April 24th, 2015

Kebajikan keluarga patut diutamakan

Allah SWT sentiasa berpesan supaya kita menjaga silaturahim sesama manusia kerana ia amat dituntut dalam agama. Ikuti kupasan Ustaz Basir Mohamed mengenai pentingnya memupuk kasih sayang terhadap keluarga dalam Usrati di radio IKIMfm.

Allah SWT berpesan supaya menjaga hubungan silaturahim sesama manusia. Malah Allah SWT memberi peringatan menjaga silaturahim adalah satu nikmat yang tidak semua orang dapat merasainya, kecuali mereka diberikan hati yang sentiasa berlapang dada terhadap orang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah SWT dan ingatlah akan nikmat Allah SWT kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah SWT menyatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah SWT orang yang bersaudara dan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya." (Surah al-Hujurat, ayat 103)

Meluangkan masa makan bersama keluarga dapat mengeratkan lagi silaturahim. - Gambar hiasan


Jika silaturahim sesama manusia dituntut dalam agama, apatah lagi hubungan silaturahim dalam keluarga yang juga satu tanggungjawab besar. Allah SWT memberi peringatan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjaga dirinya dan ahli keluarganya daripada azab neraka. Firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka." (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Keluarga adalah perkara utama dalam membina masyarakat harmoni dan berkasih sayang. Keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan berakhlak mulia. Oleh itu, dalam melakukan kebaikan, ahli keluarga kelompok paling utama perlu diberi perhatian.

Rasulullah SAW adalah model terbaik dalam membina keluarga, seterusnya membina masyarakat dan ummah yang mempunyai keperibadian mulia. Baginda SAW begitu sayang kepada ahli keluarga dan menyantuni bapa saudaranya, Abi Talib yang masih belum beriman dengan agama Allah SWT. Baginda bukan sahaja mengharapkan kebaikan pada dirinya, bahkan mengharapkan kebaikan untuk ahli keluarganya.

Dakwahnya tidak terhenti kepada Abi Talib sehinggalah bapa saudaranya itu meninggal dunia. Janganlah kita mengharap untuk memasuki syurga Allah SWT bersendirian, tetapi tanamlah perasaan dalam diri untuk memasuki syurga bersama ahli keluarga kita. Golongan salihin dahulu menghafal nama ahli keluarga mereka sehinggalah pada nasabnya kerana mereka begitu menyayangi ahli keluarga.

Contohi Imam Syafie

Ustaz Basir Mohamed mengambil contoh kisah Imam Syafie yang pernah ditanya siapakah namanya. Maka dijawab oleh Imam Syafie nama beliau sehinggalah pada nasabnya Nabi Adam. Ini menunjukkan betapa mereka menyayangi dan mengambil tahu berkenaan ahli keluarga mereka.

Agak malang jika kita bukan sahaja tidak mengambil berat akan ahli keluarga, malah langsung tidak mengenali mereka. Perkara utama dalam menjaga kebajikan ahli keluarga adalah dengan menasihati, mengajar dan membimbing mereka mengetahui secara jelas perintah serta larangan Allah SWT.

Seterusnya mentaati segala perintah itu sebagai usaha berterusan untuk selamat daripada azab neraka. Dua perkara tauhid yang paling besar adalah menyembah Allah SWT dan sekali-kali tidak mensyirikkan-Nya. Suruhan utama yang datang selepas itu adalah berbuat baik dan ihsan kepada ahli keluarga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sembahlah Allah SWT dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu.

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. Sebelum kita melakukan kebaikan kepada orang lain, perlu dilihat adakah kebaikan atau ihsan kita sampai kepada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga kita terlebih dahulu." (Surah an-Nisaa', ayat 36)

Lakukan kebaikan dengan ikhlas Basir mengajak pendengar jangan sekali-kali melakukan kebaikan hanya untuk mendapat pengiktirafan manusia. Tidak kurang manusia yang melakukan kebaikan hanya kepada orang lain untuk diperlihatkan kebaikan itu kepada masyarakat, sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga sendiri.

Kebaikan yang dilakukan adalah untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT, bukan pengiktirafan manusia. Jika kebaikan yang diberikan kepada orang lain, maka kepada ahli keluarga adalah lebih daripada itu iaitu memberikan ihsan.

Ada kala melakukan kebaikan kepada orang lain itu sangat mudah berbanding melakukan kebaikan kepada ahli keluarga. Belum tentu seseorang yang dipandang masyarakat itu baik adalah orang yang baik terhadap ahli keluarganya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Basir memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (sakinah) dan dijadikan-Nya di antaramu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah ar-Ruum, ayat 21)

Urusan haji di tanah air

Pengurusan haji di tanah air yang melibatkan bakal haji secara langsung dapat dirangkum dalam lapan aktiviti utama, iaitu pendaftaran, pemilihan kelayakan, bimbingan, pemeriksaan kesihatan, pengurusan pasport, Surat Jadual Penerbangan, urusan visa dan operasi penerbangan haji.

Setiap rakyat Malaysia yang hendak mengerjakan haji hendaklah terlebih dahulu mendaftar dengan Tabung Haji (TH). Untuk mendaftar, mereka perlu mempunyai deposit dengan amaun minimum RM1,300. Pendaftaran boleh dibuat sama ada dengan datang ke kaunter-kaunter TH, Bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Maybank Islamic di seluruh negara. Selain secara online di alamat www.tabunghaji.gov.my atau melalui mesin ATM di ketiga-tiga bank tersebut.

Pemilihan bakal haji tahun semasa dibuat berdasarkan yang mendaftar dahulu, didahulukan. Bagi jemaah yang telah terpilih untuk ke Tanah Suci pada tahun semasa, surat tawaran terpilih akan dihantar oleh TH kepada mereka berasaskan alamat yang ada pada rekod pendeposit TH. Maka, amatlah penting mengemaskini alamat setiap kali berubah.



Ia melibatkan lapan aktiviti utama melibatkan bakal haji -

Apabila mendapat surat tawaran terpilih, bakal haji hendaklah mencukupkan wang bayaran haji dan menyatakan persetujuan mereka secara rasmi kepada TH dalam tempoh masa yang dinyatakan dalam surat tawaran itu. Sekiranya lambat menyatakan persetujuan, maka mereka dikira menolak tawaran menunaikan haji pada tahun semasa. Mereka juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan perubatan dari TH.

Bakal haji yang telah terpilih akan dipanggil untuk mengikuti tiga peringkat kursus haji yang dianjurkan TH, iaitu Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.

Seterusnya mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau pusat-pusat kesihatan kerajaan yang disenaraikan atau panel terpilih TH. Setiap bakal haji perlu lulus saringan fizikal dan mental serta perlu mendapatkan suntikan vaksin Meningitis Meningococcal ACYW-135, sebelum visa haji diuruskan untuk membolehkan mereka berlepas menunaikan haji.

Untuk urusan visa, bakal haji perlu menyediakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA). Yang telah ada PMA, pastikan tempoh sah lakunya tidak kurang enam bulan dari tarikh 15 Muharam tahun berikutnya dan mesti terdapat empat muka surat kosong secara berturutan, sebelah-menyebelah. Bagi yang belum mempunyai PMA, mereka hendaklah berurusan terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berdekatan atas tanggungan sendiri.

Bakal haji juga perlu memastikan tiada larangan untuk mereka ke luar negara. Bakal haji sendiri hendaklah membuat semakan senarai syak (halangan meninggalkan Malaysia) yang boleh dibuat di mana-mana pejabat JIM atau melalui Sistem Aplikasi Elektronik JIM.

Bakal haji wanita yang berumur 44 tahun dan ke bawah perlu mempunyai muhrim/mahram lelaki mengiringinya. Dokumen-dokumen yang mengesahkan hubungan (muhrim) hendaklah disediakan dengan pengesahan tertentu. Maklumat lengkap boleh diperoleh dari pejabat-pejabat TH atau dengan melayari laman web TH.

Setelah memenuhi syarat-syarat pemeriksaan kesihatan, pasport, larangan meninggalkan negara, serta keperluan mahram seperti di atas, Buku Rekod Rawatan, pasport, dokumen-dokumen serta foto (berukuran 4x6cm, berlatar belakang putih) hendaklah dibawa ke Pejabat Cawangan TH terdekat.

TH akan menetapkan tarikh melapor diri untuk berangkat dengan menghantar Surat Jadual Penerbangan (SJP) secara berperingkat. Status ini juga boleh diketahui dengan menghubungi pejabat TH berhampiran atau TH Contact Centre di talian 03-6207 1919.

Bakal haji akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat mulai 1 Zulkaedah hingga 3 Zulhijah pada tahun semasa. Bakal haji hendaklah melaporkan diri sepertimana lokasi, tarikh dan masa yang dinyatakan dalam SJP yang telah dihantar kepada mereka.

Orang zalim dan mangsa

CUBA baca situasi di bawah:

Mencuri duit dan terlepas daripada hukuman.

Menipu dan tidak membayar hutang walau mampu.

Menipu dan tidak menyerahkan barang yang dijual setelah mendapat bayaran.

Mengenakan rasuah untuk memperolehi sesuatu tanpa hak.

Culas dalam kerja dan mengambil gaji tanpa kurang.

Menipu dalam timbangan barang jualan.


INI semua perbuatan menzalimi orang lain, sama ada dilakukan terhadap individu atau kumpulan. Atau dilakukan kumpulan atau individu perseorangan.

Ketika di dunia kelihatan mangsa mengalami kerugian manakala penipu dan penjahat beroleh keuntungan. Namun hakikatnya, ALLAH SWT tidak alpa daripada kezaliman ini, semuanya bakal mendapat habuan. Mangsa beroleh ganti yang lebih baik, manakala pemangsa beroleh balasan setimpal.

Mangsa diberikan beberapa peruntukan gantirugi sebagai pilihan ganjaran. Pelaku zalim pula menanti beberapa jenis hukuman sama ada di dunia atau akhirat. Peraturan tersebut bukan sahaja terpakai kepada manusia malah juga haiwan dan golongan jin, selagi mereka bernyawa.

Nabi SAW bersabda: "Pastikan dikembalikan hak-hak kepada pemiliknya di hari kiamat sehinggakan kambing yang tidak bertanduk akan diberi peluang membalas kesakitan yang dilakukan oleh kambing yang bertanduk." (Riwayat Muslim)

Tiada satu pun kezaliman yang dilakukan sama ada tersembunyi atau terzahir kecuali diketahui ALLAH. Pelaku zalim yang licik setara manapun akan dikenalpasti dan dibalas-Nya.


CARA PEMBALASANNYA

ALLAH memperuntukkan kepada mangsa kezaliman boleh memohon pembalasan segera sewaktu di dunia lagi. Atas sebab itu, jika mangsa berdoa agar ditimpakan musibah kepada pelaku zalim di dunia ini lalu ALLAH memakbulkan doa tersebut di dunia lagi, tatkala itu pelaku zalim tidak akan dikenakan hukuman atas kesalahan yang  dikenakan kepadanya terhadap mangsa.

Ini kerana itu dikira hak mangsa telah dipenuhi sewaktu dunia lagi. Ia sama dengan konsep hudud dan qisas yang mana apabila dilaksanakan ke atas pesalah, maka pesalah tiada lagi menanggungnya di akhirat.

Manakala bagi mereka yang bersabar di dunia serta tidak berdoa atau doa mereka tidak dimakbulkan awal sewaktu di dunia. Maka pembalasan yang menanti pelaku dosa adalah seperti didialogkan oleh Nabi SAW: "Muflis di hari kiamat adalah mereka yang datang ke hari kiamat hatta dengan pahala kebaikan setinggi gunung, namun dia memukul mangsa, mencerca orang, memakan harta orang lain (tanpa hak), menumpahkan darah orang itu nescaya akan ditebusi melalui amalan kebaikannya, hingga habis sebelum mampu menebus keseluruhannya, lalu diambil dosa  mangsanya lalu dilempar kepadanya, hingga akhirnya dia tercampak ke neraka." (Riwayat Muslim, sahih)

Nabi SAW yang terpelihara itu juga bimbang akan dirinya disebabkan peruntukan di akhirat. Baginda SAW berkata kepada sahabat apabila memintanya membuat sekatan harga jualan bagi peniaga, Baginda SAW menjawab: "Sesungguhnya aku berharap untuk bertemu ALLAH dan tiada sesiapa yang menuntut dariku kerana dizalimi dari sudut harta dan jua jiwa." (Riwayat Abu Daud, sahih)


MINTA HALAL SEGERA

Bagi mereka yang menzalimi mangsa, antara kaedah mengelak dikenakan hukuman adalah segera memohon halal daripada mangsa. Bermakna, jika ada mengambil harta mangsa tanpa hak, segeralah mohon dihalalkan sekiranya tidak mampu dipulangkan.

Jika memfitnah, umpat, cerca mangsa, segera memohon maaf secara verbal atau membayar wang ganti rugi bagi memudahkan mangsa lapang hati memgampunkan pemangsa. Menurut ulama, kaedah ini ternyata dijelaskan Nabi SAW dalam hadis riwayat Bukhari.


PILIHAN BAGI MANGSA

Mangsa juga punya pilihan lain seperti disebut dalam hadis: "Tiada seorang Muslim pun yang menanam sesuatu tanaman kecuali apa-apa yang dimakan darinya baginya pahala sedekah, tiada apa yang dicuri darinya dan bagi pemilik itu pahala sedekah dan tiada pula dimakan oleh binatang buas, lalu ia turut menjadi sedekah, dan tidak dimakan oleh burung maka baginya pahala sedekah dan tidak dikurangkan hasilnya itu oleh sesuatu kecuali baginya pahala sedekah. (Riwayat Muslim, sahih)

Hasil daripada itu, bagi mangsa kezaliman, mereka boleh memilih sama ada:

Bertindak mengikut lunas perundangan bagi kes individu zalim atau melalui perubahan melalui proses pilihanraya bagi kes sekumpulan pemimpin zalim.

Berdoa agar balasan setimpal ditimpakan ke atas pemangsanya di dunia lagi. Jika dimakbulkan, tiada sebarang kebaikan tambahan akhirat diperolehi kecuali beroleh kepuasan di dunia.

Bersabar, mendiamkan diri dan menunggu untuk menuntut di akhirat dalam bentuk mengambil pahala pelaku zalim atau menyerahkan dosa sekadar berat kezaliman yang kena atasnya kepada pelaku zalim. Maka akan beroleh pahala sabar.

Bersabar, menghalalkan dan meniatkannya sebagai sedekah untuk setiap harta yang dirampas, curi dan hak (daripada jenis yang boleh dihalalkan seperti umpatan, tohmahan, cacian dan lainnya) yang dicerobohi.

Jika itu dilakukan, mangsa bakal beroleh pahala atas kesabaran dan pahala sedekah (bagi jenis tertentu seperti harta yang dicerobohi) yang berpotensi digandakan kebaikan kepada sepuluh kali berdasarkan hadis sahih al-Bukhari bagi setiap amalan kebaikan.

Malah sebahagian riwayat menyebut boleh digandakan sehingga tujuh ratus kali ganda.

Jika ingin mengambil pendekatan keempat, pastikan benar-benar dapat merawat ketidakikhlasan dan tidak berasa sebarang kerugian atas apa yang dihalal dan disedekahkan kerana keyakinan ia sebagai simpanan di akhirat dan pasti diganjari. Jika tidak, kemungkinan sedekah itu tidak dikira pula.

Pun begitu, adalah tidak diharuskan sekiranya pemangsa ingin menggunakan hadis dan peruntukan di atas untuk meneruskan kezalimannya, contohnya, pencuri datang lagi ke rumah mangsa dan sambil berkata kepada mangsa: "Aku mencuri ini, engkau halalkan sahaja atau sedekahkan, kelak engkau beroleh pahala berganda."

Itu adalah tindakan salah dan perbuatan mencuri akan tetap berdosa walaupun mangsa meniatkannya sebagai sedekah selepas kecurian berlaku.

Demikian bagi pemungut cukai dan disalah guna hasil cukai yang jatuh dalam hukum haram, tiada boleh sewaktu ingin terus mengutip cukai itu, lalu digunakan dalil tadi untuk membolehkannya terus memungut dengan jaya.

Kerana itu dibimbangi situasi berkenaan menjadi seolah-olah menghalalkan tindakan yang haram secara salah guna konteks dalil. Dalil itu ditujukan kepada mangsa dan konteks pihak yang telah menjadi mangsa itu perlu difahami.


BERFIKIRLAH SEMASAKNYA

Kesimpulannya, buat pemangsa, berfikirlah semasak-masaknya sebelum mengambil mudah atas pencerobohan hak orang lain, manakala bagi mangsa, cerialah dan fikirkan peruntukan balasan yang diberikan dalam Islam.

Jangan pula akibat dizalimi ini, maka mangsa terikut-ikut dengan bisikan iblis lalu membantah dengan cacian, makian secara rambang dan kutukan sehabis dahsyat.

Ia hanya mampu memuaskan nafsu ammarah dan syaitan, namun langsung tiada faedahnya. Jika ingin membantah, bantahlah dengan rasional menurut saluran yang betul dan bukannya dengan cacian makian serta membuka aib yang tidak perlu.

Namun, jika masih begitu,  Ia hanya akan menjadikan mangsa terus rugi akhirnya, di dunia dan akhirat.

Dr Zaharuddin Abd Rahman Presiden NGO Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) SInar Harian Rencana 24 April 2015

Terlebih barat?

BERSKIRT pendek paras paha, berbaju ketat menampakkan bahagian dada, digayakan pula dengan sepasang but tumit tinggi. Si lelaki pula memakai topi berseluar jeans londeh, memakai subang berselirat rantai di leher, ada tebal ada nipis. Indahkah keadaan sebegitu?

Inikah yang dikatakan pengaruh Barat masih berakar umbi dalam diri kita? Ia umpama duri dalam daging yang membarah dalam masyarakat Melayu Islam sejak lama dahulu. Cuba singkap sejarah penjajahan silam, sejak empayar  kesultanan Melayu Melaka hingga ke hari ini pengaruh tersebut terusan berakar.

Berparti dengan gegaran muzik menggila, bermabuk-mabukan, tarian hangat, berpeluk-pelukan lelaki dan wanita yang bukan muhrim, dan jika bukan arak yang menjadi sajian tetapi dilebihkan gayanya dengan melaga-lagakan gelas minuman; kita seolah-olah sengaja menggambarkan itulah kita  dalam dunia ciptaan Barat.

Lagu diperdengarkan tanpa makna yang elok menjajah minda anak muda hari ini.


Bangsa bukan ukuran

Memang tidak dinafikan ada yang baik, malah selagi tidak bertentangan dengan hukum dan syariat Islam, ia menjadi alat yang mempedoman manusia ke arah kebaikan. Namun, jika ia akhirnya membawa kepada kebejatan sosial yang parah dan tidak terkawal lagi, apalah yang mahu dibanggakan dengan Barat?

Bagaimanapun menurut Pendakwah, Prof Madya Mohd Nor Mamat, tidak kira bangsa, sama ada Barat atau Timur, semuanya mempunyai kebaikan dan keburukannya.

Namun, hanya Islam yang sesuai dipraktiskan kerana Islam itu bersifat rabbaniyyah (tawhidik), ‘alamiyyah (universal), insaniyyah (sesuai dengan
fitrah), waqi’iyyah (realistik), wasatiyyah (sederhana), tawazun (seimbang dan sepadu), syumul (menyeluruh) serta thabat dan murunah (tetap asasnya dan fleksibel aplikasinya).

"Barat juga boleh menjadi budaya Islam. Banyak juga budaya masa kini yang menjadi praktis masyarakat di sebelah Barat selari dengan tuntutan Islam, seperti hormat-menghormati, berkasih sayang, mesra, budaya mementingkan ilmu dan sebagainya.

"Malah ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah bersifat menentang mana-mana budaya, tetapi lebih kepada menghargai dan memperlengkapkan kekurangan untuk menambah baik sesuatu budaya," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, keadaan yang berlaku itu jelas menunjukkan terdapat juga budaya positif dan budaya Islamik di sebelah Barat.

Walau bagaimanapun, dalam persekitaran globalisasi hari ini, setiap praktis budaya seluruh pelosok dunia boleh diakses dan dikongsi secara mudah. Ini menjadikan masyarakat Islam keliru dengan budaya negatif dari Barat yang turut tersebar.

Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita sememangnya boleh berfikir semasaknya, jika diri kelihatan sedikit terleka dengan omongan Barat yang jelas berbentuk keduniaan, cepat-cepatlah terjaga kerana andai diri terus terbuai buruklah natijahnya.   


ADA saudara mara atau ahli keluarga kita yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memilih negara Barat sebagai medan menimba ilmu. Pasti ada mulut berbicara: "Tengoklah nanti setahun belajar kat sana balik mesti berambut perang dan bawa pasangan orang putih."


Cambah pengalaman meluas

Menurut Ustaz Mohd Nor, kita jangan terlampau jauh berfikir sehingga mengeluarkan kata sedemikian rupa, walau tak menjejak kaki ke Barat sekalipun jika iman di dada lemah tetap akan membawa anasir Barat ke dalam rumah. Kita sudah lama dijajah Barat, sama ada dari sudut gaya hidup, perhubungan sosial, budaya, malah sistem pendidikan sekali pun.

Beliau berkata, perihal belajar di luar negara, pasti ada yang terpengaruh. Ia memang tidak dapat disangkal, namun perlu dilihat pengaruh yang menular dalam diri itu membawa cas positif atau negatif. Bukan semua apa yang ada di Barat itu salah dan tidak semua buruk. Pokoknya, individu Muslim itu yang perlu kuat.

"Maksud saya, jika ada budaya luar yang tidak sesuai untuk diserap masuk ke dalam budaya kita elakkan dan jangan dekati. Ini tidak, yang tidak elok makin didekati yang elok dan molek ditinggalkan. Saya sendiri pernah ke negara Barat dan masyarakat di sana melayan saya seperti saudara sendiri kerana mereka sangat memuliakan tetamu.

"Pandang daripada sudut positif, pengalaman di luar negara memungkinkan anak-anak generasi masa depan akan lebih kaya budaya dan matang dengan interaksi budaya pelbagai. Bak kata orang tua, jauh perjalanan luas pengalaman, dan ini menjadikan mereka lebih dewasa dan terbuka.

"Dalam pada itu, terapkan dan implementasi kebaikan yang ada di Barat dengan Islam bagi mewujudkan kesinambungan yang menarik. Ia adalah peranan kita untuk terus mendidik dan memantapkan pendirian dan pegangan nilai Islam yang utuh, agar perkongsian budaya apa sekalipun menjadikan kita mudah memilih, menapis ataupun mengadunnya dengan nilai yang selari dengan Islam," jelasnya panjang.

Islam itu diutuskan untuk menjadi rahmat sekalian alam, maka ia boleh menyesuaikan dengan mana-mana budaya seluruh alam.


Pandang sudut positif

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam berkata, sebut sahaja Barat terus terlintas di benak ini situasi yang negatif.

Ada sahaja gambaran anak muda Melayu yang menjejak kaki ke pusat hiburan, clubbing, minum arak, percampuran lelaki dan wanita bukan muhrim, menari dengan rentak muzik yang tidak bertepatan dengan ciri-ciri Islam sehingga ada yang mengambil dadah atas alasan menghilangkan stres dan banyak lagi perkara sumbang lain.

"Situasi ini boleh mewujudkan berlakunya gejala sosial seperti berzina, pembuangan bayi, pembunuhan sesama sendiri dan banyak lagi.

"Tetapi, seandainya kefahaman Islam kita kukuh, saya percaya percambahan budaya dalam era globalisasi hari ini adalah sesuatu yang positif bagi memperkayakan budaya dan menaik taraf kehidupan yang lebih baik. Tirulah corak kehidupan masyarakat Barat. Mereka mampu mencipta pelbagai teknologi moden  sedangkan semua itu adalah idea ilmuwan Islam terulung," katanya.

Sebagai contoh, gaya hidup Barat yang tidak menggunakan air dalam tandas untuk tujuan lebih kering dan bersih, atau budaya bersalaman dan berciuman sebagai tanda kemesraan, berhibur sebagai kaedah menghilangkan resah dan sebagainya.

Budaya ini secara dasarnya, menunjukkan masyarakat Barat sangat mengambil berat mengenai akhlak dan adab, cuma mereka kehilangan garis panduan dan sempadan agama.

Daripada situ kita melihat oh indahnya kehidupan sosial Islam, apabila budaya yang begitu baik dipraktikkan, ditambah pula sisi panduan Islam yang menjaga dan beradab agar tidak tersasar nilai kemanusiaan pada mata Pencipta Yang Maha Mengetahui.

Ingatlah tanpa panduan agama, pemikiran manusia akan mudah tersasar, seperti diungkapkan oleh Albert Eisntein: "Sains tanpa agama akan buta dan agama tanpa sains akan sia-sia."


Dualisme, sekularisme

Anak jati Terengganu ini mengulas lanjut, masyarakat Barat dilihat mengamalkan sikap meterialistik (bermewah-mewah) dengan perkara yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, tetapi bukan semua orang Barat begitu.

"Perkara yang tidak bagus itulah menyebabkan kita mudah terpengaruh. Buka televisyen tonton majlis perkahwinan selebriti Barat yang meriah  (wedding of the year) kita ikut, tengok mereka memakai pakaian mahal dan seksi, kita ikut. Kalau semua kita ikut Barat, siapa yang nak ikut apa yang ALLAH SWT dan Nabi SAW suruh?

"Fahaman materialisme iaitu memandang sisi kehidupan hanya pada sudut kemewahan semata-mata menular ke dalam masyarakat. Begitu juga pemikiran dualisme dan sekularisme yang tidak mengadun kehidupan dunia dan akhirat secara sepadu, malah memisahkan kehidupan duniawi daripada tuntutan ukhrawi," tegasnya.

Menurutnya, pegangan kapitalisme juga timbul dalam masyarakat kita, selari dengan tuntutan materialistik. Dalam kehidupan moden hari ini, masyarakat mudah terdedah kepada segala macam pengaruh global, baik yang positif mahupun negatif.

Segelintir yang berilmu mengambil peluang daripada globalisasi ini dengan mengutip aura positif daripada budaya pelbagai masyarakat maju di seluruh dunia.

Dalam era globalisasi, jangan kita nafikan juga perkembangan dan akses ilmu yang semakin terbuka. Beliau yakin, pembudayaan dalam konteks ilmu begini juga disambut baik oleh masyarakat kita.

Tiada masalah dengan status ilmu daripada Barat ataupun Timur, malah kalau diperhalusi, kepesatan perkembangan ilmu di Barat adalah kesan tinggalan oleh era Islam. Andainya banyak ilmu Barat yang berguna, kita harus terbuka untuk menghargai dan menyambutnya sebagai pemantapan aspek keilmuan untuk masyarakat Islam.

Ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang mengambil elemen positif Barat untuk diadun dengan nilai keislaman, dan ini memberi banyak manfaat untuk kehidupan kita.

Terdapat juga yang mudah terpengaruh dengan nilai-nilai hedonistik yang tidak selari dengan tuntutan Islam, menyebabkan kelihatan budaya Barat merosakkan nilai kehidupan kita.

Mencari rezeki halal lagi berkat

MENELUSURI kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil kerja dikenali sebagai rezeki.

Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki yang halal lagi berkat bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah diusahakan dengan tangan sendiri dan dilakukan dengan usaha yang berterusan.

Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh ALLAH SWT sama ada sedikit ataupun banyak.

Rasulullah SAW bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)". Oleh itu, laksanakan suruhan ini dengan mencari rezeki halal yang terbentang luas di hamparan dunia ini.

Jelaslah rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima ALLAH. Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan." (Riwayat Ibn Majah, Ahmad, Ibn Hibbah & Ibn Al-Mubarak)

Oleh itu, ketakwaan kepada ALLAH akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat. Dalam mencari rezeki sifat takwa juga penting ada dalam hati dan jiwa.

Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata: "Rezeki secupak tak akan jadi segantang" bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan. 'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis.

'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas). 'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan.

'Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit)' maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh ALLAH, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.

Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata orang Melayu sejak dahulu, dengan pandangan dan pemerhatian yang penuh bijaksana untuk direnungi.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya.

Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada ALLAH dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, jangan lah kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada ALLAH kerana apa yang ada di sisi ALLAH hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (Riwayat Abu Dzar & Al-Hakim)

Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (Riwayat Ath-Thabrani & Al-Bazzaar).

Berkaitan dengan rezeki Nabi SAW tidak pernah kenyang dalam makan dan minum dan tidak pula mencela rezeki atau makanan apa saja yang tersaji di hadapan baginda.

Apabila hendak mulai makan Nabi SAW membaca ‘Bismillah’, apabila makanan itu panas Baginda SAW sejukkan dahulu dan selesai makan Baginda SAW membaca ‘Alhamdulillah’.

Sementara sahabat Nabi SAW, Abu Bakar Ash Siddiq pernah berkata berkaitan rezeki. Antaranya, semenjak aku masuk Islam, belum pernah aku kenyangkan perutku, demi dapat merasakan segarnya beribadah, dan belum pernah aku puas minum, kerana sangat rindunya aku kepada Ilahi.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata dalam doanya: "Ya ALLAH, jadikan kelebihan rezeki itu terjadi pada orang-orang pilihan di antara kita, sebabnya barangkali mereka itu akan mengembalikan rezekinya itu kepada orang-orang yang berhajat di antara kita ini."

Beliau mengingatkan: "Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu semua hanya duduk-duduk saja, tidak mahu berusaha mencari rezeki. Tidaklah kamu semua telah mengetahui bahawa langit itu tidak menurunkan hujan berupa emas dan perak."

Berkaitan dengan punca rezeki Al-Hassan Al-Basri pernah mengingatkan: "ALLAH melaknat orang-orang yang tidak percaya bahawa Tuhan telah menjamin rezeki mereka."

Justeru, mencari rezeki yang halal wajib hukumnya. Laksanakan dengan kesungguhan hati, semangat tinggi, keikhlasan, kejujuran dan keahlian. Semuanya ini adalah jalan ke arah keberkatan. Jangan melibatkan diri dalam riba atau urusan yang diragukan status halal.

Jika mencari rezeki dengan perniagaan, lakukan jual beli dengan keikhlasan, tuntut hutang dengan sabar dan sopan, sertai selesaikan hutang tepat waktu sesuai dengan perjanjian. Sifat ikhlas ini sangat penting dalam Islam khususnya kepada penjual dan juga pembeli.

Keberkatan rezeki, rela dan puaslah terhadap pemberian rezeki ALLAH kerana rela dan puas (qannah) adalah kekayaan yang tidak akan habis.

Kesimpulannya, setiap rezeki yang halal daripada hasil usaha tangan sendiri dan dilakukan secara jujur, ikhlas akan diberikan berkah (berkat) dan keberkatan ALLAH.

Rezeki yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih berkat berbanding rezeki yang banyak tetapi tidak mencukupi. Dr Aminudin Mansor Sinar Harian Rencana 24 April 2015

Imam, cukai dan raja

IMAM Nawawi RHM (631-676H) tokoh agung dalam mazhab Syafie. Ditakdirkan umurnya tidak panjang. Namun, ilmu, sumbangan, karya dan kisah perjuangan beliau berpanjangan hingga ke hari ini.

Menguasai pelbagai bidang ilmu. Menjadi rujukan umat hingga sekarang.

Ahli ilmu yang setia dengan kebenaran. Mempertahankan prinsip keadilan tidak kira dengan siapa beliau berhadapan. Nilai agama tidak digadai semata-mata ingin meraih habuan dunia. Inilah Imam Nawawi, rahimahullah.

Kisah beliau yang menarik ialah semasa berhadapan dengan pemerintah pada zamannya, Al-Malik Al-Zahir. Imam Nawawi diminta Raja Zahir supaya mengeluarkan fatwa harus bagi pemerintah mengambil harta rakyat untuk keperluan jihad memerangi musuh negara iaitu tentera Tatar.

Ramai ulama lain yang dibunuh Raja Zahir kerana enggan memberikan fatwa menyokong hasrat tersebut. Pada masa yang sama, ada juga kelompok agamawan yang menyokong. Namun begitu, Imam Nawawi tetap tegas memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Walaupun beliau tahu pengutipan harta rakyat itu akan digunakan bagi tujuan jihad mempertahankan negara, beliau tetap enggan menulis surat sokongan kepada tindakan Raja Zahir.

Raja Zahir bertanya mengapa beliau tidak mahu menyokong hasrat baik ini? Imam Nawawi menjawab: "Setahu aku, engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta.

Kemudian ALLAH SWT memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

Engkau juga memiliki dua ratus hamba perempuan. Setiap mereka mempunyai sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan dan baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada ALLAH dan mengikut jalan Nabi-Nya SAW. (Lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam)

Begitulah prinsip kebenaran dan keadilan yang diperjuangkan Imam Nawawi. Kebajikan rakyat didahulukan berbanding kedudukan diri sendiri. Beliau bukan hendak melawan hasrat baik pemerintah yang mahu mempertahankan negara.

Tetapi beliau tidak bersetuju dengan cara hidup pemerintah dan pengurusan harta negara. Dalam keadaan pemerintah hidup bermewah, mengumpul harta penuh megah, tiba-tiba wang rakyat juga yang mahu dikerah.

Jika mahu difikirkan kepentingan perut sendiri, boleh sahaja Imam Nawawi bersetuju. Tetapi prinsip agama yang beliau dokong, tidak mengharuskan sebegitu.

Mana mungkin dibiarkan pemerintah bersenang lenang di atas takhta, bahkan dengan seronok melicinkan harta negara, tiba-tiba apabila diperlukan untuk mempertahankan negara, rakyat yang menjadi mangsa.

Ini bukan teladan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ al-rasyidin. Lihat sahaja bagaimana contoh kepemimpinan Amir al-Mukminin Umar bin al-Khattab.

Semasa era pemerintahan beliau, antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan, semenanjung Arab dilanda kemarau teruk yang menyebabkan kesusahan dan kelaparan kepada rakyat.

Tahun itu dikenali sebagai ‘Am al-Ramadah kerana diibaratkan seperti warna abu akibat kekurangan hujan. Maka warna tanah dan warna kulit manusia berubah kerana kekeringan.

Segala kudrat yang termampu, selaku pemerintah yang diberikan amanah, Umar sebaik mungkin menguruskan harta negara bagi mengatasi keperitan yang ditanggung oleh rakyat jelata.

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan, pada tahun berkenaan Umar membuat keputusan untuk tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.

Bekalan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu tetapi dengan harga yang agak tinggi.

Umar menolak untuk makan lalu berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal. Sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami nasib rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpa mereka?." (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/98, Beirut: Dar al-Turath)

Dalam peristiwa lain diriwayatkan suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta, dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Masakan tersebut turut dihidangkan kepada Umar. Apabila beliau mendapati yang dihidangkan kepadanya ialah bahagian belakang unta dan hatinya, maka Umar bertanya: "Dari mana diperolehi ini?". Dijawab:

"Daripada unta yang kita sembelih hari ini". Lalu Umar berkata: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa". (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

Allahu akbar! Alangkah beruntungnya manusia yang hidup di bawah pemerintahan Umar ketika itu. Kebahagiaan rakyat adalah kebahagiaannya.

Penderitaan rakyat adalah penderitaannya. Rakyat tidak dibiarkan mengharungi kesusahan seorang diri, sedangkan beliau dilengkapi kemewahan yang serba serbi. Rakyat tidak dibiarkan kesakitan menahan lapar, sedangkan beliau kekenyangan duduk bersandar.

Masih adakah pemimpin yang mewarisi sifat terpuji ini? Renungi sekali lagi kata-kata Umar:  "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa".

Alangkah bahagianya rakyat jelata, jika ucapan yang sama lahir dari mulut pemimpin mereka. Alangkah deritanya rakyat jelata, jika pemimpin hidup mewah dan megah di puncak kuasa, sedangkan rakyat berpenat lelah menanggung kos hidup yang sengsara.

Pemimpin disayangi rakyat, bukan kerana melihat rumah mereka yang bertingkat-tingkat, duit ringgit yang berlipat-lipat, kereta mewah yang berkilat-kilat, barang perhiasan dari negara barat atau majlis perkahwinan yang dahsyat.

Pemimpin disayangi apabila terserlah padanya nilai amanah dan keadilan.

Hak dan kebajikan rakyat diutamakan. Dalam hal ini, Umar bukan hanya bercakap manis ibarat menanam tebu di tepi bibir, tetapi beliau buktikan dengan tindakan.

Perhatikanlah kisah kehidupan di sekeliling kita. Banyak cerita yang membuatkan jiwa kita sebak dan mengalirkan air mata. Akibat kemiskinan, kesempitan dan kenaikan kos kehidupan. Ada ibu bapa yang terpaksa menatap penuh kesedihan nasib anak yang menanggung kesakitan.

Hendak dirawat tidak mampu kerana kesempitan wang. Ada anak-anak yang terpaksa berhenti sekolah kerana ibu bapa tidak mampu lagi menanggung kos persekolahan.

Ibu bapa mencuba sedaya upaya membahagiakan anak dengan melempar senyuman, Namun, di sebalik senyuman itu tersimpan keresahan dan keperitan bagi mencari rezeki buat menjamin kelangsungan kehidupan. Abd Razak Muthalib Sinar Harian Rencana 24 April 2015

Anak soleh tabung akhirat ibu, ayah

SEBAGAI ibu bapa, sudah pastinya berharap dikurniakan anak yang baik dan soleh menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Begitu besar keinginan kita untuk memiliki anak yang soleh dan solehah menjadi aset kekal kepada kita hingga akhirat. Orang biasa walau pendosa sekalipun menginginkan anak yang baik akhlak dan budinya.

Jadi apa yang perlu ibu bapa lakukan jika menginginkan zuriat soleh dan solehah?

Sentiasalah berdoa kepada ALLAH

Jika kita ingin memiliki zuriat yang soleh dan solehah ini, doa adalah kunci utamanya. Rintihlah pada ALLAH  agar Dia kurniakan seorang anak yang baik, sentiasa mengikuti segala suruhan-Nya. Amalan berdoa ini (Surah Ali Imran ayat 38)  amalan dilakukan nabi dan rasul.

Tanamlah akidah Islam dalam diri

Akidah adalah asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan. Ini kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagiaan dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan.

Penekanan terhadap ibadah

Penekanan daripada sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan  kepada ALLAH. Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada ALLAH dapat menyedarkan anak perihal sifat manusia sebagai hamba disisi-Nya.

Berilah penekanan akhlak

Memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, Nabi SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Dengan memiliki akhlak yang mulia, ia adalah amalan yang paling berat dalam timbangan di hari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab di hadapan ALLAH.

Makanan daripada sumber halal

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak adalah  makanan daripada sumber yang halal serta menjauhi daripada sumber yang syubhah apatah lagi yang haram. Ini kerana makanan yang bersumberkan rezeki halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi melahirkan zuriat yang pintar dan sihat akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat ALLAH di akhirat.

Kelima-lima perkara ini penting dan perlu diberi perhatian kita sebagai orang tua kepada anak-anak untuk membina mereka menjadi insan yang sempurna pelaburan kita semasa di dunia dan juga di akhirat.

Tunjukkan akhlak terbaik

Walaupun perkara di atas penting dititik beratkan ibu bapa kepada anak-anak mereka, sebenarnya yang utamanya sekali adakah kita sebagai ibu bapa sudah memenuhi tuntutan pertama untuk miliki anak yang soleh dan solehah ini. Apakah tuntutan pertama itu?

Tuntutannya adalah menjadikan diri kita seorang yang soleh dan solehah terlebih dahulu. Itu asas dan formula mujarab menghasilkan anak yang soleh dan solehah. Teliti dan selidiklah diri kita, adakah sudah memenuhi kriteria sebagai anak soleh atau solehah?

Kisah doa anak soleh

Anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya menjadi siapa



Penulis ingin berkongsi satu kisah mengenai berkat doa anak soleh. Kisah ini memberi kesan kepada penulis dan rugi jika tidak dikongsi bersama. Ia adalah kisah Nabi Musa dan jirannya di syurga kelak.

Nabi Musa adalah satu-satunya nabi yang boleh bercakap terus dengan ALLAH. Setiap kali baginda hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan ALLAH.

Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada ALLAH: "Ya ALLAH, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". ALLAH menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, baginda berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalamnya. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering dan dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar.

Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. Nabi Musa bertanya: "Wahai saudara! Apakah agama kamu?". "Agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka melakukan dosa yang besar, ALLAH menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan ALLAH itu soal lain. Itu urusannya dengan ALLAH. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku." Sambungnya lagi: "Setiap hari aku berdoa kepada ALLAH agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya ALLAH menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi ALLAH masih belum memakbulkan lagi," tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga ALLAH menurunkan wahyu kepada Nabi Musa. Firman-Nya: "Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami."

Firman-Nya lagi: "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa bapa dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada ALLAH supaya kedua ibu bapa kita diampuni ALLAH.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa di alam kubur. Anak yang menjadi aset dan membawa manfaat bukan sekadar di dunia malah di akhirat