April 21st, 2015

Perkuat akal melalui ilmu

Akal memainkan peranan penting dalam membina kekuatan diri. Islam menggalakkan penggunaan akal, namun bukan akal secara mutlak dan bersendirian sebaliknya akal yang dipandu dengan panduan agama dan syariat.

Felo Utama dan Pengarah Syarak, Dr Mohd Farid Mohd Syahran menyentuh hal ini dalam bicaranya mengenai 'Membina Kekuatan Jiwa Dalam Pendidikan' yang bersiaran dalam program Guru dan Pendidikan di radio IKIMfm, hari Selasa jam 5.15 petang.

Terdahulu, beliau mengupas perkataan jiwa itu sendiri yang sering dikenali sebagai kalbu, roh, diri dan satu lagi istilah ialah 'akal'. Akal sentiasa dirujuk kepada intelek, aspek logik, aspek rasional dan kalau dirujuk kepada al-Quran, 'akal' amat rapat dan sentiasa merujuk kepada perkara yang tinggi termasuklah aspek ketuhanan.

Mereka yang kuat akalnya itulah orang yang dekat dengan ketuhanan. Orang yang kuat akal akan menjadi orang yang mampu mengawal emosinya. Perkara ini perlu dijelaskan kerana kita tidak boleh menjauhkan 'akal' itu dari aspek ketuhanan kerana ada kecenderungan dalam masyarakat kita yang melihat bahawa penilaian akal itu tidak benar dan hanya bersifat duniawi semata-mata, tersasar daripada iman dan membawa kesesatan.

Kecenderungan ini kurang tepat kerana 'akal' juga memainkan peranan penting dalam Islam dan lantaran itulah kita sering menemui ayat-ayat al-Quran yang menyebut 'afala ta'qilun' atau 'afala tatafakkarun' dan seumpamanya (kenapa kamu tidak berfikir?).

Galak akal berfikir kebesaran Allah

Islam menggalakkan penganutnya menggunakan akal dalam memikirkan tanda kebesaran Allah SWT. Orang yang serius dalam menggunakan akalnya itu akan menghampiri kebenaran.

Penggunaan akal tidak boleh dipisahkan daripada agama, tetapi akal perlu bergerak seiring agama. Akal ini mengikut Imam al-Ghazali seperti yang dinukilkan dalam Kitab Ajaib al-Qalb yang merujuk kepada empat perkara.

Pertama, pembawaan tabii dalam diri manusia yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Maknanya apabila manusia menggunakan akal yang juga tabii dalam dirinya dengan betul dan memperkukuhkan elemen yang membawa kepada kuatnya akal, ia mampu membezakan manusia dengan haiwan. Bahkan ia menjadi manusia sebagai makhluk yang sebaik-baik kejadian (ahsanul taqwim).

Oleh itu, untuk menjadi manusia yang paling baik ialah dengan cara memperkuatkan akal dan cara memperkuatkan akal itu ialah melalui ilmu.

Lantaran itu, kita sering mendengar pesan orang tua-tua dahulu setiap kali menghantar anak mereka ke sekolah dengan ungkapan "kau pergi sekolah ini agar menjadi manusia".

Sebenarnya orang tua dulu faham mengenai falsafah pendidikan itu sendiri dalam konteks yang paling mudah difahami iaitu untuk melahirkan manusia kerana hanya dengan ilmu sahajalah 'manusia' sebenarnya akan dapat dilahirkan.

Tanpa ilmu walaupun manusia itu jasadnya manusia, namun akhlak dan peribadinya mungkin lebih teruk daripada binatang bahkan lebih daripada itu sehingga adanya istilah yang sering digunakan iaitu 'syaitan bertopengkan manusia' sebagai menggambarkan bagaimana sifat manusiawi yang mulia itu sudah tiada pada individu berkenaan.

Maksud kedua mengikut Imam al-Ghazali, akal itu ialah apabila ilmu daruri atau 'ilmu yang pasti' datang pada diri seseorang. Oleh itu, dalam Islam ada istilah 'akil baligh' yang merujuk kepada sampainya umur akalnya dan kemampuan akal untuk menerima tanggungjawab (taklif).

Justeru, mereka ini disebut mukalaf iaitu orang yang dipertanggungjawabkan. Kenapa mereka mula dipertanggungjawabkan? Kemampuan akal mereka untuk memilih baik dan buruk, benar dan jahat. Sekiranya akal mereka masih belum sempurna untuk menilai dan membezakan sesuatu, maka selama itu mereka tidak dibebankan dengan tanggungjawab.

Kepentingan akal dalam agama

Oleh sebab itu kanak-kanak, orang gila atau orang terlalu tua yang sudah nyanyuk atau lemah daya akalnya tidak lagi dibebankan dengan tanggungjawab agama kerana kemampuan akalnya yang sudah tidak sempurna. Ini jelas menunjukkan betapa akal itu amat penting dalam agama.

Ketiga, akal merujuk kepada pengalaman hidupnya. Jika seseorang itu lama hidupnya, lebih banyak pengalamannya dan sepatutnya lebih kuat daya akalnya.

Keempat, akal itu merujuk kepada kekuatan dalam diri membolehkan seseorang itu mengetahui akibat sesuatu itu baik atau buruk. Lagi kuat seseorang itu untuk membuat penilaian terhadap baik buruk sesuatu perkara, maka menjadi dalil betapa kuat akalnya.

Sebab itu antara ciri pemimpin ialah memiliki akal yang 'tadabbur' iaitu mampu merenung jauh dalam setiap tindakan yang diambil. Jika pemimpin tidak mampu membuat analisis dengan lebih baik terhadap sesuatu baik atau buruk, maka beliau bukan seorang pemimpin yang baik.

Bagaimana pula cara untuk memantapkan daya pemikiran dan akalnya? Akal manusia ini mempunyai kemampuan menggambarkan (tasawur) sesuatu. Sebagai contoh konsep kecantikan mampu digambarkan secara automatik oleh akal.

Akhirnya manusia seakan boleh sepakat terhadap sesuatu itu cantik, walaupun ia sesuatu yang bersifat konsep dan abstrak. Begitu juga apabila kita melihat kereta atau pokok. Kita seakan sepakat mengenai konsep kereta atau pokok dalam akal kita.

Begitu juga peranan akal ialah menyusun cara berhujah, menggunakan premis yang logik dalam menyampaikan kepada kesimpulan atau rumusan.

Dalam gagasan pendidikan baharu bagi melahirkan pelajar yang mampu berfikir aras tinggi, kemampuan akal perlu dipertingkatkan sehingga mampu membuat perbandingan, menganalisis (analitikal), dan mengaplikasi teori baharu dalam kehidupan.
Mazlina Ismail  Berita Harian Rencana 21 April 2015

Ulama dan pondok hebat Terengganu

WALAUPUN ada perbezaan pendapat, ramai pakar sejarah dan pengkaji Islam bersetuju bahawa pengajian agama cara pondok yang paling awal ialah di Terengganu.

Ini berdasarkan hakikat Islam sampai di negeri itu lebih awal daripada negeri lain, termasuk Melaka dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang sekitar 1326 atau 1386, serta bermulanya sistem dakwah dan pengajaran agama yang menggunakan kaedah sama seperti di Masjidil Haram yang dikesan sejak abad ke-17 lagi.

Sistem pondok berkembang pesat antara abad ke-18 dan awal abad ke-20. Ia berperanan menyebar ilmu Islam dan menjana semangat kepada perubahan ‘jiwa’ orang Melayu-Islam. Majoriti ulama yang jadi penggerak kepada penubuhan pondok adalah mereka yang pernah belajar di Makkah dan Madinah.

Latar belakang pendidikan ini mempengaruhi pola dan cara pengajaran di pondok. Ini bertujuan memudahkan pelajar apabila meneruskan pengajian ke Makkah atau Madinah.

Para pelajar, kebanyakannya awal belasan tahun, duduk dalam halaqah (bulatan) mengelilingi seorang guru dan diajar pelbagai ilmu agama seperti feqah, tauhid, mantiq, bahasa dan nahu Arab.

Sepanjang pengajian, mereka dengar apa yang diajar, membaca dan merujuk kepada kitab thurath serta menghafal al-Quran. Setelah tamat pengajian, pelajar digalakkan melanjutkan pengajian ke Makkah, Madinah atau pondok lain.

Di Terengganu, ulama keturunan Sayid al-Idrus memainkan peranan penting mempelopori dan mengembangkan pengajian pondok. Keturunan ini datang dan menetap di Terengganu pada akhir abad ke-18, dan sangat berpengaruh dalam masyarakat dan pentadbiran termasuk dengan pihak istana.

Mereka terdiri daripada Sayid Muhammad Zainal Abidin atau Tok Ku Tuan Besar (1795-1879), anaknya Sayid Abdul Rahman atau Tok Ku Paloh (1817-1917) dan Sayid Ahmad Muhammad al-Idrus atau Tok Ku Melaka, yang banyak menghasilkan karya persuratan.

Selain mereka, tokoh terkenal ialah Sayid Mustafa atau Tok Ku Tuan Dalam, yang menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke-3 (1881-1918). Dengan benih yang disemai mereka, tidak hairanlah kemudiannya muncul ramai tokoh ulama yang mendirikan pondok masing-masing.

Antara yang tertua dan terbesar di Terengganu, berkemungkinan juga di Semenanjung Tanah Melayu, ialah di Pulau Manis yang diasaskan oleh Sheikh Abdul Malik bin Abdullah (meninggal 1736).

Beliau dikatakan sempat berguru dengan Sheikh Abdul Rauf Singkel (1621-1693) di Acheh ketika singgah di sana sebelum bertolak ke Makkah untuk meneruskan pengajian. Beliau dikenali sebagai Tok Pulau Manis.

Pada abad ke-19, ramai ulama Patani berhijrah ke Terengganu, termasuk Sheikh Abdul Kadir Wan Abdul Rahim (meninggal 1864). Beliau keturunan Raja Bugis bernama Fakeh Ali yang menetap di Patani.

Selepas pengajian agama di Patani, beliau ke Makkah dan berguru dengan Sheikh Muhammad Zain Fakeh Jalaluddin Acheh dan Sheikh Daud al-Fatani. Kembali ke Terengganu, beliau buka pondok di Bukit Bayas dan dikenali sebagai Tok Sheikh Kadir Bukit Bayas.

Juga terkenal ialah Tok Ku Paloh, yang minat pengajian agama sejak remaja lagi. Beliau belajar di Kelantan, kemudian kembali ke Terengganu berguru dengan Tok Sheikh Duyung (Haji Wan Abdullah Muhammad Amin), seterusnya ke Makkah dan Madinah dan belajar di bawah bimbingan beberapa guru yang masyhur seperti Sayid Abdullah Ali al- Zawawi. Sayid Ahmad Dahlan dan Sayid Azahari Ahmad.

Kembali ke Terengganu, beliau mengajar agama di tempat lahirnya di Kg Cabang Tiga bersama tiga saudaranya. Setelah 2-3 tahun, dia berpindah ke Kg Paloh dan buka pondok, yang begitu terkenal sehingga mempunyai pelajar yang datang dari Kelantan, Pahang dan Patani.

Tok Ku Paloh diiktiraf sebagai pejuang yang menentang penjajah. Beliau menyokong gerakan pimpinan Melayu yang dilancar pada abad ke-19 dan menyebar fahaman sufi yang terdapat dalam karangannya berjudul Ma’arijal Lahfan, yang dijadikan panduan pembentukan generasi rabbani yang dirintis dan diasaskan bapanya.

Beliau memberi perlindungan kepada pahlawan Pahang seperti Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Beliau memberi restu dan semangat kepada mereka dengan menghadiahkan pedang yang bertulis ayat Quran.

Berbekal semangat baru dan dibantu 200 penyokong dari Besut, pejuang anti-penjajah berjaya menawan Balai Polis Kuala Tembeling dan kubu Britih di Jeram Ampai pada 1894.

Selain itu, lain-lain pondok yang aktif di Terengganu pada abad ke-19 ialah Pondok Tok Kali Sungai Rengas, Pondok Haji Abdul Hamid Kg Tebauk (Kuala Terengganu), dan Pondok Haji Mat Shafie Losong (Kuala Terengganu). Di Besut, yang paling terkenal ialah Pondok Haji Hussin Kg Lapu, Pondok Haji Hassan Kg Gong Surau dan Pondok Haji Said Kg Lama. Dr Mashitah Ibrahim Sinar Harian Rencana 21 April 2015