April 22nd, 2015

Suka-suka lafaz cerai

HIDAYAH berdebar menanti saat-saat kelahiran bayi yang dikandungnya. Semakin dekat hari kelahiran bayi tersebut, semakin tidak keruan Hidayah dibuatnya. Sekalipun itu bukan kali pertama dia mengandung dan melahirkan anak, tetapi kali ini cukup membuatkan Hidayah resah.

Bukan kerana dia menolak ‘rezeki’ yang Allah kurniakan kepadanya tapi ada sesuatu yang menjadi persoalan lebih besar daripada itu. Status bayi! Semakin difikirkan, semakin takut dibuatnya. Hidayah benar-benar tertekan.

Tambah rumit jika itu yang ketiga kerana membabitkan kesahihan status perkahwinan dan nasab .

CETEK ilmu agama dan hukum-hakam Islam akan menjadikan suami isteri hidup dalam kemurkaan Allah lantaran dosa yang dilakukan.

Tambah menyulitkan keadaan, apabila si suami enggan membuat pengesahan status lafaz perceraian yang pernah diucapkan oleh suaminya setahun yang lalu. Kata suami, semua itu tidak perlu. Undang-undang hanya menyusahkan dan merumitkan keadaan.

Lantas setiap kali bercerai, Hakim akan merujuknya kembali dengan cara menidurinya. Tiada saksi! Apatah lagi ia di luar pengetahuan pihak berkuasa. Sebenarnya sudah dua kali Hakim melafazkan perkataan cerai kepada Hidayah. Tapi setiap kali diucapkannya, tidak sampai dua minggu, Hakim akan merujuknya kembali.

Tapi kali ini Hidayah benar-benar menjadi takut lebih-lebih lagi apabila perceraian kali ini, kalau dikira-kira masuk kali ketiga. Dan seperti biasa Hakim merujuknya kembali. Dan kini Hidayah mengandung lagi!

Masih terngiang-ngiang di telinga Hidayah dalam satu kuliah Subuh yang dihadirinya, kata-kata seorang ustaz bahawa perceraian kali ketiga, sama sekali tidak boleh dirujuk. Ia hanya boleh berlaku apabila si isteri berkahwin lain dengan orang lain lalu diceraikan. Dan ketika itulah ‘bekas suami lamanya’ boleh berkahwin semula dengannya dengan akad yang baharu.

Tapi apa yang berlaku kepada Hidayah tidak begitu. Hakim menjelaskan, dua kali lafaz cerai sebelum ini hanya gurauan sahaja. Dan oleh sebab itu, tidak menjadi masalah bagi mereka untuk ‘merujuk’ kembali. Ternyata, keengganan Hakim menjadi beban kepada Hidayah. Dia menjadi tidak keruan dek kerana sikap suaminya yang tidak mahu bekerjasama. Apa lagi yang perlu dilakukan olehnya.

Pandangan kaunselor

HUBUNGAN suami isteri bukanlah semata-mata berteraskan kasih dan sayang. Tetapi perlu bertunjangkan hukum-hakam syariat Islam yang diturunkan melalui al-Quran dan sunah serta sumber hukum yang lain seperti qias dan ijmak ulama.

Apabila sesuatu perhubungan perkahwinan bubar dengan satu lafaz talak, kedua-dua pasangan perlu merujuk kepada hukum yang ada bagi memastikan status perhubungan itu sah di sisi syarak atau sebaliknya.

Ia penting agar kesahihan status nasab dapat disahkan bukan sahaja mengikut undang-undang di mahkamah tetapi mengikut kesahan undang-undang Allah SWT.

Hari ini banyak pasangan yang bercerai di luar mahkamah tidak merujuk kepada mahkamah untuk mengesahkan perceraian mereka secara undang-undang. Begitu juga dengan lafaz rujuk yang dilakukan, walhal di sisi undang-undang, ia perlu ada saksi untuk membolehkan mereka kembali bersama sebagai suami isteri.

Inilah keadaan yang berlaku di luar sana di mana masyarakat tidak melihat ia sebagai suatu perkara yang penting dan perlu dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab. Justeru, semua pasangan terutamanya bakal suami isteri diwajibkan hadir kursus pra perkahwinan untuk memahami hukum-hakam perkahwinan dan perkara yang berkaitan hak dan tanggungjawab apabila berumah tangga.

Fenomena pasangan duduk bersama selepas berlakunya lafaz cerai tanpa pengesahan mahkamah juga menjadi kebiasaan sehingga menyebabkan mereka menghadapi kesulitan apabila ada keperluan di masa-masa hadapan.

Sebagai contoh, semasa berlaku lafaz cerai di luar mahkamah, mereka tidak membuat pengesahan di luar mahkamah kerana khuatir akan dikenakan denda. Lantas, sebagai jalan mudah, apabila mereka merujuk kembali, perkara sama dilakukan apabila lafaz rujuk juga tidak dilakukan mengikut prosedur undang-undang.

Masalah timbul apabila status perceraian tadi tidak disahkan oleh mahkamah dan rujuk yang dilakukan juga tidak di hadapan saksi, dikhuatiri status anak yang lahir selepas rujuk berlaku akan menimbulkan masalah.

Hal ini lebih rumit andai lafaz perceraian itu bukan kali pertama atau kedua, bahkan kali ketiga! Inilah kecetekan masyarakat Islam sendiri terhadap undang-undang syariah sehingga memandang remeh tanpa merasa bersalah di atas tindakan mereka yang mendatangkan risiko, khususnya kedudukan kelahiran anak yang seterusnya. Hal ini sudah tentu membuatkan hubungan suami isteri menjadi kucar-kacir dan anak-anak menjadi mangsa keadaan.

Harus dimaklumi, kelalaian pasangan suami atau isteri mendaftarkan perceraian dan lafaz rujuk mereka adalah salah di sisi undang-undang syariah. Ini kerana apabila pasangan tidak mendapatkan pengesahan tersebut, status untuk tinggal bersama sudah tentu menimbulkan keraguan.

Sepatutnya mereka perlu datang ke institusi untuk membuat pengaduan dan pengesahan hukum oleh pihak yang berautoriti dan dipertanggungjawabkan. Sebaliknya ramai pasangan terutama suami mendiamkan diri kerana ego. Lantas beranggapan cukup dengan persetujuan isteri untuk dirujuk tanpa perlu melalui prosedur undang-undang yang sah.

Seperti kes yang dikongsi pada minggu ini, sebagai pengajarannya kita dapati apabila sesuatu lafaz cerai dianggap mudah sehingga menyebabkan status perkahwinan mereka tidak sah, anak-anak sudah tentu menjadi mangsa keadaan. Dan inilah akibat yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab agamanya.

Sementara itu sebagai isteri, apabila diri mereka diceraikan di luar mahkamah dan suami tidak ambil kisah untuk melaporkan kepada mahkamah untuk mendapatkan pengesahan, isteri wajar untuk bertindak. Isteri bertanggungjawab untuk tampil mengemukakan aduan agar hubungan serta status suami isteri tersebut halal di sisi agama.

Cuba bayangkan apabila suami isteri meneruskan hubungan perkahwinan yang tidak sah daripada segi undang-undang, bukan sahaja diri mereka yang akan menanggung risiko bahkan keturunan mereka.

Paling ditakuti, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, ia akan mendatangkan kucar-kacir jurai keturunan mereka.

Justeru, kepada pasangan suami isteri lakukanlah sesuatu demi kebaikan dan kesucian nasab agar kesilapan yang telah dilakukan tidak ‘diwarisi’ oleh anak cucu, cicit yang tidak berdosa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku padah akhirnya.

Sesungguhnya tiada manusia di dunia ini tidak diampuni Allah apabila tersilap dalam hidupnya. Jadikan setiap perkara yang berlaku sebagai teladan dan sempadan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin yang sejati tidak akan memasuki dalam satu lubang dua kali.” Kata-kata baginda ini mengingatkan kita supaya apabila melakukan kesilapan, bertindaklah segera untuk menyelesaikannya dan bukan membiarkannya berpanjangan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada yang lain.

TIP KAUNSELOR

1.Kehidupan berumah tangga bukanlah semudah kata bermadah kerana apabila perkahwinan terbina, suami dan isteri perlu melayarinya dengan ilmu dan kemahiran. Begitu juga alam perkahwinan perlu diisi dengan pelbagai sumber agar perkahwinan dan rumah tangga akan mendapat rahmat dan hidayah daripada-Nya.

2. Perceraian sekalipun dibenarkan dalam Islam namun ia perkara yang amat dibenci. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda: “Perkara halal yang paling Allah benci adalah perceraian.” Justeru, dalam kemelut rumah tangga, talak atau cerai adalah jalan terakhir setelah beberapa usaha menyelamatkan rumah tangga yang dibina telah dilakukan.

3. Setelah lafaz itu dijatuhkan, suami dan/atau isteri perlulah bertindak merujuk kepada pihak yang terdekat seperti imam atau penolong pendaftar, pegawai agama atau terus ke mahkamah supaya kes tersebut dapat didengari dan difahami. Keadaan ini penting supaya tidak menimbulkan kekeliruan fahaman tentang lafaz yang dijatuhkan.

4. Kegagalan pasangan mendaftarkan pengesahan lafaz cerai akan memberi impak kepada hukum terutamanya yang berkaitan seperti sah atau tidak lafaz talak tersebut, tempoh idah yang akan dilalui oleh isteri, nafkah isteri ketika idah dan tempoh sahnya lafaz rujuk yang akan dilafazkan oleh suami. Bahkan, jika berlaku hubungan suami isteri adakah ia sah di sisi hukum apabila tiadanya lafaz rujuk yang dipersaksikan oleh pihak yang berwajib.

5. Sekiranya suami tidak mengemukakan aduan bahkan melarang isteri membuat pengaduan kepada pihak yang bertanggungjawab, suami akan menanggung segala beban dosa selama mana perkara itu tidak dilakukan tindakan. Namun isteri perlulah bijak mencari ruang dan peluang untuk melaporkan agar perkara tersebut tidak akan tergantung tanpa ada pengesahan yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

6. Suami yang bertanggungjawab akan bertindak segera di atas tanggungjawabnya bagi memastikan lafaz tersebut sah atau tidak serta melakukan lafaz rujuk di hadapan saksi agar hubungan perkahwinan itu dapat diperakui secara undang-undang. Sekaligus anak-anak yang bakal lahir dapat dibinkan atau diwalikan dengan bapa yang sah.

7. Janganlah disebabkan cetek ilmu agama dan hukum-hakam Islam menjadikan suami isteri hidup dalam kemurkaan Allah lantaran dosa yang dilakukan. Hasilnya hidup akan sentiasa dalam kekalutan dan huru-hara kerana tidak diberkati-Nya. Perkahwinan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan kesusahan akibat dosa yang tidak diperbetulkan.

-

Cabaran perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam

POLEMIK mengenai hudud di Malaysia tidak pernah surut. Kalau sebelum ini ia hanya berlegar dalam kalangan umat Islam tetapi hari ini, ia turut disentuh oleh bukan Islam.

Apa tidaknya, isu itu menjadi kembali panas apabila pada 18 Mac lalu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan kemudiannya diluluskan.

Lebih menghangatkan suasana itu, apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menghantar surat notis pemberitahuan meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di bawa ke Parlimen.


Sebahagian dari para peserta yang hadir, di Seminar pelaksanaan hudud di Malaysia: sejarah dan masa depan di Dewan Syeikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, baru-baru ini. -

Semua pihak, termasuk kalangan mereka yang tidak begitu memahami undang-undang jenayah itu turut sama menyuarakan pandangan atau pendapat mereka terhadap isu berkenaan.

Malah, situasi menjadi lebih bercelaru apabila polemik tersebut turut menunjukkan kita berada dalam keadaan keliru apabila membicarakan isu terbabit.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyimpulkan bahawa keadaan itu disebabkan ramai orang terkeliru di antara hukum dengan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam tersebut.

Atas sebab itulah, beliau menegaskan bahasa masyarakat umum perlu membezakan di antara perbincangan mengenai hukum dengan pelaksanaan undang-undang itu.

“Apa yang kita bincangkan sekarang ini ialah mengenai pelaksanaannya dan bukan mempersoalkan aspek hukumnya.

“Membangkitkan isu-isu yang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan undang-undang itu bukanlah bermakna menentang hukum,” katanya pada Seminar Pelaksa­naan Hudud di Malaysia-Sejarah dan Masa Depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZ), baru-baru ini.

Pada seminar itu, Tun Abdul Hamid membentangkan kertas kerjanya bertajuk, ‘Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (hudud, qisas dan takzir) di Malaysia-Prospek dan Cabaran’ pada seminar anjuran Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan MTMZ.

Alat bukan matlamat

Ini jelas dalam kisah Khalifah Umar Ibnu Al-Khattab pernah menggantungkan pelaksanaan hudud semasa berlaku musim kelaparan dan tiada sesiapa pun menuduh Umar menentang hudud, lebih-lebih lagi menentang perintah Allah SWT.

Beliau hanya memutuskan bahawa dalam keadaan tersebut adalah tidak sesuai, bahkan akan membawa kepada ketidakadilan, jika hukuman hudud terus dilaksanakan.

“Ingat bahawa hudud hanyalah alat bukan matlamat. Matlamat Islam adalah keadilan,” katanya.

Tun Abdul Hamid seterusnya menampilkan satu lagi contoh iaitu di Pakistan apabila Ordinan Hudud (Hudood Ordinance) dibuat pada 1979, kesalahan merogol dijadikan kesalahan hudud.

Kemudian, berlaku kes-kes ketidakadilan terhadap wanita-wanita mangsa rogol yang mengandung dan tidak dapat mengemukakan saksi-saksi secukupnya yang berakhir dengan mereka dihukum kerana kesalahan zina. “Pada 2006, kesalahan rogol dikeluarkan daripada Ordinan Hudud (Hudood Ordinance) dan dimasukkan semula ke dalam Kanun Jenayah (Penal Code) dan dibicarakan oleh mahkamah sivil sehinggalah sekarang,” katanya.

Sejajar itu, Tun Abdul Hamid mengulas bahawa jika enakmen itu dilaksanakan, ia bakal mengubah struktur pentadbiran undang-undang jenayah di negara ini.

Beliau berkata, negeri-negeri selain dari Kelantan, undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, terpakai kepada orang Islam, bukan Islam dan mahkamah sivil.

Di Kelantan pula, sebahagian daripadanya diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan ditadbirkan oleh mahkamah syariah.

“Sementara, sebahagian lagi terus terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, terpakai kepada orang Islam, bukan Islam dan mahkamah sivil.

“Persoalan saya, adakah itu yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Cuma dalam berbuat demikian, saya berharap mereka menyedari implikasinya di masa depan,” katanya.

Begitu pun, beliau percaya sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 itu sah atau tidak daripada segi Perlembagaan akan ditentukan oleh mahkamah sivil.

“Ini kerana, ia adalah isu keperlembagaan dan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa memutuskannya adalah mahkamah sivil,” katanya.

“USAHA menegakkan Undang-Undang Islam ini ibarat kata Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat iaitu kita naik motosikal dan apabila sampai satu tempat, ada lampu isyarat berwarna merah. Kita berhenti tetapi jangan matikan enjin kerana apabila lampu hijau, kita terus jalan.”

Kembara seni khat Citi Yousoff

SENI tulisan khat telah semakin berkembang dan diminati ramai di Malaysia. Ia merupakan salah satu seni yang dikaitkan dengan seni Islam secara langsung. Pada hari ini seni khat dihasilkan melalui dua cara iaitu dengan kemahiran menulis dan perisian komputer.

Begitu pun, tidak ramai menyedari dan tidak selalu diketengahkan bahawa Malaysia mempunyai beberapa orang penulis khat wanita berbakat yang telah menghasilkan karya hebat yang menjadi koleksi individu dan institusi. Salah seorang penulis khat wanita berbakat di Malaysia ialah Citi Yousoff yang merupakan anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan yang terletak di Pantai Timur Semenanjung.


Penulis khat wanita ber’ijazah’

CITI YOUSOFF (kanan) sempat berguru dengan penulis seni khat termasyhur, Hassan Celebi (kiri) di Turki.

Seunik nama beliau, Citi Yousoff mempunyai kembara seni khat tersendiri yang lahir daripada pengalaman hidup dan seterusnya semangat dan dedikasi yang beliau letakkan untuk mempelajari satu cabang seni baharu yang berlainan dengan asas seni yang dipelajarinya sebelum ini.

Sebelum mengenali seni Islam, Citi pernah menjadi pelajar dan berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang seni di Fakulti Seni Wimbledon, Universiti Surrey di United Kingdom (UK). Beliau telah membuat keputusan untuk menetap dan menjadi artis seni kontemporari di UK selepas belajar.

Beliau yang telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang puteri yang comel. Namun, takdir Allah SWT mengatasi segalanya, puterinya itu telah pergi menemui Penciptanya pada 2000. Bermula dari titik itulah, kehidupan dan pendekatan Citi terhadap seni berubah sedikit demi sedikit ke arah Islam.

Beliau telah menyambung pelajaran di Prince School of Traditional Art dalam bidang seni Islam dan kemudiannya memilih untuk fokus dalam seni khat. Pilihan beliau ini adalah takdir yang telah tertulis bagi perjalanan seni beliau seterusnya.

Ia telah menemukan beliau dengan seorang guru seni khat termasyhur pada hari ini iaitu Hassan Celebi di Turki. Dengan kesungguhan dan minat yang beliau tonjolkan, Citi Yousoff berjaya mendapat ijazah daripada Hassan Celebi sebagai seorang penulis khat gaya tulisan Thuluth dan Naskh.

Salah seorang pelajar Hassan Celebi yang telah berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa ialah Fuad Koichi Honda, penulis khat yang berasal dari Jepun.

Mahir seni ukir 
kayu, batu

Kemahiran yang dimiliki oleh penulis khat wanita bernama Citi Yousoff ini bukan sahaja dalam penulisan, malah beliau juga mahir dalam seni ukir kayu dan batu. Dengan latar belakang dan kemahiran seni yang luas, karya beliau merupakan salah satu hasil seni khat berkualiti yang boleh dibanggakan.

Ia bukan sahaja mempunyai ketepatan gaya tulisan malah bahan yang digunakan juga dititikberatkan oleh beliau. Citi mempunyai sebuah bengkel kecil yang menjadi tempatnya meluah dan memanifestasikan ilham yang dikurniakan Allah SWT untuk menyebarkan keindahan dan maksud ayat-ayat al-Quran sebagai dakwah beliau menyebarkan kesucian Islam.

Walaupun beliau telah mampu menghasilkan karya yang berkualiti, namun keinginan beliau untuk terus menghasilkan yang terbaik telah menemukan beliau semula dengan gurunya Hassan Celebi di Turki.

Pada waktu ini, beliau berada di Turki untuk mempelajari dan mendalami gaya tulisan Diwani yang menjadi tulisan istana Empayar Uthmaniyah ratusan dekad dahulu. Insya-Allah, setelah mendapatkan ijazah dalam gaya tulisan Diwani, beliau akan kembali ke Malaysia dan menghasilkan karya yang lebih inovatif dan menarik dalam memperkayakan dan merancakkan bidang seni khat yang ada di negara ini. Sebarang pertanyaan tentang karya beliau boleh e-melkan ke teja@tejaartconsultancy.my.

Makna kekuatan kepimpinan dalam Islam

KEPIMPINAN adalah satu isu penting dalam Islam yang selari dengan hakikat Islam itu sendiri sebagai sebuah agama yang memimpin umatnya ke jalan kebenaran. Kita boleh melihat aspek kepimpinan Islam melalui ajaran dan pegangan yang dibawa oleh Islam melalui dua sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah.

Islam menekankan kepimpinan yang kuat dan berkualiti. Kuat bukanlah bermaksud hebat atau gah dari segi fizikal, tetapi mempunyai kemampuan yang tinggi dalam soal pemikiran, tindakan dan perancangan. Ini termasuk memiliki tahap sahsiah yang unggul sehingga menjadi suluhan dan ikutan kepada kumpulan pengikutnya.

Kepimpinan yang kuat dan kukuh amat diperlukan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Dalam Islam, kepimpinan sebegini amat diruntun kerana mencerminkan kehebatan Islam itu sendiri. Oleh kerana itu, Allah telah menurunkan para Nabi dan Rasul yang bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam, tetapi menterjemahkan keunggulan agama dengan tahap kepimpinan dan sahsiah yang terpuji.

Kita tidak boleh membicarakan soal kepimpinan yang kuat dan kukuh tanpa mengaitkannya dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kepimpinan Baginda bersifat kepimpinan melalui teladan. Ia terzahir dengan perilaku Rasulullah yang terpuji sehingga akhlak Baginda adalah al-Quran.

Banyak sekali riwayat hadis menceritakan tentang kemuliaan akhlak Rasulullah. Bahkan Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiyallahu‘Anha ketika ditanya oleh sahabat Hisyam bin Amir Radhiyallahu ‘Anhu tentang bagaimana akhlak Rasulullah, maka ‘Aisyah berkata: “Bukankah engkau sering membaca al-Quran?”, beliau menjawab: “Ya”, ‘Aisyah berkata: “Akhlak Rasulullah adalah al-Quran”.

Ini bermakna, kepimpinan yang kuat adalah kepimpinan berteraskan akhlak dan peri laku yang tinggi. Seseorang pemimpin akan diyakini kepimpinannya jika memiliki akhlak dan sahsiah yang baik. Teladan yang murni dizahirkan oleh pemimpin akan menjadi ikutan dan mampu mengikat kebersamaan para pegikut.

Kepimpinan Melalui Teladan

Sesuatu kepimpinan itu boleh dianggap lemah jika ia tidak dipasakkan dengan faktor akhlak dan sahsiah kerana tanpa sifat ini, kepimpinan dilihat kontang dan boleh merosakkan masyarakat. Bayangkan jika seorang pemimpin itu tidak amanah, mana mungkin mereka dapat menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Lebih bahaya, sikap tidak amanah itu akan ditiru dan dijadikan alasan kepada pengikut untuk turut tidak beramanah.

Namun definisi kepimpinan yang kuat semakin kabur selari dengan peredaran masa dan zaman. Kepimpinan yang kuat masa kini lebih dikaitkan dengan politik kebendaan seperti kuasa, pengaruh, pangkat dan wang ringgit. Tanpa semua ini, kepimpinan itu tidak dilihat kuat sebaliknya lemah. Hal ini menjadi semakin kritikal apabila soal kepimpinan lebih dilihat sebagai satu peluang untuk kepentingan diri dengan mengaut kemewahan tanpa memikirkan soal tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya diberikan.

Selain itu, kepimpinan yang kuat dalam Islam adalah kepimpinan yang mempunyai ketegasan dan berprinsip. Seorang pemimpin yang baik tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk satu-satu kesenangan jangka pendek yang akhirnya merugikan kepentingan agama dan masyarakat.

Pada masa yang sama, seorang pemimpin yang kuat mesti berani mengambil pendirian dan keputusan yang berprinsipkan agama dan kepentingan bersama. Mereka tidak boleh mengambil pendekatan popular hanya semata-mata untuk meraih sokongan kerana prinsip perlu diutamakan dalam setiap ketika.

Dalam erti kata yang lain, pemimpin yang kuat adalah pemimpin yang berani melawan arus dan menyatakan kebenaran meskipun pahit. Misalnya, mereka sanggup dan berani membela agama walaupun pendekatan itu tidak popular. Inilah sebenarnya pemimpin yang kuat dari kaca mata Islam.

Kekuatan kepimpinan Rasulullah

Rasulullah SAW ialah model terbaik kepimpinan bagi umat Islam. Atas kepimpinan Baginda yang hebatlah, Islam dapat dikembangkan dengan baik. Lebih-lebih lagi, kepimpinan Baginda yang disulami dengan sahsiah yang terpuji menjadi bukti bagaimana ajaran Islam yang dibawanya itu amat indah dan bermakna sehingga meruntun hati manusia.

Dalam hal ini, empat ciri kekuatan kepimpinan Rasulullah yang sering dibahaskan, iaitu as-siddiq (bercakap benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana). Keempat-empat ciri ini jelas menggambarkan kekuatan kepimpinan Rasulullah yang mencerminkan keperibadian Baginda yang tinggi.

Tegasnya, kepimpinan Islam hari ini perlu kembali menggalas tanggungjawab menjulang kepimpinan Rasulullah. Justeru, kekuatan kepimpinan Islam perlu mengambil kira ciri kepimpinan Baginda seperti bercakap benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana.

Kesimpulannya, kepimpinan Islam yang kuat tidak terletak kepada kekuatan fizikal dan kebendaan. Sebaliknya, kekuatan kepimpinan Islam didasari dengan ciri dan sifat pemimpin yang mempunyai daya pemikiran dan perancangan yang hebat. Ini termasuk mempunyai akhlak dan sahsiah yang terpuji.

Dalam konteks Islam, kepimpinan yang kuat bukan sahaja akan melahirkan pemimpin yang hebat, tetapi mencetuskan golongan pengikut yang juga hebat. Ini kerana pemimpin seringkali dicontohi sehingga menjadi suri teladan atau ikon masyarakat. Tambahan pula, seseorang pemimpin mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat yang boleh menentukan corak pemikiran dan tindakan. - Khairul Anwar Rahmat Utusan Malaysia Rencana 22 April 2015

Suami tiba-tiba 'alim'

DILUAH mati emak, ditelan mati bapa. Perumpamaan yang sering berlaku apabila timbulnya delima untuk sesuatu perkara. Apatah lagi dalam kisah minggu ini, persoalan yang dihadapi oleh si isteri amat berat iaitu apabila ia melibatkan soal hukum-hakam agama. Sebagai isteri, dia bertanggungjawab menegur suami apabila yang dilihat dan didengar itu ada yang tidak kena dengan kebenarannya.

Ditambah pula dengan peranan seorang isteri antaranya memastikan tindakan suami mengikut peraturan lebih-lebih lagi dalam soal agama. Bukanlah bermakna teguran isteri itu menunjukkan isteri lebih tahu daripada suami dalam semua perkara. Tetapi tanggungjawab menegur kesilapan itu terletak di bahu setiap umat Islam termasuklah dalam hubungan suami isteri.

Sayidina Ali ra pernah berkata: Susah sekali melakukan kebaikan pada empat keadaan:

1. Memberi maaf ketika marah.

2. Bersedekah ketika kesempitan.

3. Menjauhi perkara haram ketika seorang diri.

4. Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau orang yang selalu menolong.

Sementara itu, Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Katakan yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar cercaan orang yang mencerca.” (riwayat al-Baihaqi)

Gara-gara salah tafsiran, maka amalan ibadat dibuat semberono

ISLAM itu mudah dan indah tetapi mestilah dicari ilmu yang benar dan bermanfaat. - Gambar hiasan

Pesanan Nabi SAW serta kata-kata Sayidina Ali ini menggambarkan betapa pentingnya menegur untuk perkara yang hak walaupun pahit untuk diterima oleh orang yang mendengar. Apa yang ditegur mungkin berbeza dengan pendapat dan pandangan kita, namun jika ia sememangnya perkara yang perlu diperbetulkan, sudah pasti penerimaan dengan hati yang terbuka adalah amat perlu sekali.

Perlu dimaklumi, tidak salah untuk berbeza pandangan atau pendapat, bahkan Islam juga menggalakkannya. Namun apabila ia berkait soal akidah dan ibadah, tiada kompromi terhadapnya. Yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil.

Tidak dinafikan, kerana sikap dan perangai manusia itu berbeza-beza, maka ada yang kurang senang andai ditegur. Bahkan melihat setiap teguran yang dilontarkan kepadanya sebagai mencabar egonya. Justeru dalam rumah tangga, sikap ego yang tidak berasas perlu dielakkan.

Sebaliknya sentiasalah mendidik diri agar bersikap terbuka dan tidak melenting kerana ia akan memudahkan sesuatu perkara untuk difahami. Apabila adanya sikap mudah berbincang, tenang dalam mendengar pandangan dan pendapat orang lain, sesuatu perkara itu akan menjadi lebih baik.

Sebagai contoh apabila seorang isteri menyatakan pandangannya tentang sesuatu perkara, sikap mendengar dan tidak menolak mentah-mentah setiap yang dikatakan oleh si isteri, menunjukkan sikap suami yang baik. Demikian juga isteri apabila wujudnya teguran daripada suami terimalah dengan hati yang lapang dan fikiran yang tenang.

Namun awas! apabila persepsi dan tanggapan yang dibuat berdasarkan pemikiran dan perasaan satu pihak sahaja ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati malah mengeruhkan keadaan.

Dalam hal ini, suami isteri harus menjadikan setiap perkara itu mudah untuk difahami dan diterjemahkan dengan akal serta fikiran yang tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Kedua-dua belah pihak harus memahami apabila datangnya teguran daripada pasangan, itu tandanya dia prihatin dan ambil berat perihal pasangannya. Pasangan seharusnya berterima kasih kerana keadaan ini boleh menyelamatkan rumah tangga yang dibina.

Namun ramai yang terlepas pandang akan hal ini. Ramai yang lebih ‘suka’ mengambil pendekatan negatif berbanding positif. Justeru, terbukalah segala ruang kelemahan yang ada pada setiap diri pasangan. Sekali gus ia bukan sahaja tidak dapat membetulkan kesilapan yang dilakukan sebaliknya perkara yang lebih buruk daripada itu juga turut terjadi!

Dalam hal ini, akal yang waras serta pertimbangan perasaan yang seimbang menjadi syarat penting untuk mengawal diri agar tidak berlaku keadaan yang boleh merosakkan. Oleh yang demikian, suami dan isteri bukanlah bersaing untuk menegakkan pendapat masing-masing tetapi berganding bersama mencari persetujuan dan titik persamaan untuk mencapai satu keputusan yang akhirnya memberi kebaikan kepada kedua pihak.

RUNSING hati Milah dibuatnya. Suaminya tiba-tiba berubah secara mendadak. Dulu taklah begitu, tapi sekarang lagaknya lebih alim daripada tok imam masjid. Silap sedikit diherdiknya Milah bagai orang bodoh. Seolah-olah Milah tak tahu langsung soal agama. Sejahil-jahil Milah, bab-bab ibadah, tidak pernah diabaikan.

Berbeza dengan Mail, solat pun selalu ‘tuang’. Bila ditegur suruh melakukannya, Milah pula dimarahinya. Mail pernah berkata kepada Milah: “Kalau aku mati pun, aku yang kena seksa. Bukannya engkau. Suka hati akulah, nak buat ke tidak.”

“Kalau kau rasa kau dah alim sangat, kau buatlah. Aku tak larang tapi jangan sesekali tegur aku lagi,” ugut Mail pada Milah.

Tapi hati isteri mana yang akan tenang apabila melihat sikap suaminya yang tidak pernah berubah walhal umur semakin menginjak. Daripada awal perkahwinan sehinggalah usia mencecah 50 tahun, Mail tetap begitu. Buat bila dia mahu, tak buat kalau tak mahu.

Bukan bab solat sahaja, bahkan puasa pun begitu. Termasuklah juga soal bayar zakat. Apabila ditanya sudah bayar zakat ke belum, dengan marah-marah dia akan berkata, “Itu kerja aku. Kau tak payah sibuk-sibuk!”

Bagaimanapun, kerana sayangkan Mail, Milah berterusan menegur suaminya. Biarlah kena marah, diherdik dan ditengking, Milah akan tetap melakukannya. Siang malam Milah berdoa, agar suaminya berubah. Milah turut berdoa, agar dilapangkan dada Mail untuk menerima hidayah Allah SWT.

Kini, apa yang Milah mahu, termakbul. Sejak ada imam baharu di kampung tersebut, Mail sudah mula berubah sedikit demi sedikit. Tapi perubahan Mail menggusarkan Milah. “Lain benar amalannya,” getus hati kecil Milah.

Milah pernah mengintai Mail ketika dia melakukan solat. Tak serupa macam mana biasa orang melakukannya. Bila ditanya, mudah sahaja jawab Mail: “Islam itu mudah. Islam tak bebankan umat-umat-Nya. Jadi kita lakukan mengikut kemampuan kita. Kalau kita mampu untuk buat satu rakaat, maka satu rakaat sahajalah. Janganlah dipaksa-paksa kerana Islam itu tidak pernah memaksa umat-umatnya.”

Terkejut Milah mendengar jawapan yang diberikan oleh suaminya. “Apa dah gila ke orang tua ni,” sekali lagi hati Milah berkata-kata.

Kepada tok imam Milah mengadu. Perangai pelik suaminya memahami ajaran Islam benar-benar membuatkan hati dan fikiran Milah runsing. Apabila ditegur, Mail marah-marah. Katanya pula, Milah apa tahu. Selama ini tunggang-tonggek mengerjakan solat, solat yang dilakukan tidak sah! Banyak lagi amalan Milah yang dianggap tidak betul di mata Mail. Dalam banyak perkara, Milah juga disalahkannya.

Bahkan Mail pernah mengugutnya, sekali lagi Milah menegurnya, dia akan diceraikannya. Tidak keruan Milah dibuatnya. “Dah buang tabiat ke suami aku ni,” soal Milah dalam diam.

Miskin itu bahaya

SEORANG sahabat telah mencurahkan kepada saya perasaan sedih dan simpatinya mendengar cerita daripada pembantu rumahnya (babu). Dia menceritakan tentang kesusahan dan kemelaratan hidup keluarganya di kampung asalnya yang mendorong dia menjejak kaki di bumi Malaysia ini.

Pembantu rumah itu sering mengeluh: “Aneh! Bumi dan udara di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja dan Vietnam adalah sama semuanya. Tetapi mengapa bumi Malaysia lebih maju dan aman daripada negara-negara lain?”

Walau bagaimanapun dia agak bernasib baik kerana dapat bekerja di rumah sahabat yang berkenaan. Tetapi katanya kawan sekampungnya bekerja dengan keluarga bukan Islam. Dia anak pak kiai. Belajar agama sejak kecil. Sudah khatam al-Quran beberapa kali.

Tetapi malangnya dia di sini terpaksa merempuh dan melanggar hukum hakam agama, seperti memandikan anjing, memasak makanan daripada najis mughallazah seperti khinzir dan menunaikan solat pun tidak berkelapangan. Dia memberitahu bahawa bulan Ramadan begini amat letih dan capek, tidak ada kegembiraan bersahur, beriftar dan berterawih.


Islam memusuhi dan tidak 
pernah mentakdirkan kemiskinan

Kemiskinan adalah penghalang untuk melaksanakan beberapa ibadah tertentu. - Gambar hiasan

Itulah takdir yang menimpa dirinya. Keimanan dan ketakwaan yang dibina dan dibangunkan dalam dirinya sebelum ini sudah runtuh dan cair. Bahkan sudah hancur sama sekali. Panggilan perut adalah paling kuat dan amat berpengaruh daripada segala-galanya.

Pembantu rumah yang malang itu tidak akan berada di Malaysia dan tidak mungkin bersedia mengorbankan dirinya sebegitu rupa sehingga terpaksa melanggar prinsip budaya dan ajaran agama, dan kemudiannya meruntuhkan iman dan takwa yang dibina sejak lama, sekiranya di negaranya sudah ada kehidupan yang aman dan mewah, damai dan meriah, tidak ada kelaparan dan kesengsaraan, tidak ada peperangan dan kekacauan. Malangnya tidak berlaku demikian.

Hanya di Malaysia ada keamanan dan kemewahan, ada kedamaian dan kemeriahan dan ada kebebasan. Katanya, “Bumi Malaysia ini gedung emas bagi kami.”

Bahaya kepada akidah

Sebenarnya kita di Malaysia sudah lama memahami dan menyedari bahawa Islam memusuhi dan tidak pernah mentakdirkan kemiskinan. Islam adalah satu-satunya agama yang memeranginya kerana kemiskinan itu bahaya kepada akidah, boleh merosakkan akhlak, menghuru-harakan keluarga, memporak-perandakan masyarakat dan akhirnya memusnahkan negara.

Bahkan kemiskinan adalah penghalang untuk melaksanakan beberapa ibadah tertentu. Orang miskin tidak mampu mengeluarkan zakat, tidak berupaya menunaikan haji, bahkan sembahyang lima waktu pun mungkin tidak sempurna, kerana sembahyang juga mempunyai hubungan dengan harta, iaitu kain bagi maksud menutup aurat.

Tetapi untuk menghapuskan kemiskinan bukanlah hanya dengan doa dan sembahyang hajat atau beretorik semata-mata, tetapi ia perlu kepada usaha dan amal.

Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan menuntut setiap Muslim supaya bekerja, kerana hanya dengan bekerja dapat memerangi kemiskinan, kerana bekerja itu menjadi faktor utama bagi mencapai kemewahan dan sebagai unsur penting bagi memakmurkan negara.

Firman Allah yang bermaksud: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya berserta orang mukmin akan menyaksikan apa yang kamu kerjakan. (at-Taubah: 105)

Hadis yang sering diperdengarkan, antaranya: Bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah kamu untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok. Sesetengah ulama menganggap hadis itu sebagai athar Umar bin al-Khattab.

Atas semangat inilah maka pelbagai program ekonomi telah dirancang dan dilaksanakan di negara ini bermula sejak awal merdeka lagi dengan berbagai-bagai rancangan dan program pembangunan, antaranya rancangan luar bandar sehinggalah kepada pembangunan industri dan elektronik.

Hari ini kira-kira dua juta rakyat asing menjadi pendatang ke negara ini. Kedatangan mereka ialah untuk menumpang kasih dengan rakyat Malaysia dan untuk mendapatkan sedikit rezeki bagi diri dan keluarganya. Ada di antara pendatang itu adalah wanita-wanita muda yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan suami di kampung negara asal mereka.

Menumpang kenikmatan

Kita tidak pernah membina benteng atau pagar yang menghalang kedatangan mereka secara sah. Sebaliknya kita dirikan jambatan dan laluan yang menyediakan peluang bagi mereka menumpang kenikmatan yang ada di negara ini. Kita mahu jiran-jiran kita juga ikut menjadi mewah dan selesa seperti kita.

Di atas faktor inilah Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sentiasa menyeru dan mengajak rakyat supaya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin negara kerana sebab-musabab kepimpinan yang bijaksanalah maka Allah SWT mengurniakan nikmat keamanan dan kemewahan yang tidak diberi kepada kebanyakan negara lain.

Khuatir nanti sekiranya sebilangan besar rakyat kufur dengan nikmat yang ada di hadapan mereka, maka tidak mustahil akan berlaku seperti apa yang difirmankan Allah dalam surah an-Nahl 112 yang membawa maksud: Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman sentosa lagi tenteram. Rezekinya yang berlimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya kufur akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan oleh sebab apa yang mereka telah usahakan.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa nikmat yang dikurniakan Allah kepada sesuatu negara itu, seperti nikmat keamanan, kesentosaan, kesuburan dan kemakmuran yang datang dari dalam dan luar negara itu semuanya mudah saja dicabut oleh-Nya dan kemudiannya bertukar kepada kelaparan dan ketakutan apabila rakyat tidak bersyukur dan mengingkari nikmat berkenaan.

Dalam ayat ini Allah membawa satu ungkapan yang indah, iaitu dengan menggunakan perkataan merasai pakaian kelaparan, sedangkan pakaian bukanlah dirasakan melainkan dipakai.

Tetapi kelaparan itu boleh dilihat sebagai pakaian bagi orang yang menderita, kerana mereka sudah tidak ketentuan lagi dan hilang pertimbangan. Orang lapar tidak segan memakai karung, guni, kulit kayu dan sebagainya sebagaimana yang pernah berlaku di zaman penjajahan dahulu.

Hilang rasa malu

Orang lapar akan hilang perasaan malu dan takut. Mereka sanggup menggadai nyawa dan mengorbankan jiwa, bertekad untuk menghadapi apa jua risiko buruk dan bahaya, bersedia untuk berpisah dengan keluarga yang dikasihi, berhijrah dan merantau ke mana saja cuma kerana menyahut panggilan perut. Bahkan iman dan takwa pun boleh tergadai disebabkan kelaparan dan kebuluran.

Keadaan seumpama ini tidak ada di Malaysia. Walaupun rakyatnya berbilang bangsa, berlainan budaya dan berbeza agama, tetapi mereka dapat hidup dengan penuh gembira, selesa, mewah dan tidak ada yang mati kebuluran dan kelaparan. Sebaliknya mereka yang mati kerana kekenyangan dan kecelakaan jalan raya adalah ramai.

Bahkan golongan ini menentang kerajaan dan siang malam mencipta fitnah dengan pelbagai andaian, tohmahan dan wasangka yang bukan kepalang. Apa yang kerajaan buat semuanya buruk dan jijik belaka. Golongan ini pun mewah dan senang hasil daripada perancangan dan pentadbiran yang bijaksana daripada pemimpin yang ada.

Pertolongan Allah

Bukan mudah dan senang untuk mentadbir sesuatu negara dan memastikan negara berkenaan dalam keadaan aman dan sentosa. Politiknya stabil dan ekonominya mantap. Rakyat pula selesa dan gembira. Kerana ia memerlukan perancangan yang teliti dengan pemerahan pemikiran dan curahan tenaga yang luar biasa.

Hanya perancangan yang teliti dan pentadbiran yang bijaksana akan mendapat pertolongan-Nya.

Kegagalan ramai pemimpin dalam mentadbir sesuatu negara bukanlah kerana negara yang berkenaan tidak mempunyai hasil mahsul yang lumayan atau rakyatnya bodoh-bodoh belaka, tetapi adalah disebabkan pemimpin-pemimpin yang berkenaan tidak bijaksana dalam membuat perancangan. Mereka lupa untuk mengambil kira tuntutan sekeliling dan kehendak semasa.

Pemimpin seumpama inilah yang dikatakan tidak membela agama Allah, zalim, buas, kejam, ganas, tidak berperikemanusiaan, tidak berperasaan belas kasihan dan sebagainya menyebabkan rakyat menjadi korban, negara musnah dan agama tergadai.

Mereka inilah dikatakan musuh Allah yang tidak akan mendapat pertolongan Allah selama-lamanya. Benarlah apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah Muhammad 7 yang bermaksud: Wahai orang beriman. Jika kamu menolong Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (mencapai kemenangan).