April 18th, 2015

Bawa semangat al-Quran

AL-QURAN adalah sebuah kitab dijaga secara langsung oleh ALLAH SWT. Kewujudan dan kelestariannya disampaikan Nabi Muhammad SAW mampu membentuk peribadi Muslim yang baik kerana al-Quran adalah naskhah suci yang perlu dibaca, difahami dan diamalkan setiap Muslim.

Sehingga saat ini, berapa ramai antara kita yang mampu menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Jika dilihat, jumlah penduduk Malaysia yang ramai dan majoritinya adalah Muslim, seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu al-Quran untuk seorang. Al-Quran ini sebagai sebuah solusi dalam setiap masalah yang dihadapi sehari-hari.

Namun hakikatnya, kita sering membiarkan al-Quran tersusun cantik di rak sebagai perhiasan. Biar terus buta al-Quran, janji ada al-Quran. Itulah mentaliti sesetengah masyarakat kita. Menjadi kewajipan bersama untuk menyebarkan keindahan al-Quran kepada masyarakat. Al-Quran itu mudah jika kita melihat ia bukan sekadar naskhah buku yang biasa.

#AktifkanRumahNgaji

Kempen #AktifkanRumahNgaji di seluruh negeri di Malaysia dimulakan sejak Januari 2014 dengan matlamat membangunkan karakter dan nilai mulia berlandaskan al-Quran dengan back to basic, kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Program di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) ini ditubuhkan pada 24 Ramadan 1434 Hijrah bersamaan 31 Julai 2013. Ia membawa misi agar al-Quran dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Dengan menjadikan al-Quran sebagai meeting point dan

Rumah Ngaji sebagai meeting place sehingga kita mampu besarkan persamaan dan kecilkan perbezaan sesama kita melalui al-Quran.

Sehingga kini, sebanyak 442 buah Rumah Ngaji di sekitar Kelantan ditubuhkan manakala 37 Rumah Ngaji adalah di luar Kelantan termasuk Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan negeri-negeri lain.

Dalam kelas asas al-Quran, pelajar diperkenalkan dengan huruf hijaiyah, pengenalan kepada baris fathah, kasrah dan dommah, kaedah penggabungan huruf hijaiyah, tanwin, mad, sukun, tasydid, dan beberapa pelajaran lain.

Pelajar didedahkan dengan makhraj huruf sebelum mendalami hukum tajwid lain seperti hukum nun sukun dan tanwin, hukum mim sukun, idgham, mad, qolqolah dan sebagainya.

Bagi kedua-dua kelas asas dan tajwid, pelajar akan diberi kefahaman dan pengukuhan melalui komunikasi dua hala antara pelajar dan tenaga pelajar.

Solusi dalam al-Quran

Penubuhan Rumah Ngaji adalah hasil daripada inisiatif masyarakat setempat dan komuniti yang berasakan al-Quran itu sebuah mukjizat. Mereka yakin, dengan membawa al-Quran kepada masyarakat, segala masalah yang terjadi dalam masyarakat dapat diselesaikan dan punya solusi tersendiri yang diceritakan dalam al-Quran.

Ada antara mereka yang sudah mempunyai kelas pengajian al-Quran, kemudian dijenamakan di atas nama Rumah Ngaji bagi memberi perspektif baru kepada masyarakat mengenai al-Quran. Membawa konsep serba santai dalam pembelajaran al-Quran, ia memberi peluang kepada orang ramai yang segan dan malu turut sama menikmati keindahan mukjizat al-Quran.

Sepanjang kempen #AktifkanRumahNgaji berlangsung, banyak permintaan daripada orang persendirian, masjid dan surau agar konsep Rumah Ngaji ini turut dikembangkan di tempat mereka. Dengan program seperti ini, kita dapat melihat adanya permintaan terhadap kelas al Quran. Namun, mereka kebanyakannya tersekat dengan kos bagi menubuhkan kelas pengajian al-Quran.

Daripada masyarakat  untuk masyarakat

Kita sedia maklum, untuk menggerakkan sesuatu itu perlukan sumber kewangan yang kukuh. Begitu juga dengan Rumah Ngaji. Setiap Rumah Ngaji yang ditubuhkan memerlukan dana untuk terus bergerak menyebarkan keindahan al-Quran secara percuma kepada pelajar, suri rumah, pekerja, pesakit di hospital, pesalah di penjara, dan komuniti sehingga al-Quran dekat dan masuk ke hati.

Salah satu matlamat Rumah Ngaji adalah mahu masyarakat membaca al-Quran, memahaminya, dan mengamalkan nilai mulia yang terkandung dalamnya bagi mendidik jiwa menjadi Muslim sejati.

Setiap Rumah Ngaji memerlukan al-Quran, juga memerlukan dana, tetapi kelainan Rumah Ngaji adalah al-Quran yang diwaqafkan ini tidak akan ditinggalkan begitu sahaja, tetapi digunakan untuk mencetuskan kesedaran sehingga masyarakat setempat akan bersama membangunkannya; daripada masyarakat untuk masyarakat.

Penduduk, Wan Jaafar Wan Ibrahim, 62, dari Pasir Tumboh mengakui ini adalah peluang terbaik dan beliau percaya program Rumah Ngaji ini mendapat sambutan luar biasa suatu hari nanti kerana sistem pengajaran yang diperkenalkan sistematik dan mudah.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Nik Mat-Mahmood Al-Daudi, 65, pula berkata, pengajaran al-Quran secara asas diperkenalkan Rumah Ngaji memudahkan peserta untuk belajar.

Kitakan Islam, Buat Kerana ALLAH

Al-Quran yang diwaqafkan melalui WUI akan diagihkan kepada Rumah Ngaji mengikut keperluan, selain bersama berkongsi pengalaman menghidupkan Rumah Ngaji, melatih tenaga pelajar dan membantu menguar-uarkan keperluan seperti rehal, rak al-Quran, perabot dan tenaga pengajar bagi memastikan objektif Rumah Ngaji berjalan lancar.

Setakat ini Rumah Ngaji yang aktif dibiayai dana daripada masyarakat jauh dan dekat.

Usaha ini mampu menarik lebih ramai umat Islam membaca al-Quran, menghayatinya dan  mengamalkannya.  Tanpa mengira peringkat umur, anak-anak kecil dari enam hingga 70 tahun berpeluang mempelajari al-Quran secara percuma di Rumah Ngaji.

#AktifkanRumahNgaji, sebuah program penyatuan hati yang dilakukan adalah untuk membawa mesej al-Quran menjadi karakter ummah, dengan izin-Nya.

Semoga umat Islam di Malaysia dapat membaca al-Quran dengan baik, memahaminya dengan jiwa dan mengamalkan nilai dalam al-Quran sehingga menjadi Muslim sejati. Naquiah Muhammad Noor Sinar Harian Rencana  17 April 2015

Nampak baik tapi riak

ADAKAH ada antara kita yang suka berpenat-lelah bekerja, malangnya kerja itu tidak memberikan apa-apa hasil pun? Atau setiap hari pergi bekerja, tapi akhir bulan tidak dibayar gaji. Pasti tidak ada individu sedemikian.

Jika ditanya lagi, adakah ada dalam kalangan kita yang beramal ibadat dan melakukan kebaikan, tetapi tidak mengharapkan pahala daripada amal tersebut? Atau kita harapkan pahala, tetapi apa yang kita harapkan hanya tinggal harapan. Pahala terhalang dengan sesuatu yang lain.

Lebih malang, kita sangkakan sudah mengumpul pahala daripada amal yang dilakukan, tetapi rupanya ia hanya ibarat debu-debu yang berterbangan. Tidak ada apa-apa. Diri sendiri tertipu oleh diri sendiri.

Mengapa?


Ada orang mengungkit perkara baik yang dilakukan bagi menunjukkan bagusnya dia.
Amalan kita diterima sekiranya dilakukan dengan ikhlas dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Keikhlasan menjadi salah satu syarat amalan diterima. Namun, semua itu musnah sekiranya perasaan riak datang menjengah.

Riak pemusnah amalan. Riak boleh menyerang sesiapa sahaja. Dalam pelbagai bentuk dan cara. Air mata yang mengalir ketika solat, bercakap dengan suara perlahan, kelopak mata yang kehitaman, dua bibir yang kekeringan akibat puasa, janggut yang disimpan panjang, kesan sujud di dahi, bacaan al-Quran yang merdu; semua ini adalah ruang untuk riak datang menyerang.

Kadang-kadang kepetahan berkata-kata, melawan hujah ketika berbahas, berkawan rapat dengan orang kenamaan, juga boleh dicemari dengan riak. Kesimpulannya, apa sahaja amal yang kita lakukan, ia terdedah kepada perasaan riak yang akan memusnahkan amal tersebut.

Oleh sebab itu, dosa riak diibaratkan syirik kecil dan ia lebih dibimbangi Rasulullah SAW berlaku kepada umatnya berbanding syirik yang besar. Sabda Baginda SAW: "Mahukah aku beritahukan kalian perihal yang lebih aku takut menimpa kalian mengenai al-Masih al-Dajjal?"

Kami menjawab: "Sudah tentu." Baginda SAW bersabda: "Syirik yang tersembunyi, iaitu seseorang mengerjakan solat lalu dia membaguskan solatnya kerana ada seseorang yang memperhatikannya." (Riwayat Ibnu Majah no. 4194 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 2607)

Benteng riak

Penyakit riyak ini jika tidak dicegah boleh terkena kepada sesiapa sahaja. Justeru, bagaimana untuk menghalang atau merawatnya. Mungkin cara-cara berikut boleh kita amalkan:

**Doa diberikan ikhlas dan dijauhkan riak.

Inilah langkah asas yang perlu kita lakukan. Sentiasa pohon pertolongan daripada ALLAH SWT agar dikurniakan keikhlasan dalam setiap amal kebaikan dan dihindari daripada perasaan riak.

Sepertimana Nabi Ibrahim yang minta perlindungan daripada ALLAH agar terpelihara daripada syirik besar, maka begitu juga kita. Mencontohi sikap baginda agar kita dijauhkan daripada syirik besar dan syirik kecil (riak). Nabi Ibrahim berdoa: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala". (Surah Ibrahim: 35)

**Sedar kesan di dunia akibat riak.

Riak tidak langsung memberi manfaat kepada orang lain, bahkan boleh menambahkan kebencian. Jika kita tidak suka melihat orang lain yang ingin menunjuk-nunjuk dalam membuat amal kebaikan, maka orang lain juga tidak suka jika kita juga riyak dalam beramal.

Justeru, orang yang riak bukan hanya mendapat murka ALLAH, malah mengundang kebencian manusia kepada kita. Rugi di dunia dan rugi di akhirat.

Ada satu kisah yang sering diceritakan sebagai misal orang yang riak. Ada seorang Arab Badwi bersolat dengan solat yang sangat lama. Kemudian orang ramai memuji: "Bagus sungguh solat kamu". Arab Badwi itu menjawab: "Bukan itu sahaja, aku juga sedang berpuasa". (Abu al-Hasan Ali bin Muhammad al-Mawardi, Adab al-Dunya wa alDin)

Inilah penyakit riak. Seorang insan kadang kala dalam beramal terselit dalam jiwanya inginkan habuan keduniaan. Inginkan pujian, rasa megah, dilihat hebat dan sebagainya. Saat itu dia tidak sedar rasa itu telah menjauhkannya daripada ganjaran kebaikan di akhirat.

Perhatikan pesanan Rasulullah SAW ini:

"Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka ALLAH jadikan kekayaannya dalam jiwanya. ALLAH mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka

ALLAH akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. ALLAH cerai beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)". (Riwayat Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

**Sedar kesan di akhirat akibat riak.

Muslim yang sedar suatu hari dia akan bertemu dengan hari akhirat, bakal berhadapan dengan timbangan amal tidak akan tergamak untuk mencemarkan amalannya dengan rasa riak.

**Sembunyikan amal kebaikan sedaya mungkin.

Amal kebaikan yang kita lakukan tidak perlulah diheboh-hebohkan. Sembunyikan sedaya mungkin agar tidak diketahui ramai orang. Jika tidak, ia akan membuka ruang kepada riak dan was-was syaitan pun mula berperanan. ALLAH memuji orang yang bersedekah dalam keadaan sembunyi:

"Kalau kamu zahirkan sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu…" (Surah Al-Baqarah: 271)

Namun begitu, dalam hal ini ada sedikit pengecualian. Ada amalan yang kita tidak perlu sembunyikan bahkan dituntut untuk lakukannya secara terang-terang dengan tujuan amalan itu boleh menjadi ikutan orang lain.

Begitu juga dengan amalan kebaikan lain. Bagi mereka yang mampu selamat daripada rasa riak, maka lakukannya secara terang-terangan agar dapat mencetuskan semangat orang lain untuk turut sama, itu adalah lebih baik.

Al-Izz bin Abd al-Salam dalam karyanya Qawaid al-Ahkam, ketika menjawab persoalan adakah menyembunyikan amal lebih baik daripada lakukan secara terang-terangan bagi mengelakkan rasa riak? Beliau menjelaskan amal ketaatan ada tiga jenis:

Pertama: Amal yang disyariatkan dilakukan secara terang-terangan seperti azan, iqamat, bacaan al-Quran dalam solat, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah, berjihad, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah dan sebagainya. Semua ini tidak mungkin dilakukan secara sembunyi. Sekiranya pelakunya bimbang akan wujud perasaan riak, maka dia perlu bermujahadah dengan dirinya sendiri agar rasa riak tersebut dihapuskan dan yang tinggal hanyalah keikhlasan seperti yang dituntut oleh syariat. Dalam situasi ini, pelaku tersebut akan memperoleh ganjaran amalan tersebut dan juga ganjarannya bermujahadah menentang rasa riak.

Kedua: Amalan yang jika dilakukan secara sembunyi lebih baik daripada terang-terangan seperti bacaan dalam solat, zikir dan sebagainya.

Ketiga: Amal yang kadang-kadang disembunyikan dan kadang kala dizahirkan seperti memberi sedekah. Sekiranya takut akan wujudnya rasa riak, maka lebih baik disembunyikan berdasarkan firman-Nya: "Dan sekiranya kamu menyembunyikannya dan berikannya kepada golongan fakir, maka itulah yang lebih baik bagi kamu". (Surah Al-Baqarah: 271)

Sesiapa yang tidak riak, sekiranya amalan sedekah tersebut tidak dapat menarik minat orang lain untuk turut sedekah, maka menyembunyikannya adalah lebih utama. Tetapi sekiranya dizahirkan sedekah dan boleh membuatkan orang lain yang mungkin lebih kaya untuk turut sedekah, maka inilah yang lebih utama. Perbuatan tersebut menjadi penyebab orang lain juga untuk buat amal kebaikan dan dalam masa yang sama manfaat yang lebih banyak akan dinikmati oleh golongan fakir.

(Lihat: Al-Izz ibn Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/152)

Hal ini tidak semudah yang ditulis, kerana ia memerlukan kekuatan iman dan berurusan dengan jiwa kita yang sifatnya berbolak balik. Apa pun, masing-masing lebih tahu kadar diri sendiri. Masing-masing lebih mengerti apa yang terbuku di hati.

Bumi adalah masjid

PERKATAAN masjid berasal daripada 'sajada-yasjudu' bererti sujud, kemudian membentuk kata 'masjid' yang bererti tempat sujud. Segala sesuatu di tempat sujud untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT disebut masjid.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: "Al-ardhu masjid (bumi adalah masjid)." Dengan demikian, bumi ini bersih dan dapat digunakan untuk bersujud.

Lihatlah seorang petani solat dan sujud di atas permatang sawah, seorang nelayan solat dan sujud di atas pasir pantai atau sampan/kapal, seorang tukang kebun solat dan sujud di halaman kebunnya menghadap kiblat sama dengan orang yang sujud di atas sajadah di rumah atau di masjid.

Masjid dalam al-Quran

Masjid dalam perspektif al-Quran bukan hanya difokuskan kepada bangunan untuk beribadah bagi umat Islam semata. Peristiwa Israk dan Mikraj juga melibatkan dua masjid, sebagaimana disebutkan dalam al-Quran iaitu dalam Surah Al-Israk yang menjelaskan mengenai

Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Palestin yang sehingga kini belum memiliki bangunan khusus seperti sekarang.
Sebagai umat Islam yang unggul, perlu memahami peranan masjid dalam konteks sebenarnya. - Gambar hiasan


Masjidil Haram adalah pelataran Kaabah dan Masjidil Aqsa adalah sebongkah batu besar yang biasa disebut ‘batu tergantung’ kerana dimitoskan batu itu ingin menyertai Nabi Muhammad SAW ke Sidratul Muntaha. Kini batu besar itu berada dalam bangunan masjid di kompleks al-Aqsa.

Dalam perspektif ahli tarekat, badan manusia juga boleh disebut pakaian, tempat tinggal, sekali gus sebagai tempat sujud (masjid) dimensi batin manusia, seperti kalbu, jiwa, akal dan roh manusia.

Bahkan dalam perspektif ilmu hakikat, badan biasa disebut ‘Bait ALLAH’ atau (Rumah Tuhan) kerana dalam badan manusia tempat roh yang dianggap sebagai unsur suci Tuhan, sebagaimana firman ALLAH SWT: "Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan telah meniupkan ke dalamnya roh-Ku". (Surah Al-Hujurat: 29)

Badan sebagai 'Bait ALLAH' (Baitullah) adalah nama lain Kaabah atau kiblat umat Islam dalam melaksanakan sejumlah ibadah seperti solat. Kaabah juga sekali gus sebagai objek tawajuh, sebagaimana selalu kita ikrarkan dalam doa iftitah (Sesungguhnya solatku, urusanku, dan hidupku serta matiku hanya untuk Tuhan semesta alam).

Badan manusia dianggap sebagai Baitullah atau Kaabah secara maknawi, dianalogikan dengan Arasy iaitu singgahsana Tuhan. Baitul Makmur iaitu miniatur Arasy yang khusus dibangunkan Tuhan untuk malaikat setelah menyedari kelancangannya mempertanyakan kebijaksanaan Tuhan dan Kaabah miniatur Baitul Makmur yang dibangunkan malaikat untuk Adam serta isterinya setelah melanggar larangan di syurga.

Bersihkan kotoran

Badan sebagai pakaian, tempat tinggal dan masjid, apa lagi dianalogikan Baitullah atau Kaabah. Sudah tentu harus bersih daripada dosa. Pembersihan badan bukan hanya membersihkannya daripada kekotoran dengan cara berwuduk, tayamum atau mandi dengan menggunakan air, sabun atau syampu, tapi juga harus dipelihara kebersihannya daripada noda, seperti juga terhadap dosa dan kemaksiatan.

Dalam kalangan ulama tarekat berpendapat berdasarkan firman-Nya: "Bersihkanlah pakaianmu. Tinggalkanlah perbuatan dosa." (Surah Al-Muddathir: 3-4)

Dimaksudkan dengan pakaian di sini bukan hanya baju di badan, tetapi pakaian atau selimut dimensi batin. Cara pembersihannya tentu bukan hanya membersihkan kekotoran fizik, tetapi juga dengan kekotoran dosa kemusyrikan.

Musyrik bermaksud menyembah Tuhan selain ALLAH iaitu mempercayai bahan atau perkara tertentu selain ALLAH, yang diyakini mampu menentukan nasib seseorang.

Dalam pandangan al-Quran, sebagaimana ditafsirkan kalangan ahli tarekat, kemusyrikan adalah najis. ALLAH berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram." (Surah At-Taubah: 28)

Maksud syirik ialah percaya kepada sesuatu selain ALLAH sebagaimana disebutkan dalam al-Quran: "Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan ALLAH membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya serta ALLAH telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan di atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah ALLAH (membiarkannya sesat). Mengapa kamu tidak mahu ingat?” (Surah Al-Jathiyah: 23)

Jenis kekotoran berupa dosa atau maksiat maka penyuciannya dengan sesuatu yang bukan fizik, yang biasa disebut dengan air hakikat iaitu ilmu pengetahuan. Sebagaimana Nabi SAW menyebut: "Air adalah ilmu ALLAH."

Dengan demikian, seseorang yang mendapat anugerah makrifah ALLAH bukan sahaja mendapatkan ilmu yang amat penting, melainkan juga membersihkan dirinya daripada dosa. Perbuatan dosa manusia harus dibersihkan dengan air atau tanah dan disucikan dengan air hakikat (makrifah ALLAH).

Hakikat masjid bukan hanya masjid atau musalla dalam pandangan ilmu tarekat dan ilmu hakikat, tetapi keseluruhan alam (al-khaliq) ini adalah masjid kerana boleh fokus untuk sujud, beribadah dan bertawajuh kepada ALLAH.

Badan sebagai penyimpan atau tempat tinggal berbagai kekotoran, harus betul-betul dibersihkan, disucikan, dihayati. Inilah makna hadis yang sering dikutip dalam kitab tasawuf: "Barang siapa mengenal dirinya maka ia akan mengenal Tuhannya."

Masjid dalam perspektif Islam juga diertikan sebagai tempat belajar/ngaji al-Quran, madrasah, pendidikan mental dan fizikal, pembangunan sosial dan masyarakat, seperti zakat, majlis akad nikah, solat jenazah dan sebagainya.

Masjid di negara kita banyak yang musnah dilanda banjir Disember 2014. Rata-ratanya memerlukan bantuan dan pertolongan daripada semua pihak. Dalam kalangan masyarakat melancarkan program ke arah matlamat tersebut dengan semboyan dan moto: "Kitakan Islam,

Buat kerana ALLAH." Suatu program yang wajar disokong dan dipuji kita semua.

Sebaliknya masjid sebagai 'Rumah ALLAH' tidak semestinya dijadikan sasaran untuk ceramah ideologi politik yang boleh menjejaskan nilai masjid dan mendatangkan laknat dan kutukan-Nya.

Bersederhana rai nikah

RAMAI yang mengimpikan majlis perkahwinan gilang-gemilang. Bangganya hati ini apabila semua mata terpaku melihat kacak dan cantiknya pasangan pengantin berjalan di atas hamparan permaidani merah, memakai pakaian pengantin ala-ala Cinderella direka pula oleh pereka fesyen terkenal negara.

Majlis meraikan pengantin tersebut diadakan di dewan sebuah hotel lima bintang, dilengkapi dengan wangi dan harumnya bungaan segar pelbagai warna. Kilauan lampu yang memancar menaikkan lagi indahnya seri pengantin.

Indahnya sebuah majlis perkahwinan dambaan semua wanita di luar sana. Itulah gambaran sebuah majlis perkahwinan abad ini.

Gerbang perkahwinan adalah penyatuan dua hati yang menyulam cinta. Pastinya tidak ada yang mahu hidup keseorangan di dunia ini hingga akhirnya bukan, kerana itulah disyariatkan berkahwin. Namun, rata-rata menberikan respons nak kahwin sekarang kena ada duit banyak, kalau majlis biasa-biasa malu nanti. Kerana itulah, ada ibu bapa yang sanggup bekerja berhempas-pulas mencari duit sehingga ada yang menebalkan muka meminjam sana-sini demi untuk menganjurkan perkahwinan anaknya. Mahalnya mahu membina bahagia!.

Ada pula sesetengah pasangan yang berkira-kira untuk berkahwin kerana bimbang jika bakal mertuanya meletakkan hantaran yang tinggi dan mahukan majlis yang vogue sedangkan si lelaki tidak berkemampuan.

Ditoleh ke kanan dipandang ke kiri, sana-sini anak muda yang bernafsu untuk berkahwin tetapi tidak mampu untuk berbelanja dengan 'meriahnya' demi sebuah perkahwinan yang hebat. Desakan inilah yang mewujudkan segelintir pemuda kita sehingga sanggup melakukan maksiat dan ada yang mengetepikan peranan kedua ibu bapa dengan bernikah di sempadan.

Tapis budaya Barat

Pendakwah, Ustazah Asmak Hussin menjelaskan betapa liciknya Barat kerana mereka berjaya memesongkan fahaman orang Islam sekarang sehingga sangat mengagungkan budaya Barat yang jelas bertentangan dengan norma dan nilai-nilai Islam.

"Bagi mereka apa yang datang dari Barat moden dan maju. Tidak dinafikan, bukan semua yang datang dari Barat tidak bagus untuk diamalkan, malah ada banyak sifat-sifat murni yang patut dicontohi oleh umat Islam hari ini. Contohnya semangat ingin tahu yang tinggi (inkuiri), berfikiran terbuka, suka membaca dan mengkaji serta banyak lagi perihal yang boleh dijadikan contoh dan ikutan.

"Malangnya ramai daripada kita tidak tahu bagaimana ingin menapis kemasukan budaya tersebut dengan falsafah Islam yang jelas. Mana yang baik kita amalkan, mana yang bertentangan kita tinggalkan. Itulah yang membezakan kita sebagai penganut agama Islam dan yang lain," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, akal yang diberikan ALLAH perlu menapis, ilmu yang dipelajari seharusnya difahami dengan sebaiknya dan digunakan untuk mengkaji. Sesungguhnya seperti yang dikatakan tadi, tidak semua dari Barat tidak elok. Masyarakat Barat terkenal dengan kuatnya ikatan kasih sayang sesama mereka. Sikap itu perlu diteladani semua orang, namun apa sesetengah perkara yang kelihatan tidak wajar diikuti. SInar Harian Rencana 17 April 2015