muslim yang lain dan perkara itu ditegah oleh Rasulullah SAW,” ujarnya.

Kafir tanpa sedar

DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam” sering kali menjadi kata-kata lazim yang terkeluar dalam perbualan harian kebanyakan daripada kita sama ada spontan mahupun secara sengaja.

Dianggap sebagai gurauan, pelbagai ungkapan ini yang dirasakan sebagai jenaka mengundang suasana ceria dan menghiburkan sesama sendiri itu dilakukan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah dewasa dan telah berumur.




BERGURAU mendatangkan kesan yang positif jika dilakukan dengan kaedah yang betul.

Sehinggakan, tanpa rasa bersalah mengungkapkan kata-kata seumpama yang dilihat seperti mempersendakan hukum dan syariat Allah SWT dan Rasul secara terang-terangan termasuk menerusi penulisan dan klip video di laman sosial dan juga media massa.

Hakikatnya, sedar atau tidak, perbuatan yang dianggap gurauan sama ada dengan niat atau tanpa niat tersebut mampu menjejaskan akidah seseorang umat Islam, malah cenderung menjadi kafir.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, ia bersandarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main sahaja.” Katakanlah, “Mengapa pada Allah SWT dan rasul-Nya kamu selalu memperolok-olok? Tidak perlu kamu meminta maaf, kerana kamu telah kafir setelah beriman. (al-Taubah: 65-66)




Dr. Irwan Mohd Subri

Gurauan tambahnya, perlu dinilai daripada aspek sensitiviti dan batasannya sebelum diperkatakan walaupun tanpa niat berbuat demikian atau bagi memenuhi permintaan orang lain.

“Islam telah menetapkan garis panduan serta batasan dalam bergurau, lebih-lebih lagi apabila membabitkan hal agama. Gurauan berbentuk memperlekeh atau mempermainkan sesuatu hukum yang telah disyariatkan dalam Islam disifatkan kafir oleh Allah SWT dalam al-Quran.

“Perbuatan itu seakan-akan mempertikaikan ketetapan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hambanya.

“Begitu juga mempertikaikan sunah Rasulullah yang dianggap memperkecilkan kesempurnaan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT.

“Hikmah daripada larangan ini adalah bagi menjaga kesempurnaan Islam daripada dipermainkan dan dipandang rendah oleh pihak lain terutamanya musuh Islam, “ katanya ketika ditemui di Pejabat Infad, Nilai, baru-baru ini.

Beliau yang juga pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, Islam sama sekali tidak menghalang penganutnya bergurau senda selagi tidak melampaui batas dan tidak bertentangan dengan perintah syariat.




ISLAM telah menetapkan garis panduan dan batasan dalam bergurau supaya tidak melampaui batasan. - Gambar hiasan

“Gurauan tidak salah, malah turut dilakukan oleh Rasulullah SAW dan juga merupakan sifat segelintir sahabat Rasulullah SAW yang suka bergurau pada hayat baginda tetapi tidak ditegur oleh Nabi Muhammad SAW.

“Asalkan gurauan itu adalah dengan tidak dusta, memperlekehkan dan menghina orang lain, menakut-nakutkan, mengumpat, mengikut kesesuaian dan keterlaluan dalam gurauan juga dikategorikan kepada melanggar adab bergurau.

“Walaupun dalam keadaan reda sekalipun, gurau yang berbentuk menjatuhkan maruah atau menyakiti orang lain ditegah di dalam Islam, malah perlu bertanggungjawab sekiranya menyebabkan perkara buruk berlaku,” jelasnya.

Membatalkan akidah

Bukan sahaja menerusi perkataan, Irwan berkata, terdapat tiga perkara yang menjadi penyebab membatalkan akidah seseorang Muslim iaitu melalui perbuatan dan juga niat di dalam hati.

Perkara itu disimpulkan menerusi penulisan ulama terkemuka, Said Hawwa dalam kitabnya berjudul, Jundullah Tsaqafatan Wa Akhlaqan.

“Selain menerusi perbualan seharian, bergurau melalui perbuatan dan juga terlintas niat di hati juga boleh penyebab membatalkan akidah. Menurut Said Hawwa ia apabila berlaku dalam keadaan sedar atau waras serta dia tahu akibat daripada perbuatan yang dilakukan tersebut.

“Sebagai contoh melalui perbuatan seperti bergurau kononnya ingin memijak al-Quran atau beriktikad hukum Islam adalah jumud dan tidak bersesuaian dengan amalan zaman sekarang, dikhuatiri boleh menggugurkan iman.

“Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat dengan beristighfar pada setiap waktu bagi menyesali dosa yang dilakukan lebih-lebih lagi kesalahan yang tidak kita sedari,” katanya.

Hukuman abai zakat

ADA orang kaya yang enggan mengeluarkan zakat dan mereka tetap enggan walaupun telah diberikan nasihat. Maka, apakah caranya untuk melentur hati mereka agar tunduk dan patuh kepada perintah dan hukum zakat ini? Mohon perkongsian dengan ustaz, terima kasih.

JAWAPAN Terima kasih kembali kerana sudi membawakan pertanyaan seperti ini. Sesungguhnya tidak dapat dinafikan, memang sepanjang zaman ada sahaja manusia yang diberikan kekayaan oleh Allah SWT tetapi mereka sebaliknya lupa daratan dan menjadi manusia pengingkar perintah Tuhan.

Jika dirujuk pada zaman dahulu, Qarun misalnya yang hidup pada zaman Nabi Musa as, pernah menjadi manusia kaya raya yang mengingkari perintah Allah SWT. Apabila dia diperintahkan untuk memberikan sebahagian kecil hartanya sebagai sedekah atau zakat kepada kaumnya yang memerlukan, Qarun malah menolak arahan tersebut dengan keangkuhan.


Mengabaikan zakat berat seksaannya sebagaimana dibuktikan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. - Gambar hiasan

Qarun berkata dengan sombong: (Sesungguhnya) aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (al-Qasas: 78)

Harus diingat, pada zaman dahulu Allah SWT tidak menangguhkan penyeksaan bagi kalangan yang zalim dan mendustakan agama. Sekelip mata sahaja, Allah SWT menghukum Qarun, dia mati dibenam ke dalam perut bumi bersama harta kekayaannya: Lalu Kami (Allah) timbuskan dia bersama-sama dengan istananya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. (al-Qasas: 81)

Hal seperti ini tidak berlaku bagi umat Islam akhir zaman. Atas belas ihsan Allah SWT, jarang yang dihukum di dunia melainkan Allah SWT menangguhkan pembalasan itu hingga tibanya hari pembalasan nanti (selepas kiamat). Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah menangguhkan (azab) kepada orang zalim. Maka bila Dia mengazabnya, maka Dia tidak akan melepaskannya.” (riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah)

Sebab itulah, ada orang yang terus lalai dengan nikmat ini, sehingga mereka alpa dan berterusan melakukan dosa. Walhal Allah SWT mengingatkan: Dan janganlah sekali-kali kamu mengira, bahawa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. (Ibrahim: 42)

Maka, atas jalan menyedarkan manusia agar tidak kekal berdosa, al-Quran dan hadis banyak sekali memaparkan perihal hukuman dan seksaan bagi kalangan yang ingkar dan pendosa di dunia, termasuklah mereka yang melalaikan kewajipan zakat dalam kehidupannya. Mungkin sekiranya kita memberikan amaran seperti ini, akan timbul ketakutan di hati mereka yang selama ini lalai dalam agamanya.

Misalnya, Allah SWT menyatakan: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah (enggan berzakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (at-Taubah: 34-35)

Pada juzuk yang lain Allah SWT mengingatkan lagi dengan firman-Nya: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Ali Imran: 180)

Belitan ular jantan

Sementara itu, dalam hadis-hadis, Nabi Muhammad SAW menyatakan: Siapa yang dikurniakan oleh Allah kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat ia akan didatangi seekor ular jantan gondol (yang botak), yang sangat berbisa dan sangat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya, lalu melilit dan mematuk lehernya sambil berteriak (kepadanya): Aku adalah kekayaanmu, aku adalah perhiasanmu, yang kamu simpankan dahulu. Lalu Nabi SAW membaca ayat al-Quran, daripada surah Ali Imran, ayat 180 di atas. (riwayat Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

Imam Muslim pula menyatakan di dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin ‘Abdullah r.a: Tidak seorang pun pemilik unta, pemilik lembu atau pemilik kambing yang tidak membayar haknya (zakat), melainkan nanti di hari kiamat dia (akan) dibaringkan pada suatu tanah datar, lalu diinjak-injak oleh ternak dengan kukunya dan ditanduk dengan tanduknya.

Sebenarnya, masih ada lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang memperingatkan manusia tentang akibat di akhirat jika manusia mengabaikan zakat. Hanya tinggal lagi, sejauh manakah kita sebagai manusia yang berusaha untuk menggali dan mengambil pengajaran yang hakiki daripadanya.

Ibarat kata pepatah, masakan sagu bisa dimakan, jika ruyung tidak dipecahkan. Kitalah yang wajib membaca dan memahami amaran Allah SWT dan Rasulullah SAW itu.

Taubatlah penzalim

BAGAIMANAPUN, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan semua pembaca budiman, seandainya kita mengetahui ada dalam kalangan kaum kerabat, sahabat handai dan jiran taulan kita yang dengan sengaja mengabaikan kewajipan zakat, agar menasihati mereka supaya bertaubat dan segera menunaikan zakat. Ini kerana, kita sama sekali ditegah daripada mendiamkan diri apabila mengetahui sesuatu kemungkaran berlaku tanpa ada usaha mencegahnya.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan, yang mana mafhumnya, hendaklah kita berusaha mencegah kemungkaran, sama ada dengan tangan (kekuasaan), lisan (nasihat peringatan) mahu pun hati, mengikut kadar kemampuan iman kita. (riwayat Imam Muslim)

Ini kerana, andai kita membiarkan orang yang zalim terus berlaku zalim di atas dunia ini, maka khuatir kelak apabila Allah SWT menurunkan azabnya walaupun sedikit, maka kita dan orang-orang yang tidak berdosa juga turut menerima tempiasnya.

Nabi Muhammad SAW membuat perumpamaan, andai perbuatan jahat tidak dicegah maka samalah seperti dua kelompok manusia di dalam sebuah kapal. Apabila golongan di perut kapal mahu mengambil air, maka mereka pun mahu menebuk lubang di bawah kapal agar mudah mendapat air. Jika golongan di atas tidak mencegahnya, maka semuanya akan mati kelemasan (rujuk riwayat Imam Bukhari)

Sesungguhnya, bunga-bunga azab yang bakal ditimpakan di dunia jika orang-orang sudah mulai meninggalkan kewajipan zakat, disebutkan di dalam hadis, antaranya: “Golongan yang tidak mengeluarkan zakat, akan Allah timpakan kepada mereka kelaparan dan kemarau panjang.” (riwayat Imam at-Thabrani)

Sementara di kesempatan lain Nabi SAW menyatakan: “Bila mereka tidak mengeluarkan zakat, bererti mereka menghambat hujan turun. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak akan diberi hujan.” (riwayat Ibnu Majah dan Imam Baihaqi)

Berilah peringatan seperti ini kepada mereka, moga-moga timbul ketakutan di hati mereka dan menundukkan diri mereka dan juga kita kepada hukum-hakam Allah SWT, Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Wallahua’lam