May 7th, 2015

Jangan mudah terpedaya

Secara fitrahnya, manusia lebih cenderung menyukai perkara yang pelik atau luar biasa. Tidak kiralah, ia dilakukan oleh manusia itu sendiri, haiwan atau alam semula jadi.

Fokus itu ada ketikanya menjadi berlebihan apabila ada daripada kalangan manusia cuba meniru atau berusaha mempelajari ‘ilmu’ luar biasa itu, semata-mata untuk menjadi popular.

Lebih mengharukan, apabila ada daripada kalangan manusia mengagungkan pelakunya sehingga ke tahap umpama tuhan atau seorang yang layak diangkat sebagai wakil-Nya untuk memimpin manusia ke arah jalan yang kononnya benar.

Dalam Islam, kebolehan sebegini dikaitkan dengan karamah iaitu kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia biasa sebagai balasan atas amalannya.

Kelebihan seharusnya menjadikan kita lebih mentaati-Nya, bukan lupa diri


PENYELEWENGAN dalam menuntut ilmu bakal mengundang bencana, sekali gus membawa kepada mensyirikkan Allah SWT. Gambar hiasan -

Karamah adalah istilah daripada bahasa Arab bermaksud sesuatu kebolehan melakukan hal-hal luar biasa yang selalunya diberikan kepada kalangan mereka yang soleh, seperti wali Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka itu ialah orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Dan bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan akhirat. (Yunus: 52-64).

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Faisal Ashaari menyatakan bahawa selain karamah, terdapat satu lagi kelebihan yang dikenali sebagai istidraj.


“Yang membezakannya, karamah dianugerahkan kepada para sahabat Rasulullah SAW, wali atau orang yang baik, manakala istidraj adalah untuk mereka yang sebaliknya iaitu orang yang jahat.

“Dengan kata lain, karamah adalah anugerah kemuliaan, sementara istidraj adalah kemurkaan Allah SWT terhadap makhluk ciptaan-Nya,” terang Muhamad Faisal ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Begitu pun, beliau menegaskan, sama ada karamah atau istidraj, kedua-duanya adalah milik Allah SWT dan hanya Dia yang berhak memutuskan kepada siapa untuk diberikan.

“Allah SWT hendak memberinya atau tidak, itu adalah hak mutlak-Nya dan sebagai orang Islam, kita tidak boleh beramal kerana mahukannya (karamah).

“Sebaliknya, Islam lebih memberi penekanan soal berusaha dan berdoa kepada Allah SWT jika kita inginkan sesuatu,” ujar Muhamad Faisal.


Dr. Muhamad Faisal Ashari

Ini kerana, tambah beliau, sifat kedua-duanya adalah ia bukan sesuatu yang boleh dipelajari dan sesiapa yang memperolehnya bukan bermakna dia lebih baik atau jahat berbanding yang lain.

Malahan, ia juga boleh tampil dalam pelbagai bentuk sehinggakan kita sendiri tidak menyedari kehadirannya.

“Ini sejajar dengan pendirian Islam yang tidak terlalu memberi tumpuan kepada anugerah itu, agar Islam tidak dikaitkan dengan perkara-perkara pelik atau ajaib.

“Muslim perlu memahami bahawa anugerah itu boleh membawa kita tunduk atau berkawan dengan jin atau syaitan. Lebih buruk dan berbahaya, ia mampu menjerumuskan seseorang itu kepada unsur syirik,” katanya.


Kejadian luar biasa yang dialami individu tertentu sering kali dianggap telah memperoleh karamah. Gambar hiasan

SEMENTARA itu, seorang ahli fikh takhassus al-Quran dan qiraat, Mohd. Asraff Ayob Al-Hafiz yang ditemui di pejabatnya di Kajang, baru-baru ini melahirkan kebimbangan berhubung keinginan umat Islam untuk memiliki karamah itu.

Kekhuatiran ini bersandarkan kepada sifat-sifat karamah itu sendiri yang mampu menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat kemurkaan Allah SWT tanpa disedari.

Malah, ada ketikanya individu itu mungkin menganggapnya sebagai karamah, sedangkan ia sebenarnya istidraj.

Jelas Mohd. Asraff antara petanda yang jelas adalah hatinya tetap tidak terbuka untuk terus taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, walaupun memperoleh rezeki yang melimpah ruah melalui kebolehan luar biasanya itu.


Yang pastinya aspek istiqamah itulah yang mesti menjadikan keutamaan dalam beramal ibadat, berbanding terlalu taksub mengejar karamah. Gambar hiasan

“Baginya kelebihan atau kebolehan luar biasa itu adalah kerana Allah SWT sayang akan dia tetapi sebenarnya akan membawa kepada kesesatan kerana gagal salah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.

“Itulah yang dipanggil sebagai istidraj dan ini jelas dalam surah al-A’raf ayat 182 yang bermaksud: Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui,” katanya.

Begitu pun, Mohd. Asraff berpendapat kedua-dua anugerah itu sebagai satu ujian untuk menentukan sejauh manakah ketaatan kita kepada Allah SWT.

“Sebab itulah, apabila kita mendapat rezeki atau nikmat Allah SWT, kita perlu berdoa supaya ia bukan istidraj.

“Ini kerana, nikmat itu adalah satu perkara yang diberikan Allah SWT dengan tujuan supaya kita lebih banyak bersyukur,” katanya.

Justeru, Mohd. Asraff mengutarakan nasihat supaya kita tidak perlu mengutamakan pencarian karamah tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada amalan istiqamah.

Ini kerana, amalan tersebut Allah SWT kurniakan kepada setiap makhluk-Nya, sedangkan karamah dan istidraj hanya untuk orang tertentu.

“Kita kena istiqamah dan kalaulah kiranya mendapat karamah, ia satu kelebihan tetapi kalau tidak dapat pun, bukan bermakna Allah SWT tidak suka. Mungkin Allah SWT iktiraf dalam bentuk lain,” katanya.

Namun secara realitinya, adalah sukar untuk membendung fitrah manusia itu. Keinginan memiliki karamah itu tetap menjadi idaman jiwa makhluk yang bernama manusia. Terbukti, dengan respon daripada cerita atau berita tentang individu yang memiliki kebolehan luar biasa itu menjadi tumpuan utama dalam media massa dan medium media baharu.

Seandainya ia berkait dengan seorang alim atau wali Allah SWT, sudah tentu, ramai yang akan mengkaji perihal keilmuan individu itu atau daripada aspek pengajian yang diperoleh sehingga membawa kepada penganugerahan karamah itu.

Antaranya adalah ilmu tarekat atau tasawuf yang dikatakan kerap menjadi tumpuan pembelajaran golongan alim tersebut.

Bagaimanapun, bagi pendakwah bebas, Dr. Mohd. Sukki Othman menyifatkan tanggapan itu sebagai sesuatu yang amat menyeleweng daripada matlamat tentang dua ilmu Islam itu sendiri.

Malah tambah Mohd. Sukki, umat Islam juga seharusnya menyedari bahawa perkara atau kelakuan luar biasa turut dikaitkan dengan sihir.

“Mereka sebenarnya keliru iaitu belajar ilmu tarekat atau tasawuf dengan tujuan hendak mendapatkan karamah. Ini sebenarnya, tidak betul daripada segi matlamat keilmuan dua ilmu Islam itu.

“Ilmu karamah dan istidraj itu bermatlamat untuk mengenal Allah SWT, seterusnya beramal untuk menghampirkan diri kepada-Nya dan ia tidak ada kena mengena dengan karamah,” kata Pensyarah Kanan Bahasa Arab dan I’jaz al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ternyata apabila niat untuk belajar itu sudah menyeleweng, maka tidak hairanlah seseorang itu mendakwa telah mendapat karamah. Hakikatnya, ia bukan daripada Allah SWT tetapi daripada syaitan.

Ini kerana, syaitan akan mudah menguasai jiwa dan hati manusia yang tidak mempunyai niat yang betul dalam menuntut ilmu dunia atau akhirat.

“Apa tidaknya, sikap sebegini pada akhirnya, dia akan membelakangkan syariat Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW dalam menuntut ilmu,” katanya.

Justeru, apabila kita melihat ada manusia yang mampu berjalan di atas air atau terbang, ia tidak seharusnya dikaitkan dengan karamah kerana ia juga ada kaitan dengan kuasa sihir atau bantuan jin.

Bahkan, kelebihan atau perkara luar biasa seperti itu sering kali membawa kepada satu bentuk perlawanan bagi menentukan siapakah yang lebih hebat di antara mereka.


A Muslim pilgrim prays at the top of Mount Noor in Mecca, during the annual pilgrimage (Haj) December 4, 2008. The pilgrims will visit the Hera cave in Mount Noor, where Muslims believe Prophet Mohammad received the first words of the Koran through Gabriel. REUTERS/Ahmed Jadallah (SAUDI ARABIA)

Lantaran itu, Mohd. Sukki berkata, para ulama banyak menyebut bahawa jangan mudah terpedaya sekiranya terlihat atau terdengar cerita-cerita berkisar tentang kebolehan luar biasa seseorang sebagaimana yang dicontohkan tadi.

“Orang kita ini, apabila melihat atau menyaksikan benda-benda pelik, dengan mudah akan mengatakan ia satu bentuk karamah, sedangkan perkataan itu membawa nilai yang baik, hebat dan diberikan kepada orang yang rapat dengan Allah SWT.

“Karamah tidak sentiasa berlaku tetapi ia muncul dalam keadaan tertentu atas sebab tertentu. Mereka yang memperoleh karamah itu tidak merasakan ia sebagai satu kelebihan,” katanya.

Sehubungan itu, Islam menuntut penganutnya supaya mencari ketakwaan dan kemuliaan diri di sisi Allah SWT dengan cara mengikut segala perintah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

“Tugas kita adalah melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Maka, sepatutnya tidak mencari benda yang bukan hakiki tugas kita,” tegas Mohd. Sukki.

Kisah Nabi Sulaiman

ALLAH berfirman: Berkata Sulaiman: Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri. Berkata Ifrit (yang cerdik) daripada golongan jin: “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya. Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu daripada al-Kitab: Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip. Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata: Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia. (an-Naml: 38-40)

Kisah Maryam

ALLAH berfirman: Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakaria pemeliharaannya. Setiap Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata: Hai Maryam dari mana kamu memperoleh (makanan) ini?. Maryam menjawab: Makanan itu daripada sisi Allah. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab. (Ali Imran: 37)

Rogol dalam perkahwinan?

SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuang hak wanita dengan lantang mempromosi persepsi berkaitan dengan isu rogol di dalam perkahwinan. Isu yang dibawa menjangkau dan meliputi perkahwinan orang bukan Islam dan orang Islam. Golongan ini menegaskan seorang suami walaupun beragama Islam tidak boleh mengadakan hubungan seks dengan isterinya tanpa kerelaan isteri tersebut. Jika ia berlaku juga, suami tersebut boleh dituduh atas tuduhan merogol di bawah Kanun Keseksaan.

Golongan ini juga mahu pihak Kerajaan mempertegas ‘hak’ wanita untuk menolak sebarang perlakuan seksual walaupun oleh suami wanita tersebut. Namun yang peliknya jika perlakuan seks tersebut dilakukan dengan kerelaan maka ia hendaklah dibenarkan walaupun bukan dengan suami yang sah. Kononnya mereka mengatakan itu hak peribadi mereka dan Kerajaan tidak berperanan di dalam mengawal akhlak rakyat jelata. Prasyarat yang jelas menurut mereka ialah kerelaan. Kerelaan boleh mengatasi undang-undang sedia ada.

Zina mempunyai implikasi yang teruk terhadap masyarakat, khususnya umat Islam. Kesahtarafan anak dan perwarisan mungkin akan menjadi suatu perkara yang amat sukar dipastikan sekiranya zina berleluasa.

Isu yang dimainkan seolah-olah ada agenda tersendiri

Perkahwinan mestilah dibina atas konsep mawaddah wa rahmah. - Gambar hiasan

Isu rogol di dalam perkahwinan ini bukanlah kali pertama muncul di dada akhbar, beberapa tahun lalu ia juga pernah disensasikan oleh golongan seperti ini tetapi telah dijawab oleh ilmuwan Islam sehingga ia tiada disuarakan lagi selepas itu. Mungkin ‘tempoh bertenang’ tersebut telah tamat dan isu ini dibangkitkan semula oleh golongan seangkatan dengan mereka.

Reaksi awal telah dikeluarkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan tanggungjawab seorang isteri memenuhi keperluan batin suaminya walaupun sedang berada di atas unta. Reaksi ini dimomokkan oleh golongan tersebut yang hampir menyifatkan tugas utama isteri hanyalah melayan nafsu suaminya walaupun berada di atas unta.

Mawaddah wa rahmah

Perlu difahami di negara Arab zaman dahulu apabila seorang wanita menaiki unta wanita tersebut bukan terdedah sebagaimana lelaki menaiki unta. Ada dibuat binaan khas seperti sebuah kamar bagi keselesaan wanita tersebut. Oleh itu jika pun hubungan suami isteri dilakukan aurat wanita tersebut tidak terdedah kepada bukan mahram ataupun perlakuan tersebut boleh disaksikan oleh orang lain.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin pula memberi reaksi suami juga tidak dibenar melakukan inzal (memancutkan air maninya di luar faraj isteri) tanpa persetujuan isteri tersebut. Ini bermakna kepuasan seks isteri juga diambil kira oleh Islam.

Dalam Islam, perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu syahwat sahaja. Perkahwinan dibina atas konsep berkasih sayang atau mawaddah wa rahmah. Tanggungjawab mesti dilaksanakan dan hak mesti diberikan.


Di negara Arab zaman dahulu apabila seorang wanita menaiki unta wanita tersebut bukan terdedah sebagaimana lelaki menaiki unta. - Gambar hiasan

Golongan pro-proposisi rogol dalam perkahwinan ini berpandangan adalah mustahak untuk ‘menjenayahkan’ perbuatan seks tanpa kerelaan walaupun dalam perkahwinan bagi menjaga wanita daripada didera.

Penderaan dan perbuatan seks yang halal adalah dua perkara yang berbeza. Islam mengharamkan sebarang bentuk penderaan. Umpamanya seorang suami haram mendera isterinya semasa melakukan seks walaupun dengan keredaan isteri tersebut, apatah lagi sekiranya isteri tersebut tidak meredainya.

Jenayah penderaan telah pun dijadikan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Oleh hal yang demikian isu penderaan tersebut telah pun ditangani di bawah undang-undang yang disebut tadi.

Jika berlaku penderaan semasa melakukan hubungan seks suami ataupun isteri boleh dituduh di bawah undang-undang di atas.

Penulis juga musykil kenapa isu rogol di dalam perkahwinan ini hanya ditujukan kepada lelaki. Mengikut kajian terkini rogol tidak hanya berlaku akibat paksaan lelaki terhadap perempuan, tetapi kini terdapat juga rogol dilakukan oleh perempuan yang memaksa lelaki melakukan seks terhadap mereka tanpa kerLogielaan lelaki tersebut.

Oleh itu, jika si isteri yang memaksa suami melakukan seks tanpa kerelaan suami tersebut adakah ia tidak rogol? Sudah jelas definisi rogol tersebut berbaur diskriminasi dan mempunyai agendanya tersendiri.

BAGI umat Islam, apapun isunya umat Islam perlu berbalik kepada panduan diberikan agama. Logik akal tidak boleh mengatasi nas dan ajaran agama Islam. Dalam Islam perkahwinan merupakan suatu ibadah. Melakukan hubungan suami isteri juga merupakan suatu ibadah yang diberikan pahala.

Ikatan suci ini mestilah disulami dengan ajaran agama dan dijahit dengan perasaan kasih dan sayang antara keduanya. Barulah kegembiraan sebenar akan dapat dikecapi dan piawaian takwa dicapai.

Sebab itulah perlakuan seks di luar perkahwinan langsung tiada kompromi di dalam Islam. Hukuman yang berat berdasarkan hukuman hudud menunggu mereka yang melakukan zina sama ada bagi yang bujang ataupun sudah berkahwin.

Ketegasan ini bukanlah dibuat tanpa memberi alternatif kepada umat Islam. Perkahwinan amat digalakkan di dalam Islam bagi mereka yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Setelah perkahwinan kedua mempelai hendaklah melayari bahtera perkahwinan mereka mengikut syariat yang ditetapkan.

Berbalik kepada isu rogol di dalam perkahwinan ini, penulis menyeru kepada golongan yang mempromosikannya agar bermuzakarah dengan para agamawan berkaitan isu ini. Janganlah disebabkan teruja dengan kehebatan akal mereka ingin menandingi ajaran agama khususnya agama Islam.

Ajaran Islam pula hendaklah tidak dilihat daripada aspek yang mikro sahaja tetapi kaca mata makro hendaklah dipakai bagi memahami keindahan ajaran agama Islam tersebut. Islam tidak boleh hanya di pakai untuk ruang-ruang tertentu, tetapi diamalkan secara keseluruhannya.

Penulis menegaskan bahawa zina yang haram tersebut hendaklah diharamkan, manakala hubungan suami isteri yang halal hendaklah dibenarkan. Umat Islam sudah faham tanggungjawab masing-masing, khususnya persoalan nafkah batin ini. Tidak payahlah digoncang institusi perkahwinan Islam ini dengan perkara-perkara asing daripada syariat Islam.

Kupasan zakat KWSP

SAYA ingin kepastian, apakah wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memang wajib dizakatkan? Jika ya, bagaimanakah corak mengira zakat ke atas wang KWSP yang sebenar? Ada pihak menyatakan, wang KWSP hanya dikenakan zakat setelah setahun dikeluarkan dan ada yang berkata ia hendaklah dizakatkan sebaik sahaja ia dikeluarkan, yang mana betul? Bagaimana pula jika dikeluarkan dalam jumlah yang kecil dan di bawah paras nisab, adakah masih wajib berzakat? Atau jika tidak dikeluarkan langsung, sehingga usia wajib bersara, maka bagaimana mengiranya? Adakah dividen KWSP juga wajib zakat? Terima kasih.

Jawapan: Alhamdulillah, semoga pertanyaan tuan ini mampu saya jawab. Mudah-mudahan juga ia mampu memberikan pencerahan kepada ramai yang sering mengajukan persoalan yang sama mengenai status zakat ke atas wang KWSP mereka.

Sebaik ia menjadi milik sepenuh pencarum, maka wajib zakat


PENCARUM yang sudah meninggal dunia, tidak ada lagi kewajipan berzakat ke atas wang KWSP. - Gambar hiasan

Baiklah, wang KWSP merupakan wang milik setiap orang yang mencarum ke dalam KWSP, berdasarkan jumlah yang dicarum dan juga berapa jumlah caruman majikan ke atas dirinya. KWSP diwujudkan Kerajaan Malaysia di bawah Akta KWSP 1991 dan mewajibkan caruman setiap pekerja, demi memastikan kehidupan mereka selepas bersara lebih terjamin dari aspek kewangannya. Sebab itulah moto KWSP ialah ‘simpanan hari tua anda’.

Sebelum saya melanjutkan jawapan, suka saya nyatakan bahawa dalam pengeluaran KWSP sebenarnya ia mempunyai tiga bentuk pengeluaran. Pertama pengeluaran sebelum usia wajib, yang dikeluarkan demi melunasi beberapa keperluan tertentu. Di halaman sesawang KWSP, antara pengeluaran bagi jenis ini ialah: Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan, Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Pendidikan, Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan, Pengeluaran Pelaburan Simpanan Ahli, Pengeluaran Membina/ Membeli Rumah, Pengeluaran Simpanan Melebihi RM1 Juta, Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Perumahan Fleksibel, Pengeluaran Kesihatan dan Pengeluaran Haji (rujuk www.kwsp.gov.my).

Bentuk pengeluaran kedua, adalah pengeluaran semasa usia 50 tahun bagi Akaun Kedua KWSP. Ketika ini, penyimpan dibenarkan mengeluarkan sama ada sebahagian mahu pun semua simpanan di dalam Akaun Keduanya.

Sementara bentuk pengeluaran ketiga, adalah pengeluaran ketika usia wajib bersara iaitu 55 tahun. Pada ketika ini, seseorang penyimpan itu boleh, sama ada mengeluarkan sebahagian atau semua wang KWSPnya.

Perkara yang perlu difahami di sini, ketika usia penyimpan 50 tahun maka dia sudah mempunyai milik sempurna atas kesemua baki simpanan di dalam Akaun Kedua. Manakala ketika usianya 55 tahun, dia memiliki milik sempurna ke atas baki keseluruhan di dalam KWSPnya. Harus diingat, memahami tiga bentuk pengeluaran ini penting diketahui terlebih dahulu, kerana ia ada kesan ke atas zakat KWSP.

Sempurna milik

Baik, sekarang mari kita jawab persoalan-persoalan di atas. Pertama, adakah wang KWSP wajib dizakatkan? Maka, jawapannya ia wajib dizakatkan hanya apabila ia sudah berada di dalam tangan pencarumnya (atau sudah boleh dimiliki tanpa halangan). Selagi mana wang itu masih berada di dalam simpanan KWSP, maka tidak wajib dizakatkan kerana kurangnya satu syarat, iaitu tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan.

Ini kerana, bagi mengeluarkan KWSP bukanlah semudah mengeluarkan wang dari bank simpanan. Hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat pengeluaran boleh mengeluarkannya, maka itulah halangan kepada pemilik sehingga mengurangkan salah satu syarat wajib zakat ke atasnya, iaitu sempurna milik.

Namun, apabila wang itu sudah dikeluarkan, misalnya untuk tujuan perumahan dan pendidikan atau wang KWSP itu sudah boleh dikeluarkan ketika usia 50 atau 55 tahun, maka kala itu cukup sempurnalah sudah segala syarat wajib zakatnya (datangnya sifat sempurna milik), sehingga wajiblah bagi penyimpan mengeluarkan zakat ke atas wang KWSP itu.

Timbul persoalan kedua, adakah perlu segera dizakatkan atau perlu ditunggu sehingga setahun terlebih dahulu? Maka dalam mendepani persoalan ini, kita perlu melihat kondisi wang itu terlebih dahulu. Di sini, wang yang diperoleh dari KWSP itu hakikatnya termasuk dalam salah satu item harta perolehan atau disebut juga pendapatan (mal al mustafad). Maka, harta pendapatan, seperti mana yang telah ditegaskan sebelum ini, ia menerima khilaf daripada kalangan fuqaha ke atas status haulnya.

Maka, sesuai dengan amalan fikah di Selangor sendiri dan Malaysia umumnya, harta-harta pendapatan ini hendaklah dikeluarkan sejurus ia diperoleh, iaitu ia dizakatkan pada tahun semasa ia diperoleh tanpa perlu menunggu sehingga setahun dimiliki (tidak perlu cukup haul).

Fatwa di Negeri Selangor menyatakan: “Haul tidak menjadi syarat wajib zakat bagi pengeluaran KWSP. Ini kerana wang KWSP adalah simpanan daripada pendapatan seseorang yang sebenarnya telah wajib dizakat. Akan tetapi ia tertahan dengan sebab Akta KWSP yang diperuntukkan oleh pemerintah yang menghalang perlaksanaan zakat yang wajib ke atas harta tersebut”. (rujuk Fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Selangor 2013, hal. 34)

Soalan ketiga, bagaimana menghitung zakat KWSP? Saya ingin merujuk kepada tiga bentuk pengeluaran di atas tadi.

Pertama, dikeluarkan sebahagian atas keperluan tertentu, sama ada tujuan perumahan, pendidikan atau pengeluaran haji. Dalam hal ini, zakat masih dikenakan atas jumlah pengeluaran berkenaan, kecuali bagi pengeluaran yang bersifat keperluan yang amat mendesak.

Antara contoh keperluan yang amat mendesak ialah kerana mendapatkan rawatan yang menelan kos yang sangat tinggi. Contohnya, pada 2012 Ali mengeluarkan RM3,500 wang KWSPnya untuk membeli komputer riba dan RM5,000 untuk tujuan membayar ansuran rumahnya. Maka jumlah pengeluaran wang KWSP Ali ialah RM8,500. Ali hendaklah mencampurkan RM8,500 itu dengan lain-lain wang pendapatan pada 2012, seperti gajinya.

Setelah dicampurkan, katakan RM8,500 + RM36,000 (gaji) = RM44,500, dan jumlahnya telah melebihi nisab, maka hendak dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.

Dalam 2012 itu juga, tiba-tiba Ali mengeluarkan RM40,000 wang KWSPnya untuk menampung kos pembedahannya di hospital yang berjumlah RM80,000. Maka, dalam kes ini, Ali tidak perlu mengeluarkan zakatnya kerana ternyata dia amat terdesak dan wang KWSP-nya tidak pun cukup bagi menampung keseluruhan kos pembedahannya, sehingga memerlukan Ali untuk berhutang atau memohon lagi bantuan daripada lain-lain pihak bagi memenuhi kos pembedahan berkenaan.

Dalam bentuk kedua, jika Ali sudah mencapai usia 50 tahun dan Ali sudah boleh mengeluarkan semua wangnya dalam Akaun Kedua tanpa apa-apa halangan, maka ketika itu, sama ada Ali mengeluarkannya ataupun tidak, maka hakikatnya wang KWSP di dalam Akaun Keduanya itu sudah pun menjadi miliknya (sempurna milik).

Begitu jugalah, jika Ali sudah mencapai usia 55 tahun, sama ada Ali mahu atau tidak, dia sebenarnya sudah boleh mengeluarkan kesemua wangnya di dalam KWSP. Maka ketika itu, dia sebenarnya sudah mempunyai sempurna milik ke atas semua wangnya.

Maka dalam kes ketika usia Ali 50 atau 55 tahun, sama ada Ali mengeluarkan atau tidak wangnya daripada KWSP, dia sebenarnya sudah wajib mengeluarkan zakat ke atas wang simpanannya di dalam KWSP. Jika usia 50 tahun, zakat wajib dikenakan ke atas seluruh wang di dalam Akaun Kedua. Jika usia Ali sudah 55 tahun ke atas, maka zakat dikenakan atas seluruh wang simpanan Ali di dalam KWSP.

Nota: Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila e-melkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.

Khutbah Jumaat ~ Saat Sangkakala Bertiup

Sedutan Petikan  Khutbah Jumaat 08 Mei 2014M / 19 Rejab 1436H JAWI

"Saat Sangkakala Bertiup"

Hari akhirat pasti akan terjadi. Ia janji Allah SWT yang tiada sesiapa pun tahu bilakah ia berlaku.

Ayat 68 daripada Surah Az-Zumar yang dibacakan pada muqaddimah khutbah sebentar tadi menerangkannya. Ia bermaksud : “Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (ketentuan masing-masing).”

Pengadilan di akhirat bermula di Mahsyar. Mahsyar merupakan sebuah padang tandus yang dihimpunkan sekalian makhluk Allah untuk diadili. Firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 48 : Bermaksud : “Pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

Berikut adalah di antara yang dapat dilakukan sebagai persediaan menghadapai hari akhirat :

Pertama : Perhatikan perkara fardhu yang wajib dilaksanakan, adakah kita sudah melakukannya dengan sempurna? Muhasabah juga terhadap segala larangan dan perkara-perkara yang diharamkan, sudahkah kita menjauhi kesemuanya? Lihat pula kepada setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita, adakah kita telah mensyukurinya? Nilai kembali segala musibah dan malapetaka yang menimpa kita, adakah kita bersabar menghadapinya? Inilah perkara-perkara yang harus kita perhatikan dalam kehidupan kita sebelum tibanya saat kematian atau hari kiamat.

Kedua : Selain bersalah dengan Allah SWT, kadang kala kita terjerumus dalam dosa sesama manusia. Derhaka kepada ibu dan ayah, nusyuz kepada suami, menindas golongan lemah, menipu, mencuri, membunuh dan pelbagai lagi kemungkaran yang manusia lakukan demi memenuhi tuntutan hawa nafsu dan kehendak diri, sedangkan ia berdosa kepada manusia lain.

Ketiga : Sematkan di dalam diri rasa harap dan takut. Berharap dengan keluasan rahmat Allah menerima kita sebagai hambaNya yang beriman. Bimbang serta takut seandainya Allah menghitung amalan kita sehalus-halusnya di Akhirat kelak. Sentiasalah berdoa dengan rasa takut serta harap.

Allah SWT menganjurkan kepada kita sebuah doa yang amat sempurna melalui Surah Al-Baqarah, ayat 201 : Bermaksud : “Wahai tuhan kami ! Kurniakanlah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan dan peliharakan kami azab neraka.”

Keempat : Berusahalah untuk menjadi 7 golongan yang dinaungi serta dilindungi Allah SWT di hari akhirat nanti.

Imam Al- Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa bersabda Rasulullah SAW : Bermaksud : “Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada naunganNya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya, iaitu : Pemimpin yang adil, Pemuda yang hidup terdidik pada ibadat Tuhannya, Lelaki yang hatinya terpaut pada masjid, Dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya, Lelaki yang digoda oleh perempuan yang mempunyai kemuliaan dan kecantikan, maka dia berkata, "aku takut kepada Allah", Lelaki yang bersedekah dan menyembunyikannya hingga tangan kirinya pun tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya, Lelaki yang mengingati Allah saat bersendirian maka mengalirlah air matanya.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungilah beberapa pesanan ini :

Pertama : Hari Akhirat pasti akan berlaku dan tanda-tanda hampirnya semakin jelas kelihatan

Kedua : Orang yang beriman akan melakukan persiapan bagi menghadapi hari yang amat dahsyat ini

Ketiga : Setiap amalan di atas dunia pasti ada ganjaran mahupun balasan yang setimpal di akhirat sana

Selami dan hayatilah firman Allah SWT dalam surah Al-Hasyr, ayat 18 Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”

Wallahualam. 

Khutbah Jumaat ~ “Anak Soleh Aset Penting Ibubapa”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 08 Mei 2015: JAIS

“Anak Soleh Aset Penting Ibubapa”

Amanah ini merupakan suatu kewajipan dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Anak semestinya dijaga, dipelihara, dididik dan diberi segala haknya, agar ia menjadi anak yang soleh yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.

Darjat kedudukan ibubapa yang berjaya mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak yang soleh akan sentiasa diangkat darjatnya dari masa kesemasa di akhirat kelak. Ianya akan diberitahu oleh Allah SWT bahawa darjat ketinggian yang diperolehi ini adalah hasil dari doa anak yang soleh.

Hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang insan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya”. (Riwayat Muslim).

Anak yang soleh atau anak yang baik ialah anak yang mempunyai keimanan dan akidah yang kuat, anak yang sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT, anak yang rajin beribadah, anak yang sentiasa menghormati ibubapa dan orang lain, anak yang berakhlak mulia, anak yang mempunyai kesedaran beragama, anak yang rajin berusaha dan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan anak yang sentiasa berdoa dan berbakti kepada kedua ibubapanya sama ada masih hidup atau yang sudah meninggal dunia.

Kewajipan dan tanggungjawab utama dalam usaha melahir dan mentarbiah anak yang soleh adalah terletak diatas tanggungjawab ibubapa, kerana setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan bersih dan suci dari sebarang kekotoran jiwa dan iqtikad.

Kewajipan utama bagi ibubapa dalam usaha melahirkan anak yang soleh ialah memberikan didikan ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama dengan secukupnya.

Firman Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 : “Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala) ; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Ibubapa berkewajipan mengawasi anak-anak, terutamanya pergaulan rakan sebaya , kerana rakan sebaya sangat mudah mempengaruhi jiwa dan tingkahlaku kanak-kanak.

Anak-anak mestilah sentiasa taat kepada kedua ibubapa dan menghurmatinya sepanjang masa.

Anak-anak dilarang mengeluarkan katakata yang kasar dan kesat yang boleh menyenggung perasaan kedua ibubapa.

Anak-anak wajib menjaga dan memberi nafakah kepada ibubapanya lebih-lebih lagi ketika ibubapa sudah lanjut usianya.

Tanggungjawab anak terhadap ibubapa merupakan perintah untuk berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibubapa bergandingan dengan perintah menyembah dan beribadat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ ayat 36: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa”.

Sebagai pengajaran dan penghayatan daripada khutbah ini, maka;

1. Umat Islam hendaklah mendidik anak selaras dan sesuai dengan ajaran Islam.

2. Ibubapa hendaklah menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

3. Ibubapa hendaklah mengawasi segala pergerakan dan aktiviti mereka daripada terjerumus kearah maksiat dan jenayah.

4. Ibubapa hendaklah bersikap terbuka apabila menerima laporan daripada mana-mana pihak mengenai anak-anaknya.

5. Jadikanlah anak-anak sebagai kawan karib dalam mewujudkan suasana keluarga yang harmoni dan suasana yang sejahtera

“Dan orang-orang yang beriman Yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”. (Surah At-Thur : 21).

Wallahualam.