May 5th, 2015

Kemalangan 
di Duke: Mengikut pandangan Syariah

SEMUA lapisan masyarakat Malaysia melahirkan kesedihan terhadap kemalangan maut yang menimpa sebuah keluarga di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), pada awal pagi Sabtu lalu.

Kemalangan itu meragut nyawa seorang bapa, Fairuz Nizam Husain, 35, serta isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa.

Yang menjadi kemarahan orang ramai adalah apabila dikatakan bahawa kemalangan tersebut berlaku disebabkan perlumbaan antara enam buah kereta Perodua Myvi di tempat kejadian.

Dan yang lebih menyedihkan apabila memikirkan bagaimana nasib dua orang lagi anak mangsa yang masih kecil iaitu Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila masing-masing berusia 7 dan 4 tahun untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia ini tanpa ibu bapa mereka di sisi.

Siapa yang akan membela nasib mereka dalam tempoh yang amat panjang lagi untuk mereka menjadi dewasa - masuk ke alam persekolahan kemudian ke institusi pengajian tinggi dan bekerja.

Jika diteliti undang-undang Sivil, diperuntukkan di bawah Seksyen 41 yang pesalah hanya dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.

Akan tetapi, keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya sama ada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Bahkan, denda yang dikenakan kepada penjenayah tersebut hanya diberikan kepada kerajaan bukannya kepada keluarga mangsa.

Melainkan perlu melalui tuntutan fail di mahkamah yang sudah pasti akan melalui prosedur dan kos yang berlainan.


NURFIRUZA AMIRA FAIRUZ NIZAM, 7, yang menangis dipujuk oleh saudara mara terdekat ketika pengebumian ibu bapa dan adiknya yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Duke di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda di Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu. UTUSAN/ AZLAN HADI ABU BAKAR -

Ini sangat berbeza dengan ketetapan di dalam Undang-undang Syariah dalam menyelesaikan kes ini. Dalam Islam, sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan.

Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat (dalam konteks kes ini) adalah diyaat mukhaffafah (diyaat ringan), iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur selama tiga tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyaat.

Walau bagaimanapun para ulama berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Di antaranya ialah:

a. Wang Emas - 1,000 dinar

b. Wang Perak - 10,000 dirham

c. Lembu - 200 ekor

d. Kambing ­- 2,000 ekor

e. Persalinan - 200 persalinan lengkap.

Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyaat penuh ialah RM 400,000 manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyaat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyaat penuh.

Cuba bayangkan jika di dalam kes ini yang menyebabkan kematian seramai tiga orang, maka penjenayah perlu membayar ganti rugi tersebut kepada waris mangsa dalam kadar tiga kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar adalah lebih kurang RM1.2 juta.

Di sinilah dapat kita teliti rahmatnya undang-undang Syariah Islam berbanding undang-undang Sivil kerana ini bukan sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi dapat membela waris mangsa dengan sewajarnya.

Akhirnya, salam takziah daripada seluruh pelajar Undang-Undang Kuliah Ahmad Ibrahim kepada keluarga yang terlibat. Semoga roh mereka dirahmati Allah. Al-Fatihah.

Ibu bapa punca anak lakukan kesalahan

Bergaduh dan berkelahi adalah sebahagian asam garam kehidupan anak. Sama ada anak lelaki atau perempuan, perselisihan pasti berlaku membabitkan adik-beradik dan rakan. Berbeza pandangan dan kemahuan adalah fitrah semula jadi manusia.

Justeru, apabila jaringan sosial anak semakin lebar, mereka menemui rakan baharu yang berlainan asuhan dan didikan. Pengenalan baharu ada kala berjalan dengan harmoni, tetapi sering juga berlaku perdebatan dan perselisihan, hatta pada isu paling remeh sekali pun.

Pergaduhan adalah satu juzuk daripada proses pembelajaran anak dalam berinteraksi dengan masyarakat yang lebih terbuka. Ini berbeza dengan 'masyarakat tertutup' yang bersamanya di rumah. Ibu, bapa atau orang dewasa menjadi pemerhati tetap aktiviti anak di rumah hingga tidak memungkinkan anak melakukan kesalahan.

PERKELAHIAN dan perdamaian yang berlaku dalam kehidupan seharian kanak-kanak adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka. Gambar hiasan


Sekali pun ada kesilapan yang dilakukan, ibu bapa sentiasa ada bagi membetulkan kesalahan mereka. Kerana itu, tiada anak yang sanggup melakukan kesalahan di hadapan ibu bapanya. Masyarakat terbuka di luar sana seperti di sekolah, sebaliknya memberikan mereka ruang seluas-luasnya untuk menunjukkan sikap sebenar.

Pergaulan dengan rakan baharu pula menimbulkan konflik berbeza yang boleh sahaja mencetuskan perselisihan dan perbalahan. Sekali pun pergeseran acap berlaku dalam masyarakat kanak-kanak ini, tetapi fitrah anak yang masih bersih daripada perasaan dendam dan dengki, ia boleh dilupakan dalam masa singkat.

Kita biasa melihat kanak-kanak bertumbuk pada waktu paginya, tetapi boleh bermain bola sepak bersamapada sebelah petang.

Naluri kanak-kanak bersih

Maha Suci Allah SWT menjadikan naluri kanak-kanak bersih daripada hasad. Perkelahian dan perdamaian berlaku dalam masa pantas adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka. Perkembangan itu akan terbantut apabila konflik anak mendapat campur tangan orang dewasa, terutama ibu bapa.

Dalam satu kes buli yang saya kendalikan, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah memukul pelajar lain berusia 11 tahun. Kes ini menjadi serius kerana membabitkan seorang pelajar dewasa dengan kanak-kanak yang fizikalnya jauh lebih kecil.

Malah, kesan daripada serangan ini menyebabkan mangsa terpaksa dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lelah dan trauma. Memandangkan kesalahan yang serius, pihak sekolah menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada pelajar berkenaan.

Menariknya, apabila kes ini dibawa kepada bapa pelajar, reaksinya sangat mengejutkan. Si ayah tidak langsung memarahi anaknya yang baharu sahaja mencederakan seorang budak. Sebaliknya dia mencari kesalahan pihak sekolah dalam menangani kes anaknya.

Paling parah apabila dia memarahi mudir sekolah di hadapan anaknya seolah-olah anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan. Kesalahan paling besar ibu bapa dalam menangani masalah anak-anak ialah anggapan bahawa anaknya tidak mungkin melakukan kesalahan.

Rentetan daripada anggapan itu, setiap pelanggaran undang-undang atau perbalahan yang berlaku, ibu bapa akan segera meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Ayah bela anak

Kesan paling besar diterima oleh anak yang melakukan kesalahan ialah walaupun melakukan kesalahan besar, dia tetap dibela oleh ayahnya. Lalu anak itu tidak akan serik dan pasti mengulanginya pada masa akan datang dengan kes lebih serius.

Menerima hakikat anak mereka bersalah, ia secara langsung membuka ruang bagi memikirkan bagaimana mahu menanganinya supaya tidak berulang. Ia juga dengan segera menutup ruang untuk ibu bapa mencari kesalahan pihak lain.

Kebiasaan ibu bapa apabila diberitahu mengenai kesalahan anak, pasti mereka melenting dan menafikannya kerana beranggapan tuduhan terhadap anak seolah-olah mendakwa mereka sebagai ibu bapa tidak pandai menjaga serta mendidik anak hingga melakukan kesalahan seperti itu.

Ibu bapa yang membela anak sebenarnya sedang mempertahankan ego mereka sendiri. Mereka lebih mementingkan reputasi dan keegoan daripada membimbing anak memperbaiki kesilapan. Bagaimanapun, kesannya dirasai oleh anak yang tidak berasa bersalah dan besar kepala.

Silap pamer kasih sayang bunuh akhlak anak

Kasih sayang ibu bapa kepada anak adalah fitrah yang tidak dapat dialihkan. Namun kesilapan mempamerkan kasih sayang menjadi racun yang membunuh mentaliti dan akhlak anak. Dalam banyak kes, apabila anak melakukan kesalahan, ibu bapa tidak sanggup melihat anak menerima hukuman. Lalu ibu bapa akan merayu guru atau pihak berkuasa memaafkan anak.

Lebih parah, mereka menawarkan diri menanggung kesalahan anak. Dalam tidak sedar mereka sebenarnya sedang membina tembok ketidakbertanggungjawaban dalam diri anak. Demi melihat anak membesar menjadi individu bertanggungjawab dalam masyarakat, biarkan mereka menanggung kesalahan yang dilakukan.

Ajarkan mereka bahawa setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan mempunyai sebab dan akibatnya. Dalam konflik yang berlaku antara anak dan rakannya, secara refleks ibu bapa akan cuba menenangkan anak. Namun salahnya ialah apabila ibu bapa memburuk-burukkan rakannya itu hingga dia beranggapan tindakannya bergaduh adalah benar.

Pujukan seperti itu walaupun bertujuan menenangkan anak, tetapi sebenarnya memberikan implikasi negatif kepadanya. Anak akan berasa tidak bersalah kerana tindakannya dijusfikasikan dengan sikap rakannya yang kononnya memang jahat. Anak yang suci jiwa mereka tidak menyimpan dendam apabila berselisih faham dengan rakan walaupun menyebabkan pergaduhan.

Fitrah mereka menyebabkan hubungan persahabatan antara rakan tidak terputus begitu sahaja lantaran salah faham. Keadaan ini berbeza dengan sikap orang dewasa yang jiwa mereka sudah dicemari perasaan ego dan dendam.

Justeru, menjadi kesalahan ibu bapa apabila mencampuri pergaduhan anak dengan rakan dan meletakkan kesalahan pada bahu ibu bapa lain. Sikap sebahagian ibu bapa yang gemar menyerang dan menyalahkan ibu bapa lain atas kesalahan anak mereka menyebabkan permusuhan antara dua keluarga.

Sebaiknya ibu bapa tidak terlalu membesarkan pergaduhan yang berlaku antara anak mereka dengan rakannya. Jika dirasakan perlu, berjumpa ibu bapa rakan anak yang bergaduh itu dalam keadaan harmoni dan tidak saling menuding jari. Jadikan ini peluang berkenalan dengan keluarga rakan anak dan kemesraan antara kedua-dua keluarga ini diharap dapat merapatkan hubungan persahabatan anak.

Memartabat tradisi budaya ilmu

MASIH segar dalam ingatan pesan seorang murabbi: “Setiap hari fizikal kita perlu kepada makanan dan minuman, begitu jua makanan jiwa kita perlu ditambah iaitu dengan bekalan ilmu yang bermanfaat.”

Tatkala tentera Barbar membakar kitab-kitab para ulama di Baghdad dan mencampakkannya ke dalam Sungai Tigris, maka di situlah titik permulaan umat Islam dijauhkan daripada ilmu oleh musuh Islam.

Kenapa usaha ini dilakukan oleh musuh Islam? Kenapa musuh Islam tidak menyerang umat Islam dengan mentaliti bermatlamatkan harta benda, wang dan kemewahan hidup? AL-Allamah Ibnu Qayyim menyebut kelebihan ilmu berbanding harta. Antaranya, ilmu adalah warisan para Nabi, sedangkan harta warisan para raja. Ilmu akan menjaga tuannya, manakala harta dijaga oleh tuannya.

Keutamaan kuasai ilmu pengetahuan banyak dinukilkan dalam al-Quran, hadis


Ilmu pengetahuan itu memiliki darjat tinggi. - Gambar hiasan

Ilmu semakin bertambah jika diajarkan sedangkan harta pula akan berkurangan jika dibelanjakan ke jalan tidak berfaedah. Ilmu yang bermanfaat akan menatijahkan amal soleh yang hanya dimiliki oleh orang mukmin sedangkan harta boleh diperoleh atau dimiliki sesiapa sahaja baik Islam atau bukan Islam.

Jelaslah, jiwa yang dihidang dengan ilmu yang bernilai lagi bermanfaat akan memanifestasikan ummah yang berpaksi kepada kadar ketekadannya, manakala ketulusan jiwanya sesuai dengan kadar sifat kemanusiaannya, keberaniannya dalam menolak kejahatan dan kemungkaran dan lahirlah kesucian hati nurani yang sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan diri dalam menongkah arus kehidupan dunia yang penuh mehnah.

Keutamaan ilmu pengetahuan banyak dinukilkan dalam ayat al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah SWT telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah jua, begitu pula para Malaikat dan para ilmuwan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan. (Ali-Imran: 18)

Ayat ini menjelaskan bagaimana Allah SWT telah memulakan penyaksian itu dengan diri-Nya sendiri, keduanya dengan para malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmuwan. Ini membuktikan betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya serta kedudukan ahli ilmuwan di sisi Allah SWT.

Sementara itu, dalam surah al-Zumar ayat sembilan, Allah berfirman: Katakanlah, tiada serupa orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tiada berilmu pengetahuan. Maka, jelaslah hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah SWT.

Begitu juga dalam hadis-hadis Rasulullah SAW yang banyak menyatakan berkenaan keutamaan ilmu pengetahuan. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkan-Nya petunjuk di dalamnya.” dan “Para ulama itu adalah warisan para Nabi.”

Ini membuktikan tiada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tiada kemuliaan yang lebih utama daripada kemuliaan mewarisi martabat tersebut, kecuali para ulama yang ada pada masa kini.

Darjat kenabian

Cuba perhatikan, betapa ilmu pengetahuan itu dipersamakan seiring darjat kenabian dan betapa direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi daripada ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui ibadat yang dilakukan seharian, kerana kiranya ibadat itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ia tidak boleh dinamakan sebagai ibadat.

Rasulullah SAW bersabda: “Kelebihan seorang alim ke atas seorang abid laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang di atas langit.”

Luqman al-Hakim berwasiat kepada anaknya: “Wahai anakku! Pergaulilah para alim ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.”

Oleh yang demikian, keutamaan belajar dan mendalami ilmu pengetahuan merupakan salah satu faktor yang penting dalam usaha memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Dalam al-Quran banyak dijelaskan tentang bukti-bukti keutamaan belajar. Antaranya ialah, Allah swt berfirman dalam surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: “Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tidak tahu tentang suatu perkara.”

Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah akan mendorong baginya jalan ke syurga.” Berkata Ibnu Masud ra: “Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ia terangkat dan tanda terangkat ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai seorang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.”

APABILA seseorang mempunyai ilmu maka ia wajib pula menyampaikan kepada masyarakat dengan pelbagai cara dan strategi, supaya umat Islam terkesan dengan ilmu tersebut. Oleh itu, proses pengajaran atau mengajar menjadi agenda yang terpenting agar tercapai matlamat tersebut.

Ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran mengenai keutamaan mengajar. Antaranya, hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati. Tafsiran kepada ayat ini ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehnya.

Dalam hadis Rasulullah SAW juga banyak menyatakan keutamaan mengajar. Antaranya “Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, nescaya di hari kiamat nanti ia akan dikekang oleh Allah dengan tali kekang daripada api neraka.” dan “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yu di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”

Begitulah kepentingan ilmu pengetahuan, keutamaan belajar dan mengajarkan ilmu memainkan peranan yang amat penting demi memastikan masyarakat kembali menghayati ilmu seterusnya membudayakan tradisi ilmu dalam kehidupan manusia.

Ilmu yang bermanfaat pada orang Islam ialah ilmu yang telah menerusi tapisan nilai-nilai Islam yang sekurang-kurangnya dapat mengukuhkan kebenaran Islam dan kekuatan Islam serta Muslim dalam segala aspek kehidupannya, sama ada di dunia dan akhirat.

Maka, untuk kuasai sesuatu ilmu perlu kepada pembacaan dan penelitian dari mata hati. Dengan ilmu, lahirlah keimanan dalam diri insan dan menjadi imam kepada segala amal ibadat. Ketakwaan kepada Pencipta itu natijah daripada ilmu, iman dan amal. Sungguh indah tarbiah Allah SWT kepada hamba-Nya.

Doa perlu berseni

HATI kadang tertanya-tanya: “Mengapakah doaku sukar diluluskan, sedang si fulan itu pula barang dipinta, segera diperoleh. Apa beza aku dan dia? Mulut sama berlidah, jantung sama berhati, tangan sama menadah, tapi doanya seakan `doa kenamaan’ mudah sahaja dimakbulkan.”

Berdoa adalah suatu seni yang wajib diketahui. Seninya merangkumi seni memilih waktu, tempat, cara aturan bahasa dalam berdoa dan sebagainya. Seni doa banyak sekali, namun bicara kali ini akan menyentuh dua sahaja:

Hak Allah kena diutamakan mengatasi kehendak sendiri


Berdoa adalah suatu seni yang wajib diketahui. - Gambar hiasan

1. Memenuhi syarat Tuhan Yang Memakbulkan Doa dan menyakini penerimaan-Nya. Ini seumpama memenuhi syarat pihak yang mahu memberikan bantuan. Isi borangnya, sediakanlah salinan kad pengenalan, salinan sijil dan sebagainya jika mahu permohonan ditimbang. Usah berangan bantuan bakal menjengah pintu rumah jika borang pun tidak diisi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 186)



Hak Allah diutamakan mengatasi kehendak sendiri. - Gambar hiasan

2. Mengutamakan hak Allah dalam setiap doa. Allah sudah sangat kaya dan tidak memerlukan ibadah kita sebagai hamba-Nya, namun sikap rendah diri serta tetap meletakkan Allah sebagai keutamaan mampu memacu penerimaan doa.

Lihat cara doa beberapa orang Rasul dalam ayat berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Ibrahim: 37)

Utamakan hak Allah

Gentar hati Nabi Ibrahim as meninggalkan anak isterinya di lembah kontang tidak berpenghuni Mekah, namun dalam doanya baginda mengutamakan hak Allah iaitu agar solat dan pengagungan Allah sentiasa dilakukan oleh keturunannya. Doa ini menjadi permohonan dua dalam satu iaitu mengutamakan hak Allah yang lantas menjadi sebab anak isterinya diselamatkan. Indah sekali seni ini.

Juga doa Nabi Zakaria memohon anak yang bermaksud: “Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku dan isteriku pula adalah seorang yang mandul. Oleh itu, kurniakanlah daku daripada sisi-Mu seorang anak lelaki.” (Maryam: 5)

Walau hasrat utama baginda adalah seorang anak, hak Allah tetap diutamakan. Bimbang sungguh baginda terhakisnya penghayatan agama kaum keluarganya, semakin tidak mengenal Allah SWT. Jika dikurniakan anak pasti akan dididik dengan baik agar mampu menjaga agama Allah pada hati kaum keluarganya.

Inilah antara beberapa contoh seni doa para nabi. Hak Allah diutamakan mengatasi kehendak sendiri. Allah SWT lalu mengkabulkan permohonan mereka.

Selepas ini, jika mahu berdoa, susunlah bahasanya agar hak Allah diutamakan. Jika mahu anak cemerlang dalam peperiksaannya, usah hanya berdoa: “Ya Allah, berikan kejayaan cemerlang untuk anakku.” Sebaliknya sulamilah dengan mengutamakan Allah seperti “Ya Allah berikan kejayaan cemerlang untuk anakku agar dia menjadi hamba-Mu yang bersyukur pada-Mu dan mampu menegakkan agama-Mu di bumi ini.”

Jika mahu keselamatan perjalanan ke kampung ketika cuti, sulamilah dengan indah: “Ya Allah berikan keselamatan perjalananku ini kerana aku pulang demi menggembirakan ibu bapaku dan menghubungkan silaturahim yang Engkau sarankan.”

Semoga praktik seni doa ini akan tambah menjadikan kita semua hamba Allah SWT yang sebenar.