April 17th, 2015

Elakkan tertipu 
ke Tanah Suci

TERPILIH menjadi teta­mu umrah cukup me­nggembirakan buat umat Islam. Walaupun tidak bergelar haji atau hajah setelah pulang ke tanah air, para tetamu umrah pastinya berasa puas apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi yang penuh keberkatan itu. Namun terdapat segelintir pe­ngendali pakej umrah yang tamak dan rakus mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan pe­nipuan demi penipuan.

Terbaharu laporan akhbar Utusan Malaysia menyebut sejumlah 33 kes penipuan melibatkan 31 buah syarikat telah dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak Januari hingga Mac tahun ini. Pendedahan ini pastinya merupakan satu perangkaan yang cukup membimbangkan malah sukar diterima kerana wujudnya pihak yang sanggup menipu dalam urusan melakukan amal ibadah.

Bagi mengelak perkara ini daripada terus berlarutan masyarakat Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah dinasihatkan supaya merujuk kepada senarai pengendali umrah yang diiktiraf oleh Kedutaan Arab Saudi melalui portal i-umrah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, (Jawhar) Jabatan Perdana Menteri. Yang mana setakat Januari lalu terdapat lebih 50 buah syarikat pe­ngendali pakej umrah tempatan yang disenaraikan di laman sesawang tersebut.

Para tetamu Allah SWT juga di­ingatkan supaya tidak tertipu dengan tawaran pakej yang terlalu murah kerana dikhuatiri ada pihak yang sengaja menangguk di air yang keruh dengan menjanjikan perkhidmatan murah tetapi tidak mampu ditepati.


TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon (tengah) bersama Asisten Komisioner Izany Ab.Ghany (kiri) dan
Supritendan Yhazid Idris menunjukkan gambar tiga pengendali pakej Umrah yang menipu orang ramai dengan
menawarkan tiket murah semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu. GAMBAR HIASAN

Dalam hal ini Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang diketuai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan ditubuhkan di bawah Akta Industri Pelancong­an 1992 (AIP) telah menetapkan kadar minimum RM4,900 untuk mengerjakan umrah di Malaysia.

Pihak Jawhar turut menyenaraikan beberapa garis panduan yang elok diteliti sebelum memi­lih mana-mana pakej umrah bagi mengelak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab. Antaranya; meneliti dan membuat perbandingan berkenaan harga pakej yang ditawarkan yang berbeza-beza meng­ikut musim dan perkhidmatan yang ditawarkan, menyelidik latar belakang syarikat dan pengalamannya dalam mengelolakan umrah termasuklah pengurusan visa, ja­dual penerbangan, kedudukan hotel penginapan dan pengalaman jemaah yang terdahulu. Eloklah segala bukti tempahan dan pembayaran yang telah dilakukan disimpan sebagai bukti untuk melaporkan sebarang bentuk penyelewengan.

Para pengendali pakej umrah juga hendaklah ikhlas dalam mempermudahkan urusan ibadat ke Tanah Suci. Usah terkesima dengan keghairahan jutaan umat Islam untuk menunaikan umrah sepanjang tahun sehingga sanggup menipu dan mengaut keuntungan lumayan atas perkhidmatan yang gagal disediakan. Tiada gunanya melakukan penipuan kerana lambat laun akan terbongkar jua. Perniagaan yang dijalankan juga tidak diberkati selain berhadapan dengan kutukan dan azab yang pedih di akhirat kelak.

Apatah lagi menjelang bulan Ramadan di mana ramai yang sudah berkira-kira untuk menunaikan umrah kerana ganjarannya yang tidak ternilai. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Umrah ketika Ramadan sama seperti mengerjakan haji bersamaku.” - Riwayat Bukhari dan Muslim. Ini kera­na pelbagai ganjaran tidak ternilai disedia­kan pada Ramadan selain mendapat pahala seperti mengerjakan haji bersama Nabi SAW.

Selain itu, para tetamu Allah dinasihatkan supaya sentiasa mengikhlaskan niat ke sana semata-mata kerana Allah, jauh daripada tujuan yang menyimpang dikhua­tiri rugi dan pulang dengan tangan kosong. Usah ke Mekah ke­rana nama, gelaran mahupun pujian manusia kerana bimbang termasuk perbuatan syirik dalam beribadah sehingga segala amalan yang dilakukan tertolak.

Selain itu panjatkan doa agar dijemput menjadi tetamu Allah kerana tanpa jemputan Ilahi, bagaimana seseorang itu boleh hadir ke Baitullah. Malah jika seseorang sudah terpilih menjadi tetamu-Nya segala rintangan dan cabaran akan dapat dilalui sehingga akhirnya dapat merasai kemanisan beribadah di kedua-dua Kota Suci Mekah dan Madinah.

Para tetamu Allah juga dinasihatkan supaya tidak berharap dengan layanan lima bintang dan pakej pelancongan ketika ke Tanah Suci kerana manusia hanya merancang tetapi Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya. Boleh sahaja seseorang diuji bagi menilai sejauh mana keimanan dan ketakwaan mereka lalu dibalas dengan ganjaran berlipat kali ganda di dunia mahupun di hari akhirat. Malah­an peluang berada di tempat yang paling mustajab doa usahlah disia-siakan tanpa bermohon dan bermunajat semoga segala permintaan diperkenankan oleh-Nya.

Perlu juga diingatkan bahawasanya permohonan visa ke Tanah Suci tertakluk kepada pe­nerimaan oleh pihak Kedutaan Arab Saudi. Mereka berhak untuk menolak sesuatu permohonan visa, mengubah dan menambah baik segala peraturan yang ada demi menjaga keamanan dan kemaslahatan tetamu Allah di Tanah Suci. Untuk itu nilai kesabaran yang tinggi amat-amat diperlukan sebagai satu daripada bentuk tarbiah ilahiyyah yang perlu dilalui demi ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan.

Sehubungan itu, pengendali pakej umrah diharap sentiasa menjaga maruah dan ketinggian Islam dengan berusaha sedaya upaya menyediakan kemudahan terbaik buat semua tetamu Allah. Umat Islam yang terpilih ke Tanah Suci juga di­sarankan sentiasa menjaga maruah diri dan negara dengan tidak me­lakukan kegiatan yang bercanggah dengan agama dan undang-undang setempat. Ini bagi mengelak imej Islam dan maruah umatnya tercalar dek kerana perbuatan segelintir yang haloba dan terpedaya meng­ikut tuntutan nafsu sendiri.

Mulut punca 
utama masuk neraka

IMAM al-Ghazali berkumpul dengan anak-anak muridnya dan bertanya enam soalan. Salah satu daripada soalannya adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, “pedang”. Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Sebabnya, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Lidah yang tidak bertulang mudah menutur dan menghamburkan kata-kata. Dengan nikmat tersebut, manusia boleh menjalin hubungan kemasyarakatan dengan lebih mudah dan lancar. Namun, awas dengan amaran Allah terhadap mereka yang gagal menjaga lidahnya sehingga sering membuat dosa dengan mengumpat dan memfitnah.

Kita juga wajib menyakini bahawa setiap perbuatan atau perkataan di dunia ini akan dipersoalkan di hadapan mahkamah Allah di akhirat kelak.

Jangan kita lupa bahawa di bahu kiri dan kanan ada malaikat pencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Apa pun kata yang diucap pasti disaksikan oleh malaikat pengawas Raqib dan ‘Atid.” - (Qaaf:18)

Bahaya lisan itu sangat banyak. Sehinggakan pepatah Melayu pun ada menyebut ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu-satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jarak keluasannya adalah lebih luas dari jarak antara timur dan barat.” - (Muttafaqun ‘Alaih).

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini, kelancangan lidah ini boleh disamakan dengan penyebaran maklumat tidak benar melalui Internet terutama melalui laman-laman sosial dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS). Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Memang tepat bidalan orang tua-tua dahulu. Perbuatan menyebar tohmah dan fitnah akan mencemarkan nama baik orang. Walaupun selepas itu kebenaran terserlah, kerosakan (damage) nama sudah pun berlaku. Ibarat luka, walaupun sembuh tetapi parutnya tetap ada.

Justeru elakkan membuat tohmahan, mengumpat, dakwaan apatah lagi menyebar fitnah. Bagi mengelak terjebak dalam dosa, eloklah kita mendiamkan diri. Ke­cualilah, kita mempunyai fakta yang menyokong sebarang dakwaan tentang kepincangan atau salah guna kuasa yang berlaku.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam...” - (Sahih Bukhari)

Kalimah, “... Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat” membawa maksud sesiapa beriman dengan ke­imanan yang sempurna, yang (keimanannya itu) menyelamatkannya daripada azab Allah dan membawanya mendapatkan reda Allah, “... Maka hendaklah ia berkata baik atau diam” kerana orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya tentu takut kepada ancaman-Nya, mengharapkan pahala-Nya, bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Apa yang utama daripada semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota badannya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya kelak pasti akan diminta pertanggungjawabkan.” -(Isra’: 36)

Bersikap diam juga suatu kebijaksanaan dan keadilan, ilmu dan pengetahuan. Malah ada yang menyebutnya sebagai medium pendidikan yang amat bagus dan telah teruji.

Nabi SAW pernah menasihati Abu Zar r.a, “Hendaknya engkau lebih baik diam, sebab diam itu menyingkirkan syaitan dan penolong bagimu dalam urusan agamamu.” - (Musnad Imam Ahmad).

Dengan menghayati peringatan Allah dan Nabi SAW, masyarakat Islam akan menjadi umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebabnya, kita sudah tiada masa lagi untuk ‘dilalaikan’ dengan mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. Dengan yang demikian, hubungan sesama insan bertambah baik dan negara akan bertambah maju dan makmur, insya-Allah. - Mohd Radzi Mohd Zin Al-Bayan Utusan Malaysia Rencana 17 April 2015 2:01 AM

GST untuk maslahah negara

ADA pihak menganggap Islam hanya terbatas ke­­pada ibadat-iba­dat khusus yang memfokuskan urus­an akhirat se­mata-mata dengan mengabaikan urusan ke­hi­dupan di dunia ini. Mereka ber­anggapan soal ekonomi, hanya ter­batas kepada zakat, wakaf dan sedekah sahaja.

Sebenarnya Islam mempunyai sistem kehidupan yang lengkap. Islam mengajak kepada keadilan sosial dalam masyarakat dan menerima perubahan semasa bagi menjamin kesinambungan hidup manusia di dunia ini. Oleh itu, Islam adalah agama yang membawa perubahan secara berterusan dalam masyarakat supaya manusia mendapat kebahagiaan yang lengkap dan sempurna.


PENGARAH Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abdul Aziz (dua dari kanan) mendengar penerangan dari Pengurus Pasar Raya SOGO, Alvin Tan (kiri) ketika memeriksa barangan yang tidak dikenakan GST semasa mengadakan Operasi Pemantauan GST-Catut di pasar raya itu, baru-baru ini.

Islam menjelaskan apa jua yang ada di bumi dan di langit serta alam ini adalah kepunyaan mutlak Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah al-Imran, ayat 189: “Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. Sebarang bentuk urusan kewangan termasuklah percukaian hendaklah berasaskan kehendak pemilik mutlak harta iaitu Allah SWT.

Setiap anggota masyarakat perlu mendapat keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, peluang mendapat pelajaran dan pekerjaan. Keadilan sosial bukanlah bererti membasmi kemiskinan sehingga ke akar umbi­nya supaya tidak wujud lagi dalam masyarakat. Perkara ini bercanggah dengan sunnah alam kerana kemiskinan dan kekayaan adalah dua hakikat yang wujud di dunia ini.

Golongan kaya dan miskin mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Golongan kaya be­bas mengumpul harta sebanyak mungkin dengan cara sewajarnya, tetapi hak golongan miskin dalam harta tersebut tidak boleh dilupakan.

Golongan miskin pula tidak boleh mencuri sesuka hati, sebaliknya haknya akan diberi melalui pengagih­an zakat dan sedekah yang dihulurkan. Di sinilah golongan kaya membantu golongan miskin, golongan miskin pula berterima kasih kepada golongan kaya dan tidak melakukan huru-hara dalam masyarakat.

Suasana harmoni dan per­hu­bung­an yang baik dapat diwujudkan dalam masyarakat. Ini membuktikan bahawa dalam keghairahan mengejar kemajuan ekonomi dan fizikal, Islam tetap mengutamakan pelaksanaan keadilan sosial dalam masyarakat umatnya.

Ironinya, hari ini rata-rata masyarakat kita bercakap tentang cukai baran dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan bermula 1 April lalu. Terdapat dalam kalang­an ulama berpandangan, kerajaan harus dan dibolehkan mengutip cukai daripada rakyat, jika terdapat keperluan yang mendesak.

Maka kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan kaedah fiqhiyyah, “syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka”.

Ini adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah berbeza antara sesebuah negara dan zaman. Cukai tidak berasaskan maslahah syarak adalah diharamkan.

Oleh itu, jika kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah dururiyat dan hajiyat untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ini adalah dibenarkan berdasarkan pendapat ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibn Khaldun dan ulama semasa, Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni yang membenarkan kerajaan mengenakan cukai kepada rakyat sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-106 yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah mengutip cukai seperti GST selagi mana terdapat keperluan untuk negara dan rakyat.

Berdasarkan dapatan yang dikemukakan, apabila kerajaan me­ngutip cukai daripada rakyat, sememangnya akan timbul kemudaratan khusus iaitu harta yang dimiliki rakyat berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip banyak maslahah umum tidak dapat dilaksana­kan oleh kerajaan.

Perkara ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah, “ditanggung kemudarat­an khusus untuk mengelakkan berlaku kemudaratan umum”. Oleh itu kerajaan dibenarkan mengutip cukai untuk memenuhi maslahah umum. Walau bagaimanapun pelaksanaan tersebut perlu menepati syarak berpandukan para­meter berikut iaitu:

Kerajaan komited melaksanakan syariat Islam.

Kerajaan memerlukan sumber kewangan.

Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi maslahah dururiyyat dan hajiyat.

Bebanan cukai dikutip secara adil.

Cukai dibelanja untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat.

Agihan cukai bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.

Kerajaan tetap menyediakan mekanisme mengawal pelaksanaan GST dan pemantauan untuk memastikan peniaga mengikut peraturan ditetapkan. Peniaga yang cuba menyelewengkan GST akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seterusnya menegaskan: “GST boleh digunakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam bagi meningkatkan taraf hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat. Ini adalah kaedah yang lebih baik dan cekap dalam memberi dana kepada hasil cukai negara yang akan disalurkan ke dalam projek pembangunan negara.”

Sebahagian ahli ekonomi merumuskan GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan membawa keutuhan kepada pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golong­an yang terlepas atau sengaja melepaskan diri dari membayar cukai.

Inilah faktor penting yang dianjurkan Islam bagi mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat dan saling bekerjasama antara anggota masyarakat untuk membangunkan negara.

Ringkasnya, Islam tidak meng­halang umatnya mengejar pembangunan yang semestinya dicapai, diurus, ditadbir dan dimanfaatkan berlandaskan batas-batas hukum yang dibenarkan.

Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 188: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa padahal kamu mengetahui”.

Didik ikut aturan agama

PERDEBATAN dalam isu rotan yang wujud sejak berpuluh tahun lalu, hanya menjurus kepada penyelesaian sehala.

Tidak kira sama ada perbincangan isu dibuat di peringkat kerajaan, mahkamah, sekolah, universiti atau kedai kopi. Penyelesaiannya tetap sama.



ISLAM ada garis panduan untuk merotan. Gambar hiasan.

Sama ada kita sedar atau tidak, penyelesaiannya menjurus kepada sejauh manakah seseorang yang memegang rotan itu mampu mengawal rasa marah atau tidak puas hati kepada individu yang mahu dirotannya.

Sudah pasti, ramai beranggapan ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Apatah lagi, hakikat ciptaan manusia sejak azali lagi penuh dengan kekurangan atau kelemahan, malah ia amat ketara.

Terbukti, apabila banyak kes rotan timbul disebabkan gagal mengawal rasa marah. Mangsanya mengalami kesan psikologi yang mendalam.

Pendakwah bebas tanah air, Ahmad Dasuki Abdul Rani percaya bahawa kegagalan itu kerana wujudnya sikap manusia yang lebih mementingkan kehendak manusia berbanding apa yang digariskan oleh syariat Islam.

Apa yang berlaku dalam isu rotan itu seolah-olah menggambarkan bahawa kita selaku penganut agama Islam ingin melawan perintah Pencipta kita sendiri.

“Dalam kita mendidik, kita mendidik bukan berdasarkan aturan agama tetapi kerana kehendak dan pandangan manusia lain. Sehinggakan Islam dilihat tidak ada kekuatan ilmu dalam membina keluarga dan masyarakat.

“Dalam sebuah syair Arab yang bermaksud: Orang yang tiada apa-apa, bagaimana dia hendak bagi (sumbang),” katanya.

Malahan, ia juga turut menggambarkan bahawa kita lupa hakikat siapa diri kita di sisi Allah SWT.


Hukuman rotan bukan jalan penyelesaian muktamad

“Kita harus ingat Allah SWT yang mencipta kita dan sudah pasti Dia lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat.

“Oleh itu, tidak ada manusia yang boleh memperbetulkan kehidupan ini kecuali apa-apa perintah yang datang daripada Allah SWT,” katanya ketika menjadi panel Bicara Persada - Rotan: Mendidik atau Mengajar di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Forum itu adalah anjuran Fakulti Pendidikan Dan Jabatan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut menjadi panel jemputan ialah Presiden Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan pakar psikologi UKM, Prof. Dr. Zuria Mahmud.

Selain itu, Ahmad Dasuki menjelaskan ada ketika kita lupa bahawa Allah SWT menciptakan manusia dalam keadaan berbeza antara satu sama lain.

Ini jelas apabila kita melihat penurunan perintah Allah SWT (melalui Rasulullah SAW) untuk manusia dibuat dalam keadaan berbeza-beza mengikut setiap individu.

“Dalam tafsiran alim ulama bahawa ada sekelompok manusia yang apabila menerima perintah Allah SWT, dia akan terus melaksanakannya tetapi ada juga kumpulan manusia yang selagi tidak dirotan, maka dia tidak akan dengar,” katanya.

Garis panduan ketat

Begitu pun, Ahmad Dasuki percaya penyelesaian tersebut boleh dicapai jika ajaran dan prinsip Islam menjadi pegangan yang kukuh dalam diri seseorang.

Hanya hati yang terpaut kukuh kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW akan menjauhkan diri kita kepada perangi amarah apabila berdepan dengan sesuatu permasalahan hidup.

“Kita kena faham bahawa Islam merupakan satu agama dakwah yang menyeru manusia kepada kebaikan dan bukannya untuk menjadikan hidup manusia semakin sukar atau tertekan.

“Bahkan Islam mengajar supaya kita selamat bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat,” katanya.

Sejajar itu, Ahmad Dasuki berkata, walaupun hukuman rotan ada termaktub dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran Islam tetapi ia bukan boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Beliau menegaskan, Islam menetapkan garis panduan yang ketat sebelum hukuman rotan tersebut dilaksanakan sama ada ke atas anak, isteri atau individu Islam yang melakukan kesalahan.

“Sebenarnya rotan itu telah dibincangkan secara panjang lebar oleh alim ulama dan hasilnya, mereka sepakat mengadakan beberapa syarat sebelum hukuman rotan dilaksanakan.

“Antara buku yang boleh dijadikan rujukan ialah Pendidikan Anak-anak Dalam Islam yang menggariskan lebih 10 syarat yang perlu dipenuhi sebelum merotan anak,” katanya.

Sekiranya mahu dilaksanakan juga hukuman rotan, terdapat garis panduan yang perlu dipenuhi terlebih dahulu kerana Islam menegaskan bahawa hukuman itu dilaksanakan bukan sebab nafsu amarah tetapi sebagai peringatan untuk mendidik dan mengasuh.

“Perkara itu dipentingkan kerana Islam mahu hukuman itu sampai pada jiwa atau perasaan sehingga menimbulkan rasa insaf tetapi bukan kepada jasadnya,” katanya.

Apa 
kata mereka

“ISU rotan ia menggamit lebih perhatian orang Melayu yang cukup sinonim dengan Islam. Wajarkah kita kalah kepada desakan hak asasi yang diwujudkan oleh golongan Barat.” SAYED MUNAWAR SAYED MOHD. MUSTAR
 Pengacara TV

“ROTAN bukan budaya orang Malaysia atau Melayu tetapi adalah sebahagian atau ciri untuk mengasuh anak-anak.” DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT 
Presiden Sukaguam

“MEROTAN hanya satu alat yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan atau keburukan. Ia menjadi isu apabila ia disalahgunakan oleh orang ramai sama ada guru atau ibu bapa.” PROF DR. ZURIA MAHMUD