April 16th, 2015

Khatib salah guna khutbah Jumaat

Khutbah adalah syarat sah solat Jumaat dan perlu dilakukan dengan tertib selaras dengan adab khutbah.

Khatib pula hendaklah membaca khutbah yang disediakan Majlis Agama Islam Kedah kerana dapat mengelak khutbah disalah guna untuk tujuan politik pihak tertentu.

Namun apa yang diharapkan oleh jemaah amat mendukacitakan. Khatib sesuka hati membuat onar di atas mimbar.

Adakah patut khatib dalam khutbahnya menyebut cukai barang dan perkhidmatan (GST) zalim dan musibah yang menimpa bekas-bekas ketua polis negara adalah sebab mereka ini kononnya zalim?

Khatib sempat bertanya pula kepada jemaah dengan suara nyaring... betul tak? Dah macam ceramah politik.

Waktu khutbahnya meleret-leret menjangkau satu jam sehingga belakang saya yang sakit bertambah sakit. Sabar sahaja.

Khatib tersebut berbuat onar mungkin atas arahan parti politik yang diwakilinya.

Khatib pula orang luar kariah. Imam pun buat pejam mata sahaja sebab satu parti barangkali?

Justeru, saya mohon Majlis Agama Islam Kedah memantau penyalahgunaan mimbar khutbah.

Kalau boleh dakwa mereka ini di mahkamah syariah di bawah enakmen ajaran sesat.

Masjid yang saya dimaksudkan adalah di Sik, Kedah. Kejadian berlaku pada 10 April 2015.

Masjid ini dikenali sebagai masjid sebuah parti politik.

Mata Kepala Majlis Agama Islam Kedah Utusan Malaysia Rencana Agama 16 April 2015


Khutbah atau ceramah politik?

Jika
kita hadir di mana-mana masjid untuk menunaikan solat Jumaat, sudah semestinya bacaan khutbah tidak lepas dari pendengaran kita.

Malah khutbah Jumaat boleh dianggap sebagai medan menyampaikan maklumat dan nasihat kepada hadirin dan sesiapa saja yang mendengarnya.

Dan ketika hadirin memenuhi ruang masjid, pastinya mereka ingin mendengar sesuatu yang bernilai dalam suasana yang tenang dan damai.

Tetapi jika bacaan khutbah begitu kuat dan lantang sehingga membingitkan telinga sudah pasti tidak dapat mententeramkan hadirin.

Khutbah yang disampaikan secara terjerit-jerit sudah pasti memberikan suasana tidak selesa kepada hadirin.

Orang datang ke masjid untuk mendengar nasihat, maklumat dan ilmu, bukannya mahu mendengar ceramah politik yang tidak kena tempatnya.

Namun, itulah yang berlaku di masjid di Seberang Jaya Jumaat lalu (10 April 2015).

Khatib terjerit-jerit menyampaikan ulasan peribadinya tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurutnya, kerajaan yang dipilih sebahagian rakyat telah berlaku zalim kerana melaksanakan GST ketika rakyat menderita kesusahan.

Malah sepanjang khutbahnya, tidak ada ilmu untuk hadirin selain fitnah dan persepsi.

Khatib asyik mengutuk kerajaan dan pemimpin negara yang didakwa berlaku zalim dengan pembelian jet, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang terlebih bayar dan kejatuhan nilai ringgit.

Beliau langsung tidak peka. Jemaah yang hadir ke masjid Taman Semilang, Seberang Jaya itu bukan semuanya ahli Pas atau PKR yang mahu mendengar fitnah dan persepsi.

Malah bukan semuanya rakyat Malaysia untuk disumbat telinga mereka dengan suasana politik tanah air.

Khutbah itu pula melebihi 30 minit lamanya tanpa memikirkan jemaah yang akan balik bertugas di tempat kerja masing-masing. Ilham Syakima Utusan Malaysia Rencana 16 April 2015

Niat penentu keberkatan kerja

Pekerjaan bukan sekadar bagi memenuhi keperluan hidup semata-mata tetapi ia mestilah selari dengan syariat supaya rezeki yang diterima diberkati Allah SWT. Ikuti kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah. "Allah berfirman lagi: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka mereka (pintu rezeki) yang melimpah ruah keberkatannya, dari langit dan bumi.

Tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Al-A'raaf, ayat 96) Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tetapi mempunyai kaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menjadi khalifah yang memberi kebaikan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati.

Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu, dalam program Islam Itu Indah memberi kesempatan kepada pendengar untuk memahami makna sebenar di sebalik perkataan berkat, terutama menerusi pekerjaan yang majoriti individu dewasa akan memperuntukkan satu pertiga daripada hari dengan aktiviti tersebut.

Melakukan tugasan dengan ikhlas akan mendapat keberkatan rezeki. - Gambar hiasan

Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam kehidupan dengan iman dan takwa. Menyorot kaedah mencapai keberkatan iaitu iman dan takwa, ulama mentakrifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan.

Takwa pula memberi makna berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan takwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Takwa itu letaknya di sini," sambil meletakkan tangan di dada dan di situ juga letaknya hati.

Panduan melunaskan pekerjaan dengan iman dan takwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki bagi membiayai keluarga, untuk memberi kebaikan, menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.

Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya di manakah Allah SWT dalam ketiga-tiga niat tersebut? Bekerja bukan sekadar mencari rezeki, tetapi untuk mencari rezeki halal yang sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: "Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu." (Surah al-Baqarah ayat 172) Rasulullah menegaskan juga dalam sabdanya: "Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam." (Riwayat Dailami).

Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal berkait dengan Allah SWT. Apabila kerja diniatkan untuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannya di sisi Allah SWT.

Tetapkan niat sebelum mula kerja

Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain."

Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah dan seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firman-Nya: "Demi bintang ketika terbenam. Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak keliru. Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)." (Surah al-Najm, ayat 1 hingga 4).

Dari sudut takwa pula, penting bagi pekerja menghindar perkara haram seperti curi masa, curi tulang, mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas takwa, perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif, efisien dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah mafhumnya: "Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan, dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan)." (Riwayat al-Baihaqi)

Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam an-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan takwa yang terjelma dalam pelaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan.

Sebagai contoh Allah SWT berfirman mafhum-Nya: "Maha Suci Allah SWT, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)

Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi Surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu Nabi Isa yang akan menjadi 'berita gembira' buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah SWT menegaskan al-Quran itu ada keberkatan.

Benda di sini merujuk kepada al-Quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa seperti keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah SWT letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu.

Kelebihan berkat

Hikmah Allah SWT meletakkan barakah pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah SWT meletakkan kebaikan untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain.

Asbab kelebihan berkat yang ada pada makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah SWT yang memberi berkat. Berkat itu tidak ketara pada mata, tapi dapat dirasa, tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa.

Dengan barakah akan peroleh ketenangan dan kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan, kerja yang dilakukan lebih puas daripada kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.

Lahirkan insan seimbang

JIKA dikaji objektif yang paling penting dalam sistem pendidikan adalah memastikan kesaksamaan dalam keberhasilan murid. Walau bagaimanapun, kajian mendapati sehingga kini keberhasilan murid masih kurang saksama. Keseimbangan antara ilmu dunia dan akhirat mestilah dilaksanakan.

Hal ini mestilah dilakukan melalui pendidikan peringkat rendah, menengah dan di pusat pengajian tinggi bagi melahirkan modal insan yang seimbang dengan ilmu, iman dan ketakwaan.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pokok segala urusan ialah al-Islam dan tiangnya adalah solat dan pucuknya (atapnya) adalah berjihad.” (riwayat At-Tirmizi)

Lantaran itu, segala urusan di dunia ini mestilah berlandaskan Islam, termasuk cabaran untuk pembangunan insan. Pencapaian keberhasilan murid secara saksama masih satu cabaran yang perlu ditangani oleh semua iaitu membabitkan ibu bapa, guru dan masyarakat.

Didiklah berteraskan ilmu, iman dan takwa


Keseimbangan ilmu akan dapat melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. - GAMBAR HIASAN

Cabaran pembangunan insan adalah ke arah pembangunan negara iaitu mengukuhkan jati diri bangsa dengan perpaduan dan kemajuan. Justeru, ikatan kekeluargaan amat penting ke arah menyeimbangkan pembangunan insan dan negara.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada lurus seorang hamba sehingga lurus hatinya dan tiada lurus hatinya sehingga lurus lidahnya.” (riwayat Ahmad)

Maka untuk mewujudkan pembangunan insan yang seimbang, daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, mestilah dengan kekuatan iman dan takwa. Transformasi pendidikan negara tidak terhenti setakat peringkat menengah sahaja. Ia mesti diteruskan di peringkat pusat pengajian tinggi dengan ilmu, iman dan takwa.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertai kamu di mana pun kamu berada.” (riwayat Ath-Tabrani)

Cabaran pembangunan semasa negara adalah untuk melahirkan insan yang beriman dan bertakwa. Dalam era globalisasi pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat (ICT) amat penting bagi menghadapi pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Justeru, langkah memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah sedang dilaksanakan.

Hayati nilai agama



CAIRO, EGYPT - NOVEMBER 10: From left, students Yosef Ali, Mostafa Mohammed, and Saleh Ahmed study together in Al-Azhar Mosque on November 10, 2012 in the Islamic neighborhood of Cairo, Egypt. Al-Azhar University, as a center for Islamic learning and higher education and the study of Arabic literature, has become one of the oldest running universities in the world. Al-Azhar is attempting to remain independent despite pressure from political groups, the government and the Islamist movement. (Photo by Ann Hermes/The Christian Science Monitor via Getty Images)

Pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk menangani cabaran mendatang demi mempertingkatkan kesejahteraan dan keharmonian hidup di sesebuah negara, khususnya Malaysia. Kini pendidikan di Malaysia lebih menumpukan kepada pembangunan insan yang mempunyai ilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, mempunyai etika dan kerohanian serta mempunyai identiti nasional.

Antaranya pembinaan dan pemupukan ilmu melalui pembacaan buku, ceramah, bengkel bagi memupuk idea yang boleh dimanfaatkan bagi menangani masalah pembangunan yang dihadapi oleh seseorang individu, masyarakat dan negara.

Dalam hal ini beberapa usaha sedang dijalankan di peringkat sekolah antaranya, melahirkan rakyat yang menghayati nilai agama, nilai murni dan nilai moral yang baik. Usaha ini dilakukan dengan kerjasama daripada ibu bapa, komuniti dan sektor swasta yang dilaksanakan secara meluas. Hanya dengan menuntut ilmu akan dapat menjadikan insan cemerlang di dunia dan akhirat.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah SWT dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan akhirat” (riwayat ar Rabii)

Jelaslah, pembangunan insan mestilah berteraskan ilmu, iman dan takwa. Semuanya akan menyumbang ke arah keamanan dan keharmonian negara secara berterusan. Insan seimbang yang merupakan nadi pembaharuan akan menyumbang kepada pembangunan negara secara berterusan.

Khutbah Jumaat ~ “Keras Hati”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 17 April 2015 JAIS

“Keras Hati”

Hati itu amat memberikan kesan kepada sesebuah jasad yang bernyawa, sekiranya seketul daging itu dijaga dengan baik, maka baiklah keseluruhannya, jika sebaliknya pula, maka buruklah akibatnya.

Hadis daripada Nu’man Bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Ketahuilah, sesungguhnya pada sesebuah jasad itu ada seketul daging, jika baik ketulan daging tersebut , maka baiklah keseluruhannya dan jika rosak ketulan daging tersebut maka rosaklah keseluruhannya, ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ulama telah banyak membahaskan perkara-perkara yang berkaitan kekerasan hati dan sebab-sebab hati menjadi keras. Telah dinukilkan oleh Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Bada’i al-Fawaid yang bermaksud: “Tatkala mata telah mengalami kekeringan disebabkan tidak pernah menangis karena takut kepada Allah SWT, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya keringnya mata itu adalah bersumber dari kerasnya hati. Hati yang paling jauh dari Allah adalah hati yang keras”

Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah S.W.T menyukai sifat lemah lembut pada setiap perkara.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Faktor yang membentuk kekerasan hati manusia, kerana tidak menjaga hubungan dengan Allah, yang padanya sentiasa berlaku kemaksiatan.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin, jika ia mengerjakan suatu perbuatan dosa, maka akan timbul titik hitam dalam hatinya. Jika ia bertaubat, menarik diri dari dosa itu, dan mencari redha Allah, maka hatinya menjadi jernih. Jika dosanya bertambah, maka bertambah pula titiknya sehingga memenuhi hatinya. Itulah yang disebut “ar-ran” (penutup), yang disebut oleh Allah Ta’ala dalam firman-Nyayang bermaksud, ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang telah mereka usahakan itu menutupi hati mereka”

Antaranya yang menyebabkan keras hati selain daripada dosa dan noda itu ialah terlalu banyak tertawa, makan makanan yang haram, berlebihan dalam berbicaratentang perkara-perkara yang tidak berfaedah, tidak membaca al-Quran, kurang berzikir pada Allah, dikelilingi oleh kawankawan yang buruk akhlak dan lemah amalan agamanya dan lain-lain lagi.

Antara cara untuk melembutkan hati kita ialah dengan menziarahi kubur sepertimana hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” (Riwayat Al-Hakim).

Ibadah lain yang dapat melembutkan hati insan ialah:

1) Hendaklah membaca al-Qur’an dengan penuh penghayatan
2) Hendaklah memperbanyakkan amalan ibadah dan berzikir kepada Allah SWT.
3) Hendaklah mengingati kematian dan menziarahi orang-orang yang sakit, mengiringi jenazah ke kubur.
4) Hendaklah memakan makanan yang halal.
5) Hendaklah sering mendengarkan nasihat dan kuliah agama.
6) Hendaklah mengingati kengerian hari kiamat, agar kita bersedia untuk menghadap Allah SWT; dan,
7) Hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar dapat melembutkan hati kita supaya dijauhi daripada sifat kotor dan keji.

Selalu berdoa agar dikurniakan kelembutan hati, moga-moga dengan kelembutan hati itu, Allah kurniakan keatas kita kebaikan.

Janganlah kita membiarkan hati kita menjadi seperti hati kaum Yahudi, dihina dan dikeji kerana kekerasan hati mereka, maka selamanya mereka didalam kesesatan dan mendapat celaan dari Allah SWT.

“Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan”. (al-an’am : 43).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Al-Quran Petunjuk Sepanjang Zaman

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 17 April 2015M / 27 Jamadilakhir 1436H  JAWI

" Al-Quran Petunjuk Sepanjang Zaman"

Al-Quran merupakan kalamullah yang diturunkan kepada manusia melalui Nabi Muhammad SAW. Ia mengandungi pengajaran daripada setiap aspek. Bukan sahaja menyentuh alam kerohanian dan akhirat, bahkan ia kaya dengan pelbagai khazanah ilmu duniawi, sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan bumi ini.

Apakah keistimewaan bagi mereka yang membaca dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan berbanding orang yang tidak membacanya?

Rasulullah SAW menerusi hadith riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA : Bermaksud : “Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti buah utrujjah (sejenis limau), yang bau dan rasanya lazat. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma, yang tidak berbau namun manis. Perumpamaan orang munafiq yang membaca Al-Quran adalah seperti buah raihanah, yang baunya sedap tetapi rasanya pahit. Sementara perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah hanzalah yang baunya tidak sedap, malah rasanya pahit.”

Janji Allah SWT di dalam Surah Fatir, ayat 29 yang dibacakan pada muqaddimah khutbah sebentar tadi, yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara sembunyi dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi”

Al-Quran juga merupakan pembela kita pada hari kiamat sebagaimana penjelasan Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, At-Tabrani, Al-Hakim dan Al-Baihaqi melalui Ibnu Umar RA: Bermaksud : “Puasa dan Al-Quran akan memohon syafaat kepada seseorang hamba pada Hari Qiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menegahnya makan dan nafsu syahwat di siang hari, Maka berikanlah syafaatku kepadanya. Al-Quran berkata: Wahai Tuhanku! Aku telah menegahnya dari tidur pada malam hari. Maka, berikanlah syafaatku kepadanya. Lalu kedua-duanya diberi perkenan untuk memberi syafaat.

Mukjizat agung ini berperanan sebagai cahaya petunjuk dalam menempuhi kehidupan di dunia, melaluinya kita dapat membezakan di antara perkara yang haq dan batil. AlQuran juga membawa rahmat kepada manusia, menjadi penawar penyakit zahir dan batin, menjadi peraturan dalam kehidupan bahkan membentuk akhlak muslim yang mulia.

Tidak layak bagi Al-Quran sekadar diukir untuk dijadikan perhiasan di dinding semata-mata. Sewajibnya Al-Quran menjadi kitab bacaan harian serta kandungannya dijadikan panduan dalam kehidupan.

Pertama : Sentiasa berdoa agar hati mencintai Al-Quran. Seandainya kecintaan tersebut belum hadir, fikirkanlah bahawa Al-Quran itu sendiri merupakan wahyu Allah serta petunjuk buat hamba-hambaNya. Wahyu inilah yang akan memandu kita menuju kepada redha serta rahmatNya. Wahyu ini jugalah yang menyuluh jalan kita menuju SyurgaNya. Oleh itu, mengapa hati ini terlalu keras untuk menerima, membaca dan memahaminya serta mengamalkannya?

Kedua : Jadualkan diri untuk membaca dan mentadabbur ayat Al-Quran. Di dalam 24 jam kehidupan seharian, luangkanlah beberapa minit secara tetap dan konsisten untuk membuka lembaran Al-Quran, membacanya dan memahami terjemahan serta tafsirannya. Pilihlah masa yang bersesuaian seperti selepas subuh, waktu rehat atau selepas maghrib mengikut keselesaan masing-masing.

Ketiga : Jiwa manusia sukakan alunan merdu. Justeru, perdengarkanlah bacaan para qari yang boleh menambat hati melalui media massa yang ada pada hari ini. Antaranya qari yang terkenal adalah seperti Syeikh Saad Said Al-Ghamidi, Syeikh Abdurrahman Sudais dan Syeikh Maher Al-Muaiqly. Mudah-mudahan, alunan bacaan para qari yang kita dengari dapat mengetuk pintu hati kita dalam menjiwai kehebatan dan kesucian Al-Quran.

Keempat : Lazimilah untuk bertadarus bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain mewujudkan suasana ukhuwwah, ia juga memberi peluang untuk bersama-sama memperbaiki bacaan.

Kelima : Sekiranya Al-Quran tidak dibaca disebabkan kelemahan dalam bacaan, hadirilah kelas-kelas pengajian Al-Quran yang diadakan di pusat-pusat pengajian, masjid dan surau atau secara guru persendirian. Mudah-mudahan, komitmen yang diberikan dalam mempelajari dan memahami Al-Quran akan diganjari oleh Allah SWT dengan ganjaran yang setimpal sekiranya mereka berusaha membacanya walaupun dalam keadaan sukar.

Janji Rasulullah SAW di dalam hadith riwayat Muslim menerusi Saidatina Aisyah RA berbunyi : Bermaksud : “Seseorang yang mahir, membaca Al-Quran akan bersama dengan para malaikat yang mulia dan orang yang berusaha membacanya, di mana dia terpaksa merangkak-rangkak membacanya dan dia menghadapi kesukaran, dia akan mendapat dua pahala.”

Keenam : Indeks Al-Quran telah mengklasifikasikan bab demi bab yang terkandung di dalam Al-Quran. Ini menarik minat dalam pembacaan dan memudahkan pencarian isu yang terkandung di dalam Al-Quran. Misalnya bab ibadah, jenayah, muamalah, sejarah, ilmu moden dan sebagainya. Lebih menarik lagi, ia juga terdapat di dalam bentuk perisian komputer. Dengan melihat kepada indeks ini akan meyakinkan kita bahawa Al-Quran itu serba lengkap.

Renungilah beberapa pesanan ini :

Pertama : Al-Quran merupakan cahaya petunjuk dan keselamatan bagi orang-orang yang beriman

Kedua : Orang yang mencintai dan mengamalkan kandungan Al-Quran tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT, para malaikat dan Rasulullah SAW.

Ketiga : Mulakan langkah untuk lebih rapat seterusnya bersahabat dengan AlQuran, iaitu wahyu dan kalam Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am, ayat 155 : Bermaksud : “Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.”

Wallahualam.