April 5th, 2015

Al-Quran laris di Perancis

PARIS 4 April - Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali ganda di negara ini selepas serangan ganas di pejabat majalah mingguan Charlie Hebdo Januari lalu, ekoran timbul tanda tanya dalam kalangan penduduk mengenai agama yang semakin pesat berkembang di Eropah itu.

Menurut pengarah majalah Philosophie, Fabrice Gerschel, fenomena itu berlaku kerana penduduk Perancis tertanya-tanya tentang agama Islam dan mereka tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh media.

Penjualan melonjak tiga kali ganda

Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali ganda di Perancis selepas serangan ganas di pejabat majalah mingguan, Charlie Hebdo, Januari lalu. AGENSI

Jelasnya, keadaan tersebut juga menyebabkan banyak edisi khas tentang al-Quran dihasilkan oleh syarikat penerbitan majalah bagi memenuhi kehendak pembaca.

Menurut Kesatuan Kedai-Kedai Buku Kebangsaan Perancis, jualan buku tentang Islam meningkat tiga kali ganda pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Penjual buku, Yvon Gilabert pula berkata, seorang wanita beragama Kristian datang ke kedainya untuk membeli al-Quran kerana mahu menilai sendiri dakwaan yang mengaitkan Islam dengan keganasan.

Penguasa kedai buku Al Bouraq, Mansour Mansour berkata, hasil jualan buku tentang Islam di kedainya meningkat 30 peratus sejak kebelakangan ini, sama seperti yang berlaku selepas serangan 11 September 2001.

“Saya rasa penjualan buku ini akan meningkat untuk jangka masa yang lama,” jelas Mansour.

Persoalan tentang Islam bukan sahaja menjadi topik perbualan dalam kalangan orang awam, tetapi turut mendapat perhatian cendekiawan Perancis apabila mereka bertindak menganjurkan program kajian tentang al-Quran di pusat pengajian berprestij, College de Perancis, di sini, kelmarin.

Serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 7 Januari lalu mengakibatkan 17 orang terkorban. AFP

Sangat takut dengan penyakit fizikal

Wajarkah kita bermurung dan berasakan hidup kita telah hilang kebahagiaan, jika seandainya kita ditakdirkan sakit, apatah lagi apabila kita disahkan menghidapi penyakit kronik? Kemurungan dan kerisauan itu membuatkan diri kita semakin lemah dan penyakit kita semakin mudah melarat, terutama bagi penghidap penyakit kronik seperti kanser. Sesungguhnya, Allah telah mengurniakan 100 trilion sel dalam tubuh badan kita, dan banyak lagi sel kita yang sihat, dan adakah hal ini masih menyebabkan kita tidak bersyukur dengan apa-apa yang kita miliki?

Jom audit diri kita, jika kita sakit, adakah kita fokus kepada badan yang sakit, atau bersyukur pada bahagian badan yang lain yang masih sihat? Contohnya, jika menghadapi sakit kaki, kita kena bersyukur kerana kita tidak sakit perut, tidak sakit mulut serta anggota badan yang lain masih sihat, hingga kita masih berselera makan walaupun kita sakit. Atau sekurang-kurangnya, apabila kita sakit, kita terima dengan reda atas kesedaran bahawa berapa lama kita diberikan Allah SWT kesempatan hidup sihat sepanjang puluhan tahun usia kita. Hanya beberapa hari atau beberapa bulan kebelakangan ini, kita diuji Allah dengan kesakitan. Kesedaran ini sangat penting untuk menguatkan semangat kita dalam menghadapi kesakitan yang kita hadapi.

Perkara yang tidak perlu disebut apabila kita ditimpa sakit, “saya tidak sihat,” “saya tidak larat,” “saya sudah tidak ada harapan,” “saya akan mati” dan seumpamanya yang menggambarkan rasa putus asa, takut dan kecewa. Apabila kita tidak menyebut perkara negatif tentang sakit ini, maka 50 peratus (%) kehidupan kita sudah bahagia. Hal ini adalah kerana apabila kita menyebut perkataan ‘penat’, ‘sakit’, ‘tidak larat’ dan seumpamanya, kita akan menghantar mesej negatif kepada minda, hati, jiwa dan kesannya seluruh tubuh fisiologi menjadi lemah.

Ada sesetengah orang jika mengalami sakit, kita lebih suka memilih untuk menunjukkan yang kita sedang sakit. Golongan seperti ini banyak sangat dalam kalangan masyarakat kita. Hakikatnya apabila kita ada penyakit, kita boleh pilih untuk sembuh atau untuk merana. Oleh itu apabila kita sakit, jangan kita mengadu kepada orang tetapi minta ampun kepada Allah kerana dosa-dosa kita yang dahulu, kerana sakit itu adalah satu kafarah. Ambillah jalan penyelesaian dengan mengambil banyak makanan sihat, rehat yang cukup, bersihkan hati, maafkan orang, serta bersihkan hati kita daripada semua prasangka dan penyakit hati.

Cuba ubah cara kita melihat penyakit yang diberi Allah kepada kita. Kita boleh labelkan adakah kita seorang ‘pesakit’ ataupun sebagai ‘perawat’ diri kita. Apabila kita mendapat penyakit, maka kita fikir, “mengapa kita sakit?” Mungkin kita seorang yang berfikiran dan berperangai negatif, maka kesannya lahir pada fizikal kita. Dunia kita sebenarnya bukan ‘dunia luaran’ kita, tetapi dunia kita adalah ‘dunia dalaman’ kita iaitu; minda, jiwa dan hati kita. Kepada sesiapa yang pandai mengawal emosi, sentiasa positif, sentiasa memberikan manfaat, memang jarang-jarang akan menghadapi penyakit, dan kehidupannya akan bahagia.

Kita mesti mengambil ‘kepercayaan’ bahawa, ‘Apa-apa yang negatif berlaku ke atas kita, kita akan betulkan diri kita dahulu. Audit diri kita, tentu kita ada membuat silap, sama ada dengan Allah atau dengan sesama manusia. Kita akan betulkan diri sendiri dahulu dan bersihkan hati kita. Apabila hati bersih, jiwa akan menjadi kuat dan tabah menghadapi segala dugaan dan ujian Allah daripada kesakitan yang memudaratkan diri kita.

Manusia sangat takut dengan ‘penyakit fizikal’, dan kita akan bersusah payah mencari serta berjumpa dengan bermacam-macam pakar perubatan untuk merawat penyakit fizikal, sedangkan penyakit fizikal akan hilang apabila kita mati. Namun begitu, tidak ramai orang yang bersusah payah untuk merawat ‘penyakit hati’, sedangkan ‘penyakit jiwa’ berkait dengan ‘penyakit iman’. Malah, kita tidak peduli jika akhir hidup kita nanti, kita akan berjumpa Allah dengan hati dan jiwa yang sakit itu, tanpa mencari rawatan memulihkan keimanan kita.

Sebenarnya ‘penyakit fizikal’ lebih senang kita hadapi, kerana penyakit itu akan hilang apabila kita mati. Perhatikan, orang yang takut mati selalunya orang yang tidak bersedia untuk berjumpa dengan Allah. Contoh, ibarat anak yang nakal, kita tidak berani berjumpa dengan ibu kita di rumah, kerana ibu kita telah tahu kenakalan kita.

Kajian saintifik menunjukkan bahawa 75 % punca penyakit datang daripada psikologi. Apabila kita hendak merawat ‘penyakit fizikal’ maka kita perlu rawat ‘penyakit hati’nya dahulu. Apabila seseorang yang mempunyai darah tinggi pada usia muda, selalunya orang itu mesti ada penyakit lain. Contohnya, mungkin hormonnya berlebihan, ataupun disebabkan buah pinggang bermasalah. Maka, dicadangkan berjumpalah doktor buat pemeriksaan yang betul dan cuba terima penyakit darah tinggi itu dengan reda. Ingat penyakit darah tinggi jika tidak dikawal boleh menyebabkan pesakit darah tinggi akan kena strok. Pesakit darah tinggi juga kena elakkan dirinya daripada terkena ‘penyakit hati’ yang akan lebih memudaratkannya. Cuba niat untuk menjadi ahli syurga dengan bermuhasabah diri supaya tidak marah-marah. Sikap marah-marah itu membuatkan penyakit darah tinggi itu akan semakin serius.

Setiap daripada kita mempunyai tiga jenis base-line atau aura iaitu A, B dan C.

A: Seorang yang suka melenting, (base-line atau auranya asyik melenting sahaja) neurotik, macam orang sakit mental. B: Manusia biasa, jika tiada krisis dia normal, dan kalau ada krisis dia tidak boleh lawan.

C: Manusia yang base line-nya ataupun auranya sangat dekat dengan Allah, jika ada perkara yang buruk berlaku tidak menjadi masalah kepadanya. Orang yang menuju ke arah ini, apabila dipuji tidak berasa bangga, apabila dikeji, tidak berasa marah. - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana Agama 05 April 2015 1:20 AM

Doa ikhlas mudah dimakbulkan

Pada hari Khamis minggu lalu, saya bersarapan dengan seorang kawan yang akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadat umrah bersama keluarganya pada pertengahan April ini. Sempat juga bercerita mengenai pengalaman pertama saya menunaikan ibadah umrah.

Alhamdulillah, selepas isteri saya menunaikan ibadah umrah pada Jun 2006 bersama kakitangan koperasi di tempat beliau bekerja, giliran saya pula menyusul mendapat jemputan menjadi tetamu Allah SWT pada bulan Ogos tahun yang sama.



BERDOA memohon pertolongan daripada Allah SWT

Berdasarkan kuliah kursus umrah dan haji yang dianjurkan Tabung Haji Travel, saya telah membuat satu ringkasan mengenai rukun dan wajib umrah (termasuk amalan sunat semasa ibadah umrah). Pesan penceramah supaya jemaah melakukan ibadah mengikut kemampuan masing-masing. Umrah adalah satu perbuatan dengan berpakaian ihram dan menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, sa'ie serta bertahalul menurut segala syarat, menunaikan segala rukun dan wajibnya.

Perjalanan kami terus ke Madinah dahulu. Oleh itu, selepas selamat di tiba di lapangan terbang kami meneruskan perjalanan menaiki bas sejauh 424 kilometer yang memakan masa selama enam jam. Bas kami singgah di pertengahan jalan untuk berehat sambil makan malam. Di Madinah, kami dibawa menziarahi makam Rasulullah SAW, sahabat baginda Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab serta perkuburan Baqi' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. Sepanjang berada di sana kami memperbanyakkan solat sunat serta berdoa di Raudhah.

Menziarah tempat bersejarah

Di samping memperbanyakkan ibadah dan amalan sunat, jemaah umrah turut dibawa menziarahi tempat bersejarah di Kota Madinah yang menjadi destinasi hijrah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Lokasi menjadi tumpuan ialah Masjid Quba' yang juga dikenali sebagai Masjid at-Taqwa. Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang bersuci (mengambil wuduk) daripada rumahnya di Madinah kemudian ke Masjid Qub'a sama ada berjalan kaki atau pun menunggang kenderaan dan bersolat sunat dua rakaat di masjid itu kemudian pulang ke Madinah, dia mendapat pahala seperti mengerjakan satu umrah." Kemudian jemaah dibawa menziarahi Jabal Uhud dan makam syuhada, Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat), medan peperangan Khandaq serta tidak ketinggalan pasar kurma yang terletak berhampiran Masjid Nabawi.

Biasanya mutawif akan menceritakan kepada jemaah sejarah tempat yang diziarahi serta peristiwa dikaitkan dengan lokasi itu dan kepentingannya kepada perkembangan Islam. Melihat sendiri tinggalan sejarah itu membolehkan kita membayangkan saat getir serta kegemilangan dicapai mereka terdahulu daripada kita. Ketika di Madinah, saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anak, Sarah, yang berada di Newcastle, Australia. Anehnya, saya menerima balasan yang sama daripadanya sebanyak 10 kali.

Lalu saya menelefon dan beliau memaklumkan hanya membalas mesej saya sekali sahaja. Selepas berbual, saya menutup telefon bimbit. Selesai solat Subuh pada hari berikutnya, saya mengaktifkan kembali telefon bimbit dan seperti semalam, terdapat mesej sama daripada anak saya, juga dihantar sebanyak 10 kali. Sekali lagi saya menutup telefon bimbit.

Terima mesej bertalu-talu

Risau juga andai keadaan itu berulang lagi dan saya menerima SMS yang sama bertalu-talu. Saya akhirnya pasrah dan ketika itu yang terlintas di hati adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT kerana dia Yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu itu. Saya berdoa kepada Allah SWT memohon supaya mengalihkan satelit yang mengganggu sistem telefon bimbit saya dan dengan izin Allah SWT, apabila saya aktifkan kembali,telefon itu berfungsi seperti biasa.

Benarlah detik hati saya, jika kita berdoa dengan bersungguh-sungguh dan mengharapkan ihsan Allah SWT, kerana hanya kepada-Nya kita memohon pertolongan serta bertawakal, doa itu makbul. Tambahan, kita berada di tanah haram, antara tempat yang mustajab doa. Sekarang pun kita kerap menerima SMS atau mesej di laman sosial yang mengingatkan ketika mana kita merasakan sudah tiada siapa lagi yang dapat membantu, sebenarnya kita ada Allah SWT yang sentiasa menanti permintaan hamba-Nya untuk diperkenankan. Mengingati saat pertama kali berada di Tanah Haram dan doa dimakbulkan Allah SWT, itulah bukti kepada maksud pesanan yang ramai antara kita pernah terima, khususnya di laman sosial atau terbaca. Allah SWT sentiasa dekat dengan hamba-Nya.

Jihad ibadah kami teruskan di Makkah untuk menunaikan umrah serta bermunajat kepada Yang Maha Esa di Baitullah al-Haram. Pastinya saat meninggalkan Madinah akan membuatkan hati berasa sayu untuk berpisah dengan kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW.

Buat persediaan

Mengenang kembali saat pertama kali menunaikan ibadah umrah, hati berdebar-debar kerana dari segi teori mungkin diri sudah bersedia kerana mengikuti kursus sebelum berangkat ke tanah suci tetapi dari segi praktikal tetap menimbulkan rasa gusar. Rasanya, perasaan itu dikongsi jemaah yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Masjidil Haram dan melihat sendiri Kaabah di depan mata. Namun, perasaan itu mampu dikawal dan rombongan kami selesai menyempurnakan umrah pertama pada jam 6.35 petang, 27 Ogos 2006.

Walaupun mencium Hajar Aswad bukan rukun atau satu kemestian, namun saya bersyukur kerana diberi keizinan oleh Allah SWT untuk mencium batu suci yang mempunyai sejarah tersendiri bersama Rasulullah SAW itu pada jam 5.25 keesokan paginya.

Mungkin ada antara kita yang masih teragak-agak untuk menunaikan umrah, walaupun dalam hati ada perasaan untuk dijemput menjadi tetamu Allah SWT. Andai ada kemampuan, berniatlah secara istiqamah dan berdoa semoga dimakbulkan hasrat itu.

Tidak dinafikan perasaan bimbang akan ada bagi yang belum berpengalaman menunaikan ibadah umrah tetapi dengan adanya kursus, panduan serta bimbingan, semua akan dapat melakukannya dengan baik. Lagipun, sepanjang berada di Makkah, kita boleh menunaikan umrah bukan sekali sahaja tetapi banyak kali mengikut kemampuan diri. Ikuti kursus yang dianjurkan oleh agensi atau pihak lain sebagai persediaan.

Insya-Allah, dengan persediaan dilakukan kita mampu menunaikan ibadah umrah sebaiknya dan bagi yang sudah sampai ke sana, hati akan sentiasa rindu untuk kembali menjadi tetamu Allah SWT.