May 1st, 2015

Khutbah Jumaat ~ Etika Kerja Bukti Keimanan

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat (Khas Sempena Hari Pekerja) 01 Mei 2015M / 12 Rejab 1436H JAWI

"Etika Kerja Bukti Keimanan"

Kerja yang kita lakukan saban hari merupakan satu amanah dari Allah SWT tanpa melihat kepada kedudukan dan pangkat yang dimiliki mahupun jumlah gaji yang diberi.

Majikan mempunyai amanah yang perlu ditunaikan terhadap Allah dan pekerjanya, begitu jugalah pekerja perlu amanah terhadap Allah dan majikannya.

Anggaplah apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah ibadah, bukannya satu bebanan yang membawa masalah.

Peringatan Nabi SAW melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA : Bermaksud : “Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah”.

Amanah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan.  Amanah adalah cabang keimanan. Seseorang yang beriman pasti mempunyai sifat amanah, sebaliknya orang tidak amanah itu mencerminkan kelemahan imannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Az Zumar ayat 11: Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah kepadaNya”.

Kerja itu adalah satu ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT dengan syarat kerja tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan imbuhan keduniaan. Kejarlah redha Allah, nescaya dunia akan mengejar kita.

Allah SWT melalui firmanNya dalam Surah At-Taubah ayat 105: Bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Seorang muslim yang sejati pasti akan menjadi pekerja yang beretika dan cemerlang, tetapi seorang pekerja yang terbilang belum tentu mampu untuk menjadi muslim yang cemerlang.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas ayat 26: Bermaksud : “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama : Pekerjaan biasa yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT dan disulami sifat amanah ketika bekerja akan menjadikan kerja tersebut luar biasa di samping meningkatkan taqwa dan keimanan.

Kedua : Ikhlaskanlah hati. Keikhlasan dalam bekerja dapat mengubah permasalahan kepada penyelesaian, tekanan kepada ketenangan dan kekusutan kepada keredhaan dan keimanan.

Ketiga : Semai dan suburkanlah semangat itqan dalam kerja yang diamanahkan pada kita. Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat ibarat kematian akan menjemput kita pada hari esok.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mu’minun ayat 1-5: Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu.Dan mereka yang menjaga kehormatannya”

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Tanggungjawab Rakyat

Sedutan petikan Khutbah Jumaat 1 Mei 2015 / 12 Rejab 1436 JAKIM

"Tanggungjawab Rakyat:

Berdasarkan pandangan ahl al-Sunnah dan jumhur ulama’ menyatakan bahawa pemilihan pemerintah hendaklah dipilih secara pilihanraya dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan sesebuah kerajaan yang memerintah.
Pemerintah yang dipilih dan dilantik oleh rakyat maka hendaklah melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab dari rakyat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27 : Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Dan sabda Rasulullah SAW: Mafhumnya:Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.(Riwayat al-Bukhari)

Pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut antaranya:

Pertama: Merupakan tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya agar mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.


Kedua: Kedudukan pemerintah di kalangan rakyat adalah umpama paksi pada sesuatu binaan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan.

Ketiga: Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penguasa, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya.

Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.


Keempat: Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.

Kelima: Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.


Bagi merealisasikan tanggungjawab rakyat ini maka para ulama’ telah menetapkan beberapa syarat untuk menentukan kelayakan seseorang pemimpin itu antaranya ialah keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, kelayakan ilmu, adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.

Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa: Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran yang tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran yang menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahankan negara dan berjihad mene
ntang musuh.

Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat, tidak menggadaikan agama kerana kepentingan, berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara. Ingatlah bahawa tanggungjawab rakyat ini sekiranya tidak diberikan kepada mereka yang benar benar berhak, nescaya masa depan negara akan hancur dan hidup rakyat akan merana.

Justeru kita sebagai rakyat hendaklah memilih pemimpin
yang mampu membina masa depan rakyat dan negara. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:Apabila amanah itu di sia siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: Bagaimana mensia siakannya. Rasulullah SAW menjawab:Apabila sesuatu jawatan itu di serahkan kepada orang orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran (Riwayat al-Bukhari).

Mengakhiri khutbah pada minggu ini,  bahawa soal memilih pemimpin mempunyai kaitan dengan perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah SWT terhadap kita pada hari akhirat kelak.

Justeru, selari dengan ini, maka mimbar menyeru seluruh umat Islam agar berlaku adil dalam menentukan kepimpinan dengan mengambil kira ciri-ciri yang telah disebutkan tadi. Percayalah negara yang diperintah oleh kepimpinan yang berwibawa dan konsisten akan menjamin segala dasar-dasar dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan beramanah lagi adil serta saksama.

Sebaliknya kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara tidak akan dicapai jika diperintah oleh golongan yang tidak mempunyai sifat amanah dan hanya memburu jawatan.

Sebagai seorang pekerja kita hendaklah sentiasa mengamalkan sifat sabar dan bertawakal serta berdoa kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam pekerjaan. Insyaallah segala usaha dan perkerjaan kita akan dikira sebagai satu ibadah dan berpahala di sisi Allah SWT.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah as- Syuaraa' ayat 215-217: Maksudnya:Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.


Wallahualam

Khutbah Jumaat ~ “Kewajipan Mencari Rezeki Yang Halal”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 01 Mei 2015 / 12 Rejab 1436 : JAIS

“Kewajipan Mencari Rezeki Yang Halal”

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 168 : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”

Rezeki yang dikurniakan adalah untuk disyukuri melalui pengabdian kepada Allah SWT. Rezeki yang halal lagi baik, akan mendorong tuannya mengabdikan diri kepada Allah SWT seterusnya menjauhi laranganNya.

Hamba yang soleh, mereka memperoleh kenikmatan berupa sesuatu yang baik dan halal, kemudian mereka memuji Allah, bersyukur dengan rahmat, dan kasih sayang Allah SWT.

Masyarakat yang hidup penuh beretika, tidak akan bersekongkol dengan penglibatan rasuah, penipuan mahupun penganiayaan. Justeru, setiap rezeki daripada pekerjaan yang dilakukan mestilah daripada perolehan yang halal serta dijamin keberkatannya.

Hadis daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Tidak masuk syurga setiap daging yang tumbuh dari hasil yang haram, maka nerakalah tempat yang paling layak untuknya.” (Riwayat Imam Ahmad).

Hadis daripada Abi ‘Abdillah al-Nu’man Ibn Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya dalam tubuh anak adam ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan. Sebaliknya jika rosak daging itu, rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam menganggap bekerja untuk memperolehi rezeki atau pendapatan yang halal merupakan hakikat yang diletakkan setaraf dengan kedudukan berjihad di jalan Allah.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Mencari yang halal itu jihad” (Riwayat al-Qudho’ie).

Sebagai contoh, Nabi Idris bekerja sebagai seorang tukang jahit, Nabi Daud dengan kepakarannya dalam bidang besi, Nabi Sulaiman pula berkemahiran tinggi dalam urusan menganyam daun kurma dan pekerjaan Nabi Zakaria sebagai tukang kayu yang profesional. Tidak lupa pekerjaan mulia Nabi kita Muhammad SAW sebagai penggembala kambing di peringkat awalnya, seterusnya berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 114: “Maka makanlah daripada rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu yang halal lagi baik, dan bersyukurlah kamu akan nikmat Allah sekiranya kamu benar-benar beribadah kepadanya”

Hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Berikanlah upah pekerja sebelum keringatnya kering” (Riwayat Ibn Majah).

Mereka yang benar-benar beriman akan menjaga sumber rezeki dengan berhati-hati.


Beberapa panduan yang diajar oleh Allah SWT dan Rasululllah SAW dalam mencari keberkatan ke atas sumber rezeki yang halal.

1. Umat Islam hendaklah berusaha dan bekerja dengan istiqamah dalam mencari rezeki yang halal. Kita perlu berusaha dengan gigih dan tekun yang luar biasa. Usaha kita mencari kegemilangan mesti sentiasa berterusan dan tidak hanya sekerat jalan. Tekad dan usaha sebeginilah yang kita namakan istiqamah.

2. Umat Islam hendaklah bekerja dengan ikhlas dan jujur. Kerja buat yang dilakukan secara berterusan akan diberi pahala oleh Allah SWT dan dianggap sebagai amal soleh jika dikerjakan dengan penuh tanggungjawab, ikhlas dan jujur.

3. Umat Islam hendaklah mewujudkan budaya kerja yang cemerlang dalam mencari rezeki yang halal. Islam menganjurkan umatnya supaya menekuni dan berusaha gigih mdalam mencapai kegemilangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

4. Umat Islam juga perlu menafkahkan sebahagian daripada rezeki kepada pihak yang memerlukan sebagai tanda syukur ke atas usaha mencari rezeki yang halal. Begitu juga dalam mentaati perintah Allah dengan mengeluarkan zakat terhadap rezeki yang diperolehi, kepada para asnaf dengan agihan yang adil dan saksama.

5. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sikap hasad dan dengki ketika bersaing mencari rezeki seperti menggunakan ilmu-ilmu hitam, sihir menyihir dan ilmu pelaris yang menyalahi syarak.

“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, Iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman”. (Surah Al-Maidah: 88).

Wallahualam.

Wasatiyyah dalam perbezaan pendapat

Adalah suatu yang biasa dalam urus tadbir negara, terdapat pelbagai pendapat dalam mengurus sesuatu isu. Ramai dalam kalangan tokoh ilmuwan berpendapat usaha untuk mengumpulkan para aktivis dalam satu wadah perjuangan di bawah kepimpinan yang sama adalah perkara yang hampir mustahil kerana terlalu banyak halangan dan rintangan.

Oleh itu, mereka berpendapat tidaklah menjadi masalah besar wujudnya beberapa kumpulan yang berjuang untuk perkara tersebut, sekiranya mereka saling lengkap melengkapi dan bantu membantu serta bukan membawa perbezaan bersifat pertentangan dan permusuhan.

Kita berasa sedih dan dukacita kerana ada dalam kalangan pemimpin kita yang tidak menjaga dan menghargai perbezaan pendapat serta pandangan, malah menyebarkan benih-benih perpecahan dalam masyarakat.

Mereka sentiasa meniupkan api permusuhan. Perhatian mereka sentiasa memfokuskan kepada titik-titik perbezaan dan perselisihan, bukan kepada titik-titik persamaan bagi menyempurnakan perpaduan dalam masyarakat.

Sebenarnya perbezaan pendapat itu sendiri tidaklah berbahaya terutama dalam masalah-masalah furu’ (cabang) dan sebahagian usul yang bukan merupakan satu rukun yang penting. Apa yang berbahaya adalah fanatik, melampau, perpecahan dan permusuhan.

Mengendalikan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam tentang isu-isu semasa hendaklah dilakukan dengan cara terbaik. Namun begitu, perkara ini mungkin boleh bertahan di peringkat permulaan sahaja. Setelah itu bertukar menjadi perdebatan keras, tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan menggunakan ungkapan-ungkapan kasar serta liar yang membawa kepada perbalahan dan permusuhan.

Jika masing-masing menjaga adab-adab perbezaan pendapat dan menggunakan bahasa berdialog yang baik, nescaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Cuba kita perhatikan firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik serta berbahasalah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Perbezaan pendapat contohnya dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam tetapi janganlah sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat Islam. Perbezaan pendapat tetap akan wujud dan berterusan.

Jika tidak berlaku perbezaan pendapat, maka bererti pintu ijtihad dan berfikir telah tertutup. Ini bercanggah dengan nas-nas al-Quran yang mengajak umat Islam supaya berfikir, menyelidik, mengambil pengajaran dan melakukan ijtihad.

Sirah mencatatkan perbezaan pandangan adalah satu lumrah, bahkan perbezaan pandangan bukan sahaja berlaku hari ini, juga berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan para Nabi AS seperti yang berlaku antara Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS.

Ini turut berlaku semasa Rasulullah SAW memimpin para sahabat baginda. Generasi para sahabat RA menjadi ikutan kita tentang bagaimana mereka berbeza pendapat, berdebat dan kadang-kadang suara mereka juga tinggi seperti yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA, tetapi semuanya tidak lebih daripada perdebatan lisan semata-mata, yang mana ini tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Abu Bakar sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang, sementara Umar pula sentiasa mencerminkan kekuatan dan ketegasan. Hal ini mempengaruhi sikap masing-masing dalam menentukan penyelesaian masalah seperti ketika mereka berdua diminta pendapat tentang tawanan Perang Badar, perbezaan menentukan kedudukan tentera Islam di medan perang itu yang akhirnya diputuskan oleh wahyu sehinggalah kepada perbezaan sikap para sahabat RA di dalam menerima Perjanjian Hudaibiyyah.

Namun tentulah ini dapat dikendalikan dengan sebaiknya, memandangkan pemimpin pada waktu itu merupakan Rasulullah SAW yang mendapat petunjuk wahyu.

Lihat juga muzakarah Abu Bakar dengan Umar mengenai usaha pengumpulan al-Quran selepas Perang Yamamah. Abu Bakar pada mulanya enggan menerima cadangan pengumpulan tersebut tetapi apabila berlaku muzakarah dengan Umar, maka Abu Bakar mengakui kebenaran Umar dalam mengumpul dan menulis al-Quran.

Wujud juga perbezaan pandangan dan masih dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Lihatlah bagaimana Abu Bakar ketika dibantah keputusannya memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Orang yang membantah bukanlah individu sembarangan, tidak lain tidak bukan ialah Umar. Namun perbezaan pandangan ini bukan alasan untuk berpecah. Umar tetap patuh kepada keputusan Abu Bakar yang telah diangkat sebagai Khalifah al-Rasyidin.

Setiap individu berhak untuk memberi pandangan dan komentar kepada pemerintah. Walau bagaimanapun segala keputusan adalah tertakluk kepada kemaslahatan kerajaan yang memegang amanah rakyat.

Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Negara kita adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Apa yang tidak diingini ialah eksploitasi persoalan agama, isu hak keistimewaan kaum yang menghasut rakyat yang mana akhirnya boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Timbulnya perbalahan dan kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya.

Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang mesti dielakkan. Kritikan yang dibuat mestilah dilakukan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab.

Pemerintah berkewajipan untuk menimbang kewajaran setiap kritikan tersebut. Walau bagaimanapun, perlu tegaskan pada kesudahannya, keputusan yang dibuat merupakan demi kemaslahatan masyarakat dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Kita mengharapkan agar setiap orang Islam memiliki asas ketahanan yang kukuh untuk menghadapi cabaran kini. Perselisihan dalam masalah-masalah furu’iyyah dan ijtihadiyyah hendaklah dianggap bukan penghalang untuk bersatu bagi menghadapi musuh bersama.

Sesungguhnya perselisihan dalam masalah-masalah berkenaan tidak akan membahayakan jika telah disepakati atas masalah-masalah prinsip.

Kita juga hendaklah menyedari bahawa perbezaan dalam perkara berkenaan tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Oleh itu, semua pihak perlu bertenang dan sewajarnya bersikap rasional bersedia mendengar penjelasan berkenaan sesuatu perbezaan. Umat Islam juga perlu mempunyai semangat dan nilai kesederhanaan dalam menghadapi isu-isu perbezaan pendapat seperti ini.

- Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 01 Mei 2015

Pekerja mukmin sentiasa cemerlang

Dalam meneruskan hidup di muka bumi, manusia perlu bekerja mencari nafkah untuk diri sendiri dan juga keluarga.

Dengan demikian, bolehlah disimpulkan bahawa konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibolehkan oleh syarak.

Sebagai balasan, kita diberi upah atau bayaran. Kerja itu pula terbahagi kepada dua iaitu bercorak jasmani (fizikal) se­perti kerja buruh, pertanian, pertukangan yang menggunakan tulang empat kerat dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan kolar putih seperti pegawai dalam perguruan, ikhtisas atau jawatan perkeranian dan teknikal di sektor awam mahu pun swasta.

Antara dalil berkaitan bekerja adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). (Jumuah: 10)

Sebab itu, bekerja juga dikira sebagai ibadat. Apabila demikian, pekerja sepatutnya menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Dengan memahami hakikat tersebut, maka tidak timbul lagi soal curi tulang, menyalahguna peralatan pejabat atau syarikat, membuat tuntutan perjalanan palsu dan sebagainya.

Sebaliknya, orang mukmin akan sentiasa mempunyai sifat ihsan iaitu yakin bahawa Allah melihat apa yang dilakukan. Justeru, sistem yang digunapakai seperti punch card, ka­mera litar tertutup (CCTV) dan kad biometrik tidak menjadi masalah kepada mereka.

Ringkasnya, pekerja yang beriman akan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan waima ada atau tidak sistem ber­kenaan. Jika ada pun lewat masuk ke pejabat, ini bukan di­sengajakan tetapi berlaku sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkan.

Satu lagi ciri pekerja mukmin adalah melaksanakan tugas dan amanah de­ngan bersungguh-sungguh. Mereka akan sentiasa cuba memberi yang terbaik apabila melakukan tugas. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh. (Riwayat Muslim).

Mereka juga akan memanfaatkan masa sebaik-baiknya dan menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan selain tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi. Akses kepada laman-laman sosial hanya bagi tujuan kerja bukan sebaliknya menjadikan ‘kerja utama’ bersembang di dalam laman sosial.

Bukan juga sifat pekerja mukmin untuk ‘masuk bakul ang­kat sendiri’ kerana yakin Allah mengetahui apa yang dilakukan. Mereka bekerja dengan ikhlas tanpa ada sifat cemburu, iri hati atau hasad dengki. Jika rakan seperjuangan dinaikkan pangkat tiada sekelumit pun rasa iri hati. Malah dia tumpang bangga dan bersyukur kerana semua itu adalah rezeki Allah.

Sekiranya dinaikkan pangkat, dia tidak akan sombong dan lupa diri sebaliknya banyak bersyukur. Sebabnya, semua kurniaan itu adalah dari Allah dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Lebih utama daripada itu, mereka akan pastikan hasil titik peluh daripada pekerjaan itu adalah halal untuk dibawa pulang bagi memberi nafkah isteri dan anak-anak. Ini kerana, mana-mana daging yang tumbuh daripada sumber yang ha­ram maka nerakalah yang lebih utama baginya sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW.

Sempena sambutan Hari Pekerja tahun 2015 marilah kita berusaha menjadi pekerja yang cemerlang sebagaimana disarankan oleh agama. Dalam masa sama, perlu bagi kita menjaga kesihatan kerana kesihatan adalah anugerah Allah yang amat tinggi nilainya. Ini juga bertepatan dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat”.

- Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 01 Mei 2015

Apakah kita pekerja terbaik?

APABILA sentuh hal kerja, yang nombor satu bagi sesetengah orang ialah majikan. Taksubnya kepada majikan kedengaran menakutkan. Pergantungan dan sikap yang melampau kepada majikan ada kala sampai ke tahap seolah-olah majikan yang memberikan dia rezeki.

Saya bukan ustaz untuk mentakrif ketaksuban seperti itu sebagai salah satu ciri-ciri syirik. Tetapi setiap kali berhadapan dengan orang yang demikian, itulah kebimbangan saya.

Saya tahu, orang itu pun akan marah, menafikan jika kita berterus terang menuduh dia syirik. Tetapi jangan kita lupa, keterlaluan dalam hubungan sesama manusia boleh membahayakan akidah. Tidak. Saya bukan melarang  hormati majikan tetapi sekadar mengingatkan kita sesama kita,  jangan  sampai melampaui batas.

Majikan bukan tuhan. Justeru yang wajar dalam kedudukan ini adalah hubungan manusia dengan manusia. Setiap manusia ada haknya ke atas manusia lain dalam lingkaran hubungan mereka. Ini termasuk menghormati dan berterima kasih.

Kerja bersungguh-sungguh semata-mata untuk majikan, kebiasaannya tidak lari daripada tujuan meraih ganjaran tertinggi bagi diri sendiri. Itu bukan tuntutan Islam. Matlamat yang sebenar mengikut ajaran Islam ialah ALLAH.

ALLAHlah majikan kita yang sebenar. Agenda hidup kita juga adalah menyembah ALLAH, termasuk dalam urusan mencari rezeki.

Ya, kerja kuat atau bersungguh-sungguh sememangnya dituntut tetapi sebagai orang Islam, matlamat kita bukan hanya majikan, laporan prestasi, bonus atau kenaikan gaji tetapi tuntutan menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan ALLAH, mencari rezeki sebagai nafkah diri dan tanggungan.

Ya, majikan juga semestinya ada hak ke atas diri kita. Sebagai pekerja, kita wajib menunaikan mandat diamanahkan. Ini termasuk dalam urusan dan tanggungjawab hablumminannas! Apabila ini jadi perkiraan dalam bekerja, barulah 'bersih' luar dalam. Tiada hasad dengki, politik, tikam belakang, adu domba, rasuah dan seumpamanya.

Orang yang menggantung tujuan pada manusia biasanya tidak istiqamah dalam tujuan. Apabila berlaku pertembungan kepentingan, majikan juga entah ke mana ... Lebih buruk lagi jika apa yang dianggap prestasi terbaik itu sekadar lakonan dengan mengambil kredit daripada hasil kerja orang bawahan.

Orang seperti ini hidupnya dihantui bayang-bayang sendiri, mencurigai orang sekeliling yang ada kelebihan kerana bimbang kalau-kalau majikan terperasan. Lalu kuasa diguna ‘memendam’ individu berkenaan supaya tidak timbul di mata majikan.

Orang seperti ini jika tidak dapat apa yang dihajati atau mungkin ada tindakan majikan mengecewakannya, bukan setakat caci maki malah mungkin sampai tahap mensabotaj. Ini sebab tidak ada keluhuran dan keredaan dalam hatinya.

Dalam pada itu, tuntutan fardu tidak  diabai. Tiada erti kerja bersungguh-sungguh jika fardu ditinggalkan. Tuntutan solat jemaah juga tidak kurang penting. Solat jemaah membentuk kesatuan hati dan kasih sayang. Sunat seperti solat Dhuha harus digalakkan.

Fadilat Dhuha bukan sahaja bagi individu yang mengerjakan bahkan juga majikan dan rakan-rakan.

Apabila seseorang mendoakan rezeki untuknya, jika dimakbulkan, rezeki diturunkan melalui majikan maka majikan juga akan peroleh untung berlipat ganda.     Bayangkan jika  sekurang-kurang 80 peratus daripada staf sesebuah organisasi mengamalkan Dhuha setiap hari!

Soal ganjaran, itu urusan ALLAH, bukan majikan. Majikan sekadar perantara dalam aliran rezeki seseorang. Apabila kita melakukan yang terbaik, rezeki yang diperoleh mudah-mudahan berkat.

Walaupun pangkat mungkin tidak tinggi, gaji tidak besar tetapi keberkatan, insya-ALLAH akan kelihatan. Hidup tidak susah, anak isteri berkeadaan baik, sihat dan dengar kata. Hubungan dengan saudara mara, jiran dan rakan-rakan harmoni dan mesra sentiasa.

Selesa berulang alik ke masjid, ilmu dan harta pula bertambah walaupun sedikit demi sedikit. Ini kurniaan ALLAH yang diharapkan setelah kita tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin dalam urusan 'hablumminallah' dan 'hablumminannas'. Islam bukan di tikar solat sahaja tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan sebagai addeen.
 
Ya, benar... ada orang tidak solat, kaki maksiat, rasuah dan pembuli tetapi hidupnya senang juga. Pangkat tinggi, gaji besar, ada kuasa tetapi itu istidraj namanya. Nikmat ALLAH beri tetapi  bukan dengan keredaan, apa lagi keberkatan. Itu pemberian yang tiada  nilai di sisi ALLAH melainkan jambatan ke neraka jika tidak bertaubat.
 
Adakah pemberian itu buat mereka hidup tenang, reda dengan ujian, ikhlas dan berkasih sayang dengan orang lain atau 24 jam muka ketat, dahi berkerut?

Orang yang sebenar-benar kaya ialah mereka yang meredai dan diredai tuhannya, reda akan setiap yang berlaku dalam kehidupan mereka. Ini barulah boleh dikira pekerja yang terbaik. Muhamad Mat Yakim Sinar Harian Kolumnis 1 Mei 2015

Pilihan pakej haji

BAGI bakal haji yang telah terpilih menunaikan haji bagi Musim Haji 1436 Hijrah/2015 Masihi dan ingin menggunakan perkhidmatan pakej haji,mereka boleh membuat pilihan untuk menunaikan haji, sama ada melalui TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), iaitu anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) atau mana-mana 17 agensi pelancongan yang diluluskan Lesen Pengelola Jemaah Haji bagi musim 1436H (PJH). Senarai THTS dan 17 PJH ini telah diiklankan di akhbar Utusan Malaysia pada 31 Januari 2015 dan pada 28 Mac 2015. Iklan yang sama juga telah disiarkan di akhbar New Sunday Times pada 8 Februari 2015 dan pada 29 Mac 2015.

Selain diiklankan di akhbar, poster senarai THTS dan 17 PJH ini juga dipaparkan di papan kenyataan semua Pejabat TH Negeri, Pejabat TH Cawangan dan di masjid-masjid. Senarai ini juga boleh didapati di lawan web TH di alamat www.tabung haji.gov.my

Guna perkhidmatan melalui THTS atau 17 agensi PJH

5 Oktober 2011 -Gambar Hiasan

Mana-mana agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa mempunyai lesen PJH yang diluluskan oleh TH adalah merupakan satu kesalahan dan akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995. Setiap bakal haji hendaklah memastikan agensi pelancongan yang mereka pilih untuk menunaikan haji adalah agensi pelancongan yang telah diluluskan Lesen PJH oleh TH untuk menawarkan perkhidmatan pakej haji bagi tahun semasa.

THTS dan setiap PJH ada mengeluarkan Brosur Tawaran Perkhidmatan Pakej Haji (Brosur) masing-masing. Di dalam brosur tersebut ada dinyatakan bayaran yang dikenakan, jarak bangunan penginapan dari Masjidil Haram dan dari Masjid Nabawi, perkhidmatan makan minum serta perkhidmatan kebajikan yang disediakan. Brosur ini merupakan satu perjanjian di antara PJH dengan jemaah haji. Jemaah haji berhak mendapatkan apa-apa perkhidmatan seperti yang dinyatakan dalam brosur tersebut.

Sekiranya bakal haji didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai wakil atau agen kepada syarikat yang diluluskan lesen PJH bagi musim haji 1436Hijrah dan menawarkan perkhidmatan pakej haji, bagi mengelakkan daripada tertipu bakal haji hendaklah terlebih dahulu memastikan wakil atau agen yang berkenaan mempunyai surat perlantikan yang sah yang menggunakan letter head PJH yang berkenaan. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau kemusykilan, sila berhubung terus dengan PJH yang dinyatakan.

Nilai Tambah

Selaras dengan bayaran tambahan yang dikenakan, jika dibandingkan jemaah haji Muassasah, jemaah haji yang memilih perkhidmatan pakej haji akan mendapat perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah seperti berikut:

Bangunan penginapan yang lebih dekat dengan Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

Keadaan dalam bilik yang lebih selesa.

Makan dan minum yang disediakan secara bufet, termasuk sarapan pagi.

Nisbah petugas yang lebih ramai untuk menjaga kebajikan dan memberi perkhidmatan kepada jemaah haji.

Semua jemaah haji yang menunaikan haji melalui THTS dan PJH adalah juga jemaah haji TH. Semasa di Tanah Suci mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh TH, seperti perkhidmatan pengeluaran wang, perkhidmatan perubatan, perkhidmatan kaunseling dan perkhidmatan Talian Ibadah (TAIB), tanpa dikenakan sebarang bayaran sama sepertimana jemaah haji Muassasah yang lain.

Sekiranya PJH gagal memenuhi janji-janji perkhidmatan seperti yang dinyatakan di dalam brosur semasa di Tanah Suci, jemaah haji boleh membuat aduan terus kepada petugas TH di Pusat Perkhidmatan Maktab PJH, di Bangunan Ibu Pejabat TH, Mekah atau di Pejabat Operasi PJH, Madinah.

Perlu diingatkan bahawa sebarang aduan hendaklah dibuat dengan segera, iaitu ketika jemaah haji masih berada di Tanah Suci. Ini adalah untuk membolehkan petugas TH membuat siasatan bagi mengumpul bukti-bukti ke atas aduan tersebut.

Mengharmonikan polarisasi agama, politik

Agama dan politik adalah dua perkara penting dalam kehidupan manusia. Namun, agama dan politik juga sering mengundang perdebatan dan polemik. Justeru, ada dalam kalangan kita mahu mengelak daripada berbicara mengenai agama dan politik kerana ia boleh membawa perbalahan dan perbezaan pandangan yang akhirnya menjurus kepada konflik.

Bagaimanapun, kita tidak dapat mengelak daripada menyentuh soal agama dan politik dalam kehidupan. Agama dan politik umpama darah daging yang meresapi tubuh badan manusia. Majoriti manusia mempunyai pegangan agama dan pendirian politik masing-masing. Mungkin hanya segelintir yang tidak memilih mana-mana agama dan menolak politik secara mentah-mentah.

Pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, identiti semakin kabur. Manusia adalah warga dunia yang sering terdedah dengan interaksi dan pengalaman global. Banyak pihak percaya globalisasi mengikis identiti agama kerana nilai umum dan sejagat semakin diterima.

Globalisasi perkukuh identiti agama

Namun, dari satu sudut lain, globalisasi juga memperkukuhkan identiti agama dalam kehidupan manusia khususnya Islam. Buktinya, apabila identiti agama semakin dikaburkan dengan nilai umum dan sejagat seperti demokrasi dan hak asasi manusia, manusia mencari semula dan menonjolkan agama sebagai ciri dan identiti mereka.

Dalam erti kata lain, agama menjadi semakin penting oleh penganutnya sebagai satu cara dan kaedah membezakan dengan penganut yang lain.

Apatah lagi, nilai umum dan sejagat yang dijaja atas nama demokrasi dan hak asasi manusia mengancam identiti dan jati diri asal mereka. Usaha memperjuang dan memperkukuh kedudukan agama sering menjadi faktor yang boleh mencetuskan polemik, lebih-lebih lagi ia mencabar kepercayaan agama lain yang secara kebetulan membawa faham dan pemikiran berbeza dan cenderung kepada perjuangan liberal. Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana sensitiviti agama semakin kuat dalam konteks globalisasi.

Menariknya, geseran antara agama ini berlaku bukan disebabkan perkara pokok, tetapi hal cabang. Mutakhir ini kita dikejutkan dengan bantahan masyarakat Islam di Taman Medan di Petaling Jaya yang menuntut agar tanda salib besar di premis itu diturunkan.

Bantahan itu dibuat atas alasan tanda salib itu boleh mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam.

Peristiwa ini jelas menggambarkan bagaimana rapuhnya hubungan antara agama di Malaysia jika ia tidak ditangani dengan bijaksana. Soal kecil dan boleh diselesaikan dengan kefahaman ilmu berpotensi menjadi barah dalam masyarakat jika usaha menangani perbezaan agama tidak giat dilaksanakan. Selain agama, politik juga sering menjadi bahan pengukuh yang membezakan manusia.

Malangnya, politik lebih dinilai dari kaca mata parti politik dari melihatnya secara lebih terbuka. Polarisasi politik ini menjadi semakin serius apabila semua perkara dipolitikkan secara sempit sehingga mahu bercakap soal Islam dan Melayu pun dikaitkan dengan parti politik.

Malah, kegiatan politik di negara ini tidak lagi berlandaskan ilmu politik, sebaliknya emosi dan amarah yang memperkukuhkan perbezaan fahaman politik dalam masyarakat. Terlalu banyak slogan cuba dicadangkan pemimpin politik seperti politik budiman dan sebagainya, namun politik tetap dinilai dari kaca mata parti politik yang sempit. Memelihara peranan agama dan politik amat penting dalam memastikan kehidupan manusia yang harmoni.

Justeru, Islam memperakukan agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Konsep din wa daulah atau agama dan politik ini disokong oleh beberapa ulama dan pemikir Islam, antaranya Imam Al-Ghazali yang menyifatkan hubungan antara agama dan politik umpama dua sisi dalam satu syiling.

Urus kepelbagaian

Selain Islam, kepercayaan lain pastinya turut mempunyai pendirian sama, iaitu mahu memastikan kehidupan manusia perlu dilandaskan dengan kebaikan agama dan kejelasan tadbir urus kehidupan. Wacana dan perbincangan secara ilmiah perlu dipergiatkan dalam menyokong usaha mewujudkan keharmonian dalam masyarakat.

Bagi merancakkan kefahaman masyarakat Malaysia yang berbilang kaum mengenai perbezaan agama dan politik ini, seminar 'Government and Civilization 2 (SOGOC 2)' anjuran Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan diadakan pada 10 dan 11 Ogos 2015 ini. Ia diharapkan memberi ruang untuk pelbagai pihak mencari jalan bagaimana menguruskan kepelbagaian ini dengan lebih efektif.

Kesefahaman melalui program ini dijangka dapat mengurangkan bibit prasangka dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Diharapkan idea baharu yang diketengahkan dalam seminar ini nanti akan dapat diambil perhatian oleh pihak berwajib dan berkepentingan sebagai dasar awam dan dasar memelihara keharmonian negara.

Mohd Izani Mohd Zain Berita Harian Kolumnis 1 Mei 2015

Toleransi jaminan hak hidup bersama

Islam sering digambarkan menindas bukan Islam. Masyarakat Islam dikatakan tidak toleran dan mementingkan diri, walaupun dalam ufuk minda orang Islam, keadilan menjadi teras kepada setiap tindakan. Terbaharu, isu gereja yang dibantah penduduk majoriti Islam di Petaling Jaya menjadi perhatian media.

Dalam isu ini media, umat Islam dianggap ekstrem, tidak toleran dan mementingkan diri. Hakikatnya, apa yang dipertikaikan ialah kewujudan gereja di kawasan majoriti umat Islam, bukan sebagaimana digembar-gemburkan media alternatif yang mengaitkan isu penurunan lambang salib di bangunan berkenaan.

Keperluan mewujudkan gereja di kawasan itu dipersoal mungkin kerana ia dikhuatiri menjadi dakyah menyebarkan ajaran Kristian kepada penduduk Islam setempat. Menjadi lumrah pula apabila konflik sebegini berlaku, maka umat Islam diperlekeh dengan pelbagai jenaka dan sindiran tanpa memahami isu sebenar.

Acap kali juga apabila Islam dimomokkan terdapat ramai yang mempertahankan tindakan mereka atas dasar kebebasan bersuara, terdapat permohonan maaf dan mendoakan mereka insaf. Sebaliknya apabila orang Islam yang melakukannya, begitu pantas mereka menggesa tindakan diambil terhadap orang Islam yang dikatakan terlanjur.


Teguh akidah, ideologi

Masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah sebuah  komuniti yang berpegang teguh kepada akidah dan ideologi. Dari akidah dan ideologi itu maka muncullah cabangnya seperti undang-undang, hukum hakam, peradaban dan tatasusila. Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna bahawa orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada pada peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa.

Umat Islam menjalin hubungan sesama Islam, begitu juga dengan mereka yang bukan menganuti Islam. Dasar yang tetap digariskan merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam.

Prinsip utama dalam melayani orang bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek sahaja. Aspek pengecualian ini pula amat terhad dan hanya berkisar dalam perkara membabitkan peribadatan sahaja.

Acap kali apa yang berlaku ialah umat Islam diuji kesabarannya dengan pelbagai isu sehingga membuahkan persepsi negatif terhadap orang bukan Islam. Mungkin peristiwa hitam di Kampung Medan masih segar dalam ingatan umat Islam di sana yang menjadi sebab mereka tidak bersetuju gereja diadakan di kawasan mereka.

Apa pun, sama ada orang Islam ataupun bukan Islam seharusnya mengetepikan emosi masing masing dan berpegang kepada undang-undang sedia ada. Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam.

Hak ini merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara.  Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup.  Hak ini adalah hak sama yang dikecapi orang Islam.


Pemerintah Islam bertanggungjawab melindungi walaupun setitik darah mereka. Orang Islam dalam negara Islam juga adalah dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau menceroboh diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah mereka.

Apatah lagi umat Islam ditegah daripada membunuh orang bukan Islam. Ini disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka. Begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka berdasarkan prinsip maqasid al shariah. Islam menjamin  bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadah mengikut agama mereka termasuklah pembinaan rumah ibadah bukan Islam.

Bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan agar mereka memeluk Islam. Sejarah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang, tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

Namun, sekiranya terdapat elemen provokasi atau agenda tersirat mana-mana pihak, ia hendaklah dipadamkan segera bagi mengelak ketidakharmonian antara umat Islam dan bukan Islam.  Dalam hal muamalah pula, orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian.

Peluang bersaing memajukan diri

Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing. Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi memajukan diri mereka.

Orang bukan Islam tidak ditindas di dalam mencari kekayaan dan ini memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak. Syariat Islam memperuntukkan hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan ini dijamin pemerintah Islam.

Adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam sekiranya mereka melanggar ataupun mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam. Masyarakat Islam secara kolektif bertanggungjawab menjalankan syariat Islam dan melaksanakan hukum yang termaktub di dalamnya termasuklah perkara berhubungan dengan hak orang bukan Islam.


Sekiranya berlaku kecuaian atau penyelewengan oleh orang Islam dan melampaui batas yang dibenarkan, maka umat Islam sendiri perlu memperbetulkan keadaan dan mengembalikan hak berkenaan kepada yang berhak berlandaskan jalan yang benar dengan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran.

Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi biarpun orang yang dizalimi atau dicerobohi itu adalah orang bukan Islam. Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan, hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam pun boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan mereka.

Hak orang bukan Islam ini sebenarnya wajib dipelihara orang Islam kerana ia adalah tuntutan yang wajib dipatuhi setiap umat Islam. Membenarkan hak ini adalah suatu kewajipan dan menafikannya adalah suatu tegahan.

Berganding bahu pacu negara

Lihatlah betapa banyaknya hak orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam. Apabila hak yang besar itu diberikan kepada mereka adalah jelas mereka juga bertanggungjawab kepada negara Islam dengan tidak memecah-belah dan meruntuhkan ideologi negara Islam.

Umat Islam dan bukan Islam mesti berganding bahu memacu negara ke arah kegemilangan. Berbalik kepada isu gereja di Petaling Jaya, amat perlu dilihat kepada faktor terperinci dalam menyelesaikan kemelut sebegini antaranya kenapa perlunya gereja dibina di kawasan majoriti umat Islam, asas bantahan penduduk majoriti, latar belakang dan sejarah komuniti yang tinggal di sana serta usaha pemuafakatan yang dijalankan antara orang Islam dan jawatankuasa gereja berkenaan.

Penulis mendoakan semua pihak dapat menyelesaikan perkara ini secara baik demi keharmonian sejagat.

Zainul Rijal Abu Bakar  Berita Harian Rencana 1 Mei 2015