April 7th, 2015

Rahsia kunci syurga

BENAR sekali hati adalah pusat pentadbiran manusia, rosak hati rosaklah manusia dan musnahlah peluangnya mencapai reda dan syurga Allah. Suci dan putih hati pula membawa kepada cerahnya peluang manusia ke syurga Allah SWT. Walau tampak seakan mustahil memiliki hati suci seputih salju, namun ia tidak mustahil kerana ia mampu “disental” dengan ilmu, iman dan ibadat.

Petang ini hati saya dihentam keras oleh ayat Allah SWT yang memuji orang Ansar. Patutlah nama orang Ansar dirakam mewangi dalam al-Quran sehingga kiamat, rupanya mereka memang layak menerima penghormatan itu kerana tiada hasad kepada orang lain.

Kisah lelaki Ansar yang disebut Nabi SAW sebagai ahli syurga

BERHARTA tidak membawa apa-apa makna, sekiranya ia tidak diuruskan mengikut syarak. - Gambar hiasan

Allah berfirman yang bermaksud: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan (hasad) berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Hasyr: 9)

Ketika mengulas ayat ini, Imam Ibnu Kathir membawa sebuah kisah menyentuh jiwa tentang cubaan Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As yang cuba menyiasat aktiviti harian seorang lelaki Ansar yang disebut Rasulullah SAW sebagai ahli syurga. Kisahnya selama tiga hari berturut Rasulullah SAW memberitahu: “Akan muncul sekarang kepada kamu semua, seorang penghuni syurga.” Selepas itu, muncul seorang lelaki Ansar menyapu janggutnya sejurus mengambil wuduk sedang seliparnya bergantung di tangan kiri.

Peristiwa dan kata-kata Rasulullah SAW itu berulang selama tiga hari dan lelaki yang sama juga muncul. Terdorong dengan rasa ingin tahu rahsia amalan lelaki tersebut, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As memikirkan cara untuk tinggal di rumah lelaki tersebut. Beliau mendakwa berselisih faham dengan ayahnya dan perlu menumpang rumah lelaki tersebut selama tiga hari.

Sepanjang beliau bersama lelaki Ansar itu, tidaklah pula si lelaki bangun solat sepanjang malam. Apa yang diperhatikannya, lelaki itu sering berbolak-balik pada waktu malam dan setiap kali berbolak-balik di tempat tidurnya dan beliau akan bertakbir kepada Allah. Sepanjang tempoh tiga hari itu juga Abdullah tidak mendengar kata yang buruk keluar daripada mulut lelaki itu.

Selepas tiga hari, Abdullah sudah tidak dapat menahan diri ingin mengetahui “rahsia kunci syurga lelaki” tersebut. Beliau akhirnya menceritakan apa yang disebut oleh Rasulullah SAW dan terus bertanya tanpa selindung apa rahsianya.

Tiada hasad

Lelaki itu berkata: “Aku tidak memiliki apa amalan yang istimewa melainkan apa yang kamu saksikan dalam tempoh tiga hari ini. Melainkan satu tabiatku adalah, Aku tidak berdusta kepada sesiapa pun. Aku juga tidak hasad terhadap kelebihan yang Allah berikan kepada orang lain.” Setelah itu, Abdullah berkata: “Inilah sifat yang menjadi sebab keistimewaanmu. Sifat ini tidak mampu kami lakukan.” (Musnad Ahmad)

Subhanallah! Nampak mudah sahaja “hati yang tiada hasad”, namun ia seumpama memecahkan gunung yang kukuh berdiri. Banyak mujahadah atau perang jiwa dan iman perlu dilakukan untuk meletupkan gunung hasad dalam hati. Mengapa saya sifatkannya sebagai gunung? Kerana gunung sukar dihancur dan sukar didaki, namun setelah diamati pandangan dari atasnya sungguh jelas sehingga hampir semua ufuk dapat dilihat.

Sifat hasad adalah kuman bahaya dalam hati: Janganlah sekali-kali kamu berhasad dengki kerana ia memakan amal kebaikan sebagaimana api memamah kayu api. (Sunan Abu Dawud)

Perlu disemat ke dalam hati, hasad adalah dosa pertama di langit (keengganan Iblis tunduk kepada Adam as) dan dosa pertama di bumi (pembunuhan Habil). Marilah kita berusaha membuang hasad daripada seluruh kawasan hati kita agar kita bertemu Allah SWT dengan hati yang suci dan lulus syarat kemasukan ke syurga.

Amal jariah bekalan akhirat

Merancang kehidupan yang baik di akhirat menerusi tujuh perkara dihuraikan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam rancangan Pesona D'Zahra.

Setiap hari manusia mengadakan perancangan dan melakukan banyak perkara  bagi memastikan kehidupan di dunia sentiasa dalam keadaan terbaik. Aktviti seperti pelaburan kewangan, simpanan jangka pendek dan jangka panjang serta membeli insurans antara pengurusan kehidupan di dunia. Sebagai Muslim, kita meyakini terdapat kehidupan akhirat yang abadi. Justeru, seseorang Muslim yang bijak akan turut membuat perancangan bagi kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya.

Mari kita renungkan adakah kita membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh?  Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang paling bijaksana dalam kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah diri dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian, manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah Taala (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha)." Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm minggu ini bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin, membawa kita kepada peringatan mengenai pentingnya membuat perancangan untuk kehidupan akhirat dalam tajuk 'Uruskan Akhirat'. Terdapat tujuh perkara yang perlu diusahakan dan diselesaikan sebelum kita kembali kepada Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa.

Rukun Iman

Mendahului senarai adalah Rukun Iman. Muslim yang sebenar perlu sentiasa meyakini keesaan Allah SWT dan memastikan tiada keraguan ke atas semua rukun imannya. Kita perlu waspada kerana syaitan akan sentiasa membuatkan hati manusia itu was-was dengan iman dan menimbulkan prasangka di hati manusia. Jika berlaku gangguan, mohon perlindungan daripada syaitan dengan ucapan 'audzubillahi minasyaitan nirrajim'.

Berusaha untuk memahami sedalam-dalamnya dan memeriksa keyakinan kita terhadap kalimah 'Lailahailallah' bahawasanya Tiada Yang Berkuasa atas segala sesuatu kecuali Allah SWT.

Perkara yang kedua adalah memastikan kita melaksanakan semua Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, membayar zakat dan membuat pendaftaran bagi mengerjakan ibadah haji.

Menyentuh berkenaan Rukun Islam yang memerintahkan umat Islam solat lima waktu sehari semalam, Rasulullah SAW bersabda: "Solat adalah amalan yang pertama disemak pada Hari Akhirat nanti. Jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Ramai yang solat, tetapi mungkin tak ramai yang berupaya memperoleh khusyuk. Ada yang ketika solat fikirannya menerawang liar dan tidak memberi perhatian kepada solatnya.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.

Disebut Ustaz Muhamad, serendah-rendah khusyuk adalah menyedari diri sedang solat, manakala setinggi-tinggi khusyuk ditunjukkan sahabat Rasulullah yang minta dibedah ketika solat kerana kuatnya khusyuk hingga tidak berasa sakit. Jadi berusahalah mencapai solat terbaik agar akhirat nanti ia menjadi penyelamat utama daripada azab.

Yang keempat adalah berusaha meninggalkan perkara khurafat yang haram dari sudut akidah dan akhlak. Khurafat antara bentuk penyelewengan dalam akidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah. Ada antara amalan yang secara sedar atau tidak adalah haram dilakukan.

Terdapat pelbagai bentuk perkara khurafat yang menjadi amalan sebati yang diamalkan masyarakat Melayu Islam di negara ini. Antaranya adalah kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, batu, tongkat, ramalan bintang, adat mandi safar atau adat mandi membuang sial. Ada juga kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan petani masa lampau, percaya kepada petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala dan sebagainya.

Pada zaman moden yang mana ilmu itu mudah diperoleh sepatutnya amalan seperti ini sudah tidak lagi diamalkan.

Perkara kelima disebut Ustaz Muhamad adalah masalah hutang. Dari Abi Hurairah RA katanya, bersabda Rasulullah SAW: "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan." (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Amalan tulis wasiat

Beliau mengingatkan agar kita menjadikan amalan menulis surat wasiat dan menyenaraikan semua hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang dan menyerahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah. Ini supaya sekiranya kematian datang mengejut urusan hutang piutang ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya  rohnya kembali kepada Allah SWT dalam keadaan tenang.

Menulis hutang adalah penting bagi seorang Muslim. Ia bukan sahaja mengingatkan si pemiutang akan tanggungjawab dan komitmennya ketika hidup, tetapi juga sebagai makluman dan tindakan kepada waris apabila kita sudah tiada.

Perkara keenam adalah menyempurnakan taubat. Taubat adalah penyesalan. Adakah kita selalu melakukan muhasabah dan menyatakan taubat dengan istighfar terhadap Allah SWT. Renungkan juga adakah lafaz istighfar itu benar-benar ikhlas atau sekadar kebiasaan. Jika kebiasaan ia  menjadi zikir sahaja, tetapi sekiranya ucapan istighfar itu disertai penyesalan, insya-Allah ia akan menjadi penghapus dosa dan kesalahan yang diharapkan mampu menyelamatkan akhirat kita.

Akhirnya, perkara ketujuh adalah membuat amalan yang kekal pahalanya hingga selepas kematian. Apabila mati anak Adam terputuslah kepadanya pahala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang disampaikan dan anak salih yang mendoakan.

Justeru, bagi mendapatkan pahala berterusan, carilah dan usahakan amalan yang boleh terus membantu kita mendapat kebaikan di akhirat. Antara sedekah jariah yang boleh diusahakan adalah  harta yang diwakafkan termasuk tanah, rumah dan kebun untuk dimanfaatkan  orang lain.

Semoga dengan melaksanakan amalan yang baik dan dianjurkan Islam yang dinyatakan akan memberikan kita peluang mendapat husnul khatimah atau pengakhiran yang baik. Berita Harian Rencana Agama Berita IKIM 7 April 2015