April 9th, 2015

Tiada siapa boleh pertikai undang-undang Islam

Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia lebih peka mengenai hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Perkembangan ini baik kerana rakyat yang celik undang-undang tidak mudah diperkotak-katik pihak ingin mengambil kesempatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa hak orang Melayu dan kedudukan Islam terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan memberikan sinaran baharu kepada orang Melayu yang gusar dengan aliran terkini yang mempersoalkan hak orang Melayu.

Mahkamah Syariah melaksanakan undang-undang Islam bagi menjaga kemaslahatan ummah. - Gambar hiasan

Walaupun lega dengan penegasan itu, orang Melayu masih khuatir pelaksanaannya seolah-olah sentiasa meminggirkan orang Melayu.

Profesor Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi telah mengkategorikan hak yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan kepada beberapa kategori. Pertama, hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira mereka adalah warganegara Malaysia atau tidak.

Umpamanya, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 13 (hak terhadap harta).

Hak bersuara, berhimpun

Kedua, hak yang hanya diberikan kepada warganegara sahaja iaitu hak bersuara dan berhimpun seperti dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran (Perkara 12). Hak ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja.

Ketiga, hak yang dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150(6A) menegaskan, terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Keempat, hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7 hak untuk mendapat ganti rugi sekiranya tanah diambil dan Perkara 13 hak kepada orang yang ditangkap hendaklah diberitahu alasan penangkapan serta menghubungi peguam.

Dalam erti kata lain, hak yang termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara sahaja. Dalam situasi lain Perlembagaan menjamin hak ini dilindungi.

Kelima, hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara atau menggalakkan perlakuan jenayah. Walaupun hak itu jelas dalam Perlembagaan, ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan.

Menariknya, kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat atau tidak aman.

Secara tersiratnya, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang ini menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu gugat melalui cara yang tidak diperuntukkan Perlembagaan.

Ini termasuklah undang-undang pentadbiran hukum syarak, undang-undang jenayah syariah, undang-undang keluarga Islam, undang-undang tatacara dan undang-undang keterangan mahkamah syariah. Oleh itu, tiada sesiapa boleh mempertikaikan atau memandang rendah undang-undang berkenaan.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan undang-undang Islam lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

Natijah daripada kedudukan yang tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika terdapat pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Keabsahan undang-undang Islam

Keabsahan undang-undang Islam yang sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir landskap perundangan negara. Kerangka Perlembagaan Persekutuan meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi.

Tafsiran secara tuntas bagi memberhentikan pihak mempertikaikan undang-undang Islam hendaklah dibuat bagi menamatkan cabaran terhadap undang-undang Islam. Janganlah kita melengos terhadap undang-undang Islam tanpa mengkaji susur galur sejarah, kedudukan dan kehendak majoriti umat Islam di Malaysia.

Kita perlu mengetepikan emosi dan mengkaji undang-undang Islam dengan hati yang ikhlas bagi mencari kebenaran. Sudah pasti jalan yang lurus akan ditemui.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, tetapi undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa. Ini bermakna mahkamah syariah masih boleh beroperasi.

Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam sudah memang gah, malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara telah dijajah selama beratus tahun. Jika penjajah tidak mempersoal ketinggian undang-undang Islam, mengapa undang-undang Islam diperlekehkan setelah negara merdeka dan diperintah anak watan.

Seharusnya pendekatan yang diambil ialah meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Meletakkan Islam di tempat sewajarnya sejajar ketinggian agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti tersurat dalam Perkara 3 Perlembagaan.

Adalah penting bagi rakyat bukan sahaja mengetahui hak, tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara dan mencapai keadilan serta kesepakatan.

Kita terlalu banyak memperkatakan mengenai hak, tetapi kita amat jarang bercakap tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Kita terlalu mementingkan diri menuntut hak tanpa mahu membuat pengorbanan untuk melaksanakan tanggungjawab.

Khutbah Jumaat ~ Meneladani Ashabul Kahfi

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 10 April 2015M / 20 Jamadilakhir 1436H ~ JAWI

Meneladani Ashabul Kahfi

Kisah Ashabul Kahfi disebut oleh Allah SWT dalam surah Al Kahfi ayat 9-26. Menurut kitab ‘Tarikh At-Tabari’, kisah ini berkaitan sekumpulan tujuh pemuda berimanyang tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir Maharaja Dakyanus yang ditidurkan lebih dari 300 tahun di dalam sebuah gua. Mereka dengan penuh berani dan bersemangat mempertahankan iman dan prinsip tauhid yang mereka yakini.

Keperibadian mereka perlulah dibentuk dengan acuan yang tepat mengikut panduan agama yang seimbang dari segi rohani, intelek, dan jasmani.

Bertitik tolak dari kesedaran dan tanggungjawab terhadap para pemuda Islam ini. Marilah kita menggembeling tenaga, idea dan keringat khususnya ibu bapa untuk melaksanakan beberapa saranan seperti berikut:

Pertama : Mendisiplinkan anak-anak melalui Solat

Hadis oleh Imam Abu Daud dan Tirmidzi Rahimahullah daripada Sabrah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : Maksudnya: “Suruhlah kanak-kanak bersolat apabila telah cukup umurnya tujuh tahun, dan apabila usianya sepuluh tahun, maka pukullah dia kerana hal tersebut dan pisahkanlah tempat tidur mereka”.

Kedua : Wujudkanlah persekitaran membaca dan memahami Al Quran

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda : Maksudnya: “Sesungguhnya seorang yang tida ada sedikitpun al-Qur’an dalam hatinya adalah seperti rumah kosong.”

Ketiga : Membina keyakinan diri remaja

Keempat: Memupuk rasa cinta para pemuda kepada Masjid

Pahatan sejarah telah membuktikan bahawa pemuda memainkan peranan yang besar bagi masyarakat Islam. Apa yang lebih penting adalah kesediaan, perancangan, kesinambungan yang berterusan dan keikhlasan dalam membentuk kesatuan pemikiran dalam memperkasakan potensi positif golongan muda ini.

Mimbar ingin mengingatkan para Jemaah sekalian kepada beberapa perkara:

Pertama : Kisah Ashabul Kahfi adalah salah satu bukti kehebatan dan keagungan Allah SWT.

Kedua : Sesungguhnya sifat-sifat pemuda yang berjaya adalah mereka yang beriman dengan Allah SWT dan hati yang sentiasa sabar dan tetap pendiriannya.

Ketiga : Asas pendidikan anak-anak adalah bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting untuk mencorakkan mereka.

Firman Allah SWT dalam surah Surah At Thur Ayat 21 : Maksudnya : “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di Dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Waspada Penggunaan Media Sosial”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 10 April 2015: JAIS

“Waspada Penggunaan Media Sosial”

Sehingga Januari 2012, sebanyak 62% dari 29 juta penduduk Malaysia adalah pengguna Internet. Daripada peratusan tersebut, sebanyak 87.9% pengguna internet di Malaysia adalah pemilik Facebook. Manakala 67% pengguna Malaysia pula adalah penonton Youtube. Statistik terbaru pula menunjukkan bahawa sebanyak 7.9 akaun baru facebook berjaya dibuka dalam setiap saat. Facebook mendahului senarai pertama sebagai laman web rangkaian sosial paling popular di Malaysia.

Agama Islam sama sekali tidak menghalang kemajuan atau pemodenan. Banyak unsur-unsur kemungkaran telah timbul, membesar, membiak dan mewabak dalam masyarakat kita melalui media sosial ini. Diantaranya melemparkan tuduhan, saling salah menyalah antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca pergaduhan suami isteri dan komuniti, seterusnya penggunaan bahasa caci mencaci seolah-olah sudah menjadi sebahagian budaya media sosial.

Firman Allah S.W.T dalam surah Luqman ayat 6: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Nikmat akal telah meninggikan taraf manusia dari makhluk yang lain. Dengan akal inilah manusia berjaya mencipta berbagai ciptaan samada untuk kegunaan di darat, udara dan lautan.

Akal inilah juga yang akan memandu teknologi samada untuk menuju kebaikan atau keburukan. Al Imam al Ghazali RA pernah berkata yang bermaksud: “Sesuatu pekerjaan itu adalah merupakan kebaikan jika memenuhi tuntutan akal dan agama, dan sesuatu perkara itu dikira keburukan jika menyalahi tuntutan akal dan agama”.

Tidakkah takut amalan kebaikan kita hilang begitu sahaja akibat tersalah “share” atau berkongsi perkara tidak baik di sana sini. Unsur-unsur agama, akal, malu dan takwa ini jika kita gabungkan ketika menerima sebarang maklumat akan menjadi kunci kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Takutlah kita dengan amaran Allah S.W.T. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 22: “Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya)”

Saban hari fenomena ini semakin merisaukan apabila terdapat lebih 370 juta laman web lucah dalam internet.2.5 billion email yang dihantar setiap sehari adalah bahan lucah porno. Malaysia menduduki tempat kelapan didunia dalam pencarian bahan lucah diinternet.  60 peratus remaja berzina adalah disebabkan kerana menonton bahan lucah.

Realiti yang berlaku di Malaysia hari ini pula melaporkan 90 peratus pelajar sekolah melayari laman web lucah tanpa sengaja kerana laman-laman tersebut berlindung di sebalik nama yang bersih

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6: “ Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW mengingatkan kita yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu-satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jarak keluasannya adalah lebih luas dari jarak antara timur dan barat.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Allah SWT juga mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam surah Qaf ayat 18: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisi-Nya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Justeru:

1. Mari kita jadikan setiap detik masa yang diluangkan pada halaman media sosial sebagai jambatan kebaikan dan saham menuju ke akhirat.

2. Ayuh kita bentuk jari jemari kita menjadi pena yang menulis tentang apa sahaja perkara ma’ruf atau kebaikan supaya timbangan mizan kita menjadi berat hasanaatnya di hadapan Allah SWT.

3. Segeralah kita bentuk iman dan hati kita supaya menjauhi fitnah, caci hina dan permusuhan sesama manusia, serta takut untuk membawa segala keburukan yang tersembunyi di media sosial apabila mengadap Allah S.W.T.

“Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masingmasing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”. (az-Zalzalah: 6-8)

Mimbar Jumaat sekali lagi berpesan bahawa Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Seluruh umat islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati agar umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW diutus dan Islam yang diperjuangkan adalah rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

Wallahualam.