April 4th, 2015

Keindahan pelaksanaan hudud sepanjang zaman

Di antara keunikan Islam ialah ia menawarkan cara hidup yang lengkap dalam kehidupan manusia, termasuklahberkaitan denganundang-undang jenayah. Sistem kepercayaan Islam menuntut penganutnya untuk mempercayai setiap yang terkandung di dalam alQuran dan hadis, termasuklah undang-undang jenayah, serta berusaha untuk melaksanakannya di dalam negara umat Islam. Ini dinyataka n dengan jelas secara konsensus oleh semua sarjana Muslimtanpa terkecuali (al-Zuhaili, Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/427).

Sejak Menteri Besar Kelantan, DatukAhmad Yakob membentangkan Pindaan Enakmen Jenayah SyariahII (1993) 2015 pada 18 Mac yang lalu, perbahasan mengenainya menjadi perbualan ramai pihak. Ramai yang menimbulkan kebimbangan sama ada dari sudut keabsahannya berbanding nas syarak, kemampuan pelaksanaan serta kesesuaian masa dan persekitaran.

Kebimbangan pelaksanaan

Antara kebimbangan yang dilontarkanialah kebarangkalian pelaksanaannya membawa kepada ketidakadilandi dalam sistem undang-undang, khasnya apabila membabitkanhukuman ke atas pesalah Muslim dan bukan Muslim. Di dalam membahaskan persoalan hukuman hudud ke atas bukan Muslim sebagai contohnya, Ibnu Qudamah di dalam kitab al-Mughniy (rujukan utama Mazhab Hanbali) menyatakan bahawa pendakwaan membabitkan Muslim dengan 'non-Muslim dhimmiy', perlu dijalankan mengikut undang-undang Islam. Akan tetapi sekiranya membabitkan perbicaraan sesama bukan Muslim, maka mereka perlu diberikan pilihan untuk diadili menurut cara mereka sendiri.

Ini berasaskan kepada firman Allah bermaksud, 'kalau mereka (bukan Muslim) datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka' (al-Quran, 5:42). Sarjana Muslim juga bersepakat menyatakan bahawa undang-undang hudud hanya dilaksana kepada kelompok manusia yang bersifat mukallaf sahaja. Menurut Abu Hanifah, undang-undang hudud hanya dilaksana kepada bukan Muslim berstatus 'dhimmiy' (definisi tradisional: bukan muslim yang menjadi warga kepada negara Islam), dan tidak kepada bukan Muslim berstatus al-musta'min (definisi tradisional: bukan Muslim yang hanya memasuki negara Islam secara sah seperti dengan visa dan kebenaran pemerintah, lalu diberikan hak dan perlindungan oleh pemimpin Islam). Pengecualian diberikan kepadajenayah qazaf (menuduh seseorang berzina tanpa keterangan saksi), maka ianya dilaksanakan ke atas bukan Muslim al-Musta'min, dan pendapat ini disepakati oleh semua mazhab utama. Jenayah minum arak juga hanya dilaksanakan kepada Muslim sahaja.

Mazhab Maliki pula berpandangan yang bukan Muslim perlu dijatuhkan hukuman hudud apabila membabitkan jenayah qazaf, mencuri dan membunuh (qisas). Jenayah zina pula dijatuhkan hukuman selain hudud (seperti takzir) bagi tujuan mendidik, kecuali membabitkan kes merogol wanita Muslim.

Tiada hukuman hudud dikenakanbagi peminum arak. Mazhab Shafie menyatakan hukuman hudud dikenakan ke atas bukan Muslim bagi jenayah zina, qazaf dan mencuri, tetapi tidak dikenakan ke atas peminum arak. Sementara bagi bukan Muslim berstatus al-musta'min, mereka dikecualikan daripada hukuman jenayah zina.

Mazhab Hanbali pula menyatakan hukuman ke atas penjenayah bukan Muslim perlu diadili berdasarkan kepada agama dan kepercayaan penjenayah berkenaan. Sebagai contoh, sekiranya agama seseorang penjenayah tidak melarang zina, maka tidak dijatuhkan hukuman hudud zina ke atasnya. Sebaliknya, sekiranya agama penjenayah melarang zina, maka hukuman hudud zina perlu dikenakan ke atasnya. Ini berdasarkan kepada hadis Ibnu Umar yang bermaksud, 'Sesungguhnya Nabi Muhammad menjatuhkan hukuman hudud ke atas dua orang Yahudi yang berzina' (agama Yahudi melarang zina, lalu dikenakan hukuman hudud zina).

Sekiranya dilihat dari aspek ini saja, terdapat beberapa persoalan yang perlu dirungkai oleh sarjana. Antaranya, ialah kebanyakan pengamalan undang-undang Islam, meliputi hudud, qisas dan takzir dilaksanakan secara total atau separa total, sejak daripada zaman Nabi Muhammad, tetapi terhenti dengan berakhirnya Khilafah Othmaniyah. Bahkan ketika zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni, baginda melihat keperluan untuk mewujudkan beberapa enakmen jenayah khas untuk rakyat bukan Muslim di bawah Kerajaan Uthmaniyah. Masyarakat bukan Muslim termasuk di Barat mengiktiraf peranan baginda sehingga digelar The Magnificent dalam literasi sarjana Barat kerana sumbangan pembangunan teks undang-undang moden yang harmoni tanpa berkompromi dengan syarak dan sentimen warga bukan Muslim.

Pelaksanaan bersifat setempat

Selepas jatuhnya Kerajaan Uthmaniyah, perkembangan pelaksanaan undang-undang syariah tidak berlaku dalam kerangka perkembangan negara moden, melainkan pelaksanaan yang bersifat setempat di beberapa daerah dan negara, yang kebetulan majoriti signifikan adalah Muslim. Justeru, perkembangan terencat itu menyebabkan tiadanya eksperimen menyeluruh, membabitkan negara multiras moden. Cabaran lain ialah memahami semua jargon dalam teks fiqh klasik, dalam konteks moden. Sebagai contoh, pengkategorian bukan Muslim antara 'dhimmiy', 'musta'min', 'mu'ahid' dan 'harbi'. Tinjauan semula terhadap kategori ini perlu diperjelaskan supaya pelaksanaan undang-undang syariah dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

Sarjana moden seperti al-Zuhaili (Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/432) dengan jelas menyatakan bahawa persoalan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam pada zaman moden adalah satu cabaran yang agak besar, kerana membabitkan proses 'taqnin', atau menulis teks undang-undang yang disebut dengan laras bahasa tradisional di dalam al-Quran dan hadis ke dalam bahasa perundangan moden. Justeru, beliau cenderung menyatakan tiada negara moden yang menjadi contoh terbaik dan kayu aras ke atas pelaksanaan undang-undang tersebut, kerana ianya bersifat lokal. Kaedah pelaksanaannya banyak bergantung

kepada faktor demografi negara berkenaan, seperti latar belakang ekonomi, campur tangan kuasa asing, kekuatan politik pemimpin tempatan melaksanakan Islam, pengaruh bukan Muslim dan seumpamanya. Tuntas, realiti setiap negara Islam pada zaman sekarang adalah berbeza.

Tuntas, ada banyak perdebatan mengenai pelaksanaan undang-undang syariah di negara moden. Kebanyakannya bersifat akademik, justeru perlu dibuka ruang seluasluasnya untuk perdebatan secara terbuka dalam kalangan sarjana, ahli politik, pihak berkuasa dan mahkamah. Cuma pastinya, sikap Muslim yang sebenar ialah mereka perlu wajib percaya akan keperluan dan keindahan pelaksanaan undang-undang syariah tersebut di negara masing-masing, serta mengelak diri daripada memberikan kritikan yang bersifat menghina undang-undang langitini. Selain itu, pemikiran simplistik juga perlu dielakkan ketika bersemangat melaksanakan undang-undang ini, sebaliknya perlu bersifat analitikal supaya pelaksanaannya tidak semata-mata berlandaskan tekstual, tanpa mengabaikan konstektual semasa. Ahmad Irfan Ikmal Hisham Berita Harian Kolumnis 4 April 2015

Berbelanja ikut keperluan bukan nafsu

Pengurusan kewangan dan membelanjakan harta adalah amanah Allah SWT. Ia satu keperluan bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan menjamin seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan akhirat.

Sistem ekonomi Islam lebih memfokuskan kerohanian dan kesejahteraan sejagat di mana nilai etika diterapkan cuba mengurangkan fokus keperluan manusia terhadap kebendaan serta pembaziran. Kesannya, seorang Muslim boleh mengawal kehendak hati yang sentiasa bercambah supaya lebih terpimpin.

Keperluan manusia dalam berbelanja berbeza dan terbahagi kepada tiga situasi sama ada dhoruriyyah, haajiyah atau tahsiniyah. Menurut teori kepenggunaan ekonomi Islam, kaedah perbelanjaan yang baik wujud jika pengguna membelanjakan pendapatan demi kepuasan yang seimbang antara material dan kerohanian. Dalam suasana ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, adalah baik untuk kita renungi ajaran Islam berkaitan amalan kepenggunaan.

Seruan ini bukanlah reaksi kepada situasi ekonomi hari ini semata-mata, ia adalah amalan yang sepatutnya dihayati umat Islam. Kesukaran hidup tatkala berhadapan kos sara hidup yang meningkat berbeza dengan kesusahan hidup pada zaman nenek moyang kita. Kesukaran dalam mencukupkan pendapatan sangat memberi impak besar kepada institusi kekeluargaan merangkumi makan minum, persekolahan dan ibadah seharian.

Peningkatan kos sara hidup

Masalah peningkatan kos sara hidup yang dirasai hari ini adalah perkara besar yang tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku

mengikut peredaran zaman. Namun, konsep berjimat cermat sudah lama diterapkan dalam jiwa Muslim. Dalam urusan berbelanja seharian, perlu diingatkan supaya tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatilah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barang siapa dijaga dirinya daripada kekikiran maka mereka itulah orang yang beruntung." (Surah atTaghabun, ayat 16)

Berbelanja dengan berhemah dan tidak menurut nafsu, sentiasa bijak mengenal pasti antara keperluan dan kehendak hati. Jadilah pengguna bijak dengan mengutamakan

keperluan, ketepikan soal bermewah dan bermegah kerana aliran tunai pada hari ini sangat mudah mengalir keluar berbanding mengalir masuk. Ukurlah kepada kemampuan diri dan sentiasa memandang kepada orang yang lebih susah. Bersederhana walau di mana kita berada. Jika ingin berbelanja, semak dahulu barang yang ada kemudian senaraikan apa yang benar-benar penting dan berbelanjalah di kedai menawarkan harga berpatutan.

Jadi pengguna bijak

Sesungguhnya menguruskan kos sara hidup bukan semata- mata mengenal pasti jenis keperluan dan kehendak individu, sebaliknya ia turut merangkumi keperluan mengenal pasti peningkatan harga barang, mengatur strategi meningkatkan pendapatanserta menguruskan pendapatan dengan bijak. Kesungguhan untuk menguruskan kewangan diri dan keluarga bukanlah satu perkara mudah, seharusnya dibuat secara kolektif dengan mengamalkan perbincangan bersama pasangan berkenaan kos perbelanjaan harian, tabungan pendidikan anak, simpanan persaraan, takaful, pengurusan hutang bulanan dan amal jariah.

Terapkan dalam diri anak bahawa pengurusan kewangan adalah tanggungjawab bersama dan perlu demi kesenangan hidup pada masa akan datang. Seorang suami memikul tanggungjawab besar ke atas isteri, anak dan keluarganya. Hakikatnya dalam kehidupan ini, kita sebenarnya sentiasa terikat dengan tanggungjawab dan amanah tanpa mengira siapa dan apa pangkat sekalipun. Sekiranya kita orang yang kaya maka janganlah dilupa pada golongan yang lebih memerlukan. Wan Jemizan Wan Deraman Dan Khuzama Abdul Rahman Berita Harian Rencana 4 April 2015