May 2nd, 2015

Kesenian Islam

Kehebatan senjata Islam sepanjang zaman

SENJATA dan perisai merupakan elemen yang sangat penting dalam sistem pertahanan sesebuah negara.


ZULKIFLI ISHAK (kiri) memberi penerangan kepada Penasihat Sosio Budaya Kepada Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim sewaktu perasmian pameran Simbol Kekuasaan dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam

Dengan kelengkapan senjata dan perisai membolehkan sesebuah kerajaan mempertahankan keselamatan daripada serangan musuh yang boleh mengakibatkan pelbagai kerosakan dan kemusnahan teruk, sekali gus menyebabkan kematian.

Mengimbas sejarah persenjataan dunia Islam ternyata hasil kerja tangan pembuat senjata dan perisai tidak kurang hebatnya. Setiap alat menampilkan keindahan dan kemewahannya tersendiri.

Menurut Penolong Kurator, Jabatan Kuratorial, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Zulkifili Ishak, senjata dan perisai di dalam dunia Islam bukan sahaja digunakan ketika di medan peperangan malah merupakan sebahagian persalinan kelengkapan diraja, kegunaan untuk aktiviti perburuan dan pengembaraan.

“Berikutan itu Pameran Senjata Islam, Simbol Kekuasaan dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam Malaysia diadakan bagi mendedahkan dan memperlihatkan kehebatan hasil kerja tangan pembuat senjata dan perisai kepada pengunjung.


SEORANG pengunjung melihat sebahagian koleksi senjata yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur

“Selain itu pada masa sama dapat memberi peluang kepada pengunjung di dalam menghayati kehalusan seni dan keindahan serta lambang yang terdapat pada setiap artifak yang dipamerkan di Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam Malaysia,” katanya.

Antara koleksi-koleksi yang dipamerkan termasuklah pelbagai senjata dan perisai terbaik dari dunia Islam meliputi pelbagai negara sejauh Afrika Utara sehingga ke rantau Asia Tenggara.

“Koleksi diraja di samping hasil karya agung para artisan, senjata api serta aksesorinya dan juga kepentingan kuda yang sering dikaitkan dengan senjata dan perisai sebagaimana yang digambarkan menerusi lukisan-lukisan miniatur antara tarikan yang dapat disaksikan di dalam pameran tersebut,” katanya.

Pameran yang dirasmikan Penasihat Sosio-Budaya kerajaan, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 19 April lalu pada masa sama menampilkan pelbagai tema yang dibahagikan kepada beberapa buah bahagian.

“Bermula dengan sebuah ruang yang mempamerkan koleksi replika pedang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat seperti Khalifah Uthman ibn Affan, Khalid ibn al-Walid dan Jaafar al-Tayyar. Di dalam pameran tersebut mengetengahkan rupa bentuk senjata berbilah dalam sejarah awal Islam.

“Bahagian seterusnya mempamerkan koleksi diraja Qajar Iran, koleksi Tipu Sultan dari Kerajaan Mysore, koleksi Kesultanan Uthmaniyyah dan Kesultanan Darfur di Sudan. Selain itu, koleksi yang memperlihatkan aspek persenjataan di alam Melayu turut ada dipamerkan antaranya keris perak Sultan Abdul Jalil yang menyingkap keturunan Kesultanan Melaka-Johor dan sejarah permulaan era pemerintahaan bendaraha,” katanya.

Dalam pada itu, lukisan Putera Mahkota Qajar ‘Abbas Mirza yang dihasilkan sekitar tahun 1835 hingga 1840 merupakan bahan yang akan menjadi tarikan dan tumpuan utama di dalam pameran berkenaan.

Selain mengetengahkan koleksi senjata dan perisai, pameran turut menampilkan pelbagai aksesori yang dijadikan sebagai sebahagian daripada kelengkapan perlindungan tentera dan golongan diraja di samping objek-objek yang menonjolkan kebudayaan senjata api di dunia Islam.

“Pameran yang diadakan bermula 20 April hingga 31 Ogos ini sudah pastinya akan menarik para pengunjung memandangkan bahan pameran merupakan antara koleksi-koleksi muzium yang buat julung kalinya dipamerkan kepada umum. Bukan itu sahaja, kami turut menerbitkan sebuah katalog yang memaparkan lebih daripada 200 artifak berkaitan senjata dan perisai yang terdiri daripada koleksi muzium.

“Penerbitan ini memperlihatkan estetika hasil kerja tangan yang terdapat pada kepelbagaian persenjataan di segenap dunia Islam selain daripada merungkai maksud di sebalik tandatangan, simbol mahupun tulisan yang terdapat pada permukaan artifak,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pengunjung yang terdiri daripada generasi muda, pihak muzium turut mengadakan pelbagai aktiviti bercorak pendidikan di dalam galeri pameran.

“Orang ramai khususnya generasi muda berpeluang mencipta pengembaraan sendiri di galeri pameran sambil memahami keindahan senjata dan perisai dari dunia Islam. Dinding interaktif 3 Dimensi di bahagian ini juga merupakan salah satu tarikan bukan sahaja kepada kanak-kanak malahan juga orang dewasa,”katanya.

Perpustakaan Kanak-kanak MKIM dalam pada itu turut menganjurkan pelbagai aktiviti seperti bengkel kesenian diraja kanak-kanak yang memberikan peluang kepada mereka untuk menghasilkan kraftangan membuat perisai dan topi pelindung berserta aktiviti-aktiviti lain dengan tema yang berkaitan dengan pameran. Aktiviti-aktiviti ini akan diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang empat bulan pameran ini berlangsung di Perpustakaan Kanak-kanak MKIM.


Pelancong lihat keindahan Islam
KUNJUNGAN ke Muzium Kesenian Islam Malaysia memberi makna yang mendalam buat pasangan suami isteri dari Oxford, United Kingdom.


Pelancong dari United Kingdom, Bob dan Carole Heath-Whyte meneliti koleksi peralatan kuda yang digunakan di dalam peperangan dunia Islam.

Bob dan Carole Heath-Whyte yang kedua-duanya berusia 74 tahun sudah enam kali mengunjungi Malaysia dan setiap kali itu juga mereka tidak akan melepaskan peluang untuk melawat ke muzium itu.

Jujurnya kedua-dua mereka memberitahu penulis bahawa mereka benar-benar terpesona dengan keindahan dan kehalusan serta kehebatan pelbagai cabang seni yang berunsurkan keislaman yang terdapat di muzium itu.

“Ini adalah kali keenam kami melawat ke sini. Mengapa kami gemar ke sini, kerana ia begitu indah dan cantik. Seni bina Islam amat mengkagumkan,” kata pasangan tersebut.

Bob dan Carole yang berada selama tiga minggu di Malaysia kali ini untuk menziarahi anak mereka yang bekerja di negara ini berkata, mereka tidak ketinggalan menyaksikan Pameran Senjata Islam iaitu Simbol Kekuasaan dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam Malaysia yang sedang berlangsung bermula 20 April sehingga 31 Ogos ini.

Menurut mereka, senjata yang digunakan di dalam dunia Islam amat menakjubkan umpamanya replika pedang milik Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya yang merupakan khalifah-khalifah Islam yang dipamerkan di muzium itu.

“Pedang milik Nabi Muhammad dan sahabatnya amat cantik dan berbeza dengan pedang yang digunakan oleh kesatria di England. Pedang itu (Nabi Muhammad) mempunyai pelbagai ukiran dan kesenian yang tiada tandingnya sedangkan pedang kesatria di England kosong dan tidak mempunyai apa-apa kesenian,” katanya.

Tambah mereka, pameran yang diadakan mengajar mereka tentang dunia Islam dan mereka mempelajari pelbagai perkara melalui kesenian yang dipamerkan di muzium itu.


Sudah beroperasi hampir 20 tahun
TERLETAK berhampiran Masjid Negara di Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur, Muzium Kesenian Islam Malaysia kini sudah berusia hampir 20 tahun sejak dibuka pada 1998.

Sejak itu, Muzium Kesenian Islam Malaysia boleh dikatakan menjadi tumpuan para pengunjung dari dalam dan luar negara yang mahu melihat sendiri keagungan dalam keseniaan Islam dalam pelbagai bentuk.

Menurut Ketua Kurator Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat, muzium itu telah menerima kira-kira 10,000 pengunjung sejak ia mula dibuka.

Heba Nayel yang berasal dari Mesir berkata, sambutan ketika tahun-tahun permulaan agak hambar tetapi semakin mendapat perhatian setelah pihaknya giat menganjurkan pelbagai pameran dan aktiviti di muzium itu.


Muzium Kesenian Islam Malaysia

“Kita berusaha keras untuk meletakkan muzium ini kepada perhatian orang ramai. Kita jemput mereka dan memberikan pameran yang terbaik yang mereka boleh saksikan di sini terutama mempamerkan koleksi-koleksi keseniaan berunsurkan keislaman yang mempunyai nilai yang bermakna,” katanya kepada S2.

Heba Nayel yang berkhidmat di muzium itu beberapa tahun selepas ia dibuka berkata, pelbagai kerjasama dengan pihak luar seperti pihak muzium di United Kingdom, Australia, India, Iran, China dan Timur Tengah dilaksanakan bagi membolehkan pihak Muzium Kesenian Islam Malaysia mengadakan pelbagai pameran yang lebih menarik.

“Melalui pameran-pameran yang diadakan, kita dapat memberitahu kepada orang ramai tentang keindahan dan kecantikan yang dimiliki dalam Islam. Melalui kesenian Islam sahaja siapa sangka ia boleh menarik masyarakat dunia melihat sisi terbaik tentang Islam,” katanya.

Katanya, pihak muzium sentiasa memikirkan untuk melaksanakan idea-idea baharu pada masa akan datang bagi menarik minat masyarakat terutama di Malaysia untuk mengunjungi Muzium Kesenian Islam Malaysia dan menyaksikan sendiri keindahan kesenian Islam yang dipamerkan.

Ditanya mengenai projek terbaharu, Heba Nayel berkata, pihak muzium akan menganjurkan pameran koleksi tekstil dan kerja tangan dari Mesir dan Syria yang bertajuk ‘Khayameya’ pada Oktober depan.

Beliau berkata, tidak mustahil juga suatu hari nanti, pihak muzium akan menganjurkan pameran yang membawa koleksi purba dari zaman Firaun dari Mesir seperti mumia dan artifak lama khas bagi tontonan masyarakat di negara ini.

“Selagi sesuatu pameran itu mempunyai unsur mendidik, maka tidak mustahil kita boleh menganjurkannya nanti. Malah, apa juga aktiviti yang kita lakukan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Kesenian islam dan Kesultanan Melayu

Wujud hubungan Empayar Uthmaniyah-Kesultanan Melayu

Dalam pameran persenjataan yang diadakan di Muzium Kesenian Islam, terdapat beberapa senjata yang dipamer dipercayai telah digunakan oleh kerajaan di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pengaruh Empayar Uthmaniyah telah berlaku sejak kurun ke-15 apabila berlaku penyebaran Islam sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pengaruhnya telah datang melalui aktiviti perdagangan.

Selain penyebaran Islam, pengaruh kerajaan tersebut di Tanah Melayu juga dilihat begitu penting untuk melindungi agama Islam dan ideologi-ideologi barat yang disebut sebagai anti-Islam.

Menurut Pengerusi Projek Pameran Simbol Kuasa dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam, Zulkifli Ishak, diakui bahawa telah wujud hubungan dua hala antara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Empayar Uthmaniyah.


Sultan Abdul Samad dari Selangor bersama para pengikutnya di hadapan kediaman Sultan Jugra, sekitar 1886 M dipamerkan pada
aktiviti Karnival Semarak Syariah di Perkarangan Kompleks Islam, Kuala Lumpur. Gambar Digital: Nasirruddin Yazid

“Perdagangan adalah medium yang menghubungkan antara Tanah Melayu dan Turki dan kedatangan Islam menjadi salah satu bukti diplomasi yang wujud antara dua kerajaan tersebut.

“Kewujudan hubungan melalui perdagangan itu wujud seperti sekarang cuma membezakan hanyalah barang perdagangan dan teknologi pelabuhan yang moden.

“Kerajaan Kesultanan Melaka terkenal sebagai pelabuhan antarabangsa sekitar kurun ke-15 dan 16. Pada waktu itu, kerajaan turut mempunyai hubungan dagang dengan China, India dan negara-negara Arab,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, wujud aktiviti perdagangan senjata api dan dipercayai Melaka menerima senjata api dari China, India dan negara-negara lain.

“Memang tidak dinafikan wujud perdagangan senjata seperti pistol, meriam dan sebagainya dari India dan China termasuklah Empayar Uthmaniyah.

“Selain Melaka, terdapat dakwaan mengatakan Empayar Uthmaniyah berhasrat untuk menghantar bantuan ketenteraan kepada Acheh yang diserang oleh Belanda. Namun, akibat masalah dalaman, mereka hanya menghantar pakar-pakar membuat senjata.

“Kita juga kurang didedahkan dan jarang mendengar cerita sebenar tentang penggunaan senjata api oleh Kerajaan Melayu Melaka dan diasak dengan sejarah penggunaan keris, tombak dan parang sewaktu berperang dengan Portugis pada kurun ke-16 seterusnya kalah pada tahun 1511,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kuratorial Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat turut mengakui terdapat penggunaan senjata api dalam peperangan antara Melaka dan Portugis.

“Pengaruh Empayar Uthmaniyah begitu luas dan kekuatannya sehingga dapat menawan Kerajaan Parsi (Iran) dan menghantar bantuan kepada Acheh.

“Empayar Uthmaniyah juga terkenal dengan teknologi senjata api yang menggunakan belerang. Mereka menggunakannya sewaktu hendak menakluk wilayah Afrika Utara. Menariknya orang Afrika tidak tahu tentang teknologi tersebut.

“Justeru, saya tidak menafikan terdapat penggunaan senjata oleh tentera Kesultanan Melayu Melaka untuk menahan serangan dari Portugis. Senjata tersebut kini ada di salah sebuah muzium di Portugis,” katanya.


Makna alat kebesaran diraja
Sambil melawat pameran senjata zaman Kerajaan Islam terdahulu, pengunjung juga berpeluang mengetahui sejarah penggunaan alat kebesaran diraja dan penganugerahan pingat yang kini turut diamalkan di Malaysia.

Penggunaan alat kebesaran raja-raja atau simbolik dalam upacara tertentu telah lama diamalkan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu seperti Parsi (Iran), Uthmaniah di Turki, Mysore dari India dan Darfur di Sudan sejak akhir kurun ke-15.

MINIATUR menggambarkan peristiwa peperangan yang dilukis oleh pelukis dari Kerajaan Parsi (Iran).

Alat tersebut turut digunakan oleh raja-raja atau pemimpin dari barat seperti di United Kingdom yang pernah menyerang dan menjajah kerajaan Uthmaniah dan Mysore Inda.

Antara barang yang dijadikan simbolik oleh raja-raja ialah senjata, pakaian, pingat, dan mahkota. Alat kebesaran tersebut juga mempunyai fungsi-fungsi tertentu dalam pelbagai acara lain seperti pertabalan, peperangan dan memburu.

Menerangkan lebih lanjut tentang penggunaan alat kebesaran oleh raja-raja terdahulu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kuratorial Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat berkata, alat kebesaran berfungsi sebagai identiti bagi pemimpin dalam sesuatu kerajaan.

“Setiap pemimpin dalam kerajaan bermula dari raja hinggalah ke barisan kepimpinannya mempunyai alat-alat kebesaran tertentu melambangkan tanggungjawab dan tugas yang dipikul.


LUKISAN-LUKISAN dalam buku ini menjadi sumber penceritaan penggunaan senjata seperti pedang, tombak, pisau belati dan busur serta anak panah oleh kerajaan-kerajaan Islam terdahulu. Gambar kecil, Medal dengan potret Muhammad Shah Qajar (1835-1840) dari Parsi

“Dalam kajian sejarah senjata kerajaan-kerajaan Islam, saya mendapati alat-alat kebesaran sentiasa digunakan semasa peperangan serta memburu.

“Sebagai contoh, seorang raja mempunyai pakaian atau kostum tersendiri seperti perisai untuk peperangan termasuklah pedang, topi, alat pelindung dan sebagainya. Begitu juga sewaktu memburu, pakaiannya dilengkapi dengan senjata seperti pemanah, pisau belati dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menerangkan sejarah penggunaan alat kebesaran yang telah digunakan oleh Kerajaan Iran pada suatu masa dahulu.

“Dalam potret seorang Putera Mahkota Parsi iaitu Putera Mahkota Qajar Abbas Mirza, terdapat pingat, senjata dan pelbagai alatan lain disematkan pada pakaian jubah merahnya.

“Melalui potret tersebut, selain mahkota, kita dapat melihat beberapa alatan yang digunakan ketika berperang dan juga memburu seperti pedang, pisau belati dan busur serta anak panah. Alat yang menonjolkan beliau sebagai putera mahkota ialah selempang dada, jerumbai berhias permata dan juga dua pingat.

“Potret tersebut sengaja dilukis bagi merakam sejarahnya sebagai putera mahkota pada tahun 1789 hingga 1833 dan dipercayai untuk menunjukkan senjata dan alat kebesaran yang dimiliki oleh Kerajaan Parsi pada zaman kegemilangannya,” jelasnya.

Selain alat kebesaran kepada keluarga diraja, beberapa alatan lain seperti pingat turut digunakan sebagai tanda jawatan dan anugerah kepada pegawai kerajaan.

“Dalam legasi kerajaan Parsi, turut digunakan alat kebesaran untuk mengiktiraf jasa-jasa rakyat yakni bukan dari kerabat diraja yang telah menyumbang pada kerajaan dan negara sama ada dalam bentuk pertahanan, pembangunan dan sebagainya.

“Sebagai contoh, Pingat Mahd-E Olia iaitu bonda kepada Nasr Al-Din ini telah diberikan kepada salah seorang menteri di sana, Mirza Aqa Khan-e Nuri yang berjasa dengan menyelamatkan puteranya dariapda Perdana Menteri pada waktu itu, Amir Kabir yang mengkhianat kerajaan Parsi.

“Terdapat juga beberapa pingat lain telah dianugerahkan kepada individu yang berjasa dalam kerajaannya seperti Darjah Kebesaran Singa dan Matahari Qajar, Darjah Kebesaran Potret Diraja, Darjah Kebesaran Matahari dan pelbagai pingat kebesaran lain,” katanya.

Heba Nayel menambah, kesinambungan penggunaan pingat dan beberapa alat kebesaran diraja kini dapat dilihat dalam Kesultanan Melayu di Malaysia.

Ujarnya lagi, kesinambungan tersebut jelas menunjukkan pengaruh kerajaan Parsi pernah sampai ke serata dunia sebelum berakhir apabila ditewaskan oleh Kerajaan Arab dan Turki Uthmaniah.

Seni dan Sukan dalam Islam

Kepentingan memanah dalam Islam

SEBELUM dijadikan sebagai cabang olahraga yang dipertandingkan dalam arena sukan, memanah pada awalnya merupakan satu kemahiran yang digunakan di medan perang dan lapangan memburu.

Selain memberikan kecergasan pada tubuh badan, kecerdasan mental, melatih fokus dan mengasah ketajaman mata, memanah juga merupakan sejenis sukan yang sangat dituntut di dalam Islam.

Nabi Muhammad SAW pernah mengamalkan kaedah memanah ketika berperang dengan musuh-musuh Islam yang mengancam baginda dan umat Islam. Tidak ketinggalan para sahabat yang pernah turut serta di dalam peperangan, mereka juga memiliki pelbagai kemahiran berperang termasuk memanah.


SET alat memanah berasal dari India yang digunakan pada abad ke-19.

Sehubungan itu, menurut Penolong Kurator, Jabatan Kuratorial, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Zulkifili Ishak, memanah merupakan senjata penting yang digunakan di dalam dunia Islam.

Malah jelas beliau, keistimewaan itu turut dinyatakan di dalam Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Allah akan memasukkan tiga golongan ke syurga disebabkan oleh satu anak panah, iaitu pembuat anak panah (yang mengharapkan kebaikan daripadanya), pemanah yang melepaskan anak panah serta mereka yang menghulurkan anak panah kepada pemanah, oleh yang demikian memanahlah dan menunggang kuda, akan tetapi mereka yang memanah lebih kusukai daripada menunggang kuda.”


Miniatur menggambarkan penggunaan alat memanah oleh tentera berkuda.

Katanya, antara alat yang digunakan di dalam memanah ialah busur, anak panah dan cincin.

Terdapat pelbagai busur yang dihasilkan di dalam dunia Islam. Pada peringkat awal busur digunakan ketika abad pertama Islam mempunyai beberapa kelemahan sehingga memaksa pemanah menggunakan banyak tenaga untuk mengendalikannya.

“Apabila Islam berkembang ke pelbagai negara di Asia, pembuatan busur menerima banyak pengaruh dan mengalami evolusi sekali gus mengatasi beberapa kelemahan dan kekurangan yang wujud sebelum ini.


Cincin yang digunakan ketika memanah.

“Sebagai contoh di dalam pameran ini, set anak panah dari India yang digunakan pada abad ke 19 bersifat fleksibel, mempunyai ketahanan yang kuat dan tujahan anak panah yang laju dan jauh. Selain itu bahan yang digunakan juga lebih ringan iaitu diperbuat daripada kayu, tandung binatang dan urat (sinew), berbanding sebelumnya sekali gus memudahkan pemanah untuk mengendalikannya,” katanya.

Kemahiran memanah dianggap sebagai satu senjata yang efektif di dalam peperangan dunia Islam.

“Biasanya peralatan memanah digunakan oleh tentera berkuda. Mereka mempunyai kemahiran memanah sambil menunggang dan mengawal kuda yang bergerak laju. Kerajaan Monggolia pada masa dahulu merupakan antara pasukan terbaik di dalam memanah,”ujarnya.


Simbol kuasa dan keindahan empayar Islam

Keagungan sesebuah tamadun tidak terletak semata-mata pada kekuatan kerajaannya, namun ia tetap bergantung kepada sumbangan rakyat serta pengaruhnya terhadap dunia luar terutama dalam aspek perdagangan.


Menyingkap sejarah keagungan empayar-empayar Islam seperti Kerajaan Parsi, Empayar Uthmaniyah, Kerajaan Darfur dan Mysore India, terdapat banyak tinggalan penting yang menceritakan tentang kehebatan tersebut.

Senjata adalah salah satu simbol kemajuan dalam empayar tersebut dan penggunaan di seluruh dunia mencatatkan pengaruhnya, sama ada dalam bentuk perdagangan ataupun penaklukan.

Seperti Kerajaan Parsi, mereka lebih cenderung menggunakan pedang, busur serta anak panah dan pisau belati. Manakala Empayar Uthmaniyah pula begitu terkenal dengan penggunaan teknologi senjata api.

Dalam sejarah ketamadunan Islam, penggunaan senjata telah digunakan sejak zaman dahulu lagi. Keagungannya diteruskan apabila pedang milik Rasulullah SAW menjadi tumpuan buat umat Islam seluruh dunia.

Selain senjata, alat-alat kebesaran diraja dan para pemimpin turut menjadi bukti sejarah kehebatan raja-raja terdahulu, antaranya ialah perisai, pedang, pisau belati, pingat dan sebagainya.

Kesinambungan penggunaan alat kebesaran oleh raja-raja kini dapat dilihat seperti cokmar, tombak dan keris yang digunakan dalam Kesultanan Melayu. Itu menunjukkan terdapat pengaruh dari empayar-empayar Islam yang hebat dalam Kesultanan Melayu.

Ikuti kisah sejarah senjata dan alat kebesaran diraja terdahulu bersama wartawan S2, Faizah Izzani Zakaria, Rozianah Risman dan Mohamad Athir Ismail serta jurufoto, Mohd. NasirRuddin Yazid yang berpeluang menjejak sejarah keagungan empayar Islam.

Bermula pada 20 April hingga 31 Ogos 2015, Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur memberi peluang kepada para pengunjung untuk melihat senjata-senjata digunakan oleh empayar Islam terdahulu tarmasuklah pedang dan anak panah yang digunakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.

Memperkasakan Institusi Fatwa

MUZAKARAH Ja­wa­tan­­kuasa Fatwa Ke­bangsaan pada 2008 telah memutuskan hu­kum melabur da­lam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumi­putera (ASB) adalah harus.

Keputusan itu dibuat selaras dengan maqasid (matlamat) syariah untuk memastikan umat Islam tidak terus ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Malangnya, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2011 bertindak sebaliknya apabila memutuskan pelaburan ASN dan ASB haram dengan alasan wujud aktiviti pelaburan bercampur-campur antara patuh syariah dan sebaliknya yang sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Turut memfatwakan haram ialah Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Pahang manakala yang mengeluarkan fatwa sebagai harus ialah Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

Pada masa sama, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut mengklasifikasikan ASN dan ASB sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

Apa yang berlaku itu memperlihatkan cabaran yang dihadapi oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan apabila negeri-negeri bertindak me­ngeluarkan fatwa yang bertentangan sehingga menyebabkan orang ramai terkeliru mengenai pandangan siapa­kah yang harus diikuti.

Kekeliruan itu semakin kusut apabila pandangan majlis-majlis penasihat syariah yang ditubuhkan untuk menasihat industri perbankan dan kewangan Islam juga dianggap sebagai ‘fatwa’.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin, kekeliruan melibatkan ASN dan ASB berpunca kerana beberapa faktor termasuk pertama, Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak mematuhi peraturan yang mensyaratkan supaya merujuk kepada badan itu sebelum mengeluarkan fatwa berkaitan isu nasional.

“Ini jelas diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri yang menyebut fatwa berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Bagi saya kekeliruan ini tidak akan timbul jika semua negeri dapat menerima pakai semua keputusan dan pandangan hukum yang telah dipersetujui di peringkat kebangsaan sebagai fatwa di negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Persidangan Meja Bulat Pemerkasaan Institusi Kefatwaan: Mendepani Cabaran Sebagai Sumber Rujukan Syariah di Malaysia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.

Faktor kedua kekeliruan, kata Abd. Shukor, kerana ada agamawan yang cenderung untuk mengetengahkan pendapat sendiri mengenai hukum-hakam sambil mengkritik pendapat pihak lain secara terbuka.

Katanya, tindakan sedemikian akan mencetuskan kekeliruan yang akan menyebabkan perpecahan serius sehingga membawa kepada keruntuhan umat Islam.

“Pendekatan mencari publisiti dan populariti dengan cara mengemukakan idea-idea baharu yang mengelirukan umat Islam adalah tidak wajar sama sekali.

“Justeru tidak wajarlah hukum dan fatwa dipolemikkan da­lam media massa seca­ra bebas. Situasi percangga­han hal-hal hukum tidak sewajarnya dibuka kepada masyarakat awam.

“Percanggahan panda­ngan ini hendaklah dibincangkan dengan cermat dan teliti oleh ahli yang alim dan fakih dengan me­menuhi beberapa sya­rat termasuk hendaklah tiada sikap taasub terhadap pandangan sendiri sebaliknya tujuan utama hanyalah untuk mencari kebenaran,” katanya.

Abd. Shukor menambah, umat Islam di Malaysia tidak seharusnya membiarkan diri mereka dilanda krisis perpecahan disebabkan wujudnya perbezaan pendapat dalam soal fikah (hukum-hakam Islam) yang melibatkan persoalan khilafiah (perkara-perkara yang menimbulkan pertikaian).

“Sepatutnya perkara berkenaan fikah ini tidak sewajarnya menjadi penyumbang kepada perpecahan masyarakat Islam di negara ini memandangkan kepelbagaian pendapat dan pandangan dalam perkara ini adalah sesuatu yang dibenarkan sejak dari zaman awal perkembangan dakwah Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, perbezaan pandangan dalam isu pelaburan ASN dan ASB kerana pihak-pihak yang menyatakan sebagai haram tidak mengambil kira kelainan suasana hidup dan kepentingan setempat.

“Misalnya, di Asia Barat majoriti umat Islam sangat besar berbanding umat Islam di negara ini. Di sana juga tidak berbangkit masalah perimbangan ekonomi antara orang Islam dan bukan Islam.

“Pelaburan ASN dan ASB adalah salah satu cara untuk membantu umat Islam terutama di kampung untuk keluar daripada kemiskinan.

“Kalau kita hanya mengikut fatwa ulama Asia Barat tanpa melihat realiti setempat maka walaupun sistem perbankan dan kewangan Islam itu disahkan patuh syariah, ia tidak menyumbang apa-apa bagi meningkat ekonomi orang Islam.

“Sebab itu saya tidak bersetuju apabila ada orang yang memuji menyatakan Malaysia sebagai negara Islam maju kerana yang sebenarnya maju dan kaya-raya majoritinya bukan Islam,” katanya yang juga Profesor Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tambah beliau, mengeluarkan fatwa berorientasikan tempatan bukanlah satu amalan baharu kerana ulama Nusantara seperti al-Raniri dan al-Fansuri telah mengeluarkan fatwa yang unik untuk alam Melayu sahaja seperti perempuan boleh menjadi raja.

“Para ulama tempatan terdahulu juga membolehkan wirid secara berjemaah, sembahyang hajat secara berjemaah, talkin dan kenduri tujuh serta 40 hari selepas kematian.

“Semuanya ini memberi erti, sebagai agama yang universal, Islam mempunyai alternatif hukum yang boleh difatwakan sesuai dengan keperluan zaman dan tempat. Hukum-hakamnya tidak bersifat statik, tetapi sebaliknya dinamik.

“Kita juga mesti sedar bahawa meskipun persuratan hukum banyak ditulis pada zaman kegemilangan ijtihad, tetapi tidak semestinya semua isi yang terkandung di dalamnya tetap relevan sekarang,” ujarnya. - Utusan Malaysia Rencana Agama 2 Mei 2015

Adakah dianjurkan berpuasa khusus pada Rejab?

REJAB adalah bulan yang termasuk dalam bulan-bulan haram dalam Islam. Kerana pada bulan ini antaranya diharamkan peperangan.

Menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan seperti puasa sunat bulan Rejab.

Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Nabi Muhammad SAW untuk melayakkan amalan tersebut diterima ALLAH SWT?



Justeru, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukan bertepatan dengan syariat dan sama seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Jika tidak, amalan tersebut akan sia-sia dan tidak diterima ALLAH SWT.

Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat pada Rejab sepenuhnya atau sebahagiannya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan yang khusus.

Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan ini tidak bersumberkan al-Quran atau hadis sahih. Bahkan ia diambil daripada hadis palsu dan lebih malang lagi ia disebarkan oleh golongan agamawan atau ustaz sama ada dalam kuliah atau penulisan.

Berikut adalah hadis palsu yang menyebutkan mengenai puasa sunat Rejab:

1. “Rejab adalah bulan ALLAH, Sya’ban bulanku dan Ramadan bulan umatku, maka barang siapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka dia wajib mendapat keredaan ALLAH yang agung dan ditempatkan di syurga firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barang siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka ALLAH menjadikan antaranya dan neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Sesiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan azab kubur.”

2. “Siapa yang puasa sunat tiga hari pada bulan Rejab, ALLAH menulis baginya (memberi ganjaran) puasa sebulan. Siapa yang berpuasa tujuh hari pada bulan Rejab, ALLAH menutup baginya tujuh pintu neraka. Siapa yang berpuasa lapan hari di bulan Rejab, ALLAH membukakan baginya lapan pintu syurga. Siapa yang berpuasa setengah bulan Rejab, ALLAH menuliskan baginya keredaan-Nya. Siapa yang sudah ditetapkan baginya keredaan-Nya, dia tidak akan diazab dan siapa yang berpuasa penuh bulan Rejab, ALLAH akan menghisabnya (di hari kiamat) dengan hisab yang ringan.”

Sebenarnya, tidak ada satu pun hadis sahih yang menjelaskan tentang kekhususan bulan-bulan haram dengan puasa sunat. Kalau pun ada, hadis itu adalah dhaif dan palsu.

Demikian pula, tidak ada dalil yang sahih perihal puasa khusus pada bulan Rejab, atau yang menunjukkan keutamaan tertentu jika berpuasa di dalamnya.

Daripada Kharsyah bin al-Harr  berkata, “Aku pernah melihat ‘Umar al-Khattab RA memukul tangan orang-orang yang berpuasa Rejab, hingga mereka pun meletakkan tangan di atas makanan. ‘Umar RA pun berkata; ‘Makanlah! Hanya orang-orang Jahiliah yang mengagungkan bulan Rejab.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah Rahimahullah di dalam al-Mushannaf. Syaikh Al-Albani Rahimahullah di dalam al-Irwa’, Sanad hadis sahih)

Daripada Ibnu ‘Umar RA bahawasanya dia tidak suka melihat orang-orang mempersiapkan sesuatu untuk bulan Rejab. - (Riwayat Ibnu Syaibah Rahimahullah di dal al-Mushannaf. Syaik Al-Albani Rahimahullah di dalam al-Irwa’, sanadnya sahih)

Ulasan golongan sarjana Islam mengenai hadis pada Rejab:

1. Ibnu Al-Jawzi Rahimahullah menyenaraikan hadis ini dalam kitabnya al-Maudhua’t. Dia menghukumnya sebagai hadis palsu.

2. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullah dalam kitabnya Tabyin al-’ajab fima warada fi Fadhl Rajab berkata, “Tidak terdapat hadis yang boleh dijadikan hujah (dalil) yang menyebut tentang kelebihan khusus bulan Rejab, atau kelebihan berpuasa (sepenuhnya) pada bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.”

3. Imam As-Suyuti dalam kitabnya al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu ‘an al-Ibtida’ menyebut, “Umar Al-Khattab RA melarang orang berpuasa pada bulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa pada bulan Rejab.”

4. Al-Syawkaniy pula menyebut dalam kitabnya Al-Fawaid, “Apa yang diceritakan mengenai keutamaan bulan Rejab semuanya adalah palsu dan dhaif tidak mempunyai sumber.”

5. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata di dalam Majmu’ul Fatawa, “Semua hadis yang menyebutkan keistimewaan berpuasa pada bulan Rejab adalah dhaif bahkan palsu. Tidak ada satu pun hadis yang boleh dijadikan sandaran bagi para ulama.”

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Hibban dan Al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berpuasa sunat selain puasa di bulan Ramadan. Oleh itu, syariat sudah menetapkan puasa-puasa sunat seperti puasa enam hari dalam Syawal, puasa Muharam, puasa hari-hari Putih, Puasa Hari Arafah 9 Dzulhijjah, puasa Hari Asyura 10 Muharam, puasa Isnin dan Khamis, puasa Nabi Daud AS.

Sebagai umat Islam yang cintakan Rasulullah SAW dan ingin mendapatkan reda ALLAH SWT dalam beribadah, beribadahlah seperti mana yang telah Rasulullah SAW ajarkan dan tinggalkan apa yang tidak pernah diamalkan.

Rejab: Iman, cinta & perjuangan

REJAB, salah satu bulan yang disebut dalam al-Quran. Jika al-Quran menyebutnya, sudah tentu ia sangat istimewa. Bulan Rejab sinonim dengan peristiwa israk mikraj. Ia bukan cerita dongeng. Rejab bukanlah sekadar satu perjalanan pemimpin agung bertemu Pencipta-Nya. Ia adalah perjalanan signifikan hamba menemui Pencipta-Nya, mengambil amanah dan menyampaikan amanah. Ia adalah perjalanan ukiran iman, takjubnya cinta dan geloranya perjuangan. Rejab, bulan bermulanya hadiah istimewa dari langit khusus bagi umat yang mahu mengerti.

Uji keimanan

Peristiwa israk mikraj benar-benar menguji keimanan sahabat dan pendukung risalah Islam. Di kala Baginda SAW berasa begitu gembira saat bertemu dengan ALLAH SWT, perkongsian perjalanan suci ini ditempelak dengan cacian oleh kaum Quraisy.

Baginda SAW ditertawakan, digelar gila dan berbagai cemuhan lain menjadi santapan telinga. Kisah itu merobek kepercayaan masyarakat Quraisy terhadap Nabi SAW. Al-Amin gelaran istimewa Rasulullah SAW sudah tiada nilai di saat manusia mempunyai hati yang rosak dan menolak risalah Islam. Di saat kekecewaan itu, muncul insan mulia bernama Abu Bakar As-siddiq membenarkan peristiwa israk dan mikraj. Beliau membenarkan apa yang dikatakan Baginda SAW lantas menyuntik semangat untuk terus berdakwah.

Dalam kehidupan, iman dan semangat kita sering naik dan turun. Di saat kita senang, kita terlupa sedikit dengan ALLAH dan di saat kita sukar, ramai pula teman yang meminggir. Itu adalah fitrah.

Jika Rasulullah SAW mendapat israk mikraj sebagai hadiah istimewa daripada ALLAH, maka kisah itu juga mengundang hadiah ALLAH buat kita. ALLAH memberi bulan Rejab agar kita dapat memperkukuhkan iman berdasarkan:-
- Iman kewujudan petugas ALLAH berupa malaikat
- Iman kepada kewujudan kitab suci
- Iman adanya rasul dan nabi serta Rasululah SAW
- Iman adanya hari akhirat
- Iman akan qadak dan qadar, perkara ghaib, beriman terhadap ketentuan ALLAH.

Pupuk rasa kecintaan

Di kala Baginda SAW berdukacita dengan kehilangan insan tersayang, ALLAH menunjukkan Dia lebih menyayangi. Diangkat-Nya darjat Rasulullah SAW melalui peristiwa israk dan mikraj. Justeru, dalam konteks ini, ALLAH menghadiahkan Rejab,

Syaaban dan Ramadan sebagai tanda cinta dan kasih kepada hamba-Nya. Di saat kita lalai dengan nikmat dunia, Ramadan melambai melalui lorong Rejab dan Syaaban. Rejab memberi kita ruang untuk menggapai cinta ALLAH, cinta Rasulullah SAW dan cinta sahabat Baginda SAW.

Hadiah khas yang kita terima melalui Rasulullah SAW iaitu perintah solat lima waktu sehari semalam. Ia adalah tanda cinta ALLAH dan Rasulullah SAW kepada kita. Solat adalah asas kejayaan. Perintah solat mengajar kita untuk menguruskan masa dengan baik, mengikut perintah dan tertib solat dan menjadi terapi kepada persoalan kehidupan yang sentiasa kita tempuhi setiap detik dan saat.

Kita dapat berbicara dengan ALLAH secara gratis dalam solat dan ketika memanjatkan doa. Lantas, bagaimana untuk berjaya jika seruan kejayaan (hayya alassolah) tidak diambil peduli?

Perjuangan

Rejab meninggalkan banyak kesan sejarah yang perlu dihayati. Sejarah bukan untuk disimpan sebagai khazanah dalam muzium. Sejarah dihayati, diambil iktibar dan pencetus perubahan tamadun insan.

Antara peristiwa signifikan berlaku dalam bulan Rejab adalah:-

Lahirnya  Imam As-Shafie

Imam Syafie dilahirkan di Ghuzah sebuah daerah di Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masihi.

Beliau menghafal 30 juzuk  al-Quran ketika berumur 9 tahun. Mengkaji dan memahami  kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ dihafalnya pada usia 19 tahun. Kerana kebijaksanaannya ketika berumur 15 tahun beliau dibenarkan  memberi fatwa kepada masyarakat dan menjawat jawatan sebagai guru  ilmu hadis serta menjadi mufti. Ketika berusia 20 tahun, beliau telah merantau untuk mendalami ilmu  dengan  Imam Malik di Madinah kemudian ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah.

Pembebasan Palestin oleh Salahudin Al-Ayubi

Di bulan Rejab  tahun 583 H (1187 M), Shalahudin Al-Ayubi  memimpin pasukannya berangkat ke Baitulmuqaddis untuk membebaskannya daripada cengkeraman tentera salib yang menguasainya selama hampir satu abad. Kemenangan Shalahudin sangatlah istimewa kerana berjaya mengembalikan bumi israk mikraj dan kiblat pertama kaum Muslimin ke dalam pangkuan Islam.

Jatuhnya Kerajaan Uthmaniah

Pada 28 Rejab 1342 Hijrah (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniah berjaya dikuburkan secara rasmi oleh Mustafa Kemal At-Tarturk di Turki dengan dokongan Britain dan Perancis.  Di saat kerajaan Uthmaniah tamat,  umat kehilangan asas kepimpinan. Tiada lagi institusi yang mampu melindungi umat secara kolektif dan global. Syariah tidak lagi dijadikan asas negara dan ideologi sekular dan kapitalisme ditanam ke dalam jiwa umat dengan penjajahan terancang. Kerajaan besar Uthmaniah dipecahkan kepada lebih 40 negara kecil dengan berpaksikan kaum, wilayah dan semangat kebangsaan yang merosakkan. Akibatnya, umat Islam terus berkelahi, merebut wilayah dan kekuasaan dan dipisahkan antara negara kaya dan miskin.

Rumusannya, Rejab bukan sekadar bulan berkisar perjalanan Rasulullah SAW  melalui peristiwa israk dan mikraj untuk kita kenang.  Tetapi bulan Rejab adalah bulan untuk menilai tahap iman kita, status cinta kita kepada ALLAH, Rasulullah SAW dan Islam serta bulan di mana kita menilai dan menghayati sejarah Islam agar umat akan lebih progresif.

Imam As-Shafie menunjukkan contoh terbaik untuk umat menguasai ilmu, Salahudiin Al-Ayubi menunjukkan contoh membebaskan Baitulmuqaddis  dan umat perlu bangkit demi mengembalikan kepimpinan dunia ke tangan umat Islam.